Saturday, 31 October 2020

Senaman Tangga dan Surat Pertama

SENAMAN TANGGA

Antara senaman yang paling mudah dibuat, tak perlu peralatan dan tak perlu masa khusus - senaman naik turun tangga. Sambil turun membuang sampah, saya peruntukkan sedikit masa untuk senaman mudah ni.

Nak turun ke bawah, jangan guna lif sepenuhnya sampai ground floor. Berhenti di tingkat 2 atau 3, dan teruskan ke bawah menggunakan tangga.

Lepas siap buang sampah, saya naik menggunakan lif sehingga tingkat 12 atau 13. Kemudian sambung dengan mendaki anak tangga ke tingkat 16. Walaupun taklah banyak mana, tapi cukup untuk meningkatkan kadar denyutan jantung dan sebagai senaman otot kaki. Lama-lama bila dah biasa, boleh tambah lagi anak tangga yang perlu didaki.

Bagi yang ada tangga di rumah atau di tempat kerja, bolehlah buat senaman naik turun tangga ni. Melangkah dengan perlahan dan hati-hati, kalau rasa tercungap tu boleh berhenti kejap dan buat teknik deep breathing (tarik nafas melalui hidung dan hembus menggunakan mulut). Buatlah ikut kemampuan, kita bukan atlet nak cipta rekod tapi kita cuma nak menjaga kesihatan diri.


SURAT PERTAMA


Lepas buang sampah tadi tadi (sebelum naik atas), saya singgah jenguk peti surat yang dah agak lama tak diperiksa. Anak kunci diputar, penutup peti surat dibuka dan ada satu sampul surat yang ‘berisi’ di dalamnya. Baca nama....wah, nama saya!

Surat pertama untuk saya di rumah PP ni...tersenyum sendiri. Terus teringat seorang sahabat blogger yang minta alamat rumah di sini. Mungkinkah darinya?

Monday, 26 October 2020

Honeywell Evaporative Air Cooler 25L CL25AE Memang Terbaik!

Rumah yang kami sewa di PP ni tak dilengkapi dengan alat penyaman udara (air conditioner). Jadinya pada dua bulan pertama berpindah di PP, kami cuba jugaklah tidur hanya dengan tahap sejuk kipas siling dan tingkap bilik yang memang hampir sepanjang hari dibiar sedikit terbuka.

Masa mula-mula memang ok saja, selesa tidur sebab musim hujan dan tak berbahang. Tapi bila tiba musim panas terik dan bilik pulak menghadap matahari petang, memang tak lena tidur dibuatnya. Asyik terjaga malam dek kepanasan. Walaupun rumah di tingkat 16, bukan mesti berangin sejuk sentiasa.


PASANG AIR COND. ATAU BELI AIR COOLER?

Kami mula memikirkan dua pilihan, sama ada nak minta tuan rumah pasang alat penyaman udara atau kami beli saja alat penyejuk udara (air cooler). Manakala alat penyaman udara mudah alih (portable air conditioner) tak termasuk dalam senarai kerana kami dah berpengalaman menggunakannya suatu masa dulu. Agak leceh, perlu letak berdekatan tingkap dan halakan hos ke luar tingkap. Bunyinya juga agak mengganggu tidur saya.

Kami kemudiannya memilih untuk beli air cooler saja atas faktor saiz bilik tidur yang kecil (akan terlampau sejuk jika guna air cond.) dan cuma menyewa untuk tempoh 2 tahun. Air cooler tu nanti boleh jugak digunakan untuk rumah kami di NS bila kami kembali menetap di sana. Tak rugi membeli.

Saya mula membuat carian info berkenaan jenama air cooler yang ada dipasaran. Buat carian di Google dan juga Facebook. Baca setiap komen-komen di Facebook juga membantu kami dalam membuat keputusan. Beberapa kali jugak kami ke kedai elektrik untuk mendapatkan info. Memang bukan mudah nak buat keputusan, sebab ramai yang bagitau beli air cooler cuma membazir sebab tak sejuk dan leceh perlu kerap isi air.


