Monday 8 July 2024

Ronda-ronda Sekitar Perlis Pada 1 Muharram

Semalam, hari Ahad 7 Julai bersamaan 1 Muharram saya dan Encik Suami berkesempatan ronda-ronda di sekitar Perlis. Saya sebut ronda-ronda sebab kami ke beberapa tempat menarik di Perlis dalam tempoh sehari (tapi bukanlah seharian dari awal pagi hingga lewat petang ya).

Awal pagi, kami ke Taman Rekreasi Sungai Bukit Jernih di Chuping yang terletak kira-kira 13 km dari rumah. Kami sekadar jalan-jalan melihat suasana sekitar serta ambil info berkenaan aktiviti pendakian dan penerokaan gua Bukit Jernih. 

Dari taman rekreasi, kami menjamu selera di Wansyah Kitchen yang terletak tak jauh dari pusat bandar Kangar. Tempat makan yang terkenal dengan masak lemak cili api. Memang puas hati dapat makan di sini.

Perut dah kenyang, kami menuju ke Wang Kelian pula. Kenderaan dipandu mendaki bukit dalam keadaan hujan yang kadang-kala renyai, kadang-kala lebat. Tak ada tujuan khusus, sekadar ronda-ronda melihat suasana. Sejak berpindah ke Perlis, ini kali pertama kami ke Wang Kelian. Tiba di Pos Imigresen Wang Kelian, kami berpatah balik. Gitulah, asyik ke pintu sempadan je. Entah bila nak lepas ke Siam (Thailand) 😄

Dalam perjalanan balik, saya ajak Encik Suami singgah di pintu masuk Taman Negeri Perlis yang terletak tak jauh dari pos imigresen tadi. Dalam keadaan hujan lebat, saya cuma dapat ambil foto info bayaran masuk ke taman ini. Tak dapat nak keluar bertanya lanjut di kaunter berkenaan aktiviti yang ditawarkan.

Tiba di View Point Wang Kelian, hujan dah makin reda. Saya ajak Encik Suami naik ke puncak. Dah ada perubahan berbanding kunjungan terakhir saya ke sini beberapa tahun lalu - bayaran masuk dikenakan dan ada servis buggy. InsyaAllah catatan lanjut dalam entri khusus.

Selesai aktiviti ronda-ronda kami di sekitar Perlis, kami balik rumah dan berehat.

Selepas Asar kami keluar semula dengan memakai kasut kebun pula. Bukan nak berkebun pun, cuma nak pergi ambil tanah topsoil untuk menanam pokok di pasu. Tak begitu jauh dari rumah, tapi masih perlu naik kenderaan. Encik Suami gigih mencangkul mengisi pasu-pasu dengan tanah, saya pula cuma jadi mandur 😄

Begitulah catatan 1 Muharram saya di bumi Perlis yang mendamaikan. Terima kasih Allah 💙








Saturday 6 July 2024

Menambah Senarai ‘TBR’

Semenjak berhenti menjual buku (saya pernah jadi ejen dropship syarikat penerbitan Jejak Tarbiah mulai Oktober 2019 sehingga April 2022), sejak itu juga berkuranglah aktiviti membeli buku. Bila menjual, saya pun ikut tergoda dengan judul buku baru. Maka asyiklah saya membeli buku dengan harga diskaun sebagai ejen jualan.

Sekarang ni jarang-jarang saya membeli buku sebab saya perlu membaca deretan buku yang telah dibeli. Nampak promosi judul buku baru yang cukup menggoda pun terpaksa tahan diri jangan membeli. Padan muka! 😆

Kena sedar diri, stamina membaca saya dah tak seperti suatu ketika dulu. Apa lagi kalau membaca karya bersifat ilmiah, saya akan ambil masa cukup lama nak baca dan hadam sebuah buku. Baru baca beberapa halaman je dah mula kecik mata.

