Thursday, 28 August 2025

Black Thorn, Mini Zoo dan Asam Pedas Ayam



BLACK THORN
Selesai aktiviti naik ATV melawat dusun durian, barulah kami menikmati hidangan pagi. Bungkusan nasi lemak, tiga jenis kuih dan dua jenis minuman panas telah pun tersedia di atas dua buah meja panjang di tepi kolam.

Perut tengah lapar, rasa macam eh…cukup ke nasi lemak sebungkus ni? Tapi bila dah makan nasi lemak sebungkus dan kuih-muih, memang cukup kenyang.

Selesai makan, saya beredar menuju ke bilik penginapan. Manakala Encik Suami bersama kawan-kawannya ada urusan lain - melawat dusun durian yang terletak di luar kawasan resort. Baru je masuk bilik, Encik Suami minta saya kembali ke meja makan - ada hidangan durian.

Sebiji durian Black Thorn bersaiz besar. Saya cuma mampu makan dua ulas je, perut masih kenyang.


MINI ZOO
Lepas makan durian, saya ke Mini Zoo yang terletak di bahagian hadapan resort. Saya tidak bersendirian, tapi pergi bersama beberapa orang anak remaja (anak kawan Encik Suami).

Bila sampai, nampak pintu Mini Zoo ni bermangga. Selepas bertanya dengan staf resort, dapatlah kami masuk Mini Zoo ni melalui sebuah lagi pintu yang tidak berkunci.

Kami ke kandang kambing. Comel sungguh rupa dua ekor anak kambing ni.

Asyik bermain, saling berkejaran dan menanduk.

Comel dan jinak! Lama juga kami di sini, leka memerhati gelagat lucu anak-anak kambing.

Kami ke kandang yang menempatkan itik, angsa dan ayam.

Comel dan lucu rupa ayam ni - penuh bulu sampai nak tertutup mata dan kaki.

Terdapat beberapa buah kandang kosong, masih belum ada penghuni. Maklum saja tempat ini baru beberapa bulan beroperasi, masih belum banyak haiwan ditempatkan di sini.


ASAM PEDAS AYAM
Sebelum bergerak meninggalkan resort, kami dijamu dengan hidangan makan tengah hari pula.

Makan dalam suasana yang mendamaikan.

Antara hidangan yang menarik perhatian saya - asam pedas ayam. Saya biasa masak sendiri, tapi jarang jumpa lauk asam pedas ayam yang dijual. Mungkin saya yang tak jumpa sebab jarang jalan-jalan cari makan di negeri-negeri selatan. Asam pedas ayam ni setahu saya masakan orang Johor dan Melaka.

*

Entri ini mengakhiri catatan selama dua hari satu malam kami menginap di Duta Riang Villa, Selandar, Melaka. Suatu pengalaman yang menarik dan seronok! Terima kasih Allah atas rezeki kurniaan-Nya.

Semoga resort ini berjaya menjadi destinasi pelancongan agro yang terkenal!







Tuesday, 26 August 2025

Pengalaman Mengujakan Naik ATV Melawat Dusun Durian



Hari kedua di Duta Riang Villa - seawal pukul 7.30 pagi kami semua berkumpul bagi melakukan aktiviti lawatan ke dusun durian dengan menaiki ATV (All-Terrain Vehicle). Saya rasa teruja kerana ini merupakan pengalaman pertama saya menaiki ATV, juga rasa sedikit berdebar walaupun cuma menjadi penunggang di tempat duduk belakang.

Sebelum memulakan aktiviti, staf resort beri penerangan cara menunggang ATV.

Deretan ATV bergerak memasuki kawasan dusun durian.

Laluan dalam dusun durian ini berbukit. Sesekali ATV perlu dibawa melalui permukaan tidak rata yang sedikit mencabar. Ketika ini juga, cahaya matahari pagi mula menyimbah bumi melalui celahan deretan pokok durian. Pemandangan yang indah!

Beginilah rupa ATV yang kami naiki. Masa ni kami semua berhenti di suatu tempat dan berkumpul bagi mendengar penerangan berkenaan penanaman dan penjagaan pokok durian di sini.

Penerangan diberi oleh anak pemilik dusun - seorang lelaki muda yang begitu mahir menerangkan dan menjawab setiap pertanyaan.