HONEYWELL AIR COOLER
Akhinya, kami memilih air cooler jenama Honeywell. Saya jumpa harga paling rendah ditawarkan di Shopee dan kebetulan seller di Pulau Pinang. Saya terus chat dengan seller untuk bertanya lokasi kedai dan berhasrat nak datang beli di kedai. Tujuannya supaya dapatlah kami guna secepat mungkin.

8.8.2020 - kami beli Honeywell Evaporative Air Cooler 25L CL25AE ni dengan harga RM699 di kedai Ban Huat Electrical yang terletak di Butterworth.

Spesifikasi air cooler kami. Dengan kapasiti water tank 25 liter, tak perlulah kami isi air setiap hari. Biasanya kami isi setiap 2-3 hari sekali. Bergantung kepada kekerapan penggunaan sehari. Biasanya cuma guna semasa solat dan sepanjang waktu tidur malam.

Lebih dua bulan menggunakan air cooler ni, Alhamdulillah kami suami isteri sangat berpuashati! Sangat sejuk walaupun pilih low speed. Kuat sungguh anginnya. Tapi tentulah tak sama seperti kita guna air cond yang terletak tinggi dan lebih menyeluruh rasa sejuk.

Bahagian bertutup hitam tu tempat isi ais. Mula-mula je kami isi ais/ice pack, lepas tu rasa tak perlu. Set Speed-Low, Swing dan Mode-Cool dah cukup memberikan rasa sejuk selesa. Kalau cuaca mendung atau hujan, cukup guna Mode-Fan.

Cara penjagaan? Mula-mula kita wajib baca buku manual supaya faham. Kalau tak baca buku manual, kita ingat rosak atau tak bagus air cooler ni. Juga boleh buat carian di Youtube supaya lebih mudah faham.

Contohnya, air cooler ni akan mengeluarkan semacam bau akuarium yang dah lama tak tukar air. Itu maksudnya kita perlu bersihkan water tank. Tolak air cooler ke bilik air dan buka bahagian bawah untuk buang air yang ada dalam water tank. Kemudian masukkan air dan biar ia mengalir keluar. Siap! Sebaiknya buat proses pembersihan begini sekali dalam seminggu. Sesekali bersihkan juga dust filter dan honeycomb pads yang terletak di belakang air cooler. Kalau nak ia berfungsi dengan baik, kena buat rutin penjagaan begini.

Ok, untuk sesiapa yang masih mencari air cooler mungkin boleh pertimbangkan untuk beli jenama Honeywell ni. Ada pilihan model lain, ikutlah kesesuaian keperluan kita. Bagi saya dan suami, air cooler model CL25AE ni memang memenuhi keperluan kami dan setakat ni sangat berpuashati!

Apa yang penting, beli dan guna air cooler sesuai dengan ukuran ruangan yang dicadangkan. Jangan main beli je tak baca spesifikasi, lepas tu marah-marah kenapa tak sejuk 😀






.

Antara Harapan dan Realiti

Di sebuah restoran di Cameron Highlands...

Harapan 😋

Realiti 😭

Segelas air kordial strawberi bersama sehiris lemon di dalamnya.
Rupa dan rasanya tak berpadanan dengan harga.
RM9.90...ah, tega sekali kamu!

*sudah disampaikan kepada cashier rasa kecewa ini. Mungkin tak mengubah apa-apa, tapi sekurang-kurangnya tidak memendam rasa.


Wednesday, 21 October 2020

Solat Jenazah Ghaib dan Cara Ringkas Solat Jenazah

SOLAT JENAZAH GHAIB

Maksud solat jenazah ghaib adalah solat jenazah yang dilakukan di negeri yang berlainan dari tempat jenazah berada. Ia boleh dilakukan selepas jenazah dimandikan (terdapat juga pendapat yang mengatakan solat jenazah boleh dilakukan bermula dari saat berita kematian).

Cara melaksanakan solat jenazah ghaib adalah sama saja dengan solat jenazah biasa. Cuma bezanya jenazah tiada di hadapan kita.

Boleh baca huraian lanjut mengenai solat jenazah ghaib dan cara solat jenazah di laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan DI SINI.


