Wednesday, 28 May 2025

Catatan Hari Keempat di Tokyo

🌸 CATATAN TRIP KE JEPUN | HARI KEEMPAT - SABTU, 7 DISEMBER 2024 🌸


Sebenarnya, saya hampir tak tahu apa nak ditulis untuk catatan hari ke-4 kerana aktiviti kami terlalu santai 😄. Kami tak mengunjungi tempat-tempat tarikan pelancongan - cuma ke beberapa tempat membeli-belah, kedai makan dan masjid.

Secara ringkasnya, kami pergi ke tempat-tempat berikut :
  • Yodabashi Ueno
  • Yodabashi Akiba (pergi kali ke-2)
  • As-Salaam Masjid
  • Halal Ramen Ueno
  • Uniqlo Ginza (pergi kali ke-2)
  • Ameyoko Street (pergi kali ke-2)

Jomlah kita belek foto-foto yang ada berserta catatan :

Lokasi pertama kami hari ini - Yodabashi Ueno yang terletak kurang 200 meter dari hotel penginapan kami. Pusat membeli-belah setinggi 7 tingkat dan 1 tingkat di aras bawah tanah (basement) ini menawarkan pelbagai produk barangan elektrik, komputer dan lain-lain produk seperti jam dan kosmetik. Foto di atas memaparkan panduan barangan jualan di setiap tingkat.

Laluan bawah tanah di Ueno Station. Selama beberapa hari, inilah laluan kami untuk menaiki tren ke sana sini. 

Akihabara Station. Dari Yodabashi Ueno kami ke Yodabashi Akiba pula.

Saya dapati barangan yang ditawarkan di Yodabashi Akiba lebih menarik - lebih banyak pilihan. Tertarik pulak saya tengok pelbagai jenis seterika yang dipamerkan.

Kalau nak membeli, kena pastikan ianya dual voltage sebab standard voltan di Jepun 100 volt berbeza dengan Malaysia 240 volt. Sama juga dengan peralatan elektrik yang lain, kena pastikan ianya dual voltage supaya boleh digunakan di Malaysia.

Begitu juga jika kita bawa peralatan elektrik ke Jepun, contohnya kita bawa travel iron bukan jenis dual voltage, memang sampai ke sudah kita tunggu seterika tu tak panas macam biasa. Kita mungkin sangka seterika dah rosak, padahal voltan tak sesuai.

Yang ni pun menarik jugak. Saya beli satu - bekas bentuk bulat dan ada pemegang di kanan kiri. Saiz kecil sesuai untuk kegunaan memanaskan makanan menggunakan air fryer. Boleh terus angkat dan hidang di meja. Benda-benda ni mungkin ada dijual di Malaysia, tapi saya beli juga sebab jumpa di sini dan sebagai oleh-oleh dari Jepun. Setakat hari ini, ianya kerap digunakan. Pembelian yang berbaloi.

Belek-belek jam tangan, sesuai juga dijadikan oleh-oleh. Ada pelbagai pilihan dan harga. Tapi bukan semua buatan Jepun ya, kalau memang nak Made in Japan kenalah membelek satu persatu.

Lip cream DHC - pelembab bibir buatan Jepun. Saya tahu mengenai lip cream ni dari grup Road to Japan. Harganya lebih murah berbanding beli di Malaysia. Saya beli sebagai oleh-oleh untuk adik-beradik, ipar dan biras perempuan. Selalu kalau keluar rumah, saya pakai lip cream ni je. Memang terbukti bagus mengatasi masalah bibir kering.

Selesai jalan-jalan cuci mata dan poket di Yodabashi Akiba, kami menuju ke As-Salaam Masjid di Okachimachi. Sebelum tu, kami singgah di mesin minuman. Di Tokyo, mesin minuman terdapat di merata tempat. Paling menarik, siap ada pilihan minuman sejuk dan panas.

Udara ketika ini sejuk, kami beli minuman panas. Sebelum membeli, saya semak status halal di aplikasi Halal Japan. Tahap panasnya bukanlah terlalu panas ya, kira hangat sesuai diminum dan boleh pegang botolnya tanpa alas.

