Thursday, 28 September 2023

Beribu Bintang di Langit…

Sudah menjadi kebiasaan saya suka memerhatikan langit malam, mencari-cari apa ada di langit. Rasa seronok dan bahagia kalau dapat memandang bulan dalam fasanya tersendiri, atau planet yang kelihatan seperti setitik cahaya terang, apa lagi kalau dapat menyaksikan kerdipan bintang memenuhi langit malam 🤩

Foto langit malam berikut saya rakam di rumah mentua saya di Batu Pahat, Johor pada 20 September 2023 sekitar pukul 11.37 - 11.44 malam.

Sila klik pada foto untuk paparan lebih jelas.

Beribu Bintang di Langit
Hasil rakaman foto di ruang langit yang gelap pekat.

Beribu Bintang di Langit
Pandang ke sudut mana pun, semuanya dipenuhi dengan bintang 😍

Beribu Bintang di Langit
Masya Allah! Bahagia sungguh saya dapat menyaksikan kerdipan bintang yang memenuhi ruang langit.

Langit malam tanpa litupan awan dan kurangnya pencemaran cahaya di kawasan kampung membolehkan bintang dapat dilihat dengan jelas. Suatu pemandangan yang cukup menakjubkan dan memberi ketenangan bagi pencinta cakerawala. Serasa ingin saja saya berada di luar rumah selama mungkin sambil menatap langit malam yang indah.

Allah Yang Maha Hebat melengkapi langit dengan bintang yang bukan sekadar menjadi penyeri malam. Terima kasih Allah atas nikmat ini ❤️






.

Wednesday, 27 September 2023

Pulau Mas Kahwin

 
Travelog Inderaskti Pulau Mas Kahwin - Jejak Sejarah Johor-Riau
Judul : TRAVELOG INDERASAKTI PULAU MAS KAHWIN
- JEJAK SEJARAH JOHOR-RIAU
Penulis : Syed Azharul Asriq
Penerbit : Jejak Tarbiah Publication
Tahun terbit : 2018 (cetakan pertama 2018)
Jumlah halaman : 187


Sebelum ini saya telah membaca naskhah sejarah oleh Syed Azharul Asriq yang berjudul Kerana Cinta Aku Derhaka, ia mencatatkan pengembaraan penulis mencari hikmah sejarah di Kota Tinggi, Johor. Dalam naskhah kali ini pula, penulis membawa pembaca mengikuti pengembaraan beliau mencari hikmah sejarah di Pulau Penyengat.

Pulau Penyengat atau Pulau Penyengat Inderasakti adalah sebuah pulau kecil yang dahulunya menjadi simbol kebesaran kerajaan Johor-Riau. Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 telah memisahkan kerajaan Johor-Riau, Johor di bawah kekuasaan Inggeris dan Riau pula di bawah kekuasaan Belanda. Hari ini, Pulau Penyengat merupakan sebahagian daripada Kepulauan Riau, Indonesia.


PULAU PENYENGAT SEBAGAI MAS KAHWIN
Pulau Mas Kahwin yang dimaksudkan oleh penulis ialah Pulau Penyengat kerana pada tahun 1803 ia dijadikan hadiah mas kahwin oleh Sultan Johor ke-15, Sultan Mahmud Syah III kepada Raja Hamidah, iaitu puteri Raja Haji Fi Sabilillah sebagai isteri keempatnya.

Pulau Penyengat Riau Indonesia
Peta kedudukan Pulau Penyengat (sumber : Google Maps)

MENELUSURI TINGGALAN SEJARAH DI PULAU PENYENGAT
Penulis membawa pembaca menelusuri tinggalan sejarah di Pulau Penyengat dan catatan sejarah berkenaannya. Saya kongsikan sebahagiannya di sini sebagai pengetahuan kita bersama :

Makam Raja Haji Fi Sabilillah
  • Raja Haji Fi Sabilillah merupakan Yamtuan Muda ke-4.
  • Seorang pahlawan.
  • Beliau meninggal dunia ditembak meriam Belanda di Teluk Ketapang, Melaka pada 17 Jun 1784 sewaktu menyerang kubu Belanda di Melaka.

Makam Engku Puteri Raja Hamidah
  • Engku Raja Hamidah merupakan puteri sulung kepada Raja Haji Fi Sabilillah yang dilahirkan sekitar tahun 1774.
  • Merupakan isteri keempat Sultan Mahmud Syah III yang menerima Pulau Penyengat sebagai mas kahwin.
  • Menjadi pemegang alat kebesaran diraja serta nobat pusaka kerajaan.
  • Beliau meninggal dunia pada tahun 1844 ketika berusia 70 tahun.

Makam Pujangga Raja Ali Haji
  • Raja Ali Haji merupakan cucu kepada Raja Haji Fi Sabilillah yang dilahirkan pada tahun 1808.
  • Seorang ilmuan.
  • Menghasilkan kitab Tuhfat al-Nafis yang bermaksud ‘Hadiah Yang Bernilai’. Kitab ini menceritakan kisah sejarah jalinan darah Raja Melayu dan Raja Bugis.
  • Karya sastera beliau yang paling masyhur ialah Gurindam Dua Belas yang dikarang pada tahun 1847. Gurindam Dua Belas mengajar kita menjadi bangsa Melayu yang berbudi.
  • Meninggal dunia pada tahun 1872.
  • Pada tahun 2004, beliau dianugerahi gelaran Pahlawan Nasional oleh pemerintah Indonesia sempena Sambutan Hari Pahlawan.

Selain lawatan ke makam-makan, penulis turut menelusuri tinggalan sejarah Istana Tengku Bilik, Balai Adat, Istana Kantor dan Gudang Mesiu.


