Sunday, 24 April 2022

Kadar Zakat Fitrah Negeri 1443H/2022M & Cara Bayar Zakat Fitrah ‘Online’

WAKTU TERBAIK TUNAI ZAKAT FITRAH

Hari ini dah pun 22 Ramadan, antara perkara yang perlu kita ambil perhatian adalah berkenaan pembayaran zakat fitrah. Bilakah waktu terbaik untuk kita menunaikan zakat fitrah? Jom kita baca info pada poster di bawah :

Kadar zakat fitrah negeri tahun 2022 dan cara bayar zakat fitrah secara online.
Poster oleh Majlis Agama Islam Negeri Sembilan
Walaupun waktu afdhal adalah selepas solat Subuh 1 Syawal sehingga sebelum solat sunat Aidilfitri, tapi lebih selamat jika kita tunaikan zakat fitrah sebelum waktu tersebut. Bimbang terkejar-kejar sampai masanya tak sempat pula sehingga masuk waktu makruh.

KADAR ZAKAT FITRAH NEGERI 1443H / 2022M

Kadar minimum bagi semua negeri adalah sama, iaitu RM7. Cuma yang berbeza ada negeri-negeri yang menetapkan kadar lain mengikut jenis beras yang dimakan. Sila rujuk poster di bawah untuk info lanjut :


Kadar zakat fitrah negeri tahun 2022 dan cara bayar zakat fitrah secara online.
Poster oleh The Inspirasi.

JOM BAYAR ZAKAT FITRAH SECARA ‘ONLINE’

Nak bayar zakat fitrah secara online? Boleh klik pautan di bawah mengikut negeri di mana kita bermastautin atau bekerja. Berkenaan persoalan di mana (tempat) zakat fitrah perlu dibayar, saya sertakan petikan jawapan dari laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan :

Setelah meneliti pendapat makanya zakat fitrah wajib dibayar berdasarkan kepada di mana seseorang itu berada ketika masuknya waktu wajib untuk zakat fitrah iaitu bermula pada malam hari raya sehingga sampai sebelum solat hari raya. Walaupun begitu, melihat kepada realiti semasa, saya lebih cenderung kepada pendapat ihtiyat iaitu kita mengawalkan sedikit masa pembayaran sama ada sehari atau dua hari mengikut apa yang dilakukan oleh para sahabat.

Justeru jika ketika itu beliau masih berada di tempat kerja dan belum pulang ke kampung, lebih elok baginya untuk dia bayar di tempat kerjanya kerana ia bersifat yakin dan tahqiq sedangkan kepulangannya ke kampung masih lagi dalam bentuk sangkaan dzan yang mungkin tidak berlaku.

Begitu juga dengan pembayaran awal boleh menyelesaikan tanggungjawab dengan sebaik mungkin dan bukan dalam bentuk tergopoh gapah atau mungkin berlaku sebarang halangan yang menyebabkan terlepasnya daripada menunaikan zakat fitrah pada waktu wajibnya.

Selain kaedah pembayaran online pada pautan di bawah, sesetengah negeri ada menggunakan kaedah pembayaran online lain (pembayaran di portal/aplikasi tertentu). Yang tu kena buat semakan sendirilah ya. Di bawah ni saya cuma sertakan pautan ke laman rasmi setiap negeri.
WILAYAH PERSEKUTUAN | https://fitrah.zakat.com.my

——————————————————————————————

Alhamdulillah, saya dan encik suami dah pun selesai menunaikan zakat fitrah secara online. Kalau dulu pembayaran kepada majlis agama Islam Negeri Sembilan, kini masuk tahun kedua kami bayar kepada majlis agama Islam Pulau Pinang.

Bagaimana pula kalau nak bayarkan zakat fitrah untuk orang yang bukan di bawah tanggungan kita? Ada syaratnya, mesti dapatkan keizinan tuan badan (bagi mewakilkan iaitu mengeluarkan zakat bagi pihak individu tersebut) kerana zakat fitrah merupakan satu ibadah. Kalau tunaikan tanpa keizinan, ia jadi tidak sah.


* Nak mengulang kaji berkenaan zakat fitrah? Boleh klik pautan DI SINI.


