Thursday, 30 March 2023

Bazar Ramadan Jalan Raja Alang, Kampung Baru, Kuala Lumpur

Catatan kisah 6 Ramadan 1444H / 28 Mac 2023.

Pada awalnya (sebelum sampai KL) kami merancang nak membeli juadah berbuka puasa di bazar Ramadan yang terletak di Jalan Raja Muda Musa, Kampung Baru (jalan yang menempatkan restoran Nasi Lemak Wanjo).

Tapi rupanya ada bazar Ramadan yang terletak betul-betul di sebelah Hotel Tamu. Dari lobi hotel, kelihatan deretan kanopi biru di sebatang jalan sebelah bangunan hotel. Wah…ini lebih mudah sebab tak perlu melintas jalan yang sesak pada waktu petang untuk menuju ke Jalan Raja Muda Musa. Tambahan lagi di bulan Ramadan, jalanan di sini bertambah sesak dengan pengunjung yang nak membeli juadah berbuka di sekitar Kampung Baru.


BAZAR RAMADAN JALAN RAJA ALANG, KAMPUNG BARU

Saya tunggu encik suami balik dari kerja, barulah kami berdua pergi ke bazar Ramadan. Agak lewat juga kami keluar, iaitu sekitar pukul 6 petang. Pengunjung dah membanjiri bazar Ramadan, jalanan sesak. Ada dua orang polis trafik berkawal di depan gerbang bazar.

Bazar Ramadan Jalan Raja Alang, Kampung Baru, Kuala Lumpur
Ini merupakan pengalaman pertama saya ke bazar Ramadan di KL, juga kali pertama ke bazar Ramadan pada tahun ini. Suasana di sini sangat meriah! Saya dengan muka tak malu, pergi ke bahagian depan gerbang untuk merakam foto ini 🤭

Bazar Ramadan Jalan Raja Alang, Kampung Baru, Kuala Lumpur
Bazar Ramadan di sini panjang. Ada dua barisan gerai jualan di kanan dan kiri jalan dan juga satu barisan di tengah (pendek je, tak sampai belakang).

Suasana di sini meriah dengan pengunjung yang bersesak, juga pelbagai jualan makanan dan persembahan nyanyian oleh busker & kumpulan qasidah. Siap ramai-ramai ikut menyanyi dengan busker 😄. Selain tu ramai juga individu peminta sedekah berada di sudut tertentu. Eh, beza sungguh ya dengan bazar Ramadan di tempat lain yang pernah saya kunjungi.

Bazar Ramadan Jalan Raja Alang, Kampung Baru, Kuala Lumpur
Pulut panggang.

Bazar Ramadan Jalan Raja Alang, Kampung Baru, Kuala Lumpur
Kuih akok.

Bazar Ramadan Jalan Raja Alang, Kampung Baru, Kuala Lumpur
Beginilah sesaknya, kadang berlanggar bahu dengan orang lain. Masa ni kami dah siap pusing semua gerai  yang ada. Sesekali sampai (mungkin sekali je sebab jauh kan), haruslah kita pusing semua tengok jualan orang KL. Dah siap pusing, barulah membeli. Akibatnya, tak dapat membeli murtabak Singapura yang terletak di pintu gerbang 😅. Adik penjual kata, ‘Dah habis, esok datang ya..’. Emm, tak ada rezeki nak merasa. Kami di KL cuma satu malam je, esok awal pagi bertolak ke Perak pula.


JUADAH BERBUKA 6 RAMADAN 1444H

Sebelum pergi bazar tadi, kami siap rancang - jangan beli nasi sebab nasi mengenyangkan nanti tak boleh makan makanan lain 🤭. Juga, setiap orang cuma boleh beli dua makanan pilihan. Tak boleh lebih sebab kami sedang musafir, tak dapat simpan di peti sejuk macam di rumah.

Juadah pilihan kami. Pinggan & sudu garfu tu saya bawa, mudah nak makan di bilik hotel.

Mi goreng pilihan encik suami - RM4.50.

Kuey teow goreng isi kerang tambah telur mata pilihan saya - RM9.

Kuih pulut panggang
Pulut panggang - RM5 / 3 bungkus.

Kuih Akok
Kuih akok perisa asli dan perisa pandan - RM5 / 5 keping.

Terasa mahal harganya kan? Apa pun, pilihan sama ada nak membeli atau tidak itu terletak pada kita sebagai pembeli. Jangan kita canang sana sini marah harga mahal, tapi masih tetap membeli. Sebelum beli, tanya harga. Rasa mahal, tinggalkan saja. Kami pula, walaupun terasa mahal tapi tetap membeli dengan alasan cuma sesekali ke sini. Yang penting, dah beli tak bolehlah marah pasal harga sebab kita yang buat keputusan membeli.

Jadi, habis ke tak kami makan semua makanan yang dibeli? Kami cuma berjaya habiskan mi dan kuey teow, juga sedikit kuih. Selebihnya sambung waktu sahur, makan bersama nasi lemak Wanjo yang dibeli selepas solat tarawih.







Wednesday, 29 March 2023

Terowong Meru dan Hotel Tamu

Catatan kisah semalam - Selasa, 28 Mac 2023.

Pagi hari ke-6 kita berpuasa, kira-kira pukul 7.30 pagi saya dan encik suami memulakan permusafiran dari PP ke KL. Aliran trafik lancar di lebuh raya PLUS, tak terlalu banyak kenderaan di jalanan. Sesekali saja kenderaan bergerak perlahan disebabkan kerja-kerja penyelenggaraan jalan.

TEROWONG MERU

Aliran trafik perlahan sewaktu kami memasuki terowong Meru disebabkan penutupan lorong kiri terowong. Ada kerja-kerja pembaikan jalan sedang dibuat. 

Notis penutupan lorong kiri terowong Meru bermula 20 Mac sehingga 14 April 2023, pukul 9 malam - 12 tengah hari. Lama juga, hampir 4 minggu. 

Lorong kanan saja yang dibuka.

Terowong Meru
Kerja pembaikan jalan di dalam terowong.


