Thursday, 19 June 2025

Jalan-jalan di Ueno Park, Ueno, Taito City

🌸 CATATAN TRIP KE JEPUN | HARI KE LIMA - AHAD, 8 DISEMBER 2024 🌸

Sambungan entri terdahulu —> Halal Ramen Ueno, Ueno


Hari kelima merupakan hari terakhir kami berjalan-jalan di Tokyo, esoknya hari penerbangan pulang ke tanah air. Seperti hari sebelumnya, kami bersarapan secara ala kadar dengan bekalan yang ada.

Sekitar pukul 9 pagi, saya keluar seorang diri menuju ke Ueno Park yang terletak di seberang jalan hotel penginapan kami. Encik Suami selesaikan sedikit urusannya sebelum menyusul saya kira-kira 15 minit kemudian.
Info ringkas Ueno Park :
  • Ueno Park (Ueno Kōen dalam bahasa Jepun) merupakan sebuah taman rekreasi di Taito City, Tokyo yang juga menempatkan beberapa buah muzium, kuil (temple/shrine) dan zoo.
  • Akses stesen tren terdekat - Ueno Station.
  • Antara tarikan utama di sini - Ueno Zoo, Tokyo National Museum, Tokyo Metropolitan Art Museum, Shinobazu Pond, Kaneiji Temple dan Toshogu Shrine.
Bacaan lanjut berkenaan sejarah Ueno Park dan waktu operasi tarikan utama di sini, boleh baca di japan-guide.com.

Walaupun saya memulakan langkah sendirian di Ueno Park, saya tak rasa kekok atau bimbang berada di sini. Saya seronok berjalan dalam suhu dingin sambil memerhati keindahan taman yang dijaga rapi. Ketika ini, Tokyo berada di penghujung musim luruh - banyak pokok yang sudah gugur daunnya dan ada juga pokok yang masih dipenuhi dengan daun berwarna kemerahan juga kuning keemasan.

Tak banyak yang boleh saya catatkan kerana saya tak berkunjung ke mana-mana muzium, zoo atau kuil yang ada di Ueno Park. Saya sekadar berjalan-jalan santai menikmati suasana di sini sambil memotret apa-apa yang kelihatan menarik di mata saya.

Ueno Park, Taito City, Tokyo
Keadaan di sini tenang saja walau kelihatan ramai pengunjung. Cuaca ketika ini cerah dengan langit membiru dan matahari memancar terang, tapi udaranya sejuk!

Ueno Park, Taito City, Tokyo
Penutup manhole dengan motif pokok bunga sakura. Ueno Park merupakan antara tempat untuk kita menyaksikan keindahan bunga sakura ketika musim bunga (sekitar bulan Mac - April).

Ueno Park, Taito City, Tokyo
Entah pokok apa, kelihatan menarik dengan daun-daun kecil berwarna kemerahan.

Ueno Park, Taito City, Tokyo
Di sepanjang laluan taman ini terdapat lampu-lampu kecil yang dihiasi dengan motif seni budaya Jepun.

Ueno Park, Taito City, Tokyo
Cantik dan menarik kan? Ia bukan saja berfungsi sebagai lampu menerangi gelap malam, tetapi turut menjadi penghias taman dengan menonjolkan seni budaya Jepun.

Ueno Park, Taito City, Tokyo
Saya tak pasti ini apa, tapi nampak macam tong sampah untuk kegunaan pekerja pembersihan. Apa yang pasti, saya tertarik dengan motif seni budaya Jepun pada badan tong ini. Mereka kreatif dalam mengubah benda biasa menjadi sesuatu yang menarik (contoh lain - penutup manhole).

Ueno Park, Taito City, Tokyo
Salah sebuah kuil (temple/shrine) yang ada di Ueno Park. Pengunjung perlu mendaki anak tangga untuk sampai ke bangunan kuil.

Ueno Park, Taito City, Tokyo
Suhu rendah ketika ini 7℃. Udara sejuk dan kering.

