Friday 21 June 2024

RJ Cafe Satok, Kuching

RJ Cafe Satok menjadi lokasi kunjungan kami yang terakhir pada hari pertama di Kuching, Sarawak. Selepas penat berjalan-jalan menikmati keindahan malam di Tebingan Sungai Sarawak, jomlah kita cari tempat bersantai sambil menikmati hidangan ringkas.

RJ Cafe Satok kami temui secara tidak sengaja. Mulanya kami nak ke Kopi O Corner, tapi ternampak RJ Cafe (di lokasi berhampiran) yang kelihatan lebih menarik untuk kami cuba.

RJ Cafe Satok, Kuching
Ruang dalam kafe yang selesa. Dekorasi gabungan moden dan klasik yang sedap mata memandang.

RJ Cafe Satok, Kuching
Mesin taip lama dan mesin jahit lama menghiasi sudut kafe. Mesin taip besar begini, seingatnya suatu ketika dahulu biasa saya lihat di pejabat sekolah rendah saya. Mesin jahit berkaki pula masih lagi digunakan di rumah mentua saya, manakala di rumah mak saya ia bertukar fungsi sebagai meja meletak barang.

RJ Cafe Satok, Kuching
Minuman teh tarik dan teh 3-layer pilihan kami. Servis pantas, tak perlu lama menunggu minuman yang dipesan.

Pilihan Encik Suami - classic kaya & butter. Dah makan sebahagian, tinggal sebahagian ini saja yang sempat berfoto 😄. Nampak ringkas je roti begini kan? Tapi rasanya sedap dengan tekstur roti bakar yang garing.

RJ Cafe Satok, Kuching
Roti canai sarang burung pilihan saya. Sedap garing bahagian tepi roti canai ni. Cuma masa menunggu untuk saya dapat menikmati roti canai ini agak lama, iaitu hampir 30 minit. Sementara menunggu tu, bertambah segelas lagi minuman 😄

Beberapa hari kemudian (sebelum kembali ke Semenanjung Malaysia), kami datang ke sini lagi. Hasrat hati nak mencuba makanan lain pula, tapi tak ada rezeki kerana kafe tidak beroperasi (saya pergi berpandukan waktu operasi yang tertera di Google Maps).

Kalau kalian berkunjung ke Kuching bolehlah mencuba sendiri hidangan di kafe milik Muslim ini. Terdapat beberapa cawangan RJ Cafe di Kuching, cawangan yang saya pergi ini terletak di Jalan Nagor. Saya tak sertakan info waktu operasi sebab saya tak menemukan info yang tepat.


*************************************************

RJ CAFE SATOK
2, Jalan Nagor,
93400 Kuching,
Sarawak.







Thursday 20 June 2024

Ikan Puyu dan Pucuk Harumanis

IKAN PUYU
Sekarang ni di rumah kami sudah membela ikan puyu dalam poly tank (tong hitam). Masa mula-mula masukkan ikan puyu, banyak jugak yang dah mati. Encik Suami sauk dan buang. Tak pastilah yang tinggal dalam tong ni berapa ekor jumlahnya. Tapi nampak banyak jugaklah.

Jumaat, 7 Jun 2024




PUCUK HARUMANIS
Selepas tuaian buah harumanis pada penghujung bulan Mei lalu, dah tak banyak buah yang masih ada di pokok. Buah yang ada semuanya pada kedudukan tinggi, memang tak rajinlah nak menuai dengan kerengga yang banyak di pokok.

Jadinya pada 6 Jun lalu, kerja-kerja memangkas pokok harumanis dilakukan oleh orang yang tahu dan biasa menjaga pokok harumanis. Pokok yang rendang memudahkan kami nak membungkus buah dan menuai hasil pada musim buah seterusnya.

Tak begitu lama selepas dipangkas iaitu kira-kira 10 hari, saya perasan pokok sudah mengeluarkan pucuk (daun muda). Rasa seronok pulak walau sekadar keluar pucuk, nampaklah pokok tu sihat. Alhamdulillah.