TAMU HOTEL & SUITES, KG. BARU, KUALA LUMPUR

Sekitar 4 jam perjalanan, Alhamdulillah kami tiba di hotel penginapan iaitu Hotel Tamu. Waktu daftar masuk di sini pada pukul 3 petang. Saya duduk menunggu di lobi hotel sementara encik suami meneruskan perjalanan dengan menaiki tren ke tempat kerjanya.

Saya dapat masuk bilik setelah menunggu sekitar 1 jam 30 minit. Tak terasa lama atau bosan pun, sebab duduk di sofa empuk, suasana nyaman dengan pendingin hawa dan sambil membaca buku juga sesekali membuka media sosial.

Dapat bilik di aras 26. Ini kali kedua kami menginap di sini dan ambil Standard Room. Cuma bilik kali ini susun aturnya berbeza dan ada macam tembok, di sebalik tembok tu ada sebuah meja kecil. Jadi nampak agak kurang teratur dan ruangan kurang luas.

Bilik airnya juga berbeza. Kali ini agak kurang selesa sebab kurang bersih dan button flush-nya agak susah ditekan. Memang begitulah sepanjang saya menginap di mana-mana hotel, walaupun hotel sama tetapi bilik yang kita dapat kadang ok dan kadang tak. Kecuali di Aloft KL Sentral, setakat pengalaman beberapa kali menginap di sana Alhamdulillah sentiasa ok.

Pemandangan senja nan indah dari tingkap bilik hotel.

Perkara menarik bagi yang menginap di Hotel Tamu pada bulan puasa, iaitu bazar Ramadan terletak hanya di sebelah hotel (tak perlu melintas jalan) dan kita boleh menunaikan solat tarawih di masjid berhampiran (perlu lintas jalan dua kali). InsyaAllah ceritanya pada catatan akan datang.






Monday, 27 March 2023

Sambal Sardin Hancur

 
Sambal Sardin Hancur
Menu berbuka kami semalam, 4 Ramadan 1444H - roti paratha jenama Kawan makan dengan sambal sardin hancur. Sambal sardin saya masak ikut resepi di YouTube Sugu Pavithra. Masih ingat dengan mereka? Pasangan yang ‘meletup’ dengan video masakan di YouTube semasa PKP dulu. Tapi nampaknya sekarang mereka dah lama menyepi tanpa sebarang video masakan. Moga mereka baik-baik saja.

Dah beberapa kali saya memasak sambal sardin ikut resepi mereka, tapi belum pernah catat di blog. Eloklah saya catat di sini supaya senang nak rujuk. Walaupun masak sardin tidaklah susah mana, tapi kadang tu bosan jugak kan masak cara yang sama je. Bila sesekali tukar resepi, terasa lebih sedap.

Ikutkan resepi asal, namanya masak sardin. Tapi saya panggil sambal sardin hancur. Senang nak faham yang ni versi hancur sebab nak makan dengan roti canai dan seumpamanya. Kuantiti bahan di bawah ni saya letak ikut kesesuaian saiz pek sardin digunakan dan juga cita rasa saya.


SAMBAL SARDIN HANCUR

Bahan-bahan :
1 pek sardin - hancurkan ikan (saya guna pek sardin jenama D’heritage)
2 biji kentang saiz sederhana - di potong kecil
1 biji bawang besar saiz sederhana - dihiris
2 ulas bawang putih - dihiris
Sedikit halia - ditumbuk
2 tangkai cili kering (saya potong dua dan bersihkan biji cili)
3 biji cili api (jangan potong, biar sebiji-sebiji gitu)
Tomato - di potong kecil (saya guna beberapa biji tomato ceri dibelah)
Daun kari
2 sudu kecil serbuk kari ikan (saya guna serbuk kari ayam, ikut apa yang ada di rumah)
1 sudu kecil serbuk cili
Air asam jawa secukupnya
Air secukupnya (untuk empukkan kentang)
Garam secukupnya

Cara memasak :
  1. Tumiskan bawang besar dan bawang putih seketika. Kemudian masukkan cili kering dan cili api. Kacau seketika. Selepas itu masukkan halia dan daun kari. Tumis sehingga naik bau.
  2. Masukkan kentang, goreng bersama bahan tumis. Diikuti pula dengan tomato.
  3. Masukkan serbuk kari dan serbuk cili, tumis seketika.
  4. Masukkan air secukupnya, kacau rata kemudian biar sehingga mendidih dan kentang empuk.
  5. Kemudian letak air asam jawa, diikuti garam. Kacau seketika.
  6. Masukkan ikan sardin, gaul rata dan masak sehingga kuah memekat sesuai cita rasa kita.

Aroma sambal sardin resepi Sugu Pavithra ni memang lebih menggoda dan rasanya juga lebih sedap berbanding cara biasa saya masak. Yelah, bahannya juga lebih banyak.

Tak tahu nak masak apa untuk berbuka nanti? Boleh cuba masak sambal sardin hancur ni, makan dengan roti putih gitu je pun sedap! Ringkas dan mudah.








Saturday, 25 March 2023

Catatan Awal Ramadan 1444H

Salam Ramadan 1444H buat semua sahabat blog 😊. Semoga kita semua dalam keadaan sihat sejahtera dan dikurniakan taufik untuk beribadah sebaik mungkin kepada Allah di bulan mulia ini.

Dah masuk 3 Ramadan, barulah saya berkesempatan mencoret di blog. Alhamdulillah masih dikurniakan rasa nak mencoret sesuatu demi sebuah kenang-kenangan masa hadapan. Kalau lebih lama tak menulis ni, mungkin jadi bertambah malas 😅

Tahun ini saya dan encik suami memulakan bulan Ramadan di rumah NS. Hari Isnin lepas, pukul 5 petang kami bertolak dari rumah PP ke rumah NS. Perjalanan terasa sukar disebabkan kami perlu meredah gelap malam dalam keadaan hujan lebat sewaktu memasuki Perak sehinggalah ke Selangor/KL. Kalau tak kerana hal penting (urusan mencari rezeki), tidaklah kami suka nak bergerak pada waktu malam.

