Saturday, 29 September 2012

Lama Tak Jumpa Benda Ni..


Lama sungguh tak jumpa 'Batu Seremban' ni.
(Meminjam kata Kak Zakie, cara sebut bukan macam 'bandar Seremban' tapi 'rembat'.)
Maklum je zaman sekarang budak-budak semua main game teknologi tinggi.
Baru-baru ni masa pegi rumah kakak, tengok anak sedara tengah main.
Saya pun join sama...melepas rindu pada ingatan zaman lalu.

Dulu masa kecik, tak pandai menjahit pun jadi pandai sebab nak buat benda ni.
Tapi kadang-kadang isinya terkeluar sikit sebab jahitan tak kemas.
Masa tu saya guna pasir untuk isinya.
Pantang ada masa senggang kat rumah atau sekolah,
Inilah antara mainan yang selalu budak perempuan main.
Permainan ni perlu kepada strategi dan fokus.

Tapi masa tengah main dengan anak-anak sedara tu..
Saya berhenti takat batu 5, dah lupa macamana batu 6 dan seterusnya!
Anak sedara ajar jugak, tapi saya rasa lain macam je cara dia.
Samada saya yang memang lupa atau memang ada cara lain.

Ada yang ingat lagi ke cara main dia sekarang ni???
^__^

Thursday, 27 September 2012

Doa Dalam Sujud

(Sumber: Google)

Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda yang bermaksud:
"Keadaan yang paling dekat antara hamba dengan tuhannya ialah ketika dia sedang sujud. Maka perbanyakkan berdoa."
(Riwayat Muslim)

Sujud merupakan antara saat yang paling mustajab untuk berdoa. Ia tidaklah terikat untuk berdoa pada sujud terakhir dalam solat kita sahaja, tapi boleh dilakukan pada setiap sujud di setiap rakaat. Bagaimanakah caranya? Sewaktu sujud selepas kita membaca zikir untuk sujud, bolehlah kita membaca doa. Samada doa yang telah diajarkan Rasulullah صلى الله عليه وسلم, antaranya seperti berikut (maaf cuma mampu tulis maksudnya, tak dapat tulis Bahasa Arab):

"Ya Allah, ampunilah dosaku kesemuanya; kecil dan besarnya, yang lama dan yang baru, yang nyata dan yang tersembunyi."

atau kita juga boleh berdoa untuk lain-lain hajat. TETAPI jika kita berdoa dalam Bahasa Melayu (selain Bahasa Arab) kita cuma boleh berdoa di dalam hati. Sebab terdapat perbezaan pendapat mengenai hal ini, jadinya yang paling selamat adalah berdoa dalam hati. 

*Peringatan..kalau kita yang jadi imam, jangan pulak sujud lama-lama sebab berdoa. Kenalah meraikan keadaan makmum yang lain. Mana tau ada makmum yang tak dapat nak sujud lama-lama.


p/s: Perkara ni dah tau dan amalkan masa zaman duduk asrama dulu, tapi makin lama saya macam melupakannya. Syukurlah terbaca dalam majalah Gen-Q, refresh balik. Manusia..sering lupa walau dah tau. 

Wednesday, 26 September 2012

Bukan Tak Mau Tinggal Komen..

Akhir-akhir ni saya dapati yang saya tak boleh nak komen pada blog yang menggunakan 'word verification' (WV). Sebelum ni memang takde masalah langsung. Entah apa sebabnya, walau dah berulang kali cuba tetap tak lepas. Masalah ni saya mula perasan bila nak tinggalkan komen untuk entri terbaru di blog En.Mie. Tapi akhirnya masalah selesai bila blog En.Mie dah tak gunakan WV ni lagi.

Untuk blog lain yang masih guna WV ni, maaf ya..bukan tak mau tinggal komen tapi memang tak lepas. Mungkin ada yang tak perasan blognya guna setting begini, sebab pemilik blog memang tak nampak WV ni bila dia sendiri yang nak tulis komen. Jadinya korang boleh check atau ubah setting dengan cara berikut:

Settings ---> Posts & Comments ---> Show word verification ---> pilih 'No'


*Tanpa WV ni lebih mudah kawan-kawan nak tinggalkan komen dan lebih banyak yang rajin memberi komen di blog kita*

Tuesday, 25 September 2012

Taman Orkid Ibu Mertuaku


Sudut yang paling saya suka untuk 'cuci mata' bila balik rumah mertua.
Sudut yang menempatkan pelbagai jenis orkid di atas tanah.
Pokok orkid yang paling belakang dan besar tu pernah saya buat entri khas.
Itulah Orkid Harimau..juga dikenali sebagai 'Raja Segala Orkid'.

