Monday, 20 July 2026

Perginya Jojo Si Anak Bulu Penyeri Hidup 😢

Entah berapa kali saya cuba menulis tentang pemergian Jojo, tapi terlalu sukar. Setiap kali memandang foto-fotonya, saya jadi terlalu sedih. Hanya air mata yang mengalir.

Hari ini merupakan hari ke-11 Jojo pergi, saya kuatkan semangat untuk menulis walau dengan rasa sebak di dada dan air mata yang sering mengalir.

Imbas kembali…

20 Mac 2024, 8.32 pagi - foto pertama Jojo. Di awal kemunculannya, Jojo sering menyorok di celah pokok pagar sambil memerhatikan saya melakukan rutin pagi - menyidai pakaian dan menyapu di beranda. Saya cuba menghampirinya dan menyapa dengan bunyi “meow”. Makin jauhlah Jojo menyorok 😄. Foto di atas berjaya dirakam dari jarak jauh setelah saya zoom-in kamera ketika Jojo keluar dari persembunyian. 

Entri pertama saya tentang Jojo —> Kawan Baru

Kucing yang pada mulanya disangka milik jiran, rupa-rupanya tidak bertuan. Jadinya saya mula beri makan memandangkan Jojo selalu berada di beranda rumah kami. Bulan Jun 2024, Jojo mulai mesra dengan saya - baring di celah kaki dan mula gigit kaki.

Januari 2025 - kali pertama kami bawa Jojo ke klinik kerana demam. Selepas itu Jojo divaksin dan seterusnya buat pemandulan pada bulan April 2025.

Jun 2025 - Jojo sudah pun menguasai rumah kami 😀. Melompat di antara dua sofa, mencakar sambil bergerak dari hujung ke hujung sofa. Geram tapi lucu. Kata Encik Suami, “Takpe, sofa boleh beli lain”. Begitu sekali Jojo berjaya menawan hati Encik Suami yang pada mulanya tak berminat dengan kucing.

Ogos 2025 - Jojo ‘ber-selfie’ 😃. Galeri foto saya penuh dengan foto Jojo, ini antara foto yang saya suka.

***

Segalanya berubah pada tarikh 3 Jun 2026 😢. Jojo disahkan diabetes dan terus ditahan di wad selama 6 hari untuk rawatan dan pemantauan.

Sejak detik itu, Jojo keluar masuk wad dan sepanjang di rumah pula saya merawat dan memantau kesihatannya. Rutin harian saya - buat ujian darah dua kali sehari untuk check bacaan glucose, selepas itu suntik insulin dan beri ubatan tertentu mengikut jadual. InsyaAllah saya akan buat entri lain khusus untuk catatan berkenaan rawatan diabetes Jojo.

8 Julai 2026, 5.47 petang - sekitar 24 jam sebelum Jojo menghembuskan nafas terakhir, sempat saya membawanya ambil angin di luar rumah.

Petang tersebut saya dapati keadaan Jojo lemah berbanding hari sebelumnya, dia hanya berbaring. Saya bawa Jojo ke khemah di beranda rumah - tempat tidur/lepak yang pertama saya belikan untuknya pada bulan Oktober 2024.

Malamnya, saya berbincang dengan Encik Suami (yang ketika itu berada di KL) mengenai keadaan Jojo. Saya kasihan melihat Jojo berjuang untuk terus hidup - setiap hari diambil sampel darah, disuntik insulin, dipaksa telan beberapa jenis pil dan dipaksa menelan makanan. Badannya juga sangat kurus kerana menolak untuk makan. 

Jika sebelum ini kami berdoa memohon kesembuhan buat Jojo, kali ini kami sepakat menukar doa - Ya Allah, kau berikanlah takdir yang terbaik buat Jojo 🥹

9 Julai 2026, sekitar pukul 6 petang Jojo pergi meninggalkan kami 😭

Dua jam sebelum itu, Jojo menolak apabila saya suap makanan dan ubat. Mulutnya ditutup rapat, tak seperti biasa masih mahu menelan.

