Monday, 28 June 2021

10 Tahun Berblog dan ‘Top Commentators’

10 TAHUN BERBLOG
Semalam pada 27 Jun 2021, genap 10 tahun usia blog saya ini. Alhamdulillah, masih diberi rasa nak menulis walaupun jarang-jarang ada entri baru.

Sahabat blog pun datang dan pergi. Kadang-kadang bila saya baca entri lama dan komen yang ditinggalkan pada entri tersebut, datang rasa rindu. Bila dah kerap tinggal komen, kita dah rasa ada ikatan. Dan bila tiba-tiba mereka menghilang (sama ada dah tak berblog atau blog sudah dipadam), tertanya juga khabar tentang mereka. Ada yang masih menjadi sahabat di media sosial lain dan ada juga yang hilang tanpa khabar. Semoga mereka semua dalam keadaan baik-baik saja.

‘TOP COMMENTATORS’
Tanpa sahabat blog yang datang meninggalkan komen, blog pastinya terasa suram. Terima kasih buat semua blogger yang pernah meninggalkan kata-kata di blog saya ni. Sesungguhnya, itulah jalinan kemesraan antara kita.

Inilah ‘Top 10 Commentators’ blog saya sepanjang kira-kira 365 hari lalu. Saya screenshot semalam. Jomlah ke blog mereka juga, tekan je pautan nama mereka yang terdapat di bahagian kanan blog saya ni.

Kepada sahabat-sahabat ‘Top 5 Commentators’ di atas, ada sedikit cenderahati daripada saya. Mohon berikan butir-butir pengeposan ke e-mail saya - halifa02@gmail.com ya.

10 tahun sudah berlalu, moga saya dapat terus berblog untuk tahun-tahun seterusnya.


Friday, 25 June 2021

Tadabbur Surah Al-Fatihah

 
Judul : TADABBUR SURAH AL-FATIHAH
Penulis : Syahmi Syazeril Azmi
Penerbit : Tadabbur Centre
Tahun terbit : 2020
Jumlah muka surat : 50
Harga : RM20

Tadabbur Surah Al-Fatihah dalam bentuk buku digital (e-book) ini merupakan buku digital kedua yang saya beli. Ia didatangkan bersama siri video tadabbur Surah al-Fatihah, isinya sama seperti dalam buku. Tetapi saya rasa lebih jelas kefahaman selepas menonton video tersebut berbanding hanya membaca buku. Memang betul la kan, kita ni kalau nak belajar sebaiknya kena ada guru menerangkan. Kalau sekadar membaca je, kita cuma faham setakat kemampuan fikiran kita.

Apa perlunya tadabbur? Kalau selama ni kita cuma memahami terjemahan Surah al-Fatihah, elok jugak kita pertingkatkan kefahaman dengan tadabbur - mengetahui maksud tersirat dan tersurat disebalik sesuatu ayat dengan memerhatikan maknanya, hukumnya dan rahsia disebalik ayat tersebut. Semoga dengan kefahaman yang lebih baik akan membuatkan kita lebih mengenali Allah dan lebih berusaha untuk sentiasa dekat dengan-Nya.

Isi buku digital Tadabbur Surah Al-Fatihah ni sangat menarik! Gaya penyampaian yang santai, berwarna-warni dan tidak nampak terlalu ilmiah. Pendek kata, seronok dibaca dan mudah difahami.

Melalui pembacaan buku dan penerangan video Tadabbur Surah Al-Fatihah ini, barulah saya lebih jelas tentang kalimah ‘بسم الله’. Bukan sekadar membawa terjemahan ‘Dengan nama Allah’, tetapi ia merupakan lambang keharmonian dan kemesraan hubungan di antara Allah dan hamba-Nya.

Tadabbur Surah Al-Fatihah ini juga menjelaskan persoalan yang bermain difikiran saya berkenaan beza ar-Rahman dan ar-Rahim. Dengan kata asas yang sama iaitu رحم (kasih sayang), ternyata ar-Rahman dan ar-Rahim mempunyai perbezaan dari segi maknanya.