Ueno Park, Taito City, Tokyo
Pemandangan Ueno Park pada penghujung musim luruh. Saya membayangkan pokok-pokok tanpa daun ini dipenuhi bunga sakura apabila tiba musimnya. Tentu sangat memukau pandangan.

Ueno Park, Taito City, Tokyo
Eh, ada pondok telefon! Bersih dan nampaknya boleh berfungsi.

Ueno Park, Taito City, Tokyo
Di Ueno Park juga terdapat beberapa tugu peringatan.

Ueno Park, Taito City, Tokyo
Salah satunya - Statue of The Imperial Prince Komatsunomiya Akihito.

Ueno Park, Taito City, Tokyo
Kawanan burung di dahan pokok yang menambah ceria suasana taman.

Ueno Park, Taito City, Tokyo
Kami tiba di suatu kawasan dengan pokok berdaun kekuningan. MasyaAllah…cantik sungguh!

Ueno Park, Taito City, Tokyo
Lokasinya berhampiran Ueno Zoo. Kelihatan ramai pengunjung sedang berbaris menunggu zoo dibuka. Kalau ikut itinerari, kami pun akan ikut berbaris sama tetapi kami ubah fikiran di saat akhir.

Ueno Park, Taito City, Tokyo
Cantik sungguh daun gingko yang berjatuhan memenuhi lantai taman.

Ueno Park, Taito City, Tokyo
Close-up daun gingko. Daunnya berbentuk seperti kipas.

Ueno Park, Taito City, Tokyo
Langit membiru dengan dedaun pokok hijau dan kuning - lukisan alam yang mempesona.

Ueno Park, Taito City, Tokyo
Dedaun pokok gingko bersinar keemasan di bawah pancaran matahari.

Ueno Park, Taito City, Tokyo
Sebelum beredar, kami berfoto kenangan dengan menggunakan lensa kamera wide angle 0.6x.

Ueno Park, Taito City, Tokyo
Pintu gerbang ke salah sebuah kuil yang ada di sini. 

Ueno Park, Taito City, Tokyo
Depan pintu masuk Ueno Zoo. Ketika ini agak lengang sebab pengunjung yang beratur tadi dah masuk.

Ueno Park, Taito City, Tokyo
Jalan ke depan lagi, nampak suatu kawasan yang meriah dengan orang ramai. Entah ada acara apa, kami tak pergi ke sana.

Ueno Park, Taito City, Tokyo
Pokok maple dengan dedaun berwarna merah.

Ueno Park, Taito City, Tokyo
Antara bunga-bunga yang menghiasi taman. Bunga tahi ayam (Lantana camara) pun ada.

Ueno Park, Taito City, Tokyo
Entah pokok apa, lebat buahnya dan cantik warnanya merah terang. Daunnya juga menarik - warna hijau dan warna kemerahan.

Ueno Park, Taito City, Tokyo
Peta panduan Ueno Park. Klik untuk paparan lebih jelas.

Ueno Park bukan sekadar sebuah taman rekreasi yang luas, tetapi di sini terdapat banyak tempat tarikan pelancongan - zoo, muzium dan kuil (temple/shrine). Pendek kata, kita perlukan banyak masa kalau betul-betul nak menjelajah setiap sudut. Kami berjalan-jalan di sini selama 1 jam sahaja dan cuma sempat menjelajah sebahagian kecil kawasan taman ini. Itu pun dah cukup membuat saya rasa seronok dan teruja.







Tuesday, 17 June 2025

Cuma Seketika, Tapi Cukup Bermakna

Hari Jumaat lalu ketika langit hampir gelap, saya dan Encik Suami menaiki penerbangan dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Kepala Batas, Kedah menuju ke KLIA, Sepang, Selangor. Tak ramai penumpang dalam pesawat, banyak kerusi kosong.

Dari KLIA kami naik Grab ke rumah NS. Kali terakhir kami balik sini sekitar sebulan yang lalu.