Banyak lagi orkid yang ditanam dalam pasu oleh mak mertua saya.
Macam-macam warna dan bentuk..memang asyik saya memerhatikannya.
Saya sedar yang saya dah jatuh cinta pada orkid!
Tapi...kurang rajin nak tanam sendiri.

Ada pengumpul orkid kat sini???

Monday, 24 September 2012

Pendarahan Selepas HSG

Sedikit pengenalan bagi yang belum tau apa tu HSG. HSG (singkatan bagi Hysterosalpingography) adalah ujian x-ray untuk mengesan kesihatan rahim dan salur peranakan. Ia antara ujian yang perlu dilalui bagi megetahui punca/sebab seseorang itu gagal hamil. Semasa ujian ini 'dye' akan disuntik ke dalam rahim. Ia akan mengalir ke dalam saluran peranakan dan ke ruang pelvis. Untuk info lanjut korang boleh KLIK DI SINI dan DI SINI. 

Entri ni saya nak ambil perhatian bagi sesiapa yang ada mengalami pendarahan (sedikit atau banyak) selepas HSG. Bagi kita orang Islam, bila berlaku pendarahan begini ada dua perkara yang biasa difikirkan iaitu berkenaan MANDI WAJIB dan SOLAT. Bolehkah solat sedangkan masih ada pendarahan dan perlukah mandi wajib lepas darah tersebut berhenti? Jawapannya berikut:

MANDI WAJIB tidak perlu dibuat kerana darah yang keluar adalah darah istihadah (iaitu darah yang keluar dari faraj perempuan bukan semasa haid atau nifas). Darah istihadah tidak termasuk perkara-perkara yang mewajibkan 'mandi wajib'. Oleh sebab ia darah istihadah, maka tiada larangan untuk SOLAT seperti orang yang haid/nifas. Maksudnya wajib solat macam biasa. Bagaimanapun orang yang beristihadah perlu berwuduk hanya apabila telah masuk waktu solat dan setelah membersihkan darah berkenaan (serta guna 'tuala wanita' yang baru). Lepas tu terus bersolat, tak boleh menunggu. Maksudnya tiap-tiap kali nak solat mesti ambil wuduk dan bersihkan darah tadi. Boleh fahamkan? Jawapan ni sama jugak kalau ada yang alami pendarahan masa hamil. 

(olahan jawapan: buku Indahnya Hidup Bersyariat)


p/s: Ni bukan cerita orang perempuan je ya. Orang lelaki pun mesti tau sebab lelaki pemimpin rumahtangga :)

Friday, 21 September 2012

Bila Sebuah Filem Menghina...

Bila sebuah filem menghina Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم,
Membuak rasa amarah kita, terbit benci pada si penerbitnya.
Syukurlah...itu tanda hati kita masih hati seorang Islam.
Masih kenal siapa baginda dan masih kasih padanya.

Kemudian...kita mula menzahirkan bantahan.
Seperti hari ini, protes aman bakal berlangsung usai solat Jumaat.
Moga ia berlangsung dengan akhlak Islam,
Bukan 'membuang' Islam untuk membela Islam!

Persoalannya...
Cukupkah sekadar kita rasa marah lalu membantah?
Itulah yang berlaku tiap kali agama kita 'dicuit'.
Kita melihat salah orang, hingga terlupa silap sendiri.

Kita marah bila Rasulullah صلى الله عليه وسلم dihina,
Tapi kita sendiri tak mahu ikut ajaran baginda.
Kita solat ikut sempat..terkadang langsung tak sempat.
Kita berpakaian ikut suka..syariat diletak ke tepi asalkan bergaya.
Pendek kata...diri kita sendiri bagai menghina baginda!
Kita kenal dan cinta...tapi kita tak mahu ikut ajaran baginda.