Selesai ziarah dan solat jamak di As-Salaam Masjid, kami makan di Halal Ramen Ueno yang terletak berhampiran masjid. Catatan lanjut berkenaan masjid dan restoran di entri lain.

Seterusnya, kami naik tren ke Ginza. Masa ni baru saya perasan di Tokyo pun ada koc wanita. Tapi ada kelonggaran bagi kanak-kanak lelaki dan orang lelaki kurang upaya fizikal, mereka masih boleh naik bersama dalam koc wanita. Koc ini juga bukanlah setiap masa hanya untuk wanita, tetapi cuma pada hari bekerja (weekdays) di antara pukul 7.30 pagi - 9 pagi. Selain waktu tersebut, semua penumpang boleh menaiki koc wanita. 

Kali kedua kami ke Uniqlo di Ginza. Tujuan kali ini sebab Encik Suami nak tukar saiz pakaian yang dibeli pada hari sebelumnya.

Pukul 6.10 petang di sebatang lorong di Ginza. Suasana gelap malam, udara sejuk berangin dan gerimis membasahi bumi. Masa ni kami sedang berjalan dari Uniqlo ke stesen tren. Kami nak balik ke Ueno Station - lokasi hotel penginapan kami.

Suasana meriah di dataran berhampiran hotel penginapan kami. Saya berdiri di sini sementara menunggu Encik Suami naik bilik hantar barang, sebab lepas ni kami nak berjalan-jalan di sekitar kawasan ini pula.

Jalan-jalan menikmati suasana malam yang meriah di Ameyayokocho a.k.a. Ameyoko Street.

Teringin pulak nak merasa buah ceri ni, beli sikit untuk merasa. Eh, buah durian pun ada! Tapi tak pasti dari negara mana.

Keluar masuk konbini, iaitu kedai serbaneka - 7-Eleven dan Lawson. Beli jajan untuk kudapan. Macam biasa, sebelum membeli saya semak status halal di aplikasi Halal Japan.

Antara jajan yang selalu kami beli sepanjang berada di Tokyo - biskut kapal (kepingan coklat dengan biskut di bawahnya). Terdapat pelbagai perisa dan harganya jauh lebih murah berbanding beli di Malaysia.

Sekitar pukul 9 malam kami kembali ke hotel penginapan. Nak berehat setelah seharian berjalan ke sana sini. Lagi pulak udara di luar sangat sejuk dengan tiupan angin lebih kuat berbanding waktu siang. Tak tahan saya nak berlama-lama di luar.

Rekod jalan kaki saya pada hari ini - 16,820 langkah dengan jarak 11.66 km.

Alhamdulillah.







Sunday, 25 May 2025

Percubaan Menanam Pokok Bunga Rain Lily - Thailand Hybrid

Baru-baru ini saya beli benih/bawang pokok rain lily dari Shopee. Beli tiga jenis/id berbeza warna :

Warna merah, kuning dan oren. Benih Thailand hybrid. Harga tertera untuk sebiji bawang, saya cuma beli dua biji bawang bagi setiap jenis.

Terasa mahal sebab saya tak pernah membeli benih rain lily. Tapi bila saya buat carian, ada jenis rain lily yang sebiji bawang berharga lebih RM100! Kenapa mahal? Sebab jenis rare dan susah nak membiak.

Bawang rain lily
Alhamdulillah…penjual siap bungkus elok begini dan letak id. Seronok tengok dan bertambah semangat nak menanam.

Id - Noble Gold. Warna bunga - kuning. Bawangnya paling besar di antara tiga jenis benih rain lily yang saya beli. Agaknya bunganya pun besarlah nanti.

Sebenarnya, penjual dah nyatakan anggaran saiz bawang bagi setiap id. Saya nak beli yang lebih kurang sama saiz bagi ketiga-tiga jenis, tapi tersilap pandang - terbeli satu jenis ni saiz besar dan lagi dua jenis saiz lebih kecil.

Id - Scarlet O'hara. Bunga warna merah.

Id - Life & Joy. Bunga warna oren.

Bawang rain lily
Berfoto kenangan sebelum ditanam. Kot laa percubaan gagal, ada jugalah foto bawang rain lily ni bukti usaha saya nak menanam pokok bunga 😄

Tarikh tanam - 22 Mei 2025
Medium tanaman - peat moss. Bekas menanam - saya gunakan botol air minuman saiz besar yang dipotong. Nanti dah tumbuh elok dan membiak, saya akan pindahkan semuanya. Saya rancang nak tanam pokok bunga rain lily bersusun di suatu sudut laman rumah.

