Monday, 25 May 2020

Catatan Sejarah 1 Syawal 1441H

Selamat Hari Raya kepada semua sahabat blogger!
Alhamdulillah...semalam kita dah melalui 1 Syawal yang penuh bermakna dan pastinya begitu berbeza berbanding tahun-tahun sebelumnya. Lebih terasa berbeza bagi yang terhalang oleh PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) untuk pulang beraya di kampung halaman. Semuanya menjadi satu catatan sejarah dalam lipatan kisah hidup kita. Warna-warni kehidupan, mungkin pahit untuk dilalui namun ada kemanisan tersendiri untuk dikenang.

Atas halangan PKP, raya tahun ni saya dan suami tak pulang beraya di kampung kami di Johor. Sebenarnya ini bukan kali pertama kami beraya berdua, seawal tahun pertama berkahwin kami dah merasa beraya berdua sebab suami perlu bertugas pada 1 Syawal. Masa tu kami tinggal di kuarters pekerja, jadi saya cuma menjemput jiran-jiran pekerja asing untuk datang makan juadah raya (yang saya sediakan dengan susah payah sebab itu pengalaman pertama masak segalanya sendiri). Untuk kali kedua ni, takdelah jemput jiran kan...sebab PKP.


Catatan Sejarah 1 Syawal 1441H Bagi Diri Saya :

1. Tiada kesibukan di malam raya. Tiada aktiviti masak-masak dan kesibukan lainnya yang membuat letih badan yang kadang-kala berlarutan hingga lewat malam. Santai dan tenang.

2. Malam raya yang aman dan bebas sakit hati. Tiada 'serangan' mercun bertalu-talu yang menggegar bagai letupan bom, ia berlaku saban tahun sama ada di rumah mak saya atau di rumah mertua. Sehingga hampir tercetus pergaduhan dek bumbung rumah mertua yang rosak dihujani mercun dan tingkap nako rumah mak saya yang pecah (serta ada kesan terbakar pada langsir) dek lontaran mercun jiran. Anak saudara yang masih bayi pun terkejut dari lena dan menangis. Aduan polis? Pernah adik saya telefon mengadu, tapi jawapannya menghampakan. Masalah tak selesai. Hiduplah kami tahun demi tahun dengan perangai manusia yang pentingkan diri sendiri dan tak terima teguran, hanya masa mampu menyelesaikannya.

3. Menu raya yang sedikit. Pagi raya selepas solat Subuh, saya memulakan kerja memasak. Nasi impit segera dah pun dimasak semalam dengan cara yang mudah dan pantas - menggunakan PPC (Philips Pressure Cooker). Pagi raya selepas solat Subuh, saya terus ke dapur mengukus ketupat palas frozen, memasak Daging Masak Sate menggunakan PPC (daging sudah diperap dengan bahan perapan sejak semalam) dan memasak Lodeh. Bila berdua saja tak perlulah bermacam menu. Saya masak Daging Masak Sate sebab tu makanan kegemaran suami dan merupakan semacam hidangan wajib keluarga sebelah suami. Masak Lodeh pula sebab nak ada kuah dan sayuran, juga sebab ia antara hidangan tradisi bagi orang Jawa Johor. 

4. Menunaikan solat sunat Hari Raya Aidilfitri secara berjemaah di rumah. Kami mulai solat sekitar pukul 9.20 pagi. Terlewat sedikit daripada jadual asal sebab nak selesaikan hal di dapur. Terasa lain perasaannya bila solat sunat raya kali ini berimamkan suami.

5. Mendengar khutbah raya daripada suami. Pada awalnya saya sangkakan tiada khutbah raya (bukan syarat sah solat sunat raya, tak mengapa tak buat). Tapi semasa saya sibuk di dapur memasak awal pagi tadi, rupanya suami pula sibuk berlatih membaca teks khutbah JAKIM di ruang tamu. Alhamdulillah...buat pertama kali dalam hidup dapatlah pengalaman mendengar khutbah raya yang dibacakan oleh suami. Kadang saya nak ketawa sebab rasa macam kelakar dan comel pulak suami baca khutbah, mujur dia tak perasan reaksi saya dek khusyuk menjalankan tugas.