20 Jun 2024









Tuesday 18 June 2024

Catatan Aidiladha 1445H / 2024M

Jika tahun lepas, saya dan Encik Suami merasai pengalaman baru dengan menyambut Hari Raya Aidiladha di negara jiran iaitu di Bangkok, Thailand. Tahun ini pula kami meraikan Aidiladha buat kali pertama di negeri Perlis. 


SOLAT SUNAT HARI RAYA AIDILADHA
Uniknya di negeri ini, solat Aidiladha digalakkan untuk dilaksanakan di tanah lapang. Ia bersesuaian dengan sunnah Rasulullah SAW iaitu mengerjakan solat hari raya di kawasan lapang.

Hari Jumaat lepas, Encik Suami balik dari masjid (untuk solat Jumaat) membawa pesanan dari pengurusan masjid berkenaan solat Aidiladha iaitu solat bermula pukul 7.45 pagi di dataran masjid dan perlu bawa sejadah sendiri. Sekiranya solat tak dapat dilakukan di dataran, maka solat dalam masjid akan bermula pada pukul 8 pagi.

Isnin, 17 Jun 2024 / 10 Zulhijjah 1445
Kami tiba di Masjid al-Husna, Batu Bertangkup pada pukul 7.45 pagi. Inilah masjid yang paling hampir dengan kediaman kami, iaitu kurang 6 km dari rumah.

Memandangkan sejak malam tadi hujan lebat di kawasan kami dan cuaca mendung pada pagi tersebut, maka solat raya dilakukan dalam masjid. Nampaknya tak dapatlah saya merasa pengalaman solat raya di dataran masjid.

Solat Hari Raya Aidiladha bermula kira-kira pukul 8 pagi dan diikuti dengan khutbah raya yang bertajuk ‘Tiada Agama Tanpa Pengorbanan’. 30 minit kemudian semuanya selesai dan jemaah bersalam-salaman sebelum beredar meninggalkan masjid.

Sedikit perbezaan yang saya perasan, di sini tiada alunan selawat ketika kita bersalaman seperti pengalaman biasa saya sewaktu solat raya di Johor. Hasil carian saya menemukan penjelasan berkenaan hal ini, kalau nak tahu bolehlah KLIK DI SINI.

Syukur ke hadrat Allah, terdapat dua kegembiraan buat saya pada hari ini - iaitu berpeluang menunaikan solat Aidiladha di masjid dan rezeki bertambahnya usia saya. Lagi beberapa tahun masuk ke angka ‘5’ pula. Moga saya mampu menjalani hidup dalam redha Allah 💙


HIDANG RAYA YANG RINGKAS
Kami raya berdua saja, sama seperti pengalaman raya ketika pandemik dulu. Jadinya saya masak yang ringkas sajalah. Ketupat segera, daging kambing masak sate dan sambal kacang menjadi hidangan pagi raya kami.

Saya masak lebih sedikit, buat dua set hidangan seperti dalam foto di atas untuk diberi kepada jiran terdekat. Ketupat segera tu terpaksa saya beri dalam bentuk potongan sebab ketupat segera yang dimasak rupa kurang elok, gara-gara saya terlebih masukkan dalam pressure cooker. Daging kambing masak sate tu pulak jadi berminyak banyak walaupun proses memasaknya saya cuma guna sedikit saja minyak, mungkin itu minyak yang terhasil daripada lemak kambing. Dah elak cedok minyak tapi termasuk jugak, biar sajalah 😄


IKEA BATU KAWAN, PULAU PINANG
Memandangkan kami tak ada rancangan tertentu, kami ambil keputusan untuk ‘jalan-jalan raya’ ke IKEA. Ada satu barang yang kami nak return sebab tak jadi guna dan ada beberapa barang perlu dibeli. Kami bergerak menuju ke Pulau Pinang kira-kira pukul 11 pagi dalam suasana mendung dan hujan turun di beberapa tempat.

Di Plaza Tol Jitra, tak banyak kenderaan. Mungkin masing-masing sedang menyambut raya bersama keluarga di kampung.

Di IKEA, ramai juga yang sama seperti kami - ‘jalan-jalan raya’ di sini 😁. Masing-masing berbaju raya sekeluarga. Kami pula dah bertukar pakaian biasa saja.