Wednesday, 20 April 2022

Kali Pertama ke Bazar Ramadan di Pulau Pinang

SABTU | 16.04.2022

Setelah hampir dua tahun menetap di PP, akhirnya saya berkesempatan juga ke bazar Ramadan di sini. Sebelum ni bukanlah tak berkesempatan dari segi masa, tapi lebih kepada malas nak keluar bersesak sewaktu berpuasa. Tapi kali ni saya mengalah juga selepas encik suami pujuk paksa. Katanya, jomlah kita tengok-tengok tempat orang. Maka dengan rasa malas, saya menurut jugalah. Kami bersiap-siap dan keluar selepas solat Asar.

Ingatkan nak pergi bazar berhampiran rumah, rupanya encik suami kata nak bawa ke bazar di belah pulau. Memikirkan lokasi agak jauh dan mungkin tak sempat berbuka di rumah, saya bawa bekal sebotol air dan bekas makanan bersama.


BAZAR RAMADAN & PASAR MALAM BAYAN LEPAS
Perjalanan pada awalnya agak lancar walaupun kenderaan agak banyak di Jambatan Kedua PP. Cuma masalahnya bila dah sampai ke tapak bazar, keadaan sesak di sepanjang jalan dan tak jumpa tempat parkir. Alhamduillah selepas berpusing dua kali di kawasan tersebut, dapat jugalah parkir yang sesuai dan selamat.

BAZAR RAMADAN & PASAR MALAM BAYAN LEPAS
Rupa-rupanya, bukan saja ada Bazar Ramadan. Pada hari Sabtu ada Pasar Malam di sini. Bahagian depan ni Pasar Malam dan bahagian belakang bersambung dengan Bazar Ramadan. Bagus juga, saya pun belum pernah ke Pasar Malam di sebelah pulau ni.

Masa kami sampai ni sekitar pukul 6.30 petang. Pengunjung masih ramai dan keadaan sesak. Ada beberapa gerai dah pun habis jualan. Kami bergerak sehingga ke gerai hujung untuk melihat-lihat dan ada juga yang kami terus membeli bila nampak barang jualan tinggal sedikit.

Putu Mayam, tapi di sini dikenali sebagai Putu Mayong @ Mayong. Nampak menarik dan masih panas berasap, kami beli 5 keping/RM3. Lain kali kalau ke sini bolehlah beli lagi, sedap Putu Mayam buatan dari gerai ni.

Ni gerai terakhir kami membeli (walaupun kedudukannya di depan sekali - bahagian Pasar Malam). Selaku penggemar cucur, haruslah saya mencuba. Rupa macam cucur udang, tapi tak ada udang pun dalamnya. Dan saya memang tak suka makan udang, sesuai sangatlah gitu. Nampak orang lain membeli cucur dan telur rebus (yang digoreng). Bila tiba giliran kami, tinggal cucur saja. Cucur siap dipotong dan disertakan bersama sebungkus kuah kacang. Rasanya? Sedap! Cucur rangup di luar dan lembut di dalam, kuah kacangnya pun menepati selera saya.

Selain tu ada beberapa juadah lain yang kami beli. Tapi nampaknya kurang menepati citarasa. Pun begitu tetap juga habis dimakan sebab tak mau membazir rezeki.


BERBUKA DI BAWAH JAMBATAN KEDUA PP
Jadinya, kami berbuka di mana? Di sebabkan tak begitu mahir dengan selok-belok di sini, kami cuma terfikir lokasi di bawah Jambatan Kedua PP. Kami tahu tempat ni pun sebab sebelum ni selalu saja tersesat jalan, nak naik Jambatan Kedua tapi termasuk susur kiri menuju ke bawah jambatan.

Bila sampai, terkejut juga rupanya ramai orang turut berbuka puasa di sini. Ingatkan di padang-padang saja orang berbuka secara ‘bersepah-sepah’. Kami nak parkir kereta pun tak ada tempat. Jadinya terpaksa double parking tapi masih di kedudukan yang selamat. Eh, kemudiannya baru perasan bahawa tempat ni ada notis ‘Kawasan Larangan’ 😅. Yang dilarang itulah yang ramai berkumpul ya.

Sampai ke hujung sana orang parkir dan ramai yang berbuka puasa di tepi-tepi jalan. Kami pula berbuka puasa dengan duduk di bahagian boot kereta sahaja. Lebih sesuai dan mudah. Kami makan sekadarnya, kemudian segera beredar untuk menunaikan solat maghrib dan kembali ke rumah. Sampai rumah barulah sambung makan.

Seronok juga makan di tempat terbuka begini dengan pemandangan lautan dan Jambatan Kedua PP yang cantik dengan cahaya lampu. Sesekali merasa, bolehlah. Saya lebih selesa berbuka di rumah sendiri, senang nak ke tandas dan solat Maghrib.


