Monday, 31 October 2022

Dah Teringin, Kenalah Rajin Memasak…

Soto merupakan antara makanan kegemaran saya. Tetapi semenjak menetap di PP, agak susah nak jumpa kedai makan yang menjual Soto. Seingatnya, memang belum pernah jumpa menu Soto di kedai makan sekitar rumah saya ni. Mungkin juga ada, tapi saya yang belum jumpa kedainya.

Disebabkan keinginan yang agak tinggi, kenalah saya rajinkan diri memasak Soto. Jujurnya, saya memang bukan seorang yang rajin memasak. Apatah lagi ahli keluarga cuma berdua. Kalau masakan yang renyah macam Soto ni saya lebih memilih untuk beli saja.

Hasil ‘keributan’ di dapur sejak pagi tadi, hari ini dapatlah saya menikmati Soto…

Saya punya tak letak taugeh, tak suka. Hehe…


Alhamdulillah…nak kata sedap sangat tu tidaklah. Tapi bolehlah melepas rasa keinginan sendiri. Lepas menikmati Soto, kenalah mengemas dapur yang berkecah 😅





Saturday, 29 October 2022

Janji Temu Pertama Rawatan Susulan Bagi Penyakit Gusi

Catatan terdahulu berkaitan rawatan penyakit gusi saya :


Petang semalam (Jumaat, 28.10.2022), sekali lagi saya berjumpa doktor gigi bagi menjalani rawatan susulan berkaitan penyakit gusi yang saya alami. Janji temu sepatutnya pada penghujung bulan Ogos lalu, tetapi bertukar masa beberapa kali atas beberapa sebab (kadang Dr. Freeda tak ada dan kadang saya pula yang tak dapat hadir). Sudahnya, rawatan susulan yang sepatutnya dibuat selepas tiga bulan jadi berjarak lima bulan. Tapi itu bukanlah masalah besar, sebab ianya hanyalah rawatan susulan.

Alhamdulillah, semalam dapat juga saya hadir setelah menggantikan slot pesakit lain yang tak dapat hadir. Pihak klinik sangat profesional dalam menguruskan slot rawatan, semuanya diatur dengan baik. Jadinya kalau ke klinik, tak perlulah kita menunggu lama untuk mendapatkan rawatan dan ruang menunggu tak dipenuhi dengan pesakit yang sedang menunggu.

Bagi rawatan susulan kali ini, ada tiga perkara dilakukan :
  • Ukur gigi
  • Scaling
  • Repair splinting gigi atas
Menurut Dr. Freeda, secara keseluruhannya gusi saya sudah kembali sihat (gusi yang sihat adalah gusi yang mampu memegang kukuh gigi). Tetapi ada sebatang gigi yang tak dapat dipegang kukuh oleh gusi disebabkan keadaan penyusutan gusi yang teruk. Buat masa sekarang, pilihan yang ada hanyalah gigi tersebut perlu kekal memakai ikatan gigi (splinting) supaya kukuh tidak bergoyang.

Disebabkan tiada masalah serius, maka rawatan susulan berikutnya hanya perlu dibuat setiap enam bulan sekali. Alhamdulillah. Syukur kepada Allah. Walaupun gusi yang dah susut tak mungkin pulih seperti asal, tetapi sekurang-kurangnya gusi saya sudah bebas daripada penyakit gusi.

Rawatan kali ini selesai dalam tempoh kira-kira 50 minit. Caj dikenakan sebanyak RM400. Untuk rekod, ini merupakan kali ke-9 saya mendapatkan rawatan di Klinik Pakar Periodontik & Pergigian Freeda Woon di sepanjang tahun 2022. Insya Allah janji temu berikutnya pada bulan April 2023.


Pukul 4.17 petang - pemandangan dari atas Jambatan Kedua Pulau Pinang sewaktu dalam perjalanan balik ke rumah. Awam gelap dan hujan rintik-rintik.






.

Thursday, 27 October 2022

Alam Tercemar Apabila Iman Tercalar

Tajuk entri ini merupakan tajuk bagi salah satu bab di dalam naskhah Di Hamparan Shamrock Ku Seru Nama-Mu, penulisan oleh Hasrizal Abdul Jamil. Alam tercemar apabila iman tercalar. Kata-kata yang tepat dan jelas. Menyentuh soal pencemaran alam, ia merangkumi pelbagai aspek termasuklah aspek menjaga kebersihan persekitaran kita.

Islam adalah agama yang menitikberatkan kebersihan. Setiap kali sebelum menunaikan solat, kita perlu membersihkan diri. Bukan setakat berwudhuk, kita juga perlu memastikan tiada kotoran najis pada badan, pakaian dan tempat solat. Begitu lengkap Islam mendidik umatnya dalam soal kebersihan.

Tapi sayang, kita mungkin melakukan semua itu sekadar satu ritual agama. Bukan sebagai satu penghayatan rohani dan kefahaman yang jelas - bahawa menjaga kebersihan itu adalah tuntutan agama Islam yang kita imani. 

Saya kongsikan beberapa foto berkenaan isu penjagaan alam sekitar :

Kempen Bawa Balik Sampah Anda
Saya suka dengan pendekatan ‘Kempen Bawa Balik Sampah Anda’, papan tanda kempen ini saya temui sewaktu mendaki Bukit Keluang, Besut. Satu usaha yang sangat baik - memberi pendidikan kepada masyarakat. Saya dapati kawasan puncak bukit di sini bebas sampah. Syabas kepada pihak yang berkenaan.