KELAB RUSYDIAH
Saya tertarik dengan perkongsian penulis berkenaan Kelab Rusydiah, sebuah kelab cendekiawan yang ditubuhkan di Pulau Penyengat pada awal tahun 1890-an.

Bagi menyertai kelab ini, seseorang haruslah menghasilkan karya penulisan ilmiah. Penyertaan hanya diterima sekiranya karya tersebut dinilai berkualiti. Fuh! Bukan mudah ya.

Kelab ini kemudiannya menjadi satu pergerakan politik yang menentang penjajahan Belanda menerusi pemikiran dan gagasan idea.


Pulau Mas Kahwin, sebuah naskhah yang bagus bagi kita memahami sejarah bangsa Melayu khususnya sejarah Kerajaan Johor-Riau. Banyak hal yang dapat saya ketahui tentang sejarah kesultanan Johor, tanah kelahiran saya ini. Dengan mengetahui kisah masa lalu dapatlah kita memahami situasi hari ini dan mengambil pelajaran daripada apa yang telah terjadi.


Bukankah sejarah itu kisah orang mati sebagai panduan kepada orang yang hidup? Mereka pergi, namun cita-cita mereka tidak mati. Kitalah penerus cita-cita tokoh terdahulu. - Pulau Mas Kahwin, Syed Azharul Asriq.





 

Tuesday, 26 September 2023

Remaja Purba Kafe & Bakeri, Ipoh

Sewaktu ke Ipoh baru-baru ini, saya dan Encik Suami berkesempatan mencuba makan di Remaja Purba Kafe & Bakeri. Saya tahu berkenaan tempat makan ini hasil carian internet.

Kafe ini beroperasi mulai pukul 5 petang. Kami tiba di sini menghampiri pukul 6 petang.

Boleh pilih makan di dalam (ruang tertutup) atau di luar (ruang terbuka). Kalau nak makan di dalam, masuk ikut pintu satu lagi (tak kelihatan pada foto). Tapi nampaknya dah penuh di dalam, ruangnya sangat terhad.

Remaja Purba Kafe & Bakeri, Ipoh
Ruang makan di luar. Terdapat beberapa buah meja lagi di hadapan kafe. Masa ni hujan baru saja berhenti. Meja dan kerusi semuanya basah dek tempias hujan lebat. Kami pilih satu meja dan minta pelayan kedai lapkan dengan kain.

Kami diberi buku menu dan buku pesanan, perlu tulis sendiri pesanan kita dan kembalikannya ke kaunter.

Remaja Purba Kafe & Bakeri, Ipoh
Lemon Lime Mojito / RM7.90 dan Honeydew / RM6.90
Bila minuman sampai, baru terfikir kenapalah kami pesan dua minuman sejuk di hari yang sejuk selepas hujan begini 😅. Sepatutnya pesanlah satu minuman sejuk dan satu lagi minuman panas.

Minuman lemon lime mojito tu sedap tau, silalah pesan yang ini kalau datang sini ya.

Remaja Purba Kafe & Bakeri, Ipoh
Kek Red Velvet / RM12
Rasanya sedap, cuma tekstur kek sedikit kering.

Remaja Purba Kafe & Bakeri, Ipoh
Grilled Chicken Chop / RM17
Daging ayamnya lembut berjus dengan sos lada hitam yang cukup memuaskan selera. Sedap!

Remaja Purba Kafe & Bakeri, Ipoh
Spaghetti Bolognese / RM17
Rasanya berbeza berbanding spaghetti bolognese yang pernah saya makan di tempat lain dan yang saya masak di rumah. Sangat sedap!

Seperkara lagi yang menarik berkenaan kafe ini, tempat makannya dihiasi dengan pokok-pokok menghijau. Segar mata memandang. Sambil menikmati hidangan, kita juga dapat menikmati pemandangan indah perbukitan batu kapur (lokasi Lost World of Tambun).



************************************************************

REMAJA PURBA KAFE & BAKERI
24, Jalan Sci 1/1, Dataran Sunway,
Ipoh, Perak.

Facebook | Remaja Purba Kafe Dan Bakeri
Carian Google Maps | Remaja Purba Cafe and Bakery

Waktu operasi :
Setiap hari | 5 petang - 12 tengah malam
Tutup | Isnin






.

Monday, 25 September 2023

Philips Induction Cooker

Sejak bulan Ogos lalu, Tefal induction cooker saya mulai ‘meragam’. Sedang saya memasak, tiba-tiba ia tak berfungsi. Paparan pada panel menunjukkan kod ‘E3’.

Apa maksud error code E3?
Error code E3 means voltage over-loaded. Operation can be resumed when power voltage returns to normal rating.

Troubleshooting:
  • Wait for the unit to cool.
  • Turn the home circuit breaker to the unit off for 30 seconds then back on again.
  • Retest the unit operation.
  • If these steps do not resolve the issue, no further troubleshooting advice is available. Contact Factory Certified Service to schedule an appointment for repair.

Bukan sekali dua terjadi begitu, makin lama semakin kerap berlaku. Saya dah lakukan langkah penyelesaian seperti di atas, tetapi nampaknya masalah tetap tak dapat diselesaikan.

Induction cooker ni saya dah gunakan selama lebih 3 tahun, iaitu sejak berpindah ke rumah PP (entri berkenaan pembelian Tefal induction cooker - Bila Ada Dua Rumah…). Manakala waranti produk pula untuk 2 tahun. Dah habis waranti maksudnya kos baik pulih atas tanggungan sendiri.

Setelah berfikir-fikir, kami ambil keputusan untuk membeli saja induction cooker yang baru. Induction cooker yang bermasalah tetap jua akan dibaiki, tapi entah bila nak pergi hantar ke pusat servis Tefal yang terletak di Georgetown. Malas nak masuk bandar yang sesak tu.

