CATATAN TRIP KE CHINA - WILAYAH YUNNAN & JIANGSU | 10 - 15 APRIL 2025
Sambungan dari catatan terdahulu --> Ringkasan Perjalanan | Trip ke China - Wilayah Yunnan dan Jiangsu
▶ TERLEPAS PENERBANGAN SCOOT AIRLINES
Kami sepatutnya terbang ke Kunming, China dengan menaiki pesawat Scoot Airlines yang berlepas pada pukul 4.55 petang.
Tetapi pada hari tersebut Encik Suami ada urusan lain yang lebih penting, selesai urusan berkejarlah kami dari Perlis ke lapangan terbang di Pulau Pinang dengan jarak kira-kira 175 km. Sampai lapangan terbang dah pukul 4.40 petang, memang tak sempatlah. Maka terpisahlah kami berdua dari kumpulan kami seramai lima orang.
Segera kami mencari tiket baru untuk terbang pada hari yang sama. Alhamdulillah kami dapat tiket China Southern Airlines, waktu penerbangan tengah malam dan perlu transit di Guangzhou. Syukur juga sebelum ini kami pernah dua kali ke Guangzhou, jadinya kuranglah rasa risau berbanding transit di lapangan terbang yang belum pernah kami jejak.
Pulau Pinang (PEN) - transit Guangzhou (CAN) - Kunming (KMG)
▶ PENERBANGAN DARI PULAU PINANG KE GUANGZHOU
Ini merupakan pengalaman kali kedua saya menaiki pesawat China Southern Airlines. Catatan pengalaman terdahulu di entri INI. Sama seperti kali pertama dahulu, sekali lagi kami dapat tempat duduk nombor 49 - emergency exit row seats.
Tempat duduk kami 49A dan 49B - Encik Suami di tepi tingkap, saya di tengah dan seorang perempuan berbangsa Cina di kanan saya (aisle). Ruang kaki lebih luas - ini kelebihan bila kita duduk berhampiran emergency exit.
Awalnya saya sangka perempuan muda di sebelah saya ni warga China, rupa-rupanya orang Cina Malaysia 😀. Saya rasa gembira dan agak lega bila tahu ada orang Malaysia selain kami dalam pesawat yang nampaknya semua penumpang berwajah Cina.
Ada satu kisah, sepanjang penerbangan ada beberapa kali pramugari datang kepada saya dan berkomunikasi dalam bahasa Cina. Penumpang sebelah saya ni berkata kepada saya, “Dia orang ni tak nampak ke muka you bukan Chinese? Cakaplah English!”. Lebih kurang begitu katanya dengan nada kesal.
Saya sendiri pun hairan - muka Jawa dan bertudung bawal pun pramugari masih cing cong cing cong bercakap dengan saya 😄
Tak sempat nak request makanan halal, jadinya kami menolak untuk terima hidangan makanan. Perut tak begitu lapar, jadi rasa tak perlu ambil set hidangan hanya untuk makan buah.
Tapi kenalan baru di sebelah saya ni segera membelek yogurt yang baru diterima, ada tanda halal katanya. Setelah bertanya sama ada saya mahu atau tidak, segera dia maklumkan kepada pramugari yang dah berlalu pergi untuk beri saya dan suami - yogurt dan buah. Maka dapatlah kami set hidangan seperti dalam foto di atas. Roti tu kami tak makanlah sebab tak dapat nak pastikan status halal.
Kami berbual, katanya dia faham kenapa saya menolak hidangan makanan sebab tu dia cepat-cepat check tanda halal pada yogurt. Saya rasa tersentuh hati dengan kebaikannya. Betul-betul rasa bertuah sebagai rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama tapi saling faham dan hormat.
Yogurt jenama Sunglo buatan Malaysia.
▶ TRANSIT 3 JAM DI GUANGZHOU
Pesawat kami selamat mendarat di Guangzhou Baiyun International Airport pada pukul 4 pagi setelah terbang kira-kira 4 jam. Keluar dari pintu pesawat, perlu menuruni anak tangga setinggi dua tingkat. Sampai bawah, kami di bawa naik bas menuju ke terminal satu lagi.