Tuesday, 19 April 2022

Santai Malam di Kuala Lumpur | Dataran Merdeka

Lokasi terakhir untuk aktiviti santai malam di KL, kita ke Dataran Merdeka. Berbeza dengan Bangunan Sultan Abdul Samad yang lebih tenang kerana tak begitu ramai pengunjung, di Dataran Merdeka suasana begitu meriah dengan pengunjung dan aktivitinya.

Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, Malaysia
Kebetulan semasa berada di Bangunan Sultan Abdul Samad, saya nampak dua buah bas KL City of Lights yang sedang berhenti di Dataran Merdeka. Jadinya dapatlah saya merakam foto di atas. Perkhidmatan bas ini disediakan bagi mereka yang nak melawat tempat-tempat menarik yang terpilih di sekitar Kuala Lumpur pada waktu malam. Bayaran sebanyak RM35 (dewasa / pemegang MyKad). Tempoh lawatan bermula pada pukul 8 - 10 malam. Nak info lanjut? Baca DI SINI.

Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, Malaysia
Saya sebenarnya tak pasti sama ada pernah ke Dataran Merdeka atau tidak. Tapi rasanya pernah ke sini sewaktu lawatan sekolah menengah, hampir 30 tahun yang lalu.

Suasana malam di sini sangat meriah. Di padang ada yang bermain belon buih, ada yang bermain alat permainan yang dibaling ke udara (saya tak tau nak sebut apa) dan ada yang duduk-duduk santai beralaskan tikar. Di laluan pejalan kaki pula agak sibuk dengan pengunjung yang bermain basikal/skuter elektrik yang di sewa, para penjual yang menolak troli barang jualan dan pengunjung yang berjalan santai memerhati sekitar.

Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, Malaysia
Pemandangan indah waktu malam berlatarkan Bangunan Sultan Abdul Samad.

Setelah beberapa kali percubaan merakam foto, dapatlah foto di atas yang paling kurang orang. Seronok juga memerhati gelagat pengunjung di sini. Rata-rata pengunjung adalah orang muda, kami dah umur acik-acik ni takdelah nak sewa basikal/skuter, datang ambil pengalaman suasana di sini saja cukuplah. Perempuan berbaju hitam dan bertudung putih tu penjual belon buih, seronok kami perhatikan belon buih yang dihasilkannya.

Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, Malaysia
Cantik belon-belon buih ni, tambahan pula dengan berlatarkan bangunan bercahaya oren merah.

Semasa kami ke sini belum lagi bulan puasa, sekarang ni pada bulan puasa khabarnya Dataran Merdeka dipenuhi pengunjung berbuka puasa. Bukan saja di Dataran Merdeka, pengunjung turut memenuhi kawasan sekitar Bangunan Sultan Abdul Samad untuk berbuka puasa. Sekarang ni semacam jadi trend orang-orang berbuka puasa di kawasan lapang, tambahan pula dah dua tahun terakhir ni kita berpuasa dalam situasi ‘berkurung’.

Sekitar pukul 10 lebih, kami beredar dari Dataran Merdeka. Melintasi jalan dan kembali menyusuri laluan pejalan kaki untuk ke stesen LRT Masjid Jamek. Naik tren dan sampai di KL Sentral sudah pun melepasi pukul 10.30 malam. Keadaan lengang dan laluan pintas berbumbung ke hotel penginapan pun sudah di kunci. Terpaksalah ikut laluan yang jauh sedikit dan perlu melintas jalan, juga meredah gerimis yang baru saja turun. Alhamdulillah selamat sampai ke bilik hotel.

Paparan video berdurasi 1:06 minit kemeriahan suasana di Dataran Merdeka.


Sunday, 17 April 2022

Santai Malam di Kuala Lumpur | Bangunan Sultan Abdul Samad

Lepas bersantai di tepian sungai (nama glamernya River of Life), jomlah kita berjalan-jalan melihat sekitar bangunan bersejarah yang dinamakan sebagai Bangunan Sultan Abdul Samad.

[info] Bangunan ini dibina pada akhir abad ke-19 oleh pemerintahan British bagi tujuan menempatkan pentadbiran Ibu Pejabat baru. Ia terletak di tapak yang strategik di tengah pusat bandar Kuala Lumpur, iaitu di antara pertemuan Sungai Klang dan Sungai Gombak.

