Monday, 15 July 2024

Burung Botak Siput (Asian Openbill Stork)

Ketika berkereta di sekitar Perlis, saya suka memerhatikan pemandangan di kanan dan kiri jalan. Keindahan jajaran bukit batu kapur, deretan petak-petak sawah dan burung-burung yang berkumpul di kawasan sawah padi.

Akhir-akhir ini saya perasan kehadiran sejenis burung kaki panjang dengan badan berwarna putih hitam di kawasan sawah dan di tepi jalan raya. Bukan burung bangau yang biasa dilihat. Saya tak dapat memerhati dengan jelas sebab berada dalam kenderaan yang bergerak.

Tapi semalam semasa di Arau, saya berpeluang memerhati dan memotret foto burung ini dengan jelas. Kebetulan burung ini berada di tepi simpang jalan yang ada lampu trafik. Sedang elok pulak lampu merah, saya turunkan cermin tingkap dan segera merakam foto burung ini.

Burung Botak Siput (Asian Openbill Stork)
Suasana bising di tepi jalan dan banyak kenderaan, burung ini tak merasa terganggu bila saya memerhatikannya. Biasanya memang susah tau kita nak merakam foto burung besar, cepat je terbang bila menyedari kehadiran manusia.

Burung Botak Siput (Asian Openbill Stork)
Hasil foto zoom 30x. Sila klik foto untuk paparan lebih jelas.


Jom kita berkenalan dengan burung besar berkaki panjang ini…

Nama Inggeris : Asian Openbill / Asian Openbill Stork
Nama saintifik : Anastomus oscitans
Nama Melayu : Botak Siput / Botak Upeh / Botak Asia / Upih Siput Asia

  • Spesis burung hijrah yang berasal dari benua Asia Selatan seperti Bangladesh, Sri Lanka dan India.
  • Rupa seperti burung bangau tetapi saiznya lebih besar dengan berat purata antara tiga hingga lapan kilogram.
  • Badan berwarna putih atau kelabu pucat dengan sebahagian kepak berwarna hitam.
  • Habitatnya di kawasan lembab berpaya.
  • Ia menjadikan siput, ular kecil, katak dan serangga sebagai makanannya.
  • Kali pertama burung ini dikesan di Semenanjung Malaysia pada tahun 2008 di Chuping, Perlis.
  • Selain di negeri Perlis, kehadiran burung Botak Siput turut direkodkan di negeri Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Melaka dan Johor.
  • Dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Perlindungan Hidupan Liar 2010 [Akta 716].
Sumber rujukan : wildlife.gov.my dan bharian.com.my.


Alhamdulillah, seronok dapat mengenali sejenis lagi spesis burung yang ada di sini. Kenali hidupan liar supaya kita lebih menghargai alam ciptaan Tuhan 💙







25 comments:

  1. dari jauh tgk mesti ingatt bangau kan
    sb kakinya panjang

    ReplyDelete
  2. Tq sharing PU 👍
    PH tak kenal sangat species burung, ingatkan rupa gini bangau juga 😅
    Betul, semakin kita kenal alam, semakin kita hargai ciptaan Yang Maha Esa dan kehidupan kita sendiri.

    ReplyDelete
    Replies
    1. You're welcome PH 😊

      Saya memang panggil bangau, ingat kot sama. Lepas dapat tengok jelas barulah buat carian nama sebenar. Oh..bukan bangau rupanya 😅

      Delete
  3. Mungkin burung ni juga boleh didapati di Wetland Putrajaya. Cantik gambar close up burung ni.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kalau boleh sampai negeri selatan, Putrajaya pun mungkin ada jugak tu kan..

      Delete
  4. adakah burung ini sedang sakit... sebab biasa kalau ldy lalu pun walaupun dalam jarak yg sgt jauh pd penglihatan manusia ia lari..

    seronoknye dapat menikmati kehidupan di Perlis.. memang sebuah negeri kayangan.. sangat indah dengan pemandangan dan kesegaran udaranya...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Saya rasa burung ni normal, sebab dah selalu nampak burung ni ada di tepi-tepi jalan. Kenderaan lalu dia tak kisah pun.

      Tapi kalau kita manusia datang dekat, barulah dia lari.

      Delete
  5. sekali pandang macam bangau kan, kadang-kadang bila kak ana fikir kan, jauh sungguh pengembaraan depa kan, Allah Maha Besar ciptaanNya kagum sangat..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Betul la kak Ana, tak terbayang hebatnya kuasa Allah...burung besar gini boleh terbang berhijrah dari tempat yang jauh.

      Delete
  6. Gambar nampak cantik, jelas walaupun dh zoom .

    ReplyDelete
    Replies
    1. Alhamdulillah tangan tak goyang, subjek (burung) pun tak bergerak, bolehlah dapat hasil gambar yang jelas.

      Delete
  7. Cantik burung ni, memang jarang2 sangat jumpa seumpamanya.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Itulah...rupa-rupanya ada musim tertentu je.

      Delete
  8. Ada juga di Melaka ya tapi seingat saya belum berjumpa lagi.

    ReplyDelete
    Replies
    1. NA kena perhatikan di kawasan sawah padi atau kawasan berpaya di Melaka.

      Delete
  9. bestla kamera akak dpt zoom jauh dan memang ingatkan bangau je jenis kaki panjang rupanya banyak burung lain lagi ya... tq utk infonya kak

    ReplyDelete
    Replies
    1. Alhamdulillah Samsung ni bagus boleh zoom jauh.

      Samalah kita, semua yang kaki panjang akak panggil bangau 😅. Sama-sama Dana 😊

      Delete
  10. kawan kawan dia yg lain x de ke kat situ?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ni introvert kot, takde kawan 😄

      Tapi sepanjang akak perati spesis burung ni, memang biasanya seekor gini atau dalam kumpulan kecik. Tak macam bangau yang biasanya dalam kumpulan besar.

      Delete
  11. Nambah lagi ilmu baru ttg hewan yg dilindungi . Saya pun akan mengira itu bangau, tp memang kakinya tak sepanjang bangau biasa yaa

    ReplyDelete
    Replies
    1. Akak tengok macam lebih kurang je panjang kakinya, cuma kaki bangau nampak lebih kurus...sesuai menampung badan yang bersaiz lebih kecil berbanding Asian Openbill.

      Delete
  12. Dekat area rumah ako ni ada sejenis burung mcm ni juga selalu bertengggek atas tiang elektrik.. tak tau la apa jenis nya tu.. Tak sempat nak snap gambar sebab kawasan yang susah nak cari parking .. Mula ingat kan burung burung bbiasa je tiap petang akan bertenggek kat situ dah macam homestay dia plak hahaha...

    ReplyDelete
  13. Dah jadi bird watching dah di sini..byk burung2 yg susah nak jumpa :D

    ReplyDelete
  14. seronok! banyak species burung dapat dilhat di Perlis...cari2 matanya..kecil rupanya...sian dia, sesat kot..sorang2 je..

    ReplyDelete

*****
Komen kalian, bicara antara kita 😊

Saya juga boleh dihubungi menerusi e-mel | halifa02@gmail.com
*****