Friday, 27 September 2024

Trip Mengejut Ke Guangzhou, China

 
Guangzhou China

Saya pernah berkunjung ke Guangzhou, China pada penghujung tahun 2015 ketika musim sejuk bermula. Setelah hampir 9 tahun berlalu, saya berkesempatan sekali lagi ke bandar yang ketiga terbesar di China ini.

Ianya bukan trip yang dirancang, malah tiada langsung dalam senarai tempat yang mahu saya kunjungi. Tapi tiba-tiba Encik Suami ada urusan di sana dan ajak saya ikut serta. Hari Khamis saya dapat tahu, urusan tiket hari Jumaat dan pada hari Sabtu malam kami berdua terbang ke Guangzhou.

Urusan ke China sekarang ni mudah je sebab tak perlu buat visa. China melaksanakan pengecualian visa selama 15 hari untuk pelancong Malaysia sehingga penghujung tahun 2025. 

Pagi hari Sabtu tersebut kami bersama-sama kemas beg. Sebelum tu saya dah buat senarai apa yang perlu dibawa. Jadinya taklah serabut nak fikir, cuma perlu ambil dan susun dalam beg. Pukul 11 pagi kami bertolak dari rumah Perlis dan tiba di KLIA pada pukul 8 malam.

Selesai urusan di kaunter daftar masuk Batik Air, Encik Suami terus menuju ke kaunter tukaran wang pula. Tadi sepanjang perjalanan tak sempat nak cari money changer, terpaksalah tukar di KLIA dengan kadar tukaran yang kurang berbaloi.

—————————————————

Alhamdulillah sekarang saya sudah pun berada di rumah Perlis setelah bermusafir ke China selama 4 hari 4 malam - kami tiba di Guangzhou awal pagi hari Ahad, 22 September dan balik pagi hari Rabu, 25 September. Kami selamat sampai rumah pada pukul 3.30 pagi semalam (hari Khamis, 26 September). Hari ini dah tenang sedikit, barulah saya boleh mula menulis blog. InsyaAllah catatan perjalanan selama berada di Guangzhou bersambung pada entri seterusnya. Tak begitu banyak sebab ini bukan trip jalan-jalan.









Friday, 20 September 2024

Eksplorasi Gua Kelam 2, Perlis

[Catatan Hari Isnin, 16 September 2024]

Pusat Eko Pelancongan Gua Kelam dibuka mulai pukul 9 pagi. Kami tiba di sini kira-kira pukul 10 pagi dalam suasana hujan rintik. Biasanya jika berkunjung ke sini, kenderaan kami akan melalui pos kaunter tiket dan menuju ke ruangan parkir di bahagian dalam. Tetapi kali ini, laluan kenderaan di pos kaunter tiket sudah diletak penghadang. Jadinya kami parkir kenderaan di ruang parkir hadapan. Selepas itu barulah berjalan ke pos kaunter tiket.

Petugas kaunter memaklumkan bahawa hari ini Gua Kelam 1 ditutup. Hujan berterusan sejak beberapa hari lalu menyebabkan paras air dalam gua meningkat. Oh, patutlah diletak penghadang dan pintu pagar ke Gua Kelam 2 bertutup.

Apa pilihan yang ada? Pengunjung boleh melakukan aktiviti eksplorasi Gua Kelam 2, melawat Galeri 3D Gua Kelam dan masuk Rumah Cermin.

Kami memilih untuk ke Gua Kelam 2 dengan bayaran RM10 seorang dan Rumah Cermin dengan bayaran RM5 seorang. Tiada caj parkir dikenakan seperti sebelum ini, mungkin sebab parkir di bahagian hadapan.

Eksplorasi Gua Kelam 2
Berfoto di hadapan bangunan untuk masuk ke Gua Kelam 2. Kalau Gua Kelam 1 lain pintu masuknya ya. Foto kami berenam dirakam oleh seorang lelaki Cina yang baik hati menawarkan diri membantu kami.

