Friday, 27 February 2026

Kafe Buku - Hamka Coffee, Bangi

Catatan hari Sabtu, 31 Januari 2026.

Semasa dalam perjalanan pulang ke kampung halaman di Johor, saya sempat singgah di Hamka Coffee - sebuah kafe buku yang terletak di Bandar Bukit Mahkota, Bangi, Selangor. Hamka Coffee yang baru saja dirasmikan sekitar Disember 2025 ini merupakan penjenamaan semula Jejak Buku & Kopi yang dimiliki oleh penerbit dan penjual buku Jejak Tarbiah.

Rumah penerbitan Jejak Tarbiah (JT) tidaklah asing buat saya kerana saya pernah menjadi ejen dropship buku JT sekitar tahun 2019 - 2022. Ketika tempoh tersebut juga saya diberi kesempatan menjadi pembaca pruf buat kali pertama - catatannya di entri INI.

Kafe Buku - Hamka Coffee, Bangi
Kafe buku Hamka Coffee terletak di deretan bangunan kedai yang terletak tak jauh dari jalan utama.

Kafe Buku - Hamka Coffee, Bangi
Bahagian dalam terbahagi dua bahagian - ruang jualan buku dan ruang kafe.

Kafe Buku - Hamka Coffee, Bangi
Kaunter pesanan Hamka Coffee.

Kafe Buku - Hamka Coffee, Bangi
Pilihan pastri dan hidangan pencuci mulut.

Kafe Buku - Hamka Coffee, Bangi
Konsep layan diri. Buat pesanan dan ambil sendiri bawa ke ruang kafe.

Ruang kafe buku. Saya nampak ada rak buku menempatkan buku-buku yang boleh dibaca secara percuma di sini. Saya cuma singgah sebentar, tak boleh nak duduk lepak di kafe.

Kafe Buku - Hamka Coffee, Bangi
Tujuan saya nak membeli buku dengan harga tawaran diskaun. Saya meluangkan masa di ruang jualan buku. Berjalan dari satu rak ke satu rak, membelek dan memilih buku.

Kafe Buku - Hamka Coffee, Bangi
Buku dengan tawaran diskaun 50%. Banyak judul buku yang telah saya miliki.

Kafe Buku - Hamka Coffee, Bangi
Deretan buku karya Tere Liye, penulis kegemaran saya dari Indonesia.

Kafe Buku - Hamka Coffee, Bangi
Turut dijual - pilihan keychain dan pin comel!

Kafe Buku - Hamka Coffee, Bangi
Sarung buku (book sleeve) pun ada dijual. Menarik, tapi saya dah ada satu sarung buku. Cukuplah setakat ini.

Puas membelek, saya membeli empat buah buku karya empat orang penulis tempatan - Pahrol M. Juoi, Dr. MAZA, Azizi Haji Abdullah dan Faisal Tehrani. Dapat pula baucer diskaun pembelian kopi, bolehlah saya gunakan untuk membeli kopi di sini 😊

Kafe Buku - Hamka Coffee, Bangi
Spanish Latte, harga sebelum diskaun RM9.90. Saya tertarik dengan tagline - Buku di tangan, Kopi di cawan. Memang sesuailah dengan konsep kafe buku Hamka Coffee.

Kalau kalian ada ke Bandar Bukit Mahkota di Bangi, bolehlah singgah di Hamka Coffee bagi merasai sendiri pengalaman bersantai di kafe buku. Sambil tu bolehlah membeli buku-buku dijual, kita sokong industri perbukuan negara!







Thursday, 26 February 2026

Kafe Dapur Tok Enda di Kampung Warisan Budaya, Karai, Kuala Kangsar

Catatan hari Ahad, 25 Januari 2026.

Penginapan kami di D’village Hotel & Villas, Karai tidak termasuk sarapan, tetapi kami diberi diskaun 10% jika makan di Kafe Dapur Tok Enda - sebuah kafe yang terletak dalam kawasan tarikan pelancongan iaitu Kampung Warisan Budaya. Penginapan kami dan kampung warisan tersebut dimiliki oleh syarikat yang sama.

