Wednesday, 25 August 2021

Kad Vaksinasi Untuk Merentas Daerah

Cerita hari Ahad lepas, buat pertama kalinya saya merentas daerah setelah beberapa bulan berkurung dalam lingkungan yang dibenarkan. Untuk info, mulai 10 Ogos 2021 beberapa kemudahan seperti rentas daerah dibenarkan bagi individu yang telah menerima vaksinasi lengkap bagi negeri PPN (Pelan Pemulihan Negara) Fasa 2 dan seterusnya.

Punyalah rasa teruja nak pergi berjalan-jalan merentas daerah je pun…hehe. Dan berdebar juga nak melepasi SJR (Sekatan Jalan Raya) di sempadan daerah SPS - SPT. Sampai di SJR, kenderaan berbaris panjang. Nampak polis bertanya dan menjenguk ke dalam kenderaan, tak ada yang lepas begitu saja. Tiba giliran kami, polis bertanya “Nak ke mana puan?”. Polis berada di bahagian sisi penumpang, jadinya sayalah yang kena menjawab. Lepas tu polis tanya pasal vaksin dan mahu lihat bukti. Saya hulurkan kad vaksinasi saya dan suami. Memang dah sedia awal-awal kad tersebut, rasanya lebih mudah berbanding hulur telefon. Polis melihat tarikh vaksin dan mengangguk kepala. Selesai. Boleh teruskan perjalanan. Hehe…terasa begitu berharganya kad vaksinasi, kalah kad pengenalan masa ni kan!

Tempat tujuan kami - AEON. Sebelum masuk, sekali lagi kena tunjuk bukti sudah vaksinasi lengkap. Kali ni barulah saya tunjuk sijil digital di MySejahtera. Suasana AEON agak tenang, tak ramai pengunjung. Maklumlah, yang lengkap vaksinasi saja boleh masuk memanglah tak ramai.


Kedai pertama dituju - Daiso. Kedai kegemaran saya ni. Suami saya cuma nak membeli buku nota di sini, buku yang ada dah nak habis guna. Saya pulak bila dah masuk sini, mesti nak terambil juga beberapa barang kegunaan rumah. Itu menarik, ini menarik. Takpe, kita bantu gerakkan ekonomi! Alasan yang menyejukkan hati. Dalam Daiso ni pun cuma ada dua tiga orang pelanggan selain kami, tak ramai. Juga bukan semua bahagian dibuka jualan, bahagian barangan penjagaan diri/kecantikan diletak pita merah putih.

Dari Daiso barulah kami membeli-belah barangan dapur di pasaraya Aeon. Biasanya beli barang di kedai runcit atau pasaraya berhampiran rumah, di sini dapatlah lebih banyak pilihan barangan. Itulah bezanya. Sama seperti di Daiso, di sini pun nampaknya tak ramai orang. Tak perlu berbaris panjang di kaunter bayaran.

Sebelum balik, teringin pulak nak menikmati nasi Arab. Saya buat carian di aplikasi Google Maps, jumpalah restoran Qasar Hadramawt. Baca ulasan menarik, jomlah kita cuba. Kami beli dan bawa pulang, tak makan di restoran. Dan nampaknya memang tak ada pun pelanggan yang makan dalam tu. Masing-masing datang dan minta bungkus. Itulah yang sebaiknya, situasi masih belum selamat. Berbalik kepada rasa nasi Arab di restoran ni, Alhamdulillah sangat memuaskan selera! Tiada gambar sebab sampai rumah je tak sabar nak makan.

Itulah kisah kad vaksinasi yang laku digunakan. Panjang meleret pulak jadinya. Takpelah, simpan cerita untuk memori akan datang. Detik di mana kita merindui kebebasan dan menghargai setiap hal-hal kecil. Kita tak perlukan hal besar untuk rasa bahagia dan bersyukur. Dapat pergi AEON, masuk Daiso, makan nasi Arab dan oh ya dapat makan sofuto Family Mart…dah sangat gembira dan syukur!