Mendengar video penerangan oleh Ustaz Syahmi, selain lebih faham ia juga lebih memberi kesan di hati. Kadang-kala saya terasa sebak sendiri.


Saya sangat mengesyorkan kita semua memiliki buku digital Tadabbur Surah Al-Fatihah dan videonya ini untuk lebih memahami surah yang kita baca sekurang-kurangnya 17 kali sehari. Ia juga merupakan salah satu usaha kita untuk mencapai solat yang khusyuk. Disamping tu dapatlah juga kita menyumbang kepada pihak Tadabbur Centre.

Bagi yang nak membeli boleh tekan pautan DI SINI. 


Wednesday, 23 June 2021

Pakaian Sukan Muslimah Pilihan Saya

Kalau dulu, memang susah nak cari pakaian sukan yang sesuai untuk muslimah. Tapi sekarang ni Alhamdulillah kita ada pilihan. Ciri-ciri pakaian sukan mestilah diperbuat daripada material yang ringan, tidak panas dan cepat kering. Dan bila sebut muslimah, pakaian muslimah mestilah yang patuh syariah.

Bagi mereka yang berbadan kurus lurus, lebih mudah dan banyak pilihan. Tapi bila badan kita agak berisi dan bentuk pear, perlulah memilih baju sukan yang agak kembang di bahagian bawah atau disebut juga sebagai potongan A. Tak bolehlah pakai baju potongan lurus biasa tu, jadi ketat di bahagian bawah pulak.

Jadi, apa pakaian sukan muslimah pilihan saya? Buat masa sekarang, ada dua jenama pakaian sukan muslimah yang saya suka dan selesa pakai.

NASHATA

Nashata merupakan jenama pakaian sukan muslimah yang pertama saya cuba beli dan memang jatuh suka dengan material, potongan dan kekemasan jahitan. Baju yang saya pakai dalam gambar di atas ni namanya Riada Jinz Top. Labuh, longgar di bahagian bawah, rekaan sporty namun masih sopan dan feminin. Material polyester microfiber yang sangat ringan, sejuk dan selesa walaupun berjam lama saya melakukan aktiviti di hutan. Setakat ni saya ada dua helai baju jenama Nashata dengan potongan begini, bolehlah buat bergilir masuk hutan.

Seluar yang saya pakai tu pun jenama Nashata - Riada Active Pants, sangat selesa material dan potongan seluarnya. Selepas tu keluar Riada Active Pants II, saya beli tapi materialnya tak sama - terlalu lembik jadi mudah melekap.

SYUACTIVE

Satu lagi jenama pakaian sukan muslimah yang saya suka - SyuActive. Potongan baju SyuActive semuanya sama, iaitu labuh dan longgar di bahagian bawah. Cuma berbeza rekaan dan warna. Material microfiber dan eyelet yang ringan dan selesa dipakai. Setakat ni saya dah memiliki empat helai baju sukan SyuActive sebab ia sesuai dan selesa untuk aktiviti santai.

Materialnya lebih tebal berbanding baju Nashata, jadi kadar lekapan tu kurang. Sesuailah untuk saya bawa masuk dalam air dan pakai sebagai pakaian aktiviti santai lainnya. 

Saya pernah juga membeli sehelai tudung sukan SyuActive, material dan potongan memang selesa. Cuma bagi saya ia sangat nipis jadi melekap bila dipakai. Jadinya setakat ni saya masih kekal memakai tudung sarung material denim dengan potongan slim di bahu jenama Imani Collections.

Ada yang nak cari pakaian sukan muslimah? Saya syorkan dua jenama ni. Boleh buat carian laman web dan kedai Shopee - Nashata, manakala untuk SyuActive boleh dapatkan di Shopee dan Facebook mereka. Biasanya saya beli sewaktu promosi atau gunakan kupon Shopee untuk mendapatkan penjimatan.


Tuesday, 22 June 2021

Perspektif



Ketika kita diuji dengan kesukaran hidup, lalu menganggapnya sebagai satu permasalahan yang menghimpit diri. Ketika itu, fikiran kita akan semakin buntu dalam mencari penyelesaian. Semua jalan seakan tertutup. Jiwa semakin tertekan dan lemah.

