Monday, 2 December 2024

Catatan Hujung Minggu | 30 November - 1 Disember 2024

HARI SABTU, 30 NOVEMBER 2024

Pagi hari Sabtu, saya dan Encik Suami bertolak dari rumah Perlis menuju ke Kuala Lumpur. Sebelum bergerak, saya dah buat carian berkenaan situasi banjir di lebuh raya.

Menurut info, laluan Jitra - Hutan Kampung bagi kedua-dua arah telah ditutup kepada semua kenderaan mulai jam 10 malam 29 November. Trafik arah ke selatan pula akan dilencongkan keluar di Jitra. Menurut perkiraan kami, nanti dari Jitra bolehlah lalu Kepala Batas untuk masuk lebuh raya semula bagi meneruskan perjalanan.

Jadinya tak ada masalah, kami pun mulakan perjalanan ke arah selatan.

Antara situasi banjir yang dapat saya saksikan dari lebuh raya. Sawah padi di tenggelami air dan jalan kampung terputus hubungan. Sedih rasanya melihat keadaan begini.

Seperti yang telah diketahui, laluan Jitra - Hutan Kampung tak boleh dilalui. Jalan ditutup dan kami perlu keluar di Jitra.

Di Jitra, ada polis trafik dan polis yang menjaga lalu lintas. Kami tak dibenarkan masuk ke laluan menuju Kepala Batas. Alamak! Apa pilihan yang kami ada? Menurut kawan saya yang menetap di Jitra, kami cuma ada dua pilihan laluan. Kedua-duanya perlu ikut jalan dalam untuk sampai ke Alor Setar dan kemudian masuk lebuh raya di Alor Setar Selatan. Tapi laluan tersebut memang sesak teruk, apa lagi ketika itu sudah waktu tengah hari.

Akhirnya, kami ambil keputusan berpatah balik ke rumah.

Foto oleh BERNAMA - situasi banjir di lebuh raya laluan Jitra - Hutan Kampung.

Foto oleh BERNAMA - situasi banjir di lebuh raya dilihat dari udara. Selain terputusnya laluan lebuh raya, Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim Alor Setar juga ditutup sepenuhnya susulan landasan terbang dinaiki air banjir.


HARI AHAD, 1 DISEMBER 2024

Kami kembali memulakan perjalanan ke Kuala Lumpur pada jam 8.40 pagi. Kali ini kami ikut jalan biasa dari Kangar ke Alor Setar seperti yang disarankan oleh kawan saya semalam. Faham sajalah bila ikut jalan dalam ni, kenderaan bergerak perlahan sebab kita lalu pekan kecil dan kawasan rumah penduduk. Juga kesesakan aliran trafik sewaktu di Alor Setar.

Apa pun, saya rasa sangat lega bila kami akhirnya berjaya masuk ke lebuh raya melalui Persimpangan Alor Setar Selatan. Alhamdulillah!

Sepanjang perjalanan, saya lihat banyak tempat dinaiki air.

Hujan gerimis di beberapa tempat, syukurlah bukan hujan lebat yang menyukarkan pemanduan. Bila hujan dan udara sejuk, dapatlah saya menikmati suasana indah perbukitan yang dipenuhi kabus memutih.

Perjalanan kami kali ini tidak lancar, banyak tempat dengan aliran trafik perlahan. Mungkin sebab hari Ahad, ramai yang menuju ke arah Kuala Lumpur untuk kembali bekerja esoknya.

Alhamdulillah akhirnya kami selamat tiba di Tamu Hotel di Kampung Baru kira-kira jam 7.40 malam. Fuh…11 jam perjalanan kami dari Perlis ke Kuala Lumpur!

Selesai mendaftar masuk bilik, kami berehat dan menunaikan solat jamak. Badan dah rasa lega, barulah kami keluar. Nak gunting rambut Encik Suami dan jalan-jalan cari makan.

Dengan bantuan Google Maps, kami jalan kaki ke sini untuk gunting rambut Encik Suami. Caj dikenakan RM13. Punyalah jauh ya, rumah di utara tapi gunting rambut di KL 😆. Dah ini je masa dan kesempatan yang ada.

Selesai menggunting rambut, kami minum kopi dan makan kek di Baked by Nini x Kopi 38. Dah lewat malam, saya rasa tak selera pulak nak makan berat. Kami beli Buttercream Caffe Latte - RM15 dan kopi Sarawak - RM11. Rasa premium, sesuailah dengan harganya. Memang sedap, kena dengan cita rasa saya.

Pilihan Encik Suami, Cheese Cake Plain - RM11. Makan kongsi berdua. Pilihan saya pula Tiramisu Original dan Nippon Puff, beli bungkus untuk saya makan di hotel esok (hari ini). Semuanya sangat memuaskan selera - sedap dan tak terlalu manis.

Baked by Nini x Kopi 38 terletak di deretan gerai Masjid Jamek Kampung Baru, sebelah masjid je. Tiada ruang khas untuk pelanggan duduk makan di sini. Cuma terdapat tiga set meja kecil di laluan pejalan kaki. Tapi ok je duduk makan begini sebab gerai lain di bangunan ni semua tutup, jadinya tidaklah ramai orang lalu lalang.

Sambil menikmati kopi dan kek, kami memerhati suasana malam yang cerah dan meriah di kawasan ini. Kami berbual-bual tentang persekitaran di sini yang nampaknya tidak teratur dan kurang bersih. Saya faham juga, kita bercakap memang mudah tetapi nak melaksanakan bukanlah perkara mudah.

Waktu sudah pun menghampiri tengah malam, tempat makan semuanya masih dipenuhi pelanggan. Jauh beza dengan kehidupan malam kami nun di utara tanah air yang sunyi dan gelap.

Suasana malam dari jendela bilik penginapan kami, beberapa detik menjelang 12 tengah malam.


Semoga Allah mengurniakan kesabaran dan kekuatan buat semua yang terkesan dengan bencana banjir. Di doakan jua semoga keadaan segera pulih. Berat mata memandang, pasti lebih sukar bagi mereka yang sedang melaluinya.