Eksplorasi Gua Kelam 2
Sesi taklimat sebelum masuk gua.
Selepas menyerahkan sekeping kertas bertulisan tangan (tiada tiket khas untuk ke Gua Kelam 2) kepada petugas di kaunter, kami diminta menunggu. Rupa-rupanya nak tunggu pengunjung ramai, barulah akan bergerak bersama.

Tak lama kemudian, sesi taklimat bermula. Kami dimaklumkan berkenaan sejarah ringkas Gua Kelam 2, jarak laluan 700 meter sehala (perlu berpatah balik untuk kembali ke pintu gua) dan hal keselamatan (pengunjung bertubuh tinggi diminta memakai topi keselamatan).

Eksplorasi Gua Kelam 2
Berjalan ramai-ramai naik tangga menuju ke pintu gua yang terletak di aras atas.

Eksplorasi Gua Kelam 2
Menyeberangi jambatan menuju ke pintu gua.

Eksplorasi Gua Kelam 2
Laluan bersimen dan rata sejauh 400 meter. Pengunjung yang tinggi tu kenalah berhati-hati jangan terkena bumbung gua. Laluan bersimen begini nampak mudah, tetapi ada cabarannya juga - aliran air deras di tepi laluan dan ada kalanya melimpah di tengah laluan. Perlu berhati-hati melangkah.

Eksplorasi Gua Kelam 2
Di tempat tertentu, terdapat air yang turun dari bumbung gua. Kadang sedikit saja dan kadang agak lebat seperti terkena siraman hujan. Boleh lihat dalam video di hujung entri ini.

Eksplorasi Gua Kelam 2
Kawasan kolam dalam gua - Kolam Biru (The Blue Pool). Nampak lebih cantik berbanding kunjungan saya sebelum ini, mungkin sebab musim hujan paras air jadi tinggi dan pencahayaan yang bertukar warna di dinding gua.

Eksplorasi Gua Kelam 2
Aliran mini air terjun menambah pesona Gua Kelam 2.

Eksplorasi Gua Kelam 2
Tumbuhan berjurai di bumbung gua. Cantik! Gua ini tiada lubang angin yang membolehkan udara dan cahaya masuk, entah macam mana boleh pula tumbuhan ini hidup segar.

Eksplorasi Gua Kelam 2
Terowong laluan yang dibuat oleh para pelombong untuk aktiviti perlombongan bijih timah.

Eksplorasi Gua Kelam 2
Batu bunga di dinding gua. Rupa seperti batu kecil dengan tekstur tajam dan bersinar.

Eksplorasi Gua Kelam 2
Perlu mendaki anak tangga untuk ke ruangan lebih tinggi. Di sebelah kanan atas dinding gua, kelihatan tulisan yang dipercayai tinggalan para pelombong.

Eksplorasi Gua Kelam 2
Sampai di sini saja pengunjung boleh masuk, jaraknya kira-kira 700 meter dari pintu masuk.

Berbeza dengan Gua Kelam 1 yang tidak begitu luas, ruang dalam Gua Kelam 2 lebih luas disebabkan aktiviti perlombongan. Ia bukan terjadi secara semula jadi.

Ini merupakan kali kedua saya dan Encik Suami melakukan eksplorasi di Gua Kelam 2. Kali pertama kami ke sini pada Januari 2022. Harga berbeza, pengalaman berbeza dan suasana dalam gua juga sedikit berbeza. Boleh baca entri DI SINI. Saya lebih sukakan suasana lebih asli kerana gua merupakan tarikan pelancongan alam semula jadi. Menurut saya, tak perlu tambahan lampu berwarna-warni tetapi boleh pasang lampu sekadar untuk menerangi laluan di bahagian tertentu gua.


Video berdurasi 0:39 minit - suasana di dalam Gua Kelam 2.

Secara keseluruhannya, eksplorasi ke Gua Kelam 2 cukup menarik dengan unsur alam semula jadi (gua batu kapur) dan unsur sejarah (aktiviti perlombongan). Tetapi disebabkan tak bersedia dengan pakaian yang sesuai untuk masuk gua yang basah, maka kotor jugalah hujung seluar dan basah kasut yang dipakai 😄







Thursday, 19 September 2024

Pergi Mana Sempena Cuti Panjang Hari Malaysia dan Maulidur Rasul?