Monday, 23 August 2021

Seruan Lelaki Budiman


Judul : SERUAN LELAKI BUDIMAN
Penulis : Kompilasi penulis
Penerbit : Jejak Tarbiah
Tahun terbit : 2018
Jumlah halaman : 147
Harga : RM25


Buku ini merupakan kompilasi penulisan oleh 7 orang penulis, iaitu Muhammad Shah Ahmad Nor, Surya Bunawan, Muhamad Hanapi Jamaludin, Budiman Mohd Zohdi, Syed Azharul Asriq, Zahrah Yunos dan Tin Miswary yang mengangkat keperibadian lelaki bernama Hamka.

Membaca prakata buku ini oleh S.M. Zakir (Penerima SEA Write Awards 2011) sahaja sudah cukup membuatkan saya rasa teruja bagi meneruskan pembacaan. Siapa sangka, Hamka semasa kecilnya seorang anak yang nakal dan memberontak akhirnya menjadi seorang tokoh terkenal sehingga ke hari ini. Bahkan, Hamka juga bukan graduan dari mana-mana universiti.

Antara isi menarik daripada buku Seruan Lelaki Budiman :
1. Hubungan Hamka muda dan ayahnya pada awalnya agak dingin. Namun akhinya bertaut kembali apabila kedua-duanya saling bermuhasabah akan kelemahan dan kekurangan masing-masing, juga atas faktor persamaan visi perjuangan.

2. Hamka berjuang membangun kemuliaan melalui tulisan bertema adat, budaya, tasawuf, falsafah, akidah dan akhlak. Menerusi karya-karya beliau, ia memberikan inspirasi kepada penulis berikutnya bahawa karya cinta, budaya dan agama boleh bersatu, saling melengkapi dan tetap indah.

3. Peribadi Hamka dibentuk menerusi pendidikan formal dan bukan formal - pendidikan agama, asuhan ayah, madrasah alam, budaya ‘bujang di surau’ dan merantau ialah rumusan yang membentuk Hamka.

4. Hamka mengangkat ciri-ciri lelaki budiman melalui watak-watak dalam karyanya. Contohnya, watak Hamid dalam novel Di Bawah Lindungan Kaabah merupakan seorang lelaki berbudi pekerti tinggi - faham batas pergaulan yang ditetapkan agama dan adat, menjaga amanah, tahu mengenang budi walaupun dalam masa yang sama dirinya menanggung derita cinta yang tidak kesampaian. Begitu juga watak Zainuddin dalam novel Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck, biarpun pernah dikhianati Hayati namun Zainuddin menghulurkan bantuan di saat Hayati dan suaminya dalam kesusahan. Kekecewaan tidak membunuh rasa kemanusiaan.


5. Hamka juga seorang pengembara yang hebat. Beliau mengembara untuk mencari hikmat sejarah, sehingga lahirlah naskhah sejarah antaranya Sejarah Umat Islam yang menukilkan keagungan silam kerajaan Pasai, Melaka, Aceh, Makassar, Demak dan Johor. Beliau juga menukilkan syair indah yang diberi nama Di Atas Runtuhan Melaka Lama.

6. Hamka ialah seorang lelaki yang menghormati perempuan dan menjadi pembela perempuan melalui tindakan, suara dan tulisannya. Hamka tidak pernah berpoligami sepanjang isteri pertamanya masih hidup kerana kesetiaan dan tidak mahu melihat isterinya bersedih. Menerusi novel Terusir pula, Hamka menulis tentang nasib perempuan yang sering dituding jari apabila masalah sosial terjadi. Sedangkan lelaki yang seharusnya ada ghirah (cemburu) dan siri (kehormatan dan harga diri) untuk melindungi ahli keluarga perempuan mereka. 


Selesai membaca naskhah ini, saya terasa bagai baru berkenalan dengan sosok bernama Hamka. Sememangnya saya baru saja mula mengenali karya Hamka pada penghujung tahun 2019 menerusi novel Terusir. Dan selepas mengetahui lebih banyak perihal beliau (menerusi buku Seruan Lelaki Budiman ini), saya kagum dengan keperibadian dan juga ketokohan beliau dalam pelbagai bidang. Rasa terinspirasi untuk membaca karya-karya beliau seterusnya.

Seruan Lelaki Budiman, bacaan pemula yang bagus jika mahu mengenali Hamka. Naskhah yang mengangkat keperibadian lelaki berbudi sebagai inspirasi untuk para lelaki menjadi lebih kuat dalam memimpin keluarga dan masyarakat.