Bunga Rain Lily
Bunga rain lily warna pink yang sedia ada di rumah saya. Id - Rosea Pink. Jenis ni mudah membiak. Ada penjual yang meletakkan harga RM1 bagi sebiji bawang.

Benih rain lily ni saya bawa dari rumah NS. Saya suka rain lily sebab ia pokok bunga jenis lasak - bila tak cukup air ia jadi kering tapi tak mati, bawangnya dalam tanah akan kembali menghasilkan daun dan bunga apabila mendapat siraman secukupnya. Walaupun dah bertahun lama saya tinggalkan rumah NS (sejak tahun 2020), bunga rain lily di laman rumah NS masih berkembang tanpa saya rawat dan siram - hanya bergantung kepada curahan hujan.

InsyaAllah moga tercapailah hasrat saya nak tengok bunga rain lily yang baru ditanam berkembang menjadi penyeri laman rumah Perlis. Dapatlah saya kumpul empat warna/id rain lily 😊







Thursday, 22 May 2025

Buah Letup-Letup - 'Jajan' Zaman Kanak-Kanak

Di sekitar rumah saya ni ada pelbagai jenis pokok. Ada yang ditanam oleh penghuni terdahulu dan banyak juga pokok yang tumbuh liar, antaranya - pokok letup-letup (passiflora foetida). Ia juga dikenali dengan nama pokok ulat bulu atau pokok letup-letup bulu.

Pokok letup-letup tumbuh secara menjalar di belukar atau melilit di batang pokok lain. Kiranya, pokok ni kategori rumpai - tumbuhan yang tidak berguna dan perlu dimusnahkan kerana mengganggu pokok tanaman kita. Tapi sekarang ni bila dah jarang ditemui, kalau jumpa tu rasa macam dapat benda berharga 😀

Jangan terkeliru ya, ada sejenis lagi pokok dengan nama lebih kurang sama iaitu pokok letup-letup kelambu (physalis angulata). Ianya sejenis pokok renek dan rupa buahnya juga berbeza dengan buah letup-letup (passiflora foetida).

Bunga pokok letup-letup
Bunga pokok letup-letup. Cantik bunganya dengan kelopak berwarna putih dan bahagian tengah berwarna ungu. Tambah menarik, terdapat semacam bulu melindungi kelopak bunga ini.

Buah letup-letup Passiflora foetida
Buah pokok letup-letup yang masih muda - berwarna hijau. Bentuknya bulat dengan bulu di sekelilingnya - seakan melindungi buah. Foto dirakam pada 7 Mei lalu.

Pokok letup-letup Passiflora foetida
Foto pagi tadi 22 Mei - jalan-jalan pagi sambil merakam foto alam. Buah letup-letup bertukar warna kuning sepenuhnya, tanda sudah matang dan boleh dimakan. Cara makan buah letup-letup - picit atau tekan sedikit kulit buah untuk mendapatkan isinya. 

Pokok letup-letup Passiflora foetida
Begini rupa isi buah letup-letup. Boleh terus makan isinya - telan bersama biji. Jangan risau, bijinya tak tumbuh dalam perut 😆

Bagaimana rasa buah letup-letup? Rasanya manis dengan sedikit rasa masam. Kira sedap pada deria rasa saya.

Setelah sekian lama tak makan buah letup-letup, bila makan kali ni sungguh mengimbau memori zaman kanak-kanak saya. Zaman di mana saya bebas bermain di luar rumah dan makan buah letup-letup yang ditemui di tepi jalan - macam makan jajan. Kalau jumpa bunga jarum, saya ambil bahagian tengahnya dan hisap madunya (nektar). Kalian yang pernah melalui pengalaman serupa, tentu tak jauh beza umur kita kan 😀 








Tuesday, 20 May 2025

Menginap Tiga Malam di APA Hotel Keisei Ueno-Ekimae, Ueno, Taito City, Tokyo

Kembali menyambung catatan trip ke Jepun pada bulan Disember 2024. Jemput baca entri terdahulu —> Halal Wagyu Ramen Shinjuku Tei, Shinjuku


Setelah menginap selama dua malam di Art Hotel Nippori Lungwood, Nippori kami berpindah penginapan ke APA Hotel Keisei Ueno-Ekimae yang terletak di Ueno.