6. Buat video ucapan raya dan video call untuk Mak/Mertua di kampung. Disebabkan internet di rumah Mak saya tak berapa baik untuk kami buat video call, saya pilih untuk rakam video. Selesai solat sunat raya - kami duduk berdua di kerusi ruang tamu, pasang handphone pada tripod dan mula buat video pendek. Terus send ke Mak. Mak reply melalui voice note sambil ketawa-ketawa. Senang hati saya dengar suara Mak bukan dalam nada sedih. Kemudiannya kakak yang berpeluang balik kampung turut berkongsi gambar-gambar raya bersama Mak kami dalam grup WhatsApp keluarga. Manakala untuk mertua, terus buat video call. Walaupun ada gangguan suara, tapi dapatlah saling melihat wajah satu sama lain. Alhamdulillah adanya teknologi membuat kita selalu dekat.

7. Ziarah raya versi PKP. Rumah kami tak berapa jauh dari rumah adik saya (tak sampai 10 minit pemanduan). Tiada perancangan beraya bersama memandangkan adik ipar tak berapa sihat. Jadinya kami ke rumahnya sekadar nak berkongsi juadah raya yang saya masak, hantar depan pintu saja. Tapi kemudiannya kami masuk jugak ke rumah adik memenuhi pelawaannya. Tiada sentuhan fizikal, kami tak bersalaman - raya norma baru.

8. Membeli-belah di Aeon Nilai. Memang tak pernah dibuat seumur hidup - saya ke pusat membeli-belah pada 1 Syawal. Saya dan suami pergi selepas Asar. Orang tak sesak, tapi ramai jugaklah. Masing-masing masih berbaju raya - baju kurung, baju melayu, jubah dan lain-lain. Ramai juga yang sibuk berfoto sana-sini. Satu pemandangan yang asing dan kelakar juga. Kami pula hanya berpakaian santai dan datang dengan tujuan membeli sedikit keperluan kerja suami. Walaupun mulanya agak malas keluar rumah, tapi memandangkan 2 Syawal dah rancang nak berpuasa dan 3 Syawal suami perlu bekerja rentas negeri, maka gagahkan diri ke Aeon pada petang raya.

9. Air fryer raya! Dah agak lama berkira-kira nak beli air fryer, saya dan suami sama-sama dah buat perbandingan dan perbincangan. Dah pilih model apa nak beli. Dah tau harga diskaun terbaik ditawarkan. Jadinya semasa ke Aeon, kami sempat melihat-lihat di bahagian air fryer. Dan...air fryer yang kami nak tu memang sedang beri harga diskaun. Terus jelah beli...hehe.

10. Hari raya yang sangat santai, tak memenatkan dan tak banyak makan. Jauh berbeza dengan raya tahun-tahun sebelumnya. Biasanya selama beberapa hari Syawal tu akan kepenatan berziarah ke rumah sanak saudara dan perut sentiasa sendat dengan juadah raya.


Saya akhiri 1 Syawal dengan rasa syukur kepada Tuhan pemilik alam ini. Yang menghantar wabak juga beserta dengan segala hikmah disebaliknya. Sesungguhnya Allah Maha Tahu dan sebaik-baik perancang. Kita masih berada di Malaysia, tetapi COVID-19 telah mengubah hidup kita sekelipan mata - kita meraikan Syawal bagai berada di negara asing. Tiada masjid untuk menunaikan solat, tiada kemeriahan ziarah raya cara Malaysia, tiada istilah raya pertama kedua dan seterusnya. Hanya ada raya 1 Syawal, di lingkungan sendiri. Begitulah takdir hidup berjalan dengan penuh misteri.

Juadah 1 Syawal kami. Ringkas je, cukuplah untuk dua orang makan. Masak lebih untuk jiran dan adik. Biskut raya pun beli satu jenis, lagi satu jenis adik yang beri.

Suasana dalam Aeon Nilai, sana-sini orang berbaju raya. Mungkin ada keperluan atau mungkin sekadar menghabiskan masa pada 1 Syawal. Pengisian hari raya yang berbeza dari biasa.