Alam sekitar adalah amanah dari Allah
Satu lagi notis peringatan yang menarik perhatian saya, di lokasi yang sama iaitu Bukit Keluang. ‘Menjaga alam sekitar adalah tanggungjawab bersama dan amanah dari Allah Yang Maha Esa’. Terima kasih kepada pihak berkenaan yang telah memberi peringatan begini. Terkadang kita lupa bahawa segala yang kita nikmati hanyalah pinjaman dan amanah (perkara yang diberi kepada kita untuk menjaganya).

Pantai Bukit Keluang
Manakala di kawasan pantai Bukit Keluang ini pula, saya dapati longgokan sampah di merata tempat. Sayang sekali, kawasan pantai yang indah dengan panorama pulau-pulau kecil ini dicemari dengan sikap tidak peduli kita menjaga kebersihan sekitar. Masalah sikap pengotor ini ada di mana-mana, cuma kebetulan dalam entri ini saya ambil contoh di pantai Bukit Keluang yang baru saja saya kunjungi pada bulan lepas.

Pantai Bukit Keluang
Longgokan sampah di sana-sini. Saya dapati, hampir semuanya adalah sisa selepas aktiviti perkelahan. Kumpul sampah dalam plastik sampah tu dah bagus. Tapi bila ditinggal begitu saja, jadi tarikan kepada anjing liar yang berkeliaran mencari makan. Sudahnya, semua sampah bertaburan begini.

Entah kenapa kita tak boleh berfikir bahawa sampah mesti dibuang ke dalam tong sampah? Tak ada tong sampah di situ? Maka bawalah balik sampah kita dan uruskan secara betul. Mentaliti mengharap orang lain (pekerja pembersihan) menguruskan sampah kita adalah mentaliti yang salah dan tak menepati didikan agama kita.

Seperkara lagi, sebaiknya jika kita berkelah gunakanlah cawan dan pinggan guna semula, bukan jenis pakai buang. Kenapa? Itulah usaha kita untuk mengurangkan sampah dan mengurangkan masalah pencemaran alam yang terhasil daripada sisa plastik dan polisterin. Penggunaan bahan plastik dan polisterin juga memberi kesan buruk kepada kesihatan kita dalam jangka masa panjang. Boleh buat carian di internet berkenaan perkara ini, lepas tu kita mungkin berfikir dua kali apabila perlu menggunakan bekas plastik dan polisterin.

Gunakan bekas pakai buang hanya jika benar-benar perlu saja. Kita mungkin tak mampu tinggalkan sepenuhnya penggunaan bekas pakai buang, tapi kita mampu mengurangkan penggunaannya. Sekurang-kurangnya kita ada usaha menjaga alam yang dipinjamkan Tuhan kepada kita.

Memetik kata-kata penulis dalam bab Alam Tercemar Apabila Iman Tercalar, buku Di Hamparan Shamrock Ku Seru Nama-Mu :

Penjagaan alam sekitar mesti diterima sebagai sebahagian daripada dakwah dan jihad di jalan Allah. Lebih kuat iman, kuatlah kita menjaga alam sekitar. 




Tuesday, 25 October 2022

Mee Mee Authentic Thai Empire, Kangar

Setiap kali saya dan encik suami datang ke Perlis, adik ipar dan suaminya akan bawa kami makan di tempat yang berbeza. Walaupun Perlis negeri kecil, tapi banyak sungguh pilihan tempat makan. Kali ini kami dibawa ke sebuah kedai makan masakan Thailand iaitu Mee Mee Authentic Thai Empire yang terletak di bandar baru Kangar Jaya, Kangar.

Kami datang sekitar pukul 9 malam. Penuh pelanggan sedang menjamu selera. Alhamdulillah ada sebuah meja panjang kosong, sesuailah untuk kami enam orang.

Mee Mee Authentic Thai Empire, Kangar
Kedai makan dengan dekorasi yang sedap mata memandang. Layanan pantas dan mesra. Kami menunggu makanan sampai kira-kira 20 minit.

Mee Mee Authentic Thai Empire, Kangar
Kami ambil set untuk 4-5 orang. Ada siakap garlic, tomyam, kailan ikan masin, phadkhapau, telur dadar dan somtam.

Mee Mee Authentic Thai Empire, Kangar
Pertama kali saya tahu dan mencuba makan ikan siakap garlic. Ikan digoreng garing dan ditabur dengan gorengan bawang. Makan bersama sos bawang putih yang masam dan pedas. Memang sedap! Menurut adik ipar, kalau resepi asli ditabur dengan bawang putih goreng saja. Yang ini campur bawang putih dan bawang merah goreng. Bagi saya yang pertama kali merasa, begini pun dah rasa sangat sedap.

Mee Mee Authentic Thai Empire, Kangar
Selain set tadi, kami tambah juga satu hidangan daging bakar. Lembut sedap daging bakar dan bertambah sedap bila dimakan bersama sosnya.

Mee Mee Authentic Thai Empire, Kangar
Ramai peminat minuman Green Tea, saya punya Nestea Mix Berries. Saya cuba minum sikit Green Tea, masih tak boleh terima rasanya. Eh, sebenarnya lebih kepada tak boleh terima baunya.

