Friday, 28 February 2020

Mentari Pagi di Temerloh


7.32 pagi - menyaksikan keindahan matahari terbit di Temerloh.

Firman Allah SWT :

إِنَّ فِي خَلۡقِ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ وَٱخۡتِلَٰفِ ٱلَّيۡلِ وَٱلنَّهَارِ لَأٓيَٰتٖ لِّأُوْلِي ٱلۡأَلۡبَٰبِ ١٩٠ ٱلَّذِينَ يَذۡكُرُونَ ٱللَّهَ قِيَٰمٗا وَقُعُودٗا وَعَلَىٰ جُنُوبِهِمۡ وَيَتَفَكَّرُونَ فِي خَلۡقِ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ رَبَّنَا مَا خَلَقۡتَ هَٰذَا بَٰطِلٗا سُبۡحَٰنَكَ فَقِنَا عَذَابَ ٱلنَّارِ ١٩١

Maksudnya:
Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal. (Iaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): "Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari seksa neraka.

(Al Imran : 190-191)









Wednesday, 26 February 2020

Berbasikal Ke Mekah? Kerja 'Gila' Seorang Ustazah dan Suami!

Tajuk : Ustazah Basikal - Nekad Ke Makkah (Siri 1)
Penulis : Ahmad BMI
Penerbit : Iman Readers
Tahun terbit : 2019
Jumlah muka surat : 708 
Harga : RM79

Kisah pengembaraan begini memang mudah memancing minat saya. Apatah lagi jika ia dilakukan oleh seseorang yang bukan atlet. Pengembaraan berbasikal ke Mekah selama 15 bulan dan merentasi 13 buah negara yang dilakukan oleh seorang ustazah (Adilah) bersama suaminya (Ahmad). Tambah menarik perhatian saya, ustazah tersebut memakai baju kurung di sepanjang pengembaraan! Ada sebabnya mengapa ustazah memilih berbaju kurung berbanding t-shirt labuh.

Buku genre travelog setebal 708 muka surat ini ditulis oleh Ahmad BMI, suami ustazah. Ia merupakan buku siri 1 - merangkumi kisah pengembaraan yang bermula dari Malaysia dan merentasi 5 buah negara (Thailand, Myanmar, India, Nepal dan Pakistan). Mujur juga dibuat dua siri, sebab buku siri 1 ni pun dah berat sampai tak boleh nak baca sambil bergolek santai...haha.

Mengikuti pengembaraan mereka, membuat saya turut bersama 'merasai' susah senang sepanjang bermusafir di negara orang. Saya turut merasa terharu dan sedih dengan kisah Shaukat Ali di India - sanggup mendahulukan Ahmad & Adilah makan, kemudian barulah sisanya dimakan oleh Shaukat Ali, anak-anak dan isterinya. Mereka tetap ingin meraikan tetamu, walaupun rumahnya tiada apa-apa dan cuma diterangi dengan sebatang lilin! Juga kisah seorang pakcik di Pakistan, yang membawa Ahmad ke satu sudut gelap kafe dan bertanya "How much money do you need?". Begitu pemurah!  Banyak lagi cerita-cerita yang memancing emosi saya selaku pembaca, cerita-cerita ini mengandungi hikmah untuk kita renungkan dan ambil ingatan. Bersesuaian dengan kembara mereka yang dinamakan - Kembara Memburu Hikmah.

Sambil membaca buku Ustazah Basikal, sesekali saya akan membuka aplikasi Google Maps untuk mendapat gambaran lebih jelas mengenai lokasi yang diceritakan. Maklumlah...saya ni tak pernah sampai semua negara tu (kecuali Thailand), jadinya susah nak bayangkan kalau setakat membaca tanpa tengok peta. Saya juga buat carian di internet untuk sesetengah tempat menarik yang disebutkan dalam buku. Yang akhirnya membuat saya 'telan air liur' melihat keindahan Fairy Meadow, Deosai National Park dan Hunza Valley. Moga Allah beri rezeki untuk saya menikmati keindahan tempat-tempat tersebut di depan mata.

--------------------------------------------------------------

Helaian buku yang berkualiti, tulisan jelas & mudah dibaca, juga disertakan gambar berwarna.

Bagi yang nak memiliki buku travelog Ustazah Basikal, boleh dapatkannya DI SINI. Tak sabar saya nak tunggu buku siri 2 untuk sambungan kisah pengembaraan mereka. Tak mampu nak buat perkara yang sama, mampu baca dan ambil pengalaman pun dah cukup seronok. Bahan bacaan yang bagus diletakkan dirak-rak perpustakaan rumah/sekolah/awam.


"Jika kita bergantung pada manusia, kita bakal kecewa. Jika kita bergantung hanya pada Allah SWT, Allah akan hantar manusia untuk bantu kita".
(petikan #hikmah dari buku Ustazah Basikal)


Thursday, 20 February 2020

Restoran Herba Nasuha

Lokasi makan tengahari saya pada hari Ahad lepas - Restoran Herba Nasuha. Kunjungan semula setelah bertahun lama tak ke sini. Dulu...sewaktu pak mertua masih ada, dah beberapa kali kami makan bersama di sini. Kali ni kami bertiga saja bersama mak mertua.