CARA RINGKAS SOLAT JENAZAH

Bagi kita yang tak pernah atau jarang-jarang melakukan solat jenazah, tentulah ada sedikit kesukaran nak menghafal doa yang perlu dibaca dalam solat jenazah. Tapi itu bukanlah masalah besar, kita masih boleh melakukan solat jenazah secara ringkas.

Solat jenazah dilakukan dengan cara berdiri tegak menghadap kiblat (tanpa rukuk, sujud & duduk) dan bertakbir empat kali (termasuk takbiratul ihram).

Rujuk poster di bawah untuk cara ringkas solat jenazah :

Mudah je kan? Sangat ringkas.


PERGI TAK KEMBALI
Gambar terakhir saya bersama nenek.
Semalam, iaitu pada hari Selasa 20.10.2020 nenek saya (sebelah mak) telah kembali kepada penciptanya dalam usia 89 tahun. Nenek menghembuskan nafas terakhir sewaktu azan Maghrib sedang berkumandang di rumahnya di Johor.

Berakhir sudah kesulitan hidupnya di dunia ini, lebih sepuluh tahun tak mampu berjalan dan beberapa tahun terakhir ini nenek tak mampu mengenali orang-orang di sekitarnya. Setiap kali berjumpa, nenek cuma mengulang-ulang kisah dan menyebut beberapa nama yang masih ada di memorinya.

Sedihnya, saya tak dapat nak menjenguk jenazah nenek buat kali terakhir. Faktor jarak yang jauh (Pulau Pinang - Johor) tak memungkinkan saya untuk sempat berbuat demikian. Tambahan lagi nantinya perlu mengelak laluan Kuala Lumpur dan Selangor yang masih dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Entah berapa lama jadinya.

Apa yang saya mampu buat hanyalah mendoakan dari jauh, menghadiahkan bacaan al-Fatihah & Yasin serta melakukan solat jenazah ghaib (saya lakukan selepas terima khabar dari keluarga di Johor mengatakan jenazah nenek sudah selesai disolatkan).

Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali. Semoga Allah mengampuni dan merahmati roh nenek saya 😢.


Monday, 19 October 2020

Catatan Hujung Minggu

Catatan hujung minggu lalu...

Sekitar pukul 5 pagi hari Sabtu, saya dan suami dah bergerak dari rumah di Pulau Pinang menuju ke Bentong, Pahang. Beginilah sejak dua bulan terakhir, hampir tiada waktu hujung minggu nak bersantai di rumah. Ada tanggungjawab yang perlu dibereskan oleh suami di Pahang, dan saya jadi peneman. Risau jugak kalau suami memandu sendirian untuk perjalanan jauh, kot mengantuk masa memandu. Kalau ada saya, memang saya asyik bercakap itu ini dan sibuk ambil gambar (pemandangan sepanjang perjalanan selalu menarik perhatian saya) 😄

6.45 pagi - pemandangan indah bukit batu kapur di Ipoh. Mendamaikan.

7.40 pagi - melewati pemandangan indah bukit-bukau disinari matahari pagi di Jalan Simpang Pulai - Cameron Highlands. Kali ini kami terpaksa melalui Cameron Highlands kerana nak mengelak melalui Kuala Lumpur/Selangor yang sedang dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Boleh juga isi borang permohonan dan cop di Balai Polis terdekat dengan rumah, tapi tak sempat nak buat gitu.

8.30 pagi - singgah sekejap untuk sarapan pagi di YZ Agro Farm, Kampung Taman Sedia, Tanah Rata. Berbeza dari kunjungan sebelum ni, pagi ni Kampung Taman Sedia nampak agak lengang. Mungkinkah sebab orang-orang Kuala Lumpur/Selangor/Putrajaya tak dapat datang?

Buah strawberi di YZ Agro Farm, boleh beli yang dah siap dipetik. Harganya RM12 untuk 500 gram.

Dari Tanah Rata, perjalanan diteruskan melalui Jalan Ringlet - Sungai Koyan. Nampaknya banyak bahagian jalan yang runtuh dan yang ni paling teruk. Keseluruhan jalan tak boleh dilalui, rosak teruk. Pihak berkaitan dah membina sebatang jalan sementara di bahagian bahu jalan yang tak terjejas, muatlah untuk laluan sehala. Perlu bergilir dengan kenderaan yang datang dari hadapan. 

