Tuesday, 29 July 2025

Selamat Tinggal Jepun, Ada Rezeki Kami Pasti Kembali!

🌸 CATATAN KE JEPUN | HARI KEENAM - ISNIN, 9 DISEMBER 2024 🌸

Sambungan entri terdahulu —> Menikmati Yakiniku di Yakiniku Iwasaki, Ueno.


Hari terakhir di Tokyo, kami mendaftar keluar hotel seawal pukul 7.30 pagi. Suasana di luar sudah pun cerah, matahari terbit pada pukul 6.40 pagi. Udara sejuk dengan suhu sekitar 5℃. 

Dari pintu hotel, kami cuma perlu berjalan ke depan sedikit saja dan kemudian melintas jalan untuk ke Keisei Ueno Station - stesen tren menuju ke Narita Airport. Sangat dekat dan mudah bagi kami membawa dua buah bagasi yang isinya penuh dan berat berbanding sewaktu tiba di sini.

Lintasan pejalan kaki untuk ke pintu masuk Keisei Ueno Station. Terdapat sebuah hotel dengan kedudukan berhadapan dengan pintu masuk stesen, ia menjadi pilihan utama kami sewaktu mencari penginapan di kawasan ini. Tapi hotel tersebut tiada kekosongan, maka terpaksalah kami memilih hotel di sebelahnya iaitu APA Hotel Keisei-Ueno Ekimae walaupun harganya lebih mahal.

Suasana sibuk di dalam Keisei Ueno Station.

Tiket Keisei Skyliner Airport Express sudah pun Encik Suami beli secara online, sehari sebelumnya menerusi Klook. Kami dapat harga lebih rendah berbanding pembelian terus di kaunter. Sampai di stesen, e-ticket perlu ditukar kepada tiket fizikal di kaunter tiket.

Tiada catatan lanjut dan foto di dalam tren sebab lebih kurang sama sajalah dengan pengalaman sewaktu kami tiba tempoh hari. Catatan berkenaannya boleh baca di entri - Naik Keisei Skyliner Airport Express ke Nippori Station.

Pukul 8.30 pagi, kami tiba di Narita Airport.

BELI TIKET PENERBANGAN MAS, TAPI NAIK PESAWAT JAL | Bagi perjalanan pergi dan balik, kami beli tiket MAS (Malaysia Airlines). Perjalanan pergi kami naik pesawat MAS, tetapi bagi perjalanan balik kami berpeluang naik pesawat JAL (Japan Airlines).

Ini kerana MAS mempunyai kerjasama codeshare dengan JAL, maksudnya kedua-dua syarikat boleh menjual tiket penerbangan yang dikendalikan oleh syarikat lain di bawah kod mereka sendiri.

Jadinya semasa di Narita Airport, kami terus saja menuju ke kaunter check-in untuk JAL. Tapi rupa-rupanya semua penumpang perlu buat self service check-in dan self-service baggage drop. Belum sempat kami buat apa-apa di kiosk berkenaan, seorang staf perempuan datang menghampiri kami. Setelah meneliti butiran penerbangan, kami diminta ke satu kiosk lain.

Di kiosk ini, staf tadi buatkan urusan check-in.

Bagasi kami ditimbang di sini. Bagasi yang besar, beratnya lebih 19 kg. Manakala yang kecil, beratnya hampir 12 kg.

Alhamdulillah sekejap saja siap urusannya, jadi mudah sebab ada staf bantu uruskan. Masih ada banyak masa lagi sebelum waktu berlepas, bolehlah kami jalan-jalan melihat apa yang ada di sini.

Terdapat banyak pilihan kedai cenderamata. Kalau masih belum cukup oleh-oleh yang dibeli, bolehlah menambah pembelian di dalam lapangan terbang ni.

Antara barangan yang menarik perhatian saya - foldable shopping bag dengan motif Jepun. Harganya 1,320 yen.

Stokin berjari dengan pelbagai pilihan warna dan motif.

Jumpa kedai makan halal - La Toque. Kami tak cuba makan di sini sebab sebolehnya nak elak makan makanan berat sebelum penerbangan jauh, bimbang perut meragam. Tambahan pula, nanti dalam pesawat ada hidangan makanan.