Baru-baru ini saya menambah jua buku di rak buku TBR (To Be Read) yang diletakkan di sebelah tempat tidur saya. Enam buah buku menerusi dua pembelian.

Buku Ensiklopedia Sirah Kekasihku Muhammad dan Ensiklopedia Empat Khalifah ini dibeli oleh Encik Suami dengan harga promosi kombo RM250 termasuk kos pos. Encik Suami tertarik membeli sewaktu menonton live Facebook ZRA Strim yang menampilkan Ustaz Zahazan bercerita berkenaan buku ensiklopedia terbaru terbitan Telaga Biru. Tapi bila buku sampai, terus diserahkan kepada saya suruh tolong baca. Minta tolong begini pun ada juga ya 🙄😄

Bagi yang nak menonton perkongsian menarik oleh Ustaz Zahazan berkenaan Ensiklopedia Sirah Kekasihku Muhammad, boleh klik link YouTube ZRA STRIM DI SINI. Lepas tu bolehlah membeli dari Telaga Biru untuk bacaan seisi keluarga, sesuai juga dijadikan sebagai hadiah.


Empat buah buku yang baru saya terima beberapa hari lalu - buku travelog oleh Siti Noridah ET. Pembelian yang tak boleh ditangguh sebab stok tak banyak dan tak pasti bila akan ada cetakan semula. Empat buah buku ini saya beli dengan harga RM100 termasuk kos pos.

Tak sabar rasanya saya nak mengembara (melalui buku) ke Afghanistan, Pakistan, Iran-Iraq dan Bhutan 😃




SELAMAT MENYAMBUT MAAL HIJRAH
1 MUHARRAM 1446H







Wednesday 3 July 2024

Bertemu Kubung (Flying Lemur) dan Babi Berjanggut (Bearded Pig) di Taman Negara Bako

Sambungan catatan di Taman Negara Bako, Kuching, Sarawak. Baca catatan sebelumnya DI SINI.

Taman Negara Bako Kuching Sarawak
Saya dan Encik Suami dalam perjalanan menuju ke bangunan Park HQ, berfoto dengan lensa kamera wide angle 0.6x berlatarkan hijau alam. Oleh kerana kami akan bermalam di sini, kami bawa sebuah backpack besar bagi mengisi keperluan. Setiap seorang juga bawa sebuah backpack kecil bagi keperluan semasa aktiviti eksplorasi hutan.

Taman Negara Bako Kuching Sarawak
Bertemu papan tanda peta Taman Negara Bako, taman ini berkeluasan 2,742 hektar. Sangat luas, tapi akhinya dengan kekangan masa dan kurang stamina, kami cuma mampu melakukan eksplorasi hutan ke Teluk Pandan Besar dan Teluk Delima sahaja.

Taman Negara Bako Kuching Sarawak
Papan tanda arah. Oh, bangunan Park HQ yang kami nak pergi tu dikenali sebagai Customer Service One Stop Centre.

Taman Negara Bako Kuching Sarawak
Dari jauh kelihatan ramai pengunjung warga asing di bangunan tersebut yang menempatkan kafe, kaunter pendaftaran, bilik pameran dan bilik simpan beg. Cantik pemandangan depan bangunan ini, iaitu lautan dan Gunung Santubong. Tapi sepanjang di sini, kami tak sempat pun nak berjalan-jalan di tepi pantai tersebut.

Taman Negara Bako Kuching Sarawak
Kami menuju ke kaunter pendaftaran, beri dokumen permit penginapan dan tiket/permit masuk taman negara kepada petugas untuk urusan pendaftaran. Selepas itu kami diberi peta laluan hutan dan peta kedudukan penginapan di sini. Petugas memberi penerangan terperinci dengan menggunakan highlighter pen serta cadangan laluan hutan yang bersesuaian dengan masa yang ada (kami tiba menghampiri waktu tengah hari).

