Judul : USTAZAH BASIKAL - YAKIN KERANA DIA (SIRI-2)
Penulis : Ahmad Isa & Nora Adila
Penerbit : KMH Artventure
Tahun terbit : 2020
Jumlah muka surat : 1,018
Harga : RM99
Saya selesai membaca buku Ustazah Basikal Siri-1 pada bulan Februari tahun lalu, dan kini pada bulan Februari 2021 saya selesai membaca buku Ustazah Basikal Siri-2 pula. Biar pun hampir setahun menunggu untuk membaca sambungan kisah pasangan suami isteri ini, rasa keterujaan saya tak pernah padam.
Buku Ustazah Basikal Siri-2 ni lebih tebal berbanding buku Ustazah Basikal Siri-1. Dalam siri kali ini pembaca dibawa mengikuti kembara berbasikal merentasi China, Kyrgyzstan, Kazakhstan, Uzbekistan, Afghanistan, Iran dan UAE, sehinggalah tiba ke destinasi akhir iaitu Arab Saudi. Tapi di Arab Saudi mereka tidaklah berbasikal sebab tak boleh buat begitu. Oh ya, buku Siri-2 ini mereka tulis secara bersama. Hampir keseluruhan cerita oleh Ahmad Isa, manakala untuk cerita di Arab Saudi ditulis oleh ustazah Adilah (Nora Adila).
Setiap negara dengan pelbagai cerita tersendiri. Memang leka membacanya.
Ni antara cerita yang mendebarkan.
Buku Ustazah Basikal menggunakan kertas glossy, tulisan besar dan jelas. Siap ada gambar berwarna dan keterangan gambar, tu yang jadi lebih leka membelek gambar pulak. Pendek kata, saya puas hati dengan kualiti buku ni yang setanding dengan harganya.
Ok, di sini saya senaraikan 9 perkara/cerita yang menarik perhatian saya (daripada sekian banyak cerita menarik di dalam buku Ustazah Basikal ini) :
1. Mengetahui keadaan masyarakat Islam di Kyrgyzstan yang tidak mengamalkan al Quran. Mereka masih berada dalam era Post-Communism. Dijajah Rusia sejak tahun 1876, merdeka pada tahun 1991. Masyarakat Islam di sana masih bertatih mengamalkan ajaran Islam kembali. Contoh tidak mengamalkan Islam : selepas membaca doa makan, mereka boleh minum minuman keras. Pengajaran - jangan cepat menilai orang tanpa mengetahui kisah hidup mereka.
2. Sewaktu kayuhan Ahmad dan Adilah menuju ke sempadan Kazakhstan - Uzbekistan, mereka mengalami kesejukan melampau sehingga menggigil (pada masa tersebut musim salji). Di saat mereka hampir tak mampu nak teruskan kayuhan (sehinggakan Adilah turun dari basikal dan hanya mampu menolak basikal je), ketika itulah mereka dipertemukan dengan sekumpulan pekerja di jalanan yang menghulurkan bungkusan nasi, sup panas dan teh panas. AllahuAkbar. Pertolongan Allah datang melalui insan yang tak pernah mereka kenali.
3. Kisah penemuan makam Imam Bukhari di Uzbekistan adalah atas jasa presiden Indonesia - Sukarno.
4. Uzbekistan menyimpan banyak kesan sejarah - makam Imam Bukhari, makam Gur-e-Amir (Amir Timur atau Tamerlane), muzium Ulugh Beg, telaga Nabi Ayub AS, Citadel Ark, menara Kalyan. Ya, sesekali kita perlu ‘menoleh’ ke belakang untuk memahami apa yang berlaku pada hari ini.
5. Di Afghanistan, Ahmad & Adilah dijamu chai (teh) dan karayi (sejenis masakan berasaskan telur) oleh penduduk tempatan. Walaupun kelihatan hidupnya serba kekurangan - tinggal dalam bangunan yang sudah tidak gunakan, hanya beralaskan karpet (ia adalah keperluan untuk negara dengan cuaca sejuk) dan peralatan memasak yang minima, namun masih tetap mahu meraikan tetamu. Siap menolak pemberian wang. Pengajaran - kita tak perlu menjadi kaya untuk memberi dan membahagiakan orang lain.
6. Taliban yang kita tahu menerusi media massa, bukanlah Taliban sebenar. Penduduk Afghanistan menceritakan Taliban yang sebenar adalah kumpulan orang baik, tetapi penjenayah yang melakukan kekejaman itu mengaku sebagai Taliban. Lebih menarik, Ahmad & Adilah juga pernah bermalam di tempat kumpulan Taliban. Pengajaran - jangan cepat menerima dan menilai sesuatu hanya dengan mendengar dari sebelah pihak saja.