Kami pergi ke bahagian coklat. Teringin saya nak cuba coklat buatan Jepun jenama Royce’ Chocolate ni. Terdapat beberapa jenis coklat di sini, saya semak satu persatu status halal di aplikasi Halal Japan. Hasil semakan, kami cuma boleh membeli Royce’ Potatochip Chocolate (dalam foto di atas, ia terletak di bahagian atas). Harganya 800 yen.

Untuk makluman - walaupun ketika kami beli ni hasil semakan produk ianya berstatus halal (tiada kandungan yang haram), tetapi kandungan produk mungkin berubah pada masa akan datang. Maksudnya, setiap kali nak membeli apa-apa produk kita mesti semak kandungannya.

Saya ke suatu sudut yang agak tersorok di balik binaan dinding, dari sudut tersebut kita boleh melihat suasana di luar bangunan. Saya tersenyum sendiri bila terpandang ekor pesawat dengan lambang MAS. Begitulah bila kita berada jauh di negara asing, nampak pesawat penerbangan Malaysia pun dah cukup buat rasa gembira. Walaupun Jepun negara yang penuh pesona, tapi tanah air sendiri tetap di hati.

Pukul 10.45 pagi, kami bergerak menuju ke balai berlepas.

Suasana di balai berlepas Gate 64.

Pesawat JAL yang membawa kami terbang pulang ke tanah air.

Saya rasa teruja untuk merasai pengalaman pertama terbang dengan syarikat penerbangan Jepun. Insya Allah catatan pengalaman terbang bersama JAL di entri seterusnya.

*

Alhamdulillah…kami berdua berpeluang meneroka sebahagian kecil bumi Jepun. Banyak kenangan yang tercipta sepanjang permusafiran kami. Juga banyak perkara yang membuatkan saya rasa kagum dengan cara fikir dan budaya orang Jepun. Jepun bukanlah negara yang terbaik dalam segala perkara, tetapi banyak perkara baik yang boleh kita contohi dari Negara Matahari Terbit ini.

Selamat tinggal Jepun, ada rezeki kami pasti kembali!
Terima kasih Allah 💙







Sunday, 27 July 2025

Ahmad Foo Chicken x Duck Rice, Alor Setar

Catatan hari Sabtu, 26 Julai 2025.

Semalam saya ke Alor Setar, Kedah yang terletak kira-kira 1 jam perjalanan dari rumah Perlis - pergi beli barang keperluan dan juga ke salun rambut muslimah (rutin gunting rambut setahun sekali). Alhamdulillah saya sangat puas hati dengan servis di Shazira Salun. InsyaAllah ada rezeki nak datang lagi untuk rawatan kulit kepala pula.

Selesai urusan, saya buat carian di Google Maps - ‘restoran Cina halal near me’. Berpandukan Google Maps, sampailah saya dan suami ke restoran Ahmad Foo Chicken x Duck Rice yang terletak di Kancut. Baca ulasan di Google Maps ramai yang kata sedap nasi ayam/itik di sini. Jomlah kita cuba!

Ahmad Foo Chicken X Duck Rice, Alor Setar
Restoran Ahmad Foo terletak di sebuah bangunan lama. Kawasan parkir luas dan mudah dapat parkir, tak banyak kenderaan di sini. Mungkin sebab kami ke sini sudah pun lewat dari waktu makan - hampir pukul 4 petang. Jadinya tak ramai pelanggan ketika ini.

Ahmad Foo Chicken X Duck Rice, Alor Setar
Pelanggan boleh pilih nak duduk dalam kedai atau di luar - lebih santai di ruang terbuka. Kalau datang waktu malam tentu lebih menarik suasana di bahagian luar ni.

Kami melangkah masuk ke bahagian dalam restoran. Seorang pelayan lelaki menyambut mesra dengan ucapan salam.

Ahmad Foo Chicken X Duck Rice, Alor Setar
Bahagian dalam restoran, suasana seperti di kedai kopi Cina. Nampak bersih dan kemas.

Ahmad Foo Chicken X Duck Rice, Alor Setar
Gantungan itik dan ayam.

Ahmad Foo Chicken X Duck Rice, Alor Setar
Foto zoom-in.

Ahmad Foo Chicken X Duck Rice, Alor Setar
Cara membuat pesanan - kita pergi kaunter, pilih makanan dan buat bayar. Hidangan akan dihantar ke meja kita. Dalam foto di atas hanya memaparkan sebahagian menu yang terdapat di sini. 