Esoknya awal pagi hari Sabtu, kami ke Damansara dengan menaiki kereta yang kami tinggalkan sebelum ini di rumah NS. Selesai urusan Encik Suami di Damansara, kami bergerak menuju ke selatan tanah air - balik kampung saya di Pontian, Johor. Singgah juga di Aeon Nilai membeli buah-buahan, sayuran dan keperluan untuk rumah Mak.

Pukul 10 pagi hari Ahad, kami bergerak meninggalkan rumah Mak. Penerbangan balik ke utara dijadualkan pada lewat petang, tapi kami bertolak lebih awal bagi memberi masa sekiranya berlaku kelewatan di lebuh raya. Maklum sajalah biasanya hari Ahad banyak kenderaan dari selatan menghala ke KL. Tapi nampaknya kali ini jalanan agak lengang, mungkin sebab masing-masing dah balik kampung pada hujung minggu sebelumnya (sempena Hari Raya Aidiladha).


Sebelum masuk kereta, saya lambai Mak menerusi tingkap rumah. Mak dah tak boleh hantar kami sampai depan pintu macam selalu πŸ™

Semenjak Mak tak mampu urus diri, Mak memilih untuk ditempatkan di ruang tengah rumah. Mudah untuk kakak/pembantu uruskan Mak, ruang lebih luas berbanding dalam bilik dan Mak boleh tengok luar menerusi tingkap di sekeliling rumah. Kalau perlukan privasi, cuma perlu turunkan langsir pintu. Alat pendingin hawa turut dipasang di ruang tersebut demi keselesaan Mak.

Alhamdulillah…lega rasa hati dapat melihat keadaan Mak di depan mata. Mak nampak lebih cergas berbanding sebelumnya, rancak bercerita itu ini dan sempat bertanyakan keadaan ‘cucu’ - Jojo πŸ˜‚

Cuma seketika, tapi cukup bermakna.
Terima kasih Allah πŸ’™







Wednesday, 11 June 2025

Ubi Kayu Goreng

Ada suatu petang, jiran datang ke rumah hantar ubi kayu hasil tanam sendiri. Gembira sungguh saya terima pemberian begini sebab saya suka makan ubi kayu yang direbus atau digoreng. Kalau kuih-muih berasaskan ubi kayu tu saya tak berapa suka makan.

Bila ada ubi kayu, terus saya rasa teringin nak makan ubi kayu goreng macam zaman dulu. Encik Suami tukang kerjakan ubi kayu - kupas kulit, basuh dan potong kecil. Dah siap, saya pula sambung kerja - gaul potongan ubi kayu dengan bahan perapan dan biar seketika sebelum di goreng.

Ubi Kayu Goreng
Ubi kayu yang dah digaul rata dengan bahan perapan.


UBI KAYU GORENG
Bahan :
  • Ubi kayu - di potong kecil bentuk baji (potongan wedges)
  • Bawang putih - ditumbuk kasar (saya gunakan chopper)
  • Serbuk kunyit
  • Garam

Cara-caranya :
  • Gaul rata potongan ubi kayu dengan bawang putih, serbuk kunyit dan garam secukupnya.
  • Perap seketika supaya mesra rasa bahan perapan dengan ubi kayu.
  • Kemudian goreng dalam minyak panas dengan api sederhana supaya gorengan tak cepat hangus dan ubi kayu masak empuk.

Ubi Kayu Goreng
Alhamdulillah…nikmat sungguh dapat makan ubi kayu goreng. Cukup empuk dan sedap dengan aroma bawang putih. Kami tak makan dengan pencicah (sambal tumis atau sambal kicap) kerana memang dari dulu kami makan begitu saja.

Sambil makan, saya dan Encik Suami bernostalgia kisah masa lalu kami dengan ubi kayu goreng ini. Kami sama-sama orang Johor, berketurunan Jawa tetapi menetap di dua daerah berbeza. Ubi kayu goreng begini menjadi makanan biasa kami semasa zaman budak. Resepinya sama.