Bagaimana dengan catatan sejarah 1 Syawal sahabat-sahabat blogger semua?

Friday, 22 May 2020

Hari Raya Aidilfitri 2020 - Kita 'Back To Basic'!

Insya Allah pada hari Ahad kita akan menyambut Hari Raya Aidilfitri, hari kemenangan umat Islam setelah menjalani ibadah puasa di bulan Ramadhan. Tetapi disebabkan kita masih berada dalam serangan makhluk yang tak nampak dek mata kasar (Coronavirus), maka Hari Raya kita akan jadi jauh berbeza berbanding sebelum ini. Tiada lagi meraikan Raya secara budaya Melayu yang meriah, tetapi kita masih boleh meraikan Raya menurut syariat Islam. Kita back to basic!


Sambutan Hari Raya Aidilfitri Menurut Islam
Antara perkara-perkara ibadah sunat yang dituntut untuk kita lakukan pada Hari Raya Aidilfitri adalah seperti berikut :
  1. Bertakbir sebaik sahaja selepas terbenamnya matahari pada malam raya sehingga sebelum mendirikan solat sunat Hari Raya. Tak tau atau malu-malu nak bertakbir? Buka je YouTube cari 'Takbir Raya Aidilfitri'. Lepas tu kita ikut bertakbir sama.
  2. Menghidupkan malam Hari Raya dengan zikir, solat sunat. Bukan menghidupkan malam raya dengan masak tak siap-siap atau bermain mercun sampai nak terbakar bumbung rumah jiran. Tak salah sibuk memasak atau main bunga api untuk bergembira, tapi jangan lupa buat ibadah sunat jugak ya.
  3. Niat mandi sunat Aidilfitri pada pagi Hari Raya. Kita mandi macam biasa, cuma tambah niat 'Sahaja aku mandi sunat Aidilfitri kerana Allah'.
  4. Memakai pakaian yang paling baik kita ada. Bukan mesti pakai pakaian yang baru dibeli tau, kena faham tu. Jadi jangan sedih kalau tak ada baju baru ya.
  5. Makan (walaupun sedikit) sebelum menunaikan solat sunat Hari Raya.
  6. Menunaikan solat sunat Hari Raya Aidilfitri. Hukumnya sunat muakkad (sangat dituntut).

Menunaikan Solat Sunat Aidilfitri Di Rumah Masing-Masing
Buat pertama kali dalam sejarah hidup kita, tiada solat sunat Aidilfitri di masjid. Ini kalilah...semua ketua keluarga bakal beraksi sebagai imam di rumah masing-masing. Inilah antara hikmah wabak yang melanda. Walaupun hukumnya sunat, tapi rugilah kita tak tunaikan solat yang hanya boleh dibuat bila tiba 1 Syawal saja. Solat sunat ini ditunaikan sebagai tanda kita meraikan Hari Raya Aidilfitri.

Bagi diri saya, sebelum ini sudah agak biasa mendirikan solat sunat Aidilfitri secara sendirian. Kerana pada masa dulu di Johor bukanlah satu budaya bagi orang perempuan ikut menunaikan solat sunat Hari Raya di masjid. Kalaupun bukan di seluruh Johor, tapi begitulah budaya di tempat saya dan tempat suami. Orang lelaki je yang pergi dan kami orang perempuan dengan kesibukan sendiri (siapkan makanan, sibuk isi balang kuih). Bila makin dewasa dan tau keutamaan solat sunat tersebut, saya mula melakukannya sendirian. Nak berjemaah dengan ahli keluarga perempuan yang lain agak sukar, masing-masing sibuk sendiri.

Alhamdulillah...entah mulai tahun bila, budaya tersebut perlahan-lahan berubah. Mula-mula sikit je jemaah perempuan yang ikut solat sunat di masjid. Dan lama-lama bertambah ramai dan meriah. Itu pengalaman saya yang dibesarkan di Pontian, Johor dan kemudiannya berkahwin dengan orang Batu Pahat, Johor. Maka kemudiannya dapatlah saya bersama suami dan mak/mak mertua beriringan ke masjid, kenangan yang indah!


