Monday, 31 October 2011

Picasa...Sedia Payung Sebelum Hujan

Picasa

Beberapa hari lalu,
Rumah adik saya telah dipecah masuk.
Dalam kejadian tersebut dia telah kehilangan laptop.

Laptop..hilang boleh beli lagi.
Tapi gambar-gambar kenangan yang ada di dalamnya..
Itulah yang tiada ganti dan tak boleh dibeli!

Adanya kamera digital,
Gambar jarang-jarang di print.
Semuanya disimpan dalam laptop.

Jadi...amat perlu kita membuat back-up.
Buat salinan gambar korang ke cd, pendrive, external hard drive.
Atau boleh simpan di PICASA.

Picasa...juga untuk edit dan share gambar secara privacy.
Berminat? KLIK logo di atas.
Ianya percuma!

Selain Picasa..di mana lagi korang back-up gambar?
Kongsikan...


p/s: oh..gambar-gambar saya pun masih ada yang belum dibuat back-up!


Sunday, 30 October 2011

Kaki Lipas


maaf jika gambar ni mengganggu selera anda!

Semalam...di pagi Sabtu nan indah,
Hari berlibur untuk saya dan suami.
Tapi...menjadi sedikit marah,
Bila hidangan pagi...disertakan secebis kaki!

Bukan di warung atau gerai,
Tapi di restoran makanan segera yang terkenal!

Syukur mata yang bercermin mata ini,
Mampu melihat cebisan kaki lipas tadi.
Teletak elok di pinggir bekas makanan,
Bersebelahan hidangan.

Dengan menahan rasa marah berbaur geli,
Saya tunjukkan kepada pelayan.
Minta ditukar hidangan baru dan bekas makanan baru,
Harap kesilapan jangan berulang!


Moral cerita:
Sila perhatikan hidangan yang korang pesan elok-elok, sebelum mula makan. Juga gunakan hak kita sebagai pelanggan untuk menukarnya! Tapi kalau mereka tipu konon-konon dah tukar? ah..itu urusan dia dengan Allah.


Thursday, 27 October 2011

Kini.."FULL TIME"

Pernah tak korang mengalami gejala berikut secara serentak:
  • sakit kepala
  • sakit leher
  • sakit bahu
Baru-baru ni saya mengalaminya selama beberapa hari. Sakit kepala dan sakit leher serta bahu sebelah kanan sahaja. Bila pergi jumpa doktor, dia pun buka buku dan terangkan mengenai ASTIGMATISME. Tak perlulah saya sertakan gambar, sebab saya pun tak pandai nak terangkan.

Menurut doktor tu, urat saraf mata ada berkaitan secara bersilang dengan urat di bahagian leher dan bahu. Sebab tu bila mata kiri saya yang mengalami tekanan, leher dan bahu kanan yang terasa sakit.

Apa itu Astigmatisme?
Astigmatisme menyebabkan penglihatan yang kabur sama ada bagi objek dekat atau jauh. Astigmatisme biasanya disebabkan oleh permukaan kornea yang tidak sekata. Semua sinar cahaya dari suatu objek tidak bertemu pada satu titik dalam mata, sebaliknya sesetengah sinar cahaya terfokus pada retina dan yang lain terfokus di hadapan atau di belakang retina.

Apa punca berlaku Astigmatisme?
Ia berlaku disebabkan tekanan berlebihan pada kornea, biasanya terjadi bila kerap menggunakan mata untuk melihat objek dekat dalam jangkamasa yang lama.

Tanda-tanda Astigmatisme
Sakit kepala, sakit mata, kabur bila melihat benda pada jarak dekat/jauh dan kadang-kala sakit pada bahagian leher dan bahu.

Cara Merawat
Paling biasa, pakai saja cermin mata.
                                        

Sebenarnya sebelum ni saya memang pakai cermin mata, tetapi secara 'Part-Time'...pakai sewaktu keluar malam atau bila rasa perlu je. Atas nasihat doktor, sekarang saya perlu pakai secara 'Full-Time'. Memang sungguh tak selesa rasanya! Inilah akibat mengadap skrin lama sangat..lepas ni kena rajin buat senaman mata. Korang suka berblog kan...kena ambil tahu pasal ni tau!