Selain makan di kafe, kita juga boleh memilih untuk makan di gerai makan berhampiran (sebelah penginapan) atau boleh ke pekan Karai yang terletak tak jauh dari penginapan. Kami memilih untuk makan di kafe supaya dapat merasai sendiri suasana di Kampung Warisan Budaya dan ingin mencuba hidangan tradisi Karai iaitu kuih kundas.

Kafe Dapur Tok Enda di Kampung Warisan Budaya, Karai, Kuala Kangsar
Pintu gerbang Kampung Warisan Budaya. Lokasinya berhampiran penginapan dan juga Jambatan Victoria, jalan kaki je untuk ke sini.

Kafe Dapur Tok Enda di Kampung Warisan Budaya, Karai, Kuala Kangsar
Seni bina klasik yang menambat hati. Kafe terletak di bahagian hadapan, lepas pintu gerbang terus jumpa Kafe Dapur Tok Enda.

Kafe Dapur Tok Enda di Kampung Warisan Budaya, Karai, Kuala Kangsar
Kami tiba di sini pada pukul 8 pagi, kafe ini baru memulakan operasi.

Kafe Dapur Tok Enda di Kampung Warisan Budaya, Karai, Kuala Kangsar
Ruang makan yang luas, bersih dan selesa. Tiada pelanggan lain, hanya kami berdua.

Kafe Dapur Tok Enda di Kampung Warisan Budaya, Karai, Kuala Kangsar
Terdapat beberapa buah meja di sudut kafe yang menempatkan permainan tradisional seperti dam dan congkak. Memang sesuai dengan tema kampung warisan budaya.

Kafe Dapur Tok Enda di Kampung Warisan Budaya, Karai, Kuala Kangsar
Konsep layan diri. Kami ke kaunter untuk memesan sarapan. Nampak menarik jugalah pilihan menu makanan utama, tapi mungkin sebab kami datang awal jadi cuma nasi lemak saja yang tersedia. Bahagian kudap-kudap tu pun tak semua ada. Juga tiada rezeki nak mencuba kuih kundas (yang katanya ada dijual di sini).

Kafe Dapur Tok Enda di Kampung Warisan Budaya, Karai, Kuala Kangsar
Dah nasi lemak je yang ada, terpaksalah kami pilih makanan yang sama. Nasi lemak Tok Wan, harganya RM10.

Kafe Dapur Tok Enda di Kampung Warisan Budaya, Karai, Kuala Kangsar
Tambah juga kudapan cekodok pisang. Harganya RM3.50. Minuman kami - teh tarik RM2.20 dan air suam 50 sen.

Menurut saya, harga hidangan kami ni berpatutan. Makan pula di tempat yang menarik dan dalam suasana kampung yang damai (sesekali ada bunyi kereta api lalu). Rasa makanan pula, masih boleh dipertingkatkan supaya boleh jadi daya penarik untuk pelanggan datang kembali ke sini.

Kalau kalian ke Jambatan Victoria, bolehlah mencuba sendiri hidangan di sini dan masuk melawat kampung warisan (bayaran dikenakan). Ada juga mini pameran di sebelah kafe (tak pasti percuma atau berbayar), tapi kami tak boleh berlama di sini sebab perlu segera menuju ke lokasi seterusnya di Manong.







Monday, 23 February 2026

Beli Apa di Bazar Ramadan?

Petang semalam saya dan Encik Suami ke bandar Kangar bagi membeli keperluan dapur. Sengaja pergi lepas waktu Asar, jadi bolehlah kami singgah di bazar Ramadan. Kami tinggal di penempatan yang agak terpencil, tak ada bazar Ramadan berhampiran (sekurang-kurangnya sekitar 10 km radius). Orang berjualan di tepi jalan pun hampir tak kelihatan, tempat tak ramai penduduk jadi tak sesuai berjualan.

Ini merupakan kali kedua kami ke bazar Ramadan sejak berhijrah ke Perlis. Tahun pertama berpuasa di sini kami pernah ke bazar Ramadan di Jalan Kok Mak, Padang Besar. Tahun kedua (tahun lepas) langsung tak jejak kaki ke bazar Ramadan di sini.