“Secara hakiki, pengertian “budiman” bermaksud berbudi, berakal lagi bijaksana. Hal ini bergantung pada setiap konteks yang kita lalui saban hari. Dalam kata lain, “budiman” bukan semata-mata terikat ketat kepada penghormatan dan aspek romantisme yang menimbulkan kesan khusus kepada kaum hawa semata-mata” - halaman 62, Seruan Lelaki Budiman.





Thursday, 19 August 2021

Lagi Kiriman Dari Kampung

Bulan lepas kami terima kiriman buah rambutan dan manggis dari kampung (entrinya DI SINI). Semalam petang, sekali lagi kami terima kiriman dari kampung. Adik ipar poskan dari Johor pada hari Isnin dan semalam hari Rabu selamat kami terima. Jauh dari selatan ke utara tanah air. 

Kali ini mak mentua kirimkan buah pulasan. Penghantaran menggunakan khidmat kurier Gdex.

Tahun ni buah-buahan di sekeliling rumah menjadi, tapi anak-anak pula tak boleh balik. Buah dikirim tanda ingatan dan nak bagi anak-anak merasa.

Alhamdulillah buah pulasan yang dikirim elok semuanya, tak ada yang rosak. Buahnya bersaiz besar dan tebal isinya. Dengan sekali hadap, hampir habis saya dan suami makan.

Beginilah di musim pandemik, tak dapat bertemu cuma buah dikirim tanda ingatan. Kasihnya emak, ingat pada anak-anak. Siapa sangka, tiba detik masa begini yang mana kita tak boleh pulang ke kampung walaupun duduk dalam satu negara. Sudah 8 bulan saya dan suami tak menjenguk mak-mak kami di Johor sana. Semoga kita semua diizinkan Allah bertemu dengan orang tua kita dan ahli keluarga lain dalam suasana yang gembira.


Wednesday, 18 August 2021

Musim Cempedak Pun Tiba, Kita Buat Cempedak Goreng

Sebelum ni puas makan durian, buat serawa durian. Kali ni tiba pula musim cempedak. Sana sini nampak orang jual cempedak. Terbayang aroma harum cempedak goreng, aduhai sedapnya! Kena beli ni.

Suami beli cempedak ni di Kedah. Harganya RM8/kg. Berat cempedak ni hampir 3 kg.

Berdebar juga saya masa suami belah buah cempedak ni, kot isinya mengecewakan. Alhamdulillah isinya banyak, bolehlah saya buat cempedak goreng. Kalau makan gitu je, saya kurang suka.

Sebiji buah cempedak tadi, Alhamdulillah dapatlah 3 kali kami menikmati cempedak goreng.

Resepi Cempedak Goreng Rangup :
*sukatan anggaran untuk 20 ulas cempedak

 Bahan
4 sudu besar tepung gandum
2 sudu besar tepung beras
Sedikit serbuk kunyit
Sedikit garam
Sedikit air kapur makan
Air secukupnya
2 sudu besar minyak panas

Cara
  1. Satukan semua bahan kecuali minyak panas, kacau sebati sampai jadi bancuhan tepung yang tak pekat dan tak cair (jangan cair sangat sebab nanti nak tambah minyak panas). Sementara tu dah boleh panaskan minyak di kuali untuk menggoreng.
  2. Tambahkan minyak panas dalam bancuhan tepung, kacau sebati. Sedia untuk digunakan.
  3. Masukkan cempedak, gaul rata dan goreng.
* fungsi air kapur dan minyak panas untuk merangupkan gorengan.
* gunakan minyak yang banyak supaya gorengan masak sekata dan gunakan minyak yang cukup panas supaya gorengan rangup dan kurang berminyak.

Ada pilihan cara lain lagi untuk resepi gorengan yang rangup. Tapi inilah resepi yang biasa saya guna untuk buat apa-apa gorengan, ikut cara mak saya. Air kapur tu saya guna bila ada je, kalau tak ada pun masih rangup cuma saya dapati tak serangup bila ditambah air kapur.

Gorengan cempedak terakhir untuk sarapan pagi semalam. Masak sendiri, boleh makan banyak. Lepas tu bila timbang berat badan, mulalah risau berat naik! Haha.



