Monday, 10 November 2025

FLOW BANGI Smoke & Brew, Bandar Baru Bangi

Beberapa tahun lalu, saya dan Encik Suami pernah makan di FLOW Smoke & Brew yang terletak di Kg. Chubadak, Kuala Lumpur - entrinya DI SINI.

Kemudian menerusi perkongsian sahabat blogger Ily pada bulan lepas, barulah saya tahu FLOW Smoke & Brew sudah pun membuka cawangan di Bandar Baru Bangi, Selangor. Menarik!

Kebetulan minggu lepas kami menginap selama tiga malam di Tenera Hotel, Bandar Baru Bangi - bolehlah mencuba makan di FLOW BANGI Smoke & Brew yang terletak di Bangi Gateway. Dekat je. Kami ke sini pada waktu senja, selepas Encik Suami balik kerja. 

FLOW BANGI Smoke & Brew, Bandar Baru Bangi
Senang nak kenal pasti restoran ini - di hadapan kedai ada alat salai dan susunan kayu api di rak. Ia bukan sekadar hiasan tapi digunakan untuk memasak daging dengan cara salai. Jadi, hasilnya memang tak mengecewakan - daging lembut dan berjus.

FLOW BANGI Smoke & Brew, Bandar Baru Bangi
Rupa bahagian dalam restoran. Dekorasi menarik dan suasana yang cukup selesa untuk kita menikmati hidangan.

FLOW BANGI Smoke & Brew, Bandar Baru Bangi
Pesanan makanan dibuat dengan cara imbas kod QR. Saya screenshot sebahagian menu sebagai rujukan. Buku menu turut disediakan, bolehlah membelek dengan lebih puas mata berbanding membelek menu pada skrin.

FLOW BANGI Smoke & Brew, Bandar Baru Bangi
Smoked Lamb Ribs
Macam biasa, kami pilih menu berbeza supaya boleh berkongsi merasa makanan berlainan. Pilihan saya Smoked Lamb Ribs / RM54.90 dan Encik Suami pula memilih Smoked Beef Back Ribs / RM99.90 (tiada foto). Menariknya di sini, pelanggan juga diberi pilihan side dish sama ada mahu mashed potato, steakhouse fries atau waffle fries.

Mana satu lebih sedap? Kami sepakat - Smoked Lamb Ribs lebih sedap, lebih lembut. Recommended!

FLOW BANGI Smoke & Brew, Bandar Baru Bangi
Minuman saya - soda lemon asamboi / RM10.90.

Hari esoknya, sekali lagi kami ke sini untuk makan malam. Kali ini kami memesan tiga jenis makanan - mushroom soup, steakhouse fries dan nasi goreng kambing.

FLOW BANGI Smoke & Brew, Bandar Baru Bangi
Mushroom soup rasa sedap, cuma ia terlalu pekat. Saya kurang suka tekstur begini. Steakhouse fries dengan tiga jenis sos pencicah tu memang sedap. Nasi goreng kambing (tiada foto) pun sedap sesuai dengan cita rasa kami.

Alhamdulillah…senang hati dapat makan sedap di tempat yang selesa begini. Cuma mungkin perlu ditambah baik cara servis oleh pelayan - ianya hal-hal kecil yang memberi nilai tambah pada sesebuah perniagaan.

***********************************

FLOW BANGI Smoke & Brew
D-7-G, Bangi Gateway,
Seksyen 15, Bandar Baru Bangi,
Selangor.

Waktu operasi :
Selasa - Jumaat | 4 petang - 11 malam
Sabtu  | 12 tengah hari - 11 malam
Ahad | 12 tengah hari - 10 malam
Tutup | Isnin

Lihat menu penuh -> DI SINI






Friday, 7 November 2025

Menginap Dua Malam di Liyang Marriot Hotel, Liyang

CATATAN TRIP KE CHINA - WILAYAH YUNNAN & JIANGSU | 10 - 14 APRIL 2025



Semasa berada di Liyang yang terletak di wilayah Jiangsu, kumpulan kami menginap selama dua malam di Liyang Marriot Hotel. 

Liyang Marriot Hotel, Liyang, Jiangsu, China
Foto bangunan hotel dirakam pada malam kedua di Liyang.

Liyang Marriot Hotel, Liyang, Jiangsu, China
Pemandangan indah pada waktu malam di pekarangan hotel - bangunan tinggi dengan kesan cahaya animasi. Menarik! Boleh saksikan dalam video di bawah.

