Monday, 18 May 2026

Kudapan Tradisi Perlis | Ringgi Jagung Kelapa

Hari ini Isnin cuti umum gantian bagi negeri Perlis sempena Ulang Tahun Keputeraan DYMM Raja Perlis yang jatuh pada hari Ahad. Kebetulan pula saya ada urusan di Maybank, jadinya pagi tadi saya ke cawangan di Changlun, Kedah yang terletak kira-kira 25 km dari rumah. Jarak yang sama jika saya ke bandar Kangar, kiranya kedudukan saya di tengah-tengah - boleh pilih nak buat urusan di Kangar, Perlis atau Changlun, Kedah.

Ceritanya, saya sangat gembira dan puas hati dengan servis di Maybank Changlun - proses buat kad baharu cuma memakan masa sekitar 35 minit! Pelanggan agak ramai, tapi kaunter yang dibuka pun banyak jadi tak perlu tunggu lama. Staf lelaki di kaunter juga mesra dan sangat membantu memudahkan urusan saya yang dah sekian lama tak berurusan dengan bank. Siap berseloroh…sekarang Perlis tinggal 7 oranglah sebab Puan ke Kedah πŸ˜†

***

Berbalik kepada tajuk entri, hari Ahad minggu lepas (10 Mei 2026) saya dan Encik Suami ke Nat Pokok Getah di Arau. Walaupun menetap di Perlis, sesekali je saya ke sini sebab jaraknya agak jauh dari rumah.

Suasana jalan raya di kawasan nat (pasar pagi) pada awal pagi - masih belum sesak dengan kenderaan orang-ramai, cuma kenderaan peniaga memenuhi bahu jalan bagi menurunkan barang jualan. Kami suka datang awal bagi mengelakkan kesesakan.

Moi
Kita sarapan dulu! Menu utama di gerai ini hidangan berasaskan sup - bihun sup dan moi sup. Saya makan bubur nasi dengan sup ayam, loghat tempatan panggil moi (bubur nasi). Sambal merah disediakan dalam mangkuk di tengah meja, tapi setakat ni saya masih belum boleh sesuaikan tekak makan sup dengan sambal merah - dah terbiasa makan hidangan sup dengan sambal kicap.

Perut kenyang, jomlah kita membeli…

Segar dan menarik untuk dibeli. Saya beli cili api hijau, cili api merah dan kunyit dalam kuantiti yang banyak untuk buat pes masak lemak cili api (MLCA). Beli juga beberapa batang pokok ketumbar - bukan daunnya saja, saya gunakan akar ketumbar dalam masakan tomyam dan sup ayam.

Beli telur puyuh 30 biji buat masak telur puyuh balado.

Murah harga telur ayam ni, cuma RM6/sepapan. Kalau beli dua papan cuma RM10. Telur saiz kecil, entah gred apa. Saya beli telur saiz besar sedikit RM8/sepapan, tapi beli 15 biji je jadinya bayar RM4.

Gerai menjual makanan tradisi. Saya tanya penjual yang warna hijau tu apa? Katanya emping. Saya beli sebekas nak merasa. Kalau tak silap ingatan saya, harganya RM5.

Jomlah kita balik, dah sakit bahu Encik Suami angkut beg biru Ikea berisi hasil shopping πŸ˜„. Masa ni keadaan jalan raya semakin sesak. Kena hati-hati berjalan sebab bahu jalan pun hampir tiada, dah dipenuhi gerai jualan.

Ringgi jagung kelapa
Ringgi jagung kelapa.
Ringgi Jagung Kelapa | Inilah makanan tradisi yang saya beli tadi. Mungkin ramai yang dah biasa makan emping tapi ia agak asing bagi saya.

Carian saya mendapati, makanan ini lebih tepat dipanggil ringgi - ia dihasilkan daripada padi pulut muda, diketam sebaik saja padi berisi. Berbeza dengan emping, ia dihasilkan daripada padi pulut yang hampir masak. [Rujukan : perlislib.gov.my]

Ringgi jagung kelapa - ringgi gaul jagung dan kelapa parut putih. Tekstur ringgi lembut dan agak kenyal. Rasa kudapan ini sedap lemak masin. Kalau ke Nat Pokok Getah pasti saya akan beli lagi πŸ˜‹







2 comments:

  1. Viral betul Nat Pokok Getah ni kan? Biasanya paling sekejap dekat sini 1 jam cukup ke? KSarie tak pernah tersampai-sampai lagi sini. Nak sampai ke belah Perlis pun entah bila pun tak tauπŸ˜… First time dengar menu Ringgi Jagung Kelapa. Macam sedap jadi desserts tuh.

    ReplyDelete
  2. Wah.. menarik, pergi nat pokok getah. Lepas sarapan, beli barang² dapur pula yang murah². Saya tak pernah cuba ringgi jagung kelapa tu.

    ReplyDelete

*****
Komen kalian, bicara antara kita 😊

Saya juga boleh dihubungi menerusi e-mel | halifa02@gmail.com
*****