Tuesday, 30 December 2014

Tatapan Untuk Generasi Akan Datang


Curahan hujan lebat, leka saya menikmati alam hijau yang disimbahi hujan. 
Sambil dilatari dengan bunyi jatuhan hujan di atas atap zink, memang bising. 
Tapi terasa ia bagai irama indah di pendengaran saya. 

Sesudah hujan...tiada panahan mentari terik. 
Korang jangan pening tengok gambar macam terbalik ni. 
Sebenarnya saya ambil gambar air dalam bekas takungan di bawah. 
Hasil refleksi yang menarik bagi saya.

Bekas takungan air yang telah lama berkhidmat. 
Setiap kali hujan, curahannya terus dialirkan melalui sekeping zink tu. 
Air dalam ni jernih, sejuk pastinya. Tapi takde jentik-jentik tau. Kerap diletak garam.
Nampaknya berkesan juga tips letak garam tu.

Hasil kreativiti...saya suka basuh kaki kat paip ni sebab airnya sejuk. 
Air dalam dua bekas takungan di atas memang selalu digunakan untuk kerja-kerja kebun sawit, yang terletak hanya di belakang rumah.

Semua pemandangan di atas, lokasinya di rumah mertua di Batu Pahat. Di rumah mak saya, takde semua ni. Rumah batu sepenuhnya, tak sempat merasa bisingnya irama hujan menimpa atap zink. Sampai nak berbual pun tak boleh. 

Saya abadikan semua ni dalam blog untuk kenangan sendiri dan tatapan generasi akan datang. 






.

Wednesday, 24 December 2014

Bersinarlah Duhai Mentari!

Musim hujan dah tiba. Khabarnya, situasi di Pantai Timur pun kian memburuk. Kelmarin, penerbangan suami saya ke Terengganu pun terpaksa berpatah balik ke KLIA. Gara-gara kapal terbang gagal untuk mendarat di sana. Selepas menunggu beberapa ketika, barulah terbang semula ke Terengganu.

Saya yang kat rumah ni pun risau, sebab ada bahagian rumah yang bocor. Bukan setakat menitik, tapi mengalir dan bertakung di lantai. Mula-mula satu tempat, lepas tu merebak ke beberapa tempat lain. Cepat-cepat hubungi pihak pemaju, mintak baiki. Mujurlah rumah masih dalam warranty. Geram jugak sebenarnya, rumah baru tapi boleh bocor pulak! Dugaan...sabar jelah.

Ya Allah, berikanlah mentari Mu...surutkanlah banjir.


~ sewaktu saya menulis ni, cahaya mentari mula kelihatan setelah beberapa hari hujan/mendung. Alhamdulillah! Moga terus bersinar. ~

Tuesday, 23 December 2014

Brownies Cheese versi Kukus

Cubaan pertama buat Brownies Cheese Kukus. Ada rakan Fb share, dah lama saya print screen dan sekarang baru cuba buat sebab teringin nak makan.


Resepi asal tak tau dari siapa, takde tulis sumber. Terima kasih kepada yang share resepi ni. Saya tulis semula (ada ubah ayat sikit bagi mudah) untuk rujukan saya dan korang yang nak mencuba.

BROWNIES CHEESE versi KUKUS

Bahan-bahan Brownies :
(Bahan A)
2 biji telur
1/2 cawan susu cair (cawan metrik, 1 cawan = 250ml)
1/2 cawan susu pekat manis
100ml minyak
1/2 cawan gula kastor

(Bahan B : perlu diayak bersama)
1/3 cawan serbuk koko (boleh tambah kepada 1/2 cawan jika suka lebih koko)
1/2 cawan tepung gandum
1/2 sudu teh baking powder
1/4 sudu teh baking soda

Bahan-bahan Cheese :
500g cream cheese
4 biji telur
140g gula halus
sedikit esen vanilla

CARA MASAK :
Untuk Brownies, satukan Bahan A dan masukkan dalam blender. Kisar sehingga sebati. Kemudian masukkan Bahan B, kisar lagi hingga sebati. Griskan loyang dan alas dengan kertas minyak, tuang adunan tadi. Baki adunan jangan terus dibersihkan, simpan untuk buat corak atas lapisan cheese. Kukus adunan selama 25-35 minit, sehingga masak. 