Sekarang...
Ubahlah pemikiran kita atas apa yang berlaku.
Marah dan bantah itu memang perlu.
Tapi jangan lupa menghitung-hitung diri sendiri,
Diri kita yang mengaku umat Muhammad صلى الله عليه وسلم.


p/s: Sekadar pandangan saya, jua untuk peringatan buat diri sendiri yang selalu lalai dan leka!

Wednesday, 19 September 2012

Musang Luwak @ Musang Pulut

Inilah musang dalam entri semalam. Sebenarnya saya sendiri pun tak kenal musang! Musang yang ada ni dah kena perangkap oleh bapa mertua saya sebab asyik menghabiskan tanaman terutamanya pisang. Ia juga rajin memanjat bumbung rumah. Alang-alang dah jumpa musang ni, saya pun buat carian di internet mengenai spesis musang berikut berdasarkan ciri-ciri yang ada pada badannya dan pemakanannya.



Nama: Musang Luwak/Luak (Jawa), Musang Pulut (Malaysia)
Nama saintifik: Paradoxurus hermaphroditus
Nama inggeris: common palm civet
Kelas: mamalia
Ciri-ciri: 
Badan berwarna kecoklatan. Terdapat tiga jalur gelap di bahagian belakang dengan latar belakang kelabu atau (creamy), dan topeng hitam pada bahagian mata, pipi dan hidung dengan tompok putih di bahagian bawah mata. Bahagian telinga, kaki dan hujung ekor juga berbulu hitam. Ia lebih gemar memakan buah-buahan.
(sumber fakta: wikipedia)

Pandangan dari sisi.

Sedang asyik makan pisang.
Pernah dengar Kopi Luwak? Menurut ceritanya dari mulut ke mulut ia diperoleh dari biji kopi hasil pilihan musang luwak, dan telah mengalami ‘proses’ melalui pencernaannya! Maka ia dikenali sebagai 'kopi luwak', iaitu merujuk kepada musang luwak. Hukum minum kopi tersebut adalah HARUS dan dengan SYARAT TERTENTU SAHAJA. Korang boleh rujuk DI SINI.

**************************************************
Bukan mudah nak ambik gambar musang ni dari sisi dan tengah makan, sebab dia tak lepas merenung saya. Sesekali bila dia keluarkan bunyi semacam mendengus kuat, terkejut jugak saya. Sampai nak terjatuh kamera! Bila saya tengok lama-lama, rasa comel jugak musang ni. Cuma tak dapat berlama-lama sebab sekadar singgah beberapa jam di rumah mertua dalam perjalanan balik ke Bangi dari rumah mak saya di Pontian.

Tuesday, 18 September 2012

Biar Gambar Bercerita #10






p/s: Tak dapat aktif berblog harini, keletihan dengan segala aktiviti hujung minggu yang padat. 

Friday, 14 September 2012

Jom 'Check': Bagaimana Cara Kita Memandang Alam

Mari kita tengok kedua-dua gambar berikut...

Gambar (1): Pokok biasa.

Gambar (2): Pokok dengan bentuk kalimah 'ALLAH'.
(sumber: Google)

BIASANYA...
Bila lihat gambar (1), orang tak kata apa-apa. Paling-paling pun mungkin akan kata 'Cantiklah!'.
Bila lihat gambar (2), orang akan kata 'Subhanallah!' dan anggap ia kebesaran dan kekuasaan Allah. Lalu mulalah sekeping gambar ni disebarkan di internet dek kerana kagum dan rasa pelik.

Sekarang mari kita tonton video ni. Sila beri tumpuan untuk faham ya.

Lepas ni, ubahlah cara kita memandang alam ini. Pandanglah menurut pandangan Al-Quran, bukan dengan pandangan mata biasa kita. Setiap kejadian alam adalah tanda kekuasaan dan kebesaran Allah, tak kira samada terdapat kalimah 'Allah' atau yang tiada. 
------------------------------------------------------------------------
Selama ni saya rasa ada sesuatu yang tak betul bila orang ramai sibuk menyebarkan gambar pokok atau apa saja yang berbentuk kalimah 'Allah'. Tapi saya takde point untuk berkata-kata. Penemuan video di atas benar-benar mampu menjawab persoalan saya. Memang tak salah sebarkan gambar begitu, tapi lama-kelamaan ia membuatkan umat Islam hanya memandang sesuatu yang pelik tu saja sebagai tanda kekuasaan dan kebesaran Allah. Terima kasih kepada IPRODUKSI yang menghasilkan video bermanfaat ini!

