Thursday, 30 May 2024

29 Biji Semuanya

Cerita hari Ahad lalu, kami tuai buah mangga harumanis buat kali ketiga. Sepatutnya dah boleh tuai berkali-kali buah yang matang (sesuai dituai), tetapi Encik Suami agak sibuk dengan kerjanya sampai tak ada masa nak melayan pokok di belakang rumah.

Saya pulak tak rajin nak buat sebab perlu berperang dengan kumpulan kerengga yang berkampung di pokok mangga harumanis. Jadi tunggu sajalah bila Encik Suami ada kelapangan untuk menuai buah harumanis.

Tak mudah kerjanya, Encik Suami perlu menggunakan tangga bagi menuai buah yang berada pada kedudukan tinggi. Dalam masa yang sama, perlu berperang dengan kerengga dan juga nyamuk yang banyak. Sekarang ni di sini kerap hujan, rumput cepat meninggi dan banyak nyamuk.

Buah mangga harumanis kami ni cuma sedikit yang berbungkus di pokok, yang lainnya dibiar begitu saja sebab tak mampu nak berlawan dengan tentera kerengga. Secara teorinya, pokok yang banyak kerengga akan kurang serangan serangga pada buah. Cuma kesannya apabila tak dibalut, rupa luaran buah jadi tak elok. Tapi tak mengapa sebab bukan untuk dijual. Lepas habis buah nanti bolehlah dipangkas dahan pokok supaya rendang, mudahlah nak bungkus dan tuai buahnya pada musim akan datang.

Punyalah ‘rajin’ menuai, sampaikan buah dah termasak di pokok 😆. Buahnya berbau harum menandakan ia dah sesuai di makan. Yelah memang dah kuning sangat warna kulitnya. Isinya elok tak rosak, rasanya sedap manis tetapi tahap masak isi buah tidak sekata. Ada bahagian yang sedang elok masak dan ada bahagian yang lembik. Sebab itulah, buah mangga harumanis perlu dituai ketika matang dan kemudian diperam supaya isinya masak sekata. Barulah sedap dimakan.

Hasil tuaian yang elok kali ini - 29 biji semuanya. Yang lain dibuang kerana buah sudah rosak dan ada juga yang gugur ke tanah sebelum buah matang. Ada juga yang tak dapat dituai kerana kedudukannya sukar dicapai, apatah lagi dengan ancaman kerengga.

Ini antara buah mangga harumanis yang agak cantik rupa luarannya. Kalau kita bungkus buah mangga harumanis dengan menggunakan pembalut warna coklat (ada lapisan karbon), kulit buah akan jadi warna kuning/hijau muda begini. Tapi saya pun tak pasti buah dalam foto ini hasil yang dibalut atau tidak.

Close-up hasil tuaian kali ini. Ada penampakan kerengga di situ 😄

Setakat ini, kira-kira 60 biji buah mangga harumanis sudah berhasil dituai dari dua batang pokok. Tetapi antara dua batang pokok mangga harumanis tersebut, hanya sebatang pokok sahaja yang banyak menghasilkan buah manakala sebatang lagi sekadar beberapa biji buah mangga yang terhasil. Begitulah, bersebelahan tetapi hasilnya jauh berbeza.

Alhamdulillah atas rezeki kurniaan-Nya.






.

Tuesday, 28 May 2024

Laksa Sarawak, Tumpik dan Linut di Dapur Melanau, Kuching

[Catatan Trip ke Kuching - Hari Pertama | Jumaat, 17 Mei 2024]

Menyambung catatan pada hari pertama kami berada di Kuching, Sarawak. Petang tersebut kami ke restoran Dapur Melanau bagi mencuba sendiri hidangan tradisional masyarakat Melanau. Makanan tradisi merupakan identiti budaya dan warisan masyarakat tempatan. Maka supaya lebih mengenali budaya tempatan, saya masukkan aktiviti makan-makan di Dapur Melanau dalam itinerari.

Kaum Melanau ialah kaum Bumiputera yang keempat terbesar di Sarawak selepas kaum Iban, Melayu, dan Bidayuh. Secara umumnya, masyarakat Melanau mempunyai persamaan dengan masyarakat Melayu, sama ada dari segi kepercayaan, kebudayaan, mahupun adat resam. Namun begitu, masyarakat Melanau tetap mempunyai budaya dan adat resam mereka yang tersendiri. - buku Masyarakat Melanau di Sarawak, Jeniri Amir.

Restoran Dapur Melanau terletak di bangunan dengan deretan lot kedai yang nampaknya masih baru. Sebaik melangkah masuk, pandangan mata saya terpesona dengan susun atur dan dekorasi dalaman restoran.

Terdapat dua ruangan bagi pelanggan menikmati hidangan, kami menuju ke ruangan kedua. Pelanggan tidak ramai ketika ini, jadi mudahlah kami memilih meja di sudut yang selesa bagi kami.

Dapur Melanau
Foto zoom-out dirakam dari tempat duduk saya di ruangan kedua.

Dekorasi langsir begini terasa seperti kita makan di rumah, lebih santai. Di bahagian luar (di sebalik jendela kaca) juga terdapat set kerusi meja bagi pelanggan yang memilih untuk makan di luar.

