Showing posts with label Acara. Show all posts
Showing posts with label Acara. Show all posts

Tuesday, 8 July 2025

Hidden Fest 2.0, Perlis

Cerita hujung bulan Jun lalu.

Pada 27 - 29 Jun 2025 telah berlangsung Hidden Fest 2.0 di Chuping, Perlis. Kenapa nama festival ni 'hidden fest'? Saya pun tak pasti, cuma setahu saya festival ini membawa tema 'healing'. Dan yang pasti festival ini agak unik kerana memilih lokasi yang jauh dari bandar.

Tapak festival terletak tak jauh dari rumah saya, mudahlah saya datang pada waktu siang dan malam untuk melihat suasana festival sambil memotret.

Hidden Fest 2.0, Chuping, Perlis
Vendor Area - kawasan tapak jualan.

Hidden Fest 2.0, Chuping, Perlis
Masa ni hari pertama festival - Jumaat waktu petang. Keadaan agak lengang, cuma ada sedikit pengunjung yang datang.

Hidden Fest 2.0, Chuping, Perlis
Sudut lain di tapak jualan. Sesuai dengan konsep 'healing', penganjur turut menyediakan meja dan kerusi untuk pengunjung duduk bersantai sambil menikmati makanan dan minuman yang dibeli.

Hidden Fest 2.0, Chuping, Perlis
Aiskrim nanas MD2 - RM6. Sedap! Sempatlah saya beli dua kali.

Hidden Fest 2.0, Chuping, Perlis
Siang bertukar malam. Cantik sungguh bulan sabit, terang jelas kelihatan di langit.

Kain rentang Hidden Fest 2.0. Dah malam baru tergerak nak ambil foto ni.

Tapak festival di bahagikan kepada beberapa kawasan. Selain kawasan jualan, terdapat juga kawasan persembahan muzik. Dalam foto di atas sebelah kanan tu pentas persembahan.

Music Area - bayaran sebanyak RM25 dikenakan bagi menyaksikan persembahan pentas selama tiga malam. Kalau tak bayar, masih boleh dengar tapi tak nampak jelas sebab di sekeliling Music Area ni dah diletak kain penghadang.

Antara artis yang membuat persembahan - Highbiscus, Stevia, Silent Sound dan Gerhana Ska Cinta. Kalau pencinta muzik 'indie' atau 'underground' mesti kenal nama-nama ni. Saya cuma kenal Gerhana Ska Cinta, itu pun hanya tahu namanya saja. 

Berbeza dengan waktu siang yang agak lengang, waktu malam suasana berubah meriah! Mungkin sebab tempat ni sangat panas pada waktu siang, jadi orang tak rajin nak datang siang hari.

Suasana malam di Vendor Area. Meriahnya sampai ke waktu tengah malam.

Berjualan dengan menggunakan motor. Menarik.

Sambil tunggu pesanan shawarma disiapkan, sempat saya zoom-in lensa kamera ke arah pentas yang terletak di bahagian belakang gerai Shawarma Lebanon. Bukan nak curi tengok persembahan, tapi sekadar nak ada foto gambaran Music Area. Nampaknya sambutan menggalakkan - penonton memenuhi ruang hadapan pentas. 

Selain Vendor Area dan Music Area, terdapat juga Hidden Camp - kawasan tapak perkhemahan yang terletak di padang berhampiran. Saya perhatikan dari jauh, nampak meriah dengan deretan khemah.

Seronok juga sesekali ada festival begini di tempat kami yang jauh terasing dari bandar. Menurut jiran, ini kali pertama festival besar diadakan di sini. Tapi kalau bab persembahan pentas tu saya tak gemar sebab bising - begitulah kan, lain orang lain cara 'healing-nya'. 







Sunday, 28 July 2024

Gotong-royong Kucai Bubur Asyura

Semalam petang (hari Sabtu, 27 Julai 2024) telah berlangsung aktiviti gotong-royong memasak bubur asyura bersama jiran-jiran. Sebutan dialek tempatan - kucai bubur asyura.