Induction cooker
10 September 2023 lalu, kami ke Harvey Norman yang terletak di bangunan IKEA Batu Kawan atau sekarang dikenali sebagai Klippa Shopping Centre.

Terdapat empat pilihan induction cooker satu ‘tungku’ di sini. Teringin jugak nak beli jenis dua ‘tungku’, lebih mudah bila nak memasak dua jenis masakan serentak. Tapi dengan saiz ruangan dapur sekarang yang terhad, saya tangguhkan dulu hasrat tersebut.

Philips induction cooker
Kali ini kami pilih induction cooker jenama Philips model HD4902. Harganya RM189. Dari segi rupa, Philips induction cooker ini kurang menarik berbanding rupa Tefal induction cooker yang nampak lebih moden.

Dari segi fungsi memasak pula, Tefal lebih bagus sebab ada 6 fungsi memasak. Philips cuma ada 3 fungsi memasak. Memasak dengan Tefal juga lebih mudah sebab boleh set timer sesuka hati dan ada paparan digital countdown timer. Philips pula cuma boleh tetapkan timer 5 minit/15 minit/30 minit atau gabungan 3 masa tersebut dan tiada paparan digital countdown. Disebabkan saya dah terbiasa gunakan timer Tefal untuk set masa tambahan beberapa minit, jadinya terasa leceh jugaklah tak boleh buat begitu lagi bila gunakan Philips ni.

Apa pun, harapnya Philips induction cooker dapat berkhidmat cemerlang dalam tempoh masa yang lebih lama. Jangan jadi macam Tefal yang kecundang selepas 3 tahun. Selain induction cooker, seterika jenama Tefal yang saya gunakan sejak berpindah ke rumah PP juga dah rosak. Sekarang saya dah beli seterika baru jenama Philips. Rasa serik pulak beli peralatan elektrik jenama Tefal, nampaknya tak tahan lama. Seterika di rumah NS jenama Philips dah digunakan selama berbelas tahun pun tak pernah rosak, ini baru beberapa tahun dah bermasalah.






.

Saturday, 23 September 2023

Kopi Chandu dan Kacang Pool di Pak Lurah Bistro

Kelmarin semasa dalam perjalanan balik dari rumah mentua di Batu Pahat, Johor saya dan Encik Suami berkesempatan singgah makan di Pak Lurah Bistro.

Saya pernah buat entri berkenaan tempat ini pada tahun 2021 DI SINI. Selain terdapat perubahan harga makanan, terdapat juga perubahan menu dan waktu operasi. Waktu operasi terkini saya catatkan di hujung entri ini.

Hidangan pilihan kami kali ini :

Nasi goreng kambing panggang
Nasi goreng kambing panggang | RM25
Rasa hidangan nasi goreng kambing panggang masih sedap seperti kunjungan sebelum ini. Cuma kambing panggang yang kami dapat kali ini banyak bahagian yang liat. Jadi rasa kurang berbaloi dengan harganya.

Set roti kacang pool
Set roti kacang pool | RM8
Biasanya hidangan kacang pool akan letak telur mata tu atas kacang pool, tapi yang ni telur mata diletak atas roti. Saya lebih suka begini sebab mudah saya nak makan roti bersama kacang pool.

Rotinya lembut dan tak kering, makan pula dengan kacang pool yang diperbuat daripada ramuan rempah ratus dan daging cincang, memang sangat sedap!

Set lempeng kacang pool
Set lempeng kacang pool | RM9
Sama je dengan hidangan di atas, cuma roti diganti dengan lempeng. Yang ini pun sedap, nipis dan lembut lempengnya.

Kopi chandu dengan susu segar
Kopi chandu dengan susu segar
Minuman kami - kopi chandu dengan susu segar. Encik Suami pilih kopi chandu panas dan saya pula lebih gemar kopi chandu ais. Harga kopi chandu ais RM6, kopi chandu panas saya kurang pasti harganya sama ada RM4 atau RM5.

Kopi chandu yang dihasilkan dengan campuran kulit kayu manis memberikan rasa kopi yang unik. Penggunaan susu segar pula menambahkan rasa lemak pada kopi chandu. Rasa kopi ini tak manis, memang menepati cita rasa saya. Pendek kata, memang sedap! Bagi penggemar kopi, harus cuba kopi chandu jika datang ke Pak Lurah Bistro.

Alhamdulillah perut sudah kenyang, kami teruskan perjalanan menuju ke utara tanah air. Rancangan asal nak menjenguk dan bermalam di rumah NS terpaksa dibatalkan sebab terdapat perubahan jadual kerja Encik Suami. Dari Lebuhraya Utara-Selatan, kami keluar di Ipoh dan bermalam selama dua malam di K Garden Hotel. Encik Suami ada urusan kerja di Tanjung Rambutan pula.

———————————————————————-

PAK LURAH BISTRO NASI KAMBING BATU PAHAT
Jalan Besar Parit Sulong,
Batu 7, Felcra Seri Wangi,
Batu Pahat, Johor.
011-3376 3722

Waktu operasi :
Setiap hari | 9 pagi - 3.30 petang
Tutup | Selasa






.

Friday, 22 September 2023

Kembali ke Negeri Paling Selatan di Semenanjung Malaysia

Bukan main panjang tajuk entri, ayat mudahnya - balik kampung di Johor 😁. Alhamdulillah saya dan Encik Suami berkesempatan kembali ke kampung halaman juga tanah kelahiran kami berdua yang sudah hampir lima bulan tidak dijejaki.