Sebelum pergi buat selama-lamanya, Jojo berbunyi dua kali seperti memanggil saya. Ketika saya menghampiri Jojo, dia masih berbaring dengan tenang. Tapi tak lama kemudian Jojo kelihatan sukar bernafas - tarik nafas dalam-dalam dan hembus. Sempat saya melihat jam tangan, ketika itu pukul 5.47 petang. Saya letakkan tangan di kepala dan badan Jojo. Sambil menangis saya berselawat dan zikir. Saya juga katakan padanya bahawa kami berdua sayangkan dia. Saya tahu Jojo sedang menghadapi detik akhir hayatnya. Tubuh Jojo terkejang sedikit dengan tangan dan kakinya bergerak-gerak. Selepas itu Jojo tak lagi bernafas, cecair mulai keluar dari mulutnya diikuti duburnya - jernih, tak berbau.

Encik Suami ketika itu sedang dalam perjalanan pulang dari KL ke Perlis, tak sanggup saya nak maklumkan bahawa anak bulu kesayangan kami telah tiada. Saya cuma minta Encik Suami jangan singgah mana-mana kecuali solat/makan dengan alasan Jojo mungkin tak dapat hidup lama. Sementara menunggu Encik Suami tiba pada pukul 10 malam, saya kuatkan hati untuk solat/makan walau dengan tubuh yang terasa lemah lembik dan air mata yang tak henti mengalir. 

Jojo pergi kerana komplikasi diabetes - organ dalaman gagal berfungsi. Perginya pada usia muda iaitu sekitar 4 tahun.

***

Pemergian Jojo memberi kesan mendalam buat kami. Jojo kucing yang manja, rajin ‘bercakap’ serta pandai menyuarakan keinginannya.

Tiada lagi Jojo yang mengekori saya menyiram pokok dan morning walk.
Tiada lagi Jojo yang menunggu di depan pintu bilik air.
Tiada lagi Jojo yang mengiau dan berada di atas badan kami ketika tidur malam.
Tiada lagi Jojo yang hampir setiap malam merenung Encik Suami, minta dipangku dan dibelai.
Tiada lagi Jojo yang rajin berbalas cakap dengan kami - dengan bunyi yang pelbagai. Lucu!
Tiada lagi Jojo yang suka memaksa, melompat pegang tangan kami jika kehendaknya tak dipedulikan.
Terlalu banyak jika nak disenaraikan.

Setiap sudut rumah ini ada kenangan bersama Jojo. Sehari selepas Jojo pergi, banyak barang-barangnya kami berikan kepada jiran kecuali beberapa barang kami simpan sebagai kenangan. Tak sanggup kami pandang barang yang selalu Jojo gunakan.

Sehingga detik ini, setiap hari air mata saya mengalir kerana rindukan Jojo. Pun begitu, saya rasa lega kerana Jojo tak lagi terseksa menanggung kesakitan dan rutin rawatan. Saya yakin Allah berikan takdir yang terbaik buat Jojo dan buat kami suami isteri.

Selamat jalan Jojo, kucing pertama yang hadir dalam hidup kami 🥹. Jojo bukan sekadar haiwan peliharaan tetapi dia sudah kami anggap seperti anak sendiri.

Terima kasih Allah kerana meminjamkan Jojo buat kami merasai kasih sayang tulus ikhlas dan menjadi penyeri hidup kami 🩵








42 comments:

  1. Sedihnya Jojo dah tak ada. Rehatlah Jojo. Tak boleh nak komen banyak sebab kita pun turut bersedih.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Jojo dah berehat, tak lagi tanggung sakit 😢

      Delete
  2. Sedihnya...faham perasaan nya bagaimana, walaupun Linda tak membela kucing..Allah bagi yang terbaik buat Jojo, tiada lagi kesakitan yang dirasainya...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Perit perasaannya, tapi itulah yang terbaik buat Jojo 🥹

      Delete
  3. Wak merasai kesedihan itu.
    Kucing wak si Otto pun baru aje hilang tak kembali. Oyen dan Bubu juga mati muda. Kita kena redha dengan takdir dan ketentuan-Nya.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Saya ada baca entri Otto, sebak rasa kenangkan nasib Otto di luar sana.