Tatacara Solat Sunat Aidilfitri Di Rumah
  • waktu solat sunat Hari Raya bermula selepas terbit matahari sehingga gelincir matahari. Cakap mudahnya, kita di Malaysia boleh mula solat sunat bermula pukul 8 pagi sehingga sebelum masuk waktu Zohor.
  • solat sunat Hari Raya dilakukan sebanyak 2 rakaat sahaja.
  • sunat membaca سُبْحَانَ اللَّهِ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ، وَلَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ، وَاللَّهُ أَكْبَر diantara selang lafaz takbir yang dibaca sebanyak 7 kali pada rakaat pertama dan 5 kali pada rakaat kedua.
  • niat dalam hati : 'Sahaja aku solat sunat hari raya aidilfitri dua rakaat imam/makmum kerana Allah Ta'ala'.
  • untuk rakaat pertama : sunat membaca doa iftitah → lafaz takbir 7 kali → membaca surah al-Fatihah → membaca surah pilihan (sunat membaca surah al-A'la) → teruskan solat hingga selesai rakaat pertama.
  • untuk rakaat kedua : lafaz takbir 5 kali (selain takbir perpindahan dari sujud ke qiam /berdiri tegak) → membaca surah al-Fatihah → membaca surah pilihan (sunat membaca surah al-Ghaasyiah) → teruskan solat hingga selesai rakaat kedua.

Solat Sunat Aidilfitri Tanpa Khutbah...Bolehkah?
Boleh, solat sunat kita tadi tu tetap SAH walaupun tak baca khutbah. Jadi apakah hukum membaca khutbah raya?
  • jika solat secara berjemaah, hukumnya sunat bagi imam membaca khutbah hari raya (sebanyak dua khutbah sama seperti khutbah Jumaat dari sudut rukun dan perkara sunat dalam khutbah).
  • jika solat sendirian, tidak dituntut membaca khutbah.

Panduan khutbah hari raya : selesai solat, imam berdiri menghadap makmum dan menyampaikan dua khutbah → khutbah dimulakan dengan lafaz takbir 9 kali berturut-turut pada khutbah pertama dan 7 kali berturut-turut pada khutbah kedua. Tak perlu mimbar dan tongkat ya, sebab di rumah. Cuma sediakan kerusi atau tempat duduk bagi imam duduk sebentar antara dua khutbah.

Bagi yang nak membaca khutbah hari raya, boleh dapatkan teks khutbah Aidilfitri 1441H yang disediakan oleh JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) DI SINI.

Nak baca Kit Panduan Sambutan Aidilfitri di Rumah Semasa PKP COVID-19 oleh JAKIM? Boleh klik DI SINI.

Untuk sahabat blogger semua...

Tuesday, 19 May 2020

Kisah Malaysia Berkurung

Tajuk : KISAH MALAYSIA BERKURUNG - Pesan Cinta Daripada Tuhan
Penulis : Abdullah Bukhari Bin Abdul Rahim
Penerbit : Jejak Tarbiah Publications
Tahun terbit : 2020
Jumlah muka surat : 147
Harga : RM15

Buat pertama kalinya saya selesai membaca sebuah e-book. Biasanya sewaktu membaca, jari-jemari menyentuh helaian kertas buku. Tapi kali ini cuma memegang sebuah tablet dan menyelak helaian dengan sentuhan di hujung jari. Pengalaman yang berbeza! Disebabkan teringin nak membaca buku di atas yang pada masa saya membelinya hanya terbit dalam bentuk e-book, maka saya mula belajar menyesuaikan diri untuk membaca buku digital ini.

Sesuai dengan tajuk, isi utama buku digital ini adalah berkaitan isu-isu semasa yang berlaku di awal fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan di negara kita. Isu-isu semasa tersebut dikupas dari sudut pandang seorang agamawan (penulis adalah seorang yang mahir dalam bidang Tafsir al-Quran). Juga renungan hikmah yang kita perolehi disebalik ujian besar COVID-19.

Doa-Doa Ketika Wabak
Berkenaan gesaan bacaan Yasin untuk menghentikan/menghindari wabak. Penulis menerangkan keutamaan mengamalkan doa-doa menghindari wabak yang dibaca dan diajar oleh Nabi SAW, berbanding hanya membaca Yasin. Penulis juga mengajak kita mengamalkan doa tawassul - menggunakan nama Allah. Semuanya dijelaskan dengan baik dan mudah saya faham.

