Monday, 30 September 2013

Hobi dan Minat...

Hobi dan minat mereka....
Saya cuma suka tengok je. Macam-macam rupa dan gaya.







Lokasi : Perkarangan Stadium Tertutup Nilai, Negeri Sembilan.

Thursday, 26 September 2013

Memang 012...Tapi BUKAN Maxis

Ada satu masa tu...
Saya terima panggilan dari seorang kawan.
Kami berborak...dan dia bercerita panjang.
Sebenarnya, bukanlah kebiasaan kami begitu.

Dah agak lama, saya pun bertanya....
"Takpe ke call lama-lama ni..."
"Takpe, arini free sebab besday aku. Maxis ke Maxis..."
"Eh, aku bukan Maxis!"
Terkejut kawan tu...

Kes gini dah jadi dua kali kat saya.
Dengan famili, saya dah bagitau...
Memang nombor saya 012, tapi BUKAN Maxis.
Dah beberapa tahun saya bertukar ke Celcom...
Dengan mengekalkan nombor yang sama (Maxis asalnya).

Wednesday, 25 September 2013

Penceroboh...Lagi

Aku melangkah keluar dari tandas, usai mengambil wudhuk. Sejurus langkahku terhenti, ada sesuatu di lantai. Mujur mataku mampu menangkap 'sesuatu' kecil berwarna hitam itu. Beberapa helai tisu ku ambil, ku bersihkan sewajarnya. Aku tersenyum, aku tahu siapa yang menceroboh masuk tatkala aku berada di tandas tadi. Aku kenal hasil tinggalannya. Segera aku bersuara, minta si penceroboh keluar dari rumahku. Sepi, tiada jawapan. Aku menuju ke tingkap dapur, tempat biasa si penceroboh masuk. Tingkap kaca empat segi itu aku tarik rapat, tiada ruangan untuk penceroboh masuk.

Aku meneruskan urusanku, sehinggalah mata terasa berat. Aku membaringkan badan untuk tidur. Baru mahu terlelap, aku mendengar bunyi pelik. Bunyinya tidaklah dekat, tapi tidak juga jauh. Aku bangun menjengah sekeliling. Bunyi itu hilang bila aku mencarinya. Aku berbaring semula, menyambung tidur yang terganggu. Tapi bunyi itu datang kembali. Kali ini lebih kuat dan panjang, aku tahu dari mana! Bergegas aku bangun kembali. Aku melangkah anak tangga ke ruangan atas rumah dengan penuh berhati-hati. Lagak seperti pencuri. Aku berhenti bila tiba di satu anak tangga. Cuba menghendap siapa yang mengeluarkan bunyi pelik tadi. Sejurus 'dia' memunculkan diri, berlari tak tentu arah. 'Dia' takut dengan aku, dan aku pulak terkejut dengan kehadirannya di situ.

---------------------------------------------------------------------
Tak larat nak mengarang, memang tak boleh jadi penulis cerpen/novel. Dipendekkan cerita, rupanya penceroboh tadi belum keluar. Punyalah lama dia menyorok kat tingkas atas rumah. TUPAI! Lepas berkejar-kejar, akhirnya keluar jugak dari rumah. Cuma yang menyampahnya, najis dia bersepah-sepah kat lantai. Nasibla tak besar mana. Ni tengah menulis pun, dia masuk lagi. Dengar bunyi kat dapur je, saya dah tau siapa. Nak ditutup tingkap, tak masuk angin luar pulak. Layan je lah karenah si tupai ni, kesian dia mangsa pembangunan...


