Friday, 31 October 2025

Tuaian Kangkung Pada Hari Ke-26

Rentetan entri Tanam Kangkung dari Biji Benih, pagi tadi saya dah pun menuai sebahagian hasil tanaman pokok kangkung selepas 26 hari semaian. Kalau ikut maklumat yang tertera pada peket biji benih, kangkung mencapai tahap matang (sesuai dituai) selepas 30 hari semaian.

Kangkung
Hasil tanaman pokok kangkung selepas 26 hari semaian. Jadi agak padat, ada pokok yang dah besar dan ada juga yang lambat membesar. Tak sekata. 

Sebelum Tuan Penasihat pergi kerja awal pagi tadi, sempat berpesan pada saya supaya tuai pokok kangkung yang dah besar. Turut dipesan supaya cabut terus sepokok, boleh longgarkan sedikit bekas tanaman dan beri laluan kepada pokok lain untuk membesar.

Ikut perancangan saya, tuaian seterusnya akan guna teknik potong batang pokok. Saya nak tengok sendiri macam mana hasil pokok kangkung yang telah dipotong. Boleh besar elok macam mula-mula tanam atau jadi lebih kecil?

Hasil Tuaian Kangkung Pada Hari Ke-26
Hasil tuaian. Tak banyak mana pun.

Kangkung Goreng Belacan
Tengah hari tadi, dapatlah saya menikmati kangkung goreng belacan hasil tanam sendiri 😊

Batang pokok kangkung ni lembut, jadinya tak banyak yang perlu saya buang. Alhamdulillah seronok rasanya dapat makan sayur segar - lepas tuai, terus bawa ke dapur untuk dimasak. Hasilnya mungkin tak seberapa tapi ia memberi rasa bahagia. Terima kasih Allah 💙







Wednesday, 29 October 2025

Jalan-jalan di Wuhua District, Kunming

CATATAN TRIP KE CHINA - WILAYAH YUNNAN & JIANGSU | 10 -14 APRIL 2025

Sambungan catatan terdahulu —> Asa Asia Arabic Restaurant, Kunming


Selesai menikmati hidangan di Asa Asia Arabic Restaurant, kami berjalan-jalan di kawasan sekitar. Pihak restoran berbaik hati membenarkan kami tinggalkan bagasi di tempat mereka.

Kami masuk ke sebuah kedai yang terletak tidak jauh dari restoran tadi - kedai menjual flower cake halal. Flower cake merupakan makanan khas wilayah Yunnan.
鲜花饼 (xiān huā bǐng)

As Yunnan's typical dessert, flower cake is a flaky pastry with edible Yunnan roses inside. There are various local bakery brands selling flower cakes, among which Jiahua Food is the most famous. Every April, local people stand in long queues for fresh flower cakes – a common scene across the province.

According to historical records, flower cakes were invented more than 300 years ago by a cake maker in the Qing Dynasty (1644-1911). They have gained wide reputation for their flowery flavor, agreeable sweetness and beneficial beauty effects. [Sumber info : visityunnanchina.com]
Turut dijual - bunga kering dan juga cendawan kering.

Flower Cake Halal Yunnan
Terdapat empat pilihan perisa flower cake yang dijual di sini. Perisa merujuk kepada rasa pastri, manakala isi atau inti pastri sama saja iaitu menggunakan kelopak bunga ros. Empat perisa tersebut - original, purple sweet potato, green tea dan buckwheat.

Dalam foto kecil - flower cake perisa buckwheat. Setelah merasa sendiri semua tiga perisa (kecuali green tea), perisa buckwheat paling kena dengan tekak saya. Pun begitu, nampaknya flower cake bukanlah pemanis mulut yang saya gemari. Boleh makan untuk merasa tapi tak boleh nak makan banyak.

Agak banyak juga kumpulan kami membeli flower cake di sini. Kami tinggalkan beg-beg kertas berisi flower cake di kedai ini supaya mudah berjalan-jalan. 

Kunming, Yunnan, China
Kami tak ada tujuan khusus, sekadar berjalan menyusuri lorong dan jalanan di sini sambil memerhati sekitar dan gerai jualan yang ada. Orang agak ramai, cuma dalam foto di atas nampak lengang sebab kebiasaan saya cuba memotret ketika kurang orang.