Cuti panjang selama empat hari (cuti hujung minggu Sabtu-Ahad + cuti Hari Malaysia + cuti Maulidur Rasul) dan bergabung pula dengan cuti sekolah yang baru bermula, menyaksikan kesesakan di mana-mana.

Ketika cuti panjang ini juga, negeri-negeri di utara sedang mengalami musim hujan. Di rumah saya sendiri sudah berhari-hari hujan turun, tiada hari tanpa hujan. Kalau baca berita, banyak kes bencana alam berlaku - pokok tumbang, banjir dan feri Langkawi terkandas.


MERAIKAN TETAMU DARI SELATAN TANAH AIR
Sempena cuti panjang dan cuti sekolah, keluarga kakak saya dari Pontian, Johor datang berkunjung ke rumah kami. Mereka berempat merupakan ahli keluarga saya yang pertama sampai di rumah Perlis.

Perjalanan mereka mengambil masa kira-kira 13 jam (termasuk berhenti rehat). Mungkin sebab mereka bergerak pada hari Ahad, jadinya lebuh raya tak terlalu sesak kecuali di tempat tertentu. Dua orang anak saudara pula bergilir memandu, menjadikan perjalanan lebih lancar. Kalau seorang saja tentulah ada ketikanya terlalu penat dan pemanduan jadi perlahan.

Mereka tiba pada hari Ahad (waktu Maghrib) dan bertolak pulang pada hari Selasa (waktu tengah hari). Dapatlah mereka bermalam di rumah kami selama dua malam. Sepanjang kakak sekeluarga di Perlis, sempatlah kami bawa mereka ke tempat-tempat berikut :

Daddy’s Kitchen
Ahad, 15 September 2024 | Daddy’s Kitchen, Chuping.
Kami bawa mereka makan malam di restoran terdekat, kira-kira 4.5 km dari rumah. Biasanya, tempat ini tak ramai pelanggan datang makan. Tetapi kali ini penuh semua meja, mungkin ramai pengunjung dari luar Perlis datang makan. Tambahan pula, ia terletak di jalan menuju ke pintu sempadan Thai di Padang Besar. Kami cuma dapat meja kecil berkongsi enam orang. Syukur jugalah.

Gua Kelam 2
Isnin, 16 September 2024 | Gua Kelam, Kaki Bukit.
Pukul 10 pagi kami sudah berada di Pusat Eko Pelancongan Gua Kelam. Kami nak bawa kakak sekeluarga masuk ke Gua Kelam 1, laluannya mudah dan santai saja. Tetapi Gua Kelam 1 tutup, hujan berpanjangan menyebabkan paras air dalam gua meningkat. Pilihan yang ada - masuk ke Gua Kelam 2 yang lebih mencabar berbanding Gua Kelam 1. Bayaran dikenakan RM10 seorang. InsyaAllah catatannya pada entri khas.

Rumah Cermin
Nampak ramai, sebenarnya lima orang je dalam foto ini.
Selain masuk gua, kami bawa mereka masuk ke Rumah Cermin. Bayaran dikenakan RM5 seorang. Rumah Cermin terletak di bangunan yang sama semasa kita mulakan aktiviti eksplorasi Gua Kelam 2 tadi. Seronok jugaklah dapat menguji kecekapan mata dalam Rumah Cermin ni 😄

Mee Mee Authentic Thai
Isnin, 16 September 2024 | Mee Mee Authentic Thai Empire, Kangar.
Dari Pusat Eko Pelancongan Gua Kelam, kami ke Kangar untuk menikmati hidangan tengah hari. Kalau ikut rancangan awal kami nak bawa mereka naik bot di Tasik Empangan Timah Tasoh, tapi hujan masih belum berhenti. Tak sesuailah.