Wednesday, 12 September 2012

Our Precious Peatlands

Kepada korang yang ada kamera canggih tu, serlahkan bakat korang!
Sertai pertandingan ni...masih ada masa sampai hujung bulan.


Pertandingan Fotografi "Our Precious Peatlands"
1 Julai 2012 - 30 September 2012

Pertandingan ni diadakan untuk meningkatkan kesedaran terhadap TANAH GAMBUT di Asia Tenggara dan komuniti yang tinggal di dalam dan di persekitarannya. Terbuka kepada warganegara yang berusia 18 tahun ke atas. Setiap foto hendaklah diambil dari tanah gambut di Asia Tenggara sahaja.

Hadiah wang tunai ditaja oleh UN International Fund for Agriculture Development (IFAD) & Global Environment Facility (GEF) & European Union (EU).

Berminat? 
Sila KLIK DI SINI untuk keterangan lanjut ya.


p/s: Walau kamera saya tak canggih, tapi ada hati nak masuk gak. ^_^

Sendiri dan Sunyi


Duduk bersendirian, tidak semestinya kita kesunyian.
Ada ketikanya kita masih rasa keseorangan, di tengah-tengah kawan yang ramai!


*****************************************************

Sekarang ni walau duduk sorang-sorang, ada teknologi internet yang membuatkan kita tak rasa bersendirian dan sunyi. Masih boleh duduk tersenyum dan ketawa walau sendirian.

Tapi kadangkala kita masih rasa sendirian dan sunyi di tengah-tengah kawan atau ahli keluarga yang ramai. Sebab orang lain pegang gajet masing-masing dan sibuk berkomunikasi di alam internet. Seolah-olah kita tak wujud di depan mata dia.

Sendirian tak mesti sunyi. Berdua atau lebih, belum tentu mampu memecah kesunyian.

Tuesday, 11 September 2012

Jantina Kupang


Korang tau macamana nak bezakan antara kupang jantan dan betina?
Baru-baru ni ada penjual kupang bagitau beza antara kupang jantan dan kupang betina.
Iaitu yang betina isinya berwarna OREN (sebelah kanan dalam gambar), yang jantan pulak isinya warna PUTIH (sebelah kiri dalam gambar).

Betul ke???

Hasil carian di internet, saya jumpa beberapa artikel yang menyentuh mengenai jantina kupang. Kalau nak baca, sila KLIK DI SINIDI SINI dan DI SINI. 

Jadi, betul ke kupang betina isi warna oren dan jantan isi warna putih?
MEMANG BETUL!


p/s: Ilmu tu seluas lautan, kita mungkin cuma dapat setitik. Lebih 30 tahun hidup, baru kini tau ilmu mengenai jantina kupang! Terima kasih kepada penjual kupang yang memberikan ilmu ini.

Friday, 7 September 2012

Lidas dan Nanas

Dalam entri mengenai nenas MD2, ada beberapa orang yang bertanya mengenai maksud LIDAS. Sebab saya sebut yang nenas MD2 ni tak lidas bila dimakan. Berdasarkan carian di internet, LIDAS wujud dalam bahasa Jawa dan bahasa Melayu rasmi.

LIDAS = Rasa pedih atau gatal pada lidah (ketika makan buah yang masam seperti nanas dsb).

------------------------------------------------------------------------

Dalam mencari maksud LIDAS, terjumpa pulak mengenai ejaan yang betul bagi NENAS adalah NANAS. Patutlah kadang-kala jumpa orang tulis Nanas...


*Kalau korang nak semak ejaan atau cari maksud apa-apa perkataan dalam bahasa Melayu, boleh buat rujukan di laman web DBP DI SINI. Untuk carian bahasa Jawa boleh rujuk DI SINI.