 *****************************************
Mencelah sikit..nak ucapkan terima kasih banyak-banyak kepada Woofer Storm dan Diana Rashid yang sudi membuat 'promosi percuma' untuk blog saya ni dalam entri kalian tadi. Malu tapi suka!


Lulusan Sekolah Agama...Jaminan Beragama?

Dulu...dan sehingga kini,
Ibubapa ghairah menghantar anak ke sekolah agama.
Biar anakku tahu beragama!

Di sekolah agama...
Anak dididik melabuhkan tudung.
Anak dididik berpakaian menutup aurat.
Anak dididik bersolat lima waktu.
Anak dididik mana halal dan haram.
Anak dididik tentang dosa dan pahala.
Anak dididik menjadi orang beragama!

Bila bersama ibubapa...
Anak dibiar bertudung mendedah dada.
Anak dibiar berpakaian seperti menjaja tubuh.
Anak dibiar bersolat mengikut sempat.
Anak dibiar menghalalkan yang haram.
Anak dibiar berbuat dosa.
Anak dibiar menjadi orang yang hilang agama!

Hasilnya...
Selepas lima tahun di sekolah agama,
Anak masih tidak tahu untuk beragama!

Sungguh...
Agama tidak mampu ditegakkan secara sebahagian,
Tapi menyeluruh dan pada setiap masa!


p/s: Sedih dan pedih...melihat 'gugurnya' agama pada mereka yang berlulusan sekolah agama (juga mereka yang berijazah bidang keagamaan). Semoga ada jalan pulang buat mereka...


Wednesday, 26 October 2011

Ben Ashaari Dan Rakan Blogger

BEN ASHAARI

Buat pertama kalinya saya nak join segmen oleh Ben Ashaari ni.
Kalau korang nak join sama kena cepat, sebab penyertaan sampai pukul 5ptg. hari ini.
Untuk join, sila KLIK banner di atas tu ya.

Dalam segmen ni, perlu jawab soalan berikut:

Ceritakan serba sedikit mengenai blog anda dan kenapa anda berblog?
Blog saya ni 'lahir' pada bulan Jun 2011 yang lalu, sempena bulan kelahiran saya.
Buat masa ini entri blog saya lebih kepada memberi info, pandangan peribadi dan juga peringatan untuk sesama Muslim.
Sesekali saya selitkan juga kisah peribadi untuk teman-teman blogger mengenali saya.

Pada mulanya saya berblog atas dorongan suami, sebab saya rajin bercakap mesti banyak idea untuk menulis blog! Tapi lepas tu memang rasa seronok sebab 'jumpa' ramai kawan baru.

Siapakah idola di dunia blog ini ?
Disebabkan saya buat blog tanpa mengenali dunia blogger, saya tidak mempunyai idola. 
Cuma saya banyak merujuk blog Diana Rashid dalam menghasilkan blog saya.

^__^

Tuesday, 25 October 2011

Kita Merasa Sedih...



Kita merasa sedih kerana tidak punya wajah menawan,
Ada orang sedang bersedih kerana wajahnya cacat!

Kita merasa sedih kerana tidak mampu membeli kasut berjenama,
Ada orang sedang bersedih kerana telah kehilangan kaki!

Kita merasa sedih kerana tiada pelajaran tinggi,
Ada orang sedang bersedih kerana tidak mampu bersekolah!

Kita merasa sedih kerana tidak berjawatan tinggi,
Ada orang sedang bersedih kerana tidak mendapat pekerjaan!

Kita merasa sedih kerana tinggal di rumah kecil,
Ada orang sedang bersedih kerana tiada tempat untuk berteduh!

Kita merasa sedih kerana masih tidak bertemu jodoh,
Ada orang sedang bersedih kerana jodohnya tidak seperti yang diharapkan!

Kita merasa sedih kerana tiada zuriat,
Ada orang sedang bersedih kerana langsung tidak pernah berkahwin!