Sementara menunggu Brownies masak, siapkan adunan Cheese. Pukul cream cheese hingga gebu. Masukkan gula halus dan pukul hingga sebati. Masukkan pula telur dan vanilla. Pukul lagi hingga rata. Bila Brownies dah masak, barulah tuangkan adunan Cheese ni. Titiskan baki adunan Brownies ke atas adunan Cheese. Lorekkan dengan hujung pisau atau lidi. Kukus semula selama lebih kurang 20 minit dengan api sederhana sehingga masak.

Sejukkan sebelum boleh dihidang. Untuk menghidang, potong bentuk empat segi.

-------------------------------------------------------------------------------------------------

Untuk corak atas Cheese, kalau korang ikut resepi (titis dan lorek) rupa dia lain. Yang saya buat ni terus je buat bentuk garis-garis. Suka hatilah ya. Kalau nak lebih sedap, makan selepas masuk peti sejuk semalaman. Maksudnya, lebih lama disejukkan lebih sedap rasa Cheese tu (kalau citarasa sayalah). 

Apa beza Brownies dengan kek coklat? Tengok bahan sama je macam nak buat kek coklat. Ok, bezanya adalah pada sukatan bahan. Dan hasil selepas masak pun berbeza, Brownies lebih padat. Dibezakan jugak dengan cara potong, Brownies dipotong bentuk empat segi. Ni saya ambil info dari kakak saya dan blog orang. 

Rasanya? Sedap! Tapi memang muak kalau sekali makan banyak-banyak. Korang cubalah ya. Sukatan guna cawan, senang sikit. Boleh guna blender pulak tu, sesuai untuk yang takde mixer. Selamat mencuba!

Monday, 22 December 2014

Segmen: Ini Entry terbaik 2014

Sebenarnya, tahun ni tahun yang merundum untuk entri blog saya sebab tak sampai 100 pun jumlah entri yang terhasil. Berbanding tahun-tahun sudah, saya masih mampu hasilkan 281 entri pada tahun 2012. 

Tahun ni walaupun tak banyak entri, saya masih nak senaraikan DUA catatan yang saya rasa terbaik (saya suka, sebenarnya) untuk join segmen anjuran Diana Rashid ni. Iaitu :

  1. Suatu Senja Di Kuala Terengganu... Saya pilih catatan ni sebab ia antara pengalaman/memori terbaik saya, dapat tengok UAI depan mata secara tak sengaja! Yang lawaknya, saya siap kata UAI ni 'orang tua yang gigih kayuh basikal'! Klik je link kalau nak tau cerita lanjut.
  2. Daun Bidara Untuk Rawatan Gangguan Jin Catatan ni pulak saya pilih sebab ia berdasarkan pengalaman sendiri dan pertama kali menggunakan daun bidara untuk rawatan mak saya. Ia jugak antara lima entri yang sering dicari di blog saya.

Kalau korang nak join, boleh klik banner kat atas ya. Ni cuma segmen, bukan peraduan. Tapi seronok join, bolehlah kita imbau kembali apa yang kita tulis. Memang bukan yang terbaik di mata orang lain, tapi mungkin itulah yang terbaik di hati kita. Jom join! Tarikh tutup 25hb.


Friday, 19 December 2014

Syukur dan Sabar



Kita meraikan kegembiraan, tapi lupa berSYUKUR.
Kita meratapi kedukaan, tapi lupa berSABAR.
Jadilah kita orang-orang yang rugi,
Sedangkan Allah sudah berjanji,
Dengan janji yang PASTI!