Ubi kayu goreng ni ada banyak cara (resepi) - ada orang suka rebus dulu sebelum digoreng dan ada juga yang letak bahan-bahan lain sebagai perapan. Bagi kami, resepi yang biasa dibuat oleh keluarga kami tetap menjadi pilihan bila nak membuat ubi kayu goreng.

Setiap kali makan, pasti terkenang kehidupan saya sekeluarga pada masa lalu dan juga Allahyarham Bapak yang gemar makan ubi kayu goreng. Nampaknya - makanan bukan hanya nikmat pada rasa, tetapi sebuah kerinduan pada masa lalu.







Monday, 9 June 2025

Ibadah Korban Bersama Jiran

Catatan hari Ahad, 8 Jun 2025 bersamaan 11 Zulhijjah 1446.


Ibadah korban tahun ini saya dan Encik Suami lakukan bersama jiran-jiran. Ini merupakan kali pertama kami buat korban sejak berpindah ke sini. 

Haiwan korban dibeli terus dari ladang ternakan dan proses penyembelihan dilakukan di rumah sembelihan. Haiwan korban yang dipilih - seekor lembu dengan berat sekitar 301 kg hingga 330 kg. Berat selepas penyembelihan - daging sekitar 100 kg dan tulang/organ dalaman sekitar 35 kg.

Kira-kira pukul 8.15 pagi jiran-jiran mula bergotong-royong mengerjakan daging korban.

Siap potong daging, timbang dan masukkan dalam bekas untuk diagihkan.

Kepala lembu sedang diproses - ambil isi/daging.

Sebahagian daging dan tulang dibuat masak sup. Pukul 2 petang - jamuan makan bihun sup Utara. Sedap sungguh dapat menikmati masakan daging segar. Kebetulan pula masa makan ni suasana mendung selepas hujan, memang sesuai hirup sup panas.


Alhamdulillah urusan ibadah korban berjalan dengan lancar. Semoga ibadah korban yang kami lakukan diterima Allah SWT.


“Maka kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata dan sembelihlah korban sebagai bersyukur.” - maksud surah al-Kauthar, ayat 2.






Friday, 6 June 2025

Cerita-cerita Menjelang Aidiladha

⏵ Beri Ikan Puyu, Dapat Buah Durian
Dah hampir setahun Encik Suami bela ikan puyu dalam poly tank - ceritanya DI SINI. Encik Suami tak makan ikan puyu, saja bela suka-suka. Sekarang ikan puyu dah besar dan beranak pinak. Encik Suami berikan hampir semua ikan-ikannya kepada seorang jiran untuk buat makan dan sambung bela. Cuma lima ekor saja ditinggalkan dalam poly tank, nak menyambung bela suka-suka katanya.

Petang semalam, jiran datang pulangkan baldi (bekas mengisi ikan puyu). Bukan baldi kosong, tapi berisi tiga biji buah durian. Baunya semerbak satu rumah!

Alhamdulillah isi buah semuanya elok sedap.


⏵ Makan-makan Bersama Keluarga
Malam tadi kami ke rumah adik ipar (adik Encik Suami) di Kangar. Dah beberapa hari mak mentua berada di Perlis - adik ipar ambil mak dari kampung di Johor.

Makan-makan di Secret Recipe bersama adik ipar sekeluarga dan mak mentua.


⏵ Jojo Si Pemburu
Sudah setahun saya berkawan baik dengan makhluk Allah yang satu ini - Jojo si kucing kampung. Sejak kehadiran Jojo di rumah kami, selalu jugalah saya jumpa haiwan kecil mati - tikus, tupai dan burung. Kadang diletak depan pintu - menjerit terkejut saya pagi-pagi buka pintu ada bangkai haiwan.

