Monday, 23 February 2026

Beli Apa di Bazar Ramadan?

Petang semalam saya dan Encik Suami ke bandar Kangar bagi membeli keperluan dapur. Sengaja pergi lepas waktu Asar, jadi bolehlah kami singgah di bazar Ramadan. Kami tinggal di penempatan yang agak terpencil, tak ada bazar Ramadan berhampiran (sekurang-kurangnya sekitar 10 km radius). Orang berjualan di tepi jalan pun hampir tak kelihatan, tempat tak ramai penduduk jadi tak sesuai berjualan.

Ini merupakan kali kedua kami ke bazar Ramadan sejak berhijrah ke Perlis. Tahun pertama berpuasa di sini kami pernah ke bazar Ramadan di Jalan Kok Mak, Padang Besar. Tahun kedua (tahun lepas) langsung tak jejak kaki ke bazar Ramadan di sini.

Terdapat banyak juga pilihan bazar di sekitar bandar Kangar, lokasi paling terkenal - bazar Ramadan di Gua Sami (Gua Cenderawasih). Entah bila nak pergi, bila terkenal tu tentunya keadaan sesak dan susah cari parkir. Rasa malas pulak 😅

Kami ke bazar Ramadan yang terletak di Jalan Penjara, bandar Kangar. Jaraknya kira-kira 25 km dari rumah. Kalau saja-saja mungkin tak sampai, tapi sebab sekali jalan dengan nak membeli keperluan dapur jadi oklah kan.

Gerai jualan tak banyak sangat, jalan sekejap dah habis pusing semua gerai jualan. Pengunjung tak begitu ramai, tak sesak nak membeli. Saya suka begini, santai je.

Kami beli apa?

Encik Suami awal lagi dah sebut nak beli murtabak. Jumpa gerai pertama jual murtabak, terus beli satu keping. Harganya RM6.

Saya nampak penjual sedang menggoreng popia, terus rasa teringin. Beli empat, harganya 1 biji/RM1.

Encik Suami beli kuih akok. Harganya 4 biji/RM6. Eh, macam mahal jugak ya sebiji RM1.50. Ke memang biasa harga gitu? Saya jarang membeli kuih jadi tak tahu harga semasa.

Beli sebungkus Laksa Kuala Perlis. Saya kurang gemar laksa begini mungkin sebab ia bukan makanan biasa orang selatan. Saya cuba biasakan diri makan laksa sejak berhijrah ke utara kerana ia menu yang sering dihidangkan di kenduri atau acara makan-makan. Tak sedap juga kan kalau selalu menolak pelawaan orang untuk makan laksa. Kena biasakan diri, nanti lama-lama sukalah.

Nampak penjual sedang menggoreng jemput-jemput jagung (loghat tempatan sebut ‘coq jagung’). Teringin pulak, saya beli RM3 dapat 15 biji.

Jumpa satu lagi gerai jual murtabak - Murtabak Mie Warung Ali Kopi. Pelanggan beratur menunggu giliran. Warung Ali Kopi merupakan antara kedai makan terkenal di Kangar, tapi saya belum pernah makan situ.

Tengok ramai beratur, Encik Suami teringin nak mencuba. Tadi awal-awal dah beli sekeping murtabak, tambah lagi dua keping beli di sini 😀. Boleh buat stok makanan frozen. Harganya RM6/sekeping.

Murtabak di sini cuma diberi pencicah cuka bawang, tak ada pilihan kuah kari atau dhal. Sebelum ini saya dah cuba makan murtabak dengan cuka bawang, tapi nampaknya masih belum boleh diterima tekak. Begitulah kepelbagaian makanan di negeri berbeza, kita raikan dan cuba belajar menikmatinya.







1 comment:

  1. Dana pun suka ke bazar yang tak sesak kak... tapi lama betul tak ke bazar kalau ada pun suruh Edy pergi itu pun beli sejenis 2 je. Dana faham sebagai orang dari selatan yang berhijrah jadi banyak makanan tak kene dengan tekak kita. Laksa penang sampai sekarang dana tak berapa suka, kadang-kadang je makan bila teringin. Lepas tu kat johor cicah murtabak ada kari kan tapi kat belah-belah sini takde kak, kt kl pun memang cicah dia cuka tu tapi dana suka lak makan murtabak dengan bawang cuka tu hehehe.

    ReplyDelete

*****
Komen kalian, bicara antara kita 😊

Saya juga boleh dihubungi menerusi e-mel | halifa02@gmail.com
*****