Motif gambar - minuman dan pulut mangga sampai awal, jadinya ‘mereka-mereka’ ni berfoto bersama sementara tunggu makanan lain. Satu cawan minuman lagi tak ikut berfoto sebab tak sekufu - air suam. Hahah…

Mee Mee Authentic Thai Empire, Kangar
Pulut warna putih tak cukup, tapi sebab nak jugak dapatlah pulut putih campur purple.
Inilah pulut mangga paling sedap yang pernah saya makan. Pulutnya lembut, kuah santan lemak cukup rasa dan buah mangga yang lemak manis. Sempurna! Sebelum ni dah beberapa kali saya cuba makan pulut mangga di tempat lain, tapi biasa-biasa je rasanya. Cuma bab pulut berwarna tu memanglah kurang bagus, walaupun nampak menarik.

Mee Mee Authentic Thai Empire, Kangar
Klik gambar untuk lebih jelas lihat menu.
Pilihan set makanan dan pilihan minuman. Ada pertanyaan? Nombor telefon ada disertakan dalam kad menu.

Mee Mee Authentic Thai Empire, Kangar
Pilihan makanan lain.

Ish…sambil menulis entri ni pun saya terliur. InsyaAllah ada kesempatan bolehlah datang mengulang makan di sini. Teringin nak mencuba menu lain. Itu yang saya letak siap-siap menu di sini, senang nak fikir makan apa kalau datang lagi. Hehe…

Kalau kalian ada ke Perlis dan tak tahu nak makan di mana, bolehlah cuba makan di sini. Buat je carian di Google Maps ‘Mee Mee Authentic Empire’, beralamat di Kangar Jaya. Waktu operasi 12.30 tengah hari sehingga 10 malam. Tutup hari Ahad.





Monday, 24 October 2022

Cuti Panjang, Jalan-Jalan Ke Mana Tu?

Cuti sekolah bagi Deepavali kali ni agak panjang. Ada yang bercuti sehingga hari Rabu. Tempat kerja encik suami cuti hari ini je, campur cuti hujung minggu maka dapatlah cuti tiga hari (Sabtu - Isnin).

Tiga hari pun dah kira cuti panjang, kami tak ada perancangan ke mana-mana sebab memikirkan kesesakan di mana-mana. Tapi kemudiannya kami tukar fikiran dan menuju ke rumah adik ipar di Perlis. Sejak berpindah di PP ni memang kami jauh dari keluarga dan saudara-mara. Paling dekat cuma adik ipar, itu pun jauh jugalah di Perlis dengan jarak perjalanan sekitar tiga jam.

Kami bertolak ke Perlis pada petang kelmarin (hari Sabtu), sebab paginya encik suami uruskan pasang tinted cermin kereta. Ada kejadian malang pada 11 Oktober lalu, encik suami terlanggar tiang semasa mengundur kereta di tempat kerja. Kenalah ganti cermin belakang yang pecah dan pasang tinted cermin yang baru.

Perjalanan kami ke Perlis pada petang kelmarin tak begitu lancar. Banyak tempat mengalami kesesakan. Agaknya ramai yang pulang ke kampung di utara sempena cuti panjang. Begitulah kalau cuti panjang, kesesakan di mana-mana.

Malamnya, kami dan adik ipar sekeluarga keluar makan malam di sebuah kedai makan masakan Thai yang sangat memuaskan selera. Semalam (hari Ahad), setengah hari kami semua berjalan ke sana sini di sekitar Perlis. Untungnya berjalan di Perlis ni, tempat tarikan utamanya tidak terlampau sesak. Ke mana saja kami? Insya Allah catatannya pada entri akan datang.


Semalam petang sebelum bertolak balik ke PP, adik ipar beri buah-buahan hasil tanamannya di sekeliling rumah. Adik ipar suami isteri memang rajin berkebun, bermacam jenis pokok buahan ditanamnya. Kemas dan bersih kawasan tanaman mereka.

Buah kedondong tu rancangnya nak dibuat jus kedondong. Kalau ada asam boi sedap jugak, tengoklah nanti kalau rajin beli asam boi. Kalau tak rajin, minum gitu jelah jus kedondongnya.





Thursday, 20 October 2022

Begini Rupanya Ubi Jerusalem Artichoke

Pernah dengar nama tanaman Jerusalem Artichoke? Saya setakat tahu nama Artichoke tapi tak pernah tahu lebih lanjut. Sehinggalah baru-baru ni, encik suami balik dari kerja dengan membawa ubi Jerusalem Artichoke. Ada orang memberi dalam kuantiti yang agak banyak jugaklah.
JERUSALEM ARTICHOKE (Helianthus tuberosus) adalah merupakan sejenis tumbuhan yang juga dipanggil sebagai sunroot, sunchoke, topinambur, wild sunflower atau earth apple adalah spesies bunga matahari berasal dari tengah benua Amerika Utara. Ia dilaporkan ada ditanam secara meluas di seluruh zon iklim sederhana untuk bertujuan bagi mendapatkan umbinya yang digunakan sebagai sayur. (Petikan sumber dan bacaan lanjut di Anim Agro Technology).

Rupa bentuk ubi Jerusalem Artichoke ni seakan rizom halia. Ubi ni boleh dimakan begitu saja. Encik suami ambil satu ubi, basuh bersihkan, potong kecil dan kami cuba makan mentah. Rasanya? Bolehlah saya katakan seperti kita makan sengkuang, rangup dikunyah. Isinya berwarna putih. Tiada rasa dan bau yang kuat. Ada sedikit rasa macam makan kekacang.

