Wednesday, 1 October 2025

Makan Tengah Hari di Yi Chun Garden Beef Restaurant, Kunming

CATATAN TRIP KE CHINA - WILAYAH YUNNAN & JIANGSU | 10 - 15 APRIL 2025



Dari lapangan terbang, kami menaiki teksi menuju ke sebuah restoran halal. 

Ruang dalam teksi - bersih dan selesa.

Plaza tol di Kunming. Saya tertarik dengan hiasan tanaman bunga pelbagai warna. Cantik! Begitu juga di tepi-tepi jalan dihiasi dengan tanaman bunga berwarna-warni.

Selepas itu barulah saya tahu bahawa Kunming dikenali sebagai ‘City of Flowers’ atau ‘Spring City’ kerana cuacanya yang sederhana dan sejuk sepanjang tahun sesuai untuk pertumbuhan bunga. Di sini juga terletaknya Dounan Flower Market - pusat borong bunga terbesar di Asia.

Pemandu teksi bawa kami ke sini, katanya ini merupakan antara restoran halal yang terkenal di sini. Hasil Google Translate nama restoran, 伊春园 牛菜馆 - Yi Chun Garden Beef Restaurant. Entah tepat atau tidak terjemahannya tu 😄

Pada papan tanda restoran terpapar logo 清真 (qingzhen) - terma yang digunakan untuk makanan halal. Ianya mudah dilihat kerana dalam bentuk logo bulat berwarna hijau.

Berdasarkan pengalaman saya semasa ke Guangzhou pada tahun lepas, tanda halal hanya dalam bentuk tulisan aksara Cina tanpa logo bulat berwarna hijau. Jadi agak sukar bagi kita yang tak kenal aksara Cina nak membelek perkataan qingzhen pada papan tanda kedai di Guangzhou.

Urusan memesan makanan kami serah saja kepada kawan Encik Suami yang berbangsa Cina. Trip ke negara China kali ini lebih mudah sebab ada ahli kumpulan yang bertutur bahasa Cina.

Tak lama menunggu, satu demi satu hidangan tiba. Tapi rupa-rupanya semua ini untuk kami berdua saja. Banyak sungguh nak kena habiskan ni 😅

Sup jernih tapi sedap rasanya.

Sayuran. Warna kuning macam isi jagung tu, rasanya seperti makan kekacang.

Hirisan nipis daging lembu yang lembut berjus disertakan dengan sos pencicah dan mungkin garam - entah serbuk apa tapi rasa masin. 

Potongan kecil daging lembu dimasak dengan sayuran dan campuran herba. Mula-mula makan, rasa sedap. Lepas tu saya dah tak boleh makan sebab rasanya jadi semakin pedas. Rasa pedasnya macam kita makan lada hitam, bukan pedas cili api. 

Minuman kami - teh Cina yang dihidang dalam cawan seperti mangkuk kecil.

Selesai makan, kami meneruskan perjalanan ke Kunming Nanyao Railway Station.