Terdapat banyak juga pilihan bazar di sekitar bandar Kangar, lokasi paling terkenal - bazar Ramadan di Gua Sami (Gua Cenderawasih). Entah bila nak pergi, bila terkenal tu tentunya keadaan sesak dan susah cari parkir. Rasa malas pulak 😅

Kami ke bazar Ramadan yang terletak di Jalan Penjara, bandar Kangar. Jaraknya kira-kira 25 km dari rumah. Kalau saja-saja mungkin tak sampai, tapi sebab sekali jalan dengan nak membeli keperluan dapur jadi oklah kan.

Gerai jualan tak banyak sangat, jalan sekejap dah habis pusing semua gerai jualan. Pengunjung tak begitu ramai, tak sesak nak membeli. Saya suka begini, santai je.

Kami beli apa?

Encik Suami awal lagi dah sebut nak beli murtabak. Jumpa gerai pertama jual murtabak, terus beli satu keping. Harganya RM6.

Saya nampak penjual sedang menggoreng popia, terus rasa teringin. Beli empat, harganya 1 biji/RM1.

Encik Suami beli kuih akok. Harganya 4 biji/RM6. Eh, macam mahal jugak ya sebiji RM1.50. Ke memang biasa harga gitu? Saya jarang membeli kuih jadi tak tahu harga semasa.

Beli sebungkus Laksa Kuala Perlis, harganya RM4. Saya kurang gemar laksa begini mungkin sebab ia bukan makanan biasa orang selatan. Saya cuba biasakan diri makan laksa sejak berhijrah ke utara kerana ia menu yang sering dihidangkan di kenduri atau acara makan-makan. Tak sedap juga kan kalau selalu menolak pelawaan orang untuk makan laksa. Kena biasakan diri, nanti lama-lama sukalah.

Nampak penjual sedang menggoreng jemput-jemput jagung (loghat tempatan sebut ‘coq jagung’). Teringin pulak, saya beli RM3 dapat 15 biji.

Jumpa satu lagi gerai jual murtabak - Murtabak Mie Warung Ali Kopi. Pelanggan beratur menunggu giliran. Warung Ali Kopi merupakan antara kedai makan terkenal di Kangar, tapi saya belum pernah makan situ.

Tengok ramai beratur, Encik Suami teringin nak mencuba. Tadi awal-awal dah beli sekeping murtabak, tambah lagi dua keping beli di sini 😀. Boleh buat stok makanan frozen. Harganya RM6/sekeping.

Murtabak di sini cuma diberi pencicah cuka bawang, tak ada pilihan kuah kari atau dhal. Sebelum ini saya dah cuba makan murtabak dengan cuka bawang, tapi nampaknya masih belum boleh diterima tekak. Begitulah kepelbagaian makanan di negeri berbeza, kita raikan dan cuba belajar menikmatinya.







Saturday, 21 February 2026

Jambatan Victoria - Jambatan Kereta Api Era Kolonial Berusia Hampir 126 Tahun!



Sebelum ini selalu juga tengok foto orang lain di Jambatan Victoria, tetapi saya tak pernah tahu bahawa dari jambatan ini kita dapat menyaksikan suasana senja yang memukau pandangan

Rezeki saya tiba di sini ketika matahari hampir tenggelam di ufuk barat, dapatlah saya memotret suasana senja di Jambatan Victoria. Tetapi ada beberapa foto di bawah saya rakam pada esok paginya bagi melengkapkan catatan berkenaan jambatan ikonik ini.

