Friday, 28 March 2014

MAS : Sudah Tiba Masa Untuk UBAH!

Assalamualaikum ustaz
Nak mintak tolong ustaz bantu saya
Saya bekerja dengan Mas di KLIA, uniform saya berkebaya lengan sampai siku kain terbelah tetapi dibenarkan bertudung, dapat solat 5 waktu. Teman sekerja ade update di status nya dahulu ni yang dia berhenti kerja sebab uniform mas yang ketat dan berbonggol. Apa-apa pun ustaz, saya setuju yang uniform kami tidak menutup aurat sepenuhnya. Bagaimana yang boleh kami buat memandangkan kami tidak boleh berhenti keje kerana sebab2 seperti komitment dan tiada niat lain selain cri rezeki yg halal utk keperluan diri..untuk membantu suami dan ank2..dan ade juga pramugari yg terpaksa tak bertudung semasa kerja dan bila x bertugas pakai tudung..sbb bagi kami nak cari kerja di tempat lain bkn mudah sbb mgkin faktor umur.dan kwn sy ckp rezeki ade di mana2 so boleh berhenti je kje tu..berpuluh ribu staff wanita yang bekerja di Mas yg beruniform begitu..bagaimana ustaz boleh x tlg sy ni x boleh tidor memikirkan bagaimana untuk menangani nye sedangkan sy x boleh berhenti keje..dan mgkin rakan2 sekerja jga ada sbb yg sama.
 
 
MAS PATUT BERI HAK KEPADA PEKERJA WANITA
Dengan musibah menyedihkan berlaku kepada MH 370, pengurusan utama MAS dan pemegang utama sahamnya iaitu kerajaan patut lebih menghormati hak beragama kakitangannya. Mengurangkan dosa dan kain yang terbelah itu tidak menambah untung syarikat MAS kecuali kemudaratan spiritual dan kewangan. Arak yang dihidang juga tidak menambah hebat servis kita. Saya menerima soalan ini sebentar tadi dari kakitangan wanita MAS. BERILAH KEIZINAN dan pilihan kepada kakitangan wanita memakai uniform menutup aurat.
 
-----------------------------------------------------------------------------------------------
 
Islam agama rasmi Malaysia,
MAS adalah milik kerajaan Malaysia,
Namun mengapa terlalu sukar bagi MAS untuk memenuhi hak pekerja Islam?
 
Mungkin kerana Islam kita hanya di atas kertas,
Mungkin kerana Islam kita hanya mainan di bibir!
 
Atau mungkinkah....
Kerana ramai pemimpin yang mengaku Islam,
Tetapi jahil tentang hukum arak dan aurat?
 
Untuk para peneraju MAS...
Sudah tiba masanya untuk UBAH!
 
 
*Kadangkala Allah datangkan kita musibah/kesulitan, supaya kita kembali bertuhan kepada-Nya. Begitu besar kasih sayang Allah!*
 
 
Nota hati : Saya...dan kita semua patut mengambil sesuatu atas musibah yang berlaku. Tiada istilah terlewat dalam melakukan suatu perubahan yang baik.
 


Wednesday, 26 March 2014

529

Hukuman MATI terhadap 529 orang ahli Ikhwanul Muslimin.
  • Pada hari Isnin 24 Mac 2014, Mahkamah Jenayah Minya di Mesir menjatuhkan hukuman mati (suatu pembunuhan sebenarnya) ke atas 529 orang ahli Ikhwanul Muslimin (iaitu penyokong Dr. Morsi, presiden Mesir yang telah digulingkan menerusi rampasan kuasa).
  • Hukuman dijatuhkan dalam dua sesi perbicaraan ringkas. Kedua-duanya hanya berlangsung kira-kira 20 minit!
  • Hukuman ini jelas sekali didalangi rejim pemerintah Mesir untuk mengukuhkan kuasa mereka dan menakut-nakutkan rakyat Mesir menjelang pilihanraya tidak lama lagi.

Sayu - Salah seorang pelajar yang merupakan antara 529 penyokong penentang kudeta yang bakal dihukum mati memeluk adiknya semasa di mahkamah.
 
Demonstrasi pelajar Universiti Alexandria (Iskandariah)...
 