Kami balik kampung pada 17 - 21 September 2023. Dapatlah dua malam di kampung saya di daerah Pontian dan dua malam berikutnya di kampung Encik Suami di daerah bersebelahan iaitu Batu Pahat.

Pontian, Johor
6.40 petang hari Ahad, 17 September 2023 | Bandar Pontian
Kami selamat tiba di bandar Pontian pada pukul 6.40 petang. Bertolak dari rumah PP pada pukul 8.45 pagi, kemudian singgah selama 1.5 jam di Cyberjaya dan selepas itu berhenti solat di R&R. Total masa perjalanan kira-kira 10 jam. Aliran trafik lancar dari utara, tetapi sesak sewaktu kami tiba di Pagoh sehinggalah susur keluar di Simpang Renggam.

2.40 petang hari Selasa, 19 September 2023 | Kulai
Sebelum ke Batu Pahat, kami ke Kulai atas urusan kerja Encik Suami. Pekerjaan itu tanggungjawab, balik kampung pun satu tanggungjawab. Kita cubalah imbangi kedua-duanya.

Planet Neptune
6.20 pagi hari Rabu, 20 September 2023 | Batu Pahat
Keindahan warna langit subuh dengan dihiasi sebuah planet. Besar saiznya dan bersinar terang. Malam tadi ia berada di kedudukan agak jauh, subuh ini jelas di depan rumah. Dapatlah saya memotret keindahannya.

Hasil carian saya mendapati ia mungkin planet Neptun berdasarkan info berikut :

𝟭𝟵 𝗦𝗲𝗽𝘁𝗲𝗺𝗯𝗲𝗿 𝟮𝟬𝟮𝟯 | 𝗢𝗽𝗼𝘀𝗶𝘀𝗶 𝗡𝗲𝗽𝘁𝘂𝗻
Planet Neptun akan berada pada kedudukan terdekat dengan Bumi dan seluruh permukaannya akan disinari sepenuhnya oleh Matahari dan boleh dilihat dengan lebih terang berbanding pada kedudukan lain dan akan kelihatan pada keseluruhan waktu malam. Disebabkan oleh jaraknya yang jauh dari Bumi, ia akan kelihatan seperti bintik biru terang di langit malam. [sumber info : laman web Agensi Angkasa Malaysia (MYSA)]


Selain foto planet di atas, saya juga berhasil memotret taburan bintang di ruang langit rumah mentua. InsyaAllah saya kongsikan pada entri lain.

Alhamdulillah…dapat pulang ke kampung menziarahi orang tua kami. Dapat juga bertemu dengan sebahagian adik-beradik dan makcik pakcik. Barulah terasa yang kami ni masih ada keluarga dan saudara-mara 😄






.

Saturday, 16 September 2023

Laungan Azan Subuh Dua Kali di Pulau Pinang

 
Laungan Azan Subuh Dua Kali di Pulau Pinang
5.32 pagi, 14 September 2023 | Pemandangan dari balkoni rumah PP, masa ni azan pertama sedang berkumandang.

LAUNGAN AZAN SUBUH DUA KALI DI PULAU PINANG
Laungan azan Subuh dua kali di Pulau Pinang sebenarnya bukanlah perkara baru. Tetapi saya hanya mengetahuinya selepas berhijrah ke sini pada tahun 2020. Sebelum itu, saya tak pernah mendengar laungan azan waktu Subuh sebanyak dua kali di mana-mana tempat yang pernah saya kunjungi di Malaysia.

Awalnya saya sangka ada kesilapan, muazin tersalah tengok jam jadinya laungkan azan awal dari waktu Subuh yang sepatutnya 😄. Tapi tak mungkinlah ianya satu kesilapan kalau selalu terjadi kan? Selepas itu barulah saya tahu apa sebabnya.

Ini penjelasannya :
  • Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) menerusi surat pekeliling pada tarikh 6 Julai 2017, menggalakkan masjid dan surau di seluruh negeri Pulau Pinang melaungkan azan sebanyak dua kali pada waktu Subuh.
  • Ia bertujuan bagi menghidupkan semula sunnah Nabi Muhammad SAW.
  • Bagi pelaksanaan ini, azan pertama akan dilaungkan sekitar 30 minit sebelum masuk waktu Subuh dan azan kedua akan dilaungkan apabila masuk waktu Subuh dengan kedua-dua azan tersebut sunat menyebut kalimah الصلاة خير من النوم yang bermaksud solat itu lebih baik daripada tidur.
  • Pelaksanaan ini hanya digalakkan, tidak wajib dilakukan.
  • Pihak jawatankuasa masjid dan surau hendaklah memaklumkan terlebih dahulu kepada ahli kariah berkaitan pelaksanaan ini agar tidak timbul kekeliruan.

Hasil carian saya juga mendapati terdapat dua negeri lain yang melaksanakan azan Subuh dua kali, iaitu negeri Kedah dan negeri Pahang. Tetapi sebab ianya bukanlah wajib, bermaksud bukan semua masjid dan surau melaksanakannya. Mungkin sebab itulah saya sendiri tak pernah mendengar azan Subuh dua kali sewaktu berkunjung ke Kedah dan Pahang.


AZAN TIDAK BOLEH DILAUNGKAN DI PULAU PINANG?
Beberapa bulan lalu, timbul isu berkenaan larangan melaungkan azan di Pulau Pinang. Fakta sebenarnya, penggunaan pembesar suara di luar masjid/surau hanya dibenarkan untuk azan dan iqamah sahaja.

Maksudnya boleh melaungkan azan dan iqamah seperti biasa, tetapi perlu menggunakan pembesar suara di dalam masjid/surau bagi aktiviti selain azan dan iqamah (contoh : bacaan al-Quran sebelum waktu solat dan kuliah yang diadakan selepas waktu solat).