Isu-Isu Semasa
Antara isu yang dikupas penulis adalah berkenaan fenomena nujum tilik 'dengan al-Quran' - ada yang mengaitkan ayat 33 surah al-Ahzab dengan PKP dan COVID-19. Sedangkan ia tiada kaitan. Penulis mengingatkan kita tentang amaran Nabi SAW - bahawa sikap memandai-mandai dengan al-Quran tanpa ilmu yang benar dan sahih boleh membawa kita ke neraka.

Isu lain yang disentuh dan dikupas adalah isu tutup masjid, hand sanitizer yang diruqyah dan lain-lain lagi. Semuanya dijelaskan dengan hujah al-Quran dan hadis.

Muslim Mencari Hikmah
Sebagai Muslim kita seharusnya mencari hikmah dalam setiap kejadian. Penulis mencatatkan antara hikmah PKP adalah menjadikan rumah kita sebagai masjid ganti, menjadi tumpuan malaikat. Memang betul, bila masjid tutup maka inilah peluang kita untuk mendirikan solat berjemaah bersama keluarga, tadarus al-Quran dan pengisian ilmu/ibadah lain. Teringat kisah seorang sahabat saya yang memberitahu bahawa hari ini, buat pertama kali dia berjaya khatam al-Quran di bulan Ramadan secara bertadarus bersama anak-anaknya. Sesuatu yang tak mungkin dapat dilakukan jika tiada PKP (atas sebab kekangan masa, rutin masing-masing). Inilah hikmah PKP. Saya tumpang gembira dan bahagia dengan pencapaian keluarga sahabat saya ni.

Penulis juga menjelaskan bahawa COVID-19 dan PKP menjadi sebab mendapat pahala syahid dan pahala mematuhi pemimpin. Bagi mereka yang meninggal dunia disebabkan wabak COVID-19, kematian mereka dikategorikan sebagai mati syahid. Bagi kita yang kekal bertahan duduk di rumah, juga mendapat ganjaran syahid kerana sabar dan reda dengan wabak dan mendapat ganjaran pahala kerana mematuhi arahan pemimpin. Ya, di dalam Islam hukum mematuhi arahan pemimpin adalah wajib selagi arahan tersebut tak bercanggah dengan agama.


Membaca buku ini membuatkan kita merasa lebih tenang melalui PKP yang bersambung-sambung fasanya. Juga lebih faham dan tersedar dengan pesanan yang Allah sampaikan kepada kita menerusi sebuah musibah pandemik.

Reka letak buku digital ini juga menarik, mudah dibaca dan tak membosankan. Cuma saya kurang puas hati sebab tak boleh 'menconteng' seperti kebiasaan bila membaca bahan ilmiah...haha! Maka saya dah merancang nak memiliki buku versi fizikal yang sekarang sedang dalam proses cetakan. Mudah nak belek-belek lain kali.

 


Saturday, 16 May 2020

Langkah Demi Langkah - Tunaikan Zakat Fitrah Negeri Johor melalui FAST PAY Zakat Fitrah Online

Sebelum ini, bayaran zakat fitrah di Johor hanya melalui amil di setiap kariah. Tetapi dengan serangan wabak COVID-19, pihak Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) menetapkan bayaran zakat fitrah tahun ini hanya melalui on-line (dalam talian) sahaja. 

Ada 5 kaedah untuk kita buat bayaran :
  1. Zakat Johor Online Payment di https://epayment.maij.gov.my/
  2. Fast Pay Zakat Fitrah Online di http://fitrah.maij.gov.my/
  3. Johor Online Payment di https://onlinepayment.johor.gov.my/
  4. SNAP N PAY QR Code
  5. Muat turun aplikasi SNAP N PAY
Semua kaedah pembayaran di atas mengenakan caj bank sebanyak RM0.50 kepada pemegang akaun bank. Info lanjut, kenyataan media dan soalan lazim boleh baca DI SINI.