Keluar dari tol Pagoh, belok kiri. Teruskan perjalanan sampai jumpa papan tanda besar ni. Lepas selekoh tulah pintu masuk ke Nasuha Herbs & Spices Farm. 

Inilah bangunan yang menempatkan restoran, ruang pameran dan jualan.

Masuk dalam bangunan, akan jumpa ruangan pameran dan jualan terlebih dahulu sebelum masuk ke restoran. Perut dah lapar, kita masuk makan dululah. Lepas makan nanti baru kita tengok bahan pameran dan jualan.


Restoran Herba Nasuha (Nasuha Herbal Restaurant)
Dekorasi restoran yang sangat unik, menarik dan memberi rasa tenang. Berkonsepkan alam semulajadi, sesuai dengan tema restoran herba. Saya suka!

Masuk ke bangunan ni tadi memang dah kena bukak kasut tau. Jadinya bila masuk restoran ni tapak kaki kita akan menikmati urutan refleksologi bila memijak di laluan berbatu. Yang dalam gambar ni tak terasa sakit sebab tak berapa timbul batunya. Tapi kalau berjalan di laluan antara meja-meja kanan ni, batunya lebih terasa di tapak kaki. Sampai terjengket-jengket berjalan dek sakit...haha!

Menu spesial di sini - Herbal Briyani. Boleh pilih nak a la carte atau set. Kalau set, hidangan termasuk sup herba dan teh herba. Teh herba boleh pilih ikut masalah kesihatan kita.

"Mana satu yang paling tak pahit?" risau pahit, saya tanya siap-siap. Dah lupa sebab dah lama tak datang kan.. "Semua rasa tawar je. Kalau nak manis sikit, boleh tambah madu" jawab pelayan lelaki yang baik melayan.

Telur ayam herba organik, telur ayam yang direbus bersama herba-herba terpilih. Rupa luaran gelap macam telur pindang. Kami beli sebiji sekadar untuk merasa. Bila kami makan, rasa dan bau taklah kuat macam telur pindang.

Herbal Briyani with Mutton pilihan saya. Rasanya? Okey la...tapi belum tahap memenuhi citarasa saya. Seingat saya masa datang dulu-dulu, memang menu nasi briyani kambing nilah yang sangat sedap! Mungkin kali ni dah tukar tukang masak, atau mungkin citarasa tekak saya dah berubah? Emm...hahaa.

Mencuba kek coklat ni sebab ada harga diskaun dengan pembelian set nasi briyani tadi. Harga selepas diskaun, RM3.

Selain tu, kami order Mee Bandung dan Fish & Chips untuk suami dan mak mertua. Sengaja order menu berbeza supaya boleh rasa macam-macam. Tapi nampaknya semua pun rasa biasa-biasa je, tak memenuhi citarasa. Tapi...citarasa kita kan tak sama. Kenalah datanglah sendiri untuk merasa. Yang pasti, seronok makan kat sini sebab rasa santai dan tenang je. Layanan pun sangat mesra dan bagus!


Ruang Pameran dan Jualan
Dah siap makan, bolehlah kita ke ruangan pameran & jualan ni...

Boleh belajar mengenai pelbagai jenis herba dan khasiatnya. Boleh terus beli produk berkaitan juga.

Pelbagai rempah turut dijual. Mak Siti adalah jenama di bawah syarikat Nasuha. Saya suka guna rempah soto Mak Siti, walau masak sup pun saya akan letak sedikit rempah soto ni, rasa lebih sedap!

--------------------------------------------------------
Bagi yang nak merasa makan di restoran herba yang unik ni, bolehlah datang ke Restoran Herba Nasuha. Pakej Lawatan ke ladang herba pun ada tau, tapi kena buat temujanji awal. Untuk info lanjut, bolehlah layari Facebook : Nasuha Herbs.

NASUHA HERBS & SPICES FARM
RESTORAN HERBA NASUHA

LOKASI :
KM 19, Jalan Muar-Pagoh,
Muar, Johor.
(Tel. : 06-973 7231)

WAKTU OPERASI :
Setiap Hari
10.30 pagi - 6 petang

Thursday, 13 February 2020

Muslimah dan Legging : Kecelaruan Berfesyen

Kredit poster : Uswah 


Apa itu 'Legging'? Secara umumnya, ia adalah seluar ketat yang mengikut bentuk kaki dan diperbuat daripada fabrik yang memeri (stretchable)

Semacam suatu trend hari ini bila kita lihat para Muslimah menggayakan legging di khalayak umum. Tak kiralah samada sewaktu menjalankan aktiviti riadah (seperti berbasikal, mendaki, senamrobik) atau sebagai pakaian bersantai untuk jalan-jalan. Atas bertudung, bawah pakai legging. Geleng kepala kita tengok. Baik yang muda remaja atau si remaja purba, baik yang bertubuh kurus atau badan berisi. Sedih. Sungguh...ia suatu kecelaruan dalam fesyen Muslimah!