Tuesday, 24 September 2013

Igauan Maut


Tajuk : Igauan Maut
Penulis : Ramlee Awang Murshid
Penerbit : Dewan Bahasa & Pustaka
Harga : RM20
Muka surat : 166


Novel ini amat istimewa kerana ia adalah novel PERTAMA karya Ramlee Awang Murshid (RAM). Telah diterbitkan pada tahun 1995 dan kini dicetak buat kali kedua setelah 18 tahun! Pun begitu, cetakan kedua ini hanya boleh didapati secara online menerusi Ramlee Awang Murshid Fan Club (RAMFC)


Sinopsis
Novel ini mengisahkan dendam lama akibat satu peristiwa yang terjadi pada malam Oktober 1963. Kesan kebencian terhadap penjajahan Jepun ke Tanah Melayu, sepasang suami isteri terbunuh apabila rumah mereka dibakar oleh sekumpulan penduduk kampung. 25 tahun berlalu, tiba masa untuk membalas dendam. Siapakah yang melakukannya? Dan Mizah pula sering mengalami mimpi ngeri seolah-olah dia berada di tempat kejadian tersebut, apa kaitannya?


Petikan novel
Pedang yang terpacak, dicabut lalu diayunkan ke udara. Lipin meloncat melintasi unggun api. Langkahnya diatur, seperti seorang pahlawan yang sedang bermain senjata. Pak Kudu dan Ajis hanya memerhatikan sahaja tingkah laku Lipin dengan pandangan penuh sangsi. Bimbang. Anak muda itu seperti dirasuk, semakin gila. Mata pedang dikibaskan, seperti menghiris daging tubuh mereka. Pedih dan ngeri.


p/s: Rasa tak cukup je bila baca novel RAM nipis gini. Maklum je...novel sulung. Novel terbaru- Magis...saya masih belum beli lagi.

Thursday, 19 September 2013

Sebaran PALSU

Sekarang ni memang mudah kita nak sebarkan info/ilmu. Nampak macam betul atau bagus, cepat je tangan kita klik 'SHARE' (kalau kat facebook). Tapi yang macam betul atau bagus tu terkadang adalah tipu atau palsu! Antara sebaran palsu...

-----> saya copy dari fb Dr Abu Anas Madani. HARAM hukumnya jika kita menyebarkan hadis palsu (satu pendustaan terhadap Rasulullah sallallahu a'layhi wasalam). Antara ciri-ciri hadis palsu- ganjaran yang berlebih-lebihan.
Hati-hati menyebarkan tulisan ini, banyak maklumat palsu di sandarkan kepada Nabi SAW.
Untuk isteri ............
1) “Sekali suami minum air yang disediakan oleh isterinya adalah lebih baik dari berpuasa setahun”.

2) “Makanan yang disediakan oleh isteri kepada suaminya lebih baik dari isteri itu mengerjakan haji dan umrah”

3) “Mandi junub si isteri disebabkan jimak oleh suaminya lebih baik baginya daripada mengorbankan 1,000 ekor kambing sebagai sedekah kepada fakir miskin”.

4) “Apabila isteri hamil ia dicatitkan sebagai seorang syahid dan khidmat kepada suaminya sebagai jihad”.

5) “Pemeliharaan yang baik terhadap anak-anak adalah menjadi benteng neraka, pandangan yang baik dan harmonis terhadap suami adalah menjadi tasbih (zikir)”.

6) “Tidak akan putus ganjaran dari Allah kepada seorang isteri yang siang dan malamnya menggembirakan suaminya”.

7) “Apabila meninggal dunia seorang dan suaminya redha, nescaya ia dimasukkan ke dalam syurga”. (Hadis Riwayat Tarmizi)
“Seseorang wanita apabila ia mengerjakan sembahyang yng difardhukan ke atasnya, berpuasa pada bulan Ramadhan, menjaga kehormatan dirinya dan taat kepada suaminya maka berhaklah ia masuk syurga dari mana-mana pintu yang ia suka”.
Dan ingatlah wahai wanita, semua itu terangkum di dalam suatu perkataan iaitu "TAAT"

-----> saya copy dari fb Sahabat Halal

Bukan poster kat atas yang palsu tau, tapi isi ceritanya - McD Haram, itu yang palsu. Saya antara yang masih bertahan memboikot McD, atas sebab isu Palestine. Tapi, tidaklah saya mengatakan McD haram dimakan. Jika ada yang ragu-ragu (halal atau haram), maka dia perlu meninggalkannya terus.