Suarakan bantahan kita!
BANTAHAN & SERAHAN MEMORANDUM
Hari : Jumaat (28 Mac 2014)
Lokasi : Kedutaan Mesir
 
*Ikuti perkembangan terkini Mesir di Fb Mesir Kini.
 
Nota Hati : Di kejauhan, hanya doa mampu dikirimkan buat mereka-mereka yang berjuang di jalan Allah. Moga kebenaran mengatasi kepalsuan.
 


Tuesday, 25 March 2014

MH370 : Takdir dan Redha


Jam 10 malam, pada 24 Mac 2014.
Sidang Media di PWTC memberi jawapan.
Buat kita yang selama ini menanti penuh harapan.
Mendengar ucapan PM dengan penuh debaran.

Berdasarkan data satelit pesawat MH370,
Penerbangan berakhir di selatan Lautan Hindi,
Terhempas? Belum ada kepastian dan bukti,
Tapi itulah kemungkinan yang hampir pasti.

Syukurlah...ada khabar pada hari ke-17.
Meskipun ia tak seindah yang kita harapkan.
Moga ia membuka jalan kepada sebuah jawapan.
Menyingkap tabir misteri sebuah kehilangan.

Di saat segetir ini...
Tiada yang dapat mengubati lara di hati.
Hanya percaya pada takdir Ilahi.
Dan redha atas apa yang terjadi.

REDHA...adalah kunci ketenangan!
DOA...adalah kunci kekuatan!


*Teruskan berdoa agar urusan mencari dan menyelamat (saya masih berharap mereka selamat) dipermudahkan Allah.*
 


Monday, 24 March 2014

Kopi Putih STEVIA

Satu pek besar mengandungi 15 pek kecil.

Suatu hari, suami bawa balik sepeket kecil Kopi Putih Stevia ni.
Ada orang bagi sample kat tempat kerja...katanya.
Dapatlah buat secawan...kongsi minum berdua.
 
Hasil ujian rasa...
Saya kata, memang sedap!
(Padahal saya bukan peminat kopi)
Suami pun setuju.
 
Lepas dari tu, masa tengah shopping barang dapur...
Terus mencari. Tekak rasa teringin merasa lagi.
Bila belek pek ni, baru perasan...
 
 
Tertera di sisi pek 'Setiap belian produk menjana pekerjaan untuk seorang OKU'
Produk ni juga disokong oleh Diabetic Nutri-Food Specialist Malaysia, Persatuan Usahawan Istimewa dan Koperasi Diabetis Kuala Lumpur.
 
Kalau korang berminat dengan produk 'Diabetic Friendly' ni,
harganya RM15.90. Mahal sikit sebab guna STEVIA.
 
 
Nota : Ni bukan entri berbayar, sekadar berkongsi apa yang saya suka. ^_^
 


Friday, 21 March 2014

SELAWAT PERDANA : Malam Cinta Allah & Rasul 1435H

 
Program : MALAM CINTA ALLAH & RASUL 1435H
Tarikh : 21 Mac 2014 (malam ini!)
Masa : 8.00 malam
Lokasi : Dataran Masjid Putra, Presint 1, PUTRAJAYA.
(bersama Habib Syech Abdul Qodir Assegaf dan Habib Ali Zaenal Abidin )
 
 
- Tiada bayaran. Semua dijemput hadir. Datang selewat-lewatnya jam 8.00 malam.
- Muslimin digalakkan memakai pakaian serba putih dan muslimat digalakkan memakai serba hitam.
- Kemudahan pengangkutan BUS SHUTTLE percuma disediakan. Dua pilihan : 
     1) Letak kenderaan anda di 'Park & Ride Putrajaya' dan menaiki bus shuttle yang disediakan. 
     2) Naik komuter KTMB, turun di hentian SERDANG dan menaiki bus shuttle yang disediakan. 
 
- SIARAN LANGSUNG di TVAlhijrah jam 9.00 malam. Allternatif bagi penonton yang berada di luar kawasan liputan TVAlhijrah, tiada aksess untuk saluran UHF, Astro 114 & HyppTV 114 boleh saksikan secara langsung jam 9.00 malam di laman web berikut :
 
 
 
 
Nota hati : Teringin sangat nak pergi. Menonton di depan skrin tentunya tidak semeriah gema selawat/zikir/qasidah di majlis sebenar. Apa kan daya, hakikatnya malam ini saya cuma mampu berada di hadapan skrin...Insya Allah.
 