Ia bertujuan supaya tidak mengganggu mereka yang tinggal berhampiran masjid/surau. Entah ada orang sakit, anak kecil tidur, orang yang perlu berehat setelah penat bekerja atau orang yang sedang beribadah di rumah.

Selain itu juga, ia bagi mengelakkan salah faham orang bukan Muslim yang tidak dapat membezakan laungan azan dengan bacaan selain azan. Mereka mungkin menyangka azan terlalu lama dan mengganggu mereka, sedangkan azan sebenarnya cuma sekejap saja.

Sebagai memahami lebih mendalam berkenaan hukum bacaan kuat selain azan, saya sarankan kalian baca dengan teliti penjelasan lengkap oleh Dr. MAZA di pautan INI.



SELAMAT MENYAMBUT HARI MALAYSIA KE-60 🇲🇾
16 September 1963 menjadi detik bersejarah pembentukan Malaysia yang terdiri daripada Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura (keluar dari Malaysia pada 9 Ogos 1965). Marilah bersama kita menjaga keharmonian di antara rakyat berbilang kaum dan agama di Malaysia demi kemakmuran negara.







Thursday, 14 September 2023

Ringkasan dan Kos Trip Ke Bangkok, Thailand

RINGKASAN TRIP  KE BANGKOK, THAILAND
28 JUN - 2 JULAI 2023 | 5 HARI 4 MALAM

Hari Pertama | Rabu
  • 3 petang - tiba di Lapangan Terbang Don Mueang.
  • Naik bas dan BTS SkyTrain ke hotel.
  • Pukul 5.25 petang - daftar masuk Noursabah Boutique Bed-Bangkok di Lorong Phetchaburi 7.
  • Menikmati hidangan pertama masakan Thai di Asma Kitchen, kedai makan depan hotel.
  • Jalan kaki melihat suasana malam di sekitar hotel, iaitu di Lorong Phetchaburi 7 dan Jalan Phetchaburi.

Hari Kedua | Khamis
  • Sarapan ringkas (kopi dan roti bakar sapu jem & mentega) di pantri hotel.
  • 8.30 pagi - jalan kaki ke masjid.
  • 9 pagi - menunaikan solat sunat Hari Raya Aidiladha di Masjid Darul Aman.
  • Menikmati juadah jamuan hari raya oleh penduduk Muslim tempatan yang berhati mulia di kedai Rotinis Halal Breakfast.
  • Petang - aktiviti menyusuri Sungai Chao Phraya dengan menaiki Hop-On Hop-Off Tourist Boat. Pergi dan balik naik BTS.
  • Makan malam beli kebab di Red Istanbul Turkish Restaurant dan makan di bilik hotel.

Hari Ketiga | Jumaat
  • 6 pagi - sarapan di pantri. Beli murtabak daripada peniaga jalanan di luar bangunan hotel.
  • Lepas sarapan, cuma berehat di bilik sebab saya sakit perut. Tak jadi keluar berjalan.
  • 11 pagi - daftar keluar hotel.
  • Makan di Asma Kitchen.
  • 12.20 tengah hari - Encik Suami menunaikan solat Jumaat di Masjid Darul Aman.
  • Naik ARL di stesen Phaya Thai dan turun di stesen Ratchaprarop untuk ke penginapan seterusnya.
  • 2 petang - daftar masuk KC Place Hotel Pratunam di Jalan Ratchaprarop.
  • Keluar untuk ke Central Rama 3 dan pasar malam Ramkhamhaeng dengan menaiki pengangkutan awam (tren dan bas). Tapi sesat masa nak cari lokasi bas 😂. Pendek cerita, sebab dah lewat petang dan penat jalan kaki maka rancangan dibatalkan dan kami kembali ke hotel.
  • Makan malam di Afanti China Halal Food, lokasinya tak jauh dari hotel.

Hari Keempat | Sabtu
  • Naik ARL turun di stesen Phaya Thai, sarapan di Rotinis Halal Breakfast sebelum meneruskan perjalanan menaiki BTS ke Chatuchak Weekend Market.
  • 10.20 pagi - tiba di Chatuchak Weekend Market.
  • 3.30 petang - keluar dari Chatuchak Weekend Market dan terus balik berehat di bilik hotel.
  • 6.20 petang - naik teksi ke Central Rama 3.
  • Baliknya naik e-hailing Bolt menuju ke Jalan Phetchaburi untuk makan malam di Asma Kitchen.
  • Lepak menikmati suasana malam di dataran kecil depan bangunan The Unicorn berhampiran stesen Phaya Thai.

Hari Kelima | Ahad
  • Sarapan ringkas di bilik dengan buah laici yang dibeli di Central Rama 3 malam tadi dan sebungkus kacang gajus.
  • Siap-siap kemas beg sebelum keluar berjalan, mudah nak daftar keluar tengah hari nanti.
  • 10.20 pagi - tiba di Suan Pakkad Palace Museum dengan berjalan kaki dari hotel.
  • 12 tengah hari - daftar keluar hotel.
  • Makan di Afanti China Halal Food.
  • Naik ARL di stesen Ratchaprarop menuju ke Lapangan Terbang Suvarnabhumi.
  • 2 petang - tiba di lapangan terbang. Mujur sampai awal, kami perlu beratur panjang dan ambil masa lama untuk check-in.
  • 6.40 petang - penerbangan pulang ke Kuala Lumpur.
  • 11.35 malam - penerbangan dari KLIA  ke Penang Airport.

Alhamdulillah, kami selamat tiba di Penang Airport sekitar 12.40 tengah malam hari Isnin.


Video berdurasi 3:08 minit sekitar trip ke Bangkok.