Hari Rabu malam, encik suami balik dari kerja dengan membawa makanan yang dibeli buat kami bersahur. Rumah NS ni ibarat rumah persinggahan, jadinya tak ada bahan memasak sebab tak tentu masa bila kami akan menginap di sini. Setiap kali meninggalkan rumah NS, kami off suis utama elektrik dan tutup paip air utama untuk mengelakkan sebarang masalah sepanjang kami meninggalkan rumah.


1 RAMADAN 1444H | BERSAHUR DI NEGERI SEMBILAN, BERBUKA DI PERAK

Juadah sahur pertama kami - satu set nasi bersama lauk daging masak hitam, 2 ketul ayam goreng KFC, buah kurma pemberian orang (dalam kotak cantik) dan minuman (air kosong dan teh tarik Lipton).

Pagi hari pertama berpuasa, kami bertolak menuju ke Perak. Mulanya cuaca panas terik, kemudian mulai mendung. Alhamdulillah…rasa lega. Kami ke Tapah dan juga Tanjung Rambutan. Semasa dari Tapah ke Tanjung Rambutan, hujan turun dengan lebatnya. Bila hujan ni, kuranglah sikit rasa haus dan letih berpuasa.

Urusan kerja encik suami selesai lewat petang. Kami terus menuju ke hotel penginapan - K Garden Hotel. Rancangan asalnya nak pergi membeli di bazar Ramadan, tapi bila dah letih rasa malas pulak. Kami berbuka puasa di bilik hotel, makan apa yang ada - air kosong, kurma dan jajan Mister Potato perasa ubi keledek.

Selepas solat jamak Maghrib Isyak, kami keluar makan di kedai makan berhampiran dengan berjalan kaki. Baliknya barulah kami solat tarawih secara berjemaah di bilik hotel.


2 RAMADAN 1444H | BERSAHUR DI PERAK, BERBUKA DI PULAU PINANG

Sahur hari kedua berpuasa, kami makan - nasi & tomyam (panaskan guna mini multi-cooker), roti berperisa, kurma dan minuman (air kosong & air Peel Fresh jambu batu merah muda). Memandangkan ini hari pertama berpuasa sambil melakukan kerja luar, saya terlupa bawa beberapa kelengkapan dan makanan untuk sahur di bilik hotel. Kami bersahur seadanya. Alhamdulillah.

Ipoh Perak
Pemandangan indah perbukitan dan gumpalan awan di Ipoh, Perak.
Perjalanan kami menuju ke rumah PP pada pagi hari Jumaat terasa mudah dan lancar. Jalanan tidak sibuk dan agak kurang kenderaan berat. Juga tiada kerja-kerja pembaikan jalan. Alhamdulillah. Agaknya kalau petang akan sibuk dengan orang-orang yang nak balik kampung di utara untuk berbuka puasa bersama keluarga.

Juadah berbuka kami pada hari kedua - mi goreng.
Sebelum keluar untuk solat Jumaat dan masuk kerja di pejabat, encik suami tanya kot saya nak kirim juadah berbuka. Memandangkan saya pun dah lama tak masuk dapur, saya pilih untuk memasak sendiri juadah berbuka kami. Masakan ringkas, cuma gunakan mi kering Vit’s beberapa keping untuk menghasilkan mi goreng. Campur dengan hirisan ayam, tomato, lada benggala warna kuning dan telur.

Selain mi goreng, kami makan buah kurma dan dua jenis buah anggur (mujur tak rosak ditinggal lama dalam peti sejuk). Minuman air kosong dan teh tarik Lipton. Memang biasanya begitulah kami, berbuka ringkas je sebab cuma berdua tak banyak mana boleh dimakan.


Hari ini Sabtu, 3 Ramadan. Kalau rajin insyaAllah kami nak membeli di bazar Ramadan dan menunaikan solat sunat tarawih di surau/masjid berhampiran. Kami belum pernah solat tarawih di surau/masjid di sini sejak berhijrah ke PP. Tahun ni COVID-19 agak reda, rasa beranilah sikit nak ikut berjemaah di tempat orang ramai. Sesekali je, bolehlah merasa suasana berbeza. Buat masa ini saya lebih suka berjemaah di rumah.







Tuesday, 21 March 2023

Cerita Baju Raya

⏵ PAKAIAN & MODEL MUSLIMAH, DI MANA MUSLIMAHNYA?

Screenshot teguran oleh ustazah Asma’ Harun.

Sekarang ni kita lihat di media sosial meriah dengan iklan baju raya, tapi sayangnya banyak juga yang tidak selari dengan aturan agama Islam. Baju keluaran syarikat Muslim, model pula seorang Muslimah.

Model perempuan dengan baju raya ketat, mempertontonkan lekuk tubuh. Memakai tudung singkat, sekadar membalut kepala dan leher. Kadang siap memakai perhiasan seperti anting-anting di tudung. Kemudian berjoget tanpa rasa malu, menarik perhatian mata memandang.

OK ke TAK OK?

Menurut agama Islam, seorang Muslimah itu wajib menutup aurat di hadapan bukan mahram (lelaki yang boleh dinikahi). Jadinya pemakaian Muslimah sama ada secara bersemuka mahu pun di media sosial haruslah yang menutup aurat. Secara asasnya, berikut merupakan ciri-ciri pakaian yang menutup aurat bagi Muslimah :

✔ menutupi seluruh tubuh, kecuali muka dan bahagian tangan (dari pergelangan ke jari).
✔ tidak jarang.
✔ tidak ketat.
✔ tidak menyerupai lelaki.

Maka, memakai baju ketat bersama tudung singkat jelas sekali tidak mencapai maksud menutup aurat. Ada juga model yang cukup manis dengan pakaian menutup aurat, tetapi masih juga berjoget dan membuat pelbagai gaya.

Eh, tak boleh berjoget ke? Boleh, jika sesama perempuan atau ahli keluarga. Selain itu, tak boleh kerana antara tujuan menutup aurat adalah bagi melindungi kehormatan seorang perempuan. Lagi pulak, memang nampak sangat tak manis bila bertudung tapi berjoget.