Thursday, 20 March 2014

POLIGAMI : Topik Yang Sentiasa Hangat!

Isteri cantik...badan slim, kulit putih.
Kiranya cantiklah mengikut piawaian mata dunia.
Anak dah ada tiga orang...comel-comel semua.
Kiranya lengkaplah sebuah keluarga mengikut piawaian manusia.

Tapi...suami tetap juga memandang yang lain.
Poligami menjadi pilihan.

Poligami memang dibenarkan...katanya.
Kedua-dua wanita sanggup bertoleransi atas dasar kasih...katanya.

Saya? Tak mahu komen banyak.
Cuma terfikir...bagaimanalah takdir saya.
Rupa tiada, zuriat pun belum ada!

--------------------------------------------------------------------------------
Ni antara topik yang hangat dibualkan dalam salah satu group WhatsApp saya. Terkejut bila ada kawan yang dah berpoligami pada usia muda begini (belum 40 tahun kira muda lah ya! hehee..). Juga kagum pada isteri pertama yang sanggup berpoligami. Saya doakan mereka bahagia dengan keputusan yang telah dibuat.
 
Terus saya pesan kat suami, "Kalau abang nak kawin lain, bagitau tau. Ada syaratnya. Kena sediakan ............., ...................., ............., dan banyaak lagi!".

 

Wednesday, 19 March 2014

Kacang Pool

 
Baru pertama kali jumpa dan merasa...KACANG POOL. Walaupun katanya ia popular di Johor, tapi ini baru pertama kali saya dan suami (kami berdua anak Johor) berpeluang merasa. Itu pun secara tak sengaja. Datang ke Medan Selera Benteng, Batu Pahat untuk makan Nasi Briyani. Ternampak ada kedai makan jual Kacang Pool, terus order satu. Baru nak mencuba haruslah satu je dulu. Kot tak kena citarasa tekak, taklah membazir.
 
Mula-mula tengok kuahnya, macam kuah kacang untuk makan satay/nasi himpit tu. Bila makan, barulah terasa ada daging kisar. Sedap jugak, lagi-lagi bila diperahkan dengan limau kasturi. Roti tu rasa macam tak cukup je.
 
Menu ni katanya dibawa masuk oleh orang-orang Arab. Tak pastilah kesahihannya. Yang pasti masa kecik dulu, selama duduk Johor tak pernah dengar pulak menu nama Kacang Pool ni. Bagi korang yang ada ke Batu Pahat dan nak merasa boleh ke Medan Selera Benteng, Peserai, Batu Pahat ni. Ada satu kedai je yang menjual (setakat yang saya pergi haritu).
 
Harga? RM5 satu set ni. Rasa macam mahal pulak. Makanya, nak murah kenalah belajar buat sendiri. Cari resepi, jumpa resepi Kacang Pool dari blog Mat Gebu. Korang nak mencuba bolehlah klik kat SINI.
 


Monday, 17 March 2014

FMFA 2014 : Satu Lagi Tamparan Buat Kita

 
(sumber : thestar.com.my)
 Konsert FMFA 2014 (Future Music Festival Asia).
Puluhan ribu penonton hadir dari dalam dan luar negara.
Dan terkini, enam darinya maut!
Katanya...akibat penggunaan dadah berlebihan.
Yang sedihnya...empat darinya adalah *Muslim!
*Berdasarkan nama mereka.
 
 
(sumber: tourism.gov.my)
 Dan bertambah sedih bila tahu...
Konsert ini adalah sebahagian acara dalam kalendar pelancongan Malaysia.
Ya, ia konsert yang direstui dan disokong oleh kerajaan!
 
Kita sibuk berkempen bebaskan diri dari dadah,
Tapi kita yang sediakan wadah belia dan dadah.
Kita risau bila sana sini buang bayi luar nikah,
Tapi kita yang galakkan pergaulan bebas tanpa nikah.
Apa sebenarnya pendirian kita?
 