Pandangan dari sudut lain runtuhan jalan tadi. Saya sempat ambil gambar dari dalam kereta sebab menunggu giliran melalui jalan sementara. Pemandangan yang ngeri dan menakutkan.

Alhamdulillah kami selamat sampai di Bentong sekitar pukul 11.30 pagi, setelah melalui perjalanan lebih 6 jam. Syukur hotel ada bilik kosong bolehlah saya check-in awal dan berehat. Pening jugak kepala lalu jalan berliku-liku, turun naik bukit tadi 😇. Suami pulak teruskan perjalanan ke tempat kerjanya.

Esok pagi (Ahad) sekali lagi kami melalui jalan yang sama tadi untuk kembali ke Pulau Pinang. Fuh! Sebelum ni jarang-jarang dapat naik Cameron Highlands, kali ni sampai dua hari berturut naik 😅. Tapi naik dan lalu jelah kan...


Thursday, 15 October 2020

Red House Bakery 3 Azlina Ina, Tanjung Malim

Bagi yang mengenali nama Azlina Ina tentu tahu bagaimana kegigihan dan semangat beliau untuk terus memajukan diri. Dari seorang suri rumah kepada seorang usahawan pembuat kek yang berjaya. Kagum saya apabila membaca coretan kisah lalu beliau di laman Facebook - Azlina Ina Fans. Kisah beliau sangat memberi inspirasi kepada kita, terutamanya wanita untuk bangkit mengubah kehidupan.

Antara bukti kejayaan beliau - kedai bakeri cawangan ke-3 yang terletak di Tanjung Malim, Perak. Kedai Red House Bakery 3 ni baru memulakan operasi pada 1 Julai 2020 lalu. Untuk ke sini, cari saja ‘Red House Bakery Azlina Ina 3’ di aplikasi Google Maps.

Bahagian dalam kedai. Seorang lelaki (pengurus kedai ini mungkin) menyambut saya dan suami dengan mesra.

Inilah yang saya nak cuba - cheese cake Azlina Ina. Ikutkan keinginan, memang nak ambil setiap jenis satu bekas. Nak merasa semua...haha! Harga untuk semua jenis cheese cake RM18/bekas. Ada juga cupcake, kek 500g/RM29.90 dan kek 1kg/RM59.90.

Sebagai tanda sokongan untuk Azlina Ina, saya beli 4 bekas cheese cake dan sepotong kek butterscoth. Ceh konon ‘sebagai tanda sokongan’, tapi sebenarnya ikutkan keinginan tekak la ni...hehe. Walaupun belum pernah merasa cheese cake beliau, tapi dengan yakinnya saya terus beli banyak. Lagi pulak mengenangkan bukan selalu boleh membeli, datang sini pun secara kebetulan lalu Tanjung Malim.

Semua saya dah rasa, kecuali Red Velvet Indulgence masih belum dicuba. Semuanya sedap! Paling saya suka Choc Indulgence tu. Banana Milky yang warna kuning tu pulak, suapan pertama macam rasa pelik sikit. Lepas tu...eh, sedap jugak. Asalkan cheese cake memang sedap je kat tekak saya ni. Selain kek di atas, saya diberi percuma Korean Cheese Garlic Bread dan Brownies. Pertama kali saya merasa Korean Cheese Garlic Bread, lembut dan sedap!

Selain kedai bakeri di Tanjung Malim, kek Azlina Ina juga boleh didapati di kedai bakeri cawangan lain, di beberapa stesen minyak Shell dan ejen-ejen beliau. Kalau nak buat sendiri pun beliau siap beri resepi. Saya sendiri pernah buat Cheesekut menggunakan resepi beliau, memang lebih sedap berbanding resepi biasa yang saya guna. Beliau gunakan bahan premium, sebab tu harga lebih mahal tapi rasanya pun lebih sedaplah.

Untuk dapatkan info kat mana nak dapatkan kek beliau atau nak resepi, boleh cari di Facebook : Azlina Ina Fans.


