Sambungan entri Catatan Hujung Minggu | 24 - 25 Januari 2026
Mulanya saya dan Encik Suami bercadang nak menginap di bandar Kuala Kangsar, tapi hotel pilihan kami sudah pun penuh. Maklum jelah, dah dekat sampai Kuala Kangsar baru sibuk cari penginapan 😅
Jadinya saya buat carian penginapan lain. Hasil carian menemukan saya dengan sebuah penginapan yang menarik di Karai. Lokasinya jauh sedikit dari pusat bandar, iaitu kira-kira 8 km dari bandar Kuala Kangsar.
D’village Hotel & Villas menjadi pilihan kerana reka bentuknya yang menarik, kedudukannya berhadapan dengan tarikan pelancongan - Jambatan Victoria dan berada dalam suasana kehidupan kampung.
Tanpa membuat sebarang tempahan, kami terus saja ke D’village Hotel & Villas. Tiba di sini, staf kaunter maklumkan tempahan hanya boleh di buat menerusi laman web rasmi. Juga tiada tempahan melalui pihak ketiga seperti Agoda.
Agak mengejutkan, rupa-rupanya hanya kami berdua tetamu hotel yang mendaftar masuk pada hari ini 😄. Kami tak ada masalah, ini bukan pengalaman kali pertama menjadi satu-satunya tetamu di penginapan. Terjawablah persoalan saya - kenapa tak ada kenderaan lain di kawasan parkir hotel.
Bahagian hadapan hotel - menarik, kemas dan bersih. Menurut saya, tempat begini mungkin lebih sesuai dipanggil resort kerana reka bentuk dan suasananya.
Menarik susun atur dan dekorasi di ruang lobi. Tempayan sebagai pasu pokok dan gantungan bubu mewujudkan suasana seperti di kampung, rasa santai dan tenang.
![]() |
| Klik foto untuk paparan lebih jelas. |
Papan tanda dan notis menggunakan loghat Perak 😀
Pintu jaring besi menuju ke bilik penginapan. Nak melepasi pintu ni kena guna kad akses. Rasa selamat walau hanya kami berdua menginap di sini.
Beginilah suasana kawasan penginapan jenis bilik. Cantik!
Selain deretan bilik begini, terdapat juga penginapan jenis vila iaitu rumah tradisional yang terletak di kawasan berhampiran (dalam Kampung Warisan Budaya).
Teruja saya memerhatikan tanaman hiasan di sini. Entah pokok bunga apa, cantik berseri.
Kawasan penginapan kemas dan bersih. Nampak macam baru dibina tapi sebenarnya tempat ini telah pun memulakan operasi sejak September 2019.
Kolam renang terletak di sudut belakang bilik penginapan.
Berhampiran kolam renang, terdapat sudut gimnasium.
Bilik penginapan kami no. 21.
Kami ambil bilik paling murah di sini, iaitu jenis Traditional Deluxe. Keluasan bilik dan tahap kebersihan memuaskan.
Penginapan di sini berkonsepkan tradisional - tilam nipis diletak atas pangking. Bolehlah merasa kembali seperti zaman dahulu, walau pun sebenarnya saya tak pernah merasa tidur di atas pangking. Dulu kami adik-beradik tidur atas tikar di lantai gitu je 😅
Menarik idea begini, cuma tak sesuai buat kami berdua. Dah biasa tidur tilam tebal, sesekali tidur tilam begini jadi tak selesa. Tidur malam asyik terjaga. Pusing kanan salah, pusing kiri salah, terlentang pun salah. Rasa sakit badan jugaklah esok siangnya 😄
Antara kemudahan yang disediakan dalam bilik. Air minuman kena ambil sendiri, mesin air ada disediakan berhampiran sudut gimnasium tadi. Kami minum air bekalan sendiri, biasa memang siap beli air mineral sebab selalu dapat botol air minuman rasa macam air kelapa yang tak sedap tu.
Sudut pandang dari dalam bilik menghadap pintu. Pintu kecil bercorak tu bilik air.
Bagus disediakan rak serba guna panjang begini, senang nak letak barang. Besi gantung pakaian pun cukup panjang, nak sidai tuala pun muat. Sejadah turut disediakan, tapi keperluan asas semuanya saya bawa sendiri.
Bilik air kurang selesa digunakan kerana tiada ventilation fan - udara terperangkap. Tingkap kecil tinggi pula ditutup rapat, mungkin atas alasan keselamatan dan mengelakkan serangga masuk.
Antara kelebihan menginap di hotel ini, ia terletak berhadapan dengan Jambatan Victoria dan bersebelahan aliran Sungai Perak. Foto di atas di ambil dari hadapan pintu hotel. Ketika ini sudah pun senja, waktu yang sesuai untuk menikmati keindahan senja dari Jambatan Victoria dan juga bersiar-siar di pesisiran Sungai Perak.
Foto suasana malam di kawasan bilik penginapan.
Lobi hotel gelap, tiada sesiapa di sini kecuali seorang pengawal lelaki bertugas di bilik pengawal berhampiran pintu pagar hotel. Selain kami, nampaknya ada seekor kucing hitam menemani kami. Suasana di sini sunyi dan gelap, maklum saja hotel ini dibina di kawasan luar bandar. Alhamdulillah malam berlalu tanpa sebarang masalah.
***
Secara keseluruhan, saya berpuas hati dengan pengalaman penginapan di D’village Hotel & Villas, Karai, Kuala Kangsar disebabkan penginapan bersih, layanan mesra staf dan suasana sekitar yang menarik - lokasi di kawasan kampung, berhampiran Jambatan Victoria yang unik dan aliran Sungai Perak.
Cuma kalau nak tidur lebih satu malam, mungkin kena fikir dua kali - disebabkan masalah tilam nipis dan bilik air tanpa ventilation fan (merujuk kepada penginapan kami di bilik no. 21, jenis Traditional Deluxe). Kadar harga bilik kami RM129.60 termasuk cukai perkhidmatan dan ada tambahan deposit sebanyak RM50 (dikembalikan selepas kira-kira seminggu mendaftar keluar).
Kalau ada bajet lebih kalian boleh pilih bilik jenis lain, tilamnya lebih tebal selesa. Pilihan jenis bilik dan vila boleh lihat di laman rasmi mereka di https://www.dvillagevb.com/


















Wah cantik bersih kemas hotel villa ni. Lokasi pun menarik. Tilam je nipis ya.
ReplyDeleteLamanya tak ke Kuala. Dulu ada opah suami. Bila dia dah meninggal tak ke sana dah. Menarik jugak bercuti tempat macam ni.
ReplyDeleteCantikk kemas bestt gak kan aman je
ReplyDeleteTp seramm kalu x ramai ni kan he hee
Rare sungguh tidur atas tilam nipis. Tapi saiz bilik agak besar. Memang cantik tempatnya, macam resort.
ReplyDeleteCantik juga tempatnya ni cuma bila terpandang tilamnya terus saya rasa pun akan terjaga-jaga.
ReplyDelete