Sedang berlangsung sale di IKEA dan ada tambahan diskaun 10% untuk ahli.

Saya beli empat jenis pokok, semuanya dengan harga diskaun. Paling murah RM4.05 dan paling mahal RM8. Pokok pandan pun saya beli jugak, mudah nak memasak bila ada pokok di rumah.


Ini sajalah kisah hari raya saya pada tahun ini. Walaupun ringkas tetap saya catat di blog sebagai kenangan hidup.







Sunday 16 June 2024

View Point Gunung Medan, Kangar

[Catatan Hari Sabtu, 8 Jun 2024]

Ketika ini mungkin ramai yang sedang sibuk di dapur bagi menyiapkan hidangan raya. Saya pulak tak begitu sibuk memasak sebab kami suami isteri tak pulang ke kampung halaman di Johor. InsyaAllah kami akan menyambut Hari Raya Aidiladha di Perlis buat kali pertama.

Berbalik kepada tajuk entri, hujung minggu lepas kami ke salah satu tempat menarik di Perlis iaitu View Point Gunung Medan yang terletak di Kangar. Walaupun namanya ‘Gunung Medan’, hakikatnya ia bukanlah tempat yang tinggi seperti gunung. Saya pun tak pasti berapa ketinggian sebenar tempat ini, Galaxy Watch saya merekodkan ketinggian 80 meter.

View Point Gunung Medan, Kangar
Laluan bertar menuju ke View Point Gunung Medan. Di sebelah kanan terdapat kawasan parkir yang agak luas dan juga kaunter (bagi sewaan glamping dan kenderaan shuttle). Berhampiran kawasan parkir juga terdapat kemudahan tandas.

Kita ada pilihan sama ada nak berjalan kaki atau menaiki kenderaan sendiri/shuttle untuk sampai ke atas. Kalau berjalan kaki macam kami ni agak penat jugaklah sebab laluan berbukit, tapi bagus sebagai aktiviti senaman. Kalau bawa kenderaan sendiri perlu ikut masa dibenarkan sahaja dan kalau nak naik kenderaan shuttle juga ada masa tertentu sahaja (sila rujuk foto terakhir).

View Point Gunung Medan, Kangar
Sampai bahagian atas, terdapat kawasan glamping di sebelah kanan.

View Point Gunung Medan, Kangar
Di sebelah kiri ada sebuah bangunan kaca dan juga deretan gerai jualan. Bangunan kaca tu merupakan sebuah kafe. Kami tak mencuba makanan/minuman di sini sebab tadi baru sahaja bersarapan sebelum datang ke sini.

View Point Gunung Medan, Kangar
Tamat laluan bertar, kita perlu mendaki anak tangga untuk menuju ke puncak. Sebelum ini saya tengok perkongsian orang, anak tangga ini berwarna-warni. Kali ini warna putih saja, mungkin ini cat asas sebelum dicat dengan warna baru.

View Point Gunung Medan, Kangar
Di sebelah kanan pendakian anak tangga, terdapat sebuah buaian untuk kita berfoto atau duduk bersantai menikmati pemandangan di bawah. Jangan risau, buaian ini tak boleh dihayun pun sebab dah ditambat dengan rantai besi.

View Point Gunung Medan, Kangar
Inilah menara tinjau di bahagian puncak yang menawarkan pemandangan 360°. Tentu cantik panorama di sini kalau kita datang sewaktu matahari terbit dan terbenam.

View Point Gunung Medan, Kangar
Eh, ada 360 Photo Booth! Saya tak pernah guna tapi tahulah kegunaan benda ni. Alang-alang dah ada stand, saya pinjam guna untuk kami foto berdua dengan berlatarkan pemandangan indah bukit-bukau dan hamparan sawah padi.

View Point Gunung Medan, Kangar
Pemandangan indah hamparan sawah padi. Rasa tenang dapat lihat pemandangan begini. Ketika ini di Perlis, orang sudah mula menanam padi. Alhamdulillah juga cuaca pagi ini cukup selesa - tak terlalu panas seperti selalunya. Sesuailah untuk kami bersantai di atas menara ni.