Video pendek paparan suasana di pekarangan hotel. Dapat saksikan juga keadaan angin kuat di sini.

Liyang Marriot Hotel, Liyang, Jiangsu, China
Pintu masuk hotel jenis revolving doors.

Liyang Marriot Hotel, Liyang, Jiangsu, China
Bilik penginapan kami dengan reka bentuk unik - ruang tidur dan ruang bilik air dengan konsep terbuka. Terdapat dinding/pintu sliding sebagai pemisah ruangan. 

Liyang Marriot Hotel, Liyang, Jiangsu, China
Bersih, tersusun dan lengkap dengan pelbagai kemudahan. Alhamdulillah, sangat selesa!

Liyang Marriot Hotel, Liyang, Jiangsu, China
Saya tertarik dengan reka bentuk lampu di tepi katil.

Liyang Marriot Hotel, Liyang, Jiangsu, China
Sudut pandang dari ruang bilik air.

Sudut pandang dari ruang tidur menghadap ruang bilik air. Unit bilik mandi dan tandas berasingan, saya suka begini.

Liyang Marriot Hotel, Liyang, Jiangsu, China
Ini pula rupa selepas dinding/pintu sliding ruang bilik air ditutup sepenuhnya.

Liyang Marriot Hotel, Liyang, Jiangsu, China
Antara kemudahan dalam bilik. Jarang jumpa hotel di China (setakat yang saya pergi) sediakan iron dalam bilik.

Liyang Marriot Hotel, Liyang, Jiangsu, China
Sabun mandi dan syampu dalam botol besar, puas hati guna. Semua kemudahan berada dalam keadaan baik dan selesa digunakan, kecuali tak ada paip air dalam tandas tu kena hadap jelah dah gitu budaya hidup di China.

Liyang Marriot Hotel, Liyang, Jiangsu, China
Pemandangan waktu siang dari jendela bilik kami bernombor 2403. Cantik! Nampaknya ada tiga buah bangunan berbentuk unik. Bila saya buat carian, rupa-rupanya banyak tempat tarikan pelancongan di sini. Tapi sayang, satu pun saya tak sempat pergi.

Seperkara lagi, saya perasan cermin jendela penginapan di sini berhabuk teruk. Begitu juga dengan kenderaan di tempat parkir rata-rata berhabuk tebal. Setelah beberapa ketika berada di Liyang, saya dapati kawasan ini sering mengalami tiupan angin kencang tak kira siang atau malam. Angin kencang menerbangkan habuk.

Video pendek pemandangan bandar Liyang dari jendela penginapan kami. Dalam video ini juga kita boleh nampak kincir angin (wind turbine) di kejauhan. Patutlah mereka boleh buat kincir angin, rupa-rupanya angin di sini bertiup kencang.







Monday, 3 November 2025

Terbang Ke Nanjing dengan China Eastern Airlines dan Makan Malam di Lanzhou Beef Noodles, Liyang

CATATAN TRIP KE CHINA - WILAYAH YUNNAN & JIANGSU | 10 -14 APRIL 2025

Sambungan catatan terdahulu —> Jalan-jalan di Wuhua District, Kunming


▶ KUNMING CHANGSHUI AIRPORT
Kami tiba di Kunming Changshui Airport pada pukul 4 petang. Tiada pemeriksaan keselamatan di pintu masuk lapangan terbang. Ini jauh berbeza dengan pengalaman kami sewaktu memasuki bangunan Terminal 2, Guangzhou Baiyun Airport pada September 2024 - entrinya DI SINI.

Kunming Airport, Yunnan, China
Kunming Changshui Airport.

Penerbangan kami ke Nanjing menaiki pesawat China Eastern Airlines. Buat pertama kali, dapat tempat duduk Kelas Pertama. Ini juga merupakan pengalaman pertama saya menaiki pesawat China Eastern Airlines.

Kunming Airport, Yunnan, China
Kami menaiki airport tram untuk ke pintu pelepasan di Gate 314.


▶ TERBANG DARI KUNMING KE NANJING DENGAN CHINA EASTERN AIRLINES
Kelebihan pemegang tiket Kelas Pertama, dapatlah kami jadi orang terawal menaiki pesawat. Tak perlu beratur panjang bersama penumpang lain.