Tapi ketika kita diuji dengan kesukaran hidup, lalu menganggapnya sebagai satu cabaran yang perlu dilalui. Ketika itu, fikiran kita akan lebih tenang dalam mencari jalan untuk mengatasi cabaran. Kita akan mulai melihat pilihan-pilihan yang ada. Lalu kita berusaha dan mencuba satu demi satu cara, sehingga kita berjaya keluar dari kesukaran tersebut. Mungkin cepat, mungkin lambat. Hasilnya, jiwa kita menjadi semakin kuat dan bersedia untuk menghadapi cabaran seterusnya.

Ini bukan hanya soal mengubah perkataan ‘masalah’ kepada ‘cabaran’. Tapi mengubah perspektif iaitu cara kita memandang segala kesukaran yang datang dalam hidup. Bagaimana perspektif kita terhadap satu-satu perkara, akan menentukan tindakan kita dan seterusnya akan membezakan hasil yang kita perolehi.

Kita memang tidak mampu mengubah takdir yang tertulis, namun kita boleh mengubah cara kita memandang dan menerimanya. Semoga itu mampu membuat jiwa kita lebih tenang dalam meniti onak duri di sepanjang perjalanan kehidupan ini.





Friday, 18 June 2021

Belacan Pun Beli Online?

Sebenarnya dah begitu lama saya tak membeli belacan. Saya pun dah lupa entah bila dan di mana kali terakhir saya membeli belacan. Sebabnya, selama ni saya mendapat bekalan belacan secara percuma daripada adik ipar yang menetap di Perlis. Biasanya bila adik ipar balik ke kampung kami di Johor, pasti akan bawa bersama pelbagai makanan seperti belacan dan gula melaka dari Perlis. Jadinya ada la bahagian untuk saya.

Tapi bila negara kita dilanda pandemik, pergerakan pun terbatas. Akhirnya stok belacan saya yang biasanya tak pernah putus, habis jua. Apa lagi, buka aplikasi Shopee dan buat carian ‘belacan Perlis’. Tekan itu ini, siaplah acara membeli-belah belacan dan juga ikan kering. Hehe.

Lepas beberapa hari, sampailah belacan yang dibeli. Saya pilih belacan HM Kuala Perlis. Ni bungkusan 100 gram, RM1.50 sebungkus. Beli lebih teruslah senang.

Rupa belacan, jenis lembab. Memang beginilah yang biasa adik ipar saya bagi. 

Saya beli juga ikan gelama kering sebab nak cukupkan RM15, dapat percuma pos. Kebetulan memang tak ada stok ikan kering di rumah ni. Ikan keringnya pun elok bersih.

Belacan dah pun saya guna dalam masakan. Memang puas hati, sedap. Kalau ada yang nak membeli belacan secara dalam talian, bolehlah cuba beli di kedai ‘azlinafirdaus’ ni. Pembungkusan pun baik, ada bubble wrap.

Haa…mudah sungguh sekarang kan? Hampir semua benda kita boleh beli dalam talian. 



Wednesday, 16 June 2021

Terung Berlada @ Balado

Terung masak berlada @ balado
Terung masak berlada atau balado ni merupakan antara masakan kegemaran saya dan suami. Terungnya tu kadang-kala saya goreng menggunakan minyak yang banyak dan kadang-kala saya masak menggunakan air fryer.
 
Tapi cara paling biasa saya buat dan paling saya suka hasilnya adalah cara goreng menggunakan sedikit saja minyak (ala-ala dibakar). Kuali ditutup supaya terung cepat lembut.

Biasanya untuk masakan terung berlada ni, bahan-bahannya ditumbuk kasar atau kalau guna chopper ni pun boleh disesuaikan nak kasar atau halus. Saya lebih suka hasil yang halus.

