Friday, 11 April 2014

Memoir SHAMSIAH FAKEH : Dari AWAS ke Rejimen Ke-10

(notis : ulasan buku kali ni agak panjang ya..)
 

 
Tajuk : Memoir Shamsiah Fakeh : Dari AWAS ke Rejimen Ke-10
Penulis : Shamsiah Fakeh
Penerbit : Strategic Information and Research Development Centre (SIRD)
Harga : RM30
Muka surat : 142
 
 
Sebelum ini saya hanya pernah membaca novel sejarah berkaitan Shamsiah Fakeh (SF), iaitu Shamsiah Fakeh : Pejuang, Pemimpin dan Perempuan hasil tulisan Azzah AR. Berbeza dengan buku di atas (pertama kali diterbitkan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia pada 2004 dan edisi baru diterbitkan oleh SIRD pada 2007), ianya adalah hasil catatan SF sendiri yang mula ditulis pada Mei 1991 dan selesai pada 17 Jun 2002. Inilah yang mendorong saya terus membaca, ingin mengetahui peristiwa lalu dari empunya diri.
 
Pada bahagian prakata, SF berpesan dalam satu perenggan berikut :
Sejarah ditulis oleh rakyat. Kita mesti berpegang pada fakta (kenyataan) yang benar berlaku pada masa itu dan keadaan serta situasi ketika itu. Yang penting adalah membuat GARIS PEMISAH yang jelas di antara zaman sebelum merdeka (zaman dijajah oleh imperialis British) dan zaman setelah merdeka. Mencampuradukkannya membuat satu kekeliruan. Kita mesti kenal yang mana musuh dan yang mana kawan. United Front (Front Persatuan) juga tidak sama di antara zaman ini dan zaman dulu iaitu tergantung pada KEADAAN, MASA dan TEMPAT.
 
Sinopsis
Catatan riwayat hidup SF dimulai dengan menceritakan latar belakang beliau. Merupakan anak kelahiran Kampung Gemuruh, Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Beliau mulai tertarik kepada perjuangan menuntut kemerdekaan daripada PENJAJAH BRITISH sewaktu bersekolah di Bagan Serai, Perak.
 
Beliau kemudiannya memilih Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) sebagai wadah perjuangan. Pada masa tersebut ada dua parti nasionalis iaitu PKMM (dianggap haluan kiri) dan UMNO (dianggap haluan kanan). Kenapa beliau tidak memilih UMNO? Kerana UMNO yang dipimpin oleh golongan bangsawan/atasan Melayu pada masa itu, berpendirian untuk bekerjasama dengan penjajah British dan menentang pertubuhan kebangsaan haluan kiri.
 
SF seterusnya dilantik menjadi ketua AWAS (Angkatan Wanita Sedar), iaitu sayap wanita PKMM pada tahun 1947. Penjajah British kemudiannya mengisytiharkan Undang-Undang Darurat pada Jun 1948. Ia sekaligus telah mengharamkan parti-parti haluan kiri dan beribu-ribu para pejuang kemerdekaan telah ditangkap, ditahan dalam penjara, dibuang negeri dan dihukum gantung. Semenjak dari detik itulah bermulanya zaman perjuangan bersenjata bagi SF. Beliau berjaya menyembunyikan diri dari ditangkap pihak British dan menyertai PKM (Parti Komunis Malaya), iaitu satu-satunya parti pada ketika itu yang sanggup memimpin perjuangan bersenjata. Pada Mei 1949, PKM telah menubuhkan REJIMEN KE-10 yang mana semua anggotanya adalah orang Melayu.
 
Pada April 1957, SF dan beberapa anggota Rejimen Ke-10 telah dihantar oleh PKM ke China untuk belajar. Ia bertujuan untuk meninggikan taraf ideologi dan teori untuk keperluan jangka masa panjang. Bagaimanapun pada tahun 1968, SF telah dipecat dari menjadi anggota PKM (disebabkan pergolakan dalaman).
 
Akhirnya pada 12 Julai 1994, SF dan keluarganya telah kembali ke Malaysia atas kebenaran kerajaan setelah hampir 10 tahun memohon.
 
 
Petikan Buku
Siapakah pengganas? Penjajah British menuduh para pejuang yang masuk hutan mengangkat senjata itu sebagai 'pengganas Komunis'. Memang begitulah taktik penjajah hendak memburukkan para pejuang kemerdekaan kita yang berani melawan kekuatan penjajah yang kuat itu. Disamping jumlah tentera yang agak ramai, penjajah menggunakan senjata canggih untuk menentang pasukan rakyat termasuk menggugurkan bom dan menembak dengan mesin gan. Sebenarnya penjajah Britishlah yang benar-benar pengganas. Mereka membakar rumah rakyat dan tentera-tenteranya telah memperkosa ramai wanita Melayu kita di kampung-kampung. (muka surat 62)
 
