Thursday, 4 September 2025

Ghatah Siput Bakaq, Kuala Sungai Baru

Sudah hampir dua tahun saya menetap di Perlis, tapi ini baru kali pertama saya dan Encik Suami makan-makan di Ghatah Siput Bakaq yang terletak 42 km dari kediaman kami. Kunjungan kami ke sini gara-gara saya membaca entri blogger SK - Seri Kandi Tanah Jauhar sewaktu bercuti di Perlis. Kiranya, orang yang menetap di Perlis telah terpengaruh dengan orang yang datang bercuti di Perlis 🤣

Saya dan Encik Suami ke sini pada hari bekerja. Kebetulan Encik Suami cuti pada hari tersebut, jadinya selesai urusan di Kangar kami terus ke sini. 

Terdapat kawasan parkir khas. Sangat memudahkan pelanggan.

Kami terus ke bahagian hadapan restoran - pilih menu di sini.

Pilihan makanan laut diletak dalam mangkuk dan juga bekas plastik.

Dah siap pilih, terus ke kaunter bayaran yang terletak di pintu masuk restoran.

Kami pilih set kombo untuk dua orang - siakap goreng tepung, mix box shell out, sotong goreng tepung, nasi putih dan minuman. Jenis minuman boleh pilih mana-mana minuman berharga RM3. 

Kalau di bahagian luar tadi, nampak biasa-biasa je rupa restoran ni. Bila masuk bahagian dalam, nampak menarik! Luas jugalah ruang makan di sini. Masih banyak meja kosong, mungkin sebab kami datang pada hari bekerja dan masih awal (masa ni sekitar pukul 5.45 petang).

Ada beberapa meja kosong di sudut menghadap laut. Dapatlah kami duduk di sini - di meja paling hujung. Foto diambil dari tempat duduk saya.

Suasana di sini terasa cukup santai.

Lokasi restoran di pesisir pantai, berhampiran dengan aliran sebatang sungai.

Dari restoran ini kita dapat menyaksikan deretan bot nelayan berlabuh. Pemandangan yang menarik di mata saya.

Tadi selepas membuat pesanan dan bayaran, kami diberi nombor penanda meja yang unik ni - berbentuk ikan, diperbuat daripada kayu. Sempatlah minuman kami berfoto dengan ikan kayu ni sebelum ia diambil setelah hidangan makanan tiba.

Kedudukan kami berhampiran dengan sebuah ruang rumah kucing. Tak ada sebarang bau yang tak menyenangkan dan kucing-kucing di dalamnya nampak sedang bersenang-senang tidur. Ada seekor dah bangun, saya rakam fotonya dari meja makan kami.

Tak rasa bosan menunggu makanan tiba sebab saya dapat menikmati keindahan alam semula jadi di sini. Saya perhatikan terdapat beberapa jenis burung di pantai, paruhnya yang panjang sibuk mematuk pasir pantai mencari makanan.

Terdapat juga beberapa buah bot melintas menuju ke lautan.

Hidangan kami tiba. Ini merupakan kali pertama kami makan hidangan shell out.

Saya kurang gemar makan makanan laut bercengkerang, jadinya saya fokus makan ikan siakap goreng tepung dan sotong goreng tepung je.

Siakap goreng tepung dan sotong goreng tepungnya sedap rangup di luar lembut di dalam. Tapi kena makan cepat, bila dah sejuk jadi kurang sedap.

Atas - siput mentarang. Encik Suami suruh cuba, saya makan juga satu.
Tengah - siput harimau (merujuk info dari blog SK).
Bawah - kepah, entah jenis apa tapi menarik coraknya.

Walaupun katanya set untuk dua orang, tapi kami tak mampu nak habiskan makan. Nasi masing-masing cuma makan separuh pinggan, manakala sotong dan ikan goreng tepung masih berbaki. Tak bungkus bawa balik sebab bukanlah banyak pun yang tinggal, tapi nak habiskan memang dah tak boleh. Perut dah terlebih kenyang.

Makan di Ghatah Siput Bakaq ni memang suatu pengalaman yang menarik sebab kita makan sambil menikmati pemandangan lautan. Kalau datang waktu senja tentu lebih cantik suasananya.

