Friday 4 July 2014

MAT INDERA : Petualang atau Pejuang

 
Tajuk : Mat Indera Petualang atau Pejuang
Penulis : Dr Muhaimin Sulam
Penerbit : Jundi Resources
Harga : RM20
Muka surat : 231
 
Buku ini asalnya suami yang beli, sebab ada perkaitan sejarah kampungnya di Seri Medan, Batu Pahat dengan tokoh di atas - MAT INDERA. Sungguh, saya tak tahu langsung kisah Mat Indera dan Seri Medan!

Pada awal pembacaan, buku ni agak membosankan saya. Tapi pada bab-bab seterusnya, ia membangkitkan semangat ingin tahu dan terus membaca.

 
Ringkasan Buku
MAT INDERA, nama sebenarnya Ahmad bin Indera. Dilahirkan pada tahun 1920 di Kampung Gombak, Peserai, Batu Pahat, Johor. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Bandar Maharani, Muar. Juga seorang yang berpendidikan agama, pernah berguru dengan seorang ulama terkenal di Muar iaitu Hj. Muhamad Yasin (ayahanda kepada Tan Sri Muhyidin Yasin).
 
Beliau pernah menjadi guru agama dan turut diundang untuk memberi ceramah agama di sekitar Muar. Pendek kata, Mat Indera adalah individu yang dihormati masyarakat pada ketika itu.
 
Mat Indera seterusnya memilih Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) sebagai wadah perjuangan untuk mempertahankan tanah air dari penjajahan. Beliau kemudiannya mengetuai sayap Pemuda PKMM, iaitu Angkatan Pemuda Insaf (API) daerah Muar pada tahun 1946. Selain itu beliau turut aktif dalam kesatuan-kesatuan buruh/pekerja dalam usahanya memperjuangkan hak para buruh/pekerja.
 
Hampir sama dengan kisah Shamsiah Fakeh, Mat Indera juga akhirnya terpaksa memilih untuk bekerjasama dengan Parti Komunis Malaya (PKM) sebagai wadah perjuangan yang baru iaitu secara gerila. Iaitu selepas penjajah British mengisytiharkan darurat di Tanah Melayu. Sejak dari itulah British bersungguh-sungguh mahu menangkap Mat Indera, sehingga ayah Mat Indera telah dibuang negeri ke Singapura.
 
Dalam peristiwa Bukit Kepong, Mat Indera didakwa sebagai individu yang bertanggungjawab terhadap serangan ke atas Balai Polis Bukit Kepong. Bagaimanapun, seorang anggota polis yang terselamat, Abu Bakar Daud mendakwa bahawa Mat Indera tidak menyerang. Sebaliknya melindungi dan menyelamatkan keluarga anggota polis daripada serangan komunis.
 
Mat Indera akhirnya berjaya ditangkap pada malam 14 Oktober 1952, melalui cara muslihat/perangkap. British menggunakan kawan-kawan dan orang kepercayaan Mat Indera untuk menjayakan misi ini. Mereka diberi tekanan/ugutan dan tawaran hadiah. Pada malam kejadian, Mat Indera telah dijemput ke rumah Mat Tukyo di Kampung Seri Medan dengan alasan untuk membincangkan projek jangka panjang perjuangan mereka. Beliau dihidangkan dengan tempe goreng dan air kopi yang dicampur dengan kecubung ungu, yang memberi kesan mengantuk dan tidak sedarkan diri. Pada masa itulah dia ditangkap.
 
Pada 30 Januari 1953 dalam usia 33 tahun, Mat Indera telah dijatuhi hukuman gantung sampai mati di Penjara Taiping, Perak. Hukuman dijalankan tanpa memberitahu kepada ahli keluarganya, dan mereka hanya mengetahui apabila Mat Indera telah selamat dikebumikan di Perkuburan Islam Kampung Jambu, Taiping.
 
------------------------------------------------------------------------------
 
(sumber gambar : sini)
Jika ditanya kepada saya (berdasarkan pembacaan buku dan di internet), saya melabelkan Mat Indera sebagai PEJUANG KEMERDEKAAN. Hanya pejuang sejati sahaja yang sanggup bersusah payah hingga berkorban nyawa demi menghalau penjajah keluar dari tanah air tercinta. Ya, dia ada bekerjasama dengan PKM (kerana tiada pilihan pada masa tersebut). Tapi janganlah kerana palitan PKM, kita menafikan jasa bakti yang telah dicurahkan oleh beliau. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya.






.

12 comments:

  1. Mat Indera ni ustaz kan,
    bagus buku ni,
    bagi celik minda generasi baru..
    barulah tahu mana kaca mana yang permata

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ha ah..cikgu agama (dulu..cikgu sekolah agama kat johor tak dipanggil ustaz).

      Delete
  2. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya..
    Bagus baca buku sejarah macam ni.
    Suka baca buku bukit kepong.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Dulu akak suka citer bukit kepong, tapi rupanya tu bukan la sejarah yg sebenar-benarnya. :(

      Delete
  3. Kalau ikut cerita bapak kakak selepas kematian beliau ada kisah selanjutnya Ujie tapi rasanya pengarang tak membukukan. Balasan kepada mereka yg membuat Mat Indera tertangkap inggeris laknat - balasan dari Allah. Sungguh kalau kita lihat perjuangan dia bukan calang-calang tapi sayangnya bangsa kita tak menghargainya bahkan bersekongkol pula dgn penjajah.

    Moga rohnya dicucuri rahmat Allah..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Di luar pengetahuan pengarang buku ni la tu...
      Apa kisahnya kak? Nak tau jugak. Allahyarham pak mertua takde citer bab tu.

      Delete
  4. Macam akak nak cari jer buku ni ujie.. macam bersemangat nak tahu kisah selanjutnya..

    Ye betul tu kakzakie.. Moga rohnya dicucuri rahmat Ilahi.. Amin ya Rabb

    ReplyDelete
  5. bagus ni mak, info yg wak pon x tau., uHuuuu

    ReplyDelete
  6. Bila di media arus perdana, beliau di cop petualang...
    Biasa la..

    ReplyDelete
  7. isu yang pernah panas dulu... panas pon ada sebab... Hmmm....

    ReplyDelete
  8. macam menarik jer buku nie..saya pun bab sejarah memang kurang ilm pengetahuan sikit..hehehe

    Regards.
    -Strider-

    ReplyDelete
  9. Terima kasih atas penjelasan yang sangat bermakna bagi saya mencari jawapannya

    ReplyDelete

*****
Komen kalian, bicara antara kita 😊

Saya juga boleh dihubungi menerusi e-mel | halifa02@gmail.com
*****