Ubi ini juga katanya mempunyai khasiat perubatan. Jadinya ada pihak di negara kita yang menanamnya untuk tujuan kajian. Ramai juga yang menanam pokok Jerusalem Artichoke ni sebagai koleksi tanaman dan turut menjual anak pokok atau ubinya.

Apa yang saya tahu, harga ladang bagi ubi Jerusalem Artichoke adalah RM25.90 per kg. Hasil carian di Facebook pula mendapati ia dijual pada harga RM12 bagi seketul ubi. Di Shopee pun ada yang menjual. Kot ada yang berminat nak membeli ubi atau anak pokok, bolehlah buat carian sendiri ya.

Selain dimakan mentah, ubi Jerusalem Artichoke boleh dimasak pelbagai cara - direbus, buat sup, dijadikan kerepek atau dipanggang. Tapi rasanya tak rajinlah saya nak buat kerepek. Mungkin nak cuba rebus dan panggang jelah. 





Tuesday, 18 October 2022

Konica POP EF-80 | Kamera Pertama Saya

Kenangan Kamera Filem Gulung

Semasa berada di sekolah menengah berasrama di Negeri Sembilan, saya sudah menyimpan keinginan untuk memiliki sebuah kamera. Seronok tengok beberapa orang kawan yang mempunyai kamera (tak pasti kepunyaan sendiri atau milik keluarga), mudahlah mereka nak merakam gambar di kelas, di asrama dan sewaktu beraktiviti di luar sekolah. Siapa yang memiliki kamera, maka banyaklah gambar kenangan yang dapat dirakam.

Ketika itu juga, kita tak boleh merakam gambar sesuka hati kerana kamera menggunakan filem gulung. Kita perlu membeli filem gulung tersebut dengan pilihan untuk 12 kali, 24 kali atau 36 kali rakam. Kemudian, selepas habis merakam perlu pula membayar kos mencuci filem di kedai gambar.

Selepas beberapa hari, barulah kita boleh datang kembali ke kedai gambar untuk mengambil gambar yang telah dicuci. Dengan gambar yang terhasil, barulah boleh menjual gambar kepada kawan-kawan yang berminat. Mula-mula, susun gambar (ikut nombor di filem) di dalam album gambar yang diberi oleh kedai gambar. Kemudian, sertakan nombor pada gambar dan kawan-kawan bolehlah buat senarai pesanan gambar nombor mana yang dikehendaki. Selepas tu kembali ke kedai gambar untuk proses mencuci filem sekali lagi. Kosnya bergantung kepada jumlah kepingan gambar yang kita nak cuci. Lebih banyak, lebih murah harganya.


Berjaya Memiliki Sebuah Kamera Kompak

Selepas tamat peperiksaan SPM pada penghujung tahun 1995, saya terus cari kerja. Tak berlengah, semalam baru je sampai rumah di Johor dan hari ini terus pergi memohon kerja di sebuah kilang elektronik yang terletak tak begitu jauh dari rumah. Esoknya saya terus memulakan kerja.

Dapat je gaji pertama, saya membeli sebentuk cincin emas sebagai tanda gaji pertama. Manakala gaji kedua, saya membeli sebuah kamera yang telah lama diidamkan. Macam banyak je gajinya kan? Ya, memang agak banyak untuk seorang remaja yang tiada tanggungan. Maklumlah, kerja syif malam selama 12 jam. Kerja keras, hasil pun lebih. Insya Allah bab kerja tu saya akan cerita di lain entri. Nanti terlampau panjang meleret pulak entri mengenai kamera pertama saya ni.

Konica POP EF-80
Inilah kamera pertama saya. Alhamdulillah! Kamera kompak point & shoot jenama Konica model POP EF-80. Sejujurnya, saya tak tahu langsung pasal ciri-ciri kamera. Bagaimana saya membeli? Saya minta tolong abang saya belikan di kedai. Saya beri wang sebanyak RM200 dan minta belilah apa-apa kamera dengan bajet diberi. Saya sendiri tak berkesempatan nak ke kedai. 

Konica POP EF-80
Saya suka kamera ni sebab ada tetapan tarikh. Jadinya gambar yang terhasil nanti ada cetakan tarikh bila gambar dirakam. Cara nak tetapkan tarikh, kita tekan pada butang-butang kecil di belakang badan kamera ni. Kamera ni menggunakan kuasa bateri, seingat saya setiap kali menukar bateri kita perlu betulkan tetapan tarikh.

Konica POP EF-80
Beginilah rupa ruangan untuk kita pasang kemera gulung. Kena pandai pasang dan berhati-hati, tersilap langkah boleh rosak filem.

Konica POP EF-80
Saiz kamera sedang-sedang saja, tak besar dan tak kecil. Ringan. Mudah dipegang dan dibawa ke mana-mana.

Konica POP EF-80
Dengan kamera ini dapatlah saya merakam detik kenangan bersama kawan-kawan kerja kilang, seterusnya semasa zaman universiti dan sehingga berkahwin. Kamera ini juga memberi khidmat kepada kawan dan ahli keluarga lain yang meminjamnya daripada saya. Kamera yang sangat berjasa!

Kamera Konica POP EF-80 ini menjadi kamera pertama dan terakhir milik saya yang menggunakan filem gulung. Ia ‘bersara’ setelah saya memiliki sebuah kamera digital. Hari ini, kamera digital tersebut juga sudah lama tidak saya gunakan. Dengan adanya teknologi telefon pintar dengan kemampuan kamera yang cukup baik dan memang dibawa ke mana-mana, membuatkan saya memilih untuk tidak menggunakan kamera digital tersebut. Ia mungkin berguna jika saya melalui satu perjalanan yang panjang dan perlu menjimatkan bateri telefon.