Kami juga dimaklumkan berkenaan waktu operasi kafe, makanannya halal (menjawab persoalan yang timbul di fikiran saya) dan info aktiviti ‘night walk’. Petugas lelaki tersebut juga menerangkan situasi babi berkeliaran - tak perlu bimbang sebab babi ni jenis tak kacau orang asalkan kita tak kacau dia dan juga jangan terkejut melihat air paip berwarna kemerahan kerana ia air berasal dari hutan sekitar.

Oleh sebab masih awal, kami belum boleh mendaftar masuk bilik penginapan (daftar masuk bermula pukul 2 petang hingga 4 petang). Kami  tinggalkan beg besar di dalam bilik simpanan beg. Kemudian keluar dari bangunan untuk melihat-lihat kawasan sekitar.


BERTEMU HAIWAN UNIK!
Sila klik foto-foto berikut untuk paparan lebih jelas :

Taman Negara Bako Kuching Sarawak
Baru berjalan sedikit, seorang lelaki menghampiri kami dan bertanya “Dah tengok monyet belanda?”. Rupanya tak jauh dari kedudukan kami berada, para pengunjung sedang berkumpul menyaksikan kehadiran seekor monyet belanda (proboscis monkey). Kami ikut serta memerhati, tapi tak begitu jelas. Cuma nampak sebahagian badannya yang terlindung dibalik dahan pokok dan dedaun.

Lelaki tadi kemudiannya mengajak kami ke suatu tempat, nak tunjukkan haiwan bernama kubung. Kubung? Haiwan apa tu? Berkerut dahi saya, tak pernah tahu apa itu kubung.

“Pernah tengok movie Madagascar? Ada watak kubung.” sambungnya lagi cuba menerangkan. Saya memang tak pernah tonton filem tersebut tapi tahu kewujudannya.

Taman Negara Bako Kuching Sarawak
Inilah kubung (flying lemur), ia berada pada kedudukan tinggi di batang pokok. Sebaik melihatnya, barulah saya kenal haiwan apa. Cuma tahu nama flying lemur, rupanya dalam bahasa Melayu namanya kubung 😂. MasyaAllah teruja saya dapat melihat sendiri haiwan yang jarang ditemui ini.

Haiwan dengan rupa yang agak aneh (sebab tak biasa nampak) ini memiliki kekuatan kuku mencengkam untuk melekap atau bergayut di dahan atau batang pokok. Seperkara lagi, walaupun namanya ‘flying lemur’ tetapi kubung bukanlah haiwan yang boleh terbang seperti burung. Pergerakannya seperti meluncur.

Pada mulanya, kami cuma nampak seekor kubung sahaja. Tetapi setelah beberapa ketika memerhati, eh…ada anak kubung menyorok di bawah badan emaknya yang melekap di batang pokok . Comel sungguh 😍

Taman Negara Bako Kuching Sarawak
Seterusnya kami dibawa masuk ke bahagian belakang sebuah bangunan, kedudukannya agak tersorok. Di situ kelihatan beberapa orang pengunjung warga asing dan seorang lelaki tempatan (mungkin tour guide) sedang berkumpul memerhati sesuatu di sebatang pokok.

Ada ular hijau! Ular kapak (pit viper) berwarna hijau terang ini sedang berehat di dahan pokok. Cantik sungguh rupa ular kapak ni, tapi jangan cuba usik ya sebab ia spesis ular berbisa. Katanya, ular kapak ini akan berada di tempat yang sama selama beberapa hari (sekitar 5 hari atau lebih).

Saya cuba ambil foto dari posisi bertentangan pula - menghadap kepala ular kapak, tapi langkah saya terhenti bila terpandang seekor babi besar berada di situ. Aihh…seram pulak! Walaupun tadi katanya babi jenis ni tak kacau orang, tetap juga saya rasa takut nak berada dekat.

