Alhamdulillah, semalam (Rabu, 14 Julai 2021) saya sudah pun selesai menerima suntikan dos pertama vaksin COVID-19. Lokasi Pusat Penerimaan Vaksin (PPV) saya di Dewan Serbaguna Jawi, Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang yang terletak kira-kira 13 km dari rumah.
Temujanji vaksin pukul 2 petang. Saya tiba di sini lebih awal iaitu sekitar pukul 1.40 petang. Pukul 1-2 petang merupakan waktu rehat di PPV. Jadinya saya perlu duduk menunggu di kerusi bahagian luar dewan ni sehingga pukul 2 petang. Kelebihan datang awal, dapatlah saya menunggu di khemah awal (yang ada orang ramai sedang duduk tu). Bila menghampiri pukul 2 petang, kerusi sebelah kiri yang kosong tu pun dah dipenuhi orang ramai.
Di sinilah saya duduk menunggu. Alhamdulillah cuaca sedang-sedang je, tak hujan dan tak panas terik. Ada sebiji kipas di bahagian tengah khemah ni, betul-betul kat atas saya. Nyaman la jugak.
Pukul 2 petang, barisan dah mula bergerak masuk ke dewan. Kerusi depan kosong, yang belakang akan diarahkan bergerak lagi ke depan. Begitulah seterusnya. Sebelum masuk ke dewan, kita akan melalui stesen pertama - saringan gejala dan suhu (imbas suhu pada alat pengimbas) dan terus ke stesen kedua - pendaftaran.
Di stesen kedua - pendaftaran, beri kad pengenalan dan petugas bertanya “Ada kencing manis, darah tinggi…?”. Saya kemudiannya diberi Borang Persetujuan Suntikan Vaksin COVID-19 ni dan nombor pendaftaran. Sempatlah duduk sekejap sambil isi borang sebelum diarahkan masuk ke dewan. Dalam dewan, perlu duduk lagi menunggu giliran di stesen ketiga - konsultasi dan persetujuan imunisasi. Hulurkan borang tadi dan kad pengenalan, doktor bertanya sejarah penyakit (juga umur dan pekerjaan, terdiam kejap lupa umur sendiri…haha).
Seterusnya, duduk di sini pula menunggu giliran di stesen keempat - suntikan vaksin. Ada dua barisan untuk setiap bilik suntikan vaksin. Masuk berdua. Yang bagusnya, jururawat aturkan masuk berdua tu sama jantina je. Jadinya takdelah kita perempuan ni rasa tak selesa terpaksa terima suntikan depan lelaki.
Tiba giliran, saya masuk bersama seorang perempuan berbangsa Cina. Dua orang jururawat menanti dan memberi salam kepada saya (patut saya la yang masuk beri salam…aduhai lupa pulak). Saya duduk di sebuah kerusi yang tersedia. Jururawat bertanya, “Umur berapa? Ada kencing manis, darah tinggi?”. Beliau kemudiannya beritahu, “Ok ni vaksin Sinovac, 0.5 ml”. Sambil menunjukkan kepada saya jarum suntikan vaksin yang dipegangnya. Saya singsing lengan baju sebelah kiri dan bersedia untuk menerima suntikan. Jururawat beritahu lagi, “Saya cucuk ya..”. Tanpa rasa sakit walau sedikit pun, tau-tau dah siap! Jururawat tunjukkan sekali lagi jarum suntikan tadi, “Ok, ni dah cucuk ya..”. Lepas tu tak terus keluar, sebab menunggu perempuan berbangsa Cina tadi yang masih bersoal jawab mengenai vaksin dan masih belum dicucuk vaksin. Kedua-dua jururawat melayan dan menjawab dengan sangat baik.
Dah siap, kami berdua keluar dari bilik suntikan vaksin dan diminta imbas kod bar di luar bilik (klik imbas pada bahagian temujanji vaksin MySejahtera kita). Lepas tu terus ke satu kaunter lain untuk mendapatkan kad vaksinasi. Kat sini pun sekali lagi perlu duduk menunggu giliran.
Kad vaksinasi saya, tertera ‘Anda telah menerima vaksin CoronaVac’. Biasa kita sebut Sinovac, sebenarnya Sinovac tu nama syarikat pengeluar - Sinovac Life Sciences Co. Ltd. China. Nama vaksin ialah CoronaVac. Lepas dapat kad ni, kita ke stesen kelima - pemerhatian.
Duduk sekitar 15 minit di stesen pemerhatian untuk pemantauan kesan sampingan. Tengok orang sebelah selfie, saya pun terus selfie jugak. Hehe. Lepas tu edit la sendiri guna aplikasi Canva jadi gini. Kat sini tak ada plakad atau apa-apa prop ‘Saya Sudah Divaksin’ tu. Bagus juga, agak kurang selamat jika berkongsi pegang benda yang sama.
Lepas keluar dewan baru ada satu prop frame, tapi saya tak bergambar kat situ sebab datang seorang je. Tak mau la kasi orang pegang handphone kita semata-mata untuk ambil gambar. Dalam situasi merebaknya varian delta yang lebih ganas ni, saya rasa tak selamat nak berkongsi pegang apa-apa (termasuk pegang plakad atau minta tolong orang ambil gambar guna handphone kita). Ni pun dah rasa tak selesa sebab asyik bertukar tempat duduk, saya nampak ada juga yang sentiasa guna sanitizer spray setiap kali sebelum duduk di kerusi.
Ok, sekian catatan pengalaman saya. Alhamdulillah urusan dari mula menunggu sampai keluar dewan mengambil masa sekitar 1 jam. Proses berjalan lancar, kecuali pada awalnya ada sedikit kekeliruan dek petugas RELA yang saya rasa tak memberi arahan dengan jelas dan kemudiannya mula bercakap dengan nada marah terhadap orang ramai.
Berkenaan kesan sampingan selepas menerima suntikan vaksin CoronaVac, Alhamdulillah sehingga setakat ini (selepas lebih 24 jam suntikan) saya baik-baik saja. Cuma sesekali ada terasa sengal sedikit pada lengan yang disuntik bila melakukan pergerakan tangan. Berbeza bagi mereka yang mendapat suntikan Pfizer / AstraZeneca yang nampaknya lebih memberi reaksi pada tubuh penerima.
Temujanji dos kedua saya insyaAllah pada hari ke-21 selepas dos pertama, iaitu pada 4 Ogos 2021.