Hari ini, kamera Konica POP EF-80 milik saya ini sudah pun dikategorikan sebagai kamera vintage. Kamera terpakai ini dijual pada harga sehingga RM300 bagi pasaran Malaysia.


Kenangan kamera Konica POP EF-80 dalam bentuk video. Saya ambil dari YouTube. Bagi yang tak pernah tahu cara pasang filem gulung, bolehlah tonton video ni.





Thursday, 13 October 2022

The Tree Top Walk Sungai Sedim, Kulim



The Tree Top Walk Sungai Sedim merupakan tarikan ekopelancongan yang terletak di Hutan Simpan Gunung Inas, Kulim, Kedah. Laluan kanopi Sungai Sedim ini siap di bina pada tahun 2005 dan memulakan operasi pada tahun 2006.

Lokasinya berhampiran dengan Taman Eko Rimba Sungai Sedim dan Sedim Rainforest Resort. Saya dan encik suami hanya perlu berjalan kaki menyeberangi jambatan dari Sedim Rainforest Resort untuk ke Tree Top Walk.

Sebenarnya, kami dah pernah berkunjung ke Tree Top Walk ni sewaktu tahun awal ia beroperasi iaitu sekitar tahun 2007. Jadi wajarlah kami berkunjung semula ke sini setelah 15 tahun berlalu. Kalau dulu kami dapat menyaksikan kehadiran Enggang, burung bersaiz besar dengan paruh berwarna kekuningan.

The Tree Top Walk Sungai Sedim, Kulim
Gerbang masuk Tree Top Walk Sungai Sedim. Laluan ini hanya untuk pejalan kaki. Pengunjung perlu meletak kenderaan di ruangan parkir taman eko rimba. Kalau pada hujung minggu atau cuti umum, eloklah datang awal sebab ruangan parkir berkongsi dengan pengunjung yang datang berkelah. Memang sesak.

The Tree Top Walk Sungai Sedim, Kulim
Agak jauh jugak kita perlu berjalan dari gerbang tadi menuju ke lokasi laluan kanopi. Sambil tu bolehlah kita memerhati tumbuhan di kanan dan kiri laluan.

Senduduk bulu
Kami nampak pokok senduduk dengan buah yang sudah masak berwarna ungu gelap. Encik suami bercerita memori zaman kanak-kanaknya memakan buah pokok senduduk ni. Oh, boleh dimakan rupanya. Masa saya kanak-kanak dulu memang biasa jumpa pokok ni di semak tepi jalan. Tapi seingatnya saya tak pernah atau tak tahu buahnya boleh dimakan. Kalau makan buah letup-letup tu memang biasalah.

Tree Top Walk Sungai Sedim, Kulim
Selepas melewati bangunan penginapan di kiri jalan dan kawasan tapak perkhemahan di kanan jalan, teruskan perjalanan sehingga kita tiba di lokasi laluan kanopi. Kaunter tiket terletak dalam bangunan.

Tree Top Walk Sungai Sedim, Kulim
Inilah ruang dalam bangunan yang menempatkan kaunter tiket dan ruang galeri. Sebelum naik laluan kanopi, bagus kalau kita baca info tersedia mengenai Tree Top Walk - sejarah pembinaan, latar belakang projek laluan kanopi dan jenis burung yang dikenal pasti terdapat di sini.

Tree Top Walk Sungai Sedim, Kulim
Klik gambar untuk lebih jelas.
Senarai harga bagi kemudahan dan aktiviti yang ditawarkan oleh pihak Tree Top Walk. Bukan sekadar naik laluan kanopi je ya. Kita boleh datang menginap di sini atau berkhemah di tapak perkhemahan.

Tree Top Walk Sungai Sedim, Kulim
Harga tiket dewasa untuk pemegang MyKad - RM12. Sebelum ini RM10, baru saja naik harga beberapa bulan lepas.

Tree Top Walk Sungai Sedim, Kulim
Di sinilah permulaan laluan kanopi sepanjang 925 meter. Memang panjang! Dikatakan ini merupakan laluan kanopi hutan hujan tropika yang terpanjang di dunia. Laluan kanopinya di bina membentuk satu pusingan. Ketinggian bermula pada aras 5 meter dari lantai hutan. Jom kita mulakan perjalanan menikmati hutan hujan tropika pada aras tinggi.

Tree Top Walk Sungai Sedim, Kulim
Begini rupa laluan kanopi. Laluan dengan lantai struktur besi yang kukuh. Tapi kalau ada orang lain jalan berhampiran kita, terasa bergoyang jugak laluan ni.

Tree Top Walk Sungai Sedim, Kulim
Gayat ke tak gayat? Tak nak gayat, jalan tengok depan. Kalau tengok bawah, nampak tiang besi ni sayup ke bawah memang rasa gayat!

Tree Top Walk Sungai Sedim, Kulim
Laluan kanopi ni bukan sekadar kita lalu gitu je tau, ada disediakan papan info bagi kita mempelajari jenis pokok yang terdapat di sini dan pengetahuan berkenaan hutan. Rajin-rajinlah berhenti untuk membaca dan memerhati sekeliling. Pembelajaran alam yang menyeronokkan. Lebih banyak yang kita tahu, lebih dekat rasa cinta kita kepada alam dan penciptanya.