Kita merasa sedih kerana ayah ibu telah pergi buat selamanya,
Ada orang sedang bersedih kerana tidak pernah mengenal siapa ayah ibunya!


Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Dan ingatlah tatkala Tuhanmu memaklumkan sesungguhnya jika kamu bersyukur pasti Kami akan menambah nikmat kepadamu dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku) maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih”
(Surah Ibrahim:Ayat 7)

Berhentilah bersedih, bersyukurlah dan nikmati hidupmu apa adanya.
Berusahalah menggapai impian, namun pada akhirnya Allah jua penentu segala!


Monday, 24 October 2011

Teman Tapi Mesra

"Teman Tapi Mesra"
Ni tajuk untuk widget Top Commentator yang baru saya pasang.
Memang betul..korang teman-teman yang saya tak kenal secara fizikal, tapi mesra kerana rajin komen.
Komen yang ditinggalkan tu merupakan medium komunikasi yang membuatkan kita rasa 'dekat'.

Sebab saya pasang widget ni:
  • sebagai blogger baru, banyak perkara ingin saya belajar. Untuk belajar kena mencuba!
  • sebagai menghargai teman-teman yang sudi tinggalkan komen di blog hingusan ni.
  • untuk memudahkan saya blogwalking pada masa-masa sibuk. Jika masa terhad, sesi lawatan blog juga terhad kepada "Teman Tapi Mesra".
Rasanya widget ni tak terlalu menambah berat untuk loading blog saya kan..?


p/s: idea pasang widget ni terhasil sebab beberapa hari ni saya agak sibuk..ada majlis pernikahan dan kenduri kahwin adik ipar di Klang, Selangor (rumah pengantin perempuan). Jadinya keluarga dan saudara-mara dari Johor, Perlis dan Pulau Pinang semua datang berkumpul di Selangor ni. Selepas ni barulah saya boleh ziarah dan membalas jejak korang ya!


Thursday, 20 October 2011

Leburkan Api Permusuhan



Leburkan api permusuhan,
Yang membuat hati rasa merusuh,
Yang membuat jiwa rasa tertekan,
Yang membuat dada terasa sesak.

Leburkan api permusuhan,
Hasilan hitamnya hati,
Pacuan jahatnya nafsu,
Tiupan bisikan syaitan,

Leburkan api permusuhan,
Hulurkan salam perdamaian,
Ukirkan senyuman terindah,
Berikan *hadiah tanda kemesraan.

Leburkan api permusuhan,
Kelak hatimu terasa tenang,
Jiwamu menjadi damai,
Hidupmu bertambah indah!

*hadiah- belanja makan, beri buah-buahan juga hadiah.


p/s: Biarpun kita tak bersalah, tapi kita menjadi bersalah jika meneruskan sebuah permusuhan. Mengalah bukan bererti kalah, merendahlah untuk meninggi!


Tuesday, 18 October 2011

Ada KWSP? Sila Baca...

Korang ada simpanan KWSP? Kerja sendiri pun boleh ada simpanan KWSP tau! Apapun info ni tetap penting jika ibu bapa atau pasangan korang ada simpanan KWSP. Sekarang ni KWSP sekali lagi buat kempen penamaan waris bagi pencarum KWSP. Sebab masih ramai pencarum yang belum buat penamaan waris mereka.

Kenapa perlu buat penamaan waris?
Supaya mudah waris kita buat tuntutan wang KWSP setelah kita meninggal.
Jika tak buat penamaan waris, ahli keluarga kita terpaksa melalui prosedur yang sukar dan memakan masa, sebelum dapat menuntut wang simpanan KWSP tadi. Waris perlu mendapatkan Surat Kuasa Mentadbir dan Sijil Probet / Perintah Pembahagian sebelum boleh buat tuntutan di KWSP.

Bagaimana nak buat penamaan waris?
Pergi ke cawangan KWSP terdekat dan isi Borang KWSP 4.
KLIK SINI jika nak print sendiri. Tapi borang ni percuma je pun.