Tali bergantungan di pokok durian. Sebelum ini saya pernah melihat dari jauh - pokok durian ada banyak tali begini. Kali ini saya dapat menyaksikan dengan lebih dekat serta mengetahui fungsi tali tersebut.

Tali rafia warna hijau digunakan bagi mengikat buah durian supaya tidak gugur jatuh ke tanah. Manakala tali jenis lebih kukuh warna oren - berfungsi mengikat dahan pokok supaya tidak patah apabila banyak buah durian di dahan tersebut. Tak mudah ya nak mendapatkan hasil buah durian berkualiti, banyak kerja perlu dilakukan. 

Terdapat dua unit sprinkler di setiap pokok durian bagi tujuan penyiraman air.

Dusun durian yang sangat luas dan dijaga rapi. Seronok tengok.

Kami dibawa ke kawasan dusun berhampiran pusat pengumpulan buah durian.

Buah durian bergantungan di dahan pokok. Banyaknya!

Begini cara buah durian diikat.

Tiba masa buah durian gugur, ia akan tergantung tak terus jatuh ke tanah.

Macam mana cara nak turunkan atau ambil buah durian yang dah gugur ni? Kita perhatikan ikatan tali rafia, tali yang mengikat durian ini akan jadi tegang sebab memegang beban. Dah jumpa talinya, kita buka ikatan tali rafia pada dahan pokok dan turunkan buah durian tadi. Boleh tonton rakaman video pendek di hujung entri ini.

Buah durian yang berjaya saya turunkan. Kalau nak dapatkan tekstur dan aroma buah durian yang sedap, buah durian sedia dimakan selepas kira-kira 3 jam ia gugur.

Bahagia sungguh kalau dusun durian ini kami yang punya 😊. Bila dah elok gini memanglah nampak seronok kan, tentunya banyak modal telah dihabiskan dan pelbagai cabaran telah dilalui oleh pemiliknya.

Akhir sekali, kami ke pusat pengumpulan buah durian. Buah akan diasingkan mengikut gred.

Buah akan dijual dengan harga berbeza dan di tempat berbeza bergantung kepada gred buah. Contohnya - durian varieti Black Thorn gred A dijual pada harga RM65/kg, manakala gred rendah (saiz buah kecil, buah kena sengat) dijual di tepi jalan dengan harga RM15/kg.

Masa untuk kembali ke resort.

Lawatan kami di dusun durian ini selesai dalam masa lebih kurang 1 jam. Alhamdulillah! Suatu pengalaman yang seronok dan banyak hal berkenaan durian yang kami pelajari.

Tak mudah ya nak menghasilkan buah yang berkualiti, rumit kerjanya dan tinggi kosnya. Bukan buah durian je, begitu juga dengan buah-buahan lain. Hargai usaha para pekebun dengan membayar harga yang selayaknya.

Oh ya, jika kalian ke Duta Riang Villa bolehlah ambil pakej naik ATV di dalam dusun durian ini dengan bayaran RM100 untuk satu ATV atau RM70 jika menginap di vila.

Kalau perlukan info lanjut sila berhubung dengan pihak resort. Kami berpeluang naik ATV dan melawat dusun durian atas jemputan pemiliknya, jadi pengalaman kami ini mungkin tak sama dengan apa yang ditawarkan dalam pakej.


Video berdurasi 27 saat.







Thursday, 21 August 2025

Duta Riang Villa - Vila dengan Konsep Tradisional Melayu dan Rustik



Semasa menginap di Duta Riang Villa (DRV), saya dan Encik Suami diberi penginapan di vila D198 Kim Hong - vila yang terletak paling hadapan.

Tetamu vila boleh bawa kenderaan masuk di kawasan vila dan parkir berhampiran vila sekiranya ada kekosongan ruang parkir. Disebabkan tak ada ruang parkir kosong, kenderaan kami cuma berhenti untuk turunkan beg pakaian di vila dan kemudian berpatah balik ke kawasan parkir utama.