Dapur Melanau
Klik foto untuk paparan lebih jelas.
Sebahagian isi buku menu Dapur Melanau. Kami membelek buku menu dan berbincang makanan apa yang patut dipesan. Walaupun teringin nak mencuba itu ini, kami akhirnya memutuskan memesan tiga jenis makanan sahaja.

Sebelum membuat pesanan, kami sudah pun bertanya lanjut kepada pelayan restoran berkenaan makanan tersebut. Tetapi lupa pula saya nak tanya apa maksud perkataan ‘anyang’ pada buku menu. Mungkin blogger Kakmim dan Carneyz boleh bantu beri jawapan.

Ketika membelek buku menu ini juga, kami perasan beberapa jenis minuman ditandakan sebagai ‘not available’ merupakan produk Nestle yang diboikot. Terasa bangga melihat keteguhan pendirian pengusaha bisnes menyahut seruan boikot sebagai tanda protes ke atas negara haram Israel.

Minuman pilihan kami - limau mantak panas RM3 dan 3 layer (special) RM4.50. Limau mantak maksudnya limau kasturi.

Dapur Melanau
Hidangan pilihan kami - laksa Sarawak, tumpik dan linut.

Laksa Sarawak
Laksa Sarawak (special) RM13. Ini bukanlah kali pertama saya makan laksa Sarawak, makanya laksa ini tidaklah terasa asing pada deria rasa saya.

Tumpik
Tumpik (biasa) RM7. Tumpik dihasilkan dengan menggunakan tepung sagu dan kelapa parut. Tekstur luarnya garing dan dalamnya lembut. Tumpik dimakan bersama gula apong bagi menambah rasa. Pertama kali mencuba, terus saya suka dengan rasa dan teksturnya.

Linut
Hidangan paling unik - linut. Linut dihasilkan dengan menggunakan tepung sagu. Ianya merupakan sajian utama selepas nasi. Teksturnya kental dan jernih.

Dalam buku menu ada pilihan nak tekstur cair atau pekat. Kami pilih tekstur sederhana setelah bertanyakan pendapat pelayan restoran. Tapi nampaknya lama kelamaan tekstur jadi bertambah pekat.

Set linut
Set linut RM15 - linut berserta sambal belacan, sayur keladi dan kerabu asam. Kalau makan linut saja, ia tidak mempunyai rasa - tawar. Makanya linut sedap dimakan bersama lauk lain. Cara makan - cedok linut ke dalam mangkuk kecil yang disediakan, kemudian ambil lauk pilihan untuk dimakan bersama linut.

Alhamdulillah semua makanan yang dipesan memenuhi selera kami. Habis licin semuanya kecuali linut berbaki sedikit saja lagi, kami dah kekenyangan tak mampu nak habiskan linut.

Kami rasa puas hati makan di Dapur Melanau. Tempat makan yang cukup selesa, layanan mesra, tak perlu menunggu lama hidangan yang dipesan dan paling penting rasa masakan yang menambat selera. Kalau kalian berkunjung ke Kuching, bolehlah mencuba sendiri hidangan di sini ya.


***************************************

DAPUR MELANAU
Lot 14171,
Metrocity, Petra Jaya,
93050 Kuching,
Sarawak.

Google Maps | Dapur Melanau

Waktu operasi :
Selasa - Ahad | 8.30 pagi - 11 malam
Isnin | Tutup






.

Monday, 27 May 2024

Sarang Burung di Pokok Limau Kasturi

Dalam entri Harum Mewangi, saya ada ceritakan berkenaan bunga pokok limau kasturi yang berbau harum. Ketika itu, saya perasan ada seekor burung terbang keluar dari celahan pokok limau kasturi setiap kali saya menghampiri pokok tersebut. Awalnya saya fikir, itu cuma burung yang singgah berehat. Tapi setelah beberapa kali, saya mula terfikir mungkin ada sarang burung di pokok tersebut.

Setelah diteliti, ternyata ada sarang burung di bahagian tengah pokok. Wah 😍

11 Mei 2024
Sarang burung berada di kedudukan tengah pokok. Sukar untuk saya lihat dengan jelas sarang burung tersebut sebab pokok ini agak tinggi dan merimbun. Bagi melihat isi sarang burung, saya hulurkan tangan dan merakam foto tanpa dapat melihat secara langsung.

Sarang burung di tengah pokok limau
Begini rupa sarang burung di bahagian tengah pokok limau kasturi. Sarangnya kecil dan terdapat dua biji telur yang juga bersaiz kecil. Seakan rupa telur puyuh tetapi warnanya berbeza.

Beberapa hari kemudian, barulah saya berjaya merakam foto ibu burung. Kali ini ibu burung terbang lari ke pokok bersebelahan sahaja, iaitu pokok limau bali sunkist.

Hasil foto zoom-in. Entah apa nama burung ini, ada yang tahu?

Beberapa hari lalu, barulah saya teringat nak menjenguk kembali sarang burung. Saya dapati tiada lagi ibu burung terbang keluar dari pokok ini. Bila saya perhatikan, keadaan sarang burung sudah tidak sempurna. Macam dah tercarik dan boleh nampak sarang tersebut sudah pun kosong. Yelah, saya tinggalkan rumah agak lama juga dan lepas balik pun tak teringat pasal sarang burung ni.