Siapa boleh menjadi penama simpanan kita?
Siapa-siapa saja boleh jadi penama. Tapi letaklah ahli keluarga yang boleh dipercayai untuk uruskan wang kita tu. 

PERINGATAN..bagi pencarum Muslim, penama hanyalah sebagai wasi (pentadbir) wang tu saja. Tugas wasi cuma membuat tuntutan wang, lepas tu perlu membahagikan wang tadi mengikut hukum faraid atau mengikut persepakatan waris/ahli keluarga lain.

Bagi bukan Muslim, perlu diingat bahawa penamaan ini mengatasi wasiat bertulis. Begitu penting penamaan waris KWSP berbanding wasiat yang dah tertulis!

Bolehkah nak ubah penama?
Boleh, setiap kali isi borang baru maka penamaan yang terdahulu terbatal.
Memang perlu ubah penama, terutamanya jika kita dah berubah status. Dah kahwin letaklah nama pasangan pulak. Dan kalau penama semua meninggal, juga kita perlu buat penamaan yang baru.

*********************************
Selain KWSP, simpanan Tabung Haji juga perlu dibuat penamaan. Pengalaman semasa menguruskan harta peninggalan arwah bapa saya beberapa tahun lalu menyedarkan saya betapa pentingnya penamaan waris. Mujur bapa saya bertindak bijak dengan membuat penamaan, jadi memang mudah untuk membuat tuntutan di Tabung Haji (bapa saya takde KWSP, kerja sendiri). Kalau tak, memang perlu kepada Surat Kuasa Mentadbir dan Sijil Probet yang memakan masa untuk kita mendapatkannya.


Sunday, 16 October 2011

Blog Kena 'Removed'!

Salam hujung minggu semua!
Pagi Ahad ni saya cuak seketika.
Lepas Subuh ada buka blog sekejap, semuanya seperti biasa.
Tapi tadi pukul 11pagi bila buka blog...
"Blog not found...has been removed."

Tak berkelip mata pandang skrin tu.
Biar betul? Oh, tidak!!!
Saya buat beberapa kali.
Paparan skrin tetap sama.

Tindakan pertama, klik pada link yang ada kat skrin tadi.
Ikut arahan je lah.
Sambil tu mula buat carian megenai hal ni di Google.
Antara sebab kena 'removed'...blogger melanggar syarat & terma.
Boleh jadi juga tiada sebab, cuma 'demam' kejap.
Lepas setengah hari kembali macam biasa.

Dalam pada cuak tu, saya terus membaca entri-entri hasil carian Google tadi.
Tak sampai sejam, suami maklumkan blog saya dah kembali macam biasa!
Alhamdulillah..lega amat!
Lagi tadi rupanya suami tak henti cuba buka blog saya menerusi laptopnya.

Ada diantara korang yang pernah terkena macam ni?

Friday, 14 October 2011

Duhai Lelaki, Tahukah Kamu?


Saya sering membaca entri-entri blogger lelaki betapa mereka 'terganggu' dengan perempuan-perempuan yang tidak menutup aurat. Saya akui, memang ramai perempuan begitu. Dan saya turut rasa malu dengan penampilan mereka. Tapi saya juga turut merasa kasihan, kerana tiada yang menegur dan membimbing mereka.

DUHAI LELAKI, TAHUKAH KAMU?
Membimbing perempuan untuk menutup aurat adalah sebahagian daripada tugas anda!

Firman Allah, yang bermaksud;
 "Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum wanita, kerana Allah telah melebihkan orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang perempuan, dan juga kerana orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian daripada harta mereka.
(Surah an-Nisa': Ayat 34)

SUAMI bertanggungjawab terhadap aurat isterinya.
BAPA bertanggungjawab terhadap aurat anak perempuannya.
ABANG/ADIK LELAKI bertanggungjawab terhadap aurat kakak/adik perempuannya.
Jika anda LELAKI, jom jalankan tanggungjawab anda!
Didiklah secara baik, berlemah-lembut dan tanpa putus asa.