Duta Riang Villa, Selandar, Melaka
Vila D198 Kim Hong. Reka bentuk vila dengan konsep tradisional Melayu dan rustik. Setiap vila diberi nama sempena varieti durian premium. Inilah antara keunikan yang ditawarkan di DRV.
Jom kenali durian D198 Kim Hong | Varieti durian klon yang berasal dari Johor, didaftarkan secara rasmi oleh Jabatan Pertanian pada tahun 2013 dengan kod rasmi D198. Dikenali sebagai durian Kim Hong atau Golden Phoenix. Buahnya berbentuk bulat dan sedikit lonjong. Berat buah di antara 1 kg - 2.2 kg sebiji. Rasa buahnya pahit manis seimbang. Saiz bijinya kecil hingga sederhana.
Kalau nak tengok rupa buah dan isi durian Kim Hong, boleh baca entri Durian Kim Hong D198 oleh sahabat blogger Wak - Warisan Petani yang berpengalaman menanam sendiri durian varieti premium ini. 

Duta Riang Villa, Selandar, Melaka
Laluan pejalan kaki menuju ke empat buah vila lain. Semuanya terdapat lima buah vila di sini.


VILA D198 KIM HONG
Vila penginapan kami - sebuah rumah besar dua tingkat dengan lima buah bilik tidur dan tiga bilik air. Sebaik melangkah masuk, saya terpegun melihat keindahan seni bina vila yang berkonsepkan tradisional Melayu dan rustik. Gabungan yang menghasilkan suasana santai, tenang dan dekat dengan alam.

Sebuah rak kasut dengan deretan susunan selipar untuk kegunaan dalam vila turut disediakan di bahagian hadapan vila. 

Duta Riang Villa, Selandar, Melaka
Foto aras bawah vila - terdapat dua buah bilik tidur, dua buah bilik air dan mini pantri.

Kami menginap di salah sebuah bilik di aras bawah (dalam foto - di sebelah kanan berhampiran mini pantri). Mungkin master bedroom kerana bilik kami lebih luas dan dilengkapi dengan bilik air di dalamnya.

Ruang tengah iaitu ruang santai vila berkonsep terbuka, tiada dinding. Tidak kelihatan dalam foto di atas - di sebelah kanan dan kiri terdapat dua buah meja besar untuk tetamu duduk berkumpul. Sambil duduk bersantai di ruang tengah, dapatlah kita menikmati suasana di resort ini.

Duta Riang Villa, Selandar, Melaka
Terdapat dua buah tangga untuk kita naik ke aras atas.

Duta Riang Villa, Selandar, Melaka
Sudut pandang dari aras atas, boleh nampak kolam renang yang terletak di hadapan empat buah vila lain. Terdapat tiga buah bilik tidur dan sebuah bilik air di bahagian atas. Ruang santai di atas lebih menarik dan berangin sebab berada pada kedudukan lebih tinggi.

Duta Riang Villa, Selandar, Melaka
Setiap sudut vila sangat cantik dan sesuai bagi mereka yang gemar berfoto.

Duta Riang Villa, Selandar, Melaka
Aneka jajan disediakan atas meja di ruang tengah.

Duta Riang Villa, Selandar, Melaka
Mini pantri - terdapat sinki, kelengkapan buat air panas dan peti sejuk mini. Kemudahan ini cuma terdapat di aras bawah. Kalau orang atas nak buat minuman panas, kenalah turun ke bawah ni.

Duta Riang Villa, Selandar, Melaka
Deretan minuman Coca Cola disediakan dalam peti sejuk mini.


BILIK PENGINAPAN KAMI YANG CUKUP SELESA

Duta Riang Villa, Selandar, Melaka
Masya Allah…cantik bilik yang kami dapat ni. Terdapat banyak sumber pencahayaan semula jadi membuatkan bilik ini terasa lebih luas dan kita tak rasa ‘terperangkap’ duduk dalam bilik.

Bilik ini juga dilengkapi dengan tempat gantung baju, meja untuk letak beg pakaian, meja serba guna dan sebuah cermin besar dengan lampu LED di sekelilingnya.

Duta Riang Villa, Selandar, Melaka
Tilam dan bantalnya empuk, selesa tidur. Ada pilihan alat pendingin hawa dan kipas. Juga terdapat penanda arah kiblat yang tepat (saya buat semakan arah kiblatnya). Sangat memudahkan orang Islam yang datang menginap di sini.

Pun begitu, rekaan siling kayu begini ada sedikit kekurangan - kita boleh dengar setiap kali orang di bilik atas berjalan dan berbual. Apa pun, ini cuma hal kecil pada saya kerana cuma satu malam sahaja menginap di sini.

