RABU, 25 MAC 2026 | BURUNG TAKUR KUKUP (LINEATED BARBET)
Morning walk pertama selepas berakhirnya Ramadan - saya berjalan santai menikmati alam di sekitar kawasan rumah. Memerhati langit biru bersih tanpa awan, rumput kering kekuningan dek kemarau panjang dan burung-burung berterbangan mencari makan.
Tiba-tiba mata saya terpandang seekor burung berwarna hijau bertenggek di kabel letrik. Bukan burung hijau yang pernah saya lihat, rupanya berbeza. Segera saya halakan lensa kamera telefon, dapatlah beberapa keping foto sebelum ia terbang menghilang.
Satu-satunya foto paling jelas yang berjaya saya rakam.
Hasil carian saya mendapati si cantik dengan bulu badan berwarna hijau dan paruh besar ini merupakan burung takur kukup.
Nama burung : Takur KukupNama Inggeris : Lineated BarbetNama saintifik : Psilopogon Lineatus
![]() |
| Foto oleh Kow Hao Rui. |
Saya sertakan foto lebih jelas burung takur kukup sebagai rujukan.
JUMAAT, 27 MAC 2026 | ULAR TERBANG (CHRYSOPELEA ORNATA)
Ketika itu waktu pagi, saya sedang melakukan kerja mengemas dan membersihkan ruang tamu. Tergerak hati nak menjenguk ke luar rumah. Saya selak sedikit bidai tingkap, nampak Jojo si anak bulu sedang berada di dalam longkang kecil tepi rumah. Oklah, tiada apa yang pelik - Jojo dalam longkang kecil yang kering.
Tapi, eh…Jojo nampaknya sedang tunduk fokus memerhati sesuatu. Segera saya selak kembali bidai tingkap. Ya Allah, rupa-rupanya Jojo sedang memerhatikan seekor ular!
Ilustrasi janaan ChatGPT. Sebetulnya, longkang kecil tersebut kering sebab masa ni musim kemarau dan Jojo turut berada bersama ular di dalam longkang. Paling mengejutkan, bukan setakat memerhati tetapi Jojo berlawan dengan ular!
Segera saya hubungi Encik Suami - minta cepat balik rumah. Saya juga segera keluar rumah. Saya terpaksa beranikan diri menghampiri ular dan angkat Jojo. Jojo meronta dan terlepas dari pegangan saya. Apa lagi, sambung berlawan! Sekali lagi saya angkat Jojo, saya peluk lebih kuat.
Tengah berdebar, lalu pula seekor lipan berhampiran saya. Ya Allah! Mujurlah saiznya sederhana besar. Saya abaikan lipan tersebut sebab perlu fokus pada pergerakan ular dan memegang Jojo.
![]() |
| Hasil foto zoom-in ular terbang. |
Jojo nampak lebih tenang, dapatlah saya merakam beberapa keping foto ular tersebut yang sedang menjalar di dinding. Fuh! Pertama kali saya menyaksikan ular memanjat dinding. Saya rasa takut, juga rasa kagum memerhati corak dan warna ular - cantik kombinasi warna hitam kuning.
Tak lama kemudian Encik Suami tiba - ambil ular guna pengepit panjang dan bawa ke sudut yang jauh dari rumah. Ular cantik biasanya berbisa, jadi Encik Suami nak bunuh je tapi ular tersebut berjaya melepaskan diri.
Carian saya mendapati, ini merupakan sejenis ular terbang. Uish…kalau tahu ular ni boleh terbang, bertambah takut saya tadi 😅
Nama ular : Ular terbang / ular pokok emasNama Inggeris : Golden tree snakeNama saintifik : Chrysopelea ornata
Sebenarnya, ia bukanlah boleh terbang tetapi berkemampuan meluncurkan badan seperti terbang. Ular ini kategori berbisa ringan - tidak berbahaya kepada manusia tetapi mungkin berbahaya kepada kucing. Ia aktif di waktu siang dan memburu haiwan kecil (contoh - cicak, katak) sebagai sumber makanan.
Kalau nak tengok lebih jelas rupa ular terbang yang saya temui ini, boleh saksikan video perkongsian oleh Azamuddeen Nasir di Facebook Astronomi & Sains - klik DI SINI.
AHAD, 29 MAC 2026 | KEMARAU BERAKHIR
Alhamdulillah setelah lebih 100 hari kemarau melanda, petang hari Ahad menyaksikan hujan lebat membasahi bumi. Ia selari dengan ramalan cuaca (yang menjangkakan mulai petang semalam dan hari seterusnya hujan akan turun) dan pengalaman tahun lepas (hujan lebat pada penghujung April mengakhiri musim kemarau).
Teruja saya mendengar bunyi hujan juga bunyi guruh. Ianya nikmat yang dikembalikan. Saya berdiri di luar rumah memerhati titisan hujan yang jatuh, longkang kecil tepi rumah yang sekejap saja dipenuhi air hujan dan menikmati tempias hujan.
Tak lama lagi hamparan rumput kering kuning akan bertukar menjadi hijau. Selamat tinggal musim panas kering, selamat datang musim panas lembab. Setiap musim ada cerita dan ada keunikan tersendiri.
Alhamdulillah. Terima kasih Allah 💙





Berani betul Ujie ni, selamatkan Jojo. Kalau saya, memang tak berani keluar rumah langsung. Time tu jugalah lipan nak keluar, ya. Debor baca entri Ujie ni. Mujur Ujie dan Jojo tak apa-apa. Takut la, ular boleh naik dinding. 🙈
ReplyDeletemusim panas semua jenis haiwan pakat keluar ye...issh Jojo ni dia nak buat main ular plk..alhamdulillah dah hujan sejuk sikit kan kak..
ReplyDeletekuantan tengah menunngu hujan jg ni,semalam mendung tapi tak hujan
Linda kalau ular, seram sikit.
ReplyDeleteAlhamdulillah, Perlis hujan juga, mengakhiri musim kemaraunya..