Wednesday, 17 December 2014

Belajar Memandu Semula

Isnin lalu, saya belajar memandu semula. Setelah lebih 10 tahun tak memandu! Sepanjang tempoh tu, lesen memandu saya memang sentiasa suami renew. Kali terakhir memandu, 10 tahun lalu di Gemencheh, N. Sembilan. Paling kerap saya memandu (sebelum pindah Gemencheh) iaitu semasa tinggal di Broga, Semenyih. Masa tu jadi guru ganti di Beranang, selain tu kerap pergi perpustakaan Semenyih sorang-sorang masa suami bekerja. Yelah, masa tu penggunaan internet tak meluas sangat. Masa yang terluang banyak baca buku-buku yang dipinjam dari perpustakaan. Berbalik kepada cerita pemanduan, bagi yang kenal Jalan Broga 10 tahun lalu jalannya memang tak mesra pemandu. Banyak selekoh tajam, jalan macam ular kena palu. Tapi Alhamdulillah sebab dah biasa, berani je dan takde masalah.

Kenapa sekian lama tak memandu? Ceritanya, awal kawin dulu pakai kereta Kancil Manual. Kereta kecik sama macam masa ambik lesen, beranilah saya. Lepas tu kami pindah ke pedalaman sikit (hidup dikelilingi ladang sawit, ladang getah dan cuma ada jalan tanah merah/batu kasar sebagai penghubung). Pihak syarikat beri Hilux (kenderaan pacuan empat roda), maka kami 'lepaskan' kereta Kancil yang ada. Jadinya, sejak tulah saya tak memandu. Bila tukar kerja, dan beli kereta sedan pun saya masih tak berani sebab dah lama tak memandu. 

Kelmarin berani pun sebab bawak kereta kecik, adik beradik Kancil. Baru dapat hasil trade-in kereta Proton yang lama. Pertama kali bawa kereta auto, memang syok. Tak susah macam bawa manual. Suami duduk sebelah, saya pandu. Pusing-pusing kawasan perumahan saya je, penduduk belum ramai senang sikit. Nak bawak ke jalan besar Pajam yang banyak lori angkut pasir tu? Hahaaa...belum berani!

~nak tulis pendek tapi jadi panjang daa..~

*****************************************************

Koleksi terkini...klik DI SINI jika berminat. 

Friday, 12 December 2014

Cinta Pertama, Payah Dilupa?


Apa perasaan kita, bila isteri bermain cinta...
Lelaki itu cinta pertama....katanya.
Apa perasaan kita, bila suami bermain cinta...
Wanita itu cinta pertama...katanya.
Benarkah cinta pertama, payah dilupa?

Tidak cukup bermain cinta terlarang,
Ditambah pula dengan keterlanjuran,
Bukan! Bukan keterlanjuran, tapi sengaja melakukan.
Suami orang dan isteri orang berzina!
Benarkah cinta pertama, begitu payah dilupa?

Cinta pertama yang kecundang di tengah jalan,
Bukan untuk dikenang dirindui sepanjang hayat,
Bukan jua untuk terus ditagih walau dengan jalan salah.
Cinta pertama adalah satu pengalaman hidup,
Untuk kita lebih bersedia menerima cinta kedua..atau ketiga.

Cinta pertama, mungkin benar payah dilupa,
Kerana ia kemanisan pertama yang kita rasa.
Tapi ingatlah, di saat kita menerima akad nikah,
Itu bermakna kita bersedia melepaskan masa lalu,
Dan membina cinta pertama yang halal di sisi Allah.

Cinta pertama, payah dilupa?
Lupakanlah demi suami/isteri dan anak tersayang!
Kita bukan lagi budak remaja yang asyik mencari cinta!



~ Sebuah kisah benar yang menyentap rasa. Bertabahlah suami/isteri yang dicurangi. Pasti ada hikmah disebalik yang berlaku. Dan semoga rumahtangga kita semua aman bahagia. ~






Thursday, 11 December 2014

Chestnut/Buah Berangan : Cubaan Memasak Sendiri

Biasanya makan buah berangan yang orang jual tu je kan...
Tapi kali ni, saya cuba masak sendiri di rumah.