Tras Mutiara Hotel, Bentong, Pahang

Tras Mutiara Hotel, penginapan pilihan saya dan suami setiap kali ada urusan di Bentong. Walaupun terdapat pilihan hotel yang lain, setakat ni kami masih kekal memilih Tras Mutiara Hotel.

Kenapa? Sebab hotel ini menawarkan harga yang rendah untuk keluasan bilik yang selesa dan paling penting biliknya bersih. Hotel ni juga ada lif, tak perlu la kami susah payah manjat tangga angkut beg segala seperti kebanyakkan hotel bajet rendah yang lain.


Business Room menjadi pilihan kami setiap kali menginap di sini. Harganya RM85/malam. Pernah dapat sekitar RM77/malam tempahan melalui Agoda. Biasanya saya akan semak harga di Agoda sebelum buat tempahan secara terus dengan pihak hotel. Satu lagi yang bagus di sini, dalam bilik ada  disediakan 2 botol air mineral. Kenapa bagus? Sebab selalu juga dapat hotel yang sediakan air minuman (rasa tak sedap bila diminum), bukan air mineral.

Tandas yang bersih dan selesa.

Menginap di hotel ni kita tak perlu risau masalah parkir kereta, sebab ada banyak ruangan parkir di sekitar dan tak perlu bayar. Tapi kalau parkir di hadapan bangunan, bersedialah kereta dihujani najis burung yang bermalam di sudut atas bangunan...huh!

Nak makan pun mudah, Old Town White Coffee betul-betul di sebelah hotel. Ada juga sebuah kedai makan Melayu sederet dengan hotel, tapi kadang buka kadang tutup. Sesuai untuk saya pergi beli dengan berjalan kaki sewaktu suami pergi kerja. Nak makan di Lemang To’ki pun tak jauh mana kalau menaiki kereta.

Kalau nak mendobi pakaian pun mudah, ada sebuah kedai dobi di situ. Sabun bawa sendiri atau boleh beli dengan harga RM1/pek. Pernah jugak kami mendobi di situ sebelum menyambung perjalanan ke destinasi seterusnya.

Staf di kaunter hotel ni pun bagus dan baik melayan. Pernah sekitar pukul 3-4 pagi kami minta tolong staf kaunter untuk ‘senyapkan’ bunyi bising di bilik berhampiran. Alhamdulillah selesai, dapatlah sambung tidur yang terganggu.


TRAS MUTIARA HOTEL
Off. Jalan Tras, Pusat Perniagaan Mutiara Gemilang,
Bentong, Pahang.
09-222 7788


Tuesday, 13 October 2020

Aku, Buku & Kota Kaherah

Judul : AKU, BUKU & KOTA KAHERAH
Penulis : Shahriman Jamalullayl
Penerbit : Toko Buku Azbakia
Tahun terbit : 2020
Jumlah muka surat : 242
Harga : RM35

Aku, Buku & Kota Kaherah merupakan sebuah memoir perbukuan penulis yang terjebak dalam dunia pesona buku ketika bergelar penuntut di Kaherah, Mesir sekitar pertengahan tahun 90-an hingga awal tahun 2000.

Kaherah, kota lubuk buku dan perkenalan rapat dengan seorang pemuda Mesir membuatkan penulis mula mengenali dengan lebih mendalam tentang dunia buku-buku lama, terpakai dan langka di Mesir. Dari seorang peminat buku, beliau menjadi seorang yang ‘ketagih’ buku!

Penulis ‘membawa’ kita ke kaki-kaki lima jalan raya di Kaherah, bertemu dengan penjual buku-buku terpakai, ke pasar buku terpakai Sur al-Azbakiyyah dan juga ke Ma’rad Kitab (Pesta Buku).

Menerusi penceritaan penulis, barulah saya tahu wujudnya manusia yang ‘gila buku’ sehingga tahap sanggup mencuri buku yang diinginkan, jika gagal membeli. Juga wujudnya manusia yang ‘ketagih buku’, meskipun tidak membacanya tetapi dengan menyelak helaian buku-buku lama dan menyedut aroma buku lama sudah cukup seolah-olah menyegarkan jiwa. Pelik bunyinya kan?