Semasa kami nak balik, jalanan agak sesak. Rupa-rupanya orang ramai sedang berkumpul membeli hasil laut. Tentunya hasil laut segar yang baru dibawa naik oleh para nelayan.


***********************

GHATAH SIPUT BAKAQ
Kuala Sungai Baru,
Perlis.
Google Maps | Ghatah Siput Bakaq

Waktu operasi :
Jumaat - Isnin | 4.30 petang - 9 malam
Dibuka pada setiap hari cuti sekolah/cuti umum/cuti perayaan | 4.30 petang - 9 malam







Tuesday, 2 September 2025

Catatan Menjelang Hari Kebangsaan

Biasanya kalau cuti hujung minggu yang panjang, kami tak berjalan jauh. Malas nak bersesak di jalanan. Tapi kali ini Encik Suami ada urusan di sekitar Selangor, terpaksalah bermusafir. Syukurlah tak perlu memandu, kami berdua naik pesawat dari Kedah.

Menikmati hidangan pagi dengan nasi lemak berbungkus daun pisang di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Kepala Batas, Kedah. Harganya cuma RM1.70. Saiz kecil dan sedap rasa nasi lemaknya, memang tak cukup makan sebungkus.

Sementara menunggu waktu penerbangan, saya isi masa dengan membaca buku. Bacaan kali ini merupakan buku terakhir daripada empat buah buku travelog Siti Noridah ET yang dibeli pada tahun lalu. 

Pukul 8.20 pagi kami sudah pun berada di dalam pesawat. Satu jam duduk, pesawat masih tak bergerak. Masing-masing dah mula gelisah. Mujurlah keadaan tak begitu panas, masih boleh duduk selesa. Selepas itu barulah juru terbang buat pengumuman - penerbangan lewat disebabkan raptai hari kemerdekaan.

9.40 pagi - pesawat berlepas meninggalkan ruang udara Kedah. Kelihatan dari jauh - Gunung Keriang tersergam di tengah-tengah jelapang padi.

Foto buggy sekadar rujukan, bukan buggy yang kami naik.
50 minit kemudian, kami selamat mendarat di KLIA. Sedang berjalan menuju pintu keluar, sebuah buggy berhenti tepi kami. “Encik nak naik?” petugas membawa buggy bertanya. Eh, terkejut tapi naik jugalah. Selain kami, ada seorang ibu muda bersama anak kecil. Pertama kali kami merasa naik buggy di KLIA 😀

Kebetulan, kaki kiri Encik Suami terpelecok lebih kurang seminggu lalu. Dah boleh berjalan macam biasa, cuma masih belum boleh duduk dengan sempurna sewaktu solat. Menurut doktor, ambil masa sekurang-kurangnya dua minggu untuk pulih sepenuhnya. Alhamdulillah dapat naik buggy jadi kurang sikitlah kaki melangkah. 

Laksa Johor
Sebelum keluar dari airport, kami singgah makan di Petit Cafe Chef Wan yang terletak di aras 5. Teringat sahabat blogger SK (Seri Kandi Tanah Jauhar) katanya nak tengok rupa Laksa Johor Chef Wan. Nah, sekeping foto buat tatapan SK yang rajin memasak 😀

Kali pertama kami ke KL East Mall milik Sime Darby Property. Luas, cantik dan bersih suraunya.


Kami berpergian tak lama, cuma satu malam menginap di rumah NS dan esoknya kembali ke utara. Sejak memelihara anak bulu, jadi tak senang hati kalau tinggal lama-lama. Lagi pula di Perlis sedang musim hujan - dah beberapa minggu hampir setiap hari hujan turun kadangkala berserta angin ribut. Jojo si anak bulu biasanya akan lari masuk ke dalam rumah bila hujan turun.

*****
Selamat Hari Kebangsaan ke-68 🇲🇾! Semoga Allah mengurniakan keamanan dan kemakmuran buat negara Malaysia yang tercinta ❤️

Juga doa keamanan dan kemakmuran buat negara jiran Indonesia. Moga semuanya segera berakhir dan situasi kembali pulih.

Tak dilupakan doa keselamatan dan kejayaan buat Sumud flotila yang berlepas pada 31 Ogos lalu dari Barcelona menuju Gaza.