Bangunan dua tingkat ini mempunyai ketinggian 17.5 meter dengan menara jam setinggi 41.5 meter dan meliputi kawasan seluas 10,200 meter persegi. Reka bentuk dan binaannya berbentuk “Soracenic’ berasaskan seni bina Moghul dan Moor. Tingkap dan pintunya berbentuk melengkung seperti masjid-masjid di Cardova dan Mesir.

Nama asal bangunan ini adalah New Government Offices, kemudian dinamakan Federal Secretariat dan akhirnya ditukar kepada Bangunan Sultan Abdul Samad (sempena nama Sultan Selangor yang memerintah ketika itu). - (sumber : wikipedia)


BANGUNAN SULTAN ABDUL SAMAD | BAHAGIAN BELAKANG
Bahagian belakang bangunan ini berhadapan dengan sungai. Maksudnya semasa kita bersantai di River of Life tadi tu, kita sedang berjalan-jalan di belakang Bangunan Sultan Abdul Samad. 

Pemandangan dari belakang bangunan Bangunan Sultan Abdul Samad yang dilimpahi cahaya berwarna biru. Laluan ini dikenali sebagai Laluan Kolonial. Kita boleh berjalan santai menyusuri laluan ini sambil menikmati keindahan malam, atau boleh memilih untuk duduk bersantai di bangku-bangku yang disediakan. Cantik dan tenang je di belakang ni.

Sejenis pokok palma agaknya, cantik meninggi.

Antara sudut yang menarik. Pemandangan berlatarkan Menara Jam Bangunan Sultan Abdul Samad.


BANGUNAN SULTAN ABDUL SAMAD | BAHAGIAN HADAPAN BANGUNAN
Kita menuju ke bahagian hadapan bangunan pula. Kalau di belakang tadi dilimpahi cahaya biru, di depan ni pula disinari cahaya merah oren.

Bangunan lama yang dipelihara dan dipulihara untuk tatapan generasi zaman berzaman. Selain menjadi mercu tanda Kuala Lumpur, ia menyimpan kisah sejarah negara kita.

Seni bina yang menarik.

Pada tahun 2007 Bangunan Sultan Abdul Samad diwartakan sebagai Warisan Kebangsaan dalam kategori Tapak Warisan di bawah Akta 645.

Teringin juga nak masuk bangunan dan mendaki anak tangga berpilin ni, tapi memang tak boleh. Pelawat cuma boleh melihat-lihat luar bangunan je. Ada pengawal keselamatan yang bertugas di belakang dan depan bangunan.

Bangunan Sultan Abdul Samad, foto diambil dari Dataran Merdeka. Hasrat hati nak dapatkan foto yang ‘bersih’ tanpa kereta dan manusia. Tapi memang mustahil bila kita datang pada waktu puncak dan pada malam hujung minggu pulak tu.

Menara Jam setinggi 41.5 meter yang gah ini dijaga dan masih berfungsi dengan baik.

Selesai sudah acara santai malam kami di bangunan warisan ini. Tempat yang menarik kerana keindahan seni binanya, juga dihiasi limpahan lampu dan bolehlah ulang kaji pengetahuan tentang sejarah negara kita.

Ke mana kita selepas ini? Jom ke Daratan Merdeka, cuma di seberang jalan Bangunan Sultan Abdul Samad ni.




Monday, 11 April 2022

Santai Malam di Kuala Lumpur | ‘River of Life’

Kisah beberapa hari menjelang Ramadan, saya dan encik suami mengambil kesempatan berjalan-jalan melihat suasana malam di Kuala Lumpur. Sebenarnya, kami taklah begitu rajin untuk keluar di malam hari. Tapi memandangkan lokasi hotel penginapan dekat je dengan KL Sentral (mudah nak ke mana-mana) dan kami belum pernah berjalan-jalan di KL pada waktu malam, maka kami gigihkan diri jugalah. Kita ambil pengalaman baru, cipta memori baru.

Jadinya, ke mana kita? Dengan menaiki tren dari KL Sentral dan turun di stesen LRT Masjid Jamek, kita kemudiannya perlu berjalan kaki sedikit untuk tiba ke destinasi. Tak biasa dengan KL? Kita guna je aplikasi Google Maps dan pilih mod navigasi. Dengan pilihan mod navigasi berjalan kaki, sampailah kami berdua ke tempat dituju. Ada 3 tarikan utama untuk kita bersantai di sekitar kawasan ini - River of Life, Bangunan Sultan Abdul Samad dan Dataran Merdeka. Masjid Jamek pun menarik juga, tapi bukan dalam destinasi bersantai malam kali ini. Insya Allah ada kesempatan teringin juga nak menunaikan solat tarawih di Masjid Jamek.