Buku ni sangat sesuai untuk dinikmati oleh pencinta buku, juga mereka yang pernah atau sedang bergelar penuntut di Mesir.






.

Monday, 12 October 2020

Jalan Lama Bentong

Ahad, 11.10.2020

Dari Bentong untuk pulang ke rumah di Pulau Pinang, saya dan suami tak terus masuk lebuh raya. Tetapi kami memilih untuk melalui jalan lama. Memandangkan hari masih siang dan kami tiada apa nak dikejarkan, bolehlah ambil pengalaman melalui Jalan Lama Bentong.

Menghampiri pukul 11 pagi, kami berada di Jalan Bentong - Genting Sempah. Laluan yang agak sunyi, cuma sesekali ada kenderaan lain. Jalannya berliku-liku, ada kalanya begitu sempit. Hampir di sepanjang laluan kami disajikan pemandangan hutan di kanan kiri jalan, juga sebatang sungai yang mengalir agak deras di sebelah kiri jalan.

Saya menurunkan cermin tingkap kereta untuk menikmati udara nyaman. Terubat sedikit kerinduan saya pada suasana hutan. Melalui jalan lama begini memang kadang kala terasa sedikit seram dan risau, lagi pulak bila melalui kesan runtuhan tebing tinggi. Tapi perasaan seronok menikmati hijau alam sambil melayan jalan berliku lebih mempesona. Ia perasaan yang sama sewaktu saya melalui Jalan Tapah - Cameron Highlands, seram bercampur seronok.

Jalan Lama Bentong ini memang sunyi dari kenderaan bermotor, tetapi meriah dengan para penunggang basikal. Jadinya kadang-kala kereta perlu dipandu perlahan mengikut rentak roda basikal mereka. Hendak dipintas pada laluan seperti ini tentulah mengundang bahaya.

Selain sungai yang dapat dilihat di sebelah kiri jalan, di laluan ini juga terdapat kolam air panas di sebelah kanan jalan. Kami sekadar melaluinya tanpa berhenti, jadinya tiada info berkenaan kolam air panas. Perjalanan ini juga akan melalui air terjun yang agak menarik di sebelah kanan jalan. Disebabkan agak sukar untuk berhenti di bahu jalan yang sempit, kami sekadar melihat sambil lalu.

Sekitar 11.50 pagi, kami melalui Jalan Genting Highlands - Batang Kali. Hati-hati jangan terlanggar beruk yang berkeliaran di jalanan.

Perjalanan kami diteruskan hingga ke Tanjung Malim, Perak. Sebelum tu singgah sebentar makan tengahari di Batang Kali. Di Tanjung Malim, sempat saya ajak suami ‘melawat’ kedai kek Azlina Ina sebelum kereta kami memasuki lebuhraya PLUS sekitar pukul 1.45 petang untuk meneruskan perjalanan ke utara.

Video perjalanan di Jalan Lama Bentong berdurasi 24 saat.


Saturday, 10 October 2020

10.10.2020 | Bentong, Pahang

Ada yang berjaga tengah malam tadi shopping di Shopee/Lazada sempena 10.10? 😁. Saya tidur awal malam tadi, keletihan setelah melalui perjalanan jauh sekitar 6 jam untuk tiba di Bentong, Pahang.

Sengaja saya menulis entri hari ini sempena 10.10.2020. Tarikh yang cantik, tapi tarikh tetap sekadar angka yang bertukar saban hari. Tiada istimewa, selain cantik dilihat. Oh ya, ada yang istimewa...promosi jualan sana sini! Kalau ada keperluan, mungkin ini masa yang sesuai.

Pukul 7.32 pagi di Persimpangan Sungai Marong.

Menikmati sarapan pagi di deretan gerai berhampiran simpang tadi. Saya tak pasti apa nama tempat ni. Tapi saya suka ke sini (ini kali kedua) kerana banyak pilihan makanan. Ada nasi lemak, mee/bihun goreng, nasi kerabu, nasi dagang, roti canai dan pelbagai jenis kuih-muih. Memang rambang mata tengok kuih pelbagai rupa dan warna. Meriah!

