Catatan hari Ahad, 8 Jun 2025 bersamaan 11 Zulhijjah 1446.
Ibadah korban tahun ini saya dan Encik Suami lakukan bersama jiran-jiran. Ini merupakan kali pertama kami buat korban sejak berpindah ke sini.
Haiwan korban dibeli terus dari ladang ternakan dan proses penyembelihan dilakukan di rumah sembelihan. Haiwan korban yang dipilih - seekor lembu dengan berat sekitar 301 kg hingga 330 kg. Berat selepas penyembelihan - daging sekitar 100 kg dan tulang/organ dalaman sekitar 35 kg.
Kira-kira pukul 8.15 pagi jiran-jiran mula bergotong-royong mengerjakan daging korban.
Siap potong daging, timbang dan masukkan dalam bekas untuk diagihkan.
Kepala lembu sedang diproses - ambil isi/daging.
Sebahagian daging dan tulang dibuat masak sup. Pukul 2 petang - jamuan makan bihun sup Utara. Sedap sungguh dapat menikmati masakan daging segar. Kebetulan pula masa makan ni suasana mendung selepas hujan, memang sesuai hirup sup panas.
Alhamdulillah urusan ibadah korban berjalan dengan lancar. Semoga ibadah korban yang kami lakukan diterima Allah SWT.
“Maka kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata dan sembelihlah korban sebagai bersyukur.” - maksud surah al-Kauthar, ayat 2.