Dalam entri kali ini, saya kongsikan suasana malam di River of Life.

‘RIVER OF LIFE’ KUALA LUMPUR
[info] Projek Sungai Nadi Kehidupan atau lebih dikenali sebagai River of Life merupakan satu usaha untuk memelihara dan memulihara sungai menerusi program transformasi Sungai Gombak dan Sungai Klang sepanjang sepanjang 110 km kepada ikon waterfront yang dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2024. (Sumber : wilayahku.com.my)

River of Life, Kuala Lumpur
Pemandangan dari atas jambatan, di bawahnya merupakan aliran Sungai Gombak. Orang agak ramai di atas jambatan ni, masing-masing sibuk berfoto berlatarkan sungai ber’warna biru’. Di sebelah kiri terletaknya Masjid Jamek dan di sebelah kanan terletaknya Bangunan Sultan Abdul Samad dan Dataran Merdeka. Selepas ni kita akan ke laluan pejalan kaki River of Life yang terletak di sebelah kanan. Nak ke jambatan ni? Boleh buat carian di Google Maps ‘The Bridge @ River of Life’.

River of Life, Kuala Lumpur
Laluan pejalan kaki River of Life. Pengunjung berjalan kaki menyusuri sungai sambil menikmati keindahan malam di sini dan pertunjukan air pancut (dalam gambar, di sebelah kiri). Suasana begitu ‘hidup’ dengan limpahan lampu dan alunan muzik yang bertukar ganti. Memang terasa begitu santai berada di sini.

River of Life, Kuala Lumpur
Kolam Biru (Blue Pool), River of Life - berada pada kedudukan pertemuan dua sungai iaitu Sungai Gombak dan Sungai Klang. Pemandangan ‘tarian’ air pancut dan limpahan lampu biru dengan berlatarkan bangunan Masjid Jamek, Menara Berkembar Petronas dan Menara KL, menghasilkan satu panorama yang cukup memukau pandangan.

River of Life, Kuala Lumpur
Pertunjukan air pancut bermula pada pukul 9.15 malam sehingga 11 malam dengan tema berbeza mengikut muzik yang dimainkan. Semasa saya sampai di sini, pertunjukan air pancut baru bermula dengan alunan zikir Asma’ul Husna. Cantik sungguh. Masya Allah!

River of Life, Kuala Lumpur
Pandangan mata saya bukan saja leka memerhati ‘tarian’ air pancut tadi, malah turut terpukau dengan keindahan bangunan Menara KL yang bertukar-tukar warna. 

Jom tengok keindahan sekitar River of Life dan ‘tarian’ air pancut di Kolam Biru dalam paparan video berdurasi 43 saat. Rakaman video tanpa tripod, pegang guna tangan je memang tak stabil. Tapi bolehlah simpan sebagai memori untuk diri sendiri.

Kalau nak dapatkan pemandangan pertemuan dua sungai, boleh ke jambatan satu lagi iatu Masjid Jamek Lookout Point @ River of Life. Tak jauh sangat pun, cuma masa ke sini kami tak tahu info ni. Jadinya tak terus berjalan ke depan lagi.

Selesai di sungai, kita ke bangunan bersejarah pula. Insya Allah catatannya pada entri akan datang.



Thursday, 7 April 2022

Di Hamparan Shamrock Kuseru Nama-Mu

 
Di Hamparan Shamrock Kuseru Nama-Mu
Judul : DI HAMPARAN SHAMROCK KUSERU NAMA-MU
Penulis : Hasrizal Abdul Jamil
Penerbit : Jejak Tarbiah
Tahun terbit : 2020
Jumlah halaman : 392


Buku ketiga dalam siri Travelog Tarbiah oleh Ustaz Hasrizal Abdul Jamil ini membawakan kisah rakaman peristiwa penulis semasa di London, Belfast, Galway dan seluruh pelosok United Kingdom pada era 90-an. Di dalam buku ini, penulis turut mendedahkan secara jujur kisah kehidupan beliau sewaktu melalui titik-titik terendah kehidupan. Memetik kata-kata penulis pada bahagian Mukadimah : Menulis Kelemahan untuk Mencari Kekuatan :

“Kita pada hari ini adalah hasil adunan hitam dan putih semalam. Pahit dan manis, suka dan suka, kejayaan dan kegagalan”.