-----> kadar bayaran Poslaju pun ada yang buat sebaran palsu, entah apa motifnya. Saya nampak sebaran ini di fb (ada orang share). Saya penjual online, memang selama ni caj untuk Semenanjung adalah RM6 bagi 500g pertama. Bila saya selidiki, pihak Poslaju ada buat pengumuman ini adalah sebaran palsu.



Kesimpulannya:
Selidik sesuatu sebelum kita 'SHARE'. Pastikan ia betul, baru share. Rujuk terus ke pihak berkenaan, contoh: bab makanan halal/haram terus cari JAKIM (Halal Malaysia), bab Poslaju terus cari Poslaju. Kalau bab agama, pastikan share dari page orang yang kita percaya dia arif agama. 

Kata kuncinya - FIKIR SEBELUM BERTINDAK.


p/s: jangan sampai takmo share benda baik pulak lepas ni, cuma peringatan untuk kita agar berfikir sebelum share. 

Wednesday, 18 September 2013

Daerah Penghujung Benua Asia - PONTIAN


Daerah Penghujung Benua Asia - PONTIAN

PONTIAN...inilah daerah kelahiran saya.
Jika di peta, bandar ini tertulis sebagai Pontian Kecil.
Sebuah bandar yang tidak sesak, dengan jalanraya yang lurus je.
Deretan kedai di kiri dan kanan jalan masih sama seperti zaman kanak-kanak saya.
Cuma jalanraya yang sudah berubah...dinaiktaraf.

Tarikan di Pontian...
Taman Negara Pulau Kukup dan Taman Negara Tanjung Piai.
Sejarah Pontian boleh baca DI SINI.


p/s: sesekali kita patut tulis mengenai tempat kita, sebagai satu catatan sejarah buat generasi akan datang.







Tuesday, 17 September 2013

Hari Malaysia...Chin Peng

(Notis: Penulisan ini hanya merujuk kepada perkataan bergaris merah sahaja)

(Print screen dari fb seorang tokoh agama.)

Tidak mahu mengulas panjang, takut menjadi perdebatan yang hilang arah. Cuma ingin saya nyatakan, adalah tidak wajar seorang yang berpengaruh dan merupakan tokoh agama membuat kenyataan seperti di atas. Kenyataan yang menunjukkan dia gembira atas kematian seseorang. Sungguh, tidaklah kita diajar bergembira atas perkara buruk yang berlaku terhadap orang lain. Walaupun dia manusia yang paling kita benci. Biarkan suratan takdir ini sekadar menjadi lembaran sejarah. 

Hakikatnya, kita mungkin terdetik rasa gembira atas kematian/khabar duka orang yang kita benci. Tetapi biarlah ia setakat di hati atau dibibir sendiri, tak perlu dizahirkan dalam bentuk ucapan atau penulisan umum. Lagi-lagi jika kita adalah tokoh agama dikalangan masyarakat. Ia menjadi ikutan yang salah. Jika seseorang itu bersalah, kita ada mahkamah untuk menghukumnya. Jika terlepas hukuman dunia, neraca akhirat pasti menantinya.


p/s: Tidaklah salah jika tokoh agama cenderung kepada mana-mana parti politik, tetapi biarlah ada prinsip, adil dan tidak taksub. Ketaksuban akan membuat kita hilang pemikiran yang wajar. Mohon maaf andai pendapat kita berbeza... 

Thursday, 12 September 2013

Tiketnya Dah Ada...


Tiket masuk ke terowong Lombong Bijih Timah Sungai Lembing, Kuantan, Pahang.
Beli masa di Floria 2013 yang lalu, sebab katanya ada diskaun 50%.
Tiket kat atas ni untuk pelancong luar negara -RM60. Untuk orang kita tiket berharga RM30.
Boleh pulak staff tu takde tiket untuk warganegara, dia bagilah tiket kat atas ni.
Lepas diskaun, dapatlah RM15 seorang. Tu pun rasa macam mahal.
Tapi sebab teringin nak teroka terowong tu dan masih mampu bayar...layankan jugaklah.