Muzium Kota Kayang
Selasa, 17 September 2024 | Muzium Kota Kayang, Kuala Perlis.
Pagi hari terakhir, hujan masih membasahi bumi Perlis. Sekejap gerimis halus, sekejap lebat. Dengan keadaan cuaca begini, kami memilih untuk ke Muzium Kota Kayang. Saya dan Encik Suami pun belum pernah ke muzium ini 🤭

Kunjungan yang berbaloi - masuk percuma, galeri pameran menarik dengan binaan beberapa buah bangunan bercirikan tradisional, taman rekreasi di belakang muzium, ada gua dan sedikit trek pendakian. Lokasi muzium ini sendiri dah cukup menarik kerana ia terletak di kaki bukit batu kapur. Tempat yang sesuai untuk peminat sejarah dan peminat alam semula jadi. Kami menghabiskan masa di sini sekitar 1 jam 30 minit, itu pun tak sempat nak menjelajah keseluruhan bahagian luar bangunan muzium.

Wansyah Kitchen
Selasa, 17 September 2024 | Wansyah Kitchen, Kangar.
Sebelum berpisah, kami menikmati hidangan tengah hari di Wansyah Kitchen. Alhamdulillah dapat juga meja untuk enam orang walaupun perlu menunggu seketika. Beginilah suasana di Perlis pada hari cuti panjang / cuti sekolah, ramai orang di tempat-tempat makan terkenal dan tempat tarikan pelancongan.

Alhamdulillah semuanya lancar sepanjang keberadaan kakak sekeluarga di negeri paling utara ini. InsyaAllah ada rezeki bolehlah tujuh orang adik-beradik saya yang lain sampai ke sini juga.







Wednesday, 18 September 2024

Seketika di Bandar Hatyai

[Catatan ‘Day Trip’ ke Wilayah Songkhla, Thailand | Ahad, 25 Ogos 2024]

Semasa dalam perjalanan pulang ke Perlis, konvoi kami singgah seketika di bandar Hatyai.

5.39 petang waktu Thai.
Aliran trafik sesak di bandar Hatyai.

Kami ke pusat beli-belah Central Hatyai. Geng konvoi sibuk membelek barang dan shopping, saya pada kebanyakan masa cuma duduk di bangku memerhati gelagat manusia.

Kami menghabiskan masa di sini sekitar 1 jam 30 minit. Satu hal yang menarik, pusat beli-belah ini tidak mengenakan caj parkir. “Percuma…”, seorang petugas perempuan di kaunter masuk parkir memaklumkan kepada kami. Kami cuma diberi sekeping kad yang perlu dipulangkan sewaktu keluar.

8.16 malam waktu Thai.
Kami singgah untuk menunaikan solat jamak Maghrib Isyak di stesen minyak PTT. Cantik dan bersih ruang solatnya. Ruang kecil ini tak berbau hapak sebab ada ventilation fan di siling. Tempat wuduknya pun bersih. Pendek kata, memang selesa singgah solat di sini.

Ikut rancangan awal, kami singgah di stesen minyak PTT ini untuk solat dan mengopi di Cafe Amazon. Tapi rupa-rupanya Cafe Amazon tutup awal. Tak ada rezekilah.

Kami ke 7-Eleven untuk membeli barangan, saya beli juga sekampit beras wangi Thailand - Royal Umbrella pek warna oren. Biasanya saya beli di Malaysia pek warna merah. Secara perbandingan (berdasarkan kadar tukaran wang semasa), harganya lebih murah tetapi tidaklah terlalu berbeza.

10.06 malam waktu Thai.
Tiba di pekan Danok, kami berhenti sekejap untuk mengisi perut. Ini merupakan kali pertama saya berada di Danok, sebuah pekan yang nampaknya cukup meriah walaupun sudah lewat malam.

Selepas itu kami meneruskan perjalanan ke pintu sempadan di Sadao Border Checkpoint. Tak begitu jauh dari tempat kami makan tadi. Semasa dalam perjalanan, saya perhatikan terdapat kedai-kedai dengan suasana lampu suram. Mulanya saya hairan, kenapa buka kedai makan tapi lampu suram. Selepas itu barulah saya faham, ia bukan kedai makan biasa tetapi mungkin pusat karaoke dan seumpamanya.