Faktor pemilihan hotel ini kerana :
  • Lokasinya yang berdekatan dengan Ueno Station iaitu kira-kira 350 meter - memudahkan pergerakan kami ke sana sini dengan menaiki tren.
  • Hotel ini juga terletak kira-kira 40 meter ke Keisei Ueno Station iaitu stesen tren untuk ke lapangan terbang - Keisei Skyliner Airport Express. Mudahlah kami bawa bagasi untuk naik tren ke lapangan terbang pada hari terakhir nanti.
  • Selain itu, hotel ini juga terletak berhampiran dengan pelbagai tarikan seperti Ameyoko Shopping Street dan Ueno Park.

Jadinya, walaupun kami sedia tahu biliknya sangat kecil dan dapat kadar harga yang sangat tinggi - kami terpaksa juga memilih untuk menginap di hotel ini. Tak dapat nak pilih hotel bersebelahan yang menawarkan harga lebih rendah kerana tiada kekosongan untuk penginapan selama tiga malam.

APA Hotel Keisei Ueno-Ekimae, Ueno, Taito City, Tokyo, Jepun
Bangunan APA Hotel Keisei Ueno-Ekimae. APA Hotel dimiliki oleh APA Group - syarikat yang memiliki rangkaian hotel di seluruh Jepun. APA merupakan singkatan ‘Always Pleasant Amenities’. Berhati-hati semasa kalian nak membuat tempahan, kot terkeliru kerana ada banyak APA Hotel di merata tempat.

APA Hotel Keisei Ueno-Ekimae, Ueno, Taito City, Tokyo, Jepun
Jalan raya di hadapan hotel - sebelah kiri bangunan hotel dan sebelah kanan kawasan Ueno Park.

APA Hotel Keisei Ueno-Ekimae, Ueno, Taito City, Tokyo, Jepun
Laluan ke bilik-bilik penginapan.

Ada ruang tengah begini, jadi nampak luas dan tak rasa terkepung. Bilik kami di aras 5.

APA Hotel Keisei Ueno-Ekimae, Ueno, Taito City, Tokyo, Jepun
Beginilah rupa bilik penginapan kami - Double Room. Laluan dari pintu masuk menuju ke katil tu jelah yang boleh digunakan untuk letak bagasi dan menunaikan solat. 

Ruangnya kecil dan sangat terhad tapi lengkap dengan pelbagai kemudahan - kecuali iron gosok baju tu memang tak disediakan di kedua-dua hotel penginapan kami.

Katil double tapi saiznya agak kecil untuk dua orang dewasa. Katil di hotel sebelum ni pun sama, agaknya memang begini saiz katil double di Tokyo.

Pemandangan dari jendela bilik kami. Sedang ada pembinaan, bising sedikit tapi tak mengganggu sebab pada kebanyakan masa kami berada di luar.

Tiada almari/ruang simpan pakaian, cuma ada tempat gantung begini. Ok jugalah masih ada ruang gantung pakaian.

Saya suka gantung siap-siap seluar/baju/tudung yang nak dipakai pada hari-hari berikutnya supaya tak renyuk teruk kalau simpan dalam beg. Semuanya dah siap gosok dari rumah, kalau renyuk sikit tu kira pejam mata jelah pakai. Tudung empat segi yang jelas nampak garis lipatan pula, saya cuma gunakan hair dryer hotel - basahkan sikit dan keringkan guna hair dryer. Lebih kurang macam konsep steam iron 😀

Antara kemudahan yang disediakan termasuklah deodorizing mist untuk bilik.

Bilik air kecil tapi lengkap dengan tab mandi. Air paipnya boleh diminum - tertera tulisan ‘drinkable’.

Keperluan mandian dalam botol besar - mudah dan lebih puas guna. 

Tiada servis kemas bilik. Setiap hari sebuah beg berisi keperluan harian digantung di depan pintu bilik.