Tiketnya dah lama ada, entah bila nak sampai Sungai Lembingnya.
Rancang nak pergi hujung minggu ni, tapi saya batalkan niat. Malas nak bersesak.
Kan cuti bersambung 3 hari, mesti kat mana-mana sesak. Jalan raya..penginapan.
Yang penting kena pergi sebelum hujung tahun ni, sebelum tiket diskaun ni tak laku lagi.


*korang berminat jugak? Info lanjut kat SINI. 
Dan sebenarnya memang ada diskaun sehingga hujung tahun ini (kalau tak silap), beria je beli kat Floria aritu.


Tuesday, 10 September 2013

Main Saham...Skim Cepat Kaya?

Tiada siapa yang nak mengaku dia terlibat dengan Skim Cepat Kaya (SCK). Sebab masyarakat umumnya memandang serong dengan SCK ni. Tapi bila disebut 'main saham', masyarakat mudah menerima dan lebih terbuka hati nak melibatkan diri. Hulur wang dengan jumlah tertentu, lepas beberapa bulan wang tadi jadi berganda. Sebab dah dilaburkan...kata kumpulan penganjur. Tapi masyarakat tak pernah ambil tahu pun ke mana wang tadi dilaburkan, atau sekadar lebur ditangan penganjur?

Cerita Saya
Masih dalam tempoh bertunang, ada seseorang ajak saya 'main saham'. "Duit ni nanti boleh buat belanja kawin kau", pujuk Kak A. Tiap-tiap hari pujuk saya, dan kadang-kadang marah sebab saya masih tak mau turut ajakannya. Jumlah pelaburan awal cuma beberapa ratus (RM200 seingat saya). Kalau dapat cari orang lain, kita akan dapat lebih. Kalau tak, tetap dapat pulangan berganda.

Masa berlalu...saya sekadar tunggu dan lihat. Ada jugak orang lain yang terpengaruh dan dah membayar. Akhirnya, semua hampa. Bila tiba masa 'menuai hasil', pihak penganjur mendiamkan diri. Dan yang jadi mangsa amarah bukanlah penganjur, tapi Kak A tadi. Ramai yang mencarinya, marah-marah dan mintak ganti duit. Entah apa kesudahannya...

Cerita Orang Lain
Penyewa rumah mak saya, tinggal sendirian. Tak pernah culas bayar sewa bertahun lama. Sehinggalah suatu ketika pada hujung tahun lepas, dia mula liat membayar. Sering bertangguh. Akhirnya terus menghilangkan diri tanpa sebarang kata. Tapi tak pulak berpindah, motor masih ada. Cuma orangnya yang tak balik-balik (menurut cerita jiran). Terpaksalah mak saya tunggu, kalau-kalau dia akan balik dan kosongkan rumah tu. Mak saya & jiran pulak memang tak tahu keluarganya di mana. Cuma tahu tempat kerja, dan seorang rakannya bagitau yang dia ni sedang melarikan diri. Semuanya gara-gara 'main saham'. Ramai orang sibuk mencari dia nak tuntut wang semula. Barulah tau kisahnya...kesian jugak, sebab menurut mak orangnya baik.

Dah lebih 5 bulan tanpa khabar, sekarang ni terpaksalah mak saya masuk rumah tu tanpa izin dan uruskan barang-barang tinggalannya. Ada yang terpaksa disimpan, ada yang jual (untuk bayar sewa) dan ada yang bagi orang. Asalkan kosong rumah tu untuk penyewa lain masuk. 