Tambahan penceritaan - kediaman kami terletak tak begitu jauh dari sempadan Thai, memang agak biasa kami dengar bunyi muzik kuat pada waktu malam jika berada di luar rumah. Menurut jiran, bunyi tersebut datang dari Danok.

Catatan ‘day trip’ ke wilayah Songkhla, Thailand berakhir di sini. Alhamdulillah trip konvoi kami tiga kereta semuanya berjalan lancar. Memang terasa penat tapi seronok dapat melihat tempat orang.







Friday, 13 September 2024

Masjid Pusat Songkhla, Thailand

[Catatan ‘Day Trip’ ke Wilayah Songkhla, Thailand | Ahad, 25 Ogos 2024]

Menyambung kembali catatan lawatan singkat ke Songkhla. Selepas menikmati hidangan di The Seaside Halal, konvoi kami menuju ke sebuah masjid yang terkenal di sini iaitu Masjid Pusat Songkhla (The Central Mosque of Songkhla).

Ia juga dikenali sebagai masjid ‘Taj Mahal’ kerana seni binanya dan juga dikenali sebagai masjid ‘orang Malaysia kahwin’ - suatu kenyataan yang tak sedap kita dengar.

Kami ke sini untuk menunaikan solat jamak Zohor-Asar, serta nak melihat sendiri rupa masjid besar yang menjadi lambang kewujudan agama Islam di wilayah Songkhla.

Semasa kami tiba, kelihatan beberapa buah bas diparkir di perkarangan bangunan masjid. Suasana petang tersebut agak meriah dengan pengunjung. Saya sempat berbual ringkas dengan salah seorang pengunjung, katanya mereka dari Jawa Barat, Indonesia.

Di suatu sudut (kedudukan jauh sedikit dari masjid), saya lihat ada sebuah makam. Carian saya mendapati, makam tersebut milik Sheikhul Islam Thailand Aziz Phitakkumpon yang meninggal dunia pada tahun 2023.

Masjid Pusat Songkhla, Thailand
Pemandangan bahagian hadapan Masjid Pusat Songkhla. Foto-fotonya kurang menarik kerana cuaca mendung selepas hujan membasahi bumi.

Masjid Pusat Songkhla, Thailand
Perlu mendaki anak tangga untuk masuk masjid. Kemudian perlu menuruni anak tangga untuk ke tempat wuduk dan tandas di tingkat bawah. Tak sesuai bagi mereka yang ada masalah lutut.

Masjid Pusat Songkhla, Thailand
Bahagian dalam masjid - ruang solat utama. Sebelah kiri yang ada penghadang tu ruang solat muslimah. Masjid ini tak menggunakan karpet, terasa sejuk tapak kaki melangkah. Bagusnya lantai begini, lebih mudah penjagaannya dan tak perlu dana untuk ganti karpet usang.

Masjid Pusat Songkhla, Thailand
Seni bina yang dikatakan seperti Taj Mahal di India. Maka sebab itu masjid ini juga dikenali sebagai ‘Taj Mahal Thailand’. Tapi saya lebih suka jika kita tak menyebut satu-satu tempat itu dengan nama tempat lain. Setiap tempat adalah unik dan ada identitinya sendiri.

5 petang waktu Thai.
Mengabadikan memori di Masjid Pusat Songkhla. Berjalan dengan ‘kanak-kanak riang’ memang sentiasa aktif dan ceria 😀. Saya tiada dalam foto sebab jadi tukang foto.

Hari sudah menghampiri lewat petang. Acara jalan-jalan di wilayah Songkhla masih belum berakhir. Konvoi kami menuju ke bandar Hatyai pula. Bersambung pada catatan akan datang.







Thursday, 12 September 2024

Sampai Nanti

 
Judul : SAMPAI NANTI
Penulis : Syaz Eym
Penerbit : Nursyazni e-Book Pub
Tahun terbit : 2024
Jumlah halaman : 566


Sampai Nanti sebuah novel versi e-book yang berkisar tentang konflik diri, percintaan, persahabatan dan perkahwinan. 