Walaupun menara tinjau ini menawarkan pemandangan dengan sudut 360°, tetapi pokok-pokok tinggi menghalang pemandangan. Bukanlah perlu tebang bersihkan semuanya ya, tapi cukuplah sekadar pengunjung dapat menyaksikan panorama sekeliling yang terbentang indah.

View Point Gunung Medan, Kangar
Perkara lain yang menarik perhatian saya - punching bag di bawah menara tinjau, bunga warna merah cantik di tepi laluan tar (carian mendapati namanya pokok Cratoxylum cochinchinense juga dikenali Derum Selunchor atau Kemutong) dan keunikan batang pokok di kawasan puncak.

View Point Gunung Medan, Kangar
Nak tahu info lanjut berkenaan sewaan glamping, kafe dan lain-lain, sila klik foto di atas untuk paparan lebih jelas.

Kalau kalian berkunjung ke Kangar dan nak menyaksikan pemandangan Kangar dari tempat tinggi, bolehlah datang ke View Point Gunung Medan. Jarak pendakian dari laluan tar hingga tiba di menara tinjau cuma kira-kira 500 meter. Tak jauh dan tak terlalu tinggi tapi tetap terasa penat ya 😄

Jalan masuk menuju ke tempat ini pula cuma sesuai untuk laluan sebuah kenderaan, jadinya kena berhati-hati bila berselisih dengan kenderaan lain.



Video berdurasi 0:57 minit.







Friday 14 June 2024

Doa Perlindungan Diri Daripada Segala Kejahatan Makhluk


Doa Perlindungan Diri Daripada Segala Kejahatan Makhluk

Doa perlindungan diri daripada segala kejahatan makhluk Allah - manusia, jin dan binatang. Doa ini juga merupakan antara himpunan doa yang terdapat dalam bacaan al-Ma’thurat. 


Kalau kita pergi ke tempat yang membuat kita rasa takut, bacalah doa di atas sebagai perlindungan diri. Begitulah mudah dan indahnya Islam, kita hanya perlu bermohon kepada Allah - Tuhan yang menciptakan segala makhluk.

Tapi kalau bukan kerana rasa takut pun, doa ini bagus jadi amalan kita sebagai perlindungan diri daripada segala kejahatan makhluk. Inilah antara usaha kita selain persediaan seperti memakai kasut dan membawa lampu suluh sewaktu berjalan di tempat gelap.

Doa yang perlu menjadi amalan harian saya memandangkan kediaman saya berada dekat dengan alam semula jadi. Setakat ini saja, dah dua kali saya jumpa lipan besar panjang di dalam bilik air 😨






.

Wednesday 12 June 2024

Bahagian 2 | Menikmati Keindahan Malam di Tebingan Sungai Sarawak, Kuching



⏵ TEBINGAN KUCHING (KUCHING WATERFRONT)

Tebingan Kuching atau lebih dikenali dengan nama Kuching Waterfront dengan laluan pejalan kaki sejauh 1 km di sepanjang tebing selatan Sungai Sarawak telah dirasmikan pada September 1993. Dengan hanya berjalan-jalan di laluan tersedia, kita dapat melihat pelbagai tarikan di sepanjang Kuching Waterfront.

Ketika kunjungan saya pada waktu malam, suasana di sini sangat meriah dengan pengunjung yang sedang menikmati suasana malam. Terdapat ramai penghibur jalanan di sepanjang laluan pejalan kaki. Ada yang beraksi dengan memakai kostum haiwan, ada penyanyi jalanan, ada juga yang bermain silap mata dan paling menarik menurut saya - seorang lelaki yang memainkan alat muzik tradisional Sarawak iaitu sape.

Di sini juga terdapat deretan gerai makanan, bolehlah kita menikmati hidangan sambil menatap keindahan Sungai Sarawak di waktu malam. Saya teringin nak makan aiskrim gula apong, tetapi terpaksa menahan diri dek risaukan batuk yang masih belum sembuh (saya perasan, batuk saya jadi lebih teruk selepas minum minuman sejuk).