Sedang kami berjalan ke tempat lain, saya ternampak pula mengkarung. Mengkarung berwarna hijau terang ini mencuri perhatian saya dengan matanya yang seakan bercelak hitam 😀

Taman Negara Bako Kuching Sarawak
Lelaki tadi bawa kami lihat seekor lagi kubung. Warnanya berbeza dengan warna kubung pertama yang kami lihat tadi. Kedudukannya juga berbeza, kubung ini bergayut di dahan pokok yang berada di atas laluan pejalan kaki. Kalaulah tak ada yang tunjuk, saya tak akan perasan kubung bergayut di atas. Itulah pentingnya ada tour guide, orang yang dah biasa dan kenal tempat ini saja akan perasan kehadiran haiwan liar di sini.

Menurut lelaki tersebut, situasi paling menarik apabila kubung melepaskan tangan depannya bagi membuang air hujan yang bertakung di badannya. Tentu kehairanan kita kalau tengah berjalan di sini, tiba-tiba ada curahan air dari atas pokok 😄

Setakat ini sahaja lelaki tadi membawa kami melihat haiwan liar di sekitar kawasan Park HQ. Katanya, kami bertuah kerana dapat melihat sendiri beberapa ekor kubung di sini kerana ia merupakan haiwan yang sukar dilihat.

Menurut lelaki tadi, dia bukanlah seorang tour guide tetapi bekerja di sini dan gembira dapat menunjukkan haiwan liar yang terdapat di sekitar kawasan kepada para pengunjung. Alhamdulillah dapat jumpa orang baik. Rasa seronok dan lebih dialu-alukan kedatangan kami ke sini dengan layanan mesra begini. Semoga Allah membalas kebaikannya.

Taman Negara Bako Kuching Sarawak
Antara foto keindahan alam di sini. Tenang.


KAFE KERANGAS
Sebelum meneruskan eksplorasi hutan, jomlah kita isi perut dulu. Kami kembali ke bangunan tempat kami mendaftar tadi.

Taman Negara Bako Kuching Sarawak
Inilah ruang dalam kafe, terdapat juga ruang makan di bahagian luar. Kafe ini beroperasi setiap hari mulai pukul 7.30 pagi hingga 10.30 malam.

Makanan disediakan secara buffet untuk waktu makan berikut - sarapan (7.30 pagi - 11.30 pagi), tengah hari (11.30 pagi - 4 petang) dan malam (6.30 petang - 9 malam). Tanda harga dipamerkan pada setiap bekas makanan, bayar apa kita makan sahaja. Selain pilihan makanan buffet, pilihan ala carte juga tersedia. Tetapi harganya lebih mahal kerana disediakan mengikut permintaan dan kuantiti hidangan lebih banyak.

Taman Negara Bako Kuching Sarawak
Hidangan pertama kami di sini - nasi goreng seafood, salad sayuran dan segelas teh-o limau suam. Total RM29. Ya, memang terkejut masa pertama kali kami tengok buku menu. Tapi kami faham jugalah, jauh mereka nak bawa bahan mentah dan bukan setiap hari ada orang ramai datang makan di sini. Kenalah letak harga tinggi siap-siap untuk tampung kos. Air minuman botol besar dan air tin pula dijual dengan harga sama iaitu RM5 setiap satu.

Taman Negara Bako Kuching Sarawak
Kami makan di bahagian luar kafe dengan pemandangan ini - kumpulan babi berkeliaran bagai haiwan ternakan 😅

Eh, kenapa babi ni berbeza dengan babi hutan yang biasanya ganas dan berlari laju? Rupa babi ini juga berbeza dengan babi hutan yang pernah saya lihat. Ini kerana ia spesis babi yang berbeza, ia dikenali sebagai babi berjanggut (bearded pig). Nama lainnya - babi janggut, babi bodoh, babi jakut. Spesis babi berjanggut tidak agresif. Baru saya tahu kewujudan babi begini 😄



Video pendek berdurasi 0:37 minit memaparkan haiwan-haiwan liar di sekitar kawasan Park HQ.


…catatan bersambung…






.