******************************************************************************

KOS TRIP KE BANGKOK UNTUK DUA ORANG
28 JUN - 2 JULAI 2023 | 5 HARI 4 MALAM

Pengangkutan :
  • Penerbangan pergi menaiki Thai Air Asia (Penang - Bangkok) dan balik menaiki Malaysia Airlines (Bangkok - Kuala Lumpur - Penang) - RM1,364
  • Caj parkir kereta di Airport Penang | 4 hari 13 jam 19 minit - RM160
  • Pengangkutan awam di Bangkok - THB1,417
Penginapan :
  • 2 malam di Noursabah Boutique Bed-Bangkok - RM307.82
  • 2 malam di KC Place Hotel Pratunam - RM329.96
Insurans / Takaful :
  • TripCare 360 Takaful | Platinum untuk suami isteri - RM66.10
Internet :
  • Internet Roaming Celcom - RM58 untuk 7 hari (kongsi berdua)
Makan :
  • Di Malaysia - RM33.10
  • Di Bangkok - THB3,965
Lain-lain :
  • Tiket Hop On Hop Off Tourist Boat | RM15.79 x 2 orang - RM31.58
  • Tiket Suan Pakkad Palace Museum | 100 Baht x 2 orang - THB200
  • Membeli-belah - RM8 + THB3,855

TOTAL PERBELANJAAN :
= RM2,358.56 + THB9,441 (nilainya RM1,283.97 mengikut kadar semasa kami buat tukaran wang)
= RM3,642.53


Saya catatkan secara terperinci perbelanjaan kami untuk rujukan sendiri pada masa akan datang. Mudah saya nak cari semula bila letak di blog begini. Mungkin juga ada kesilapan sedikit (terlebih atau terkurang), kadang beli barang kecil tersilap catat harga atau terlupa nak catat. Tapi secara keseluruhannya, total kos di atas adalah menepati kos sebenar.

Ringkasan Perjalanan dan Kos Trip Ke Bangkok, Thailand

Catatan trip ke Bangkok berakhir di sini. Terima kasih Allah atas kesempatan buat kami melihat negara orang. Banyak hal dapat kami pelajari, selain dapat melihat kelemahan diri menerusi kembara ini. Antaranya, kami belajar untuk sabar, tenang, redha, syukur, adab, toleransi dan indahnya persaudaraan sesama Muslim. Semoga permusafiran ini memberi manfaat buat kami dan buat sahabat pembaca catatan saya ini.

Semua catatan berkenaan trip ke Bangkok boleh di baca DI SINI.






.

Tuesday, 12 September 2023

Foto-foto Sekitar Trip Ke Bangkok Pada 28 Jun - 2 Julai 2023

Foto-foto terpilih sekitar trip saya ke Bangkok pada 28 Jun - 2 Julai lalu yang tiada entri khusus, saya letak di entri ini sebagai kenang-kenangan.

1
Kabel elektrik berselirat seakan menjadi satu trademark bagi Thailand. Dalam foto di atas tak begitu berselirat pun, tapi apa yang buat saya tertarik memotret sebab terdapat CCTV pada tiang elektrik tersebut. Bukan CCTV yang besar tu, itu dipasang pada bangunan hotel.

2
Haa…yang ini jelas menunjukkan betapa berseliratnya kabel elektrik mereka. Foto ini saya rakam sewaktu sedang melalui Lorong Phetchaburi 7, terdapat gangguan elektrik ketika itu. Lorong ini sempit, yang bagusnya masing-masing kekal bertenang menunggu giliran untuk lalu. Tak kedengaran sebarang bunyi hon.

Saya terfikir, entah macam mana caranya petugas tersebut nak melakukan kerja baik pulih dengan kabel elektrik begitu. Tapi mereka dah biasa, tentu dah cukup mahir. 

3
Foto kesibukan aliran trafik ini saya rakam dari stesen Ratchaprarop. Saya pernah menyaksikan aliran trafik Bangkok yang sangat sibuk dan sangat padat kenderaan memenuhi jalan sehingga tiada ruang kosong. Memang timbul rasa terkejut dan takut bila melihatnya dari atas.

4
Foto landasan kereta api yang dirakam dari stesen Phaya Thai. Nampaknya seperti ada kehidupan (tempat tinggal) di sepanjang tepi landasan.

5
Ini pula landasan kereta api yang terletak di bawah stesen ARL Ratchaprarop. Di sinilah saya perlu melintas jalan setiap hari selama menginap dua malam di KC Place Hotel Pratunam. Palang diturunkan dan ada petugas mengawal apabila ada kereta api nak melalui tempat ini.

6
Antara perkara unik yang saya perasan, di sini terdapat banyak perkhidmatan dobi layan diri yang menggunakan mesin basuh seperti kegunaan di rumah. Selain mesin basuh automatik begini, saya nampak ada juga pilihan mesin basuh manual.

7
Inilah bilik penginapan saya dan Encik Suami di KC Place Hotel Pratunam. Bilik jenis Standard Room with balcony. Tiada entri khusus berkenaan penginapan ini sebab saya tak berpuas hati menginap di sini 😕

Dengan bayaran sebanyak RM329.96 untuk dua malam, kami dapat bilik dengan tilam betul-betul keras, ruangan bilik yang sempit sebab bilik bentuk memanjang dan ada seekor anak lipas merayap di dinding! Bilik airnya juga sempit dengan tingkap rendah menghadap bangunan bertentangan - kalau ditutup tiada pengaliran udara tapi kalau dibuka tiada privasi pulak. Kesannya, bilik air ini terasa berbahang sebab tiada aliran udara yang baik dalam ruang sempit.

