Tuesday, 12 November 2024

Catatan Hujung Minggu | 9 - 10 November 2024

Hujung minggu lepas, sekali lagi saya dan Encik Suami bermusafir ke wilayah tengah - kali ini ke Bandar Sunway, Selangor. Lewat petang hari Jumaat ‘terima arahan’, malamnya saya kemas beg dan esoknya Sabtu pagi perjalanan dimulakan seawal pukul 7.25 pagi.

Alhamdulillah aliran trafik di lebuh raya lancar tanpa sebarang halangan. Perjalanan mengambil masa kira-kira 7 jam (termasuk berhenti sarapan dan ke tandas) untuk kami tiba di Sunway Pyramid.

Rupa-rupanya, susah sungguh nak mencari parkir di sini - tiada ruang parkir khas untuk tetamu hotel, boleh parkir di mana-mana saja bercampur dengan pengunjung mall. Dari setingkat ke setingkat mencari, pusing beberapa kali dan akhirnya terpaksa pergi ke kawasan parkir yang sangat jauh dari lobi hotel penginapan.


SUNWAY PYRAMID MALL
Nak ke hotel penginapan, perlu melalui mall. Dari tempat parkir nak ke mall pun perlu berjalan jauh - lalu tangga, naik lif, jalan kaki. Fuh!

Ice skating. Tumpang seronok tengok orang main.

Kami jalan-jalan cari restoran untuk makan tengah hari, nampak ada simbol Halal JAKIM di restoran Tea Garden. Bolehlah cuba makan di sini, kita sokong bisnes yang berusaha untuk dapat pengiktirafan Halal JAKIM.

Teh tarik Hainan.

Salted egg bun.

Menu utama - kuetiau goreng dan laksa kari (tiada dalam foto). Walaupun namanya laksa kari, tapi rupa dan rasa lebih kurang macam mi kari.


SUNWAY PYRAMID HOTEL
Kalau tadi susah payah nak cari parkir, rupa-rupanya nak ke bilik penginapan pun tak mudah jugak. Jauh kedudukan lif dengan bilik penginapan - perlu belok beberapa kali ke kanan ke kiri. Memang mengelirukan tiap kali keluar/masuk bilik.

Laluan luas ke bilik-bilik penginapan.

Alhamdulillah dapat bilik yang sangat memuaskan - lengkap segala kemudahan, bersih dan selesa.

Pemandangan dari jendela bilik kami. Di bawah tu laluan antara lobi hotel dan mall.

Bilik airnya luas selesa. Satu je yang tak best - tandasnya menggunakan bidet jenis muncung di tempat duduk tandas, bukan jenis paip untuk spray tangan. Rasa kurang bersih dan kurang puas hati bila bersuci.

Ini paling saya suka! Kerusi membaca/buat kerja dilengkapi dengan meja kecil boleh alih. Sedap duduk melunjur di sini sambil buat kerja atau menonton.

Sunway Lagoon - tempat yang tak pernah saya pergi, kali ni dapat tengok dari jauh. Esok paginya nak sarapan, kami perlu berjalan jauh untuk ke tempat sarapan - berkongsi tempat makan dengan tetamu Sunway Resort Hotel. Dalam perjalanan akan nampak pemandangan dalam foto di atas. Masa ni pukul 7.45 pagi tapi agak ramai jugak pengunjung yang dah masuk ke Sunway Lagoon (klik foto untuk paparan lebih jelas).

Seronoknya bersarapan di sini - terdapat sangat banyak pilihan jenis makanan. Sesuailah dengan tetamu hotel yang ramai dan dari pelbagai bangsa. Sempatlah saya mencuba roti canai bersama kuah dalca, idli bersama chutney kelapa juga chutney tomato, nasi lemak, sushi, dimsum dan pastri. Alhamdulillah semuanya sedap sesuai dengan cita rasa saya. Setiap jenis saya ambil sekadarnya saja untuk merasa. Yang pasti, semua yang diambil mesti dimakan habis.

PINTU BILIK DI BUKA PADA WAKTU MALAM | Sewaktu menginap di sini, berlaku satu hal yang tak dijangka. Kira-kira pukul 10.45 malam - sedang saya melayan mata mengantuk, tiba-tiba terdengar bunyi di pintu bilik kami. Bunyi orang cuba buka pintu, saya biarkan saja memikirkan agaknya ada orang tersilap bilik - kalau silap memang tak akan terbukalah pintunya kan.

Tapi eh…pintu memang benar-benar dibuka! Mujurlah ada door guard, pintu tidaklah terbuka luas. Encik Suami segera berlari ke pintu bilik. Seorang lelaki staf hotel berdiri di depan pintu bersama satu keluarga bangsa Arab. Katanya, dalam sistem daftar mereka - bilik yang kami duduk ni tak ada penghuni. Eh???