Jumpa buah berangan di pasaraya Jaya Grocer. Harga sekilo RM13.90. Yang ni dalam setengah kilo, harga RM7.01. Sebenarnya saya memang tak tau macamana nak masak buah ni. Buat carian kat internet, ada yang kata dia rebus pakai pressure cooker, pastu baru goreng tanpa minyak (saya biasa sebut SANGAN). Ada pulak yang sebut sangan dengan biji kopi, kalau nak aroma sedap.

Buah ni asalnya memang keras tau. Disebabkan takde pressure cooker, maka saya pun rebus selama 1jam. Lepas 1jam tu, saya cuba potong dengan pisau (hati-hati) dan cuba makan. Nampaknya memang tak berapa lembut. Gambar kat atas ni buah berangan selepas direbus.

Agak-agak dah tos, saya sangan ia bersama biji kopi. Mana dapat biji kopi besar-besar tu? Kebetulan memang ada simpan biji kopi Starbucks, orang bagi. Tapi sebab ia biji kopi mahal (kot), saya tak guna banyak untuk sangan buah berangan ni. Saya sangan sehingga kulit keras buah ni merekah. Tapi bukanlah setiap biji tu akan merekah, agak-agak dah banyak merekah tu kita berhentilah sangan. Pastikan pada biji yang merekah tu, kadar merekahnya agak-agak separuh biji, barulah isinya betul-betul lembut dan sedap dimakan. 

Kalau korang tau cara yang lebih tepat, bolehlah kongsikan. Saya cuma cuba berdasarkan info internet, Alhamdulillah memang sedap. Dapur pulak jadi wangi dengan aroma biji kopi sangan. Lain kali nak cuba sangan terus, boleh tak buah ni masak?

----------------------------------------------------------
Buah berangan dikatakan berasal dari negara China. Harganya mahal mungkin sebab proses nak dapatkan buah ni yang agak susah. Kulit luarnya (buah utama) tu sangat tajam. 

(sumber gambar : malaysiaria.com)

Monday, 8 December 2014

Puding Raja

Pertama kali merasa PUDING RAJA. Dibawa khas dari Pahang.

Ni rupa sebelum dicurah kuah puding. Khabarnya harga Puding Raja ni agak mahal. Untuk bekas saiz di atas, harganya berpuluh ringgit. Tak pastilah berapa harga sebenarnya ya, sebab saya cuma merasa pemberian orang.

Rasanya? Lemak manis (pisang & kuah puding) dan masam (prune). Mula-mula makan saya rasa ok, sedaplah jugak. Tapi bila makan selepas disejukkan dari peti ais, barulah terasa lebih nikmat.

Antara bahan-bahan untuk menghasilkan puding ni - jala emas, pisang lemak manis, biji gajus, buah prune dan buah ceri. Bagi yang nak mencuba sendiri, boleh dapatkan resepi DI SINI



Thursday, 4 December 2014

GIVEAWAY BY KAMEQ DEANNA


Jom join GA oleh blogger Deanna Morni!
Hadiahnya buku dan wang tunai / top up.
Tu yang saya suka. ^__~

Tarikh tutup : 19/12/2014 jam 10 malam

>>> Cuma KLIK BANNER di atas untuk join ya!

Fabric Starch / Easy Ironing


Korang ada guna benda ni? Kot ada yang belum tau, inilah produk yang membantu dalam kerja-kerja menggosok pakaian supaya mudah hilang kedutan dan hasil gosokan lebih kemas. Benda ni memang tak asing lagi bagi penggemar tudung Turki jenama Akel dan sesetangah tudung bawal. Tudung material Polyester agak lembik dan bila dipakai agak susah nak dibentuk kat bahagian muka. Jadinya bila kita sembur starch masa kita iron, hasilnya tudung dah boleh terbentuk elok. Kalau tak memang lama menghadap cermin sebab tudung susah nak bentuk. 