Pagi tadi semasa kami sedang bersarapan sebelum Encik Suami pergi kerja, terdengar bunyi riuh di luar. Rupa-rupanya Jojo sedang memburu seekor burung. Riuh bunyi burung yang dikejar dan juga riuh bunyi kawan-kawan burung. Aduhai…kesian burung tu.

Jojo sedang ‘menjaga’ haiwan buruannya sambil mata memerhati kawanan burung di atas bumbung rumah.

Beginilah Jojo pada masa aktifnya, sibuk menghendap dan mengejar haiwan di sekeliling rumah. Baru-baru ni saya nampak Jojo sedang melambung-lambung seekor mengkarung yang masih hidup. Haiwan yang diburu bukan dibuat makan pun, tapi cuma memenuhi naluri pemburu seekor kucing.


—————————————————

Mungkin ramai yang sedang sibuk buat persiapan raya sekarang ni kan? Saya santai saja sebab tak balik kampung. Esok hari Sabtu lepas solat raya, Encik Suami perlu hadir program ibadah korban pihak syarikat di sebuah masjid. Ada aktiviti memasak dan lepas tu makan, mungkin tengah hari baru selesai. Waktu petang barulah kami akan ke rumah adik ipar. 

Hari Ahad pula kami dan jiran terdekat akan bersama-sama buat ibadah korban. Juga ada makan-makan pada waktu tengah hari. Nampaknya hari raya haji kami kali ini lebih terisi berbanding tahun lepas.

Selamat menyambut hari raya Aidiladha buat semua sahabat blog 😊. Jangan lupa ulang kaji dan lakukan perkara sunnah Aidiladha ya.







Wednesday, 4 June 2025

Kenduri Kahwin di ‘Loq Staq’ dan ‘Kokdiang’

Cerita hujung minggu lalu.

Saya dan Encik Suami ke Kedah bagi memenuhi undangan majlis perkahwinan. Ini merupakan pengalaman pertama kami menghadiri kenduri kahwin di negeri Kedah.


Hari Sabtu | Loq Staq
Lokasi kenduri di sebuah masjid di Alor Setar (loghat tempatan sebut Loq Staq). Kami sampai awal sekitar pukul 12 lebih. Tetamu belum ramai, dapatlah saya mencuba pelbagai hidangan dengan tenang. Bangun beberapa kali untuk ambil makanan berbeza 😁

Sedap sungguh kuetiau goreng kerang dan cucur udang ni. Semuanya masih panas. Setiap makanan yang diambil kami kongsi berdua, kecuali makanan utama (nasi).

Ambil juga ABC dan kek karamel pelangi. Pun sedap! Ada pelbagai jenis makanan lain yang saya tak cuba, cukuplah ambil makanan yang betul-betul digemari je.

Berlaku kisah yang memalukan. Perhatikan - foto pertama tu ada peket tisu dan foto kedua peket tisu dah tiada. Kisahnya, kami makan di meja bersama tiga sekeluarga. Saya nampak peket tisu berada di tengah meja, jadi saya sangkakan itu tisu yang disediakan untuk tetamu. Saya pun ambil tisu tersebut sehelai dua.

Selepas mereka beredar, barulah saya sedar peket tisu tersebut kepunyaan mereka. Bila nak guna, eh…mana tisu tadi? Saya pandang meja lain, mana ada peket tisu atas meja. Ya Allah, rasa malu sangat 🀣. Logiknya, tak ada atau jarang sekali tisu disediakan di setiap meja tetamu biasa. Entah apa yang saya fikir masa tu. Harapnya tuan punya tisu tadi tak marah dan halalkan helaian tisu yang saya ‘curi’.


Hari Ahad | Kokdiang
Lokasi kenduri kahwin di sebuah rumah dalam suasana kampung di Kodiang (loghat tempatan sebut Kokdiang). Tak jauh dari lokasi Tapak Geowarisan Gua Kerbau yang kami kunjungi pada bulan Februari lalu.