Monday, 16 August 2021

15 Hari Menjelang Hari Kebangsaan

Satu lagi catatan sejarah negara kita pada hari ini…

Tangkap layar siaran langsung ucapan terakhir Perdana Menteri Malaysia ke-8.
Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Haji Mohd. Yassin, Perdana Menteri kita sejak bulan Mac 2020 telah pun mengumumkan perletakan jawatannya atas sebab tiada lagi sokongan majoriti ahli di Dewan Rakyat.

Saya tidak begitu mengikuti perkembangan politik semasa, jadi saya tak mahu bercakap mengenai siapa yang patut disokong. Cuma saya terasa sedih dan kecewa perkara ini terjadi ketika negara berada di dalam bulan kemerdekaan. Lebih tepat lagi, 15 hari menjelang Hari Kebangsaan.


Mendung hitam siang tadi bagai gambaran situasi semasa negara. Diikuti hujan lebat mencurah ke bumi, tak tertahankan lagi. Dan sehingga detik jari-jemari saya mencatat peristiwa negara ini, hujan masih membasahi bumi PP. Seakan turut bersedih bersama sebahagian rakyat (yang sedang bersedih dengan peristiwa hari ini).

Begitulah adat politik, ada turun ada naik. Kita selaku orang awam sememangnya tak mampu ‘membaca’ apa situasi sebenar. Dunia politik penuh muslihat, tersirat. Apa yang boleh kita buat? Berdoalah. Kerisauan hati tidak mampu mengubah apa-apa, tetapi dengan doa bererti kita menggantung harapan pada Allah Yang Maha Kuasa.

Ya Allah, berikanlah pemimpin yang terbaik untuk negara kami.
Jauhilah negara tercinta ini daripada pemimpin yang buruk.
Berikanlah keamanan dan kemakmuran buat negara kami.


Sunday, 8 August 2021

Pesan dan Bawa Pulang Makanan IKEA

Setelah sekian lama tak ke IKEA Batu Kawan, semalam sengaja saya dan suami nak berjalan jauh sikit dari rumah sambil membeli makanan di IKEA. Memang stor IKEA ditutup sejak PKP 3.0, tetapi bahagian jualan makanan masih beroperasi.
 
Pembelian makanan secara pesan dan bawa pulang di IKEA Bistro.

Tak boleh masuk bersama ke bahagian kaunter tu, saya tunggu di sini sajalah memerhati suami membeli. Kalau agak ramai sikit, pengawal keselamatan akan mula bersuara. Matanya memang tak lepas memerhati bahagian kaunter.

Kegemaran saya - frozen yogurt. Kali ni tak boleh buat sendiri, semua dibuat oleh staf. Sementara menunggu makanan belum siap, froyo ni bergambar dulu.

Dah siap, nak balik perlu melalui kaunter stor IKEA. Terasa sedih tengok situasi begini. Sepi dan suram. Tadi pun selesai membeli, staf di kaunter berpesan “…datang lagi ya, support kami”.

Sewaktu kami tiba di pintu keluar, nampak ada dua orang polis datang membuat pemantauan. Bagus begini, apalah guna peraturan kalau tiada pemantauan oleh pihak berkuasa.

Dari IKEA kami terus balik ke rumah untuk menikmati hidangan tengahari yang dibeli tadi. Kebetulan tadi kami lupa bawa bekas sendiri dan rancang untuk beli je bekas di sana. Tapi rupa-rupanya tak perlu, IKEA dah sediakan bekas kotak begini.

Bekas bebola daging ni juga diperbuat daripada bahan kertas yang tebal dan kukuh.

Tadi petang diumumkan kemudahan bagi individu yang telah divaksin lengkap dan berada di negeri dalam fasa 2 (dan seterusnya), antaranya dah boleh makan di kedai. Tapi rasanya tak berani saya nak makan di kedai dalam situasi sekarang walaupun PP berada dalam fasa 2. Hari ini saja dilaporkan 360 kematian kes COVID-19, tertinggi sejak pandemik melanda negara. Juga dengan varian-varian baru yang muncul disebabkan mutasi virus dalam badan manusia. Semuanya membuat kita perlu kekal berhati-hati.

Beginilah situasi kita hari ini. Walaupun bercerita tentang makanan (sesuatu yang menggembirakan), jauh di sudut hati sedang bersedih dengan berita duka yang saban hari singgah di media sosial. Semoga Allah beri kita semua kesempatan untuk hidup bebas seperti sebelum pandemik.