Thursday, 6 September 2012

MD2


Pertama kali saya merasa kemanisan buah nenas MD2. Manis dan tak lidas! Nenas ni saya tak beli, tapi ada orang bagi. Mari kita berkenalan dengan nenas MD2 ni...

Varieti: Golden Sweet (MD2) / Nanas Manis MD2
Nama gelaran lain: Dinar Pineapple (di negara Arab), Miss Dole (di negara-negara lain)
Asal: Ia varieti nenas kacukan yang dihasilkan oleh Institut Penyelidikan Nenas di Hawaii.
Ciri-ciri: 
- berat di antara 1.3kg hingga 2.5kg sebiji bagi yang bersaiz sederhana atau besar. (Yang saya dapat ni rasanya kategori saiz kecil).
- warna kuning keemasan dan mempunyai mata besar.
- isi warna kuning, manis, padat dan tinggi kandungan fiber.
- tidak mudah rosak.
- 4 kali ganda lebih tinggi kandungan vitamin C.

Nenas jenis ni ditanam untuk tujuan eksport disebabkan permintaan yang tinggi dalam pasaran nenas segar dunia. Saya tak pasti berapa harganya jika ada dijual dipasaran tempatan. Disebabkan ia untuk dieksport, siap ada tunjuk cara potong buah ni.

Lepas potong, boleh terus makan. Memang tak lidas.

(Sumber fakta: mpib.com & anim agro tech.)

Wednesday, 5 September 2012

Satu Jam di Kuala Woh

(Amaran: Entri ini agak banyak gambar dan info.)

Jumaat lalu saya dan suami ke rumah adik ipar yang terletak di Seri Iskandar, Perak. Perjalanan dari Bangi ke sana mengambil masa kira-kira 3 jam. Dalam perjalanan balik kami singgah pulak di Hutan Lipur Kuala Woh. Rugi rasanya kalau dah ke Perak tapi tak singgah mana-mana tempat menarik. Saya pilih Kuala Woh sebab belum pernah ke sana dan ia paling dekat dengan highway.

Cara ke sana? Melalui Lebuhraya Utara-Selatan, susur keluar (exit) di Tapah. Lepas tol ada traffic light, ambil  arah ke Cameron Highlands. Kuala Woh terletak lebih kurang 10 km dari plaza tol Tapah, iaitu kira-kira 10 minit memandu. Kena perhatikan sign board ke Kuala Woh di sebelah kanan jalan, takut terlepas asyik layan jalanraya yang banyak selekoh tu.
-----------------------------------------------------------------------------------------

Tiba di sana dah dekat pukul 5 petang. Pengunjung lain tengah sibuk berkemas balik. Bagus jugak, kawasan tu jadi lengang dan bolehlah saya menikmati alam dengan tenang. Tapi sebab masa terhad, saya terus pilih 'port' yang terdekat untuk aktiviti bermesra dengan air. Tak sempat nak cari kat mana jambatan gantung, yang penting dapat main air!


Gambar atas- Kami parking kereta berhampiran kawasan chalet & tapak perkhemahan ni. Insya allah lain kali nak bermalam di sini. Dengarnya harga chalet murah je.
Gambar bawah- Amaran 'kepala air'. Kami pilih 'port' kat kawasan ni je.



Gambar atas- Sebelum masuk air, sempat baca info. Ada 'air panas' kat sungai ni!
Gambar bawah- 'Rajah Brooke' spesis rama-rama yang dilindungi terdapat di kawasan ni. 


Kawasan ni banyak batu, kena hati-hati bila melangkah. 


Gambar atas- Saya banyak 'melepak' kat sini. Kedalaman separas pinggang, aliran air deras kat celah-celah batu besar ni. Batu sebelah kiri tu, bawahnya panas tau!

Gambar bawah- (dalam bulatan merah) Penemuan 'air panas'! Tak pasti samada betul-betul ada 'mata air panas' atau cuma batuan & pasir tu yang panas. Saya jumpa dua tempat yang begini. Sakit jugak kaki bila tiba-tiba terpijak pasir yang panas disekeliling batu tadi. Jakun jap..sebelah kaki pijak pasir panas, sebelah lagi pijak pasir biasa. *Model kaki milik seorang lelaki ya.