Kucai tu maksudnya kacau, sebab aktiviti utamanya kita kena mengacau bahan masakan dalam tempoh yang lama. Saya perasan cara jiran-jiran sebut kucai bukanlah jelas huruf ‘i’, tapi tidaklah hilang sampai jadi ‘kuca’. Bertambah satu lagi perkataan dialek Perlis yang saya tahu, tapi masih belum pandai sebut 😄

Seumur hidup saya, memang belum pernah merasa bubur asyura versi utara (khususnya Perlis) dan versi pantai timur. Saya orang Johor jadinya cuma tahu bubur asyura yang seakan bubur lambuk tu. Aktiviti semalam merupakan pengalaman menarik bagi saya, buat kali pertama saya terlibat sama dalam menghasilkan bubur asyura versi utara dan kali pertama pula dapat menikmatinya.

Foto-foto aktiviti semalam :

Bubur Asyura Perlis
Mula-mula masak santan bersama daun pandan. Lepas tu masukkan air gula merah. Masa ni tak susah nak kacau, ringan je.

Bubur Asyura Perlis
Selepas dicampur dengan bancuhan tepung beras, adunan jadi pekat dan perlukan lebih tenaga untuk kacau supaya tak berketul. Kami masak dua kawah, setiap kawah perlukan tenaga tiga orang tukang kacau. Tapi itulah, berketul jugak. Tambah lagi seorang tukang pecahkan tepung yang berketul guna sudip kecil.

Bubur Asyura Perlis
Satu demi satu bahan dimasukkan. Bahan kekacang yang siap rebus - kacang hijau, kacang tanah, kacang kuda dan kacang merah. Kemudian masukkan isi jagung, pisang dan keledek. Saya bukan tulis ikut turutan tau sebab tak ingat. Pisang tu pulak bukan masuk dalam dua-dua kawah, kiranya satu kawah ada isi pisang dan satu kawah lagi tanpa pisang

Perasan tak ‘sudip panjang’ warna hijau tu? Disebabkan tak cukup sudip panjang, maka pelepah kelapa dijadikan sebagai sudip 😀

Pulut dan kuah durian.
Kerja kacau bubur asyura dilakukan secara bergilir. Bila tak mengacau tu bolehlah kita duduk menikmati makanan yang dibawa secara potluck. Antaranya nasi goreng, roti jala, kuih cara, pulut udang dan jagung rebus. Saya cuma bawa gorengan popia otak-otak. Kebetulan hujung minggu lepas kami balik rumah NS sekejap, sempatlah singgah beli stok frozen popia otak-otak Kempas di Seehat Store, Nilai. 

Bubur Asyura Perlis
Setelah kira-kira 2 jam 30 minit, bubur asyura kawah pertama siap!

Bubur Asyura Perlis
Kerja mengisi dalam bekas dilakukan dengan segera.

Bubur Asyura Perlis
Susun begini dan biarkan sejuk sementara kerja mengisi bubur asyura dari kawah kedua pulak.

Bubur Asyura Perlis
Siap semuanya! Lupa pulak saya berapa bekas semuanya. Lepas dikira-kira, setiap jiran/rumah yang ikut serta dapat lima bekas. Saya ambil empat bekas (dua bekas ada pisang dan dua bekas tanpa pisang) - dua bekas untuk kami dan dua bekas lagi nak beri kepada adik ipar di Kangar.

Alhamdulillah, aktiviti gotong-royong kucai bubur asyura selesai kira-kira pukul 6.30 petang. Sempat juga kami berfoto ramai-ramai dengan bubur asyura yang berjaya dihasilkan.

Malam tadi nak tidur, barulah terasa lenguh seluruh tangan kanan saya. Nampak sangat tak biasa buat kerja berat, tiba-tiba beria kacau bubur asyura 😅


PERTAMA KALI MERASA BUBUR ASYURA UTARA
Tadi pagi semasa bersarapan, kami mencuba makan bubur asyura yang telah disimpan semalaman dalam peti sejuk. Baunya seakan bau bubur kacang hijau, bila dikunyah rasa mewah dengan kekacang. Rasanya lebih kurang macam kita makan kuih kole kacang tapi teksturnya lebih lembut.

Alhamdulillah sesuai dengan cita rasa saya dan Encik Suami. Kiranya kami boleh makan berkali-kali. Walaupun mulanya rasa sedikit pelik sebab tak pernah makan bubur asyura dengan tekstur seperti kuih.

Begitulah, lain tempat lain cara walaupun nama makanan sama. Makanan merupakan budaya setempat, tentu ada cerita asal usul kenapa bahan-bahan dan tekstur bubur asyura dihasilkan berbeza mengikut tempat. Yang pasti, kita raikan perbezaan dan nikmati kepelbagaian makanan yang ada. Barulah hidup lebih seronok 😊






.