Bukan. Saya bukan anti kerajaan.
Dek kerana rasa sayang pada negara, saya sedih bila ini yang kerajaan buat.
Sungguh...saya cintakan Malaysia yang berlabelkan 'Negara Islam'.
Hentikan budaya tidak sihat - HIBURAN MELAMPAU.
 
 
Nota: Saya tidaklah menuding jari semata-mata kepada penganjur dan kerajaan yang meluluskan. Kerana pada asasnya setiap dari kita bertanggungjawab terhadap perlakuan sendiri. Tetapi kerajaan sebagai pihak yang mempunyai KUASA, gunakanlah ke arah kebaikan.
 


Sunday, 16 March 2014

Penantian Yang Panjang

 
Pagi ni hujan turun dengan lebat dan lama (dari awal pagi).
Lewat petang semalam pun hujan, tapi cuma seketika.
Setelah menanti berbulan lama.
Penantian yang panjang.
Nikmat tak terkata.
Alhamdulillah!
 
(sumber: fb Sinar Harian)
Misteri MH370...penantian yang terasa panjang dan mendebarkan.
Sidang media semalam oleh PM Najib, memberi sedikit harapan.
Tidak terhempas, tapi mungkin dirampas.
Harapan yang mereka masih hidup.
Insya Allah!
 
 
*DOA...terima kasih kepada semua yang tak henti berdoa dan solat hajat / solat istisqa'. Teruskan doa kalian untuk kesejahteraan dan keselamatan negara kita.* 
 
 
p/s: di saat entri ini dihasilkan, hujan masih membasahi bumi..
 


Friday, 14 March 2014

Panas dan Kering

Ni cerita hujung minggu lalu...
balik kampung di Johor.
 
Di lebuhraya PLUS, jerebu. Bau asap memang kuat dan kesan terbakar kelihatan hampir di sepanjang perjalanan. Kebanyakkannya memang masih mengeluarkan asap, dan ada jugak yang sedang terbakar. Pokok-pokok besar tepi jalan ni pun banyak yang kering. Sedih tau!
 
 
Ni di laluan Pontian-Batu Pahat. Pokok-pokok di tepi jalan ni menghasilkan bunga yang luar biasa banyak. Cantik! Lagi-lagi bila angin bertiup, bunganya berjatuhan atas jalan. Sebelum ni tak perasan pokok ni ada bunga yang cantik. Nampaknya cuaca panas dan kering memang sesuai untuk pokok ni.
 
 
Sampai rumah mak saya, sedih pulak...tengok dinding rumah banyak yang retak. Yang retak semuanya melibatkan ruang tambahan. Rumah asal Alhamdulillah tiada keretakan (kecuali di kaki lima keliling rumah). Ruang tambahan pun bukannya baru, dah lebih kurang 20tahun dibina. Mungkin disebabkan faktor perubahan cuaca yang agak melampau (panas dan tanpa/sedikit hujan sekian lama), juga faktor binaan yang kurang baik.
 

 
Nota hati : Segalanya kabur....asap jerebu yang menyelubungi persekitaran dan nasib MH370 yang masih samar. Sungguh...ada sesuatu yang perlu kita pelajari dan insafi pada setiap yang berlaku.
 


Thursday, 13 March 2014

SHiemaCMa 1st Giveaway 2014

 
http://shiemacma.blogspot.com/2014/03/shiemacma-1st-giveaway-2014.html?m=1
 
 GA oleh blogger Cma ni memang simple.
Masa diberi pun sekejap je.
Harap diterima ya Cma, penyertaan saat akhir saya ni.
^____^


Hati-Hati Pilih Kontraktor

Walaupun tajuknya 'hati-hati pilih kontraktor',
tapi saya takde tips untuk pilih kontraktor pun.
Sekadar nak berkongsi pengalaman di perumahan baru saya.

Masa mula-mula dapat kunci rumah...
Memang ramai kontraktor yang datang memberi tawaran.
Setiap kali saya datang tengok rumah, tiap kali tu ada yang mendekati.
Kadang sebab rimas...saya tutup pintu rumah.
Sebabnya pada hari-hari awal dapat kunci rumah, memang sibuk.
Sibuk check defect...tandakan, tulis pada borang dan ambil gambar.
Memang tak mau diganggu.