Buat para usahawan pakaian Muslimah dan para model Muslimah, jadikanlah industri fesyen dan peragaan kalian sebagai medan memartabatkan Muslimah. Moga dengan usaha tersebut, kalian mendapat keuntungan di dunia dan ganjaran di akhirat (atas sebab orang membeli pakaian yang menutup aurat dan meniru gaya pemakaian Muslimah).



⏵ MISI MENCARI BAJU RAYA…SELESAI!


Hari Sabtu lalu, kali kedua saya dan encik suami ke Bandar Baru Bangi bagi mencari baju raya. Semangat kan? 😄 Sebabnya, saya malas nak berpenat pada bulan puasa nanti. Lagi pulak sementara kami berada di rumah NS, mudahlah nak cari baju di Bangi. 

Alhamdulillah setelah penat keluar masuk kedai, akhirnya kami berjaya membeli sepasang baju Melayu Teluk Belanga untuk encik suami dan sepasang baju kurung Pahang untuk saya. Warna pilihan kali ini cream beige, bolehlah sesuaikan dengan warna tema majlis perkahwinan anak saudara yang bakal berlangsung pada Syawal nanti. Tak wajib pun ikut tema, tapi alang-alang kami memang nak beli baju raya jadi bolehlah cari warna yang sesuai.

Setelah tiga kali raya tanpa persalinan baru, akhirnya tahun ini kami beli baju raya. Tahun depan mungkin tak membeli baju raya. Saya nak cuba hidup gaya minimalis, tak bolehlah ada banyak pakaian. Menambah bila perlu je.






Monday, 20 March 2023

Kelazatan Masakan Tradisi Negeri Sembilan di Aunty Aini’s Garden Cafe, Nilai

[Catatan kisah hari Selasa, 14 Mac 2023]

Dulu semasa menetap di rumah NS, agak kerap kami makan di Aunty Aini’s Garden Cafe, Nilai. Pada tahun 2019, saya pernah catatkan di blog mengenai tempat makan kegemaran kami ini DI SINI

Selepas itu pada tahun 2020, pandemik COVID-19 melanda dan pada masa yang sama kami berhijrah ke utara tanah air. Tahun demi tahun (sewaktu berkesempatan balik ke rumah NS), ada beberapa kali kami datang. Tapi setiap kali tu tak ada rezeki makan di sini - sama ada pelanggan terlampau ramai pada hujung minggu, restoran tak beroperasi atau kami datang terlampau awal untuk waktu makan malam (tak dapat menunggu, kami perlu meneruskan perjalanan).

Alhamdulillah pada hari Selasa lalu, dapat juga kami kembali ke sini untuk ‘melerai rindu’ pada makanan kegemaran kami. Kami menjadi pelanggan pertama melangkah masuk ke restoran ini sebaik pintu dibuka pada pukul 5.40 petang untuk sesi makan malam (tempat ini dibuka dua sesi iaitu waktu makan tengah hari dan makan malam).

Aunty Aini’s Garden Cafe, Nilai
Tak lama lepas kami duduk, datang beberapa kumpulan pelanggan lain. Kami pernah cuba datang pada hari hujung minggu, tempat ini meriah dengan pelanggan dan tak ada meja kosong. Terpaksa keluar dengan rasa kecewa.

Aunty Aini’s Garden Cafe, Nilai
Aunty Aini’s Garden Cafe menawarkan suasana tempat makan yang santai dan tenang dikelilingi tumbuhan hijau.

Aunty Aini’s Garden Cafe, Nilai
Buku menu. Ada perubahan harga. Maklumlah, dah bertahun tak ke sini.

Aunty Aini’s Garden Cafe, Nilai
Masih seperti dulu, kami memesan minuman ais kosong dan peach tea. Kali ini peach tea terasa lebih manis. Entah memang betul kali ini terlebih manis, atau deria rasa kami yang semakin meningkat usia ni jadi lebih sensitif 😄

Aunty Aini’s Garden Cafe, Nilai
Lebih kurang 15 minit menunggu, hidangan kami tiba. Dua jenis lauk kegemaran (hampir setiap kali datang, yang itu jugak kami makan) dan dua jenis lauk yang baru pertama kali kami cuba makan. Dah bertahun tak dapat makan di sini kan, itu yang rasa macam nak kena makan lebih 😁

Aunty Aini’s Garden Cafe, Nilai
Gulai lemak cili api kupang - RM19.50. Sebenarnya kami nak makan gulai lemak cili api telur itik (satu lagi lauk kegemaran kami di sini), tapi habis pulak. Jadi kami tukarlah kepada lauk kupang ni, mencuba buat kali pertama. Sedap dan lembut isi kupang.

Aunty Aini’s Garden Cafe, Nilai
Gulai lemak cili api cendawan kukur - RM11. Juga kali pertama mencuba.

Aunty Aini’s Garden Cafe, Nilai
Gulai lemak cili api daging salai - RM16.50. Inilah lauk kegemaran kami. Masih seperti dulu, sedap dan lembut dagingnya.

Aunty Aini’s Garden Cafe, Nilai
Kerabu pucuk paku - RM10. Juga lauk kegemaran kami.

Alhamdulillah…sangat memuaskan selera. Hampir licin pinggan habis kami makan semuanya, kecuali pinggan lauk kupang dan cendawan kukur masih bersisa kuah masak lemak cili api.

Kagum saya bagaimana mereka berjaya mengekalkan rasa lazat yang sama bertahun lama. Kadang tu kan kita pergi kedai makan, hari ini sangat sedap, datang lagi dah lain pulak rasanya.

Ada satu perbezaan yang kami perasaan, masakan lemak cili api kali ini dah berkurang kadar pedasnya. Kalau dulu kami makan sampai hidung berair. Kali ni tak lagi, kami makan dengan lebih selesa. Saya lebih suka kadar pedas begini.

Selain lauk-pauk, kami juga gemar kuih lepat pisang di sini. Tapi bukan selalu lepat pisang ni ada dijual. Biasanya kalau ada, kami akan membeli lebih. Macam kali ni, tak ada rezeki kami nak makan lepat pisang. Ada pilihan kuih lain, kami beli juga untuk mencuba. Tetap jua lepat pisang menjadi kuih paling sedap di sini.