Semasa sedang berjalan di lorong ini, saya ternampak pelayan perempuan bertudung (yang baik hati di restoran tadi) di celahan pengunjung lain. Kami saling tersenyum lebar sambil melambaikan tangan. Terasa indah sungguh persaudaraan sesama Islam bila berada di tempat asing.

Kunming, Yunnan, China
Sana sini nampak ada mesin sewa power bank. 

Kunming, Yunnan, China
Kami masuk lorong, keluar lorong.

Kunming, Yunnan, China
Nampak menarik hiasan di lorong ini, mungkin salah satu tempat tarikan pelancongan sebab tertera waktu operasi.

Kunming, Yunnan, China
Seni bina bangunan di sini masih bercirikan tradisional.

Kunming, Yunnan, China
Kami masuk ke sebuah bangunan, entah bangunan apa. Cantik ruang tengah dalam bangunan dengan dekorasi payung warna-warni bercirikan tradisional Cina.

Kunming, Yunnan, China
Mural cantik dan ceria pada dinding ‘voltage room’.

Kunming, Yunnan, China
Lorong ini pula menempatkan deretan gerai menjual pelbagai jenis barangan kraf. Menarik suasana di sini.

Kunming, Yunnan, China
Tongren Street. Masa ni gerimis halus, kami redah je teruskan berjalan tanpa payung.

Kunming, Yunnan, China
Nampak pula deretan pokok dengan bunga kecil warna pink. Cantik! Berhenti sekejap membelek bunga.

Kunming, Yunnan, China
Pintu gerbang dengan seni bina tradisional Cina tersergam di sebuah dataran.

Kunming, Yunnan, China
Nampak kiosk jual makanan halal, singgah cuba makanan yang dijual. Beli satu mangkuk, kongsi berdua.

Makanan warna putih tu rasa dan tekstur sama macam tau fu fa yang biasa kita makan, di bawahnya pula mi halus berwarna putih. Ada sos dan kuah pekat, rasanya lebih kurang macam kuah pekat yong tau fu. Kira sedap jugalah, boleh makan habis.

Kunming, Yunnan, China
Kunming dikenali sebagai ‘City of Flowers’ kerana cuacanya yang sederhana dan sejuk sepanjang tahun. Jadi tak hairanlah di sana sini kelihatan bunga berkembang mekar. Cantik kan? 😍

*

Lebih kurang pukul 3.20 petang, kami bergerak menuju ke lapangan terbang Kunming. Rezeki saya cuma seketika saja berada di Kunming - tiba di sini pagi hari Jumaat dan terbang meninggalkan bumi Kunming pada lewat petang hari Sabtu. Insya Allah moga ada kesempatan saya kembali untuk trip santai pula.







Monday, 27 October 2025

Riadah Pagi di Jejak Sisiran 1 (Putrajaya City Trail)

Catatan hari Jumaat, 17 Oktober 2025.


Setelah beberapa kali menginap di The Everly Putrajaya Hotel, baru kali ini saya berkesempatan beriadah di taman rekreasi Tasik Putrajaya yang terletak berhampiran dengan hotel.

Saya sebenarnya tak bawa pakaian khas untuk aktiviti riadah, tapi kalau setakat nak morning walk tu boleh je pakai apa yang sesuai. Kasut pula tak menjadi masalah, saya memang pakai Skechers walking shoes ke mana-mana.

Jom kita morning walk!

Jejak Sisiran 1 (Putrajaya City Trail)
Keluar dari pintu 2 lobi hotel, kita ambil arah ke kiri menuju tempat parkir bas. Dari situ akan nampak anak tangga turun ke bawah menuju ke tasik. Kalau nak ke Alamanda pula, ikut laluan berbumbung arah ke kanan - sebelum tangga.

Peta Jejak Sisiran 1 (Putrajaya City Trail)
Peta laluan Jejak Sisiran 1. Sila klik foto untuk paparan lebih jelas.
Laluan sepanjang 6 km bermula dari Cruise Tasik Putrajaya sehingga kompleks beli-belah Alamanda ini dikenali sebagai Jejak Sisiran 1 atau Putrajaya City Trail.