Friday, 6 August 2021

سلساي ۏکسين دوس كدوا

Tajuk jelah saya mampu tulis Jawi ya, entri blog tetap tulisan Rumi. Merangkak menulisnya tak siap-siap pulak nanti…haha.

Alhamdulillah, pada hari Rabu 4 Ogos 2021 yang lalu saya dah pun selesai menerima suntikan vaksin dos kedua. Boleh baca catatan pengalaman suntikan dos pertama DI SINI.

Sama seperti temujanji vaksin dos pertama, iaitu pukul 2 petang. Saya sampai sekitar pukul 1.50 petang dan perlu duduk menunggu di luar dewan sehingga PPV mula beroperasi semula pada pukul 2 petang. Kali ini cuaca panas terik, memang terasa bahang duduk di sini. Demi suntikan vaksin COVID-19, masing-masing nampak tenang dan sabar menunggu.

Prosedur untuk menerima suntikan dos kedua ni lebih ringkas, sebab kita dah tak perlu lagi buat pendaftaran dan konsultasi. Di kaunter saringan saya ditanya, “Ada buat swab test?”. Lepas tu terus ke kaunter mengambil nombor giliran dan barulah dibenarkan masuk ke bahagian dalam dewan.

Di dalam dewan, sekali lagi serahkan kad temujanji di satu kaunter sebelum saya mula masuk barisan menunggu untuk menerima suntikan. Sebelum masuk barisan menunggu, petugas bertanya, “Dos pertama atau kedua? Sinovac (CoronaVac)?”.

Nampaknya kali ni ramai penerima dos kedua, sebab barisan untuk penerima dos pertama sedikit saja. Penerima vaksin Pfizer (Comirnaty) pun tak ramai, sama seperti yang saya lihat semasa mengambil dos pertama tempohari.

Tiba giliran, saya perlu masuk berdua dalam bilik suntikan bersama seorang lelaki berbangsa Cina. Kali ini terdapat 3 orang jururawat dalam bilik suntikan. Seorang jururawat berkata kepada saya, “Nanti dulu ya, kita siapkan lelaki”. Saya angguk kepala. Bagus sungguh usaha mereka menjaga aurat muslimah, sama seperti pengalaman saya semasa suntikan dos pertama. Semoga Allah merahmati mereka.

Selepas lelaki tadi siap disuntik dan keluar dari bilik, barulah tiba giliran saya. Macam sebelum ni, jururawat menunjukkan picagari berisi vaksin sambil memberi penerangan ringkas. Dengan lafaz Bismillah berulang kali jururawat mula cucuk jarum vaksin di lengan saya. Sambil tekan picagari jururawat bagitau, “Tengok ni, vaksin masuk dalam badan..”. Saya pandanglah picagari tu dengan jarum yang masih tercucuk di lengan. Masa tu dah terasa sakit kena cucuk dan lepas siap suntikan terus rasa sengal bahagian suntikan. Saya bagitau jururawat, beliau balas “Dos kedua ni memang ramai yang kata lebih sakit. Sengal tu kesan vaksin masuk badan. Ada yang cepat rasa sengal, ada yang lambat sikit”. Agak terkejut juga saya, sebab suntikan yang pertama tempohari saya langsung tak rasa apa-apa. Haaa…kali ni baru merasa apa itu sakit kena suntikan vaksin.

Makin lama, makin sakit sengal seluruh tangan. Dalam kereta siap menahan sakit, rasa sakit macam bisa. Bukan sengal biasa tu. Sampai rumah terus telan pil paracetamol, Alhamdulillah tak lama tu baik. Malam nak tidur, sekali lagi lengan rasa sakit sengal dan tekak perit (tak pasti yang ni kesan sampingan vaksin atau bukan).

Simpan sini buat kenangan daripada tarikh daftar sampai siap dos kedua.

Simpan sini juga sijil digital vaksin COVID-19. Kebetulan sama pulak masa tu.

