Sunday, 17 August 2025

Menginap 2 Hari 1 Malam di Duta Riang Villa, Selandar, Melaka

Cerita hujung minggu bulan lalu | Sabtu - Ahad, 19 - 20 Julai 2025.

Saya dan Encik Suami dapat jemputan untuk menginap di Duta Riang Villa yang terletak di Selandar, Melaka. Selain kami, pemiliknya yang juga kenalan Encik Suami turut menjemput beberapa individu lain bersama keluarga mereka.
Pengenalan | Duta Riang Villa (DRV) merupakan sebuah resort percutian yang baru beroperasi. DRV menempatkan vila penginapan, dusun durian dengan keluasan lebih 40 ekar dan sebuah dewan acara. 
Kami bertolak ke Melaka pada hari Sabtu dari rumah NS. Dalam perjalanan, kami singgah melawat anak saudara perempuan yang baru mendaftar masuk Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan di Kuala Pilah. Selepas singgah sana sini, akhirnya kami sampai ke destinasi pelancongan agro ini kira-kira pukul 4.30 petang.

Kawasan parkir yang cukup luas. Dari sudut ini kita boleh nampak bumbung bangunan - dewan acara dan deretan vila.

Satu hal yang menarik - sebaik saja kami memasuki kawasan resort, terus tercium aroma durian. Kuat sungguh baunya. Maklumlah kita sedang berada dalam kawasan dusun durian dan sedang dalam musim durian (ketika kunjungan kami).

Tempat ini luas dengan bentuk muka bumi berbukit. Memang terasa penat jugalah kalau berjalan kaki di sini. Tapi jangan risau, pihak resort menyediakan kemudahan buggy bagi membawa pengunjung ke tempat makan atau ke vila penginapan.

Surau cantik yang terletak berhampiran kawasan parkir. Hasil foto zoom-out.

Dah ada dusun durian, mestilah ada tempat jualan durian. Lokasi tempat makan durian ini juga berhampiran dengan kawasan parkir.

Pilih, timbang dan bayar. Boleh terus makan durian di sini, tempatnya bersih dan cukup selesa.

Dari kawasan parkir, kita perlu turun ke bawah untuk mendaftar masuk penginapan. Begitu juga kalau nak ke tempat makan, dewan acara dan vila penginapan. Kalau tak larat nak berjalan, boleh naik buggy. Kami berdua jalan kaki jelah.

Bangunan di sebelah kanan ni tempat pendaftaran dan pejabat. Deretan pondok tu pula tempat makan. Bangunan dengan dinding kaca tu pula dewan acara yang memuatkan 500 orang tetamu. Memang menarik kalau dapat buat majlis perkahwinan di tempat begini.

Deretan pondok dan gazebo mengelilingi sebuah kolam. Tempat makan dibuka kepada semua pengunjung, walau tidak menginap di sini kita masih boleh datang untuk makan sambil menikmati suasana resort.

Selesai mendaftar masuk penginapan dan dapat kunci, kami masuk bilik bagi menunaikan solat jamak qasar. Kami dapat vila Kim Hong, lokasinya paling hadapan. Catatan berkenaan penginapan akan dibuat dalam entri lain. 

Kami tak berlama dalam bilik, selesai solat terus saja keluar bersiar-siar di sekitar resort. Selepas itu kami duduk bersantai di salah satu gazebo di tepi kolam. Seorang pelayan lelaki datang menghulurkan buku menu.

Klik foto untuk paparan lebih jelas.
Antara pilihan hidangan yang ditawarkan. Walaupun resort ini milik orang bukan Islam, tetapi bahagian masakan (restoran) diuruskan sepenuhnya oleh orang Islam. Bolehlah kita makan dengan yakin.

Kami masih rasa kenyang sebab tadi singgah makan sebelum tiba di resort. Jadinya Encik Suami cuma memesan minuman, saya pula makan aiskrim - Avocado Stick Gelato. Unik bentuknya seperti potongan buah avocado. Rasanya juga sedap!

Aiskrim keluaran syarikat pemilik resort ini juga memiliki logo halal Jakim. Harganya RM15. Menurut saya, harganya setanding dengan kualiti produk.

Selesai duduk bersantai sambil minum dan makan aiskrim di gazebo, saya kembali ke bilik. Encik Suami pula pergi makan durian dengan kawan-kawannya. Saya tak berminat nak makan durian, mungkin sebab cuaca panas terik jadi badan mudah rasa letih. Saya memilih untuk berehat di bilik saja.

Suasana pada waktu malam. Masa ni kami sedang menunggu makan malam disiapkan.

Binaan bangunan kayu dua tingkat di hujung kolam ini khas untuk acara tertentu. Semasa kami di sini, nampaknya ada syarikat yang sedang menganjurkan acara - mungkin Hari Keluarga. Siang tadi riuh rendah mereka beraktiviti di satu sudut resort, malam ini pula kelihatan masing-masing menggayakan baju tradisional menuju ke bangunan di hujung kolam. Suasana malam jadi hidup dengan bunyi riuh mereka.

Sekitar pukul 8.40 malam, saya selesai makan. Saya duduk makan di pondok dalam foto di atas bersama dua buah keluarga lain yang baru saya kenali. Encik Suami pula duduk makan di pondok lain bersama kawan-kawan lelaki.

Ini saja foto hidangan makan malam yang sempat saya rakam. Segan saya nak beria merakam foto bila bersama dengan orang-orang yang baru saja dikenali.

Selesai makan, saya berjalan-jalan sendirian menikmati suasana malam di resort yang terletak di tepi jalan besar laluan Selandar/Alor Gajah ini.

Dekorasi lampu berbentuk bumi menjadi penghias malam.

Puas berjalan dan memotret sana sini, saya kembali ke bilik penginapan. Encik Suami pula balik ke bilik ketika saya sudah pun tidur.

Esok paginya, ada aktiviti menarik buat kami semua - naik ATV melawat dusun durian. Wow…teruja sungguh saya! 







1 comment:

  1. Bestnya pengalaman Ujie ni. Menariknya resort di dalam dusun durian, nak nak lagi tengah musimnya. Sy jarang sekali menginap di kawasan Alor Gajah, pernah sekali aje menginap di A Famosa, kemudian AG cuma jadi tempat lalu-lalang dan ada sesekali singgah makan.

    ReplyDelete

*****
Komen kalian, bicara antara kita 😊

Saya juga boleh dihubungi menerusi e-mel | halifa02@gmail.com
*****