Ahmad Foo Chicken X Duck Rice, Alor Setar
Hidangan pilihan kami - nasi ayam roasted (potongan ayam 1/8) harganya RM9.20 dan nasi itik special (potongan itik 1/4) harganya RM17.90.

Ahmad Foo Chicken X Duck Rice, Alor Setar
Supnya pekat sedap. Potongan ayam dan itik pula lembut berjus. Sambal cili dan sambal/pes halia cukup sedap. Pendek kata, set nasi itik dan nasi ayam ni memang sedap sesuai dengan cita rasa kami. Saya makan dengan rasa bahagia, juga rasa macam tak cukup nasi! 🤭

Kalau nak tambah nasi, sup, sambal cili dan sambal/pes halia, semuanya boleh tambah dengan harga tertentu. Tapi kami tak menambah pun, dah cukup kenyang dengan saiz hidangan yang diberi.

Ahmad Foo Chicken X Duck Rice, Alor Setar
Selaku peminat cendol, saya tak dapat menahan diri untuk mencuba Cendol Nyonya Durian. Harganya RM11.20. Rasanya sedap lemak manis tapi bukan terlampau manis.

Ahmad Foo Chicken X Duck Rice, Alor Setar
Encik Suami minum green tea, harganya RM5.50. Nampak menarik, jadi saya cuba minum. Eh, sedap pulak! Sebelum ini saya tak boleh nak telan air green tea begini. Setiap kali cuba, boleh sedut sekali je. Saya tak gemar aroma dan rasanya. Tapi yang ini, berkali-kali saya sedut 😀

Alhamdulillah…berbaloi kami cuba makan di sini. Semua makanan dan minuman yang kami pesan memang sedap! Teringin juga nak mencuba hidangan sizzling di sini, tapi menu tersebut hanya dijual selepas pukul 5 petang.

Kalau kalian ke Alor Setar, bolehlah cuba makan di sini. Selain di Alor Setar, restoran Ahmad Foo juga sudah membuka cawangan di Sungai Petani. Carian saya mendapati, pemiliknya seorang lelaki Melayu Muslim. Info lanjut boleh rujuk di akaun Facebook ‘Ahmad Foo - Chicken Duck Rice’.

Untuk ke sini, boleh ikut panduan di Google Maps carian - ‘Ahmad Foo - Chicken Duck Rice Alor Setar’. Beroperasi setiap hari dari pukul 11 pagi sehingga 11 malam.







Thursday, 24 July 2025

Petai Belalang, Mengkarung dan Timun Tikus

Dah agak lama saya tak melakukan aktiviti morning walk disebabkan beberapa hal - matahari terbit awal (pukul 7.10 matahari cerah memancar), rumput tinggi sangat (bimbang ular) dan ada hari saya rasa kurang sihat. Elehh…banyak betul alasannya ya, cakap jelah malas 😆

Alhamdulillah pagi ini saya kembali menikmati alam walau dalam keadaan matahari memancar garang. Hasil rakaman foto alam pagi tadi :

⏵ PETAI BELALANG

Petai Belalang
Terdapat banyak pokok petai belalang tumbuh liar di sekitar kawasan kediaman saya. Pokok ni jenis mudah membiak (melalui biji), jadinya sana sini tumbuh pokok petai belalang.

Petai Belalang
Rupa petai belalang seakan petai biasa, cuma isinya lebih kecil dan nipis.

Bagi mereka yang membesar di kampung, pasti kenal dan suka makan petai belalang. Mak dan kakak-kakak saya biasa makan petai belalang, makan begitu saja. Berbeza dengan saya yang lahir dan membesar di bandar, saya tiada pengalaman begitu.


⏵ MENGKARUNG
Mengkarung merupakan antara haiwan yang kerap saya jumpa. Mula-mula dulu terselit juga rasa takut, tapi selepas itu mengkarung selalu menjadi model fotografi saya 😀. Sekali tengok macam sama je rupa mengkarung, tapi bila diperhatikan ada perbezaan corak pada badan mengkarung.

Mengkarung ni ekornya nampak macam terputus di hujung.

Hasil foto mod portrait. Rupa mengkarung dapat dilihat dengan lebih jelas.