*****************************

RESEPI TERUNG BERLADA @ BALADO
  • 3 biji terung panjang saiz sederhana
  • 5 biji cili merah - dikisar
  • 2 biji cili api - dikisar
  • 1 biji bawang besar - dikisar
  • 2 ulas bawang putih - dikisar
  • Sedikit belacan - dikisar
  • Pes asam jawa - dibancuh dengan sedikit air
  • Garam & gula
1. Terung dibuang kulit secara berselang seli, dipotong kepada tiga bahagian dan dibelah empat. Kemudian digoreng sehingga terung lembut. Ketepikan.
2. Tumis bahan kisar sehingga pecah minyak dan naik bau.
3. Masukkan air asam jawa, perasakan dengan garam dan gula secukupnya.
4. Masukkan terung goreng tadi, gaul rata. Sedia untuk dihidang.


Inilah resepi yang saya gunakan untuk hasil masakan kali ini. Kadang-kadang saya gantikan belacan dengan bilis. Kadang-kadang juga saya cuma tuangkan sambal ke atas terung goreng, tak digaul rata.







.

Friday, 11 June 2021

Ini Sekolah Kita


Judul : INI SEKOLAH KITA
Penulis : Hidayu Hatta/Musa Nuwayri/Faris Isa
Penerbit : Thukul Cetak
Tahun terbit : Cetakan keempat, 2018
Jumlah muka surat : 124
Harga : RM25

Buku Ini Sekolah Kita merupakan catatan pengalaman tiga orang mahasiswa Malaysia di Jordan yang menumbuhkan pendidikan untuk anak-anak mangsa perang Syria. Mereka melakukan pelbagai cara dan melalui pelbagai cabaran, demi pendidikan anak-anak ini.

Keikhlasan serta kesungguhan mereka dan para sukarelawan lain sangat mengagumkan saya. Bukan mudah nak membahagi masa dan tumpuan untuk dua perkara besar - menjadi penuntut universiti dan memberi pendidikan untuk anak pelarian Syria. Mereka membina sekolah. Sesungguhnya mereka adalah anak-anak muda yang berjiwa hebat!


Membaca coretan pengalaman para penulis di buku ini, membuatkan saya terasa sebak dengan nasib yang menimpa anak-anak pelarian ini. Seperti kisah Rasya, anak perempuan sekitar umur lima atau enam tahun yang ditemui penulis sewaktu dijalanan sedang meminta sedekah. Rasya ingin mewarna bersama penulis, tapi anak ini rupa-rupanya tak pernah mewarna dan tak mengenali warna. Sedih, kasihan nasib mereka.

Ini Sekolah Kita, buku yang nipis tetapi sarat dengan emosi dan semangat juang. Bacaan baik untuk kita semua melihat hidup pada sisi lain sudut dunia. Buku ini tidak dicetak lagi (setakat ini) kerana penerbitnya sudah pun menamatkan operasi pada tahun lalu (2020). Buku ini saya dapatkannya pada harga rendah, tak sampai RM10.

Selain buku Ini Sekolah Kita, buku Lelaki Terakhir Menangis di Bumi (ditulis oleh Musa Nuwayri, salah seorang penulis buku Ini Sekolah Kita) juga membawakan kisah serupa - catatan pengalaman penulis menjalani dunia kemanusiaan di Jordan untuk anak-anak mangsa perang Syria. Saya dah membacanya lama dulu, tapi tak buat catatan di blog.


“Kita mungkin saja tidak mampu mengubah perkara yang berlaku pada masa lepas tapi kita paling kurang masih punya masa depan yang boleh dikawal dengan usaha dan doa yang tidak putus-putus kepada Dia.”
- Ini Sekolah Kita


Thursday, 10 June 2021

Cili Kisar Buat Sendiri

Langit mendung, hujan dah pun berhenti di luar sana. Alhamdulillah...hari ni sejuk dan nyaman terasa. Hari ini jugak di grup WhatsApp sana-sini sedang meraikan kejayaan anak-anak SPM. Apa pun keputusannya, setiap usaha anak-anak wajar kita raikan.

Berbalik kepada tajuk entri saya - cili kisar buat sendiri. Hehe...buat cili kisar pun nak letak kat blog? Letaklah, sebab belum pernah letak. Sebenarnya, selama beberapa tahun terakhir (sewaktu menetap di rumah NS) saya cuma membeli cili kisar daripada jiran. Perusahaan keluarganya, cili kisar yang memenuhi citarasa saya. Maka memang dah lama la saya tak buat sendiri cili kisar ni.