Seterusnya, biarlah foto-foto di bawah meneruskan cerita jalan-jalan saya di sepanjang laluan pejalan kaki Kuching Waterfront :

TEBINGAN KUCHING (KUCHING WATERFRONT)
Pemandangan indah Jambatan Darul Hana yang merentangi sungai.

TEBINGAN KUCHING (KUCHING WATERFRONT)
Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak tersergam indah.

TEBINGAN KUCHING (KUCHING WATERFRONT)
Tiba di jeti untuk naik bot tradisional. Sarawak Traditional Boat Cruise - inilah bot yang saya rancang nak naik untuk aktiviti menyusuri Sungai Sarawak, tapi tak sempat pulak. Selain bot tradisional, kita ada pilihan untuk naik feri Sarawak River Cruise.

TEBINGAN KUCHING (KUCHING WATERFRONT)
I ❤️ KUCHING. Rasanya saya memang dah jatuh cinta dengan Kuching, sebuah tempat yang aman dan menawarkan pelbagai tarikan. Tak cukup dengan kunjungan selama 4 hari 3 malam 😁

TEBINGAN KUCHING (KUCHING WATERFRONT)
Di suatu sudut jalan raya berhampiran Kuching Waterfront, sesak dengan deretan kereta di bahu jalan. Kereta sewa kami parkir di hadapan kedai di seberang jalan ini.

Suasana meriah di dataran. Entah apa nama alat mainan yang di baling ke atas tu, cantik berterbangan di udara. Sedang saya leka memotret di sini, tiba-tiba kedengaran bunyi muzik kuat. Eh, pertunjukan air pancut berirama bermula! Sedang elok pula saya berada di kedudukan yang sesuai untuk menonton, bergegaslah saya menuju ke arah Bangunan DUN Sarawak di sana. Jom!


⏵ DARUL HANA MUSICAL FOUNTAIN 

Air pancut berirama atau dikenali sebagai Darul Hana Musical Fountain, merupakan antara tarikan yang terdapat di Kuching Waterfront. Air pancut berirama dengan latar belakang Bangunan DUN Sarawak ini telah dirasmikan pada Oktober 2018.

Sebenarnya sebelum ke Kuching, saya cuma tahu ada pertunjukan air pancut berirama di sini tetapi saya tak ambil tahu hari dan masa pertunjukan. Jadi bila masanya? Menurut info yang saya dapat, pertunjukan selama 15 minit ini diadakan pada setiap malam dan ia tertakluk kepada perubahan jika ada acara tertentu.
  • Isnin - Khamis | 8.30 malam dan 9.30 malam
  • Jumaat - Ahad | 8.30 malam, 9.30 malam dan 10.30 malam

DARUL HANA MUSICAL FOUNTAIN
Tepat pukul 8.30 malam, Darul Hana Musical Fountain bermula dengan persembahan tarian dan irama tradisional Sarawak. Cukup menarik dan memukau!

DARUL HANA MUSICAL FOUNTAIN
Tapi sayangnya cuma kira-kira 5 minit sahaja kita dapat menikmati irama tradisional, muzik kemudiannya bertukar rancak dan tidak lagi melambangkan identiti Sarawak apa lagi Malaysia (boleh saksikan sendiri dalam vidoe pendek di hujung entri). Sesuatu yang amat dikesali. Menurut saya, ia satu kerugian apabila kita sudah berbelanja besar untuk satu pertunjukan percuma begini, tetapi pengisiannya gagal menerapkan budaya tempatan bagi mempromosikan Sarawak.

Selesai persembahan, masing-masing beredar dari tebingan sungai. Baru saya perasan, di hadapan saya merupakan sekumpulan pelancong asing dengan berpakaian corak batik. Harapnya mereka tidak kecewa selepas menonton pertunjukan yang begitu gah tetapi kurang berjiwa tempatan.

Saya akui, Darul Hana Musical Fountain sememangnya sangat menarik dan cukup memukau pandangan. Tetapi lebih bagus kalau pertunjukan selama 15 minit tersebut memainkan irama tradisional sepenuhnya.


Video berdurasi 1:03 minit. Suara perbualan tu merupakan perbualan pengunjung lain berhampiran saya 😄.