Friday, 17 March 2023

Si Anak Spesial

 
Judul : SI ANAK SPESIAL (unedited version)
Penulis : Tere Liye
Jumlah halaman : 406

Tere Liye dalam usahanya memerangi buku bajakan (cetak rompak), telah bermurah hati memberi secara gratis (percuma) beberapa judul karya beliau di aplikasi Google Play Books. Saya mengambil peluang yang diberi dengan mendapatkan e-book Si Anak Spesial, buku ke-2 dalam ‘Serial Keluarga Nusantara’. Novel ini juga menjadi buku pertama yang saya baca di Google Play Books.


SERIAL KELUARGA NUSANTARA
Serial (Siri) Keluarga Nusantara membawakan kisah anak-anak, kisah kekeluargaan. Setahu saya, sudah ada 7 buah judul di dalam siri ini. Sebelum ini saya tak pernah berminat nak membaca mana-mana buku dalam siri ini kerana menyangka ianya hanya seronok dibaca oleh anak-anak. Tapi bila penulis menawarkan Si Anak Spesial secara percuma, rugi pula kalau saya tak mencuba baca. Eh…bila dah baca, susah nak berhenti. Seronok!

Oh ya, Si Anak Spesial yang saya baca ini merupakan ‘unedited version’, iaitu naskhah asli dari penulis tanpa suntingan. Menurut penulis, ianya berbeza daripada naskhah yang dicetak.


SINOPSIS
Buku ini mengangkat kisah watak utamanya, seorang anak lelaki bernama Burlian yang merupakan anak ketiga Pak Syahdan dan Mamak Nung. Burlian, anak yang nakal tetapi mempunyai hati yang baik dan bercita-cita tinggi.

Bukan hanya kisah Burlian dan keluarganya, novel ini turut membawa kisah kehidupan dan aktiviti harian penduduk kampung, juga pelbagai isu yang berlaku di kampung mereka. Masalah aktiviti perjudian, pemilihan ketua kampung, kehadiran pemburu haram, amalan rasuah, sehinggalah isu pendidikan anak-anak kampung.

Mampukah Burlian yang digelar ‘si anak spesial’ ini mencapai impiannya?


Buku digital Si Anak Spesial dan sebahagian koleksi buku fizikal karya Tere Liye yang saya miliki.

ANTARA PERKARA MENARIK DALAM NOVEL INI
1. Sikap Burlian yang berani membela nasib sahabatnya. Burlian sanggup berkelahi semata-mata mahu membela Ahmad yang dibuli oleh kawan-kawan sekolah. Burlian juga berjuang habis-habisan bagi menyelamatkan Munjib dan Can sewaktu mereka diserang penjahat.

2. Ketegasan dan kasih sayang yang ditunjukkan oleh Bapak dan Mamak dalam mendidik anak-anak. Burlian dan Pukat didenda seharian bekerja keras di kebun oleh Mamak gara-gara mereka ponteng sekolah. Sementara Bapak dengan lembut dan penuh kata semangat, menjelaskan betapa pentingnya pendidikan. Memetik kata-kata Bapak :
“…Tidak sekolah, tidak berpendidikan, tidak punya pohon raksasa yang dari pucuknya kalian bisa melihat betapa luas dunia. Tidak bisa menjadi seorang yang bermanfaat untuk orang banyak. Kau akan memiliki kesempatan itu, Burlian, karena kau berbeda. Sejak lahir kau memang sudah spesial. Juga kau Pukat, karena kau anak yang pintar.”

3. Mamak nampak lebih tegas, namun penuh dengan cinta dan sanggup berkorban demi anak-anaknya. Mamak pernah menjadi ‘perisai’ sewaktu Burlian diserang lebah. Mamak juga sanggup menggadaikan cincin kahwin (satu-satunya kenangan perkahwinan yang ada) demi menunaikan janji membelikan sebuah basikal buat Burlian. Seperti kata Bapak kepada Burlian :

“Karena jika kau tahu sedikit saja apa yang telah ia lakukan demi kau, Amelia, Kak Pukat dan Kak Eli, maka itu sejatinya bahkan belum sepersepuluh dari pengorbanan, rasa cinta, serta rasa sayangnya kepada kalian.”

4. Panduan memilih pemimpin. Memetik kata-kata Bapak kepada orang-orang kampung :

“Tapi meski tidak ada satu pun yang pantas, tetap harus diputuskan siapa yang akan menjadi pemimpin rombongan. Itu teladan agama kita. Pilihlah yang paling sedikit keburukannya, yang paling sedikit membawa masalah di antara banyak masalah.”

5. Kepentingan menjaga keseimbangan alam. Manusia hidup memerlukan hutan, maka seharusnya kita perlu menjaga hutan dan seluruh isinya. Memetik kata-kata Mang Unus tentang keseimbangan :

“…kita mengambil seperlunya. Kita menebang se-butuhnya. Kita punya batasan. Jangan pernah mengambil semua rebung tanpa menyisakan tunasnya untuk tumbuh lagi. Jangan pernah menebar racun atau menjulurkan kawat setrum di sungai yang akan membuat telur dan ikan-ikan kecil juga mati, padahal esok-lusa dari merekalah sungai akan terus dipenuhi ikan-ikan. Jangan pernah menebas umbut rotan semuanya. Kita selalu berusaha menjaga kesimbangan. Jangan pernah melewati batas, atau hutan tidak lagi bersahabat.”

6. Kesungguhan Pak Bin memperjuangkan pendidikan buat anak-anak kampung, walaupun sudah menjadi guru selama 25 tahun tetapi masih berstatus ‘guru honorer’ (bukan jawatan tetap dan berpencen). Pak Bin bersemangat mengajar dan tak putus asa memujuk para ibu bapa agar menghantar anak ke sekolah.