Info Jambatan Victoria :
  • Terletak di Karai (dikenali juga sebagai Enggor), Kuala Kangsar, Perak.
  • Nama Jambatan Victoria diambil sempena Ratu Victoria, ia juga dikenali sebagai Jambatan Enggor.
  • Siap dibina pada tahun 1900 oleh pihak Inggeris dan dirasmikan pada Mac 1900.
  • Tujuan pembinaan jambatan kereta api ini bagi memudahkan pengangkutan hasil bijih timah dan arang batu pada era kolonial. Ia juga digunakan sebagai pengangkutan awam.
  • Pada tahun 2002, Jambatan Victoria tidak lagi digunakan untuk laluan kereta api kerana sebuah jambatan konkrit telah dibina selari dengan Jambatan Victoria.
  • Pada tahun 2016, Jambatan Victoria telah diwartakan sebagai warisan negara oleh Jabatan Warisan Negara Malaysia. Ia bertujuan mengekalkan nilai warisan sebagai antara jambatan kereta api tertua di Malaysia.
  • Sehingga kini, jambatan ini masih digunakan oleh pengguna motosikal dan pejalan kaki bagi menyeberangi Sungai Perak (terdapat laluan kecil di sebelah landasan kereta api).

Jambatan Victoria, Karai, Kuala Kangsar
Bahagian hadapan untuk pengunjung naik ke Jambatan Victoria.

Jambatan Victoria, Karai, Kuala Kangsar
Papan tanda stesen.

Jambatan Victoria, Karai, Kuala Kangsar
Di seberang jalan terdapat deretan gerai jualan makanan dan minuman. Foto dirakam pada waktu pagi esok harinya, cahaya matahari pagi dari arah timur.

Jambatan Victoria, Karai, Kuala Kangsar
Cantik bunga liar ni.

Jambatan Victoria, Karai, Kuala Kangsar
Permulaan jambatan. Binaan klasik dengan keindahan cahaya senja menimbulkan kesan dramatik.

Jambatan Victoria, Karai, Kuala Kangsar
Plak peringatan Jambatan Victoria masih kekal sebagai bukti sejarah.

Jambatan Victoria, Karai, Kuala Kangsar
Jambatan diperbuat daripada besi.

Jambatan Victoria, Karai, Kuala Kangsar
Pengunjung boleh berjalan di sini (tepi landasan kereta api), tetapi sebarang risiko tanggung sendirilah ya. Kena melangkah dengan berhati-hati, perhatikan tempat kita pijak tu kukuh.

Jambatan Victoria, Karai, Kuala Kangsar
Bahagian kayu landasan juga ada yang reput. Hati-hati bila memijaknya.

Jambatan Victoria, Karai, Kuala Kangsar
Usang dan klasik. Jambatan ini menyimpan banyak cerita masa lalu. Pada tahun 1941, ia pernah diletupkan oleh pihak Inggeris bagi menghalang kemaraan tentera Jepun.

Jambatan Victoria, Karai, Kuala Kangsar
Jambatan kereta api konkrit (di sebelah kanan foto) dibina selari dengan jambatan lama.

Jambatan Victoria, Karai, Kuala Kangsar
Terdapat laluan kecil untuk motosikal dan pejalan kaki menyeberangi jambatan ini.

Ketika kami di sini, laluan ini agak sibuk dengan motosikal jadinya agak merbahaya bagi kami berjalan di laluan ini. Ada ketika kami berjalan di sini dan bila ada banyak motosikal terpaksalah kami ke sebelah - berjalan di tepi landasan kereta api.

Jambatan Victoria, Karai, Kuala Kangsar
Saya sebenarnya rasa gayat bila berjalan di tepi landasan kereta api sebab ada jarak di antara lantai besi - boleh nampak aliran sungai di bawah 😅

Setakat ini saja saya mampu sampai - di bahagian tengah bagi menikmati keindahan Sungai Perak dari atas Jambatan Victoria. Tak kesampaian hasrat nak berjalan sampai ke penghujung jambatan. Begitulah bila dah bertambah usia, tahap keberanian saya makin berkurangan.

Jambatan Victoria, Karai, Kuala Kangsar
Keindahan aliran Sungai Perak, rakaman foto dari atas Jambatan Victoria. Luas dan bersih.


Video pendek memaparkan keindahan Jambatan Victoria pada waktu senja.