Semoga anak-anak burung selamat membesar dan menambah populasi burung di sini. Saya rasa seronok hidup di kelilingi pelbagai jenis burung. Satu kebahagiaan dapat memerhatikan rupa dan warna burung yang berbeza dan mendengar pelbagai jenis bunyi burung. Begitu kuasa Allah Yang Maha Hebat menciptakan kepelbagaian hidupan dengan keunikan tersendiri.






.

Friday, 24 May 2024

Pas Lawatan Sosial, Beg Diselongkar!, Kereta Sewa dan Dormani Hotel

[Catatan Trip ke Kuching - Hari Pertama | Jumaat, 17 Mei 2024]

Hari Jumaat 17 Mei lalu merupakan cuti umum bagi negeri Perlis sempena Hari Keputeraan Raja Perlis. Bersambung pula cuti hujung minggu hari Sabtu dan Ahad serta ditambah dengan cuti tahunan 1 hari, maka dapatlah saya dan Encik Suami merealisasikan trip ke Kuching selama 4 hari 3 malam.

Penerbangan menaiki pesawat Firefly dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching lewat kira-kira 50 minit dari jadual asal. Entah apa sebabnya saya pun tak pasti.

Di dalam pesawat, saya duduk di kerusi 7F - tepi tingkap. Trip kali ini, Encik Suami beli tiket penerbangan dengan pakej servis - one time flight change, baggage 20 kg & seat selection. Menurut Encik Suami yang menguruskan hal pembelian tiket, total harga tiket berserta servis begini lebih rendah berbanding jika kami beli tiket tambang asas. 

Pemandangan udara bandar raya Kuching, Sarawak
Pemandangan indah bandar raya Kuching dari jendela pesawat.
Alhamdulillah penerbangan kami selama kira-kira 1 jam 40 minit lancar dan selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching sekitar pukul 12.40 tengah hari.


PAS LAWATAN SOSIAL
Satu hal yang unik, iaitu apabila kita rakyat Malaysia berasal dari Semenanjung Malaysia mengunjungi Malaysia Timur (Sabah dan Sarawak) kita perlu menggunakan dokumen perjalanan. Kita boleh memilih untuk menggunakan pasport atau boleh mendapatkan Pas Lawatan Sosial sebaik tiba di Sarawak.

Pas lawatan sosial Sarawak
Pas Lawatan Sosial saya, entah bagaimana boleh tertera alamat rumah sewaktu menetap di Kajang.
Kami memilih untuk tidak menggunakan pasport. Sebaik tiba di lapangan terbang, saya cuma perlu hulurkan kad pengenalan di kaunter Balai Ketibaan. Sehelai kertas iaitu Pas Lawatan Sosial diberi untuk kita masuk dan berada di Sarawak selama 90 hari. Kertas ni kena simpan elok-elok tau sebab ia perlu dikembalikan semasa balik nanti.


BEG DISELONGKAR!
Biasanya kami bawa semua beg naik kabin (hand carry baggage), tetapi kali ini kami perlu bawa lebih kelengkapan sebab nak melakukan aktiviti eksplorasi hutan. Jadinya, ada dua buah beg masuk kargo (check-in baggage) - sebuah beg tarik/troli dan sebuah backpack. Semasa check-in, timbangan berat beg kami 8 kg dan 10 kg.

Sewaktu mengambil beg-beg tersebut di lapangan terbang Kuching, saya perasan ada semacam gumpalan tisu di zip backpack. Saya rasa ada sesuatu tak kena. Saya terus minta Encik Suami buka beg tersebut di situ juga. Apabila dibuka, jelas kelihatan sebuah beg kecil kepunyaan saya sudah terbuka luas zipnya. Dalamnya berisi toner, moisturizer & sunscreen dan barang kecil lain. Tiada barang yang hilang dalam beg kecil tersebut. Gumpalan tisu tadi pula merupakan tisu yang terkeluar dari pek tisu yang saya bawa dalam beg.

Selaku orang yang menyusun dan mengemas barang dalam beg, saya tahu apa isi setiap beg. Saya mula memeriksa setiap barang dalam beg tersebut dengan hati berdebar. Hasil pemeriksaan mendapati sebuah lampu suluh jenama Olight milik Encik Suami telah dicuri!

Backpack kami, beg kecil saya yang dah terbuka dan alat penimbang di kaunter aduan/tuntutan.
Berhampiran tempat mengambil beg, terdapat kaunter aduan/tuntutan setiap syarikat penerbangan. Kami ke kaunter Firefly bagi membuat laporan. Seorang staf wanita dan seorang lelaki wakil bahagian keselamatan lapangan terbang turut hadir sebagai saksi. Backpack kami ditimbang, terbukti ada barang yang hilang kerana berat berkurang 550 gram daripada timbangan semasa check-in.

Kami diminta isi borang dan menjawab beberapa pertanyaan. Kami juga diminta mengemukakan tuntutan melalui e-mel berserta salinan resit pembelian barang yang hilang. Bab resit agak sukar juga untuk dicari kembali kerana pembelian berlaku beberapa tahun lalu.

Menurut staf wanita tadi, dia ada bersama di tempat beg tiba. Mungkin maksudnya, beliau tak nampak sebarang aktiviti mencurigakan ke atas beg penumpang. Kami pula bersependapat, perbuatan ini berkemungkinan besar dilakukan oleh pengendali bagasi di lapangan terbang Pulau Pinang kerana kelewatan penerbangan selama 50 minit memberi cukup masa untuk si pencuri.