7. Memberi gelaran/panggilan yang baik kepada anak sebagai salah satu cara menumbuhkan keyakinan diri anak dan sebagai satu doa berterusan. Bapak dan Mamak sering mengatakan Burlian anak spesial, Amelia anak yang kuat, Kak Eli anak yang pemberani dan Kak Pukat anak yang pintar.


———————————————————————————

Si Anak Spesial, bacaan ringan yang penuh dengan pelbagai rasa. Ada babak lucu, mendebarkan juga babak yang membuat saya sebak. Kisah hidup anak kampung yang diceritakan dengan terperinci dan diolah dengan baik. Cerita biasa yang seronok untuk dibaca. Juga banyak pengajaran dan nilai murni yang boleh kita ambil.

Buku ini merupakan bacaan sesuai bagi anak-anak seawal sekolah rendah. Tetapi kerana ia berbahasa Indonesia, mungkin ada kesukaran buat anak-anak di Malaysia untuk memahami. Menurut saya, buku ini merupakan bahan bacaan yang bagus bagi mendidik anak-anak secara tidak langsung - pendidikan menerusi penceritaan.

Nampaknya saya yang berusia 40-an pun suka baca Si Anak Spesial 😅. InsyaAllah ada rezeki nak membaca lagi 6 buah judul dalam Siri Anak Nusantara ini. 






Thursday, 16 March 2023

Hasil Memotret di Sekitar Rumah Mentua

Rumah mentua saya yang terletak di Batu Pahat tak terlibat dengan banjir. Juga tiada laluan yang ditutup, maka dapatlah kami pulang ke kampung tanpa sebarang masalah.

Pun begitu di laluan menuju rumah mentua, kami menyaksikan rumah-rumah, perkebunan sawit dan sebahagian jalan masuk ke kampung-kampung masih ditenggelami air. Banjir masih belum surut - ‘banjir termenung’. Jalan yang kami lalui juga banyak yang rosak, berlubang di sana sini kesan laluan air banjir.

Situasi banjir buruk kali ini dikatakan sama seperti banjir yang dialami sekitar awal tahun 80-an. Semoga Allah kurniakan ketabahan hati dan dipermudahkan segala urusan kepada mereka yang terlibat.

Berbalik kepada tajuk entri, jika ada kesempatan saya dan encik suami biasanya akan meronda sekeliling rumah Mak. Melihat-lihat sebarang perubahan dan sambil itu saya akan memotret apa-apa yang kelihatan menarik di mata saya.

Saya kongsikan foto-foto berikut di blog sebagai kenang-kenangan :

Burung di pokok manggis.
Tupai di dahan pokok manggis.
Bunga pokok buah apa ni? Cuba teka! Uji pengetahuan je, tak ada hadiah tau.
Cendawan segar di batang pokok mati.
Rimbunan pokok buluh, di belakangnya tu kebun sawit.
Lampu minyak saiz kecil yang digunakan di reban ayam, bertujuan supaya anak ayam rasa hangat. Entah bila kali terakhir ia digunakan.

Ini pula tak berkaitan dengan rumah mentua. Video dengan pemandangan banjir ini saya rakam sewaktu dalam perjalanan dari rumah mentua menuju ke tol, iaitu sekitar Jalan Yong Peng. Saya sertakan di entri ini sebagai satu memori banjir di Batu Pahat yang sempat saya saksikan. Video asal dari normal speed telah saya edit kepada half speed dengan durasi 0:59 minit supaya lebih mudah ditonton.







Wednesday, 15 March 2023

Balik Kampung Sebelum Ramadan

Beberapa hari saya tak berblog kerana berada di kampung menjenguk mak dan mak mentua. Sejak malam tadi dah kembali di rumah NS, bolehlah saya sambung mencatat kisah hidup sebagai kenangan masa hadapan.

Bulan Mac ini nampaknya kami kerap berada di rumah NS. Baru balik dua malam di rumah PP, kami kembali semula ke rumah NS pada hari Selasa 7 hb. Mac lalu. Hujung minggunya ditambah dengan encik suami ambil cuti kerja, dapatlah kami balik kampung di selatan tanah air - kampung saya di Pontian dan kampung encik suami di Batu Pahat.

InsyaAllah sehingga hujung minggu ini kami akan berada di rumah NS.

[Catatan hari Sabtu, 11 Mac 2023]

Pagi hari Sabtu, kami menuju ke kampung saya di Pontian. Biasanya begitulah, kami akan balik kampung yang lebih jauh.

Sang rembulan di waktu siang. Sempat saya memotret bulan sebelum bergerak meninggalkan rumah NS.

Menziarahi Makcik di Teluk Kerang
Kami tiba di rumah Mak saya pada waktu tengah hari. Sebelah petang selepas Asar, kami bersama Mak dan beberapa ahli keluarga yang lain pergi menziarahi makcik (kakak kepada Allahyarham Bapak saya) yang baru beberapa hari keluar hospital.

Makcik terjatuh sewaktu nak duduk di birai katil, menyebabkan keretakan tulang dan tulang beralih. Atas faktor usia, doktor tak dapat melakukan pembedahan. Sedih saya lihat keadaan Makcik yang kini tak mampu nak bergerak sendiri. Semoga Allah permudahkan segala urusan rawatan Makcik dan dikurniakan kekuatan hati buat Makcik dan juga buat sepupu yang menjaga. 

Ubi kayu rebus cicah sambal tumis dan kelapa parut
Sepupu hidangkan ubi kayu rebus bersama sambal tumis dan kelapa parut.

MasyaAllah…sedap sangat! Dah lama tak makan begini, terasa nikmatnya.

Senja dan Makan Malam di Coxn Cafe, Rimba Terjun
Balik dari rumah Makcik, kami bersama kakak saya dan seorang anak saudara ke Coxn Cafe yang terletak berhampiran dengan rumah Mak. Kami datang berempat, Mak dan ahli keluarga lain tak berminat ikut serta.

Coxn Cafe ni sebenarnya dah lama beroperasi, tapi baru kali ini kami nak mencuba makan di sini. Biasalah kan, kalau yang dekat ni kurang teruja nak mencuba.

Panorama senja di Coxn Cafe. 