Dan lagi...seorang staf pemaju perumahan kami dah berpesan,
Jangan layan atau bayar apa-apa pada kontraktor yang datang ke rumah.
Sebab dah ada yang kena tipu (pembeli di projek perumahan berdekatan).
Duit deposit dah bayar, tapi kontraktor tak datang buat kerja.
Dia nasihatkan cari kontraktor yang kita tahu di mana kedai/kilangnya.
Senang nak cari/kejar kalau ada sebarang masalah.
Ya, yang ni memang tips!

Kisah jiran-jiran baru saya dengan seorang kontraktor yang sama...
Kontraktor ni lelaki bangsa Cina yang aktif cari pelanggan.
Ada satu rumah jiran saya...dah lebih sebulan tempah grill, tak siap-siap.
Sudahnya dia masuk dan duduk rumah tu tanpa grill.
Jiran berdekatannya pun alami nasib yang lebih kurang sama.
Ada rumah jiran lain pulak, tempah kabinet dapur dan almari baju.
Dari belum pindah, sampai dekat dua bulan pindah...pun tak siap-siap!
Macamana nak siap, kontraktor tu buat sikit-sikit.
Janji nak datang hari sekian sekian, tapi tak muncul.

Kiranya kontraktor ni cari pelanggan ramai-ramai,
Janji sana sini...akhirnya tak terkejar nak buat!
Haish...saya pulak yang geram.

 

Wednesday, 12 March 2014

MH370 : Solat Hajat atau Bubu & Teropong?

Ini usaha yang betul...
 
SOLAT HAJAT & BACAAN YASIN UNTUK MH370
13 MAC 2014 (KHAMIS)
TINGKAT 5, HALL DEPARTURE KLIA
 
-------------------------------------------------------------------------
 
Dan ini, usaha yang mengarut, nampak bodoh...kelakar pada mata saya.
Juga memalukan...non Muslim mesti menyangka inilah cara orang Islam!

Siapa yang jemput bomoh ni ya???
Sesungguhnya..telek-menelek begini tiada dalam Islam.
 
Mujur ada tokoh intelek Islam yang lantang bersuara.
 
*NIAT tidak menghalalkan CARA.
Niat yang baik, tetap menjadi salah jika tak betul caranya.*


Tuesday, 11 March 2014

PAJAM

Assalamualaikum sahabat semua...lama sangat saya meninggalkan blog ni. Kali terakhir menulis pada 24 Januari lalu. Fuh! Paling lama dalam sejarah saya sendiri! Bulan Januari hanya enam entri dan Februari terus kosong! Mac...yang penuh sejarah negara, saya bertekad untuk kembali. 
 
Dan sebenarnya, Februari 2014 adalah sejarah buat saya sendiri (dan suami). Pada 2 Februari lalu, kami dah pun selamat berpindah ke rumah sendiri. Perasaan dan kesibukan persiapan masuk ke rumah baru kepunyaan sendiri dengan rumah baru yang di sewa sangatlah berbeza. Dan...keletihannya juga berlebih-lebih. Hingga terpaksa melupakan hobi menulis di blog.
 
 
Tiga beradik (anak saudara) yang sibuk nak tolong
dan sibuk nak bergambar dalam lori.
 
 
Kini, secara rasminya saya adalah penduduk Negeri Sembilan. Untuk lebih tepat, di PAJAM. Selamat tinggal Selangor dan air percuma (yang telah saya nikmati sekian lama)! Nampaknya takdir hidup banyak membawa saya ke Negeri Sembilan. Bermula dari usia 13 tahun saya merantau dari Johor ke Labu, Negeri Sembilan kerana tawaran belajar. Lepas berkahwin ke Gemencheh & Kuala Pilah pula, kerana pekerjaan suami. Dan akhirnya kini membeli rumah di Pajam (walaupun perancangan asal ingin di Bangi atau Melaka).
 
 
Nota hati : Jangan pernah berhenti mendoakan keselamatan penumpang & anak kapal MH370. Mereka mengharapkan bantuan kita. Yakinlah pada ajaibnya kuasa Allah!