Jejak Sisiran 1 (Putrajaya City Trail)
Laluan yang mendamaikan di bawah rimbunan pokok dan pemandangan luas tasik di sebelah kiri.

Jejak Sisiran 1 (Putrajaya City Trail)
Hampir pukul 9 pagi, cahaya matahari menghasilkan pantulan imej pada permukaan tasik.

Jejak Sisiran 1 (Putrajaya City Trail)
Bahagia sungguh dapat jalan-jalan menikmati suasana pagi di sini. Tenang dan bersih. Mungkin sebab hari bekerja, tak ramai pengunjung datang beriadah. Hanya sesekali saya berselisih dengan pengunjung lain yang rata-rata bersendirian seperti saya. Selain itu, hanya kelihatan para pekerja mungkin warga asing sedang melakukan kerja-kerja pembersihan dan penyelenggaraan taman.

Jejak Sisiran 1 (Putrajaya City Trail)
Tiba di kawasan santuari burung Wetland Upper Bisa - habitat spesies burung air.

Jejak Sisiran 1 (Putrajaya City Trail)
Terdapat sebuah pulau kecil di tengah tasik yang menjadi habitat spesies burung air.

Wetland Upper Bisa Putrajaya
Hasil foto zoom-in. Kelihatan pelbagai jenis burung dengan kaki dan leher panjang menjadi penghuni pulau kecil ini. Menarik!

Jejak Sisiran 1 (Putrajaya City Trail)
Di sepanjang perjalanan kita akan jumpa papan tanda maklumat seperti ini. Sambil menikmati suasana, kita juga dapat menambah pengetahuan.

Jejak Sisiran 1 (Putrajaya City Trail)
Tak perlu risau kalau tiba-tiba rasa nak ke tandas, terdapat tiga buah tandas disediakan di laluan Jejak Sisiran 1 ini. Masa lalu di salah sebuah tandas, saya nampak pekerja sedang membersihkan tandas.

Jejak Sisiran 1 (Putrajaya City Trail)
Berlaku hal kecemasan? Boleh tekan butang kecemasan (panic button) pada tiang merah ni. Fungsinya bagi membolehkan orang awam berhubung terus dengan Putrajaya Command Centre untuk mendapatkan bantuan.

Jejak Sisiran 1 (Putrajaya City Trail)
Antara tumbuhan yang menarik perhatian saya. Macam biasa nampak pokok dan buahnya di kawasan berhampiran pantai - pokok pandan laut. Tak pasti ini jenis pokok yang sama atau tidak.

Jejak Sisiran 1 (Putrajaya City Trail)
Saya nampak taburan bunga berwarna oren kuning di tanah, juga dengar bunyi dengungan serangga di atas. Ini pun menarik juga, belum pernah nampak.

Jejak Sisiran 1 (Putrajaya City Trail)
Rasa lebih sejuk nyaman ketika saya melalui tempat ini.

Jejak Sisiran 1 (Putrajaya City Trail)
Terasa sudah lama saya berjalan hingga tiba di kawasan Jambatan Seri Bakti. Saya berpatah balik di sini setelah berjalan sejauh hampir 2 km dalam tempoh masa hampir 30 minit.

Masa dalam perjalanan berpatah balik ke hotel, barulah saya terasa penat dan tekak haus. Ingat kot nak jalan sikit je, tak sangka pula suasana di sepanjang laluan Jejak Sisiran 1 ni sangat menarik - membuatkan saya terus melangkah.

Riadah Pagi di Jejak Sisiran 1 (Putrajaya City Trail)
Rekod aktiviti saya. Alhamdulillah dapat berjalan hampir 4 km berbanding morning walk di kawasan rumah yang biasanya saya buat lebih kurang 1 km sahaja.

Kalau ada kesempatan di lain masa, saya pasti nak mengulang riadah di laluan ini. Seronok tempatnya luas, cantik, selesa dan rasa selamat walau jalan sendirian. Cuma lain kali kena ingat - bawa bekalan minuman.