Kami menyaksikan kumpulan memerang di kawasan ini (tak kelihatan di foto).
Sambil menunggu hidangan tiba, kami sibuk berfoto dan memerhati suasana langit senja bertukar gelap. Dalam samar cahaya, kami melihat sesuatu sedang berenang di aliran anak sungai bersebelahan kafe. Memerang! Teruja kami melihat gerakan pantas beberapa ekor memerang berenang di air. Haiwan separa akuatik ini kemudiannya naik ke tebing dan menghilang di balik hutan bakau. Wah…pengalaman pertama kami lihat memerang di habitat asal.

Hidangan kami, semuanya hidangan Barat sebab di sini cuma menghidangkan masakan Barat.
Kami sangka sekejap saja boleh dapat makanan sebab kami memesan masakan Barat yang agak ringkas. Rupanya, sangatlah lama menunggu. Sementara menunggu, bolehlah solat Maghrib di ruang solat tersedia - sebuah ruang sederhana luas tanpa pemisah lelaki/perempuan.

Setelah menunggu kira-kira 50 minit, barulah kami dapat menikmati hidangan yang dipesan. Kecuali minuman dan ice cream, itu kami dah dapat lebih awal. Saya sebenarnya hampir hilang selera dek lama menunggu. Mujur mushroom soup yang saya pesan, sedap menepati selera.

Mungkin lepas ni saya tak ke sini lagi. Serik pula kena menunggu begitu lama. Panorama senja merupakan satu-satunya tarikan di sini.




Friday, 10 March 2023

‫إ‬خلاصکه کيت؟



Ketika kita menghulurkan sedekah kepada seseorang,
Kita berharap nama kita disebut-sebut orang,
Mengharap hidup dikurnia bahagia dunia sebagai balasan amal baik.
Ikhlaskah kita?

Ketika kita menunaikan solat sunat Dhuha,
Kita berharap Allah melimpahkan rezeki buat kita,
Kesenangan dunia sebagai pertukaran ibadah yang dibuat.
Ikhlaskah kita?

Sesama manusia kita tidak ikhlas.
Dengan Tuhan pun kita masih berkira-kira.

Hulurkanlah sedekah semata kerana rasa ingin saling membantu.
Lakukanlah ibadah semata kerana mahu mendekatkan diri kepada Yang Maha Esa.

Ikhlas itu tidak dapat dilihat dengan mata.
Juga bukan dengan lafaz di bibir.
Ikhlas tempatnya di hati.

Hanya kita yang tahu situasi hati sendiri…
Ikhlaskah kita???



———————————————————————————

Dunia adalah ladang akhirat. Kita berbuat kebaikan untuk kehidupan akhirat. Pemberian rezeki anak, harta dan segala kesenangan dunia adalah rahsia Allah. Kita tak akan pernah tahu apa yang kita dapat itu kerana apa. Kita menyangka dengan banyaknya kebaikan dilakukan, maka Allah akan beri segala yang kita mahu. Tetapi jika yang terjadi adalah sebaliknya, adakah kita akan berputus asa dan berhenti berbuat kebaikan?

Peringatan buat diri saya juga supaya mendidik ikhlas di hati. Berbahagialah insan yang dapat mencapai tahap hati ikhlas - di mana segala amalan baiknya sesama manusia dan ibadahnya kepada Allah tidak lagi mengharapkan habuan dunia.





Thursday, 9 March 2023

Medan, Indonesia | Istana Maimun - Warisan Kesultanan Deli

Istana Maimun - antara tempat bersejarah yang sempat kami lawati sewaktu berkunjung ke Medan, Indonesia. Suatu masa dahulu, bangunan istana yang terletak di Jalan Brigjend Katamso ini merupakan pusat pemerintahan Kesultanan Deli.

Fakta Ringkas Kesultanan Deli :
  • Kesultanan Deli merupakan sebuah kerajaan Islam yang bertapak di Tanah Deli (sekarang kota Medan dan Kabupaten Deli Serdang, Sumatera Utara).
  • Diasaskan oleh Tuanku Panglima Gocah Pahlawan pada tahun 1632.
  • Kesultanan Deli masih tetap ada sehingga hari ini, tetapi tidak lagi memiliki kuasa politik setelah Proklamasi Kemerdekaan Indonesia.
  • Sehingga hari ini, Kesultanan Deli mempunyai 14 orang sultan.
  • Sultan Deli ke-11, Sultan Osman Al Sani Perkasa Alamsyah merupakan cucu Sultan Perak ke-26. Bonda beliau iaitu Tengku Maheran merupakan anakanda kepada Almarhum Sultan Abdullah II (Sultan Perak ke-26) bersama isteri kedua baginda. 
  • Seripeduka Sultan Deli XIV, Tuanku Mahmud Lamantjiji Perkasa Alam atau singkatannya Tuanku Aji merupakan Sultan Deli ke-14. Beliau naik takhta pada Julai 2005 pada usia 8 tahun. Ini menjadikan beliau sebagai Sultan Deli paling muda dalam sejarah.
[Sumber rujukan : orangperak.com, kompas.com, pancabudi.ac.id]

Istana Maimun
Kami tiba di perkarangan Istana Maimun menghampiri pukul 12 tengah hari waktu tempatan. Pengunjung agak ramai, nampaknya suasana di sini lebih meriah berbanding di Tjong A Fie Mansion.

Istana Maimun - Warisan Kesultanan Deli
Bangunan Istana Maimun berdiri gah, sesuai dengan kedudukannya sebagai pusat pentadbiran Kesultanan Deli. Terdetik di hati saya, bangunan besar begini tentu ambil masa lama nak menjelajah. Saya agak teruja nak melihat bagaimana rupa dalam Istana Maimun.

Istana Maimun - Warisan Kesultanan Deli
Foto Istana Maimun dari sisi. Bila membelek foto yang ada, baru saya sedar yang saya terlupa merakam foto dari sudut hadapan istana. Maka tiadalah foto keseluruhan bangunan Istana Maimun.