Pengkhianatan masa lalu Najah terhadap sahabat baiknya, akhirnya memakan diri. Hadirnya insan ketiga membuatkan Najah tersedar tentang cinta dan perasaan terhadap suaminya, Mustaqim. Muncul pada detik yang tepat, Hatim hadir memberi kata-kata semangat buat Najah.

Mampukah rumah tangga Najah dan Mustaqim bertahan? Masih adakah peluang kedua buat Najah untuk mengecap bahagia?

Sampai Nanti, sebuah kisah yang penuh pengajaran dan nilai positif. Tahniah buat sahabat blogger Syaz yang berjaya menggarapnya dengan begitu kemas.

“Ya. Sebab tu, saya selalu percaya pada peluang kedua. Kadang-kadang, yang pertama itu cuma untuk mempersiapkan kita supaya dapat menghadapi kali kedua dengan lebih baik. Lebih mensyukuri apa yang kita ada, dan yang kita mampu beri.” - Hatim








Wednesday, 11 September 2024

Dua Puluh Dua Tahun


Foto dirakam pada 25 Ogos 2024 lalu.

"Bosan tak ya hidup berdua aje?"
"Kak, macam mana boleh kekal tabah (perkahwinan tanpa zuriat)?"
“Memang tak nak ada anak ya?”

Ini antara soalan yang pernah diajukan kepada saya 😄

Hari Sabtu lalu bersamaan 7 September 2024, genap sudah usia bahtera rumah tangga saya dan Encik Suami selama 22 tahun.

Tak sempat saya nak mencatat memori di blog pada tarikh tersebut kerana kami sedang bercuti di kampung halaman. Kebetulan, pagi hari tersebut kami berada di rumah mak saya - lokasi majlis akad nikah kami. Terus terkenang memori dua puluh dua tahun lalu - bagaikan ada layar yang menayangkan semula detik-detik tersebut.

Alhamdulillah…saya bersyukur dengan segala aturan dari Allah Yang Maha Kuasa. Terima kasih Allah atas kurniaan seorang suami dan sahabat baik 💙

Semoga rumah tangga kami dan sahabat blogger semua sentiasa diberkati Allah serta beroleh bahagia di dunia dan akhirat.








Tuesday, 10 September 2024

Empat Malam di Selatan Tanah Air | Catatan 4-8 September 2024

Alhamdulillah minggu lepas saya dan Encik Suami berkesempatan pulang ke kampung halaman kami di selatan tanah air. Kali terakhir kami berada di kampung adalah sewaktu sambutan hari raya Aidilfitri.


⏵ RABU, 4 SEPTEMBER 2024
Kami bertolak dari rumah Perlis sebelum waktu Zohor dan tiba di Cyberjaya kira-kira pukul 8.30 malam. Encik Suami pergi berjumpa seseorang, sementara menunggu tu saya makan di Saba Restaurant.

Selesai urusan, kami balik ke rumah NS untuk bermalam.

Kunafa di Saba Restaurant. Sedap tapi tak mampu nak habiskan makan.


 KHAMIS, 5 SEPTEMBER 2024
RESTORAN SALOMAK SAMPODEH | Paginya rancang nak bersarapan di Restoran Salomak Sampodeh. Tapi bertukar jadi makan tengah hari sebab kami sampai sekitar pukul 10 pagi, makanan tengah hari dah terhidang. Rezeki sungguh! Dapatlah kami makan masakan cita rasa Nismilan (Negeri Sembilan) di negeri asalnya.

Deretan lauk-pauk yang cukup menggoda. Tapi sebab masih awal, ada menu yang belum siap dimasak.

5 jenis lauk pilihan kami. Sedap semuanya 😋

Sedang kami menikmati makanan, pemilik restoran iaitu pasangan suami isteri jiran belakang rumah kami pun tiba. Terkejut mereka nampak kami orang jauh ada di restoran mereka. Dulu kerap jugalah saya dan jiran berborak di lorong belakang rumah kami, tapi sejak berpindah jauh ni memang dah lama kami tak berborak.