Tak pasti nama serangga ni, tapi saya panggil je 'pepatung'. Cantik kombinasi warna hitam dan biru kehijauan pada badannya. Terdapat banyak di tempat saya main air tu. Bila saya tengok ke langit, rupanya memang sangat banyak serangga ni sedang berlegar-legar kat atas macam kawanan lebah. Tak sempat ambil gambar sebab tengah syok dalam air. Bila nak balik, kawanan serangga ni dah pun beralih ke kawasan hutan berhampiran.


kuala-woh1
 Ni dia si 'Rajah Brooke'! Tapi ni gambar dari peraknews.com. Masa tengah main air tu memang kelihatan rama-rama ni berterbangan...cantik sangat! 

Walau cuma satu jam, saya rasa puas dapat ke Kuala Woh. Aliran air dicelah batuan menghasilkan irama yang menenangkan, sambil sesekali kaki memijak pepasir yang panas. Pepatung dan rerama yang cantik pulak berterbangan disekeliling kita. Alangkah...

p/s: Untuk info lebih lanjut, korang boleh KLIK pada link yang ada kat atas ya.

Monday, 3 September 2012

Hari Ahad Yang Padat

Cuti 3 hari yang padat! Hari Jumaat seharian di Perak, Sabtu dah mula terima kunjungan keluarga pakcik sebelah suami dari Johor, dan Ahad....

Lebih separuh hari dihabiskan di Kolej Ke-11, Universiti Malaya (UM). Tiba kira-kira jam 9.30 pagi dan bergerak balik jam 2 petang. Tujuan ke sana untuk bersama-sama keluarga pakcik menghantar anaknya untuk pendaftaran pelajar baru. Kiranya saya dan suami jadi penunjuk jalan untuk ke UM. Padahal takle mahir pun jalan-jalan di KL ni, tapi dengan bantuan GPS Alhamdulillah takde masalah.


1) Lepas mendaftar, ibubapa kena dengar taklimat dlm dewan Kolej Ke-11 (Kolej Kediaman Ungku Aziz).
2) Lepas tu taklimat lagi...masih untuk ibubapa di Dewan Canselor (tempat lain), kena naik bas yang disediakan. Sementara tu saya pun ikut sepupu masuk ke bilik dia, hantar & kemas barang. Ni bangunan luarnya.
3) Sebilik untuk 4 orang. Sama macam saya kat UPM dulu. Cuma almari tu comel sangat.
4) Yang bestnya, ada balkoni yang menghadap hutan. Saya suka tengok hutan..

Masa beberapa jam selebihnya cuma duduk melepak kat bangku-bangku di sekitar kolej kediaman. Jadi agak letih sebab semalam kebetulan cuaca panas terik. Pukul 1 lebih barulah bas yang membawa ibubapa dari Dewan Canselor tiba. Pukul 2 petang kami bergerak balik rumah kat Bangi.

***************************************************
Sampai rumah, solat dan rehat kejap. Lepas tu acara wajib, bawa keluarga pakcik ke Pusat Pemborong Nilai 3. Dekat je dengan rumah saya, kira-kira 10 minit memandu. Sebelum tu saya dah bagitau mereka, harini susah nak dapat harga rendah sebab hari Ahad ramai pengunjung ke Nilai 3. Jadinya cuma beli barang yang mereka tau harganya memang rendah dari di Johor. 


Selepas beli barang, kami makan di medan makan Nilai 3.
1) Makan mee sup daging. Rasanya biasa-biasa je kat tekak saya ni, tapi habis gak makan.
2) Nilah rupa tempat makannya. Nilai 3 dah glamer, tapi tempat menjamu seleranya masih tak naik taraf. Harap-harap ni cuma sementara, sebab nampak banyak lagi binaan sedang rancak dibuat.

Lepas makan, kami hantar mereka ke plaza tol berhampiran. Berpisah di situ. Dah maghrib pun, balik rumah buat apa yang patut. Lepas Isyak ke rumah adik saya pulak, di kawasan yang sama sebab dia jemput makan-makan. Jemputan orang tak baik ditolak. Penat tapi lega semua urusan selesai!