Duta Riang Villa, Selandar, Melaka
Kelebihan menginap di bilik utama - ada bilik air dalam bilik penginapan kami. Kalau penghuni bilik tidur lain, mereka perlu berkongsi bilik air yang terletak di luar bilik.

Bilik airnya juga luas, selesa dan lengkap dengan segala kemudahan. Paip bidet terletak di sebelah kiri - agak kurang selesa digunakan sebab saya dominan tangan kanan.

Duta Riang Villa, Selandar, Melaka
Ruang mandi tak begitu luas tetapi memadai.

Secara keseluruhannya, saya rasa selesa sepanjang menginap di bilik ini. Berbanding dengan Encik Suami yang banyak menghabiskan masa berkumpul bersama kawan-kawannya, saya ada banyak masa bersantai di dalam bilik cantik ini.


 SUASANA MALAM YANG INDAH
Berbeza dengan waktu siang, suasana malam di sini lebih indah. Deretan vila dengan konsep tradisonal Melayu dan rustik kelihatan lebih menawan.

Duta Riang Villa, Selandar, Melaka
Vila penginapan kami di waktu malam.

Duta Riang Villa, Selandar, Melaka
Deretan empat buah vila lain.

Duta Riang Villa, Selandar, Melaka
Salah satunya dengan nama durian D101 Johor Mas. Jangan terkeliru ya, varieti D101 Johor Mas berbeza dengan varieti D168 yang dikenali sebagai durian IOI.

Duta Riang Villa, Selandar, Melaka
Kolam renang boleh digunakan hingga waktu malam.

Duta Riang Villa, Selandar, Melaka
Saya bergerak jauh sedikit bagi mendapatkan foto dari sudut ini - deretan empat buah vila.


Berapa kadar harga vila penginapan di sini? Harganya berbeza mengikut jumlah bilik yang tersedia dalam setiap vila. Penginapan kami di vila D198 Kim Hong dengan lima buah bilik tidur berharga RM2,600 untuk satu malam. Terkejut saya bila tahu harganya 😅

Harga penginapan sudah termasuk sarapan pagi dan dapat diskaun bagi aktiviti melawat dusun durian menaiki ATV - harga biasa RM100, jimat RM30 jika menginap di sini.

Kalau difikirkan, kadar harga tersebut bersesuaian dengan pengalaman menginap di vila yang sangat cantik dan selesa serta berada dalam kawasan dusun durian. Suatu pengalaman unik! Lokasi ini sangat sesuai bagi percutian istimewa bersama keluarga atau acara reunion bersama kawan-kawan.

Kalau kalian berminat, boleh hubungi pihak Duta Riang Villa di 019-470 8899 atau e-mel di info@dutariangvilla.com bagi mendapatkan maklumat lanjut.







Sunday, 17 August 2025

Menginap 2 Hari 1 Malam di Duta Riang Villa, Selandar, Melaka

Cerita hujung minggu bulan lalu | Sabtu - Ahad, 19 - 20 Julai 2025.

Saya dan Encik Suami dapat jemputan untuk menginap di Duta Riang Villa yang terletak di Selandar, Melaka. Selain kami, pemiliknya yang juga kenalan Encik Suami turut menjemput beberapa individu lain bersama keluarga mereka.
Pengenalan | Duta Riang Villa (DRV) merupakan sebuah resort percutian yang baru beroperasi. DRV menempatkan vila penginapan, dusun durian dengan keluasan lebih 40 ekar dan sebuah dewan acara. 
Kami bertolak ke Melaka pada hari Sabtu dari rumah NS. Dalam perjalanan, kami singgah melawat anak saudara perempuan yang baru mendaftar masuk Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan di Kuala Pilah. Selepas singgah sana sini, akhirnya kami sampai ke destinasi pelancongan agro ini kira-kira pukul 4.30 petang.

Kawasan parkir yang cukup luas. Dari sudut ini kita boleh nampak bumbung bangunan - dewan acara dan deretan vila.

Satu hal yang menarik - sebaik saja kami memasuki kawasan resort, terus tercium aroma durian. Kuat sungguh baunya. Maklumlah kita sedang berada dalam kawasan dusun durian dan sedang dalam musim durian (ketika kunjungan kami).

Tempat ini luas dengan bentuk muka bumi berbukit. Memang terasa penat jugalah kalau berjalan kaki di sini. Tapi jangan risau, pihak resort menyediakan kemudahan buggy bagi membawa pengunjung ke tempat makan atau ke vila penginapan.

