Tajuk : Revolusi
Penulis : Pahrol Mohamad Juoi
Penerbit : Galeri Ilmu Sdn. Bhd.
Harga : RM15
Muka surat : 213
Buku ini memuatkan 15 cerita pendek (termasuk satu cerita catatan peribadi penulis semasa dalam tahanan ISA di Kem Kamunting). Ia merupakan antara karya terkini penulis kegemaran saya - Ustaz Pahrol. Tidak tebal, gaya bahasa yang mudah difahami tetapi sarat dengan persoalan semasa. Apa yang boleh saya katakan, buku ni nampak santai tetapi sebenarnya mampu membuka pemikiran kita. Dalam setiap cerpen beliau, ada sesuatu cuba disampaikan.
Sinopsis
Antologi cerpen Revolusi ini ditulis oleh penulis dengan misi 'memanusiakan' manusia. Apakah ada manusia yang bukan manusia? Ya, ada. Bukan pada rupa, tapi pada jiwa. Buku ini memuatkan 15 cerpen berikut :
Darul Taqwa
Revolusi
Wajah-wajah di Cermin
Melawan Arus
Derap Kasutnya
Peluru dan Mata Hati
Demonstrasi
Perlumbaan Terakhir
Datin Oh Datin
Oh...Zahidah
Merah di Mana-mana
Bukan Cacat Hatinya
Kuah Dalca Yang Tumpah
Cerita Si Buta dan Syeikh Daulah
Bunga Dari Kamunting : Satu Catatan Peribadi
Petikan Buku
"Lalu kau salahkan Datuk Sagor kerana tidak menegakkan hukum Islam? Sedangkan dalam kumpulan kau sendiri hukum itu belum tertegak?" Tuk Guru Saleh memerangkap.
"Jadi kau minta aku perangi diriku dan kumpulanku dulu?" Tuk Guru Imran menyimpul.
"Bukankah itu perjuangan yang lebih besar, berjuang menentang hawa nafsu? Kau tentu ingat pesan ulama dan hukama itu."
(Melawan Arus, muka surat 54)
Hasil kempen Din Misai, kini Udin Rock, Jalil, Bidin dan lain-lain pemuda yang terkenal sebagai 'kutu jalan' Kampung Telipuk Batu turut hadir dalam mesyuarat barisan bertindak menghadapi kekejaman Zionis antarabangsa.
Dalam diri Udin Rock yang bersubang sebelah itu pun tersemat kebencian terhadap Israel dan proksinya Amerika. Dalam diri Jalil peminat Justin Bieber itu pun bencikan Amerika. Bahkan Bidin peminat Lamb of God itu pun geramkan Shimon Peres.
(Demonstrasi, muka surat 98-99)
"Wah, wah...bila bersongkok macam ini, siapa sangka kau anak Jusuh kaki botol," kata Bilal Sani sewaktu aku melangkah masuk ke masjid.
Mengapa aku turut terhukum dengan sikap bapaku? Mengapa aku pula yang harus dihenyak dengan sindiran, ejekan dan cemuhan hanya kerana aku anak Pak Jusuh? Turut berdosakah aku apabila ditakdirkan menjadi anak seorang pemabuk? Aku terlalu sayu kerana terpaksa menanggung derita batin ini bertahun-tahun. Hatiku terlalu terhimpit. Seakan-akan ada sahaja mulut-mulut celupar itu memburu aku ke mana-mana. Dan paling tragis aku turut terhina di rumah Allah...di masjid ini!
(Kuah Dalca Yang Tumpah, muka surat 174)
Nota hati :
Bila agama belum cukup difahami tapi cuba berlagak menjadi hero pembela agama, maka terhasillah kenyataan yang memalukan diri sendiri dan umat Islam amnya...tukar darah!