Tree Top Walk Sungai Sedim, Kulim
Di tempat-tempat tertentu, terdapat papan info berkenaan ketinggian laluan kanopi. Setakat yang saya perasan dan sempat rakam fotonya, titik paling tinggi adalah 20 meter dari lantai hutan.

Berdasarkan info di laman Facebook Kedah Tourism pula, titik paling tinggi terletak 26 meter dari lantai hutan. Mungkin ada tempat yang saya terlepas pandang papan infonya.

Tree Top Walk Sungai Sedim, Kulim
Berada pada kedudukan aras tinggi begini memberi kelebihan bagi kita memerhati struktur hutan dari atas dan dapat memerhati pokok-pokok tinggi pada kedudukan lebih dekat. Kami berdua juga sibuk memerhati mencari-cari kalau ada burung Enggang atau spesis lainnya. Gigih bawa binokular. Tapi nampaknya tak ada rezeki, langsung tak kelihatan kelibat burung di sini.

Tree Top Walk Sungai Sedim, Kulim
Inilah pokok yang yang saya sebut dalam entri terdahulu - pokok tinggi dengan buah lebat di batang pokok. Sebelum ni susah nak tengok rupa buahnya sebab terlalu tinggi. Di sini, pada kedudukan aras tinggi dengan mudah kita dapat melihat secara dekat pokok Ara Pencekik. Berbuah lebat, saiz kecil. Warna hijau akan bertukar merah apabila sudah masak. Tapi awas ya, katanya buah ara jenis yang ini tak boleh dimakan.

Tree Top Walk Sungai Sedim, Kulim
Menurut saya, paling rasa gayat bila perlu jalan di laluan kanopi dengan aliran deras sungai di bawah. Berdebar rasa nak lalu. Kalau tak pandang bawah, rugi pulak. Jadi kita lawan jelah rasa gayat tu demi sebuah pengalaman.

Tree Top Walk Sungai Sedim, Kulim
Aliran Sungai Sedim yang indah. Saya nampak ada sekumpulan orang di bawah, mungkin kumpulan yang menyertai aktiviti rentas hutan.

Tree Top Walk Sungai Sedim, Kulim
Sampai semula di tempat bermula tadi. Keseluruhan masa kami di laluan kanopi ni adalah kira-kira satu jam. Terasa lama jugak kami berada di atas laluan kanopi ni, tambahan pulak dengan cuaca yang agak panas.

Secara keseluruhannya, ia satu pengalaman yang menarik dan pendidikan alam yang bagus. Laluan kanopi di sini juga tidaklah begitu gayat berbanding titian kanopi di Taman Negara Kuala Tahan kerana perbezaan struktur jambatannya.

Kalau kalian nak ke sini, eloklah pakai kasut yang bersesuaian sebab kita perlu berjalan agak jauh bermula dari pintu gerbang dan untuk keselamatan semasa berjalan di lantai laluan kanopi yang berlubang-lubang. Juga bawalah sedikit bekalan makanan dan minuman dalam beg sebagai persediaan jika lapar dan dahaga, sebab di sini tiada jualan makanan dan minuman. Sebaiknya datang pada waktu pagi bagi mengelakkan panahan terik matahari.


Paparan video berdurasi 0:51 minit.

—————————————————————————————————
THE TREE TOP WALK SUNGAI SEDIM
Hutan Lipur Sungai Sedim,
Kulim, Kedah.

Waktu operasi :
Setiap hari
9 pagi - 5.00 petang

*operasi dihentikan jika hujan lebat, kilat dan angin kuat.




Monday, 10 October 2022

Misi Menyempurnakan Larian Maya di Empangan Mengkuang, Bukit Mertajam

Acara Larian Yang Pertama
Buat kali pertama, saya ikut serta acara larian maya (virtual run). Eh, sebenarnya ini juga merupakan kali pertama saya sertai acara larian berbayar. Bukan sesuatu yang saya suka, sebab tu tak pernah cuba sertai.

Berbeza kali ini, saya terbuka hati nak ikut serta kerana ia dianjurkan oleh pertubuhan alumni sekolah saya bersempena sambutan ulang tahun ke-40 sekolah kami. Disamping membantu memeriahkan acara, dapat juga saya mencipta memori bersama kawan-kawan sekolah setelah 27 tahun meninggalkan alam persekolahan. Menambah cerita hidup.


IKMAL Virtual Run 2022
Bagi menyertai acara IKMAL Virtual Run 2022 ini, bayaran sebanyak RM60 dikenakan. Kita boleh memilih acara individu (5 km/10 km/ 21 km) atau berkumpulan (100 km untuk 5 orang). Syaratnya mudah saja, larian boleh dilengkapkan secara berperingkat atau dalam satu masa. Tempoh larian 1-31 Oktober 2022.

Saya memilih acara individu 5 km, memandangkan ini acara pertama saya sertai. Seperkara lagi, walaupun namanya ‘larian’, bukanlah kita wajib berlari. Terpulanglah kita nak berjalan atau berlari, asalkan cukup kilometer. Kalau wajib berlari, memang tak mampulah saya 😅


Misi Menyempurnakan Larian Maya
Jadi ceritanya, pagi tadi saya ke Empangan Mengkuang, Bukit Mertajam bagi menyempurnakan larian maya saya. Walaupun boleh dilakukan secara berperingkat, saya bertekad nak lakukan dalam satu masa saja.