Tuesday, 5 March 2024

Pesta Angin Timur Perlis 2024

[Catatan kisah hari Sabtu, 2 Mac 2024]

Kalau ikutkan, saya tidaklah rajin nak ke tapak pesta di kala negeri Perlis sedang mengalami musim panas melampau. Tetapi memikirkan ini kesempatan pertama saya bagi melihat sendiri suasana PESTA ANGIN TIMUR PERLIS 2024 (PAT 2024), maka saya rajinkan diri jugaklah. Sebagai persediaan, saya bawa minuman air kosong dan memakai topi anti-UV.

Info ringkas | Musim angin timur merujuk kepada fenomena angin tropika yang bertiup di negeri Perlis sekitar bulan Disember hingga Mac setiap tahun. Tiupan angin kencang serta berterusan ini menyebabkan cuaca kering dengan suhu waktu siang lebih tinggi dan suhu waktu malam hingga awal pagi lebih rendah.

Pesta Angin Timur Perlis 2024 berlangsung pada 1-3 Mac 2024 di Kampung Lat Seribu, Tambun Tulang, Arau bermula jam 10 pagi hingga 11 malam. Pesta ini menampilkan pelbagai aktiviti, antaranya - Fun Run Jerami, persembahan wayang kulit, belon udara panas, Malam Genta Puisi, pertandingan bola jaring bendang, pertandingan futsal bendang dan pertandingan tangkap itik.

Saya dan Encik Suami hanya berkesempatan hadir ke tapak pesta pada hari kedua (Sabtu) iaitu sekitar jam 11 pagi hingga 1 tengah hari. Jadinya tak banyak aktivti yang dapat saya saksikan, tambahan pula kami tak berkesempatan melihat-lihat ke seluruh kawasan disebabkan faktor cuaca panas dengan suhu 36℃ dan kawasan tapak pesta yang luas.

Saya kongsikan foto dan video yang sempat dirakam sepanjang kunjungan kami di sini :

Pesta Angin Timur Perlis 2024
Foto 1 | Bendang kering yang dijadikan tempat letak kereta berbayar dengan caj sebanyak RM3 sekali masuk. Lokasinya berhadapan dengan tapak pesta. Ada petugas bermotosikal yang akan menunjukkan ruang letak kereta yang masih kosong dan tunjukkan jalan keluar.

Pesta Angin Timur Perlis 2024
Foto 2 | Pintu gerbang ke tapak PAT 2024.

Pesta Angin Timur Perlis 2024
Foto 3 | Pentas utama terletak nun di hujung sana. Manakala khemah di kanan dan kiri laluan ini menempatkan ruang pameran pelbagai agensi, antaranya Angkatan Tentera Malaysia, Perbadanan Perpustakaan Negeri Perlis dan pihak media.

Pesta Angin Timur Perlis 2024
Foto 4 | Antara khemah yang meriah dengan pengunjung. Di sini kita boleh cuba pegang beberapa jenis senjata api. Saya cuba pegang sepucuk pistol, eh berat! Entah macam mana nak melepaskan tembakan kalau nak angkat pun tak larat 😆

Pesta Angin Timur Perlis 2024
Foto 5 | Pertama kali saya tengok gulungan jerami di depan mata. Menarik juga kalau dapat berfoto atas gulungan jerami ni kan?

Pesta Angin Timur Perlis 2024Foto 6 | Ruang pameran oleh Tenaga Nasional Berhad. Menarik dan unik dengan dekorasi daripada jerami, bayaran RM2 dikenakan untuk masuk sini. Selain terdapat sudut info dan pameran kenderaan elektrik (EV), di sini juga terdapat banyak sudut menarik bagi yang gemar berfoto.

Pesta Angin Timur Perlis 2024Foto 7 | Di suatu sudut lain, pertandingan bola jaring bendang sedang berlangsung.

Pesta Angin Timur Perlis 2024
Foto 8 | Tempat berlangsungnya paintball bendang.

Pesta Angin Timur Perlis 2024
Foto 9 | Bahagian jualan makanan. Ada khemah dengan meja kerusi untuk kita duduk makan. Cuaca panas sangat, kami rasa kurang selera nak makan.