Sebelum kembali ke hotel penginapan, kami sempat menikmati hidangan malam yang sedap di RJ Cafe. Catatan trip ke Kuching bersambung pada entri akan datang.






.

Monday 10 June 2024

Kawan Baru


Imbas kembali 20 Mac 2024 (ketika itu bulan puasa) - setelah hampir 4 bulan saya menetap di rumah Perlis, buat pertama kalinya seekor kucing muncul di laman rumah. Kucing yang nampak sangat pemalu atau entah penakut, duduk jauh di suatu sudut pokok pagar tanpa sebarang bunyi. Foto di atas hasil zoom-in, dapatlah saya merakam rupa si kucing.

Sekitar bulan Mei lalu, si kucing sudah mula berani mendekat - selalu ada di bawah kereta depan pintu rumah dan mengiau dengan nada perlahan. Tapi masih malu-malu bila saya beri makanan (buat pertama kali saya cari/beli makanan untuk kucing di kedai 😄). Bila saya menjauh barulah si kucing akan makan.

Balik dari trip ke Kuching pada 21 Mei 2024, si kucing sudah tidak malu-malu lagi. Mengiau dengan nada kuat dan sibuk mengekori langkah kaki saya.

Agaknya sebab tu wujud peribahasa ‘malu-malu kucing’ 😆. Begini rupanya, mula-mula je malu menjauh tak bersuara. Sekarang hmmm…

Saya berjalan, dia sibuk mencelah langkah kita. Saya sidai baju di ampaian, dia sibuk bermain di kaki. Beberapa kali juga saya terasa hujung gigi taringnya, eh main gigit-gigit kaki pulak! Saya duduk di gazebo atau bangku, dia melompat dan duduk merapat di sebelah saya.




Kucing jantan yang manja ini sebenarnya kepunyaan jiran, sebab itulah kelihatan elok sihat. Tapi nampaknya sekarang dah jadi kawan saya pulak, hampir setiap hari si kucing datang menghabiskan waktu siang di rumah saya dan beredar apabila hari menjelang gelap.

Saya catatkan kisah ‘kawan baru’ saya ini di blog kerana ini merupakan pengalaman pertama saya ada ‘hubungan baik’ dengan kucing. Barulah saya tahu, kucing mengiau bukan semata kerana nak makan tetapi mahu perhatian dan nak bermanja dengan manusia 😄






.

Thursday 6 June 2024

Bahagian 1 | Menikmati Keindahan Malam di Tebingan Sungai Sarawak, Kuching

[Catatan Trip Ke Kuching - Hari Pertama | Jumaat, 17 Mei 2024]

Sambungan catatan hari pertama kami berada di Kuching, Sarawak. Kalau ikut itinerari, pada petang hari pertama kami akan menaiki bot menyusuri Sungai Sarawak. Tapi kerana berlaku kelewatan penerbangan, juga tambahan masa di lapangan terbang bagi urusan laporan barang hilang dalam check-in baggage dan hal kerja Encik Suami yang perlu diselesaikan, maka terpaksalah saya melupakan hasrat tersebut.

Walaupun begitu, kami masih boleh menikmati suasana malam di tebingan Sungai Sarawak yang begitu meriah dan mempesona dengan pelbagai tarikan.

Kami keluar dari hotel penginapan kira-kira 6.30 petang. Kalau di Semenanjung Malaysia waktu begini masih siang, tetapi di Sarawak sudah pun hampir masuk waktu Maghrib. Kami menuju ke sebuah masjid yang juga merupakan salah satu tarikan di tebingan Sungai Sarawak.


⏵ MASJID INDIA BANDAR KUCHING @ MASJID TERAPUNG KUCHING

Masjid India Bandar Kuching atau dikenali sebagai Masjid Terapung Kuching yang bernilai RM21 juta ini telah dirasmikan pada Mac 2019. Mengapa namanya Masjid India? Ia berkaitan sejarah masjid tertua di Sarawak, yang dibina pada tahun 1834 oleh pedagang India Muslim.

Seni bina masjid ini cukup menarik. Oleh kerana kami tiba ketika orang ramai berkumpul bagi menunaikan solat Maghrib, maka saya tak merakam foto bahagian hadapan masjid dan bahagian dalam ruang solat.