Saya dan encik suami sampai agak lewat, iaitu sekitar pukul 9 pagi. Ramai pengunjung yang sudah siap beraktiviti dan meninggalkan kawasan empangan. Maklumlah, kawasan empangan ni tak ada pokok teduhan. Kalau datang lewat dan matahari makin terik, memang kira datang jemur diri di sini.

Sambil berjalan dan kadang-kala berlari, sempat juga saya memotret suasana sekitar. Foto di atas saya rakam sekitar pukul 9.20 pagi. Agak lengang. Mungkin juga kerana hari ini hari Isnin, kebanyakkan pekerja di sektor swasta bekerja (tak ambil cuti Maulidur Rasul).

Sambil berjalan, sambil mata menikmati keindahan di sini. Syukur, matahari tidak memancar garang. Bolehlah berjalan dengan selesa.

Cantik pantulan pada permukaan air empangan ni.

Di sinilah penghujung jalan bagi orang awam. Pagar ini dibina di hujung laluan kanan dan di hujung laluan kiri. Bagi menyempurnakan misi, saya berjalan sehingga ke hujung kanan dan kiri jalan di empangan ini.

Alhamdulillah, misi selesai! Jarak keseluruhan sejauh 6.8 km dengan catatan masa 1 jam 27 minit. Buat kali pertama saya rekod aktiviti kecergasan dengan menggunakan aplikasi Strava. Ini bagi membolehkan rekod saya dikira untuk acara larian yang saya sertai.

Insya Allah nanti dapatlah T-shirt, pingat dan e-sijil. Bolehlah buat kenang-kenangan di masa akan datang.






.

Saturday, 8 October 2022

Sedim Rainforest Resort, Kulim | Menikmati Keindahan Khazanah Alam Hutan Lipur Sungai Sedim


Alhamdulillah, cuaca cerah pada pagi hari Sabtu. Bolehlah saya menikmati keindahan alam di sini dan dapatlah memotret foto dalam suasana terang. Semalam sampai dah lewat petang, foto semuanya suram jelah.

Selain datang menginap di sini, terdapat pilihan aktiviti berbayar yang boleh kita lakukan. Antaranya, aktiviti merentas hutan dan water rafting. Berkenaan aktiviti, bolehlah bertanya lanjut kepada pengurus resort. Memandangkan kami cuma berdua, rasa kurang seronok ambil aktiviti berbayar dan kosnya pun lebih tinggi. Jadinya kami cuma buat aktiviti sendiri - bersantai menikmati suasana alam semula jadi di sini.

Sedim Rainforest Resort Hutan Lipur Sungai Sedim
Bilik no. 7 & 8.
Dah siang, bolehlah memotret foto bilik penginapan kami. Bilik kami no. 7. Kereta parkir di belakang bilik.

Sedim Rainforest Resort Hutan Lipur Sungai Sedim
Semua bilik penginapan menghadap Sungai Sedim.
Suasana resort di waktu pagi. Tenang. Saya terbau masakan, rupa-rupanya ada beberapa kumpulan pengunjung yang sedang masak-masak di luar. Penginapan di sini tak termasuk sarapan pagi, jadinya memang kena sediakan makanan sendiri. Kalau nak beli di luar, mungkin jauh jugak nak ke kawasan kampung.

Sedim Rainforest Resort Hutan Lipur Sungai Sedim
Ruang makan resort.
Penginapan kami sudah termasuk sarapan pagi, sebab masa tu katanya promosi sempena hari terakhir Outdoor Expo. Menu sarapannya cukup ringkas - bungkusan nasi lemak, roti putih dan minuman panas.

Sedim Rainforest Resort Hutan Lipur Sungai Sedim
Sarapan pagi dengan suasana alam semula jadi.
Masa ni tak ada orang lain pun yang sedang makan di sini. Kami memilih duduk di sudut hujung menghadap aliran sungai. Suasana yang cukup tenang, telinga menikmati deruan air sungai dan mata melayan hijau alam. Nasi lemak yang kami makan pun sedap rasanya. Kalaulah ada gorengan telur mata, tentu lebih nikmat.

Selesai makan, kami mula berjalan-jalan di sekitar kawasan ini.

Sedim Rainforest Resort Hutan Lipur Sungai Sedim
Antara laluan yang terdapat di resort.
Cahaya matahari pagi menembusi celahan pokok. Indah!

Sedim Rainforest Resort Hutan Lipur Sungai Sedim
Masih awal pagi. Tiada seorang pun pengunjung berada di sungai. Saya ambil kesempatan berfoto. Selepas itu, kami keluar dari kawasan resort dengan berjalan kaki melalui jambatan di belakang saya (rujuk pada foto).

Sedim Rainforest Resort Hutan Lipur Sungai Sedim
Aliran Sungai Sedim.
Pemandangan aliran Sungai Sedim dari atas jambatan. Ditambah pula dengan cahaya lembut matahari yang menyimbah bumi dan bunyi deruan air, suasana pagi di sini sangat mempesona. Maha Suci Allah yang menciptakan alam ini untuk kita nikmati dan renungi hikmah penciptaanya.

Sedim Rainforest Resort Hutan Lipur Sungai Sedim
Aliran Sungai Sedim.
Masih lagi foto aliran sungai dari atas jambatan, cuma berbeza sudut.

Sedim Rainforest Resort Hutan Lipur Sungai Sedim
Kami kemudiannya berjalan mengikut laluan tersedia. Sambil mata memerhati tumbuhan yang ada di sekitarnya.