Alhamdulillah…tumpang seronok dengan kejayaan jiran kami mengusahakan restoran ini. Syukur juga sebab memudahkan saya nak menikmati masakan Nismilan - lokasinya tak begitu jauh dari rumah NS, menawarkan pelbagai jenis hidangan tradisi dan harganya yang berpatutan dengan rasanya yang memenuhi selera saya. Moga Restoran Salomak Sampodeh terus maju jaya!


VECHAIR TECHNOLOGY |  Selepas makan, kami ke showroom menjual kerusi roda di Seri Kembangan, Selangor. Sejak awal tahun ini Mak saya dah mula menggunakan kerusi roda. Dan baru-baru ini kami adik-beradik sepakat nak belikan pula kerusi roda elektrik, lebih mudah Mak bergerak tanpa perlu bantuan orang tolak kerusi roda. Tangan Mak dah tak kuat untuk gerakkan sendiri kerusi roda.

Tapi tak banyak pilihan dan tiada stok kerusi roda elektrik di Pontian, berbeza di bandar besar kawasan Lembah Klang ni memang lebih banyak pilihan dan harganya kompetitif. 

Terdapat pelbagai jenis alat bantuan pergerakan dijual di sini. Kita boleh cuba sendiri sebelum membeli.

Kami beli kerusi roda elektrik jenis begini. Boleh guna di dalam rumah dan luar rumah. Ada 5 kelajuan dan perlu cas penuh selama 8 jam untuk pergerakan anggaran sejauh 16 km.

Bagi yang nak cari alat bantuan pergerakan, saya syorkan beli di sini. Harga berpatutan, layanan yang cukup mesra, sangat mudah berurusan dan penerangan produk yang jelas. Boleh lawati media sosial mereka di Instagram, Facebook, TikTok, Youtube - @vechair.


RUMAH KOPI SOGAMA | Alhamdulillah kami sampai di Pontian, Johor sekitar pukul 6.30 petang. Sebelum sampai rumah mak, kami singgah makan di Rumah Kopi Sogama. Keadaan di hadapan kedai sesak dengan kenderaan sebab masa ni budak-budak balik sekolah agama.

Biasanya kalau ke sini, kami duduk di bahagian luar belakang/tepi. Kali ini kami dapat duduk dalam sebab pelanggan tak ramai.

Saya suka makan di sini sebab servis pantas walaupun sewaktu ramai pelanggan. Pilihan menu memang tak banyak, tapi yang ada ni pun dah cukup sedap memuaskan selera saya.


 JUMAAT, 6 SEPTEMBER 2024
Petang hari Jumaat, saya dan ahli keluarga yang ada di Pontian datang berkumpul di rumah Mak kami. Alhamdulillah seronok dapat berkumpul dan berborak sambil menikmati hidangan ringkas. Tak ramai pun, semuanya 13 orang saja termasuk kami suami isteri.

Sate, nasi lemak dan carrot cake kami beli di Rumah Kopi Sogama.

Beli sate 150 cucuk je, tak perlu tempahan awal. Kami cuma maklumkan beberapa jam sebelum nak ambil. Sate ni disediakan oleh penjual yang menyewa gerai di Rumah Kopi Sogama. Sedap rasa sate dan kuah satenya.


 SABTU, 7 SEPTEMBER 2024
PAK LURAH BISTRO | Dari kampung saya, kami menuju ke kampung Encik Suami di Batu Pahat, Johor. Sebelum sampai rumah mak mentua, kami singgah makan di Pak Lurah Bistro. Kedai makan di tepi Jalan Besar Parit Sulong ni dah jadi macam satu tempat wajib singgah setiap kali kami balik kampung.

Kopi chandu ais, kacang pool dan nasi kambing dengan dendeng kambing. Sebab sedap sungguh dendeng kambingnya, kami beli bawa balik dua bekas dendeng kambing - satu untuk rumah mak mentua dan satu lagi kami bawa ke Perlis.

SERI MEGA SEAFOOD | Lewat petangnya, kami keluar makan malam bersama mak mentua dan adik ipar sekeluarga.