Pengajaran dan Peringatan
Ianya suatu pengajaran dan peringatan buat kami, terutamanya saya selaku orang yang menguruskan hal beg. Semua check-in baggage wajib ada perlindungan - berkunci atau balut plastik (shrink wrap). Memang itu tak menjamin 100% sebab kalau orang nak mencuri dia tetap ada banyak cara untuk buka beg kita. Tetapi sekurang-kurangnya kita dah berusaha. Dalam kes saya ni, hanya beg tarik yang berkunci dan bersarung khas. Backpack sepatutnya kami nak balut plastik dan saya dah siap bawa shrink wrap saiz kecil, tetapi bila tiba di lapangan terbang terlupa pula terus menuju ke kaunter check-in.

Satu lagi, jangan sesekali simpan barang yang kita rasa sangat berharga di dalam check-in baggage. Sekali lagi dalam kes saya, ini merupakan kesilapan saya sebab letak lampu suluh yang harganya agak mahal di dalam check-in baggage yang tidak berkunci/dibalut plastik. Sebab masa letak tu saya dah rancang nak balut beg, jadinya insyaAllah selamat.

InsyaAllah selepas ini kami akan lebih berhati-hati. Pencuri akan sentiasa mencari peluang, jadi kita kena minimakan peluang mereka mencuri. Carian info mendapati, pencuri bukan saja mencuri barang berharga. Ada juga yang kehilangan sekadar roti Gardenia tetapi beg rosak kerana cubaan buka secara kasar.


KERETA SEWA
Hasil carian di internet, kami memilih untuk menyewa kereta dari syarikat Ikram Transports. Sangat mudah berurusan, tempahan boleh dibuat melalui laman web ikramtransports.com. Masukkan saja jenis kereta dan tempoh masa sewaan, akan terpapar amaun yang perlu dibayar. Pihak syarikat akan menghubungi kita melalui WhatsApp bagi urusan selanjutnya.

Kami menyewa sebuah kereta Perodua Axia (A) bermula pukul 1 petang 17 Mei 2024 sehingga pukul 4 petang 20 Mei 2024 dengan bayaran RM345. Kadar sewa harian sebanyak RM110/hari, jika sewa minima 3 hari dapat diskaun jadi RM100/hari. Vehicle security deposit (refundable) dikenakan sebanyak RM100.

Kereta sewa kami.
Ambil dan pulang kereta di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching. Alhamdulillah dapat kereta dalam keadaan baik tanpa sebarang masalah, juga selesa bersih luar dalam. Kalau kalian nak sewa kereta di Kuching, bolehlah cuba menyewa dengan Ikram Transports ni ya 👍🏽


DORMANI HOTEL
Penginapan kami pada hari pertama - Dormani Hotel yang terletak di Kampung Masjid, Kuching. Jaraknya dari lapangan terbang kira-kira 10 km. Hotel ini mempunyai bangunannya sendiri tetapi dengan ruang parkir yang terhad. Ketika kami tiba, ada acara sedang berlangsung dan tiada ruang parkir kosong. Terpaksalah kami parkir di luar kawasan hotel.

Dormani Hotel Kuching
Ambil bilik dengan harga cuma RM62.86, tak bolehlah nak berharap lebih. Ruang bilik dan bilik airnya kecil. Mujur masih muat untuk solat seorang diri, tapi tak dapatlah nak berjemaah. Untung juga masih ada tingkap, tidaklah rasa terperangkap di ruang kecil. Dalam bilik ini juga disediakan sejadah dan naskhah surah Yasin (dalam beg plastik warna merah). Pertama kali saya menginap di hotel ada disediakan naskhah surah Yasin.

Hotel ini juga menyediakan sarapan, tapi kami cuma ambil bilik tanpa sarapan. Berhampiran hotel juga terdapat sebuah masjid dan kedai makan. Boleh berjalan kaki saja kalau nak ke masjid dan kedai makan. Secara keseluruhannya, hotel ini memuaskan tetapi kalau nak selesa kena ambil bilik lebih besar.


Catatan hari pertama bersambung pada entri akan datang - mencuba hidangan tradisional masyarakat Melanau di Dapur Melanau.






.

Wednesday, 22 May 2024

Trip 4H3M Ke Kuching, Sarawak

 
Trip 4H3M Ke Kuching, Sarawak

Ini merupakan kunjungan kali kedua saya ke Kuching, Sarawak. Sembilan tahun lalu iaitu pada Mei 2015, saya ke Kuching bagi memenuhi hasrat emak melawat adik saya yang ketika itu menetap di Betong.

Kunjungan kali ini pula bertujuan menikmati khazanah alam semula jadi dan budaya tempatan. Terlalu banyak tempat menarik untuk dikunjungi, tetapi saya harus memilih tempat tertentu sahaja untuk dimasukkan dalam itinerari atas faktor kekangan masa dan tenaga.

Saya catatkan ringkasan dan kos trip ke Kuching untuk tujuan rekod dan rujukan sendiri pada masa akan datang.

Dalam trip kali ini juga telah berlaku beberapa hal yang mengganggu kelancaran perjalanan dan rancangan yang telah dibuat. Apa pun, setiap yang berlaku pastinya ada hikmah sama ada kita sedar atau tidak. Yang pasti, semuanya menambah pengalaman hidup.