Satu lagi yang buat saya rasa tertipu, kami ambil bilik ‘with balcony’ tapi rupanya balkoni yang dimaksudkan hanyalah ruang ‘sekangkang kera’ yang nampak kotor. Apa pun, inilah namanya pengalaman mengembara.

Oh ya, deposit sebanyak 1,000 Baht atau RM100 juga dikenakan sewaktu kita mendaftar masuk.

8
Foto di Suvarnabhumi Airport. Terdapat banyak patung-patung berkaitan Buddha di dalam bangunan lapangan terbang ini. Ada yang sangat besar dan tinggi, tapi saya tak rakam fotonya.

9
Panduan bagi yang akan ke Suvarnabhumi Airport. Klik pada foto untuk paparan lebih jelas ya. Ruang solat Muslim terdapat di aras 3. Alhamdulillah!

10
Setiap petang sepanjang beberapa hari kami di Bangkok, hujan turun membasahi bumi termasuklah pada hari penerbangan pulang ke Malaysia.

11
Hidangan semasa dalam penerbangan dari Bangkok ke Kuala Lumpur. Semuanya begitu menyelerakan. Habis licin saya makan. Entah sebab perut rasa lapar atau memang betul sedap hidangan ini 😀


InsyaAllah entri seterusnya merupakan catatan terakhir trip ke Bangkok - ringkasan perjalanan dan kos.












Sunday, 10 September 2023

Flora, Fauna & Fungus di Bukit Juru

Foto-foto flora, fauna dan fungus (cendawan/kulat) berikut dirakam pada 3 September 2023 lalu, sewaktu saya dan Encik Suami melakukan aktiviti pendakian Bukit Juru yang terletak di Bukit Mertajam, Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang.

Sila klik pada foto untuk paparan lebih jelas ya.

Flora, Fauna & Fungus di Bukit Juru
1. Cendawan dengan bentuk seperti payung.

Flora, Fauna & Fungus di Bukit Juru
2. Menarik dengan paduan beberapa warna.

Flora, Fauna & Fungus di Bukit Juru
3. Menyerlah terang warna orennya.

Flora, Fauna & Fungus di Bukit Juru
4. Bagai disusun bertingkat-tingkat.

Flora, Fauna & Fungus di Bukit Juru
5. Unik bentuknya.

Flora, Fauna & Fungus di Bukit Juru
6. Warnanya tidaklah menyerlah, tapi nampak menarik di mata saya.

Flora, Fauna & Fungus di Bukit Juru
7. Kelihatan seperti 3 kuntum bunga bersusun.

Flora, Fauna & Fungus di Bukit Juru
8. Cantik bagaikan sekuntum bunga.

Flora, Fauna & Fungus di Bukit Juru
9. Mengkarung yang muncul di laluan sewaktu kami menuruni bukit. Cantik warnanya dengan sisik berkilat. Selesai saya merakam foto dan video, mengkarung ini melompat masuk ke semak.

Flora, Fauna & Fungus di Bukit Juru
10. Sebahagian daripada pokok hutan yang diletakkan tanda nama - Meranti, Kelat dan Melembu.

Aktiviti memerhati flora, fauna dan fungus merupakan satu bentuk terapi mata dan jiwa bagi diri saya. Sesungguhnya Maha Hebat Allah yang menciptakan kepelbagaian hidupan di alam ini.

Alhamdulillah ❤️






.

Friday, 8 September 2023

Mendaki Bukit Juru Melalui Trek ‘646 Anak Tangga’

[Catatan Hari Ahad, 3 September 2023]

Ini merupakan kali ke-3 saya dan Encik Suami melakukan aktiviti pendakian ke Bukit Juru. Kali terakhir kami ke sini sekitar bulan Mei lalu. Tetapi kali ini kami akan mencuba trek yang belum pernah kami lalui.

Terdapat dua pilihan tempat permulaan pendakian (trailhead) untuk kita mendaki Bukit Juru. Kalau sebelum ini kami naik ikut trek yang dikenali sebagai ‘1800 Steps Bukit Juru’, tetapi kali ini kami cuba naik ikut trek ‘646 Anak Tangga’. Carian Google Maps - Bukit Juru Hiking.

Trailhead ini terletak berhampiran Warung Pak Su Mee Udang, boleh parkir kenderaan di kawasan lapang berhadapan warung. Semasa kami tiba, terdapat sebuah kenderaan saja di kawasan parkir. Timbul rasa cuak dalam hati saya, sebabnya setiap kali kami ikut trailhead satu lagi tu sentiasa banyak kenderaan para pendaki. Kalau tak banyak kenderaan itu maksudnya tak ramai yang menggunakan trek yang bakal kami lalui ini 😬

Apa pun, jom kita teruskan perjalanan!

Bukit Juru Trek 646 Anak Tangga
8.27 pagi
Perjalanan menuju ke kaki Bukit Juru bermula di sini. Papan tanda ‘Jom Kita Pi Naik Bukit Juru - 646 Anak Tangga’ jelas kelihatan dari jalan besar, sederet dengan warung Mi Udang tadi. Kami ikut saja laluan jalan tar ini untuk ke kaki bukit. Rekod aktiviti pendakian saya dengan menggunakan smart watch bermula dan berakhir di sini.

Bukit Juru Trek 646 Anak Tangga
8.28 pagi
Seterusnya kami tiba di laluan yang dipenuhi dengan rimbunan pokok buluh sebelum melalui kawasan semak belukar. 

Bukit Juru Trek 646 Anak Tangga
8.30 pagi
Kami berjalan sehingga tiba di kawasan yang tak nampak mana satu laluan, semak samun meninggi. Terkejut jugak saya tengok keadaan begini 😬

Di balik rimbunan semak tu nampaklah papan tanda warna kuning dan anak tangga. Di situlah permulaan trek pendakian. Langkah kaki diteruskan dengan diiringi lafaz doa memohon perlindungan Allah. 