Thursday, 19 February 2026

Catatan 1 Ramadan 1447H

TAHUN KETIGA RAMADAN DI NEGERI PALING UTARA

Alhamdulillah saya dan kita semua masih diberi kesempatan oleh-Nya untuk bertemu dengan 1 Ramadan 1447H. Tahun ini merupakan kali ketiga saya menjalani ibadah puasa di bumi Perlis.

Masih dengan suasana cuaca yang sama seperti tahun sebelumnya - negeri Kedah dan khususnya Perlis sedang mengalami keadaan panas kering. Rumput dan pokok kekeringan seperti musim luruh, sana sini kelihatan kesan terbakar. Syukurlah sejak semalam cuaca bertukar redup, agak lega jugalah bagi kami di sini menghadapi hari pertama berpuasa.


PENGALAMAN PERTAMA SOLAT SUNAT TARAWIH DI MASJID

Tahun-tahun sebelum ini jika bukan di rumah, saya menunaikan solat sunat tarawih di sebuah surau kecil berhampiran rumah. Bila siangnya berpuasa, jadi malamnya rasa malas nak keluar jauh ke masjid. Masjid terdekat terletak kira-kira 5.4 km dari rumah.

Malam tadi saya dan Encik Suami memilih untuk menunaikan solat sunat tarawih di masjid buat kali pertama (sejak berhijrah ke Perlis). Sebetulnya, kali pertama buat saya sahaja sebab Encik Suami dah beberapa kali solat tarawih di masjid disebabkan program berkaitan kerja.

Kami menunaikan solat tarawih di Masjid Solahuddin Al-Ayyubi yang terletak di Padang Besar, Perlis. Padang Besar merupakan sebuah bandar kecil yang terletak di sempadan pintu masuk ke Thailand. Jarak dari rumah kami ke masjid kira-kira 19 km. Bila nak solat di masjid jauh ni kenalah keluar rumah awal. Syukurlah malam tadi jalan raya menuju ke Padang Besar boleh dikatakan lengang, kurang orang nak ke negara jiran pada waktu tersebut.

Ruang solat utama Masjid Solahuddin Al-Ayyubi. Pembahagi ruang material kayu disusun secara berjarak sebagai pemisah ruang solat lelaki dan perempuan. Jadinya jemaah perempuan boleh nampak dengan jelas jemaah lelaki di hadapan.

Jemaah yang hadir ramai juga tetapi tidaklah memenuhi ruang solat yang ada. Jemaah perempuan ada lebih kurang tiga saf. 

Klik foto untuk paparan lebih jelas.
Solat sunat tarawih dijalankan dengan mematuhi garis panduan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis. Buat kali pertama, saya dapat pengalaman yang berbeza berbanding pengalaman solat tarawih sebelum ini.

Pengalaman baharu buat saya :
  1. Solat fardu Isyak dilakukan sebaik sahaja selepas azan Isyak, tiada ruang masa untuk kita solat sunat sebelum solat fardu (qabliyyah).
  2. Tak kedengaran Imam membaca Basmalah (Bismillah) dalam bacaan solat kerana ia dibaca secara perlahan (Sirr). 
  3. Tiada bacaan khusus di antara rakaat solat tarawih. Setelah selesai empat rakaat dengan dua salam, rehat sebentar kemudian sambung empat rakaat seterusnya.
  4. Solat sunat witir dilakukan tiga rakaat dengan satu salam dan satu tasyahhud (Tahiyyat). Tiada Tahiyyat Awal.
  5. Tiada bacaan zikir dan doa selepas solat fardu mahu pun solat tarawih. Selesai solat, masing-masing boleh baca zikir dan doa sendiri.

Amalan di atas bukanlah sesuatu yang pelik, cuma sedikit kejutan bagi sesiapa yang tak biasa seperti saya. Amalan di atas juga bukanlah suatu kesalahan dalam agama kerana setiap pendapat ada hujah yang menyokongnya. 

Kalau selama ini kita mungkin beramal secara ikut-ikutan (mengikut perbuatan tanpa mengetahui sebab dan hujah), tetapi bila berhadapan dengan amalan berbeza begini membuatkan kita perlu berfikir dan mencari ilmu.