*************************************************

RINGKASAN TRIP KE KUCHING, SARAWAK
17 - 20 MEI 2024 | 4 HARI 3 MALAM

Hari Pertama | Jumaat 17 Mei 2024
  • Penerbangan menaiki pesawat Firefly dari Pulau Pinang ke Kuching mengalami kelewatan penerbangan (flight delay), sepatutnya berlepas pada pukul 10.10 pagi tetapi pesawat berlepas pada pukul 11 pagi.
  • 12.40 tengah hari - tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA).
  • Sebuah beg (check-in baggage) didapati telah diselongkar dan ada satu barang hilang. Laporan dibuat di kaunter Firefly.
  • Ambil kereta sewa di luar balai pelepasan dan menuju ke hotel penginapan - Dormani Hotel.
  • Selesai urusan daftar masuk di Dormani Hotel, kami ke restoran Dapur Melanau bagi mencuba hidangan tradisional masyarakat Melanau.
  • Balik ke hotel penginapan untuk berehat dan solat.
  • 6.30 petang - keluar menikmati suasana malam bandaraya Kuching.
  • Ziarah dan solat Maghrib di Masjid India @ Masjid Terapung Kuching.
  • Jalan-jalan di sekitar Kuching Waterfront - menikmati pemandangan malam Sungai Sarawak dari Jambatan Darul Hana dan menyaksikan pertunjukan air pancut berirama (Darul Hana Musical Fountain).
  • Makan malam di RJ Cafe.

Hari Kedua | Sabtu 18 Mei 2024
  • Sarapan di Kopi-O Corner.
  • Daftar keluar Dormani Hotel.
  • 8.50 pagi - ke Terminal Bot Bako (jarak 28 km, 35 min)
  • 10.35 pagi - naik bot ke Taman Negara Bako. Lewat gerak sebab tunggu hujan teduh.
  • 10.55 pagi - tiba di jeti taman negara.
  • Jalan-jalan di sekitar Park HQ. Dapat tengok ular kapak, monyet belanda dan kubong.
  • 12.15 tengah hari - makan tengah hari di Kerangas Cafe.
  • 1 tengah hari - eksplorasi hutan melalui Trail No. 5 Teluk Pandan Besar.
  • 3.45 petang - selesai eksplorasi hutan.
  • 4 petang - daftar masuk penginapan taman negara. Rehat dan solat.
  • 7.40 malam - makan malam di Kerangas Cafe.
  • 8.05 malam - aktiviti berjalan malam (night walk) secara berkumpulan.
  • 10 malam - balik ke penginapan.

Hari Ketiga | Ahad 19 Mei 2024
  • 8.30 pagi - sarapan di Kerangas Cafe.
  • 9.15 pagi - eksplorasi hutan melalui Trail No. 2 Teluk Delima.
  • 9.55 pagi - selesai eksplorasi hutan.
  • 11 pagi - daftar keluar penginapan taman negara.
  • 11.45 pagi - terpaksa tumpang bot yang dinaiki pelancong asing sebab bot yang ditunggu tak muncul dan diganggu sekumpulan monyet yang agresif di jeti.
  • 12.30 tengah hari - makan tengah hari di gerai terminal bot.
  • 12.45 tengah hari - bergerak ke Fairy Cave/Gua Pari-Pari di Bau (jarak 65 km, 1jam 30 min).
  • 2.25 petang - eksplorasi gua bermula.
  • 3.50 petang - selesai eksplorasi gua.
  • Kembali ke bandaraya Kuching.
  • Makan di King Laksa Sarawak, Metrocity.
  • 6.30 petang - daftar masuk di Amamas Boutique Hotel.
  • Malam - berehat.

Hari Keempat | Isnin 20 Mei 2024
  • Encik Suami alami kecederaan pada kaki kiri - kaki terpelecok ketika eksplorasi hutan pada hari Sabtu, tapi pagi Isnin baru terasa sangat sakit sampai susah nak berjalan.
  • Maka semua rancangan pada hari ini dibatalkan.
  • 9.10 pagi - Encik Suami jumpa doktor di Klinik Perdana (berhampiran dengan hotel penginapan). Doktor beri dua suntikan - satu di kaki dan satu di lengan. Selepas beberapa jam, hilang rasa sakit dan boleh kembali berjalan.
  • Sarapan di King Laksa Sarawak.
  • 12.15 tengah hari - daftar keluar hotel penginapan.
  • Ke Kek Lapis Warisan Sdn Bhd - beli oleh-oleh dan tengok demo penghasilan kek lapis.
  • Ziarah dan solat di Masjid Jamek Negeri Sarawak.
  • Makan tengah hari di Moms Laksa.
  • 4 petang - tiba di lapangan terbang. Pulang kereta sewa di tempat sama ketika ambil.
  • 6.40 petang - penerbangan pulang ke Pulau Pinang menaiki pesawat Firefly.
  • 9.30 malam - perjalanan pulang ke Perlis.
  • Selamat sampai rumah sebelum pukul 12 tengah malam.