      Delete
  4. Sedihnya... 😢 Kesian Jojo, sakit diabetes.
    Kucing kakak saya sakit buah pinggang. Seminggu Tiger kena tiga kali dialisis. Baru juga pergi, dalam bulan lepas. Anak-anak bulu di tempat lebih baik, tak sakit lagi.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Allah…sedihnya rasa.
      Sekarang Jojo dan Tiger dah tak sakit lagi 😢

      Delete
  5. Allahuakbar..meleleh-leleh airmata saya kak,tak sanggup rasa nak baca,begitu la kita mak2 kucing ni,dah sebati hati dan hidup bersama mereka.bila kehilangan jadi depan mata ni Allah saja yang tahu perasaan kita kan..ambil masa juga nak pulihkan rasa rindu tu pada mereka..kuat ye kak hugs dari jauh
    nanti akak dah kuat cerita ye macam mana Jojo boleh kena diabetes

    ReplyDelete
    Replies
    1. Harini cukup dua minggu Jojo pergi, akak masih lagi sebak dan menangis bila terkenang dia. Cuma dah tak seteruk sebelum ni, sampai bengkak mata menangis. Reply komen Afzan ni pun sambil nangis 😢

      Terima kasih Afzan.
      Ya, insyaAllah nanti akan ada entri pengalaman pasal Jojo diabetes ni.

      Delete
  6. Sedihnya PU 😭😭😭
    Sy faham sangat perasaan PU. Kuatkan semangat. He's in better place now, dah hilang dah semua sakitnya. Tahniah & terima kasih sebab jaga Jojo sebaiknya. Mudah-mudahan Allah bagi seribu kebaikan utk PU dan suami.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih juga atas kata-kata PH 🥹

      Delete
  7. Allahuakbar. Sebagai org yg ada anak bulus jugak di rumah ni, saya turut bersedih bila baca penulisan Kak Ujie ni 😭 Semoga akak dan suami bersabar atas kehilangan Jojo ye. Salam takziah.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih Carneyz. InsyaAllah kami redha walau perit rasanya.

      Delete
  8. Allahu.... teringat kucing uyum kat rumah ni... adoii dpt kubygkan kalo uyum ditmpt korang, pasti sedih yg melampau.. semoga jojo bahagia di SANA....

    ReplyDelete
    Replies
    1. Moga kucing Uyum sihat panjang umurnya. Kesian dia kalau apa-apa jadi pada kucingnya tu.

      Delete
  9. Allahu..sedihnya, Jojo yg manja, peneman Ujie & suami...oo..kucing pun boleh kena diabetes...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kalau tak bela kucing, saya pun tak tahu bahawa penyakit manusia dan kucing sama je.

      Delete
  10. Aduh! berjurai air mata Mrs. A baca kisah Jojo.
    Hanya catlovers yang faham bahawa majikan itu ibarat ahli keluarga.
    Sabar ya UO.
    Jojo dah tak sakit lagi itu yang terbaik buatnya

    ReplyDelete
    Replies
    1. Bila kita anggap dia ahli keluarga, itu yang terasa perit sangat bila dia pergi 🥹
      Terima kasih Mrs A.

      Delete
  11. T_T

    Salam takziah... faham sangat rasanya bila kehilangan anak bulu yang dah lama bersama dan beri banyak kebahagiaan. Jojo pasti rasa sangat disayangi sepanjang hidupnya dengan keluarga. Semoga diberi ketabahan dan kekuatan, Sis...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih Syaz.
      Semoga begitulah yang Jojo rasa. Kami memang sayangkan dia.