Kali ini saya puas hati dapat makan sotong celup tepung, bukan cekodok sotong. Makanan lain yang dipesan juga semuanya sedap. Alhamdulillah!


 AHAD, 8 SEPTEMBER 2024
Seawal pukul 8.30 pagi kami bertolak dari rumah mak mentua menuju ke rumah Perlis. Ikut rancangan asal, kami nak gerak lewat sedikit dan di pertengahan jalan akan bermalam di hotel. Tapi tiba-tiba Encik Suami ada urusan penting di Perlis pada pagi Isnin. Maka terpaksalah ubah rancangan.

Dalam perjalanan, kami keluar tol untuk singgah ambil barang di rumah NS. Lepas tu terus makan tengah hari dan membeli keperluan di Aeon Nilai. Gitu gini, lebih dua jam jugalah habis masa di Nilai.

Perjalanan balik ke utara lancar tanpa halangan. Alhamdulillah kami selamat tiba di rumah Perlis pada pukul 10 malam. Jumlah jarak perjalanan dari negeri paling utara ke negeri paling selatan (pergi dan balik) - 1,915 km. Satu lagi rekod yang pahit untuk ditelan - berat badan saya naik 2 kg dek berselera makan di sana sini 😂


Terima kasih Allah atas segala kurnia 💙







Wednesday, 4 September 2024

The Seaside Halal, Songkhla, Thailand

[Catatan ‘Day Trip’ ke Wilayah Songkhla | Ahad, 25 Ogos 2024]

Sedang elok konvoi kami tiga buah kenderaan bergerak meninggalkan Zoo Songkhla, hujan turun dengan lebatnya. Destinasi kami seterusnya - kedai makan halal.

Alhamdulillah kami ternampak sebuah kedai makan halal yang terletak di tepi jalan. Mudah dilihat. Macam mana tahu halal? Ada papan tanda tertera The Seaside Halal. Masa ni hujan dah reda, cuma gerimis masih membasahi bumi.

The Seaside Halal, Songkhla, Thailand
Kalau dari jalan raya, akan nampak sebuah pondok kecil yang dijadikan surau. Pergi belakang sikit barulah nampak ruang makan yang menghadap tasik.

The Seaside Halal, Songkhla, Thailand
Awalnya saya menyangka kedai makan ini menghadap lautan. Tetapi rupa-rupanya inilah Tasik Songkhla - tasik semula jadi terbesar di Thailand dengan keluasan 1,040 km². 

The Seaside Halal, Songkhla, Thailand
Kalau cuaca cerah, tentu cantik dapat berfoto di jeti ini.

The Seaside Halal, Songkhla, Thailand
Saya tertarik dengan atap kedai makan ini yang menggunakan daun, entah daun apa ya? Atap daun begini nampak klasik dan mewujudkan suasana nyaman.

Kami buat pesanan makanan berpandukan buku menu tulisan Thai dan bahasa Inggeris. Antara makanan yang kami order - tiga ekor ikan siakap dan ikan jenahak (berbeza jenis masakan), tomyam seafood dan sotong celup tepung. Pantas juga mereka memasak, tak perlu lama menunggu satu persatu hidangan kami tiba di meja makan.

The Seaside Halal, Songkhla, Thailand
Setiap gelas minuman dihiasi bunga telang.

The Seaside Halal, Songkhla, Thailand
Hmm…kecewa sungguh saya bila dapat sotong celup tepung versi jemput-jemput/cekodok. Bila dimakan, potongan sotong lerai dari tepung. Rasanya juga kurang memenuhi selera saya.

Sebenarnya, tempoh hari semasa kami makan di Satun pun dapat sotong celup tepung versi jemput-jemput/cekodok. Tapi masih boleh diterima sebab rangup luarnya dan sedap rasanya.

The Seaside Halal, Songkhla, Thailand
Alhamdulillah makanan lain semuanya memenuhi selera. Habis dimakan semuanya. Seronok jalan-jalan dengan geng yang sentiasa berselera, makan apa pun licin!


Destinasi seterusnya, kami ke masjid 'Taj Mahal'.