Ingatlah, anak isteri adalah amanah daripada Allah.
Langkah anda ke syurga boleh terhenti kerana dosa mereka!

Untuk si isteri, janganlah hantar suamimu ke neraka.
Untuk si anak, janganlah hantar bapamu ke neraka.
Hanya kerana kita tidak menutup aurat.
Perempuan, tutuplah auratmu!

Jika semua LELAKI menjalankan tanggungjawab ini, saya yakin berkuranglah perempuan-perempuan yang tidak menutup aurat. DUHAI LELAKI, BERTANGGUNGJAWABKAH ANDA???

p/s: Kepada lelaki yang belum berkahwin tu, boleh je tegur dan bimbing bakal isteri. Tapi kalau  si dia tak mau dibimbing...korang kenalah fikir berkali-kali ya.


Thursday, 13 October 2011

Baca...Untuk Tulis


Rahsia yang bukan lagi rahsia...

Untuk menghasilkan penulisan yang baik,
Kita perlu banyak membaca.
Bacalah apa saja asal ia membuka mata fikir kita.

Untuk menghasilkan gaya penulisan yang menarik,
Kita masih perlu membaca.
Bacalah apa saja asal ia tersusun bahasanya.

Penulis novel, pengarang buku, professor,
Semuanya masih membaca,
Untuk menulis!

p/s: Walaupun sekadar tulis cerita peribadi, gaya penulisan tetap kena menarik!


Wednesday, 12 October 2011

Jajan Dan Epok-Epok

Kalau tak keluar dari Johor, saya memang tak tau yang jajan dan epok-epok tu tidak dituturkan oleh orang negeri lain. Sehinggalah saya dihantar bersekolah asrama di Negeri Sembilan semasa tingkatan satu.

Di koperasi, saya tunjuk nak beli jajan...kakak yang menjual buat muka pelik.

Di kantin sekolah, saya cakap "makcik, epok-epok satu". Makcik tu tanya lagi.."nak apa..?"

Akhirnya saya faham, saya tak bercakap 'bahasa' mereka! Bermulalah episod saya kena biasakan lidah bercakap 'bahasa' luar Johor.

Jajan = Makanan ringan / keropok
Epok-epok = Karipap

Sekarang, setelah sekian lama tak menetap di Johor..janggal pulak untuk menyebut 'jajan'. Tapi 'epok-epok' masih selalu tersasul bila menyebutnya. Mungkin sebab saya penggemar epok-epok....opss Karipap!


Tuesday, 11 October 2011

Maksiat SMS

Untuk renungan mereka yang sedang dan ingin bercinta, membuai rasa...

"Kami jarang berjumpa. Cuma kerap SMS, kadang-kadang ada la telefon."
Berapa kerap? berpuluh SMS sehari bukan?..

"Kami takde cakap yang tak elok. Bual-bual biasa je..tanya makan, dah solat ke.."
Perbualan memang biasa, gelodak rasa & nafsu siapa yang tahu?..Ingatlah sesungguhnya syaitan itu licik dalam menipu daya manusia!

"Ala..cuma SMS. Bukan jumpa berdua-duaan pun! Kat mana salahnya?"
Apa-apa perbuatan yang mengarah zina adalah salah.
"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang buruk (yang membawa kerosakan)"
(maksud Surah al-Isra', ayat 32)

"Macamla dia tak pernah remaja..tak pernah bercinta!"
Saya pernah remaja, juga pernah bercinta. Rasa cinta tidak berdosa, tetapi cara bercinta memungkinkan hadirnya dosa. Kesilapan bukan untuk diulang, tetapi disesali dan dijadikan sempadan!

"Dah tu, jumpa tak boleh..SMS pun tak boleh. Macamana nak bercinta?"
Boleh jumpa, dengan kehadiran orang ketiga. Boleh SMS pada perkara yang perlu dan sekadarnya saja. Bercintalah habis-habisan setelah ada ikatan yang sah. Bersabarlah menanti detik itu!