Lalu health screening, pemeriksaan keselamatan dan urusan imigresen macam biasa, lepas tu kami ikut saja papan tanda ke Transfer Area. Semua proses berjalan lancar dan pantas.
Ramai penumpang sedang berehat di sini, ada juga yang bentang kain berbaring di lantai 😄. Dapat je kerusi kosong, Encik Suami duduk jaga bagasi kami dan saya pula terus meninjau sekitar - cari tempat sesuai untuk menunaikan solat Subuh.
Saya nampak Shower Room di suatu sudut. Saya rasa gembira sebab bolehlah kami membersihkan diri, tapi rupa-rupanya Shower Room tersebut tidak digunakan - semua unit bilik mandi dikunci.
Hikmahnya, dapatlah kami tumpang solat di suatu sudut di dalamnya memandangkan tiada tempat lain di kawasan ini yang sesuai untuk menunaikan solat. Tempatnya kering, bersih dan tiada sesiapa masuk. Alhamdulillah kami dapat solat secara bergilir apabila waktu Subuh masuk pada pukul 4.52 pagi (rujukan waktu solat di laman web china.prayertiming.net).
Pukul 6 pagi kami bergerak ke Gate B272 untuk penerbangan ke Kunming. Sangatlah jauh nak berjalan. Syukurlah ada travelator, bolehlah sesekali rehatkan kaki.
Inilah pakaian saya selama dua hari bermusafir. Kali terakhir mandi sebelum tengah hari Khamis sewaktu di rumah, seterusnya mandi selepas mendaftar masuk hotel di China pada waktu malam hari Jumaat. Lebih 24 jam tak mandi 🤣. Eh…tapi saya sempat lap badan dengan wet tissue. Syukurlah suhu di Kunming sejuk, jadinya tak berpeluh walau sentiasa bergerak ke sana sini. Badan rasa selesa je.
▶ PEMANDANGAN DARI UDARA MENUJU KE KUNMING YANG MENAKJUBKAN
Penerbangan dari Guangzhou ke Kunming dengan pesawat China Southern Airlines berlepas pada pukul 7.05 pagi. Dapat tempat duduk je memang terus nak terlelap mata. Mengantuk!
Pramugari maklumkan ada pisang, jadi kami ambil kotak makanan ini.
Sebelum naik pesawat tadi kami dah makan bekalan roti. Ni ada pisang, makan jugalah supaya lebih kenyang perut. Yogurt dan potongan kek tak makanlah walau nampak macam sedap.
Mata saya yang mengantuk jadi segar bila ternampak pemandangan pergunungan yang menakjubkan nun di bawah sana. Masya Allah!
Selepas itu tiba pula di kawasan yang dipenuhi dengan kincir angin (wind turbine). Entah berapa kali saya zoom-in lensa kamera hp untuk mendapatkan foto di atas.
Di kawasan ini pula nampaknya pembangunan sedang rancak berjalan.
Ketika pesawat semakin menghampiri lapangan terbang Kunming, berlaku air turbulence - pesawat bergoyang dan tersentak. Ianya bukan perkara luar biasa dalam penerbangan, tapi agak menakutkan bagi saya yang tak biasa menghadapi situasi begitu.
Alhamdulillah pesawat kami selamat mendarat di Kunming Changshui International Airport pada pukul 9.15 pagi. Suhu ketika ini 18℃.
Kami keluar melalui Domestic Arrival jadinya tiada sebarang pemeriksaan keselamatan dan urusan imigresen. Seorang kawan Encik Suami (yang telah tiba lebih awal) sudah pun menunggu. Kami berjalan kaki keluar dari bangunan lapangan terbang menuju ke tempat parkir teksi, ketika ini terasa angin sejuk berhembus. Menggigil jugalah saya 😄
Video pendek pemandangan dari udara laluan Guangzhou ke Kunming.
Makan pisang pun kenyang jugak. Boleh la buat alas perut.
ReplyDelete