Sedim Rainforest Resort Hutan Lipur Sungai Sedim
Walaupun tak melakukan aktiviti merentas hutan, laluan santai di sini masih mampu memberi kepuasan buat saya. Saya rasa puas hati dan gembira dapat memerhati pokok-pokok besar dan tinggi begini. Terdapat juga pokok tinggi yang berbuah lebat di batang pokok. Unik. Nak tengok rupa pokok? Insya Allah saya akan tunjukkan dalam entri catatan ke Tree Top Walk Sungai Sedim.

Laluan tadi membawa kami sehingga ke sebuah kawasan parkir awam dan bangunan terbengkalai. Nampaknya seperti bangunan kedai. Teruskan ke depan sikit lagi, sampailah ke jalan di mana terdapatnya pintu gerbang besi dan sebuah pondok kawalan. Sempatlah kami berborak ringkas dengan seorang pengawal keselamatan wanita yang sedang bertugas.

Selepas itu kami berpatah balik ke resort. Nak merasa mandi sungai pulak. Juga masih ada satu lagi tempat nak dituju sebelum kami balik rumah, iaitu Tree Top Walk Sungai Sedim.

Sedim Rainforest Resort Hutan Lipur Sungai Sedim
Kawasan berbatu dan cetek airnya.
Masa ni dah ada pengunjung lain di sungai. Tempat ni luas dan ada pilihan nak kawasan air cetek atau yang dalam.

Sedim Rainforest Resort Hutan Lipur Sungai Sedim
Kami pakai aqua shoes, kuranglah rasa sakit tapak kaki memijak batuan di sini. Di bahagian tengah sungai tu arusnya lebih deras, saya duduk di batu pun boleh rasa bergerak di tolak arus.

Sememangnya Sungai Sedim jenis sungai arus deras, sebab itulah ia sesuai untuk aktiviti water rafting. Disebabkan itu juga, ada lokasi/lubuk yang tidak selamat untuk kita bermandi-manda. Apa lagi kalau tiba musim hujan, paras air meningkat. Sudah banyak kejadian lemas berlaku di Sungai Sedim. Jadinya kalau ke sini, kena berhati-hati dan pilihlah kawasan yang selamat ya.

Sedim Rainforest Resort Hutan Lipur Sungai Sedim
Air sungai yang cantik, jernih dan sangatlah sejuk! Kali ni kami tak beria sangat mandi sungai, sebab tak mahu badan penat sangat. Ceritanya, di saat akhir sebelum ke Sedim ni encik suami dapat arahan kena pergi Johor. Perlu bertolak esok pagi sebab perjalanan jauh dari utara ke selatan.

Sedim Rainforest Resort Hutan Lipur Sungai Sedim
Ini pula sudut pandang bilik-bilik penginapan dari sungai. 

Sedim Rainforest Resort Hutan Lipur Sungai Sedim
Saya tertarik dengan batang pokok yang penuh lumut ni, sebab ada pokok sakat dan deretan cendawan yang tumbuh. Inilah masalah saya, semua tumbuhan nampak menarik 😄

Sedim Rainforest Resort Hutan Lipur Sungai Sedim
Mata saya fokus mencari cendawan. Seronok dapat tengok cendawan pelbagai bentuk dan warna.

Sedim Rainforest Resort Hutan Lipur Sungai Sedim
Jumpa satu jenis lagi. Cantik menyerlah warna kuning oren.

Sedim Rainforest Resort Hutan Lipur Sungai Sedim
Aktiviti water rafting di Sungai Sedim.
Selepas puas menikmati dingin air sungai dan berjalan di sekitar resort, kami balik ke bilik penginapan. Mandi, bersiap, kemas barang masuk dalam kereta dan check-out sekitar pukul 11 pagi. Semasa di luar bilik penginapan, saya ternampak sekumpulan orang  yang baru saja memulakan aktiviti water rafting. Sempatlah saya memotret dari kejauhan. Seronok tengok.

Sedim Rainforest Resort Hutan Lipur Sungai Sedim
Jambatan besi yang menghubungkan resort dengan kawasan parkir taman eko rimba.
Kami check-out awal sebab nak ke Tree Top Walk yang terletak tak jauh dari resort. Cuma perlu berjalan kaki dari resort menyeberangi jambatan besi ke kawasan parkir Taman Eko Rimba Sungai Sedim. Pintu masuk Tree Top Walk terletak di hadapan taman eko rimba.

Alhamdulillah, tamat cuti-cuti alam semula jadi kami di Sedim Rainforest Resort. Sangat seronok sebab begitu dekat dengan alam semula jadi. 24 jam dapat menikmati bunyi deruan air sungai. Juga melayan mata dengan keindahan pokok-pokok hutan yang berada di sekeliling resort. Semuanya menjadi satu bentuk terapi jiwa.

Satu saja yang tak seronok di sini - keadaan bilik penginapan yang kurang selesa kerana tidak diselenggara dengan baik. Kalau boleh terima atau tak kisah dengan keadaan bilik penginapan yang begitu dan cuma mahukan suasana, maka resort ini memang tempat yang cukup menarik buat pengujung yang mahu menikmati keindahan Hutan Lipur Sungai Sedim yang terletak di dalam Hutan Simpan Gunung Inas.


Video berdurasi 1:31 minit memaparkan perjalanan masuk ke resort, suasana di resort dan keindahan Sungai Sedim.