Saturday, 25 October 2025

Asa Asia Arabic Restaurant, Kunming

CATATAN TRIP KE CHINA - WILAYAH YUNNAN & JIANGSU | 10 - 15 APRIL 2025

Sambungan catatan terdahulu —> Kembali ke Kunming dengan Tren CRH D8104


Penerbangan kami ke Nanjing dijadualkan berlepas pada lewat petang, masih ada masa beberapa jam untuk kami berjalan-jalan di Kunming. Dari stesen kereta api Kunming kami menaiki teksi menuju ke sebuah restoran makanan halal yang terletak di Wuhua District.

Asa Asia Arabic Restaurant, Kunming
Asa Asia Arabic Restaurant - lokasi makan tengah hari kami.

Asa Asia Arabic Restaurant, Kunming
Ruang dalam restoran.

Para pelayan di sini cekap dan mesra melayan kumpulan kami. Seorang pelayan perempuan muda bertudung (gaya tudung sarung) menghampiri saya dengan senyuman mesra dan memberi salam (hanya saya seorang saja perempuan Muslim dalam kumpulan kami). Gembira rasanya menerima ucapan salam di negara asing. Dia cuba berbual dengan saya - cing cong cing cong. Saya hanya tersenyum, kawan kami berbangsa Cina yang membalas perbualan. Kami ditanya datang dari negara mana dan beberapa pertanyaan lain.

Asa Asia Arabic Restaurant, Kunming
Antara dekorasi menarik dan ceria di restoran ini. Banyak sudut menarik tapi saya segan nak memotret.

Asa Asia Arabic Restaurant, Kunming
Pinggan dan gelas dengan sentuhan warna keemasan.

Paling saya senang hati bila nampak ada set sudu dan garpu. Hari sebelumnya, saya makan guna garpu plastik pakai buang yang dibawa sendiri sebab restoran makanan tempatan tiada garpu. Iya, bukan setakat tak menyediakan garpu malah (apabila diminta) memang tiada dalam simpanan mereka sebab budaya Cina makan guna chopstick. Sudunya pula, jenis yang biasa kita guna untuk makan sup.

Silap saya sendiri (selaku orang yang tak pandai guna chopstick) - dah tahu nak ke negara China tapi tak bersedia dengan membawa set sudu garpu sendiri, pada hal ini bukan pengalaman pertama ke China 😅. Sewaktu entri ini ditulis, saya dah pun membeli Tupperware portable cutlery set sebagai persediaan kembara akan datang.

Berbalik kepada cerita di restoran, pilihan makanan saya serah saja kepada Encik Suami dan kawan-kawan. Kami pesan beberapa jenis hidangan dan berkongsi makan, jadinya dapatlah merasa pelbagai jenis makanan.

Asa Asia Arabic Restaurant, Kunming
Sejenis manisan, rupa macam Pani Puri tapi yang ini isinya berbeza. Rasanya sedap.

Asa Asia Arabic Restaurant, Kunming
Masakan pasta.

Asa Asia Arabic Restaurant, Kunming
Hidangan campuran pelbagai jenis buah, salad, kekacang dan ikan tuna. 

Asa Asia Arabic Restaurant, Kunming
Middle East Barbeque Platter.

Tak ikut berfoto - piza. Semua hidangan sedap sesuai dengan cita rasa saya.

Asa Asia Arabic Restaurant, Kunming
Set hidangan minuman kopi dan air ros (kalau tak silap pemahaman saya). Ada cara untuk menikmati kopi ini, sebab tu disediakan jam pasir. Saya pun dah lupa bagaimana caranya, lupa nak catat. Saya cuba minum seteguk kopi ini, rasanya sangat pahit!

Selesai menikmati hidangan, saya beredar untuk mencari tempat solat. Saya mendekati pelayan perempuan bertudung yang memberi salam pada saya awal tadi. Tak susah nak kenal kerana hanya dia seorang saja memakai tudung sarung bertutup penuh, yang lain tu pakai tudung jenis ikat belakang menampakkan leher dan telinga.