KOS TRIP KE KUCHING, SARAWAK
4 HARI 3 MALAM | DUA ORANG

Pengangkutan :
  • Penerbangan pergi-balik PEN-KCH menaiki Firefly - RM921.32
  • Caj parkir kereta di lapangan terbang Pulau Pinang - RM127
  • Sewa kereta Axia di Kuching - RM345
  • Minyak kereta Axia - RM41
  • Bot pergi-balik Taman Negara Bako - RM100
  • Kupon letak kereta bandaraya Kuching - RM5.40
Penginapan :
  • Dormani Hotel - RM62.86
  • Taman Negara Bako - RM50
  • Amamas Boutique Hotel - RM113
Makan :
  • RM339.75
Bayaran masuk / permit :
  • Permit Taman Negara Bako - RM20 (RM10/orang)
  • Bayaran masuk Fairy Cave - RM2 (RM1/orang)
Bayaran aktiviti :
  • Night walk - RM30 (RM15/orang)
Oleh-oleh :
  • Kek lapis dan keropok dabai - RM182
  • Keychain - RM10
Rawatan :
  • RM399
TOTAL PERBELANJAAN :
RM2,748.33


Alhamdulillah selesai satu trip alam semula jadi yang ada dalam wish list saya iaitu Taman Negara Bako. InsyaAllah kami akan datang lagi kerana masih banyak tarikan alam semula jadi yang masih belum sempat kami kunjungi. Juga Taman Negara Bako yang masih belum habis kami terokai.

InsyaAllah catatan lanjut berkenaan trip ini pada entri seterusnya 😊






.

Tuesday, 14 May 2024

Catatan Hujung Minggu

Catatan hujung minggu saya…

SABTU | Waktu petang saya dan Encik Suami bergotong-royong membersihkan rumput di sekeliling rumah yang telah dipotong pada hari Selasa lalu. Saya kumpul rumput kering di beberapa tempat dengan menggunakan penggaruk, manakala Encik Suami pula angkut rumput yang dikumpul dengan pongkes, letak setempat dan bakar. Penat jugalah sebab kawasan rumah ni luas.

Beginilah kehidupan di rumah dalam suasana kampung, lebih banyak kerja perlu dibuat sama ada di dalam atau di luar rumah. Memang berbeza sungguh sewaktu tinggal di rumah apartment dan rumah teres taman perumahan.

Untuk rekod - sebelum ini rumput dipotong sebulan sekali, tapi kali ini hampir tiga bulan barulah dipotong. Sebabnya, rumput keliling rumah semuanya mati akibat kekeringan sewaktu musim kemarau lalu. Rumput mulai tumbuh hijau semula apabila musim kemarau berakhir pada penghujung Mac. Itu pun tak semuanya tumbuh cepat, ada jenis rumput yang cepat meninggi dan banyak juga yang nampaknya ambil masa untuk hidup kembali. Pengalaman baru buat saya.

AHAD | Pukul 10 pagi kami dah berada di Wisma Persekutuan, Alor Setar, Kedah. Ada urusan di tingkat 4. Bagus juga bila dua negeri bersebelahan tetapi cuti hujung minggu berbeza - orang Perlis cuti bolehlah buat urusan rasmi di Kedah yang bekerja pada hari Ahad.

Selesai urusan sudah pun menghampiri pukul 12 tengah hari. Perut sudah minta diisi. Kami makan di kafe bangunan Wisma Persekutuan. Tiada pilihan lain kecuali menu nasi daging. Konsep layan diri, ambil sendiri nasi dan lauk. Alhamdulillah…sedap! Saya suka nasinya lembut dan sedap rasa air asam kerisik. Sebelum ni pernah juga saya merasa hidangan nasi daging, tapi tak kena selera. Kali ni memang sedap. Harga dua pinggan nasi daging, segelas minuman teh o lemon panas dan lemon ais cuma RM16 sahaja.

Alang-alang dah sampai Alor Setar, kami pergilah ke pusat membeli-belah Aman Central. Kalau di Perlis tak ada mall besar begini ya, maklumlah penduduk Perlis katanya cuma lapan orang maka tak perlulah mall besar 😁

Hasil meronda di sini, dapatlah saya membeli sehelai wide-leg straight cut jeans di Uniqlo. Alhamdulillah, seronok dapat juga seluar jeans dengan rekaan dan potongan yang saya mahu - potongan longgar, tak perlu pakai tali pinggang dan material lembut selesa. Bagusnya, Uniqlo juga menyediakan servis alteration kaki seluar secara percuma (bergantung kepada nilai pembelian). 

Tak terus balik ke rumah, Encik Suami ajak jalan-jalan ke Kompleks Bebas Cukai Bukit Kayu Hitam, Kedah. Kali terakhir kami ke sini pada tahun 2018, masa tu kami masih menetap di rumah NS. Di sini kami ke tempat jualan coklat je, tak membeli banyak pun sekadar buat kudapan kami sendiri. Berkenaan harga, kami pun tak pasti sama ada berbaloi atau tidak membeli di sini.

Tadi semasa pergi, perjalanan begitu lancar. Tapi semasa baliknya, kami perlu beratur panjang kira-kira 45 minit bagi melepasi proses di kompleks imigresen. Silap kami, terlupa hari Ahad mestilah ramai pelancong Malaysia balik dari Thailand. Menurut pegawai imigresen bertugas, situasi begini tidaklah begitu teruk berbanding pada hari cuti umum - barisan lebih panjang dan lebih lama masa menunggu.






.