Kenapa pemakaian legging dianggap suatu kecelaruan fesyen bagi Muslimah? Kerana sebagai Muslimah, kita ada panduan berpakaian yang telah digariskan dalam Islam iaitu kewajiban menutup aurat di hadapan bukan mahram. Maksud menutup aurat, pakaian Muslimah mestilah ;
  • menutupi seluruh tubuh, kecuali muka dan bahagian tangan (dari pergelangan ke jari).
  • tidak jarang.
  • tidak ketat.
  • tidak menyerupai lelaki.
Dalam isu legging, ia bertentangan dengan maksud menutup aurat kerana ia ketat dan melekap di kaki. Kalau pakai memang nampak jelas bentuk kaki si pemakai. Bila up gambar di media sosial ada pulak yang memuji "Wah..kurusnya kau sekarang!". Tak dinafikan, bila pakai legging atau mana-mana pakaian yang muat-muat badan, memang akan nampak lebih kurus. Akhirnya masing-masing terlupa ketetapan Allah bab menutup aurat. Membalut dianggap menutup aurat.

Menutup aurat bukan mesti berjubah labuh longgar, pakai jelah apa-apa gaya pun asalkan menepati maksud menutup aurat. Di sinilah pentingnya kita tau apa maksud menutup aurat supaya tak berlaku kecelaruan.

Apa kesan tak menutup aurat? Paling utama, kita mempermainkan hukum Islam. Kita juga berdosa kerana menentang ketetapan Allah. Kita mengaku Islam, mengaku hamba Allah, tapi enggan tunduk dan patuh kepada Allah yang telah menciptakan kita.

---------------------------------------------------------------

Penulisan ini adalah peringatan kepada diri saya jugak. Graf iman sentiasa turun naik, terkadang semangat menjaga segala, terkadang lalai dek mengikut mana yang selesa.

Kita manusia sentiasa perlu kepada peringatan. Suami/bapa ingatkan isteri/anak perempuan, ibu ingatkan anak perempuan, anak lelaki ingatkan ibu, sesama keluarga atau kawan-kawan saling ingatkan. Tujuan utamanya - untuk mencapai redha Allah.






.

Tuesday, 4 February 2020

Cara Simpan Halia & Kunyit Agar Kekal Segar dan Tahan Lama

Halia dan kunyit merupakan antara bahan wajib dalam kebanyakkan masakan kita. Cuma masalahnya, selalu terjadi halia dan kunyit yang disimpan mengecut, kering. Tambahan pulak macam saya ni yang ahli keluarga sangat kecil dan bukanlah setiap hari memasak lauk-pauk. Nak gunanya sikit dan kadang-kadang je. Bila tiba masa nak guna, tengok kunyit atau halia dah kering :(

Untuk mengatasi masalah tersebut, saya cuba ikut cara penyimpanan yang saya dapat daripada perkongsian di Facebook. Dah agak lama saya praktikkan dan ternyata memang terbaik!

Bila dah terbukti, barulah boleh kita kongsikan dengan orang lain pulak kan. Mungkin ramai yang dah tau, jadi perkongsian ni ditujukan untuk mereka yang belum tau..hehe.

Lepas beli halia dan kunyit, saya basuh dan masukkan dalam bekas berasingan. Halia tu biasanya besar, jadi saya potong kasi muat dalam bekas. Lepas tu masukkan air paip sehingga melebihi paras halia dan kunyit. Biar terendam sepenuhnya.

Lepas tu saya catatkan tarikh mula simpan dengan menggunakan whiteboard marker. Senanglah nak padamkan untuk catat tarikh lain nanti. Tujuan catat tarikh adalah untuk rekod. Bolehlah kita tau dah berapa lama kita simpan. Tutup rapat dan simpan dalam peti sejuk (fridge).

Untuk kekal elok dan tidak berlendir, seminggu sekali mesti tukar air baru. Alah...sambil nak guna untuk masak tu kita buatlah kerja tukar air baru. Biasanya saya keluarkan semua, lalukan halia dan kunyit pada air paip (untuk basuh kot dah mula berlendir), dan basuh juga bahagian dalam bekas. Selepas tu bolehlah masukkan semula halia dan kunyit, dan isi air paip macam mula-mula tadi.

Hasilnya, halia dan kunyit saya kekal segar dan tahan lama! Dalam gambar-gambar di atas, halia dan kunyit tu dah disimpan dengan cara rendaman sejak 25 Disember 2019. Gambar pula diambil pada 30 Januari 2020, semasa saya tukar air baru. Dah lebih sebulan!

Sebelum praktikkan cara begini, saya gigih tanam halia sebab nak masak guna halia segar. Kunyit memang tanamlah, sebab perlukan daunnya. Tapi bila ada cara menyimpan begini, memang jauh lebih mudah bagi saya. Nak guna, bukak je fridge. Tak perlu korek dalam pasu..hehe.

Oh ya...cara ni juga sesuai untuk simpan lengkuas.