7. Tiada permusuhan mahu pun pembunuhan orang Sunni oleh orang Syiah di Iran. Sekali lagi, media massa membawa cerita yang tidak benar (mungkin ada agenda tertentu oleh pihak yang memburuk-burukkan Iran). Malah, Ahmad & Adilah dijemput makan oleh satu keluarga yang mana suaminya Syiah dan isterinya Sunni. Ini bukti kukuh Syiah dan Sunni di Iran hidup sejahtera, tiada penindasan terhadap orang Sunni. (Peringatan : Ini bukan satu promosi untuk Syiah, tetapi sekadar menyatakan kebenaran apa yang berlaku di Iran.)
8. Hebatnya kuasa naluri seorang ibu. Sewaktu di Iran, Ahmad mengalami kemalangan dan tak memberitahu ibunya (tak mahu ibu susah hati). Tetapi naluri ibu dapat mengesan perkara buruk terjadi kepada anaknya dan segera menghubungi Ahmad.
9. Terasa sebak sewaktu Adilah menceritakan detik tawaf pertamanya. Saya selaku orang yang belum pernah ke tanah suci, mampu membayangkan dan terasa seakan turut berada di sana melalui penceritaan yang terperinci oleh Adilah. Keinginan ke sana jadi melonjak tinggi. Semoga ada rezeki saya dan semua yang bercita-cita sama untuk segera mendapat jemputan Allah.
Suami, Isteri Hebat dan Sebuah Kembara Hebat
Alhamdulillah...selesai ‘pengembaraan’ saya bersama Ustazah Basikal. Saya cukup kagum dengan semangat Ahmad dan Adilah. Ahmad, seorang suami yang selalu meraikan isterinya (termasuklah perancangan berbasikal ke Mekah adalah kerana memenuhi impian Adilah nak menjejakkan kaki ke Mekah). Adilah, seorang isteri yang taat (mematuhi suaminya selaku ketua kembara) dan berjiwa kental. Adilah juga membuktikan kepada kita bahawa berpakaian patuh syariat tidak membataskan seorang perempuan untuk melakukan kayuhan.
Banyak teladan baik yang boleh kita ambil daripada mereka, antaranya amalan membaca surah Yasin dan membetulkan niat pada setiap pagi, juga meletakkan pergantungan sepenuhnya kepada kuasa Allah dengan cara mengingati Allah dan bermohon kepada-Nya.
Ustazah Basikal...bahan bacaan yang baik dan sesuai untuk seisi keluarga. Sebuah kisah kembara yang membangun jiwa. Kisah mereka juga boleh kita ikuti di YouTube : Ahmad Isa.
Bestnya! Siri 1 saya dah baca. Nanti nak cari siri 2 pulak. Tq for sharing.
ReplyDeleteBuku yang popular ni 😉
ReplyDeleteTebal buku.
ReplyDeletePeristiwa mereka pergi berbasikal ini tahun berapa? Macam sudah lama sebab ada president Sukarno. Rasa macam berminat untuk miliki.
Mereka pergi ni tahun 2016, balik 2017.
DeletePasal presiden Sukarno tu, takde kaitan dengan mereka pun. Cuma satu catatan sejarah bagaimana makam Imam Bukhari ditemui di Uzbek. Maaf, mungkin ayat yang saya tulis tu mengelirukan NA 😅
Ok apabila baca balik saya tersalah faham ingat secara terus pula President Sukarno tunjuk.
DeleteHarap jumpa buku ini nanti. Menarik travelogue naik basikal. Insya Allah.
Hehe..ok NA.
DeleteBuku ni jual online je, kalau NA berminat boleh terus beli kat link di bhg bawah entri ni ya :)
kakak beli buku ni, baru selak2 baca sikit2..volume 1 rasanya..
ReplyDeleteRalit membaca ye kak... dah lama dana tak baca buku tebal dan psl kisah benar ni
ReplyDeleteSaya tahu tentang pasangan suami isteri berbasikal ni thru rancangan al-hidayah dulu, di tv3. Tak tahu pula mereka ada keluarkan buku. Tertarik untuk baca. Banyak benda yang kita tak tahu, melainkan kita ada sendiri kat negara tu, kan.
ReplyDeletebuku berilimiah ni, mmg bgos utk di baca musim2 pkp ni
ReplyDeletemenarik buku ni kak ujie, bagus untuk dibaca :)
ReplyDeleteBuku tebal, banyak cerita tu. menarik di bahagi bahagikan cerita mengikut tempatnya.
ReplyDelete