"Lelaki dan perempuan yang baik bukanlah yang memakai kosmetik Islam pada SMS berbau Islam atau pakaian berwarna Islam, tetapi pada kekuatan menghalang diri dari saling mengotorkan pasangan dengan maksiat."
(petikan artikel Sepinggan Dosa Berulam Pahala oleh Ustaz Hasrizal Abdul Jamil)


p/s: Sebagai manusia, saya juga tak terlepas daripada melakukan kesilapan. Mohonlah keampunan dari-Nya, perbetulkanlah kesilapan semalam. Semoga hari ini dan seterusnya, kita melangkah penuh waspada.


Monday, 10 October 2011

Permata Buat Isteri

Kumpulan Kopratasa

Telah kusiapkan
Satu daerah paling sunyi
Dalam hati ini untuk kau isi
Sebagai isteri

Untuk kau penuhi dengan kemuliaan
Seorang wanita
Untuk kau beri erti dengan kelembutan
Untuk kau hargai dengan kasih sayang

Ku ingin kau jadi wanita mulia
Yang tahu harga budi dan hati
Seorang lelaki bernama suami

Kerana engkau isteri...
Ku ingin kau mengerti
Bahawa hidup ini tak semudah yang kita janjikan
Yang kita janjikan
Kerana kau isteriku

 
Tajuk Lagu/Puisi: Permata Buat Isteri
Lirik/Puisi: Abdul Aziz HM
Nyanyian: Kumpulan Kopratasa

(sumber: liriklagumuzika.com)

**********************************************
Antara puisi yang telah diangkat menjadi lagu. Cukup puitis dan dinyanyikan dengan baik oleh Kumpulan Kopratasa. Ringkas namun penuh makna!

p/s: Saya memang minat lagu-lagu puisi Kopratasa. Antara lain yang best..Masihkah Kau Ingat.


Sunday, 9 October 2011

JOIN KREW Ini Kisah Tia

Ini Kisah Tia

Kali ni saya nak join bloglist Ini Kisah Tia.
Sesiapa nak join sama, sila klik header di atas ya!


Friday, 7 October 2011

Rezeki Nuffnang Bawa Ke Neraka?



BENAR!!! Jika kita melanggar perjanjian yang termeterai.
Seperti meminta orang lain klik iklan di blog kita.
Mungkin ada yang tak sempat baca DON'T yang ada di web Nuffnang ni...


Sesungguhnya sebarang penipuan dengan sengaja dalam apa jua perkara adalah haram lagi berdosa.
Apatah lagi jika ia melibatkan sumber rezeki untuk diri dan keluarga.

"Sesungguhnya daging yang dibesarkan dengan perkara yang haram, maka nerakalah yang lebih utama untuknya."
(Maksud hadis, Riwayat at-Tabrani)

**********************

Peringatan untuk diri sendiri jua, yang sering lalai dan lupa. Saya baru belajar ber'Nuffnang', jika ada kesilapan dalam entri ini harap betulkan ya. Dan kepada yang meminta saya klik iklan anda, saya mohon maaf! Klik hanya jika benar berminat.


Thursday, 6 October 2011

Perempuan Kasanova

Menurut Kamus Dewan Edisi Empat, KASANOVA ditakrifkan sebagai LELAKI yang suka memikat dan memperdaya perempuan. Tapi realitinya ada juga kasanova perempuan! Jika di Facebook, boleh jadi juga lelaki yang menyamar jadi perempuan kan? Topik ni baru saja dibincangkan oleh Kamal Afendi, Penganalis Jenayah dalam satu slot di MHI TV3. Menurut beliau, ramai lelaki yang sudah terperangkap tetapi malu membuat aduan. 'Saya nak buat aduan..saya dah ditipu oleh sorang perempuan ni..' Anda sanggup mengadu begitu?