Tak perlulah bila dengar amalan begini saja kita terus label ‘Wahabi’ atau ‘ajaran sesat’ tanpa pernah mencari ilmu berkaitan dan mengkaji hujahnya. Apa yang pasti, perbezaan amalan hanya pada perkara ranting (hal berkaitan cabang hukum) bukanlah perkara pokok (hal berkaitan aqidah).


SAHUR PERTAMA

Saya bangun sekitar pukul 5 pagi untuk siapkan sahur. Buat yang mudah je, cuma masukkan ayam yang dah diperap semalaman dalam air fryer dan masak telur hancur.

Sahur kami pagi tadi - greek yogurt, kurma, potongan ayam panggang, roti bakar dan telur hancur (scrambled egg).

Berbuka nanti mungkin masak mi goreng dan buat jus tembikai.


SELAMAT MENUNAIKAN IBADAH DI BULAN RAMADAN BUAT SEMUA SAHABAT BLOG 😊






 

Saturday, 14 February 2026

Menikmati Suasana Petang di Sekitar D’village Hotel & Villas, Karai, Kuala Kangsar

Hampir pukul 6.30 petang, saya dan Encik Suami berjalan kaki keluar dari penginapan di D’village Hotel & Villas. Kami nak pergi ke Jambatan Victoria yang terletak hanya di seberang jalan penginapan, tapi sebelum itu jom kita jalan-jalan menikmati suasana petang tempat yang menjadi lokasi penggambaran filem Zombi Kampung Pisang ini.
 
Karai, Kuala Kangsar, Perak
Cantik pemandangan petang di sini. Binaan klasik Jambatan Victoria, sebatang pohon besar memayungi tempat ini dan cahaya redup matahari lewat petang, semuanya nampak indah di mata.

Suasana petang di sini meriah dengan kenderaan penduduk tempatan yang lalu lalang dan juga para pelancong yang berkunjung ke Jambatan Victoria. Terdapat beberapa buah gerai kecil menjual makanan dan minuman (di sebelah kiri, tak kelihatan dalam foto), ruangan parkir bagi pengunjung Jambatan Victoria (di sebelah kanan, juga tak kelihatan dalam foto) dan jika kita terus berjalan kaki ke depan akan tiba di Dataran Victoria.

Karai, Kuala Kangsar, Perak
Dataran Victoria merupakan sebuah kawasan lapang yang terletak di pesisiran Sungai Perak. Kedudukannya lebih rendah, kami meneruskan langkah kaki untuk turun ke bawah sana.

Karai, Kuala Kangsar, Perak
Kami menyusuri laluan pejalan kaki yang tersedia, kemudian berjalan di bawah Jambatan Victoria dan jambatan konkrit laluan kereta api. Pintu gerbang di seberang jalan merupakan kawasan Kampung Warisan Budaya yang juga menempatkan penginapan jenis vila (rumah tradisional) dan kafe Dapur Tok Enda (lokasi sarapan pagi kami pada esok harinya).

Karai, Kuala Kangsar, Perak
Bahagian bawah binaan Jambatan Victoria. Suatu ketika dahulu, ia merupakan jambatan laluan kereta api. Kini, sebuah jambatan kereta api binaan konkrit telah dibina bersebelahannya.

Dataran Victoria, Karai, Kuala Kangsar
Jambatan Victoria di atas dan Dataran Victoria di hadapan.

Dataran Victoria, Karai, Kuala Kangsar
Kami menyusuri laluan pejalan kaki di pesisir Sungai Perak. Selain kami, ramai juga pengunjung lain yang sedang bersantai di sini - ada yang sedang memancing ikan dan ada yang datang sekadar menikmati suasana. Tempatnya indah dan mendamaikan, tapi terdapat sampah sarap yang mencacatkan pemandangan.

Dataran Victoria, Karai, Kuala Kangsar
Indah alam ciptaan Allah.

Dataran Victoria, Karai, Kuala Kangsar
Jambatan Victoria merentangi Sungai Perak.

Matahari semakin rendah di ufuk barat, kami segera naik ke Jambatan Victoria bagi menikmati keindahan suasana senja di situ.