Selamanya ni saya guna KIWI Fabric Starch tu, memang banyak membantu untuk iron kemeja kerja suami. Tapi masih ada masalah bagi sesetengah kemeja yang materialnya susah sangat nak hilang kedut. Sehinggalah saya terjumpa NOOR ARFA Easy Ironing masa pergi Terengganu. Masa saya beli ni ada harga promosi, tak sampai RM10 sebotol (250ml). Dia tulis situ untuk batik, tapi saya bukan guna untuk batik pun. Yang saya suka, produk Noor Arfa ni mampu hilangkan kedut pada kemeja kerja suami yang sebelum ni betul-betul susah nak hilang kedut. Lagi satu, produk ni berbau harum. Kira dua dalam satu - mengharumkan dan menghilangkan kedut

Mana nak beli? Saya beli kat kedai Noor Arfa di airport Kuala Terengganu. Atau boleh cari di kedai Pasar Payang. Kalau di luar Terengganu, maaf saya tak tahu ya. Kalau produk KIWI, dulu saya beli kat pasaraya besar (Tesco/Giant). Tapi sekarang macam dah takde pulak. Selain dua jenama ni, korang boleh cari jenama lain jugak.

Tuesday, 2 December 2014

Ustaz Ekspres, Ustazah Jadian...katanya!

Asal cakap pasal agama je...
Orang panggil ustaz, ustazah. 
Siap gelar ustaz ekspres, ustazah jadian.
Pelakon, penyanyi tak boleh cakap hukum agama.
Tiada wibawa katanya!

Yang betul...
Memang tanggungjawab setiap diri Muslim,
Untuk mengajak saudara kita ke arah kebaikan,
Dan mencegah mereka dari melakukan mungkar.
Itulah 'Amar Ma'ruf Nahi Mungkar'!

Sekalipun kita cuma tahu satu kebaikan,
Kita tetap dituntut Islam agar menyebarkannya.
Sekalipun kita tak punya kelayakan bidang agama,
Tuntutan berdakwah ke atas kita tak pernah gugur.
Tak perlu sempurna untuk berdakwah!

*********************************************************

Suatu hari, al-Hasan al-Basri berjumpa dengan seorang pemuda daripada Bani al-Shikhir. Al-Hasan berkata kepadanya, "Nasihatilah kami, wahai pemuda"Pemuda itu menjawab, "Aku belum layak memberi nasihat, wahai Abu Sa'id". Al-Hasan berkata, "Siapakah yang benar-benar layak memberi nasihat? Syaitan sangat suka dengan kata-kata ini. Dan ia berharap agar manusia mengambilnya sehingga tidak ada lagi yang mengajak kepada kebaikan dan melarang keburukan"

Kisah ini diceritakan oleh Imam Ahmad bin Hanbal dalam kitab az-Zuhd dan juga Abu Muhammad al-Ramahurmuzi dalam al-Muhaddith al-Fasil. (sumber : Solusi isu 38)

*bacaan tambahan, artikel 'Amar Makruf Nahi Mungkar' di SINI.

  • Berdakwahlah sesuai dengan ilmu yang kita miliki. Disamping terus berusaha memperbaiki kekurangan diri.
  • Tak perlulah kita pandang masa silam seseorang, pandanglah siapa dia hari ini.
  • Jika kita tak mampu lakukan dakwah, janganlah kita menjadi orang yang menghalang usaha dakwah (dengan memperlekeh dan memandang rendah usaha orang lain).

Monday, 1 December 2014

Memulakan Disember di Muadzam Shah, Pahang

Memulakan Disember 2014 di Muadzam Shah, Pahang. Bergerak dari Pajam, N. Sembilan selepas Asar semalam. Sepanjang perjalanan hujan renyai. Alhamdulillah takde kesesakan, cuma tak boleh laju sebab hujan.