Pesta Angin Timur Perlis 2024
Foto 10 | Tak selera makan, tapi ‘berselera’ membeli buku di gerai Dewan Bahasa & Pustaka (DBP). Besar mata saya bila ternampak buku Astronomi dan Astrofotografi 😍. Bukan mudah nak dapat buku begini dalam bahasa Melayu tau. Encik Suami bagi ‘green light’, dapatlah saya memiliki buku dengan harga RM50 selepas diskaun sebanyak 50%. Pembelian yang sangat berbaloi! Buku setebal kira-kira 300 halaman, bersaiz besar, penuh info dan gambar-gambar berwarna.

Pesta Angin Timur Perlis 2024Foto 11 | Singgah tengok ayam warna-warni. Comel dan cantik, tapi kecantikan sementara je tau. Lepas bulu-bulu ayam tu tanggal, jadilah rupa ayam biasa. Harga jualan sebanyak RM5 seekor. 

Pesta Angin Timur Perlis 2024
Foto 12 | Sebelum beredar, sempat saya membeli aiskrim kelapa dari sebuah gerai. Memang sesuai sangat makan waktu panas terik.

Secara keseluruhannya, saya dapat merasai pengalaman baru yang menarik di PAT 2024. Pertama kali saya berkunjung ke tapak pesta yang diadakan di bendang kering. Tetapi kenalah tahan dengan keadaan berhabuk ya, maklumlah angin timur bertiup kuat menerbangkan habuk jerami. Kasut yang saya pakai pun jadi kotor dengan debu. Tapi itu bukanlah masalah besar, kerana beginilah realiti suasana di Perlis ketika musim angin timur.

Teringin juga saya nak berkunjung pada waktu malam (cuaca lebih nyaman dengan suhu lebih rendah), tapi tak rajinlah kami memandangkan jarak tapak pesta dengan rumah agak jauh iaitu kira-kira 40 km.


Video berdurasi 1:00 minit memaparkan suasana sekitar tapak PAT 2024.







Monday, 2 October 2023

Foto Sekitar Hari Peladang, Penternak & Nelayan Peringkat Negeri Perlis 2023

[Catatan Hari Sabtu, 30 September 2023]

Hujung minggu lalu, saya dan Encik Suami ke negeri paling utara di Semenanjung Malaysia. Bukanlah acara berjalan-jalan makan angin, tetapi kami ada sedikit urusan di Chuping. Selesai urusan pada waktu petang, kami terus ke rumah adik di Kangar untuk tumpang bermalam di rumahnya.

Berbeza dengan kunjungan terdahulu, kali ini nampaknya Perlis begitu meriah. Banyak kenderaan di jalan raya, sana sini kelihatan bunga manggar majlis perkahwinan juga deretan kenderaan memenuhi bahu jalan dan ada beberapa jalan raya yang sedikit sesak.

Rupa-rupanya hujung minggu lalu merupakan hari-hari yang sibuk bagi negeri Perlis. Pelbagai acara besar berlangsung - antaranya hari pendaftaran pelajar UniMAP, Festival Kraf Utara dan Hari Peladang, Penternak & Nelayan Peringkat Negeri.


HARI PELADANG, PENTERNAK & NELAYAN PERINGKAT NEGERI PERLIS
Malam harinya semasa keluar nak pergi makan di kedai, kami dan adik sekeluarga singgah sekejap ke tapak acara yang terletak di perkarangan Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra.

Sempatlah saya memotret foto-foto berikut :

Hari Peladang, Penternak & Nelayan Peringkat Negeri Perlis 2023
Kerbau baka albino dengan berat 900 kg.
Terdapat pameran pelbagai jenis ternakan oleh para penternak. Selain kerbau dalam foto di atas, ada juga lembu sado dengan berat 1,009 kg. Selain itu terdapat pameran dan jualan produk landak raya dan sesi berfoto bersama ular. 

Hari Peladang, Penternak & Nelayan Peringkat Negeri Perlis 2023
Siapa kata Perlis cuma ada 8 orang? 😆

Hari Peladang, Penternak & Nelayan Peringkat Negeri Perlis 2023
Suasana meriah dengan para pengunjung memenuhi setiap ruangan. Tak pastilah waktu siang pun meriah begini atau tidak. Yang pasti, memang lebih nyaman dapat ke sini pada waktu malam. Tidaklah terasa bahang matahari kan’.

Hari Peladang, Penternak & Nelayan Peringkat Negeri Perlis 2023
Pisang Raja Udang a.k.a. Pisang Merah
Seingatnya ini pertama kali saya tengok pisang berwarna merah. Selalu tengok foto di medsos je. Teringin nak membeli pisang yang nampak cantik ni, tapi rupanya ini hanya bahan pameran.

