Dua hari tak menulis diblog, kelmarin (Isnin) melalui perjalanan yang panjang dari Setiu ke Bangi. Sampai rumah hampir jam 12 tengah malam. Sebabnya saya dan suami banyak menyinggah. Semalam (Selasa) seharian kepenatan, banyak benda nak dikemas. Tanaman pasu pulak semua mati, tinggal satu je yang bertahan-Lidah Jin.
15 hari tinggal kat resort membuatkan saya rasa lain macam bila balik rumah sendiri. Kembali buat kerja rumah, takpe lagi. Tapi nak melupakan irama ombak dan indahnya pantai, itu bahagian yang terasa berat. Ada rindu! Disebabkan dah duduk lama, haruslah saya cerita pasal resort ni pada sudut pandangan saya.
Ada 3 jenis bilik:
Standard, Deluxe Garden View & Deluxe Sea View. Untuk lebih lanjut, korang boleh ke laman web
Sutra Beach Resort. Sekarang ni harga turun sikit sebab musim tengkujuh.
Pemandangan dari balkoni bilik 'Sea View'. Bilik jenis ni sangatlah sesuai untuk korang yang nak berbulan madu sebab pemandangan yang terus menghadap lautan. Sangat dekat dengan pantai, terutamanya waktu malam bila air pasang. Pulau yang ada tu-Pulau Bidong. Pulau yang pernah diduduki 'orang hanyut' Vietnam. Dah boleh dikunjungi (day trip), tapi sekarang musim tengkujuh semua pulau ditutup. Kat balkoni ni disediakan dua kerusi, bolehlah bersantai dengan selesa. Bila waktu makan tengahari, saya dan suami lebih selesa duduk bersila kat lantai kayunya. Terasa ala-ala berkelah tepi pantai gitu.
Ni pemandangan kolam renang dari pintu hadapan bilik saya. Saya suka mengintai bila waktu hujan, cantik tengok titisan air atas permukaan kolam. Cuma yang kurang best (hal kecik je), takde laluan khas untuk ke bilik-bilik di blok ni. Setiap kali tu kena lalu tepi kolam renang. Kalau tengah penuh orang tu, memang terasa segan. Yang bangunan putih tu, blok Standard Room.
[Gambar kat atas ni warnanya suram, sebab lepas hujan.]
Saya rasa selain dari dekat dengan pantai, tarikan utama resort ni adalah kolam renangnya yang luas dan berkonsepkan 'Infinity Pool'. Kalau tengok tu macam bersambung je kolam renang dengan lautan luas. Rekaan kolamnya pun menarik. Kolam paling dalam- 1.4meter. Saya sempat masuk, airnya sampai paras leher saya. Kolam renang ni sentiasa meriah sebab cuti sekolah, terutamanya Jumaat-Ahad. Untuk hari biasa, sedikit lengang terutamanya pada waktu pengunjung 'check-out'/'check-in'. Untuk korang yang ada anak-anak, kolam renang ni memang sesuai untuk bersantai sekeluarga.
Kafe ni berkonsep terbuka, takde dinding. Menghadap kolam renang tadi dan lautan. Memang best. Tapi saya cuma makan untuk sarapan je lah sebab dah masuk dalam harga bilik. Selain dari tu memang tak sanggup, mahal tak agak. Untuk sarapan, menunya kurang menarik bagi saya. Sebab takde kuih-muih. Tiap-tiap hari saya makan nasi (nasi dhal, nasi minyak, nasi kerabu..), kalau dah bosan saya makan mee goreng pulak. Eh, bukan merungut tapi saya cerita untuk panduan korang yang nak ke sana.
Pemandangan sebahagian resort dari pantai.
Saya berangan naik kuda tepi pantai, memang tak kesampaian.
Tiba-tiba satu pagi tu, ada pulak orang naik kuda ni...jeles sungguh!
Untuk info, dekat dengan resort ni ada Terengganu International Equestrian Park.
KESIMPULAN:
Sutra Beach Resort memang berjaya buat saya selesa walaupun kena duduk lama di sana. Bagi yang belum tau, saya ke sana ikut suami bekerja. Tak terasa bosan walau saya banyak menghabiskan masa bersendirian. Persekitarannya terjaga rapi dan staf yang mesra. Bagi korang yang nak bercuti/berehat, resort ni memang sesuai! Ini cuma pendapat saya je, seorang yang gemarkan alam semulajadi.
*tips: ada kedai makan yang tak mengecewakan, tidak jauh dari resort ni. Keluar resort, belok kanan. Kedai makan 'Restoran Desa' terletak di sebelah kiri. Kalau nak yang dekat dan boleh jalan kaki, ada kat sebelah kiri resort.