Tapi bila pindah rumah PP ni kenalah buat sendiri, sebab dah beberapa kali membeli tak berkenan pulak. Ok, di bawah ni la cara saya buat cili kisar sendiri :

Langkah 1 - gunting memanjang cili kering, supaya mudah biji cili keluar. Cili kering saya suka beli yang keriting gini, tak terlalu pedas. Lepas tu, ambil dan masukkan dalam periuk. Jangan tuang terus, terikut pulak biji-biji cili yang dah terkeluar tu.

Langkah 2 - rebus cili kering sehingga mendidih, sekitar 10 minit. Tujuannya supaya cili kering cepat lembut dan senang nak kisar. Selain tu, elok jugak direbus sebab cili ni akan jadi sedikit masak. Juga boleh mematikan ulat jika ada. Ada ulat ke? Seumur hidup ni pernah sekali je saya terkena, ulat putih timbul semasa merebus cili kering. Masa tu saya tak potong cili kering secara memanjang, jadi ulat masih boleh menyorok. Punyalah terkejut dan geli, terus buang semua! Haha.

Langkah 3 - siap rebus, kita basuh cili ni. Masuk dalam besen kecil berisi air, ramas-ramas cili biar tanggal biji-biji yang masih ada. Pastu masukkan dalam penapis. Ulang proses ni beberapa kali, saya buat sekitar 5 kali jugak tau. Sebab nak dapatkan cili kisar yang merah tapi tak pedas sangat, kenalah bersihkan biji cili tu sampai tinggal sikit-sikit. Oh ya, dinasihatkan pakai sarung tangan plastik semasa buat proses ni supaya tangan tak pijar. Saya aritu tak pakai, memang terasa pijar la tangan untuk sekitar satu jam lebih. 

Langkah 4 - kisar cili kering dengan campuran air dan minyak masak. Tak ada sukatan tertentu untuk campuran air dan minyak. Tujuan letak minyak supaya cili mudah dikisar halus dan cili kisar nantinya jadi tahan lama.

Siap! Cili kisar buat sendiri. Terjamin bersih, tak pedas sangat dan bebas bau (kadang beli kat kedai ada bau, mungkin bau bahan pengawet).

Masukkan dalam bekas, tunggu sejuk dan bolehlah simpan dalam peti sejuk.

Buat banyak gini, senang nak guna bila nak memasak. Kalau rasa jarang guna dan risau rosak, boleh asingkan dua bekas. Sebahagian simpan di bahagian sejuk beku untuk kegunaan akan datang. Macam saya ni agak kerap guna, sekarang ni kerap mengulang-ulang masak asam pedas.


Wednesday, 2 June 2021

GIVEAWAY SAMBAL BILIS PEDAS - d' SAMBAL licious

Lama sungguh saya tak menyertai mana-mana giveaway atas faktor kurang rajin. Menulis blog ni pun bukan setiap hari, ikut tahap kerajinan bila rasa nak menulis. Tapi bila nampak gambar botol sambal bilis pedas untuk giveaway blogger Fairus ni, terliur pulak rasa. Terbayang makan dengan nasi panas dan telur dadar. Fuh, sedap! Terus la datang rajin saya nak mencoret entri ni. Hehe.

Nak peluang dapat sebotol sambal ni? Klik je gambar☝️ untuk info lanjut giveaway.

Oh ya, giveaway ni blogger Fairus anjurkan sempena pelancaran produk perniagaan beliau bersama isterinya. Tahniah atas kejayaan menghasilkan produk sendiri, bukan mudah. Semoga perniagaan maju jaya!

Tuesday, 1 June 2021

Cerita Beg Plastik di Pulau Pinang

Nak Beg Plastik? RM1!
Kelmarin kami ke KFC, suami seorang jelah masuk untuk membeli sementara saya menunggu di dalam kereta. Tak lama kemudian, suami datang semula ke kereta untuk mengambil beg belanja kami. Katanya, orang-orang yang beratur di hadapannya semua kena caj RM1 untuk beg plastik. Daripada membayar RM1, lebih baik berpatah balik ambil beg belanja di kereta. Hehe. Kalau tak mau beg plastik, susah pula nak bawa makanan yang dibeli.