Sama seperti hotel penginapan kami sebelum ini, di APA Hotel ini juga sistem pendingin hawa / pemanas dikawal secara centralized system. Dalam bilik ada disertakan notis berkenaan centralized system ni, juga saranan kalau panas boleh buka tingkap atau pinjam kipas angin di kaunter lobi hotel.

Jumaat, 6 Disember 2024 - suhu rendah 9℃ pada pukul 11.30 malam.
Mula-mula masuk bilik, masih ok rasa sejuk sebab di luar udara sangat sejuk. Bila nak tidur malam jadi rasa tak selesa sebab tak rasa sejuk pendingin hawa, tapi rasa hangat. Lepas guna kipas angin pun masih rasa tak selesa. Bila buka tingkap, fuh...menerpa angin sejuk! Kena buka tingkap sikit je supaya tak terlalu sejuk. Alhamdulillah selesa sungguh tidur malam kami dengan udara sejuk semula jadi.

Secara keseluruhannya, kami rasa selesa menginap di APA Hotel Keisei Ueno-Ekimae selama tiga malam. Bilik penginapan yang cukup lengkap dengan pelbagai kemudahan, semua peralatan/perabot berkeadaan baik dan bersih.

Kita ketepikan soal kadar harga tinggi, ruang bilik yang sangat terhad dan centralized air conditioning system kerana nampaknya begitulah keadaan hotel di Tokyo - mungkin bukan semua, tapi begitulah setakat pengalaman kami menginap di dua buah hotel berbeza.

Kos penginapan kami selama tiga malam adalah sebanyak RM2,368.79, pembelian menerusi Agoda. Pecah rekod, seumur hidup kami tak pernah bayar harga bilik hotel semahal begini 😅. Untuk info - kadar harga bilik di sini adalah fleksibel iaitu berubah-ubah bergantung kepada kadar permintaan dan tempoh semasa kita membuat pembelian.







Friday, 16 May 2025

Buah Jambu Air Hijau

Di belakang rumah saya ni ada sebatang pokok jambu air warna hijau. Sejak berpindah ke sini pada penghujung tahun 2023, sudah beberapa kali pokok jambu air ini berbuah. Tapi baru kali ini saya rajin buat catatan di blog.

Foto-foto berikut dirakam pada 6 Mei 2025 :

Buah Jambu Air Hijau
Hasil kali ini tak begitu lebat tapi lebih daripada cukup untuk saya nikmati. Bagusnya - dahan di bahagian bawah pokok yang berbuah lebat. Jadi mudahlah saya nak memetik buahnya. Kalau yang tinggi tu memang saya biar je - rezeki buat haiwan.

Buah Jambu Air Hijau
Mula-mula dulu, saya sangka ni jambu air warna putih. Bila dilihat dari jauh dan di bawah cahaya matahari terik, warnanya cerah putih. Tapi bila tengok dekat begini, barulah nampak warna kehijauan.

Buah Jambu Air Hijau
Jambu air warna hijau dengan bahagian tengah warna kemerahan. Saya tak kenal jenis jambu air ni, saya panggil je buah jambu air hijau 😀. Kalau ada yang tahu, boleh kongsikan di ruang komen ya.

Buah Jambu Air Hijau
Hasil tuaian kali ini. Saya ambil setakat mampu je, tak larat nak bergaduh dengan nyamuk.

Buah Jambu Air Hijau
Saiz buahnya ada yang kecil, ada yang besar. Dalam foto - buah saiz besar.

Saya ambil sedikit untuk makan sendiri dan selebihnya Encik Suami bawa ke tempat kerja. Buah jambu air ni cepat rosak, lepas petik kena segera makan tak boleh nak simpan beberapa hari.

Alhamdulillah walaupun tak dibungkus, setakat ni tak banyak jumpa buah yang rosak. Rasa buah jambu air hijau ni pula tak masam dan tak juga manis, agak tawar. Kebetulan ada jiran beri kuah rojak buah yang dibuat sendiri, memang sedaplah makan buah jambu air cicah kuah rojak buah yang pekat dan rasa pedas manis.