Bangunan DUN (Dewan Undangan Negeri) Sarawak dan Jambatan Darul Hana
Pemandangan indah bangunan DUN (Dewan Undangan Negeri) Sarawak dan Jambatan Darul Hana yang saya rakam dari bahagian luar tempat wuduk dan tandas perempuan.

Gigih saya kembali ke ruangan ini selepas solat demi merakam foto di atas. Memanglah dari sudut mana pun kita masih boleh nampak dua mercu tanda ikonik ini, tetapi sudut yang berbeza akan memberi hasil fotografi yang berbeza.

Antara perkara lain yang menarik di dalam masjid ini - terdapat sebuah beduk (gendang besar) dan papan tanda dengan tulisan bahasa Tamil (ia bukanlah sesuatu yang pelik kerana ini Masjid India).

Masjid di sini juga mengamalkan bacaan Qunut Nazilah untuk rakyat Palestin yang dilakukan pada rakaat terakhir. Tentunya sama seperti masjid-masjid lain di seluruh Malaysia malah mungkin di seluruh dunia, semuanya tak putus berdoa buat Palestin 🇵🇸


⏵  JAMBATAN DARUL HANA

Dari masjid terapung, kami berjalan kaki menyusuri tebingan sungai menuju ke jambatan ikonik - Jambatan Darul Hana. Jambatan pejalan kaki yang dibina dengan kos RM35 juta ini telah dirasmikan pada November 2017. Waktu operasi jambatan ini bermula pada pukul 6 pagi hingga 12 tengah malam sahaja.

Jom kita nikmati keindahan malam dari atas Jambatan Darul Hana :

JAMBATAN DARUL HANA
Jambatan berbentuk ‘S’ sepanjang 335 meter yang merentangi Sungai Sarawak ini menghubungkan Kuching Utara dan Kuching Selatan.

JAMBATAN DARUL HANA
Malam yang indah dan meriah dengan kehadiran ramai pengunjung. Sesekali terasa bergoyang juga lantai jambatan apabila ada orang berjalan berhampiran kita.

JAMBATAN DARUL HANA
Masya Allah…pemandangan Sungai Sarawak yang mempesona 😍. Tersergam indah Masjid India @ Masjid Terapung Kuching dan tambah menarik dengan kehadiran feri Sarawak River Cruise yang sedang menyusuri sungai.

JAMBATAN DARUL HANA
Nun di seberang sungai - Pangkalan Sapi yang juga kelihatan meriah dengan pengunjung. Ada juga yang sedang duduk-duduk di lantai jeti. 

JAMBATAN DARUL HANA
Di penghujung jambatan, tersergam indah bangunan DUN Sarawak. Ramai yang berfoto di sini dengan berlatarkan bangunan gah ini. Seterusnya, kita ke Pangkalan Sapi yang terletak di sebelah kiri.


⏵  PANGKALAN SAPI

Meriah suasana di dataran Pangkalan Sapi walaupun tiada sebarang aktiviti khusus di situ. Saya turun ke jeti untuk menikmati suasana sungai Sarawak secara lebih dekat dan memotret keindahan di sini.

Dari jeti Pangkalan Sapi kita dapat menyaksikan keindahan masjid terapung dari sudut berbeza. Foto di atas, saya zoom-in kamera jadi nampak macam sangat dekat feri dan masjid.

PANGKALAN SAPI
Walaupun suasana sekitar meriah, tetapi berada di sudut jeti ini saya rasa lebih tenang. Mungkin kerana kedudukan saya yang begitu dekat dengan permukaan sungai. Ditambah pula dengan alunan azan Isyak yang sedang berkumandang, kedengaran bersahutan dari dua atau tiga buah masjid/surau berhampiran menjadikan suasana begitu menyenangkan.

Setelah puas menikmati suasana di sini, kami kembali menaiki Jambatan Darul Hana untuk berpatah balik ke seberang sungai. Kami nak menikmati suasana di sepanjang laluan pejalan kaki Kuching Waterfront pula.

InsyaAllah catatan bersambung pada bahagian 2.






.