Biasanya kami memang siap-siap bawa beg belanja setiap kali masuk pasaraya. Tapi ni masuk KFC (buat pertama kali sepanjang berpindah ke PP...haha), itu yang tak terfikir nak membawa beg sendiri.


Tiada Beg Plastik
Yang ni kisah masa baru berpindah ke PP - suatu hari tu saya berbelanja di Daiso, sampai di kaunter saya bagitau nak plastik (masa tu caj beg plastik 20 sen). Petugas di kaunter jawab, “takde beg plastik harini”. Saya buat muka kurang faham, petugas pun bagitaulah bahawa hari tersebut memang tak ada beg plastik dan tak jual beg plastik. Ooh...

Saya beli barang kecik-kecik banyak pula tu. Maka saya terpaksa pergi ke rak jualan dan berfikir-fikir nak beli barang apa untuk dijadikan ‘beg’. Akhirnya saya ambil bakul jaring untuk isi baju kotor sebagai ‘beg’. Bakul jaring tu pun bolehlah digunakan untuk isi baju kotor di rumah, bukanlah membazir pun.


Pulau Pinang - Hari Tanpa Beg Plastik (Isnin-Rabu) dan Beg Plastik RM1 (Khamis-Ahad)

Sejak Julai 2019, kerajaan Pulau Pinang sudah melaksanakan kempen ‘tiada beg plastik’ pada setiap hari Isnin. Mulai Januari 2021 pula, kempen tersebut dibuat untuk 3 hari iaitu Isnin, Selasa dan Rabu. Tiada beg plastik ni maksudnya kita nak beli pun mereka tak jual, macam kisah saya di Daiso tulah.

Selain kempen ‘tiada beg plastik’, mulai Januari 2021 kerajaan Pulau Pinang juga menaikkan caj beg plastik daripada 20 sen kepada RM1 untuk hari Khamis, Jumaat, Sabtu dan Ahad.

Tapi pelaksanaan kempen dan caj RM1 tersebut nampaknya belum menyeluruh di semua premis perniagaan (setakat ni pasar awam dan penjaja memang dikecualikan). Contohnya kalau saya beli di kedai runcit, masih dapat beg plastik percuma seperti biasa. Cumanya kalau setakat beli barang sikit tu memang saya akan menolak diberi beg plastik.


Beg Guna Semula
Sebelum ni memang saya sediakan beg belanja di kereta. Tapi sekarang sejak tinggal di PP lagilah banyak jenis beg saya sediakan di kereta. Yelah, kalau tak bawa atau tak cukup nanti leceh pulak. Walaupun sesetengah orang suka letak je barang dalam troli dan terus bawa ke kereta, tapi saya lebih suka siap-siap mengisi dalam beg guna semula.

Antara jenis beg guna semula dari IKEA yang saya sediakan di kereta. Skynke tu pulak boleh lipat kecil dan simpan dalam beg tangan, mudah.
Saya suka guna beg IKEA ni sebab murah dan berkualiti baik. Selain tu saya sediakan juga beg tahan haba untuk jenis bahan basah seperti ayam, ikan dan makanan sejuk beku. 

——————————————————-

Mungkin ada yang tak bersetuju dengan langkah kerajaan Pulau Pinang dalam hal beg plastik ni, saya pula secara peribadi menyokong usaha yang dilakukan. Kalau tak buat secara semacam paksaan begini, sampai bila-bila pun orang ramai susah nak berubah (termasuk diri saya). Walaupun begitu, masih ada perkara yang perlu ditambah baik dari semasa ke semasa berkenaan isu penggunaan beg plastik ni. Contohnya, mungkin pada masa akan datang perlu ada kempen peniaga menyediakan beg kertas sebagai ganti beg plastik.

* kalau nak tahu ke mana hala duit RM1 dalam kempen ini dan hal-hal berkaitan kempen, boleh baca DI SINI.