Modus operandinya mudah, cari lelaki-lelaki berwang (berdasarkan 'Info' di Fb). Kemudian 'Request' untuk jadi kawan. Setelah diterima, taktik bermula dengan sering memberikan komen-komen yang penuh puji-pujian terhadap lelaki tadi. Disusuli dengan 'Messages' yang berbaur peribadi dan mampu memancing jiwa lelaki. Bila kemesraan wujud, maka penipuan wang pun bermula setelah bersua muka atau tanpa perlu bersua muka. Alasan biasa- tinggal jauh jika nak berjumpa perlu beri wang belanja, ibu sakit perlu kos rawatan tinggi dan bermacam lagi. Akhirnya setelah diberi wang atau telah banyak berhabis wang, si perempuan kasanova menghilangkan diri!

Ia telah pun berlaku kepada seseorang. Mujur sempat diselamatkan sebelum wang mengalir keluar. Kepada yang lain, berhati-hatilah bila menerima huluran persahabatan daripada mereka yang tidak kita kenali di Fb. Dan jangan percaya kata-kata manis mereka, bertindak jika perlu!


Wednesday, 5 October 2011

Biar Gambar Bercerita #1




p/s: Kalau 'Wordless Wednesday' tu setiap hari Rabu je kan, tapi 'Biar Gambar Bercerita' ni tak kisah hari apa. Asalkan saya ada gambar yang sesuai. Semua gambar adalah daripada koleksi peribadi saya sendiri..yang suka ambil gambar biarpun tiada kamera DSLR.

Tuesday, 4 October 2011

Mungkinkah Kerana Dia?

Sedari dulu saya tak suka makan udang.
Sebab rasanya tak kena ditekak saya.
Rupa parasnya selepas dibuang kulit macam ulat..maaf kepada penggemar udang!
Pernah cuba makan, tapi mesti terluah semula.

Udang yang pernah saya makan tapi tak luah semula..
Udang bersalut tepung di Pizza Hut!
Mungkin sebab tepung dah menghilangkan rupa ulat.
Huh..! Udang tempat mahal je dia makan..komen suami saya!

Nak dijadikan pasal,
Dengan niat nak beri saya rasa udang galah segar,
Suami saya membeli 2 kilo udang galah semasa outstation di Pahang.
Banyak macam keluarga besar sangat..padahal berdua je!

Jadinya hari Ahad lepas saya pun buatlah Udang Galah Bakar.
Siap ambil resepi dari My Resipi lagi.
Saya bakar lebih sepuluh ekor yang besar-besar.
Saya boleh pulak makan lebih banyak dari suami..

Sebahagian dari mereka...
Tengahari makan...
Menjelang senja muka saya telah berubah!
Bengkak, kulit muka keras, merah dan terasa panas.
Nasib baik tak terasa gatal.

Hari ini setelah dua hari, bengkak dah tiada.
Tapi kulit muka mengelupas, mungkin sebab kesan panas tadi.
Nasib baik lagi..saya tidak keluar bekerja.
Kalau tak, malu nak keluar dengan muka bengkak dan merah tu.

Maaf udang, selepas ini anda terus terkeluar dari senarai makanan saya!

Sunday, 2 October 2011

Bagaimana...?

(entri ini adalah sambungan entri Kenapa Aku...?)

Seringkali bila berdepan dengan masalah hidup (yang sebenarnya adalah ujian dan cabaran buat kita), kita akan tertanya-tanya...

Bagaimana kan ku hadapi ujian ini?
Maka, inilah jawapan daripada Allah. Firman Allah, maksudnya;
"Wahai orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan kebajikan),  dan kuatkan kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh (dimedan perjuangan), dan bersedialah serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya kamu berjaya (mencapai kemenangan)."
(Surah Ali-Imran: 200)

Firman Allah lagi, maksudnya;
"Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk."
(Surah al-Baqarah: 45)

Apa yang aku boleh dapat daripada semua ini?
Kesabaran kita ada ganjarannya, firman Allah, maksudnya;
"Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang mukmin diri dan harta mereka dengan memberikan (bayaran) syurga untuk mereka...".
(Surah at-Taubah: 111)

(Sumber: Majalah Solusi isu perdana)


p/s: Setiap kali kita menghadapi masalah, baca dan ingatlah firman Allah ini sebagai panduan diri ya!