Dengan menggunakan aplikasi Google Translate, saya bertanya sama ada saya boleh tumpang solat di restoran ini. Pelayan perempuan yang baik hati ini membawa saya ke bahagian atas restoran.

Asa Asia Arabic Restaurant, Kunming
Sejadah dibentangkan di suatu sudut ruang separa tertutup. Terdapat sebuah meja besar dengan beberapa buah buku tulis di atasnya. Alhamdulillah begini pun dah cukup selesa untuk menunaikan kewajipan pada yang Esa.

Bukan setakat menyediakan ruang solat, pelayan perempuan tadi turut menawarkan untuk membantu saya berwuduk - saya dibawa ke singki berhampiran tandas dan dia sudah pun memegang sebuah bekas (bentuk seperti teko basuh tangan). Saya menolak dengan baik. Saya berwuduk di dalam tandas dengan menggunakan botol spray - lebih privasi dan tak gunakan banyak air.

Alhamdulillah perut kenyang dengan makanan yang sedap dan dapat pula menunaikan solat jamak di sini. Semoga Allah membalas budi baik pelayan perempuan tadi dengan kebaikan di dunia dan akhirat.







Thursday, 23 October 2025

Tanam Kangkung dari Biji Benih

Percubaan pertama saya menanam sayuran di rumah Perlis. Saya rasa ragu-ragu nak menanam pokok jenis sayuran sebab agak kerap juga saya tiada di rumah. Pokok jenis sayuran kalau tak disiram berhari-hari memang tipis peluang untuk hidup membesar. Tapi kali ini saya nekad mencuba dan sediakan solusi penyiraman pokok.

Beli biji benih di kedai Shopee - Baba Official Store. RM6.45 / peket.

Tarikh semai biji benih - 5 Oktober 2025.
Saya semai biji benih terus dalam bekas tanaman - saya gunakan kotak putih polistirena (polystyrene) . Medium tanaman - peat moss. Letak dua biji benih dalam satu lubang, tanam secara berbaris. Siap tanam terus spray air, kemudian saya tutup tanaman dengan plastik hitam (selama beberapa hari saja) supaya biji benih cepat bercambah. 

Sebenarnya, saya tak tahu pun cara menyemai benih kangkung. Proses menyemai biji benih dibantu oleh Encik Suami, saya ikut apa saja saranan Encik Suami. Tapi zaman sekarang kalau tak tahu boleh je rujuk carian internet.

Tanam Kangkung dari Biji Benih
8 Oktober 2025
Selepas tiga hari semaian, benih kangkung mula bercambah. Punyalah seronok, pada hal cuma bercambah sikit je tu 😀

Tanam Kangkung dari Biji Benih
10 Oktober 2025
Dah nampak rupa kangkung selepas lima hari semaian.

15 Oktober 2025 - saya mula menggunakan automatic watering system untuk penyiraman sebab nak tinggalkan rumah dalam tempoh enam hari. Selama tiada di rumah, kadang-kala timbul rasa risau kot alat tersebut tak berfungsi dengan baik.

Tanam Kangkung dari Biji Benih
21 Oktober 2025
 Alhamdulillah…anak pokok kangkung membesar dengan baik hasil siraman automatik.

Tanam Kangkung dari Biji Benih
Bahagia sungguh tengok hasil tanaman membesar. Terus rasa macam petani yang berjaya. Pada hal kau tanam kangkung je 🤣

Tanam Kangkung dari Biji Benih
Hari ini - 23 Oktober 2025
Selepas 18 hari semaian, beginilah saiz daun kangkung paling besar dan lebar. Tak tahulah ini saiz yang sesuai atau tidak, setakat ini saya tak letak baja. Mak tanya pagi tadi, baru saya terfikir pasal baja 😄

Semoga pokok kangkung saya terus membesar sehingga waktu tuaian, ada rezeki dapatlah saya masak sayur kangkung hasil tanam sendiri. 

Set automatic watering system saya beli di kedai Shopee - LavicaMY. Harganya sekitar RM35 satu set, saya beli ni ada empat point dropper (tempat keluar air). Tak begitu susah nak pasang, cuma perlu sedikit kesabaran untuk fahamkan bagaimana sistemnya berfungsi.