LANGKAH DEMI LANGKAH - TUNAIKAN ZAKAT FITRAH NEGERI JOHOR MELALUI FAST PAY ZAKAT FITRAH ONLINE.

Saya tidak tinggal di Johor, tapi kali ini saya tunaikan zakat fitrah bagi pihak Mak saya yang tinggal di Johor. Walaupun handphone Mak ada internet, tapi Mak tak tahu untuk buat transaksi secara online. Perbankan internet pun tak ada. Internet Mak hanya untuk kemudahan WhatsApp.

Saya pilih untuk bayar melalui FAST PAY Zakat Fitrah Online. Lebih mudah dan memang pantas tanpa masalah. 

Klik http://fitrah.maij.gov.my/ dan akan nampak paparan begini. Seterusnya klik 'Bayar Zakat Fitrah'

Milikan pembayaran ada pilihan 'Diri Sendiri' atau 'Bagi Pihak Ketiga'. Saya bayar mewakili Mak, maka saya pilih 'Bagi Pihak Ketiga'. Masukkan MyKad Mak dan klik Semak. Selepas tu terus je terpapar maklumat Mak saya pada semua ruangan maklumat, kecuali ruangan e-mail yang masih kosong perlu saya isi (letak e-mail saya). Bagi pembayar baru, perlu isi sendiri semua ruangan maklumat.

Paparan seterusnya - akad zakat fitrah. Kita lafaz akad tersebut. Jangan baca dalam hati pulak tau, sebab 'lafaz' tu maksudnya sebut/bunyikan. Kemudian, klik 'Bayar Fitrah'.

Dah baca maklumat semua betul, boleh teruskan bayaran melalui bank pilihan kita.

Siap buat bayaran, akan terpapar Bukti Pembayaran begini. Saya screenshot je untuk mudah send WhatsApp sebagai gambar ke handphone Mak saya. Katanya resit rasmi akan dihantar melalui e-mail, tapi sehingga kini saya masih belum terima.

Alhamdulillah selesai dengan mudah! Cuma terkenangkan orang-orang yang tiada internet/perbankan internet, tentu susah hati. Pada masa ginilah perlunya saling tolong menolong sesama keluarga/jiran. Bagaimanapun bagi yang sudah berusaha sungguh-sungguh tapi masih gagal menunaikan zakat fitrah, boleh melakukan qada' zakat fitrah. Sila rujuk kepada yang arif berkaitan qada' zakat fitrah.


Sahabat blogger semua dah tunaikan zakat fitrah?

Tuesday, 12 May 2020

Komet

Tajuk : Komet
Penulis : Tere Liye
Penerbit : PT Gramedia Pustaka Utama
Tahun terbit : 2018 (cetakan ke-6, 2019)
Jumlah muka surat : 372
Harga : Rp95.000


Buku ni sebenarnya dah lama dibeli, iaitu sekitar Mac 2019 di Indonesia. Sengaja saya lewatkan pembacaannya memandangkan ini sahajalah karya Tere Liye yang ada pada saya (yang masih belum dibaca). Membaca hasil penulisannya seakan 'vitamin' bagi saya (buat masa ini), selagi boleh saya tak mahu habiskan jika masih belum ada stok buku baru penulisan beliau. Hehe...

Komet merupakan sebuah novel genre fiksyen sains dan fantasi, buku ke-5 dalam siri Bumi. Yang sebenarnya buku ke-6, sebab ada satu judul tu merupakan buku ke-4.5 dalam siri ini. Hmm...memang unik! Novel siri Bumi ini merupakan bacaan yang sesuai untuk remaja, tapi tak salah jika makcik-makcik seperti saya turut membaca dan meminatinya. Ya, saya suka baca pelbagai genre.


Kehidupan Berbeza Dimensi
Siri Bumi mengangkat kisah pengembaraan tiga sahabat iaitu Raib, Ali dan Seli ke dimensi kehidupan yang berbeza - bumi, bulan, matahari, bintang dan komet. Imaginasi penulis membawa kita (pembaca) untuk turut membayangkan kehidupan penduduk di dunia lain yang berbeza dengan penduduk bumi.