Jika tak membaca naskhah Di Hamparan Shamrock Kuseru Nama-Mu ini, saya langsung tak pernah mengetahui bahawa penulis pernah melalui detik mendebarkan menjadi tahanan penjara di Greenock, Scotland. Juga bagaimana penulis menghadapi pertuduhan jahat sehingga pihak penaja menggantung biasiswa beliau sewaktu menuntut di Jordan. Membacanya saja membuat saya turut merasa debaran dan tekanan.

Dan kisah-kisah lain yang membuatkan saya menyedari bahawa pengalaman-pengalaman sukar dan mencabar itulah yang telah menjadikan siapa penulis pada masa sekarang. Kita selalu melihat kejayaan atau indahnya hidup seseorang, tapi kita mungkin tak pernah ambil tahu perjalanan hidup yang bagaimana telah dilaluinya untuk mencapai apa yang dimilikinya pada hari ini.

Seperkara lagi, di dalam naskhah ini turut terselit dua bab penulisan oleh tunang (selepas itu menjadi isteri) penulis yang menguatkan lagi kisah yang disampaikan.

Di Hamparan Shamrock Kuseru Nama-Mu

Pelbagai pengalaman penulis sewaktu memegang jawatan Minister of Religion di Belfast Islamic Centre, Northern Ireland sangat menarik dan mengandungi banyak pengajaran juga pencerahan berkenaan satu-satu isu. Antara yang menarik, kisah Laura yang akhirnya memeluk Islam setelah mendengar ceramah paderi di gereja. Paderi memberitahu kepadanya bahawa keseluruhan inti ceramah tersebut sebenarnya diambil daripada al-Quran! Ini kerana tiada keterangan sebaik keterangan al-Quran tentang topik yang dibawa (hubungan ibu & anak dari kandungan hingga penyusuan dan kepentingan menyusukan anak).

Antara petikan menarik di dalam naskhah ini :
  1. Keperluan anak-anak untuk didengari adalah sama seperti keperluan mereka kepada makan dan minum. Jika mereka asyik diarahkan mendengar arahan kita tanpa pernah kita berikan peluang untuk pandangan mereka didengar, kita hanya akan menebalkan tembok pemisah. (bab Jangan Mangsakan Anak Muridku)
  2. Roh kita asalnya “dekat” dengan Allah. Apabila dijauhkan dari asalnya, dia akan terseksa, kesunyian dan menderita seperti jiwa perantau yang tercampak di bumi asing. Sering gelisah dan mahu mengecap asal-usul yang telah ditinggalkan. Jika rintihan hati kita diabaikan, akhirnya ia akan mati lantaran sakit rindu kepada asalnya. Bawalah kembali diri kita semula ke asal kita, bahawa kita dekat dengan Allah. (bab Bawalah Hatimu Pulang Ke Asalnya)
  3. Jangan berlebih-lebihan dalam perdebatan. Jangan berkelakuan fajir dalam pertengkaran. Ketika jawapan dianggap alasan, penjelasan dianggap menegak benang yang basah, diamlah, biarpun diam dianggap kalah. (bab Dalam Menyemai Islam, Jangan Nifak Yang Subur)
  4. Marilah wahai wanita yang berjiwa tinggi, muliakan dirimu dengan dirimu yang sebenar. Dirimu adalah akhlakmu, hikmahmu, kebijaksanaamu, hati budimu, yang semua itu hasil daripada imanmu. Didiklah manusia disekitarmu agar menilai dirimu sama seperti Tuhan menilaimu. Lantas segala penampilanmu adalah mesejmu kepada manusia, bahawa keluhuran erti hidup ini adalah pada melihat kehidupan daripada pandangan Pencipta kehidupan. (bab Cantik : Perhambaan Moden Yang Menyeronokkan)
  5. Kita tidak perlu terlalu terburu-buru mahu mengislamkan sesiapa, sebaliknya harus banyak menumpukan perhatian kepada menerangkan tentang Islam secara baik kepada mereka yang mencari. Tumpuan kepada berhujah dan berdakwah untuk menyebarkan kebaikan serta kebenaran adalah lebih sejahtera daripada usaha mengislamkan non-Muslim secara tergesa-gesa, seolah-olah urusan itu demi kepentingan kita, dan bukannya dia, dan Allah. (bab Ke Gereja Untuk Ke Masjid)
  6. Apa sahaja perbuatan yang tidak dapat dijustifikasikan motifnya secara positif pada neraca agama, adalah lagha (sia-sia). Menghindarkan diri daripada perkara-perkara lagha itu adalah salah satu daripada jalan penting untuk seorang insan beriman mengecap kejayaan di dunia dan di akhirat. (bab Jangan Bakar Buku)
  7. Apa yang utama ialah mati itu tiba dalam keadaan dirimu Muslim. Biar mati di tanah dagang, biar mati di bumi orang, asalkan mati sebagai Muslim, cara mati yang dibentuk oleh cara hidup. Hiduplah dengan mendampingi Islam, agar matimu sebagai Muslim, biar terasing di hujung bumi. (bab Di bumi Mana Kematianmu?)
  8. Penjagaan alam sekitar mesti diterima sebagai sebahagian daripada dakwah dan jihad di jalan Allah. Lebih kuat iman, kuatlah kita menjaga alam sekitar. (bab Alam Tercemar Apabila Iman Tercalar)
  9. Isteri susah menghargai kebaikan suami. Suami pula sering melupakan kebaikan isteri. Majikan tidak peduli kebaikan pekerja. Pekerja pula asyik mencari kesalahan majikan. Sebab itulah bekerja kerana manusia itu susah. Mahu jasa kita disebut-sebut itu sulit. Kerana itulah, pegang sahaja slogan “God is my CEO”. Buat kerja, biar jadi ibadah. Itu sahaja justifikasinya. (bab Penutup : Di mana Sahaja Kaki Ini Berdiri).
Sambil membaca, sesekali saya merujuk peta di aplikasi Google Maps untuk melihat kedudukan tempat-tempat yang dinyatakan dalam buku ini. Pembacaan jadi lebih seronok bila kita tahu lokasi yang diceritakan (sebab belum pernah sampai, tahu dengan melihat peta pun memadai). Dan barulah saya tahu bahawa Northern Ireland bukanlah sebahagian dari Ireland walaupun berada di kepulauan yang sama.