      Delete
  12. Ya Allah tidak sangka Jojo yang lasak dan berdikari sudah pergi.
    Semoga Puan Ujie dan suami tabah menghadapi pemergian Jojo.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Saya sendiri tak percaya dengan apa yang jadi. Tapi takdirnya begitulah 😢
      Terima kasih Na.

      Delete
  13. Kucing pun boleh kena diabetes juga. Dah jaga lama memang terkesan la. Semoga tabah.

    ReplyDelete
  14. Kita tak sanggup baca.. kita baca laju², kita sedih. Hati kita rasa nak pecah!!

    ReplyDelete
  15. Kaaaak, menangis saya baca ttg kepergian Jojo 😭😭😭😭. Setiap kakak menulis ttg Jojo, saya selalu tunggu2 sebelumnya. Serasa Jojo juga dekat dengan saya. Muka Jojo pun lucuuu sangat, bikin gemas.

    Tahu sangat rasa kehilangan nya seperti apa. Sayapun pasti sangat sedih kalau anak2 bulu saya pergi 😭😭. Tp ini pasti yg terbaik untuk Jojo. Tidak merasakan sakit lagi ...

    Dan semoga pelan2 kak Ujie pun bisa kuat dan mengingat Jojo tanpa menangis lagi..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih Fanny 🥹
      Semoga detik itu tiba, akak akan mengingati Jojo sambil tersenyum mengenang telatahnya lucunya.

      Delete
  16. Tak nak baca sampai habis, tak sanggup sebab pernah melalui apa yang akak rasa. Kehilangan bila sakit, bg makan takmo, bg ubat takmo... mlm2 nangis sebab risau esok dia masih bernafas tak. Moga nanti akan ada pengganti jojo

    ReplyDelete
    Replies
    1. Iya Dana. Akak tak lena tidur sejak Jojo disahkan diabetes. Walaupun ketika dia di tahan di wad, tetap kita ni terjaga malam risau keadaan dia. Kalau dia di rumah, akak kerap bangun check keadaannya masih bernafas atau tidak. Syukurlah dia pergi depan mata akak, dapat temankan saat akhir hayatnya 🥹

      Delete
  17. Sabar ya Ujie. Kami pernah ada hamster, terasa sangat kehilangannya bila dah tiada.

    ReplyDelete
  18. menangis saya baca entry ni.. saya bab2 kucing ni tak bolehla.. mesti teringat kat 3 ekor anak sendiri. mesti jojo bahagia dapat hidup dgn akak dan dijaga dgn baik hingga ke akhir nafas..

    semoga kehilangan jojo ni tak buatkan akak serik utk adopt stray cats lagi. sebab masih banyak kucing diluar sana yg ingin disayangi <3

    ReplyDelete
    Replies
    1. Sebak rasa reply komen Mazni ni 🥹

      InsyaAllah suatu hari nanti akan adopt lagi, tapi bukan dalam masa terdekat. Sebelum ni memang berhasrat nak tambah seekor lagi, nak bagi adik untuk Jojo sebab nak jadikan dia fully indoor. Tapi tak sempat...

      Delete
  19. Turut berduka juga.
    Rupa²nya kucing pun penyakit diabetes juga.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Itulah...rupa-rupanya penyakit kucing sama je dengan manusia.

      Delete
  20. Turut bersedih...x sangka kucing ada penyakit diabetes juga ye Ujie...Sungguh, hanya pencinta kucing yang faham betapa peritnya rasa kehilangan bila anak bulu yang disayang pergi meninggalkan kita. Tapi sekurang-kurangnya Jojo dah tak sakit lagi dan sempat dirasai kasih sayang yang sepenuhnya daripada Ujie

    ReplyDelete
  21. KSarie tumpang sedih sama. Anak bulus banyak keletah peneman hidup memang akan dikenang sepanjang hayat

    ReplyDelete

*****
Komen kalian, bicara antara kita 😊

Saya juga boleh dihubungi menerusi e-mel | halifa02@gmail.com
*****