CATATAN TRIP KE CHINA - WILAYAH YUNNAN & JIANGSU | 10 -14 APRIL 2025
Sambungan catatan terdahulu —> Jalan-jalan di Wuhua District, Kunming
▶ KUNMING CHANGSHUI AIRPORT
Kami tiba di Kunming Changshui Airport pada pukul 4 petang. Tiada pemeriksaan keselamatan di pintu masuk lapangan terbang. Ini jauh berbeza dengan pengalaman kami sewaktu memasuki bangunan Terminal 2, Guangzhou Baiyun Airport pada September 2024 - entrinya DI SINI.
Kunming Changshui Airport.
Penerbangan kami ke Nanjing menaiki pesawat China Eastern Airlines. Buat pertama kali, dapat tempat duduk Kelas Pertama. Ini juga merupakan pengalaman pertama saya menaiki pesawat China Eastern Airlines.
Kami menaiki airport tram untuk ke pintu pelepasan di Gate 314.
▶ TERBANG DARI KUNMING KE NANJING DENGAN CHINA EASTERN AIRLINES
Kelebihan pemegang tiket Kelas Pertama, dapatlah kami jadi orang terawal menaiki pesawat. Tak perlu beratur panjang bersama penumpang lain.
Begini rupa tempat duduk kami - dilengkapi dengan bantal kecil, selimut dan selipar. Sayang sekali, ini hanya penerbangan jarak dekat yang mengambil masa kira-kira 2 jam 15 minit - tak sempat nak tidur.
Saya duduk di tepi jendela pesawat, di barisan kedua. Selain kami berlima di ruangan ini, ada seorang penumpang lelaki yang lebih berusia duduk di hadapan saya.
Pesawat kami berlepas kira-kira pukul 6.10 petang.
Selamat tinggal Kunming!
Pramugari berpakaian warna hitam menghulurkan buku menu untuk kami buat pilihan minuman dan makanan.
Minuman kami - jus oren dan air kopi. Pilih makanan yang diyakini halal - salad dan buah.
Masya Allah…pemandangan yang menakjubkan hamparan awan dan bulan penuh.
Pemandangan udara ketika pesawat menghampiri Nanjing - ibu kota wilayah Jiangsu.
Alhamdulillah kira-kira pukul 8.25 malam pesawat kami selamat mendarat di Nanjing Lukou Airport. Satu lagi pengalaman baru buat saya apabila menjadi penumpang pertama keluar dari pesawat. Dapatlah saya menyaksikan proses bagaimana pramugari nak membuka pintu pesawat. Selalunya saya jadi antara orang terakhir keluar, tapi kali ini jadi penumpang hadapan kenalah keluar awal.
Sebaik kaki melangkah keluar dari bangunan lapangan terbang, udara terasa begitu sejuk dengan suhu 11℃. Kumpulan kami menaiki sebuah teksi MPV menuju ke hotel penginapan yang terletak di Liyang.
▶ MAKAN MALAM DI LANZHOU BEEF NOODLES, LIYANG
Perjalanan dari Nanjing ke Liyang Marriot Hotel mengambil masa kira-kira 50 minit. Selesai urusan daftar masuk dan letak bagasi di bilik, kami berkumpul kembali untuk makan malam di sebuah kedai makan halal berhampiran hotel.
Lokasi kedai makan tersebut terletak di deretan kedai seberang jalan. Boleh jalan kaki dari hotel. Tak susah nak melintas jalan di sini, tak banyak kenderaan lalu.
Bangunan Liyang Marriot Hotel, foto dirakam dari seberang jalan. Suasana malam di sini kelihatan indah dengan kehadiran bulan purnama menghiasi langit gelap.
Lanzhou Beef Noodles. Ada logo bulat berwarna hijau dengan lambang masjid dan aksara Cina 清真 qingzhen - terma yang digunakan untuk makanan halal.
Kedai makan ini diusahakan oleh sepasang suami isteri. Mereka berdua saja tanpa ada pembantu. Tambah kagum saya apabila mengetahui kedai ini dibuka dari awal pagi sehingga lewat malam. Suami uruskan kedai waktu siang dan isterinya uruskan waktu malam - semua kerja bermula ambil pesanan, memasak sehingga mengemas meja hanya seorang diri. Fuh!
Eh, macam mana saya tahu? Tentulah sebab kawan Cina kami yang berbual dengan pemilik kedai ini. Kebetulan malam ini mereka berdua ada di kedai - suami bantu isteri. Kedua-duanya nampak mesra berbual dengan kawan Cina. Seronok sungguh kan kalau tak ada halangan komunikasi, boleh berbual banyak hal.
Sedap mi tarik ni tau. Cuma, itulah…garpu plastik pakai buang yang dibawa dah terpatah. Jadinya Encik Suami seorang jelah yang dapat menikmati mi tarik dengan menggunakan chopsticks.
Minuman kami. Beli satu kongsi berdua.
Kami masuk kedai buah di sebelah kedai makan. Seronok tengok pelbagai jenis buah tersusun rapi.
Kira-kira pukul 11 malam, kami balik ke bilik penginapan. Alhamdulillah dapat berehat dengan selesa setelah seharian ke sana ke sini. Sebelum tidur, saya check suhu semasa dan waktu solat di sini. Kena set alarm supaya tak terlepas waktu Subuh.