Di Hamparan Shamrock Kuseru Nama-Mu, sebuah naskhah travelog yang sangat menarik dibaca. Sarat dengan pengajaran juga panduan buat kita. Bacaan sesuai untuk semua, terutamanya orang muda supaya dapat meluaskan pemikiran menerusi perjalanan pengalaman penulis.


“Setiap kamu terhadap kehidupan ini adalah seperti rumah tamu. Setiap hari kamu dikunjungi pelbagai tamu dengan pelbagai kerenah. Bukalah pintu untuk mereka dan layan sebaik yang kamu mampu. Andai kamu menutup pintu, kamu sangka diri makin selesa tetapi hakikatnya kamu semakin kehilangan segala-galanya,” - Jalaluddin ar-Rumi.






.

Tuesday, 5 April 2022

Panorama ‘Hutan Batu’ di Waktu Siang & Malam

Panorama ‘hutan batu’ di sekitar kawasan KL Sentral pada waktu siang dan malam. Siangnya nampak begitu gah, tetapi terasa ‘kaku’. Malamnya lebih menyerlah dan indah dengan cahaya lampu.

 SIANG

KL Sentral Kuala Lumpur
Foto dirakam sekitar pukul 7.50 pagi.

MALAM

KL Sentral Kuala Lumpur
Foto dirakam sekitar pukul 7.50 malam.



Monday, 4 April 2022

GIVE AWAY SR X MITCH MEMOIR KAMPUNG BOY

 


Blurb Memoir Kampung Boy - Ia mengisahkan tentang cerita kanak-kanak di zaman 1970 dan 1980-an di mana watak aku (Kenit) memaparkan aktiviti serta apa yang dialaminya ketika itu. Ketika zaman tiada gajet yang canggih, ‘aku’ dan rakan-rakannya bermain apa sahaja yang dapat menghiburkan hati mereka. Kisah ini bermula perpindahan dari Pekan, Pahang ke Johor Bahru (JB). Di JB, ‘aku’ mendapat sahabat karibnya bernama Rais dan Kajid yang memperkenalkan banyak permainan sewaktu zaman dulu, seperti main ‘gundu’, baling selipar, tarik upih pinang, permainan ‘cakar ayam’ dan sebagainya. Namun masa amat mencemburui persahabatan mereka.



————————————————————————————-

Blogger Syazni Rahim buat giveaway lagi! Kali ni hadiahnya senaskhah buku Memoir Kampung Boy untuk 4 orang yang bertuah. Harapnya ada peluang untuk saya menjadi salah seorang yang bertuah tu 😁

Peminat buku? Jomlah sertai giveaway ni. Klik je poster di atas untuk syarat penyertaan ya.