Kesan sampingan selepas dos kedua vaksin CoronaVac (Sinovac) - selepas lebih 48 jam sewaktu catatan ni ditulis, saya baik-baik aje (selain kesan sampingan yang dah saya nyatakan di atas) . Tiada kesan lain kecuali masih ada sedikit rasa sengal di lengan. Sengal biasa, tak sakit macam masa lepas suntikan. Semalam petang pun saya dah makan durian dengan kadar sederhana. Tapi kalau terasa badan tak sihat janganlah makan durian ya, sebab makin panas badan pulak nanti. Apa yang kita kena pantang selepas terima suntikan vaksin ialah elakkan aktiviti fizikal berat selama 1 minggu. 

Vaksin bukan bererti kita kebal daripada ancaman COVID-19. Vaksin cuma salah satu usaha kita mengurangkan gejala teruk COVID-19. Memang ajal sudah ditetapkan. Tetapi sebagai manusia yang tak mengetahui bila ajal menjemput, menjadi tanggungjawab kita berusaha menjaga diri (nyawa). Maaf bagi yang tak sependapat (ya, masih ada yang menolak vaksin dikalangan kita). Tak mengapa, vaksin ni pun pilihan bukan wajib. Cuma perlu ingat adalah menjadi satu kesalahan bagi mereka yang membuat sebaran sehingga mengganggu keamanan dan menimbulkan ketakutan kepada orang awam berkaitan vaksin.

 

Tuesday, 3 August 2021

Scone dan Strawberi Dari Cameron Highlands

Hari Jumaat lalu, suami saya ada kerja di Cameron Highlands. Sebelum balik sempatlah beliau membeli sedikit buah tangan dari CH. Menurut cerita suami, hampir semua kedai tidak beroperasi. Jalan pun tak sibuk. Kampung Taman Sedia (lokasi suami membeli buah tangan) pun lengang. Begitulah suasana CH dikala pendemik.

Buah tangan dari CH, sekilo strawberi dan sebekas scone.

Beli pada hari Jumaat, sampai rumah pada hari Sabtu. Dah ada beberapa biji yang mula diselaputi kulat dan lembik. Buah strawberi ni suami dapat pada harga yang rendah, cuma RM15/kg. Saiznya bercampur besar dan kecil, tapi banyak yang besar. Mungkin sebab orang tak berjalan ke CH, jadinya penjual menurunkan harga bagi pembeli di CH. Sebelum tu suami ke sebuah kedai lain, harga strawberi di situ masih mengekalkan harga biasa iaitu RM25/kg

Tips simpan buah strawberi - alaskan bahagian bawah bekas penyimpanan strawberi dengan tisu dapur, tutupkan juga bahagian atas strawberi dengan tisu dapur. Tisu dapur dapat menyerap lembapan pada buah strawberi seterusnya mengelakkan terjadinya kulat. Betul ke tak? Cubalah sendiri ya. Setakat hari ini, memang langsung tak berkulat buah strawberi yang saya simpan cuma ada yang lembik. Tinggal sikit je, hari ini habislah dimakan. Tips ni saya terbaca di Facebook.

Scone House of Scones ni pula suami beli di kedai Opah Strawberries & Jams. Satu bekas ni RM20 - ada 4 biji scone pelbagai perisa, 4 pek mini Anchor Butter dan 2 bekas jem strawberi. Tapi sebab tak banyak perisa yang tinggal, perisa red velvet tu terpaksa ambil dua. Kiranya ni ada 3 perisa berbeza jelah - red velvet cheese, lemon cheese, strawberry cheese. Masa dapat ni saya buka, harum bau scone. Jem strawberi tu pun sedap baunya.

Pihak Opah Strawberries juga ada buat pengeposan untuk scone ni. Dan mereka pun ada ejen bagi memasarkan scone serta produk-produk lain ke luar CH. Harga jualan tak samalah kalau kita beli sendiri di CH ni, sebab mengambil kira kos bawa turun dan komisen ejen. Kalau nak tau lebih lanjut boleh ke Facebook - Opah Strawberries & Jams.

Ni scone perisa red velvet dan lemon. Saya panaskan guna air fryer suhu 160 darjah, 5-6 minit gitu (lebih sesuai guna microwave, jika ada). Belah dua, sapukan butter dan jem strawberi. Disebabkan scone lemon tu cuma sebiji, sebelah untuk saya dan sebelah untuk suami. Adil sama merasa. Rasanya? Sedap! Saya lebih suka perisa lemon berbanding red velvet.

Tak dapat ke CH, dapat buah tangan dari sana pun jadilah. Alhamdulillah.






.