Sabtu | 16.10.2021
Sebelum ini saya pernah ke Tasik Beris, catatannya DI SINI. Kali ini saya dan suami menuju ke Tasik Pedu yang terletak di daerah Padang Terap, Kedah. Tanpa ada tujuan khusus, sekadar ingin melihat tempat orang. Perjalanan kami berpandukan aplikasi Google Maps.
Jalan utama ke Tasik Pedu, laluan yang sunyi dari penempatan dan jarang sekali bertemu kenderaan lain. Perjalanan yang saya rasa cukup jauh dan membosankan kerana begini sajalah pemandangan yang dapat dilihat.
Dari jalan utama, kereta kami membelok masuk ke jalan ini pula untuk ke Tasik Pedu. Laluan sejauh 8km yang berliku dan tidak rata. Perlu berhati-hati, terdapat runtuhan kecil di bahu jalan dan juga dahan pokok yang jatuh ke jalan raya. Pada mulanya saya rasa seram juga, tapi kemudiannya rasa lega bila di belakang kereta kami nampaknya ada beberapa buah kereta mengekori. Kita akan tiba di Tasik Pedu bila dah mula nampak tasik di sebelah kiri jalan.
Aplikasi Google Maps membawa kami ke sini. Rupanya di sini terletaknya Mutiara Pedu Lake & Golf Resort yang telah pun ditutup 14 tahun yang lalu! Nampak orang lain masuk menerusi pintu pagar yang terbuka kecil, kami pun ikut masuk jugaklah. Sebaik tiba di sini, baru perasan handphone kami tiada signal 🚫.
Bangunan resort mungkin di hujung jalan, tapi kami tak berapa rajin nak melihat sampai ke hujung sana. Cukuplah di sini, sesuai dengan tujuan kedatangan kami cuma nak melihat pemandangan Tasik Pedu.
SubhanAllah! Cantik sungguh pemandangan Tasik Pedu. Tasik luas berlatarkan perbukitan yang kelihatan berbalam, sangat mempesona! Kalau tak kerana panas mentari tengah hari, memang boleh leka melayan mata di sini.
Ini pula pemandangan berhampiran kawasan kami parkir kereta.
Tempat yang sangat cantik, kaya dengan khazanah alam. Sayang terbiar sepi. Semoga tempat ini dapat dibangunkan semula demi manfaat bersama. Katanya memang sudah ada yang mengambil alih, sebab tu nampak kawasan resort ni agak terjaga.
Menerusi carian internet, saya juga menemukan lokasi pelancongan lain di Tasik Pedu yang masih beroperasi iaitu Seri Mahawangsa Boat House Pedu. Sesiapa ada info lain bolehlah tambah diruangan komen ya. Rasa macam kurang promosi berkenaan tarikan pelancongan di Tasik Pedu ni.
———————————————————————————
Info Tasik Pedu
(sumber : bharian.com.my)
• Tasik Pedu tasik buatan manusia yang terbesar di Kedah 52 kilometer persegi dan sedalam 60 meter.
• Dibina pada tahun 1966 dan siap sepenuhnya pada tahun 1969.
• Dirasmikan Perdana Menteri Malaysia, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.
• Rekabentuk dan membina empangan oleh firma perunding dari England, William Halcrow dari England.
• Perancangan sejak Rancangan Malaysia Pertama (1966-1970).
• Kos pembinaan RM200 juta.
• Terletak 80km dari Alor Setar serta 50km dari Kuala Nerang.
• 5km dari sempadan Malaysia-Thailand.
• Dibina untuk pesawah padi di Kedah dan Perlis bagi penanaman padi dua kali setahun.
• Diurus Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).
Lihat keindahan Tasik Pedu menerusi video berdurasi 42 saat.