Bagusnya jika ada foto (selain sebagai satu kenangan), mudah saya nak membelek dengan lebih teliti hal-hal yang kadang saya tak perasan pun semasa berada di lokasi.

Istana Maimun - Warisan Kesultanan Deli
Eh…ada tulisan bahasa Belanda di tiang depan tangga untuk masuk ke istana. Hasil Google Translate, dapatlah difahami tulisan ini menyatakan bahawa batu asas bangunan ini telah diletakkan pada 26 Ogos 1888 oleh Sultan Deli, Mahmud Al Rashid Perkasa Alamsyah. Kot ada yang faham bahasa Belanda bolehlah beri terjemahan yang lebih tepat ya. 

Istana Maimun - Warisan Kesultanan Deli
Inilah ruang utama Istana Maimun yang turut menempatkan singgahsana. Rupa-rupanya, pengunjung hanya boleh melawat ruangan utama ini sahaja termasuk ruang kecil di sebelah belakang. Saya agak kecewa. Tapi yelah, mungkin itu yang sesuai dengan kadar bayaran masuk Rp. 10k.

Saya dapati tak banyak info & bahan pameran berkenaan Kesultanan Deli yang dipamerkan di sini. Cuma banyak orang-orang berjualan di dalamnya. Agak terganggu juga, kita nak melihat-lihat sekitar dan berfoto tapi kerap disapa oleh para penjual. Tambah pula yang menjual lato-lato, sibuk memainkan lato-lato ditangannya. Tak tenang sungguh!

Istana Maimun - Warisan Kesultanan Deli
Singgahsana yang menjadi tumpuan ramai untuk berfoto. Saya perlu menunggu untuk memotret foto singgahsana ini. Tapi tetap juga kena crop supaya tak masuk objek manusia yang berada berhampiran.

Di sini juga ada disediakan servis berfoto dengan pakaian khas Kesultanan Deli. Dalam foto di atas (belakang singgahsana) kelihatan deretan baju untuk dipilih. Ada banyak lagi pilihan pakaian di bilik kecil sebelah singgahsana ini. 

Istana Maimun - Warisan Kesultanan Deli
Antara potret Sultan Deli yang dipamerkan di sini.

Istana Maimun - Warisan Kesultanan Deli
Foto di suatu sudut belakang bangunan istana.

Istana Maimun - Warisan Kesultanan Deli
Foto beranda di bahagian depan istana.

Istana Maimun - Warisan Kesultanan Deli
Bahagian luar istana (sebelah kiri). Terdapat deretan gerai menjual makanan di laluan tepi bangunan istana.

Fakta ringkas Istana Maimun :
  • Didirikan atas perintah Sultan Deli, Sultan Ma’moen Al-Rasyid. Pembinaan bermula pada tahun 1888 dan siap pada tahun 1891.
  • Nama ‘Maimun’ bersempena nama permaisuri sultan, Siti Maimunah.
  • Istana Maimun terdiri daripada bangunan dua lantai dan terdapat tiga bahagian (ruang utama, sayap kanan dan sayap kiri).
  • Ketika ini, Istana Maimun tidak lagi berfungsi sebagai tempat tinggal Sultan Deli. Ia hanya digunakan untuk acara adat.
  • Hanya ruang utama sahaja yang dibuka kepada pengunjung.

Meriam Puntung
Terletak berhampiran bangunan istana, terdapat sebuah bangunan kecil yang menempatkan ‘meriam puntung’. Masih di kawasan yang sama dengan istana.

Sebelum ke Istana Maimun, saya dah mencari info berkenaan Meriam Puntung. Menurut info, ia merupakan sebahagian daripada meriam yang terpecah dua. Cerita lagendanya, meriam tersebut merupakan jelmaan seorang puteri dari Kerajaan Deli Tua. Maka ada yang menganggap meriam ini keramat. Itu kepercayaan orang, kita hormat jelah.

Saya tak tertarik nak melihat meriam puntung. Tapi encik suami ajak menjenguk, alang-alang dah sampai kita tengoklah dengan mata sendiri.

Meriam Puntung Istana Maimun
Saya hanya berdiri di muka pintu ruangan ini untuk merakam foto di atas. Saya malas nak masuk, cukuplah sekadar tengok dari jauh. Berkenaan rupa meriam puntung, saya dah tengok foto di internet.

Seorang wanita yang berada di pintu berulang kali mengajak saya masuk ke dalam. Saya akhirnya membuka kasut dan mahu masuk sendirian. Encik suami pula pada masa ini sedang sibuk ‘dikejar’ oleh seorang lelaki penjual cenderamata. Sebenarnya sudah dikejar oleh orang yang sama sejak sebelum kami masuk ke bangunan istana. Berulang kali menolak secara baik, tetap juga tak mahu berganjak.

Sebaik saja saya melangkah sebelah kaki masuk ke dalam ruangan kecil ini, wanita tadi meminta Rp. 2k. Saya agak terkejut sebab tak nampak apa-apa notis bayaran. Langkah kaki saya terhenti, tak jadi masuk. Saya ajak encik suami beredar dari sini. Walaupun cuma Rp. 2k, tapi cara wanita itu membuatkan saya rasa seperti ditipu. Lagi pula dari awalnya memang saya tak berminat nak ke sini.

Pada masa yang sama, lelaki penjual cenderamata tadi berterusan mengekori encik suami. Menjengkelkan! Akhirnya encik suami terpaksa tinggikan suara, barulah kami bebas berjalan. Bukanlah kami tak memahami perjuangan hidup orang mencari rezeki, tapi kalau asyik diekori dan didesak itu menimbulkan rasa tidak senang. Apa pun, inilah pengalaman.

Entri ini mengakhiri catatan perjalanan kami ke kota Medan, Sumatera Utara, Indonesia. Walaupun tak pergi jauh cuma seberang lautan, kota ini tetap memberikan saya satu pengalaman berbeza dan membuka fikiran saya. Kota Medan bukanlah lokasi percutian dengan pemandangan indah, tetapi ia sesuai bagi yang mahu wisata kuliner - jalan-jalan cari makan dan melihat sisi lain kehidupan. Setiap destinasi adalah unik.






.