Di sinilah saya berada hari ini, di Bentong, Pahang. Bukan acara berjalan-jalan sempena 10.10, tapi ke sini atas urusan kerja suami.


* tengah menaip entri ni kadang-kadang gambar hilang, kadang-kadang tulisan di bawah gambar berubah ke atas gambar. Begitu juga entri sebelum ini, jadi gitu. Kejadian yang tak pernah dialami selama menulis blog. Geram pulak. Entah apa yang bermasalah.

Thursday, 8 October 2020

Itik Salai Masthar Nilai

Restoran Itik Salai Masthar Nilai ni saya dan suami jumpa secara tak sengaja pada bulan lepas. Rancangan asalnya nak ke Aunty Aini’s Garden Cafe, tekak dah teringin nak makan masakan tradisi Negeri Sembilan.  

Tapi dalam perjalanan ternampak ada kedai baru dengan papan tanda bertulis Itik Salai Masthar. Memang satu nama yang tak asing, sebab dulu pernah beberapa kali saya makan di kedai Itik Salai Masthar @ Food Valet, Kajang. 

Restoran Itik Salai Masthar Nilai baru je beroperasi di sini. Sebuah tempat makan yang luas, bersih dan selesa. Ruang parkir pun banyak, tak perlu parkir di bahu jalan. Banyak pilihan lauk dan ulaman. Ada juga kuih-muih, kek dan kerepek. Kat sini kena layan diri. Beratur bawa dulang untuk ambil makanan dan seterusnya order air serta buat bayaran di kaunter. Lauk-pauk semua dah diletak dalam mangkuk/pinggan. Tinggal pilih dan ambil je. Memang tersusun dan mudah. Lagi satu yang best, kedai ni tak terasa bahang walaupun berbumbungkan zink sebab dipasang lapisan aluminium di bawah bumbung sebagai penebat haba.

Lauk pilihan kami...keli salai masak lemak cili api, telur itik masak lemak cili api, itik salai dan ulaman. Fuh...dah sekian lama tak makan lauk salai lemak cili api sejak PKP. Memang rasa bahagia betul dapat makan begini. Salai masak lemak cili apinya memang sedap dan cukup pekat! Juga tak terlalu pedas. Itik salai tu pun lembut dagingnya. Alhamdulillah!

Disebabkan tadi makan itik salai lembut sedap, kami bercadang nak beli seekor untuk dibawa balik ke Pulau Pinang. Kami ke pondok salai yang terletak di hadapan kedai. Beginilah rupa dapur salainya. Tapi takde pun yang sedang disalai pada masa ni, sebab mereka dah buat awal dan disimpan sejuk. Memang elok sangatlah, sebab kami nak melalui perjalanan yang jauh. Kami beli seekor itik salai dan minta potong kecil. Harganya RM40.

Itik Salai Masak Lemak Cili Api di Pulau Pinang
Sampai di rumah Pulau Pinang, saya terus asingkan itik salai ke dalam beberapa bekas. Setiap bekas untuk 3 orang makan (tengahari saya seorang, malam berdua dengan suami). Dapatlah 4 bekas, simpan dalam bahagian sejuk beku.

Itik salai masak lemak cili api buatan sendiri. Mudah sangat nak masak menu salai ni. Cuma masukkan itik salai, cili api & kunyit yang ditumbuk/kisar, serai, santan dan sedikit air ke dalam periuk. Api perlahan dan kacau supaya santan tak pecah. Kemudian letak asam keping dan perasakan garam. Masak sampai agak pekat kuahnya. Aroma itik disalai tu sendiri akan menyedapkan rasa masakan. Kalau guna santan segar, lagilah sedap dan pekat. Ni guna santan kotak, agak cair.

Walaupun kami berdua keturunan Jawa Johor, tapi tekak kami gemarkan masakan tradisi Negeri Sembilan. Selain menu salai masak lemak cili api, kami suka sambal tempoyak daun kayu (yang ni agak susah nak jumpa orang jual sedap). Apa tidaknya, kalau dikira-kira kami lebih lama menetap di Negeri Sembilan berbanding negeri asal.