⏵ TIMUN TIKUS
Pokok timun tikus ni pun antara tumbuhan liar jenis menjalar yang banyak terdapat di sekitar rumah saya. Kalau ada yang tahu, kenapa namanya ada perkataan tikus? Sama seperti petai belalang, kenapa dikaitkan dengan belalang? 🤔

Timun Tikus
Buah timun tikus yang masih muda, berwarna hijau dengan corak berjalur putus-putus warna putih. Kalau dah masak warnanya bertukar merah. Boleh lihat foto buah berwarna merah di entri INI.

Timun Tikus
Saiznya kecil begini.

Buah timun tikus ini juga antara tumbuhan yang biasa dijumpai dan dimakan oleh mereka yang membesar di kampung. Cumanya, timun tikus ni ada beberapa spesis. Timun tikus yang terdapat di tempat tinggal saya ni berbeza spesis dengan timun tikus yang biasa dimakan oleh keluarga saya dan mak mentua di Johor. Rupanya juga sedikit berbeza - saiz lebih besar dan tiada jalur warna putih.

Awal bulan baru-baru ni sewaktu mak mentua bermalam di rumah kami, mak mentua cuba makan sebiji. Baru kunyah sedikit, terus mak mentua luahkan balik. Pahit! Memang berbeza dengan timun tikus yang biasa mak makan di kampung suatu masa dulu - rasanya tak pahit, sama seperti timun biasa.


⏵ JOJO SI ANAK BULU
Selesai morning walk, saya sambung buat kerja di luar rumah. Gemburkan tanah di pasu, buang daun yang dah kering dan buang rumput di sekeliling tanaman. Tapi itulah, ada anak bulu yang suka mengacau.

Saya nak bersihkan rumput keliling pokok kunyit yang di tanam dalam bekas tayar ni, Jojo datang terus melompat masuk dalam tayar. Siap duduk santai, lepas tu mengunyah rumput. Tak mampu nak marah budak dengan macam-macam gelagat yang mencuit hati ni 😄







Wednesday, 23 July 2025

Menikmati Yakiniku di Yakiniku Iwasaki, Ueno

🌸 CATATAN TRIP KE JEPUN | HARI KELIMA - AHAD, 8 DISEMBER 2024 🌸

Sambungan entri terdahulu —> Seketika di Higashi-Jujo, Kita City


Malam terakhir di Tokyo, kami mencuba hidangan yakiniku di Yakiniku Iwasaki. Restoran yakiniku yang mendapat persijilan halal ini terletak kira-kira 400 meter dari hotel penginapan kami.

Yakiniku (焼肉) ialah istilah bahasa Jepun yang bermaksud daging panggang, ia merujuk kepada cara masakan di mana daging dipanggang dan dimakan bersama sos pencicah.

Sebelum ke Jepun, saya pernah baca entri seorang sahabat blogger pergi makan di sebuah restoran halal Jepun di Malaysia. Nama restoran tersebut bermula dengan ‘Yakiniku’. Saya fikir, mungkin untuk menarik orang Islam makan di restoran Jepun tersebut maka nama restoran diletak yakiniku (yakin halal untuk makan). Bila tiba di Tokyo saya agak terkejut nampak sana sini ada nama restoran yakiniku. Eh, rupa-rupanya yakiniku tu Japanese BBQ! Bukan perkataan bahasa Melayu daaa 🤣

Yakiniku Iwasaki, Ueno, Tokyo
Kedudukan restoran di celah bangunan tapi tak susah nak mencarinya. Kami ke sini dengan panduan Google Maps - mod berjalan kaki. Suasana dalam restoran boleh dilihat jelas dari luar, nampaknya tak ramai pelanggan. Syukur jugalah tak perlu kami menunggu giliran.

Yakiniku Iwasaki, Ueno, Tokyo
Pintu masuk restoran Yakiniku Iwasaki.

Yakiniku Iwasaki, Ueno, Tokyo
Di luar restoran terdapat paparan menu dengan logo halal JHP (Japan Halal Foundation). Sebelum masuk, bolehlah berkira-kira hidangan mana satu yang sanggup kita bayar 😄

Sebaik melangkah masuk restoran, kami disambut mesra oleh seorang pelayan lelaki. Kami memilih duduk di sudut berhampiran pintu. Ruang dalam restoran ini tak begitu luas - sesuatu yang biasa bagi restoran di Jepun.

Yakiniku Iwasaki, Ueno, Tokyo
Sijil halal turut disertakan dalam buku menu.