Permusuhan yang utama ialah melancarkan perjuangan bersenjata melawan penjajah British iaitu ringkasnya bermusuh dengan penjajah British. Kenapa boleh jadi, maka kami atau PKM boleh bermusuhan dengan kerajaan Malaysia? Dari segi fakta sejarah dapat kita lihat sebabnya ialah kerajaan Malaya yang sudah merdeka mengambil alih tugas membasmi Komunis daripada penjajah British. Dengan kata lain, kerajaan Malaya yang merdeka mewarisi sifat penjajah Inggeris yang hendak menghapuskan Parti Komunis dan Tentera Pembebasan Nasional (TPNM). Sebab itu jelaslah permusuhan itu berterusan sehingga memakan masa 41 tahun iaitu sampai 2 Disember 1989, barulah permusuhan itu tamat dengan termeterainya Perjanjian Haadyai. (muka surat 122)
 
------------------------------------------------------
 
Catatan yang telah dibukukan ini menjawab banyak persoalan dan kenyataan/tuduhan palsu oleh sesetengah pihak terhadap SF. Bagi saya, ia bukan sekadar catatan riwayat hidup SF tetapi ia adalah sebahagian daripada fakta sejarah yang tiada dalam buku teks sekolah. Saya bukan pengkaji sejarah, tetapi sekadar meminati bidang sejarah. Juga saya tidak berada pada masa dan keadaan tersebut (zaman penjajahan British). Maka tidaklah wajar untuk saya menilai samada SF itu seorang pejuang atau pengganas. Apa yang saya pasti, beliau pernah menyumbang kepada kemerdekaan negara kita. Tidaklah adil hanya kerana beliau pernah menjadi anggota PKM (yang dianggap pengganas), maka kita melupakan bahawa beliau pernah berjuang di bawah PKMM/AWAS. Semangat dan pengorbanan beliau wajar dikagumi dan dihargai. Pada akhirnya, yang baik jadikan teladan dan yang buruk jadikan sempadan. Itu pesanan SF bagi para pembaca riwayat hidupnya ini.
 



11 comments:

  1. bagus buku ni, terima kasih ujie share dalam ni,
    tah mende lah kita belajo dalam buku teks sejarah kita dulu tu..huhu

    ReplyDelete
  2. Patut di masukkan dalam sejarah tentang SF kan.... Sekolah rendah boleh belajar pasal Tok Janggut dan segalanya. Sekolah menengah dah boleh serius pasal SF, Kanang dan ramai lagi.

    ReplyDelete
  3. Ini salah satu sumber sejarah jugak ni... memang patut di masukkan dalam sejarah kan.. kalau yang kurang membaca ni memang tak tahu menahu lah bende2 ni...

    Terima kasih share Ujie.. Salam ziarah pagi Jumaat..

    ReplyDelete
  4. Dalam buku sejarah yg diguna-pakai di sekolah dimomokkan dgn ideologi penjajah. Mestilah pejuang seperti SF dikatakan sebagai berhaluan kiri walau hakikat perjuangan beliau adalah menuntut demi tanah air tercinta

    Mungkin akan dtg cucu-cicit kita pun akan dimomokkan dgn mengatakan pemimpin pembangkang adalah puak kiri juga Ujie. Semua ini tak mustahil melainkan Islam dpt meneraju.. Amin...

    ReplyDelete
  5. Lama dah tinggal sklh dan dah lupa sejarah SF nie,baca entry ujie nie boleh refresh blk,tq ujie share.....

    ReplyDelete
  6. Saya juga pernah baca buku-buku sejarah mengenai tokoh-tokoh pejuang kemerdekaan yang berjuang dari hutan bersama Parti Komunis Malaya (PKM) termasuk Samsiah, Abdullah CD, Rashid Mydin dan lain-lain. Kebanyakan mereka berpendidikan agama tapi memilih PKM sebagai wadah perjuangan menentang penjajah. Dalam buku sejarah di sekolah, komunis digambarkan jahat kerana begitulah sejarah ditulis oleh mereka yang menang..

    ReplyDelete
  7. macam menarik buku nie..persoalan yang dilontarkan membuatkan saya pikir dua tiga kali balik..hmmm

    Regards,
    -Strider-

    ReplyDelete
  8. Assalamualaikum,
    Walaupun ramai orang tak suka buku ni, tapi...banyak perkara membuka mata kita.

    ReplyDelete
  9. tak ingat sama ada terbaca atau pun tidak pasal SF dalam silibus untuk exam SPM.

    ReplyDelete
  10. yg salah mungkin pada cara, tapi hakikatnya, mereka mahu mempertahankan tanah air juga..

    ReplyDelete
  11. Mmg sebelum ni kalau SF keluar media arus perdana, akan diperkenalkan sbg komunis. Saya pun anggap yang mereka ini org jahat dan pengganas. Makin lama, makin banyak membaca, baru la kebenaran dapat dinilai semula. Kalau bergantung semata-mata kepada bukuteks sekolah menengah, memang tiada yang lebih baik daripada UMNO. Dan tiada yg lebih jahat drpd komunis. Hakikat sebenarnya..... hanya org2 yg membaca daripada banyak sumber je faham. Lagi satu kan,... kalo kita nak baca tentang sejarah ni, elok kita baca dgn minda yang kosong yang tak memihak kepada sesiapa. Baru la dpt isi sebenar apa yg dibaca.

    ReplyDelete

Komen kalian...bicara antara kita.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...