Hari Peladang, Penternak & Nelayan Peringkat Negeri Perlis 2023
Burhan = burung hantu
Awalnya hairan jugak, ada apa dengan nama ‘Burhan’. Lepas tu barulah faham. Tak pasal pulak lepas ni saya akan terbayang burung hantu bila jumpa orang nama Burhan 😄

Hari Peladang, Penternak & Nelayan Peringkat Negeri Perlis 2023
Suasana tapak acara bertambah indah dengan bulan purnama menghiasi langit malam.

Hari Peladang, Penternak & Nelayan Peringkat Negeri Perlis 2023
Sebelum beredar, sempat kami masuk dalam sebuah bas yang memuatkan bahan pameran oleh UPM. Anak saudara tanya, kenapa kita nak masuk? Saya jawab - sebab UPM tu universiti mak long, pak long, ibu dan ayah 😂

Bulan purnama 30 September 2023 di Perlis Malaysia
Foto bulan purnama yang sempat saya rakam pada pukul 11.24 malam dari luar rumah adik.







Thursday, 8 December 2022

‘Reunion’ Sempena 32 Tahun Persahabatan

Entri berkaitan :


REUNION LABULADIES SEMPENA 32 TAHUN PERSAHABATAN
26 - 27 NOVEMBER 2022
LANTANA VILLA, BANGI GOLF RESORT, SELANGOR
Warna tema pakaian : Baju ‘mint green’ dan tudung ‘nude/cream’.

Hari yang dinanti-nantikan pun tiba. Hari yang mempertemukan kembali saya dan sahabat-sahabat zaman sekolah menengah. Pertemuan kali ini lebih istimewa kerana lebih ramai sahabat yang turut serta. Ada yang sanggup datang jauh dari Kelantan demi meraikan hari istimewa kami. Begitu juga dengan sahabat-sahabat lain yang sanggup datang dari Kedah, Pulau Pinang, Perak, Pahang dan Melaka.

Ada sahabat yang baru pertama kali saya temui sejak berpisah di tingkatan 3 dan ada yang kali terakhir saya temui sewaktu kami di tingkatan 5. Mujur wajah masing-masing sepertinya tak banyak berubah, masih boleh kenal walau sudah 29 tahun tak pernah bersua muka dan tak pernah melihat foto di media sosial. Kegembiraan yang tak terucap dek kata-kata, cuma terluah dengan pelukan erat dan senyuman di bibir.

Pengisian reunion kami secara ringkasnya seperti berikut :

Sabtu | 26 November 2022
  • 11.30 pagi - Ketibaan, pendaftaran dan makan tengah hari.
  • 1.30 petang - Kata-kata aluan presiden selaku ketua AJK sambutan reunion ke-3.
  • Aktiviti permainan berkumpulan.
  • Sesi tukar hadiah, pemberian hadiah untuk aktiviti berkumpulan dan cabutan bertuah.
  • Sesi berfoto.
  • Lewat petang - Aktiviti bebas.
  • 7 malam - Aktiviti kerohanian (solat berjemaah Maghrib/Isyak dan tazkirah oleh sahabat ustazah).
  • Makan malam.
  • Sesi cabutan bertuah.
  • Sesi berfoto (pakai baju dan tudung ditempah khas untuk reunion).
  • Mengalunkan lagu sekolah, lagu Sumbangsih sekolah dan zikir Asmaul Husna.
  • Lewat malam - Aktiviti bebas.

Ahad | 27 November 2022
  • Pagi - Solat Subuh berjemaah, bacaan al-Ma’thurat dan perkongsian oleh sahabat kaunselor.
  • Sarapan pagi.
  • Sesi cabutan bertuah.
  • Aktiviti bebas.
  • Gotong-royong mengemas rumah.
  • Bersurai.
Untuk aktiviti bebas - selain berfoto atau berborak santai, aktiviti lain yang kami lakukan adalah berenang, berkaraoke dan memakai inai beramai-ramai. Masing-masing boleh sertai kumpulan dengan aktiviti kegemaran. Cukup santai dan seronok!

Selesai reunion, kami muat naik semua foto/video dari telefon masing-masing di pautan khas Google Photos. Semua orang boleh berkongsi melihat dan guna foto/video yang ada. Jadinya ada beberapa foto/video di entri ini yang saya ambil daripada perkongsian sahabat lain.