Sunday, 3 April 2022

1 Ramadan 1443 H | Tahun Kedua Berpuasa di Negeri Kedua Terkecil di Malaysia


Simpan gambar 1 Ramadan 1443 H untuk kenangan akan datang. Sayang sekali kedudukan bulan (penyeri gambar) tak kelihatan dari balkoni rumah saya pagi tadi.

Alhamdulillah, saya dan kita semua diberi peluang oleh Allah untuk bertemu dengan Ramadan pada tahun ini. Ramadan sememangnya bulan yang berbeza dan istimewa. Bulan untuk kita kembali berlatih melakukan perkara baik, bercakap yang baik, berfikir yang baik, makan secara baik dan banyak lagi. Lumrah manusia, bukanlah tak tahu tapi kita mudah lupa dan lalai. Adanya Ramadan, sana sini orang ‘mempromosikan’ perkara baik - ajakan bersedekah, ajakan mentadabbur ayat-ayat Allah, ajakan solat berjemaah dan seterusnya. Tinggal saja hati kita lembut untuk menurut atau kekal keras (moga kita terhindar daripada hati yang keras). Peringatan untuk diri saya sendiri sebenarnya. Kadang memang perlu menulis untuk mendidik diri. 

Ramadan kali ini juga merupakan tahun kedua saya dan encik suami berpuasa di Pulau Pinang (PP). Mungkin yang terakhir atau mungkin akan ada tahun-tahun berikutnya, masih belum ada kepastian. Semoga Allah memberi yang terbaik untuk perjalanan hidup kami.

Selamat Menyambut Bulan Ramadan buat semua sahabat blog! Moga Ramadan kali ni kita mampu melakukan yang lebih baik dari segala segi (kita tentu tau apa kekurangan kita pada Ramadan lalu). 




Friday, 1 April 2022

COVID-19 | Fasa Peralihan ke Endemik & Status Vaksinasi

Setelah lebih dua tahun sejak dikuatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pertama pada hari Rabu 18 Mac 2020, bermula hari ini Jumaat 1 April 2022 negara kita mula beralih ke ‘Fasa Peralihan ke Endemik’.

én.dé.mik] | اينديميک

Definisi : (éndémik) penyakit yg sentiasa terdapat pd orang atau daerah tertentu. (Kamus Dewan Edisi Keempat)


Berikut adalah perkara-perkara penting dalam Fasa Peralihan ke Endemik yang perlu kita ambil maklum :

COVID-19 | Fasa Peralihan ke Endemik & Status Vaksinasi
Fasa Peralihan ke Endemik


COVID-19 | Fasa Peralihan ke Endemik & Status Vaksinasi
Status vaksinasi di aplikasi MySejahtera bagi 18 tahun & ke atas.

InsyaAllah pada setiap kesulitan pasti ada jalan keluar. Biar pun dalam hal Covid-19 ini, jalan keluarnya terasa panjang dan meninggalkan parut luka yang dalam bagi ramai orang. Dan sehingga kini kita masih belum pun benar-benar keluar dari cengkaman Covid-19, tetapi kita sedang berusaha semampunya untuk kekal bertahan dalam ‘perjuangan’ ini.

Satu perkara yang perlu kita faham dan ingat,  Fasa Peralihan ke Endemik adalah fasa persediaan kita untuk menerima Covid-19 sebagai endemik. Setelah pelbagai usaha sewajarnya dilakukan selama dua tahun terakhir, tibalah masa untuk kita kembali meneruskan hidup seperti biasa dan menerima Covid-19 sebagai endemik. Terus kekalkan amalan penjagaan diri untuk mengelakkan wabak - memakai pelitup muka di tempat sesak / kawasan bertutup dan elak bersentuhan. Walau pun mungkin kesan Covid-19 bagi yang telah divaksin tidak teruk, tetapi ramai juga yang mengalami gejala berterusan (long covid) selepas pulih daripada jangkitan.


————————————————————
Hari ini juga mencatatkan peristiwa gembira buat adik ipar saya sekeluarga dan tentunya kami sebagai ahli keluarga turut merasa gembira. Setelah lebih kurang 9 tahun berpindah ke Sabah, hari ini mereka sekeluarga meninggalkan bumi Sabah untuk kembali menetap di Semenanjung. Alhamdulillah. Semoga Allah beri rezeki untuk adik saya sekeluarga di Sarawak pula untuk dapat kembali menetap di sini. Pastinya ada hikmah dalam setiap aturan Allah.