Masa ni saya cuma rakam foto sijil tanpa membaca lanjut. Bila nak menghasilkan entri ini, barulah saya membelek dengan teliti foto-foto yang dirakam. Dan baru saya perasan tertera ‘Food Menu Only Halal’. Seterusnya bila saya belek foto menu minuman, rupa-rupanya restoran ini turut menjual minuman beralkohol. Patutlah pada sijil tersebut pengesahan halal hanya untuk makanan sahaja.

Ianya mungkin sesuatu yang biasa di luar negara - restoran menjual makanan berstatus halal tetapi turut menjual minuman beralkohol. Pandangan peribadi saya, adalah lebih baik jika kita dapat elak tempat makan begini kecuali dalam situasi tertentu - contohnya, sukar mencari atau tiada pilihan restoran halal lain di kawasan tersebut. Apa pun, ianya terpulang kepada pertimbangan masing-masing.

Yakiniku Iwasaki, Ueno, Tokyo
Berbalik kepada cerita makan-makan. Sementara menunggu hidangan tiba, kami diberi piring kecil dengan ketulan warna putih semacam lilin, tapi kami tak tahu kegunaannya. Tak lama kemudian pelayan datang tunjukkan cara. Katanya untuk bersihkan jaring pemanggang, tak tahulah kalau kami salah faham ya 😅

Yakiniku Iwasaki, Ueno, Tokyo
Hidangan utama kami - wagyu regular beef platter. Terdapat empat bahagian daging yang berbeza, setiap bahagian diberi empat keping daging.

Yakiniku Iwasaki, Ueno, Tokyo
Di tengah berwarna hijau tu wasabi, dimakan bersama daging yang telah dipanggang. Saya cuma mampu mencuba sedikit saja. Rasanya agak ‘pelik’, tak tahu saya nak jelaskan rasanya.

Yakiniku Iwasaki, Ueno, Tokyo
Seaweed soup.

Yakiniku Iwasaki, Ueno, Tokyo
Udon

Yakiniku Iwasaki, Ueno, Tokyo
Awalnya kami letak daging di bahagian tengah pemanggang, tapi jadi cepat sangat masak.

Yakiniku Iwasaki, Ueno, Tokyo
Foto zoom-out meja makan kami.

Daging yang telah dipanggang dimakan bersama sos wagyu. Warna sosnya macam kicap tapi bukanlah rasa kicap, sedap rasanya sesuai dimakan bersama kepingan daging yang lembut dan berjus.

Kami menghabiskan masa menikmati yakiniku dan hidangan sampingan yang lain di sini selama kira-kira satu jam. Selepas itu kami menuju ke sebuah kedai yang menjual pelbagai makanan dan barangan - saya tak tahu nama kedainya kerana tiada tulisan bahasa Inggeris. Antara yang dibeli - dua dozen ‘biskut kapal’ buat stok makan sendiri juga sebagai oleh-oleh untuk ahli keluarga. 

Pukul 10.30 malam, kami kembali ke hotel penginapan. Esok awal pagi kami akan memulakan perjalanan kembali ke tanah air. Malam tersebut sibuklah saya mengemas dan menyusun segala barang dalam dua buah beg. Penat jugalah nak menyusun semuanya supaya muat - susun, keluarkan, susun semula.







Monday, 14 July 2025

Seketika di Higashi-Jujo, Kita City

 🌸 CATATAN TRIP KE JEPUN | HARI KELIMA - AHAD, 8 DISEMBER 2024 🌸

Sambungan entri terdahulu —-> Menikmati Tendon Pertama di Tendon Itsuki, Ginza


Selesai makan dan solat, kami menaiki tren menuju ke Higashi-Jujo di Kita City - sebuah bandar yang terletak di bahagian utara Tokyo. 

Suasana di dalam tren. Tak ramai penumpang ketika ini.

Panduan perjalanan menggunakan aplikasi Google Maps. Lengkap semua maklumat diberi, sangat memudahkan pergerakan kita. Tren yang kami naiki akan berhenti di tujuh buah stesen sebelum tiba di stesen destinasi kami iaitu Higashi-Jujo Station.

Eh, nama stesen ni lebih kurang macam nama saya 😁

TERPISAH SEKETIKA | Oji Station terletak sebelum Higashi-Jujo Station. Mungkin kerana leka memerhati pemandangan di luar, kami tak perasan tren sudah pun tiba di Higashi-Jujo Station. Para penumpang lain keluar dan masuk koc. Sebaik kami perasan, Encik Suami segera melangkah keluar dari koc diikuti oleh saya. Tetapi saya tak sempat keluar - pintu ditutup. Segera saya buat isyarat tangan minta Encik Suami tunggu dan nanti saya akan berpatah balik.