REUNION LABULADIES SEMPENA 32 TAHUN PERSAHABATAN
Merakam memori di ruang tamu rumah tempat kaunter pendaftaran. Meriah dengan gelak tawa. Tambah meriah bila ada sahabat yang baru tiba, disambut dengan sorakan gembira.

REUNION LABULADIES SEMPENA 32 TAHUN PERSAHABATAN
Menu makan tengah hari kami - nasi putih, nasi beriani, ayam masak beriani, ayam goreng berempah, daging masak hitam, sambal udang, kobis masak lemak, pajeri nenas, tempoyak daun kayu, air honeydew, air teh tarik, buah-buahan, bubur chacha dan kuih-muih serta kek. Fuh! Memang sangat banyak pilihan. Masing-masing kata sedap semua makanan. Tapi tak sempat pun saya nak merasa semuanya. Selesai reunion teringat-ingat pulak…huhu.

REUNION LABULADIES SEMPENA 32 TAHUN PERSAHABATAN
Makan-makan, bergelak ketawa dan berfoto. Kami tak dirikan khemah di luar pun, makan di dalam rumah saja dengan tambahan dua buah meja bulat bersaiz besar dan sebuah meja makan panjang.

REUNION LABULADIES SEMPENA 32 TAHUN PERSAHABATAN
Sesi berfoto di dalam rumah.

REUNION LABULADIES SEMPENA 32 TAHUN PERSAHABATAN
Aktiviti permainan berkumpulan dijalankan di tingkat 3 rumah. Sengaja buat di atas sekali sebab ada ruang lapang yang luas dan supaya semua orang boleh melawat keseluruhan rumah. Boleh naik lif atau meniti anak tangga untuk ke tingkat 3. Kalau naik tangga, kita akan melalui sebuah bilik air ‘terbuka’. Heheh. Itu nanti saya cerita dalam entri berkenaan Lantana Villa.

REUNION LABULADIES SEMPENA 32 TAHUN PERSAHABATAN
Sesi berfoto waktu petang di luar rumah. Banyak sudut yang cantik untuk berfoto, antaranya di kolam renang ini yang terletak di bahagian belakang.

REUNION LABULADIES SEMPENA 32 TAHUN PERSAHABATAN
Aktiviti malam di tingkat 2 - pengisian rohani. Mengimbau zaman jadi budak asrama - solat berjemaah dan mendengar tazkirah.

REUNION LABULADIES SEMPENA 32 TAHUN PERSAHABATAN
Selesai makan malam, sekali lagi sesi cabutan bertuah. Selain hadiah cabutan bertuah yang disediakan oleh pihak AJK, ramai juga sahabat yang membawa sumbangan hadiah untuk cabutan bertuah. Itu yang jadi banyak sampai boleh buat berkali-kali.

REUNION LABULADIES SEMPENA 32 TAHUN PERSAHABATAN
Merakam memori kami menggayakan t-shirt dan tudung yang ditempah khas sempena reunion kali ini.

Alhamdulillah selesai sudah acara reunion kami dengan jayanya. Kehadiran sepatutnya sekitar 50 orang, tetapi yang dapat hadir sekitar 45 orang. Ada juga yang tak dapat ikut bermalam, tapi turut menghabiskan masa sehingga lewat malam bersama. Pertemuan yang cukup meriah dengan gelagat masing-masing yang masih seperti di zaman remaja. Bak kata seorang sahabat, kami umpama remaja 17 tahun yang terperangkap dalam jasad wanita 44 tahun 😂. Namun begitu, ada ketikanya kami turut berkongsi rasa sebak dan mengalirkan air mata pada momen tertentu. Semuanya menyatu menjadi sebuah kenangan terindah.

Berkenaan kos, perbelanjaan untuk reunion kami buat tabungan berdikit-dikit sejak sebelum pandemik COVID-19. Kami juga mendapat tajaan wang, kuih-muih dan barangan dari sahabat-sahabat yang bermurah hati. Moga Allah murahkan rezeki sahabat-sahabat yang telah menambah kegembiraan dan kemeriahan pertemuan kami ini.


Video berdurasi 0:59 minit.
Kredit lagu : Sahabat Itu Seperti Bintang - Dazzling.