Surau cantik yang terletak berhampiran kawasan parkir. Hasil foto zoom-out.

Dah ada dusun durian, mestilah ada tempat jualan durian. Lokasi tempat makan durian ini juga berhampiran dengan kawasan parkir.

Pilih, timbang dan bayar. Boleh terus makan durian di sini, tempatnya bersih dan cukup selesa.

Dari kawasan parkir, kita perlu turun ke bawah untuk mendaftar masuk penginapan. Begitu juga kalau nak ke tempat makan, dewan acara dan vila penginapan. Kalau tak larat nak berjalan, boleh naik buggy. Kami berdua jalan kaki jelah.

Bangunan di sebelah kanan ni tempat pendaftaran dan pejabat. Deretan pondok tu pula tempat makan. Bangunan dengan dinding kaca tu pula dewan acara yang memuatkan 500 orang tetamu. Memang menarik kalau dapat buat majlis perkahwinan di tempat begini.

Deretan pondok dan gazebo mengelilingi sebuah kolam. Tempat makan dibuka kepada semua pengunjung, walau tidak menginap di sini kita masih boleh datang untuk makan sambil menikmati suasana resort.

Selesai mendaftar masuk penginapan dan dapat kunci, kami masuk bilik bagi menunaikan solat jamak qasar. Kami dapat vila Kim Hong, lokasinya paling hadapan. Catatan berkenaan penginapan akan dibuat dalam entri lain. 

Kami tak berlama dalam bilik, selesai solat terus saja keluar bersiar-siar di sekitar resort. Selepas itu kami duduk bersantai di salah satu gazebo di tepi kolam. Seorang pelayan lelaki datang menghulurkan buku menu.

Klik foto untuk paparan lebih jelas.
Antara pilihan hidangan yang ditawarkan. Walaupun resort ini milik orang bukan Islam, tetapi bahagian masakan (restoran) diuruskan sepenuhnya oleh orang Islam. Bolehlah kita makan dengan yakin.

Kami masih rasa kenyang sebab tadi singgah makan sebelum tiba di resort. Jadinya Encik Suami cuma memesan minuman, saya pula makan aiskrim - Avocado Stick Gelato. Unik bentuknya seperti potongan buah avocado. Rasanya juga sedap!

Aiskrim keluaran syarikat pemilik resort ini juga memiliki logo halal Jakim. Harganya RM15. Menurut saya, harganya setanding dengan kualiti produk.

Selesai duduk bersantai sambil minum dan makan aiskrim di gazebo, saya kembali ke bilik. Encik Suami pula pergi makan durian dengan kawan-kawannya. Saya tak berminat nak makan durian, mungkin sebab cuaca panas terik jadi badan mudah rasa letih. Saya memilih untuk berehat di bilik saja.

Suasana pada waktu malam. Masa ni kami sedang menunggu makan malam disiapkan.

Binaan bangunan kayu dua tingkat di hujung kolam ini khas untuk acara tertentu. Semasa kami di sini, nampaknya ada syarikat yang sedang menganjurkan acara - mungkin Hari Keluarga. Siang tadi riuh rendah mereka beraktiviti di satu sudut resort, malam ini pula kelihatan masing-masing menggayakan baju tradisional menuju ke bangunan di hujung kolam. Suasana malam jadi hidup dengan bunyi riuh mereka.

Sekitar pukul 8.40 malam, saya selesai makan. Saya duduk makan di pondok dalam foto di atas bersama dua buah keluarga lain yang baru saya kenali. Encik Suami pula duduk makan di pondok lain bersama kawan-kawan lelaki.

Ini saja foto hidangan makan malam yang sempat saya rakam. Segan saya nak beria merakam foto bila bersama dengan orang-orang yang baru saja dikenali.

Selesai makan, saya berjalan-jalan sendirian menikmati suasana malam di resort yang terletak di tepi jalan besar laluan Selandar/Alor Gajah ini.

Dekorasi lampu berbentuk bumi menjadi penghias malam.

Puas berjalan dan memotret sana sini, saya kembali ke bilik penginapan. Encik Suami pula balik ke bilik ketika saya sudah pun tidur.

Esok paginya, ada aktiviti menarik buat kami semua - naik ATV melawat dusun durian. Wow…teruja sungguh saya!