Walaupun agak terkejut dengan situasi yang terjadi, tapi saya tidaklah rasa cemas kerana sudah beberapa hari kami ke sana ke sini di Tokyo dengan menaiki tren. Tambahan pula, stesen di sini bukanlah stesen besar seperti Ueno Station yang complicated sehingga sukar nak cari pintu keluar yang betul.

Saya turun di stesen berikutnya iaitu Akabane Station. Sebaik melangkah kaki di platform stesen, seorang lelaki Jepun mendekati saya. Lelaki muda tersebut bercakap bahasa Jepun sambil tangannya menunjuk ke suatu arah - tangga menuju ke platform bawah. Saya yang agak keliru cuma menggeleng kepala tanda tak faham.

Selepas lelaki Jepun tersebut berlalu pergi, barulah saya faham maksud lelaki tadi - untuk berpatah balik ke stesen sebelumnya saya perlu turun tangga yang ditunjukkan tadi. Aduhai…blur sungguh saya! Agaknya tadi dia ada dalam koc yang sama dan tahu situasi saya lalu cuba membantu. Harapnya dia fahamlah reaksi saya tadi dek kerana keliru, bukan sombong. Semoga Allah membalas perbuatan baiknya terhadap saya.

Belum sempat saya turun ke bawah, Encik Suami pula muncul - baru keluar dari tren. Risau saya bergerak sendirian, jadi Encik Suami bergegas naik tren berikutnya untuk bersama saya.

Higashijujo, Kita City, Tokyo
Pukul 4.05 petang, kami tiba di Higashi-Jujo Station. Alhamdulillah.

Higashijujo, Kita City, Tokyo
Turun eskalator untuk keluar bangunan stesen. Dari stesen, kami berjalan kaki ke lokasi tujuan kami.

Higashijujo, Kita City, Tokyo
Sementara menunggu lampu isyarat melintas jalan bertukar hijau, sempatlah saya memotret rupa kabel elektrik di sini. Nampak macam seni anyaman pulak 😀

Higashijujo, Kita City, Tokyo
Papan tanda tertera ‘Higashijujo Koban’ di tiang lampu trafik. Juga papan tanda ‘koban’ di bangunan berhampiran. Carian saya mendapati, ‘koban’ merupakan balai polis kecil yang terletak di sesebuah komuniti. Tujuannya supaya polis dilihat ada dan sentiasa bersedia untuk memberi khidmat kepada masyarakat. Satu usaha yang bagus!

Higashijujo, Kita City, Tokyo
Suhu ketika ini 11℃ (feels like 8 ℃). Memang sejuk! Saya tak ada sarung tangan, jadinya pada kebanyakkan masa saya masukkan tangan ke dalam poket jaket. Ketika ini juga langit cerah mulai gelap. Matahari terbenam awal iaitu sekitar pukul 4.30 petang.

Higashijujo, Kita City, Tokyo
Kami melalui sebatang jalan yang kelihatan cantik dengan dekorasi lampu dan gantungan bendera kecil pelbagai negara. Saya cuba memerhati deretan bendera tersebut, tapi tidak kelihatan bendera Malaysia.

Higashijujo, Kita City, Tokyo
SUPER AUTOBACS | Inilah tujuan kami ke Higashi-Jujo, kami nak ke tempat jualan aksesori kereta. Lebih tepatnya - Encik Suami yang beria nak ke sini, saya hanya menurut saja. Sebenarnya, Encik Suami berhasrat nak ke cawangan lain yang lebih besar tapi lokasinya lebih jauh.

Higashijujo, Kita City, Tokyo
Menarik jugalah - banyak pilihan barang dan tersusun rapi.

Higashijujo, Kita City, Tokyo
Encik Suami sibuk membelek barang dari satu rak ke satu rak.

Higashijujo, Kita City, Tokyo
Rak barang berharga 110 yen - lebih kurang RM3.20.

Staf di sini tidak boleh berbahasa Inggeris, jadinya agak sukar bila Encik Suami nak bertanya lanjut berkenaan barang tertentu. 

Kami berada di sini kira-kira 50 minit. Selesai membeli, kami berpatah balik ikut jalan yang sama untuk kembali ke stesen tren.