Sampai Muadzam Shah dah pun dekat jam 8 malam. Kita cari tempat makan dulu, perut dah lapar sangat. Saya dapati bandar ni memang tak sesak langsung. Cuma 'sesak' dengan burung di atas bangunan dan najis burung yang bersepah di tangga-tangga depan premis. Hati-hati bila melangkah!

NAK MAKAN KAT MANA?


Ternampak restoran yang menarik dari luar ni...JENTAYU KOPITIAM. Siap ada papan tanda tulisan Jawi, tapi tak sempat ambil gambarnya. Deko dalam restoran ni kira menarik. Persekitaran pun bersih dan layanan pantas. Rata-rata pelanggan adalah perempuan muda remaja (budak UNITEN kot). Lelaki macam takde pulak. Pelik gak, budak lelaki makan kat mana ek?

Saya dan suami masing-masing order Mee Goreng Mamak, minuman panas Hazelnut dan Latte. Harga berpatutan bagi saya, cuma rasa Latte tu tak berapa ok kat tekak saya. Mee Goreng Mamak dia sedap, cuma terlalu banyak. Lain kali kena beli satu pinggan je, pastu mintak satu pinggan kosong. kita kongsi dua orang. Hehee..

Jadinya, kalau korang nak cari tempat makan kat Muadzam Shah ni bolehlah ke Jentayu Kopitiam. Lokasinya sebaris dengan premis Avon. Tak berapa jauh dari Tong Villion Hotel dan Masjid Jamek.

NAK MENGINAP KAT MANA?


Bandar Muadzam Shah ni tak besar mana pun, jadi pilihan penginapan juga terhad. Kalau nak selesa, boleh menginap kat TONG VILLION HOTEL ni. Sebuah hotel baru yang terletak berhampiran Masjid Jamek dan bersebelahan dengan pasaraya Tunas Manja (senang kita nak cari barang/makanan).

Rekaan dalaman bilik penginapan ni memang moden. Menarik! Kat bilik air ada bathtub dan rain shower. Bolehlah berangan main air hujan macam masa kecik-kecik dulu kan. Gambar rain shower yang best tu takde ya. Boleh buat carian kat Internet, pastu pasang kat rumah sendiri. Lagi yang best..WIFI dia lajuuuu. Jimat kuota porta-wifi saya!

Apa yang tak best? Bilik ni takde peti sejuk. Untuk saya yang nak menginap dua hari, agak perlu jugak peti sejuk. Tapi tu hal kecik je. Lagi yang tak best? Sarapan dia sangatlah ringkas. Macam pagi tadi makanan beratnya nasi goreng dan spaghetti je. Jadinya, kami sambung makan roti canai cicah kari kambing kat kedai lain pulak.

Keseluruhannya, okey je menginap sini. Sebelum ni suami dah beberapa kali menginap di Wawa Inn (sebab Tong Villion belum wujud), sayangnya keadaan bilik & bilik air kotor. Tapi tak taulah kalau sekarang dah elok. Untuk yang nak menginap di Tong Villion Hotel, boleh hubungi 09-4521001. 

PAGI YANG BERKABUS


Bandar Muadzam Shah ni penuh kabus, mungkin sebab masih banyak hutan/pokok. Suka saya tengok kabusnya yang banyak, bergerak di sebalik bukit. Tenang! Macam gambar di atas, diambil dari tingkap bilik penginapan kami. 

Pagi tadi jugak, sempat lagi pergi pos bungkusan-bungkusan pelanggan. Inilah kelebihan bisnes online, boleh berjual dari mana-mana dan boleh pos dari mana-mana. Yang penting bawak barang jualan dan flyer poslaju. Mana yang tak bawak, kita pos bila dah balik rumah nanti. Yang penting kena bagitau awal kat pelanggan.

~ ni bukan saja jalan-jalan tau, cuma ikut suami bertugas. Macam biasa...orang pergi kerja, saya duduk sorang dalam bilik. ~