Kenduri kahwin bertemakan ‘orang kampung’. Tuan rumah, ahli keluarga dan pengantin memakai pakaian yang sesuai dengan tema. Pelamin yang terletak di luar rumah juga dihias dengan kain batik, dulang mengkuang dan lain-lain barang yang sesuai tema. Ringkas tapi sangat menarik. Lagi pula rumah ini terletak bersebelahan dengan hamparan sawah padi yang menghijau, memang sesuai sangatlah!

Kami dapat cenderamata - bunga telur dan bungkusan kotak comel berisi sebotol kecil wangian.







Tuesday, 3 June 2025

Halal Ramen Ueno, Ueno

🌸 CATATAN TRIP KE JEPUN | HARI KEEMPAT - SABTU, 7 DISEMBER 2024 🌸

Jemput baca catatan terdahulu —> Ziarah dan Solat di As-Salaam Masjid, Okachimachi


Halal Ramen Ueno terletak hanya 60 meter dari As-Salaam Masjid. Tak susah mencari kerana lokasinya mudah dilihat dan terdapat sebuah banner besar.

Halal Ramen Ueno, Ueno, Tokyo, Japan
Halal Ramen Ueno mendapat pengiktirafan halal oleh Japan Halal Foundation.

Halal Ramen Ueno, Ueno, Tokyo, Japan
Ruang dalamnya berbentuk memanjang. Terdapat kira-kira 7 buah meja makan.

Halal Ramen Ueno, Ueno, Tokyo, Japan
Antara menu yang ditawarkan di sini.

Kami memesan dua mangkuk ramen dan sepiring dumpling. Kali ni tak beli minuman, kami minum air kosong yang diberi secara percuma.

Halal Ramen Ueno, Ueno, Tokyo, Japan
Hot fried chicken ramen - 1,800 yen.

Halal Ramen Ueno, Ueno, Tokyo, Japan
Hot special chicken ramen - 1,800 yen.

Halal Ramen Ueno, Ueno, Tokyo, Japan
Dumpling - 800 yen.

Layanan di sini mesra dan pantas. Cuma rasa masakannya agak kurang menepati cita rasa kami. Apa pun, saya tetap rasa bersyukur kerana dapat makan dengan selesa dan tanpa was-was di restoran halal.

Kos makan-makan kami di sini sebanyak 4,400 yen.

Carian Google Maps - Halal Ramen Ueno.







Sunday, 1 June 2025

Ziarah dan Solat di As-Salaam Masjid, Okachimachi

🌸 CATATAN TRIP KE JEPUN | HARI KEEMPAT - SABTU, 7 DISEMBER 2024 🌸

Jemput baca entri terdahulu —> Catatan Hari Keempat di Tokyo


As-Salaam Masjid merupakan masjid keempat yang sempat saya dan Encik Suami kunjungi ketika berada di Jepun. Sengaja saya selitkan aktiviti ziarah masjid dalam itinerari bagi mengetahui lebih dekat perkembangan Islam di negara minoriti Muslim ini, selain itu dapatlah kami menunaikan solat dalam keadaan selesa. Tambah seronok apabila dapat bertemu dan bertegur sapa (walau sekadar ucapan salam) dengan saudara seagama yang datang dari pelbagai negara.
Info | As-Salaam Masjid juga dikenali sebagai Ueno Okachimachi Mosque. Operasi masjid ini digerakkan oleh As-Salaam Foundation.
Berpandukan aplikasi Google Maps, kami berjalan kaki kira-kira 220 meter dari Naka-Okachimachi Station menuju ke As-Salaam Masjid. Tak susah nak mencari masjid ini kerana dari jauh kita dah boleh nampak seni bina masjid yang biasa kita lihat iaitu kubah. Sayangnya, saya tak perasan foto yang dirakam 'terpotong' binaan kubah di atas bangunan.