Dalam buku Komet, tiga sahabat ini melalui pengembaraan menuju Klan Komet dalam usaha mereka mencari suatu pusaka terhebat di dunia paralel. Mereka terperangkap di Kepulauan Komet yang penuh dengan pelbagai misteri. Mereka menemui Pelaut Kay, Kakek Key, Petani Kay, Dorokdok-dok, Pemimpin Otoritas Pulau Hari Jumaat dan Paman Kay - manusia berwajah serupa di pulau yang berbeza. Aneh!

Tiga sahabat ini juga melalui pelbagai ujian - kejujuran, kebaikan hati, kesabaran, kepintaran, keikhlasan, kekuatan dan melepaskan. Menerusi penceritaan yang menarik, penulis turut mendidik kita secara tak langsung tentang bagaimana sikap yang baik dalam menghadapi satu-satu situasi.

Antara isi buku.
Saya seronok membaca buku begini, seolah-olah kita ikut sama mengembara ke dunia aneh yang tak terjangkau dengan imaginasi sendiri. Kadangkala mendebarkan, kadangkala terasa lelah dan kadangkala terhibur dengan gelagat Ali. Tak sabar nak membaca sambungannya - Komet Minor, yang masih belum saya beli.


"Berhati-hatilah selalu. Di dunia ini ada banyak hal yang kita lihat tidak seperti terlihat. Ada banyak yang kita kenal, tapi tidak seperti yang kita kenal"
- Paman Kay, Komet -





.

Saturday, 9 May 2020

Masak Tak Jadi Pun Nak Tunjuk Jugak?

Beberapa hari lepas...
Saya gigih mencuba buat kuih Kole Kacang.

Kuih kegemaran saya dan suami.
Nak beli, tak jumpa pulak orang menjual.

Elok dah beli tepung kacang hijau bagai,
eh...muncul pulak orang menjual.

Bahan semua dah ada,
kenalah teruskan projek buat Kole Kacang.
Buat carian resepi di internet.
Pilih resepi sukatan guna cawan.
.
.
.

Tahi minyak atau kerak santan ni terhasil daripada 1 cawan santan pekat. Dekat 30 minit jugak exercise tangan kacau santan sampai jadi gini. Bau sedap kemain!

Ringkaskan cerita...tadaaa...siap! Rupa kira jadiklah, rasa ok tak manis sangat, TAPI Kole Kacang ni masuk kategori masakan tak jadi sebab tak lembut 😭


Masak tak jadi pun nak tunjuk jugak?
Memang kena tunjuk kat blog sebagai kenangan.
Pernah la jugak saya cuba buat kuih Kole Kacang ni kan...haha!
Entah bila nak sampai seru untuk mencuba lagi.


Friday, 8 May 2020

Setelah 45 Hari...

Jumaat, 1 Mei 2020
Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) membuat jasad berkurung.
Dunia seharian hanya ruang di sekitar rumah.
Bilik tidur, bilik air, dapur, ruang tamu.
Sesekali keluar mengurus jemuran, juga sedikit pasu tanaman.

Tiada lagi acara jalan-jalan di hujung minggu.
Tiada lagi makan-makan di kedai bagi menghilang bosan masakan sendiri.
Atau aktiviti merentas hutan di Tanjung Tuan sebagai terapi jiwa.
Semuanya terhenti begitu sahaja.

Setelah 45 hari dengan pemandangan sama,
Akhirnya saya keluar seketika melihat dunia luar dari rumah.
Menyaksikan jalanan lengang bebas kesibukan.
Melihat kedai Semangkuk dan lain-lainnya sepi tanpa manusia.
Kehidupan tidak berjalan seperti biasa.

Begitu mudah Allah mengubah segala,
Tak perlu tempoh masa.
.
.
.
Kadangkala kita tak tahu sejauh mana kemampuan kita,
Sehingga kita diuji dan terpaksa melaluinya dengan berserah diri kepada Allah.
45 hari berkurung, inilah rekod paling lama buat saya.


Nota : Mulai 30 April 2020 (PKP fasa 4), kerajaan mengumumkan membenarkan dua orang bergerak dalam satu kenderaan dengan syarat kedua-duanya dari rumah yang sama.