Bukit Juru Trek 646 Anak Tangga
8.31 pagi
Papan tanda info berkenaan Bukit Juru.

Bukit Juru Trek 646 Anak Tangga
Trek tangga konkrit menuju ke puncak bukit. Laluan di sini agak kecil dengan rimbunan pokok di kanan dan kiri tangga menjadikan persekitaran agak suram.

Suram ke seram? Jujurnya, terselit sedikit rasa seram melihat keadaan trek yang nampak macam terbiar seperti dah lama tak dilalui orang. Pun begitu, bunyi kicauan burung bernyanyi indah membuatkan hati saya rasa tenteram dan teruja untuk terus melangkah. Paling penting, penglihatan dan pendengaran kita harus peka pada persekitaran. Juga jangan riuh sangat bila berbual dan jangan senyap sangat bila berada di tempat begini. Sesekali saya bersuara, “Tumpang laluuu…ke tepi semua ya...”. Bimbang jugak kot jalan berdua senyap je, tiba-tiba muncul haiwan di laluan kami 😅

Bukit Juru Trek 646 Anak Tangga
8.43 pagi
Di sepanjang perjalanan kita akan jumpa tanda kiraan anak tangga. Juga pokok-pokok hutan dengan tanda nama, bolehlah belajar nama-nama pokok hutan.

Semasa di pertengahan pendakian, kami berselisih dengan seorang lelaki yang sedang menuruni bukit. Alhamdulillah, ada jugak orang yang dah melalui trek ini pada hari ini. Saya rasa lega. Lelaki tersebut memberi salam kepada kami dan memaklumkan terdapat dua tempat dengan pokok rebah merintangi trek, perlu merangkak untuk melaluinya. Alamak!

Bukit Juru Trek 646 Anak Tangga
9.05 pagi
Kami tiba di salah satu tempat yang dimaksudnya oleh lelaki tadi. Pokok-pokok kecil rebah merintangi trek tangga. Syukur jugaklah dah tahu lebih awal, taklah terkejut sangat kan. Kalau nak tengok macam mana rupa laluan bawah rimbunan pokok rebah ni, boleh tonton video di hujung entri.

Saya keluarkan sarung tangan dari beg, pakai sarung tangan di kedua belah tangan. Encik Suami tak ada sarung tangan, tapi dia tak kisah pun merangkak tak guna sarung tangan. Saya je rasa risau kot terpegang apa-apa. Uishh…jangan bayangkan yang bukan-bukan masa ni, perhatikan sekitar dan terus sajalah merangkak perlahan-lahan mendaki anak tangga.

Bukit Juru Trek 646 Anak Tangga
9.20 pagi
Alhamdulillah! Setelah kira-kira 50 minit pendakian dengan jarak 1 km, akhirnya kami selamat tiba di puncak Bukit Juru. Ada pendaki yang boleh naik dalam masa 30 minit saja, kami ambil masa lebih sebab kurang stamina dan kerap berhenti dek tabiat saya yang gemar memotret itu ini 😄

Dari jauh kedengaran suara riuh orang berborak. Sekumpulan pendaki sedang berehat di sini. Saya fikir mereka naik ikut trailhead satu lagi sebab tak lama tu nampak beberapa orang rakan mereka baru tiba dari arah laluan trailhead tersebut.

Kami tak berhenti rehat di sini. Saya ajak Encik Suami berjalan-jalan dalam hutan dengan melalui trek tersedia untuk menikmati keindahan alam semula jadi.

Bukit Juru, Pulau Pinang
Di kawasan yang penuh dengan batu besar.

Bukit Juru, Pulau Pinang
Saya suka tempat ni, Masya Allah cantik pokok-pokok di sini.

Bukit Juru, Pulau Pinang
10 pagi
Selepas kira-kira 700 meter berjalan merentasi hutan, kami berpatah balik ke puncak bukit tadi untuk berehat. Kami makan tuna cheese sandwich dan minuman sejuk yang dibekal sebagai alas perut. Selepas berehat dan berfoto kenangan, kami kembali meneruskan perjalanan menuruni bukit.

Bukit Juru, Pulau Pinang
Pemandangan dari puncak Bukit Juru.

Bukit Juru, Pulau Pinang
Data dari Galaxy Watch.
Mula - 8.27 pagi, tamat - 10.46 pagi.

Secara keseluruhannya, menurut pendapat saya pendakian ke Bukit Juru melalui trailhead ‘646 Anak Tangga’ ini tidaklah terlalu susah sebab kita cuma perlu mendaki tangga konkrit tersedia. Treknya juga lebih pendek berbanding trek di trailhead ‘1800 Steps Bukit Juru’.

Tetapi cabarannya, trek bertangga di sini agak curam dan berliku. Mungkin sebab itu tak ramai yang suka lalu trek di sini, menjadikan laluan di sini agak terbiar dan dipenuhi semak samun. Sepanjang kami turun dan naik bukit, kami cuma berselisih dengan seorang pendaki saja. Bila tiba semula di kawasan parkir, cuma kenderaan kami saja yang ada di situ.

Seperkara lagi, bersedia juga dengan nyamuk yang banyak sewaktu mendaki. Besar saiz nyamuknya, terganggu jugaklah saya dengan bunyi dengung nyamuk yang cuba mendekati saya. Mungkin sebab bahagian bawah ni dipenuhi semak, habitat yang sesuai untuk nyamuk. Kalau di bahagian atas tak jumpa nyamuk.


Video berdurasi 1:29 minit sekitar pendakian kali ini.






.