----------------------------------------------------------------------

Kesimpulannya, jangan sesekali percaya jika kita dijanjikan dengan pulangan lumayan bila melabur. Sebetulnya, tiada pelaburan yang boleh menjanjikan pulangan lumayan. Sebab pelaburan adalah urusniaga yang boleh jadi untung, boleh jadi rugi. Tambahan lagi, jika ia menjanjikan keuntungan maka hukumnya jadi haram untuk kita sertai. Kenapa? Bila pasti dapat untung itu bermaksud ada pihak yang tertindas (berlaku ketidakadilan). Dan Islam melarang penindasan. Boleh rujuk SINI.


p/s: Sekarang ni dah macam duduk kat Cameron Highland, siang malam sejuk. Hari-hari langit suram, kalau ada mentari pun kejap je.

Thursday, 5 September 2013

سيارن فكبون

 سيارن فكبون...boleh baca tulisan Jawi tak?


Inilah koleksi majalah SIARAN PEKEBUN tinggalan Allahyarham bapak saya. Majalah terbitan Pusat Penyelidikan Getah Malaysia (Rubber Research Institute of Malaysia @ RRIM). Ada 11 buah semuanya, dari tahun 1976 sehingga tahun 1984. Koleksi ni saya ambil dari rak buku kat kampung (dengan izin mak) beberapa bulan lalu. Sekarang baru membeleknya semula. Saya ambil dan simpan sebab rasa sayang dengan koleksi naskhah lama ni.



Ini dua naskhah yang paling lama...September & Disember 1976. Saya pun belum lahir lagi! Masa ni harganya cuma 50 sen. Kemudian harganya jadi $3 masa tahun 1979. Untuk tahun sekitar 1977-1978, tiada koleksi.



Rupa isi naskhah...semua tulisan Jawi, kecuali ada sedikit tulisan Rumi pada gambar rajah.

Saya sebenarnya memang minat buku-buku lama. Sebab dari situ kita boleh tahu situasi masa lalu. Kebetulan pulak, takde siapa dikalangan keluarga yang minat dengan buku-buku tinggalan Allahyarham bapak. Jadinya, sikit-sikit saya ambil bila ada balik ke kampung. Antara buku lama kesayangan saya - DI SINI.


Wednesday, 4 September 2013

Hasil Mengumpul 'Barcode' Dutch Lady



Dari selonggok barcode susu Dutch Lady....
Dapatlah redeem barang-barang ni. Yang dalam gambar ni penghantaran kedua.
Semua sekali saya dapat redeem 5 set bekas makanan, 6 helai tuala tangan dan satu payung. Ni hasil kumpul barcode selama lebih setahun minum susu segar Dutch Lady.

Kepada korang yang rajin minum susu Dutch Lady, simpanlah barcode dia.
Bila-bila dia ada bukak untuk redeem, masa tu kita dah ada banyak barcode.
Dari buang gitu, dapat jugaklah benda percuma dan boleh diguna.


Monday, 2 September 2013

Telur Pindang Gaya Dulu-Dulu

Hujung minggu lalu menghabiskan masa di kampung.
Ada kenduri kahwin saudara di Batu Pahat.
Masih berkonsepkan rewang.
Dan tugas saya...




...membungkus TELUR PINDANG jadi macam dalam gambar ni. Ambil kertas tisu, bungkus telur, pintal hujung tisu dan ikatkan. Mudah, cuma leceh kena hati-hati sebab kertas tisu mudah koyak. Kalau tak betul-betul pintal pulak, memang susah nak buat ikatannya.

Rasa seronok buat kerja ni sebab dah terlalu lama tak tengok telur pindang dibungkus begini. Zaman dulu (masa saya kecik), kalau pergi kenduri kahwin memang inilah cederahati dari keluarga pengantin. Sebiji telur pindang dibungkus kertas tisu, disamping bungkusan BERKAT (nasi & lauk).

Saya paling suka makan telur pindang yang retak, rasanya lebih sedap. Sebab aroma dan rasa bahan-bahannya (daun-daun kayu, ketumbar, kicap dll) dah masuk ikut retakan tadi. Sempat jugaklah makan sebiji yang retak sambil-sambil membungkus ni.