China Eastern Airlines
Begini rupa tempat duduk kami - dilengkapi dengan bantal kecil, selimut dan selipar. Sayang sekali, ini hanya penerbangan jarak dekat yang mengambil masa kira-kira 2 jam 15 minit - tak sempat nak tidur.

Saya duduk di tepi jendela pesawat, di barisan kedua. Selain kami berlima di ruangan ini, ada seorang penumpang lelaki yang lebih berusia duduk di hadapan saya.

Pesawat kami berlepas kira-kira pukul 6.10 petang. 

Selamat tinggal Kunming!

China Eastern Airlines
Pramugari berpakaian warna hitam menghulurkan buku menu untuk kami buat pilihan minuman dan makanan.

China Eastern Airlines
Minuman kami - jus oren dan air kopi. Pilih makanan yang diyakini halal - salad dan buah.

China Eastern Airlines
Masya Allah…pemandangan yang menakjubkan hamparan awan dan bulan penuh.

Nanjing, Jiangsu, China
Pemandangan udara ketika pesawat menghampiri Nanjing - ibu kota wilayah Jiangsu.

Alhamdulillah kira-kira pukul 8.25 malam pesawat kami selamat mendarat di Nanjing Lukou Airport. Satu lagi pengalaman baru buat saya apabila menjadi penumpang pertama keluar dari pesawat. Dapatlah saya menyaksikan prosedur bagaimana pramugari nak membuka pintu pesawat. Selalunya saya jadi antara orang terakhir keluar, tapi kali ini jadi penumpang hadapan kenalah keluar awal.

Sebaik kaki melangkah keluar dari bangunan lapangan terbang, udara terasa begitu sejuk dengan suhu 11℃. Kumpulan kami menaiki sebuah teksi MPV menuju ke hotel penginapan yang terletak di Liyang.



MAKAN MALAM DI LANZHOU BEEF NOODLES, LIYANG
Perjalanan dari Nanjing ke Liyang Marriot Hotel mengambil masa kira-kira 50 minit. Selesai urusan daftar masuk dan letak bagasi di bilik, kami berkumpul kembali untuk makan malam di sebuah kedai makan halal berhampiran hotel.

Lokasi kedai makan tersebut terletak di deretan kedai seberang jalan. Boleh jalan kaki dari hotel. Tak susah nak melintas jalan di sini, tak banyak kenderaan lalu.

Liyang, Changzhou, Jiangsu, China
Bangunan Liyang Marriot Hotel, foto dirakam dari seberang jalan. Suasana malam di sini kelihatan indah dengan kehadiran bulan purnama menghiasi langit gelap.

Kedai makan halal di Liyang, Jiangsu, China
Lanzhou Beef Noodles. Ada logo bulat berwarna hijau dengan lambang masjid dan aksara Cina æ¸…真 qingzhen - terma yang digunakan untuk makanan halal.

Kedai makan ini diusahakan oleh sepasang suami isteri. Mereka berdua saja tanpa ada pembantu. Tambah kagum saya apabila mengetahui kedai ini dibuka dari awal pagi sehingga lewat malam. Suami uruskan kedai waktu siang dan isterinya uruskan waktu malam - semua kerja bermula ambil pesanan, memasak sehingga mengemas meja hanya seorang diri. Fuh! 

Eh, macam mana saya tahu? Tentulah sebab kawan Cina kami yang berbual dengan pemilik kedai ini. Kebetulan malam ini mereka berdua ada di kedai - suami bantu isteri. Kedua-duanya nampak mesra berbual dengan kawan Cina. Seronok sungguh kan kalau tak ada halangan komunikasi, boleh berbual banyak hal.

Kedai makan halal di Liyang, Jiangsu, China
Sedap mi tarik ni tau. Cuma, itulah…garpu plastik pakai buang yang dibawa dah terpatah. Jadinya Encik Suami seorang jelah yang dapat menikmati mi tarik dengan menggunakan chopsticks.

Kedai makan halal di Liyang, Jiangsu, China
Minuman kami. Beli satu kongsi berdua.

Liyang, Jiangsu, China
Kami masuk kedai buah di sebelah kedai makan. Seronok tengok pelbagai jenis buah tersusun rapi.

Liyang, Jiangsu, China
Kira-kira pukul 11 malam, kami balik ke bilik penginapan. Alhamdulillah dapat berehat dengan selesa setelah seharian ke sana ke sini. Sebelum tidur, saya check suhu semasa dan waktu solat di sini. Kena set alarm supaya tak terlepas waktu Subuh.