Friday, 10 May 2024

Harum Mewangi

Antara pokok yang terdapat di sekitar rumah saya - pokok limau kasturi dan pokok daun kari. Baru-baru ini saya perasan kedua-dua pokok sedang galak berbunga. Seronok rasanya melihat pokok berbunga lebat walaupun bukanlah saya yang menanamnya 😁. Semuanya hasil usaha penghuni rumah terdahulu.


Harum Mewangi | Bunga Pokok Limau Kasturi
Sejak berpindah ke sini, ini merupakan kali kedua saya menyaksikan pokok limau kasturi ini berbunga lebat. Kali pertama pada penghujung bulan Disember 2023. Kemudian ia menghasilkan buah limau kasturi yang cukup lebat sampai tak termakan oleh kami berdua, terbiar kekuningan di pokok. Walaupun banyak juga saya ambil untuk dicampur jusnya dalam minuman/masakan dan ada juga jiran datang ambil, masih banyak buah yang terbiar tidak dituai sehingga berguguran ke tanah.

Sekarang ni buahnya tinggal sedikit dan pokok limau kasturi kembali berbunga. Bunganya berbau harum, belum datang dekat dengan pokok pun dah boleh tercium aromanya. Pokok limau kasturi ini di tanam di laman depan rumah. Dulu sewaktu kali pertama saya tercium aromanya, saya tercari-cari pokok apa yang berbau wangi.

Bunga pokok limau kasturi
Bunganya berwarna putih.

Bunga pokok limau kasturi
Lebat putik dan bunganya.

Bunga pokok limau kasturi
Seekor kumbang bersaiz besar kelihatan sibuk terbang ke sana sini. Harapnya ia cuma kumbang penghisap madu bunga, bukan kumbang perosak. Saya tak pandai membela pokok, apa lagi nak kenal perosak dan masalah lainnya.


Harum Mewangi | Bunga Pokok Daun Kari
Pokok daun kari ini terletak di kawasan belakang rumah. Kebetulan pula, akhir-akhir ini saya jarang ke belakang disebabkan tak berani nak meredah rumput yang semakin tinggi sejak berakhirnya musim panas kering. Tetapi baru-baru ini saya redah juga sewaktu melakukan aktiviti ‘morning walk’.

Belum pun sampai dekat dengan pokok daun kari, deria saya dah terhidu bau harum yang menyegarkan. Rupa-rupanya pokok daun kari yang tempohari (sewaktu musim panas kering) kelihatan hampir mati kekeringan, kini sudah berubah rupa. Pokoknya segar, daun menghijau cantik, lebat berbunga dan banyak sungguh anak pokok tumbuh di kelilingnya. MasyaAllah!

Bunga pokok daun kari
Bunga pokok daun kari berwarna putih, bersaiz kecil dan berbau harum. Aromanya cukup menyegarkan! Berbeza sungguh bau bunga dengan daunnya yang kita gunakan dalam masakan.

Bunga pokok daun kari
Pokok daun kari ini bukan saja meriah dengan bunga, tetapi meriah juga dengan kehadiran pelbagai jenis serangga.

Bunga pokok daun kari
Dah macam tanam pokok bunga pulak, cantik penuh dengan bunga.

Saya nampak ada juga buah pokok daun kari ni, sudah bertukar warna hitam. Biji dalam buah tersebut boleh dijadikan benih pokok daun kari. Mungkin sebelum ni ada banyak buahnya, tetapi sudah dimakan burung. Kalau nak tengok rupa buah pokok daun kari yang masih berwarna kemerahan, boleh lihat di entri INI.

Alhamdulillah atas segala rezeki kurniaan-Nya.






.

Wednesday, 8 May 2024

Arau Kopi, Arau

Cerita hujung bulan April lalu, saya dan Encik Suami berkesempatan mencuba hidangan sarapan di Arau Kopi. Lokasinya di Arau dengan jarak kira-kira 20 km dari rumah kami.

Arau Kopi terletak di sebuah lorong kecil di kawasan kampung yang hanya boleh dilalui satu kereta sahaja pada satu masa. Kedudukan papan tanda Arau Kopi di hadapan lorong pula agak tersorok, kita perlu perhatikan dengan teliti supaya tak terlepas untuk membelok masuk lorong.

Arau Kopi, Arau
Arau Kopi terletak di kawasan rumah. Tempat letak kereta agak terhad. Kita boleh letak kereta di halaman rumah (dalam pagar), di bahagian luar pagar atau boleh terus ke belakang lorong.

Arau Kopi, Arau
Kawasan letak kereta di bahagian belakang lorong.

Arau Kopi, Arau
Sajian pemandangan indah sawah padi yang terletak berhadapan dengan kawasan letak kereta.

Arau Kopi, Arau
Menu di Arau Kopi. Konsep di sini - ambil sendiri kad menu dan kertas pesanan di hadapan kedai, kemudian isi dan serahkan ke kaunter pesanan. Makanan dan minuman akan dihantar ke meja.

Arau Kopi, Arau
Sajian istimewa di sini, tentunya Kopi Arau - kopi dicampur mentega. Ada pilihan sejuk atau panas. Sedap jugalah, cuma saya kurang gemar sebab nampak berminyak. Lain kali nak cuba Kopi Arau sejuk (ais) pula.

Arau Kopi, Arau
Hidangan sarapan pilihan kami.

Arau Kopi, Arau
Nasi lemak ayam belacan, pek nga gulai ikan dan nasi ayaq berlauk. Kita belajar sikit dialek utara - pek nga (lempeng kelapa) dan nasi ayaq (bubur nasi).