Terima kasih Allah atas kesempatan ini. Terlalu banyak momen indah sepanjang pertemuan kami. Tak terungkap dengan kata-kata atau banyaknya rakaman foto, semuanya terabadi di sudut hati 💚




Friday, 2 December 2022

Bergotong-royong Membuat Persiapan Reunion

Catatan kisah pada hari Jumaat, 25 November 2022.

Lokasi reunion kami terletak di Lantana Villa, Bangi Golf Resort, Bandar Baru Bangi, Selangor. Sebuah rumah besar dan mewah yang terletak agak terasing dari rumah-rumah lain. Lokasi yang tepat untuk reunion, tidaklah nanti bunyi riuh-rendah kami mengganggu jiran. InsyaAllah kalau rajin saya akan buat entri khusus perkongsian mengenai Lantana Villa.

Berbalik kepada cerita gotong-royong membuat persiapan reunion - saya tiba di Lantana Villa agak lewat berbanding sahabat AJK yang lain, iaitu pada waktu Maghrib. Saya rasa berdebar dan teruja nak bertemu sahabat-sahabat memandangkan dah beberapa tahun saya tak bertemu mereka. Kali terakhir sewaktu reunion kami yang ke-2 iaitu pada tahun 2018.

LabuLadies Reunion 2022
Hidangan makan malam yang cukup menyelerakan.
Selesai menunaikan solat, kami makan malam bersama. Ada sahabat yang memasak nasi dan ada yang memasak telur dadar/telur mata. Lauk tempoyak daun kayu dibawa oleh seorang lagi sahabat, katanya dibuat oleh makciknya. Lauk kegemaran saya!

Memang berselera kami makan beramai-ramai sambil berbual. Riuh-rendah jugaklah walaupun tak sampai 20 orang yang ada pada malam tersebut. Selain AJK seramai 15 orang, ada juga sahabat dari jauh yang datang awal dan sahabat dekat yang sudi dikerah tenaga untuk turut membantu membuat persiapan.

Selesai makan-makan, jomlah kita bergotong-royong…

LabuLadies Reunion 2022
Antara barang-barang untuk beg cenderahati (goodies bag) yang akan diberi kepada setiap yang hadir.

LabuLadies Reunion 2022
Props untuk bergambar dan sebahagian hadiah untuk aktiviti permainan.

LabuLadies Reunion 2022
Sudah siap. Bunga rampai dengan titisan minyak lavender & ros, harum mewangi seluruh rumah macam nak menyambut pengantin baru. Belon 3 warna, tiup guna pam. Beberapa kali juga meletup, membuat suasana gamat seketika dek terkejut. Yang tukang pam tenang je, kita yang tengok rasa seram kotlah belon meletup lagi. Haha…

LabuLadies Reunion 2022
Beg cenderahati dan beg hadiah aktiviti sudah siap diisi, kami susun dalam bilik karaoke. Lengkap ada tag nama disetiap beg supaya mudah pemilik beg cari kalau nanti beg diletak merata.


LabuLadies Reunion 2022
Meja pendaftaran merangkap sudut berfoto dalam rumah.

LabuLadies Reunion 2022
LabuLadies Reunion sempena 32 tahun persahabatan. ‘LabuLadies’ tu merujuk kepada sahabat perempuan batch kami yang bersekolah di Labu, Negeri Sembilan. Kami mula bertemu dan bersahabat sejak penghujung tahun 1990, iaitu sewaktu kami melangkah masuk ke tingkatan 1. Kehidupan selama 5 tahun di asrama membuatkan ikatan persahabatan kami terjalin erat dan Alhamdulillah kekal sehingga hari ini.

Selesai gotong-royong dan mesyuarat terakhir, masing-masing beransur tidur sekitar pukul 1.30 pagi. Esok paginya masih ada kerja-kerja akhir yang perlu dibuat sebelum pendaftaran bermula pada pukul 11.30 pagi. Tugasan saya juga lebih berat pada hari berlangsungnya reunion kerana saya dan seorang lagi sahabat ditugaskan sebagai AJK Makanan.

Semua AJK rasa berdebar, bimbang kalau majlis reunion tidak berjalan lancar atau ada kekurangan yang ketara. Mungkin begini rasanya kalau kahwinkan anak, gurau seorang sahabat. Cuma tentunya majlis reunion lebih mudah sebab kami ada barisan AJK, berbahagi tugas dan saling membantu.

Bagaimana suasana pada hari reunion? InsyaAllah di entri seterusnya. Bukan mudah nak mengarang dan memilih lambakan foto untuk diabadikan sebagai catatan blog.