Higashijujo, Kita City, Tokyo
Seingatnya ini stesen minyak pertama yang saya lihat di Jepun. Mungkin sebab saya banyak naik tren, jadi tak jumpa stesen minyak.

Higashijujo, Kita City, Tokyo
Kami kembali melalui jalan dengan dekorasi gantungan bendera kecil. Tempat ini nampak lebih cantik pada waktu malam.

BELI JAKET SEJUK | Semasa melalui jalan ini, saya terpandang sebuah kedai pakaian perempuan yang terletak di hujung bangunan. Rasa tertarik pulak nak masuk sebab nampak ada jual jaket sejuk. Kami masuk dan membelek pilihan yang ada. Saya berkenan dengan sehelai jaket sejuk berwarna purple. Sebenarnya saya memang dah mencari sejak hari pertama tiba di Tokyo, tapi tak jumpa yang berkenan. Walaupun jaket ini bukan buatan Jepun, saya beli juga sebab dah suka. Terdapat label dengan tulisan Jepun di bahagian dalam jaket, juga tertera tulisan bahasa Inggeris - Made in Myanmar.

Penjualnya seorang lelaki Jepun yang nampaknya lebih berusia dari kami, melayan kami dengan senyum mesra. Penjual tersebut bercakap bahasa Jepun, kami pula bercakap bahasa Inggeris. Ajaibnya, tetap saling faham walau bahasa pertuturan jauh berbeza 😄

Mulanya saya tak terfikir nak pakai terus jaket sejuk yang baru dibeli, tapi bila penjual bertanya sama ada saya nak pakai terus atau tidak? Saya terus buka jaket sejuk yang sedang dipakai dan menyarung jaket baru. Jaket lama diambil penjual, dilipat dan dimasukkan ke dalam beg plastik. 

Higashijujo, Kita City, Tokyo
KEDAI RUNCIT HALAL | Sedang berjalan, ternampak pula sebuah kedai runcit dengan logo halal. Kami singgah sekejap nak melihat produk yang dijual.

Higashijujo, Kita City, Tokyo
Macam-macam ada di jual - rebung dari Thailand pun ada. Pes soto ayam dari Indonesia dijual dengan harga 150 yen, lebih kurang RM4.30. Tidaklah mahal sangat. Saya mencari produk dari Malaysia, tapi hampa.

Higashijujo, Kita City, Tokyo
Sebelum masuk bangunan stesen, kami singgah membeli kopi panas di mesin minuman yang terletak di bangunan berhampiran. Macam biasa, sebelum beli saya buka aplikasi Halal Japan untuk semakan halal. Sedang kami memilih minuman halal yang mana satu nak dibeli, seorang lelaki Jepun datang menghampiri kami dengan senyuman mesra. Tangan lelaki tersebut menunjuk pilihan minuman sambil bercakap dalam bahasa Jepun. Menurut pemahaman kami, dia sedang memberitahu kami pilihan minuman halal. Kami ucapkan ‘thank you’ dan ‘arigato gozaimas’ sebelum lelaki tersebut beredar meninggalkan kami.

Higashijujo, Kita City, Tokyo
Pandangan dari luar stesen tren - Higashi-Jujo Station North Exit.

Higashijujo, Kita City, Tokyo
Pukul 5.45 petang, kami menunggu di platform no. 4. Suasana lengang, cuma terdapat beberapa orang sahaja yang sedang menunggu ketibaan tren.

Kami naik tren menuju ke Ueno Station untuk balik ke bilik hotel - nak rehatkan badan dan menunaikan solat sebelum kembali berjalan-jalan di sekitar Ueno.

Pukul 8 malam - kami keluar hotel. Saya berfoto kenangan di hadapan bangunan hotel penginapan kami dengan memakai jaket sejuk warna purple yang baru di beli. Saya suka rekaan jaket ini dengan potongan bentuk A dan mempunyai zip serta butang hadapan.

Kunjungan singkat ke Higashi-Jujo yang nampak macam tiada apa-apa, rupa-rupanya meninggalkan cerita manis tentang Tokyo kerana layanan baik oleh tiga orang lelaki Jepun yang kami temui. Kawasan yang terletak di pinggir bandar ini juga memberikan pengalaman yang berbeza - suasananya lebih tenang dan lebih terasa ‘local vibes’.