Arau Kopi, Arau
Kali kedua datang sini, kami mencuba roti telur gedik dan kuetiau goreng pula.

Setakat menu yang saya dah cuba ni, Alhamdulillah semuanya memuaskan selera terutamanya nasi lemak dan nasi ayaq berlauk. Tambah berselera bila menikmati hidangan di tempat makan dengan konsep ruang terbuka, sambil telinga mendengar irama lagu lama. Suasana makan yang cukup santai.

Servis di sini juga pantas, tak perlu menunggu lama untuk makanan kita dihidangkan walaupun pelanggan ramai. Tetapi minuman sedikit lewat, iaitu selepas makanan tiba. Kedudukan antara meja makan pula agak rapat, menyukarkan pergerakan. Mungkin mereka mahu memaksimumkan ruang supaya lebih ramai pelanggan dapat menikmati hidangan di sini.

Kalau ada ke Perlis, kalian bolehlah mencuba makan di Arau Kopi ni. Sebaiknya datang di awal pagi supaya mudah mendapatkan ruang letak kereta dan memilih meja makan di sudut yang menarik.


**********************************************

ARAU KOPI
136, Jalan Chin Ali,
Kubang Gajah,
02600 Arau,
Perlis.

Google Maps | Arau Kopi Perlis

Waktu operasi :
Setiap hari | 7.30 pagi - 12.00 tengah hari
Tutup | Jumaat






.

Sunday, 5 May 2024

Pulut Sambal

Minggu lepas, tempat kerja Encik Suami mengadakan jamuan hari raya. Banyak juga lebihan makanan yang dibawa balik, antaranya kuih pulut sambal iaitu sejenis makanan tradisi Perlis.

Pulut sambal, kuih apa tu? Kalau kuih pulut inti (pulut dengan serunding kelapa manis yang dibungkus seperti bungkusan nasi lemak), saya pernah makan dan kurang gemar kerana rasa serunding kelapa yang manis.

Pulut Sambal Perlis
Kuih pulut sambal dibungkus dengan daun pisang berbentuk seakan piramid.

Pulut Sambal Perlis
Beginilah rupa kuih pulut sambal dalam bungkusan daun pisang.

Pulut Sambal Perlis
Pulut dengan serunding ikan. Awal tadi saya bayangkan ada sambal tumis warna merah sebab namanya ‘pulut sambal’. Rupanya sambal merujuk kepada serunding ikan. Tetapi bukanlah serunding ikan jenis kasar kering tu tau, ni serunding ikan jenis halus dan lembab dengan rasa yang menambat selera. Tak cukup makan satu bungkus, saya buka bungkusan kedua pula. Sekali cuba, terus saya suka!

Alhamdulillah dapat saya merasa sejenis lagi makanan tradisi di sini. Carian info mendapati kuih pulut sambal ini juga merupakan makanan tradisi di negeri Kedah.






.

Thursday, 2 May 2024

6 Bulan Sudah Berlalu…



Semalam 1 Mei 2024, genap 6 bulan saya dan Encik Suami menjadi penduduk di negeri paling kecil di Malaysia. Sepanjang tempoh 6 bulan terakhir ini, terlalu banyak pengalaman baru yang saya lalui. Ada yang saya ceritakan di blog sebagai suatu catatan hidup, tetapi banyak juga yang tidak dapat saya ceritakan.

Alhamdulillah saya rasa serasi menetap di kediaman yang begitu dekat dengan alam semula jadi. Waktu pagi boleh menatap matahari muncul di ufuk timur, waktu petang dapat menikmati indahnya matahari tenggelam di ufuk barat dan waktu malam saya menikmati taburan bintang di langit gelap. Saya juga dapat memerhatikan pelbagai jenis burung cantik hanya menerusi jendela rumah - antaranya burung raja udang di atas kabel elektrik, bangau putih di laman rumah dan burung dendang selayang yang sedang menikmati buah nona.

Pun begitu, ada harga yang perlu dibayar bagi menikmati kehidupan tenang begini. Antaranya, tiada perkhidmatan e-hailing (perkhidmatan pengangkutan awam atas talian) dan p-hailing (perkhidmatan penghantaran barangan dan makanan menggunakan motosikal) yang sampai ke tempat saya. Kami juga perlu bergerak kira-kira 20 km untuk ke bandar terdekat bagi membeli keperluan di pasaraya dan mengisi minyak kereta di stesen Petronas.

Seperkara lagi yang perlu saya biasakan, iaitu cuaca yang agak berbeza berbanding kebanyakkan tempat/negeri lain di Malaysia. Cuacanya lebih ekstrem dan ada musim tertentu. Musim angin timur (angin kuat, panas dan kering) sudah berlalu, sekarang ini pula walaupun hujan turun tetapi terasa lebih bahang kerana suhu waktu siang tinggi dengan tahap kelembapan (humidity) juga tinggi.

Eh, kalau nak dicatat nanti makin panjang entri ni. Apa yang pasti, saya dah semakin selesa menetap di rumah luas dengan pemandangan luas. Sesekali balik ke rumah NS, terasa sempit rumah sendiri dan rasa terkepung bila pandang depan rumah orang, pandang belakang pun rumah orang. Ish…melampau sungguh saya 😂






.