Thursday, 15 May 2025

Dari Subang ke Alor Setar Dengan Pesawat Kecil Firefly ATR 72-500

Cerita hari Ahad lepas - saya dan Encik Suami kembali ke utara tanah air dengan penerbangan Firefly. Semasa online check-in, kami diberi tempat duduk nombor 6A dan 6C. Mulanya kami sangka akan duduk terpisah. Tetapi lepas saya buat carian model pesawat yang bakal kami naiki, baru tahu rupa-rupanya kami akan menaiki pesawat kecil dan dapat duduk bersebelahan.

Ini merupakan pengalaman pertama kami menaiki pesawat kecil model ATR 72-500, juga kali pertama saya berada di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) yang juga dikenali sebagai Lapangan Terbang Subang.

Pukul 4.05 petang kami berada di boarding gate. Orang tak begitu ramai, masih banyak tempat duduk kosong. Dari tempat duduk, kita boleh nampak pesawat tiba di luar sana. Nak masuk pesawat cuma perlu berjalan kaki sekejap je. Begitulah bila berada di lapangan terbang kecil - terasa semuanya lebih mudah dan lebih santai.

Beginilah rupa pesawat Firefly ATR 72-500. Sambil berjalan kaki menuju ke pintu pesawat, sempatlah saya merakam foto di atas.

Para penumpang masuk pesawat melalui pintu yang terletak di bahagian belakang. Cuma perlu melangkah lima anak tangga, rendah je kan?

Check-in baggage disimpan di bahagian hadapan pesawat, di bawa masuk melalui pintu hadapan pesawat.

Beginilah keadaan dalam pesawat - kecil dan rendah bahagian atas kepala. Laluan tengahnya pun kecil je dengan susunan tempat duduk 2-2. Rasa macam naik bas pun ada 😄

Ruang penyimpanan di atas juga kecil, agak susah jugalah Encik Suami nak masukkan bagasi kami. Dan biasanya kalau naik penerbangan lain, ruang penyimpanan atas kepala ni cepat je penuh tapi kali ini banyak ruang kosong. Mungkin sebab kapasiti penumpang cuma 72 orang dan laluan jarak dekat, jadinya tak banyak beg.

Walaupun pesawat ini kecil tetapi mempunyai ruang bahagian kaki (legroom) yang selesa.

Kedudukan saya 'bersebelahan' dengan kipas besar ni. Saya mula rasa sedikit seram (takut) bila kipas ni berpusing semakin laju - dari nampak bilah kipas sehingga tak nampak bilah dek kerana terlalu laju.

Bunyi bising pesawat dan gegaran sewaktu berlepas juga membuatkan saya rasa kecut perut. Dah berkali-kali naik pesawat, baru kali ini saya rasa seram. Tak cukup dengan doa yang biasa dibaca sebelum memulakan perjalanan, bibir saya terus berzikir. 

Kemudian saya rasa telinga macam pekak - tersumbat. Kepala rasa sedikit pening. Syukurlah semua keadaan yang tak menyenangkan ini tak berlarutan.

Suatu pengalaman baru buat saya 😅

Hidangan ringan diedarkan dengan cara krew kabin bawa bekas/bakul, bukan tolak troli. Selain kacang dan biskut, diberi juga sebungkus kecil jajan Brice keluaran EcoBrown's - yang ini mungkin edaran pek promosi.

Pesawat memasuki ruang udara Alor Setar, Kedah. Kipas tepi saya tu sebenarnya laju ya, tak nampak bentuk bilah kipas. Tapi hasil rakaman foto, nampak macam tak bergerak pulak kipas tu.

Cantik sungguh pemandangan dari udara - Kedah Negeri Jelapang Padi. Kalau dapat tengok masa padi menguning, tentu lebih memukau.

Masa nak keluar dari pesawat, baru saya perasan Preferred Seat berada di bahagian belakang pesawat.

Turun dari pesawat, kami berjalan masuk ke bangunan lapangan terbang. Sempatlah saya memotret foto keseluruhan pesawat ATR 72-500 yang kami naiki.

Alhamdulillah penerbangan kami selama kira-kira 1 jam lancar dan selamat tiba di destinasi. Syukur cuaca cerah, tak terbayang kalau pesawat yang kami naiki perlu berdepan dengan cuaca hujan. 


Video berdurasi 30 saat memaparkan pemandangan Alor Setar dari udara.