Masjid As-Salam, Okachimachi
As-Salaam Masjid terletak di sebuah bangunan empat tingkat. Aras bawah berfungsi sebagai Community Center, manakala aras atas berfungsi sebagai ruang solat lelaki dan perempuan.

Masjid As-Salam, Okachimachi
Pintu utama bangunan masjid.

Masjid As-Salam, Okachimachi
Terdapat sebuah mesin minuman di sini yang menawarkan pelbagai jenis minuman halal.

Sebaik melangkah masuk bangunan, kami disambut mesra oleh seorang lelaki yang berada di kaunter Community Center. Kami ditunjukkan arah untuk ke ruang solat - masuk bangunan, pergi ke pintu di sebelah kanan.

Di sini, tempat wuduk lelaki berada di aras bawah - ambil wuduk kemudian barulah naik ke tingkat atas untuk ke ruang solat lelaki. Sebelum melangkah naik tangga, kita perlu buka kasut dan letak di rak tersedia.

Masjid As-Salam, Okachimachi
Ruang solat perempuan di aras 2. Pintu ini perlu sentiasa di tutup sebab orang lelaki akan lalu untuk naik ke aras atas. 

Masjid As-Salam, Okachimachi
Ruang solat muslimah - luas dan selesa. Pintu di bahagian hadapan kanan tu tempat wuduk dan tandas.

Masjid As-Salam, Okachimachi
Tempat wuduk dan tandas. Ruangnya terhad tapi ini pun dah cukup selesa dan memadai bagi sebuah masjid yang berada di negara minoriti Muslim.

Masjid As-Salam, Okachimachi
Di Jepun memang terdapat banyak notis peringatan di sana sini, termasuklah dalam masjid. Kalau datang Jepun kenalah rajin membaca supaya kita tak buat perkara yang menyalahi norma hidup masyarakat tempatan.

Di sini, selepas berwuduk kita mesti keringkan kaki menggunakan tisu tebal/keras yang disediakan. Setakat beberapa buah masjid yang saya kunjungi di Jepun, semuanya menyediakan tisu tebal/keras di ruang wuduk untuk kita lap keringkan kaki. Amalan baik yang bagus kita ikuti. Tidaklah karpet jadi lembab dan berbau hapak.

Masjid As-Salam, Okachimachi
Di Jepun, kita tak boleh tinggalkan sampah kita sesuka hati sebab sistem pengurusan sampah di sini sangat terperinci dan mengutamakan kitar semula.

Perasan tak? Notis dipaparkan dengan terjemahan bahasa Melayu/Indonesia. Saya tak tahu sebab yang tepat, tapi saya fikir mungkin kerana ramai para musafir warga Malaysia dan Indonesia yang menggunakan kemudahan masjid. Selain itu memang ada operasi masjid yang digerakkan oleh sukarelawan Indonesia yang menetap di Jepun, iaitu Masjid Nusantara di Akihabara.

Alhamdulillah kami berkesempatan menunaikan solat di As-Salaam Masjid sebanyak dua kali - iaitu pada hari keempat dan kelima di Tokyo. Saya rasa sangat bersyukur dan berterima kasih kepada pihak As-Salaam Foundation yang telah berusaha mendirikan masjid ini. Ia bukan sahaja berfungsi sebagai tempat ibadat umat Islam dan aktiviti keagamaan, masjid ini juga berfungsi sebagai pusat dakwah agama Islam.

As-Salaam Foundation juga sedang mendirikan Tokyo Central Masjid. Carian saya mendapati bangunan tersebut bakal siap pada bulan November 2025. Berminat menghulurkan dana? Boleh klik di link berikut --> As-Salaam Foundation

Info lanjut berkenaan operasi As-Salaam Foundation, waktu solat, waktu iqamah (untuk ikut serta solat berjemaah) dan jadual solat Jumaat (dilakukan beberapa kali) kalian boleh rujuk di laman rasmi As-Salaam Foundation.

Carian Google Maps - As-Salaam Masjid, Okachimachi