Selepas itu, kami terima panggilan dari pihak hotel menerusi telefon bilik. Mereka minta maaf dan minta butiran peribadi (sama seperti ketika mendaftar masuk). Dan seperti yang kami jangka, kad akses bilik kami tak boleh digunakan selepas kejadian tersebut. Esok paginya sebelum pergi sarapan, kami ke kaunter untuk selesaikan hal kad akses. 

Pengajaran di sini, secanggih mana pun sistem atau di hotel bagus mana pun kita menginap - tetap kena bersedia dengan hal begini. Nampaknya selepas ini saya perlu bawa sendal pintu (rubber door stopper) - idea adik saya yang juga pernah mengalami situasi serupa. Saya sendiri, ini merupakan pengalaman kali ketiga - bezanya dua kejadian sebelum ini sewaktu kami menginap di hotel bajet rendah.


Lebuhraya Utara-Selatan, laluan selepas terowong Menora | 6.25 petang.
Suasana senja nan indah sewaktu kami dalam perjalanan kembali ke utara.







Sunday, 10 November 2024

Menikmati Hidangan Makan Malam di Xinding Beef Noodles, Guangzhou

[Trip ke Guangzhou, China | September 2024]

Petang terakhir kami di Guangzhou - dari Muzium Liwan kami menuju ke sebuah kedai makan halal untuk menikmati hidangan makan malam. Kami makan malam awal sebab selepas ini akan ke hotel penginapan yang terletak agak jauh dari sini - hotel berhampiran lapangan terbang.

Kami ke Xinding Beef Noodles yang terletak di tepi jalan besar.

Ketika ini kira-kira pukul 5.20 petang. Keadaan lengang tanpa pelanggan lain di dalam ruang kecil kedai makan ini, tetapi dua orang tukang masak lelaki nampaknya sedang sibuk memasak - saya dapat lihat menerusi dinding kaca pemisah ruang makan dengan ruang memasak.

Seorang perempuan - bertudung dengan cara nampak kedua belah telinga, memberikan kami buku menu.

Buku menu.

Antara pilihan menu di sini. Kami serahkan sepenuhnya urusan memilih hidangan makan malam kami kepada kawan Encik Suami. Kami tak biasa dengan masakan Cina, jadi keliru nak memilih entah masakan jenis  apa yang sedap.

Minuman pilihan kami, ambil sendiri dari peti sejuk berhampiran meja makan. Perhatikan bahagian penutup botol minuman soya - siap ada lubang untuk masukkan straw. Sangat memudahkan!

Sementara menunggu hidangan kami siap, semakin ramai pelanggan yang masuk ke kedai sehingga hampir penuh semua tempat duduk yang ada. Syukurlah kami tiba lebih awal. Kelihatan juga bungkusan-bungkusan pek di bawa keluar dari ruang memasak. Oh, patutlah tadi sibuk memasak rupanya sebab sedang menyiapkan pesanan makanan bungkus.

Alhamdulillah tak lama menunggu, satu demi satu hidangan kami tiba…

Black fungus dengan hirisan daging. Black fungus yang saya beli di Malaysia bersaiz besar - perlu dipotong untuk masuk dalam masakan, tetapi yang ini saiz kecil - nampak lebih menarik masakan menggunakan black fungus saiz begini. Mungkin juga ada di Malaysia tetapi saya tak perasan sebab jarang membeli black fungus.

Entah apa namanya masakan timun ni. Sedap rasanya dan rangup potongan timunnya.

Tu dia….lima jenis masakan semuanya 😄. Ada satu lagi sup dumpling tak ikut berfoto. Saya rakam foto sebarangan saja sebab segan ada kawan Encik Suami.

Awalnya terkejut jugak saya tengok banyak lauk sayuran - tiga jenis sayuran dengan kuantiti yang banyak. Tapi bila makan, wah….sedap semuanya! Lauk lada benggala pun sedap tau 😋

Cuma satu jenis masakan yang saya tak boleh nak makan banyak - telur berwarna hitam. Mungkin sebab baru kali pertama jadinya tak biasa dengan rasa telur tersebut.

Nasi dihidang dalam mangkuk, hidangan cara orang Cina. Atas nasi ditabur dengan bijan hitam. Nasi ini sepatutnya dimakan menggunakan chopsticks, tapi saya tak pandai guna chopsticks maka terpaksalah bersusah payah sedikit - makan nasi menggunakan sudu lauk/sup. Saya perhatikan kawan Cina Encik Suami, laju je suap nasi ke mulut guna chopsticks

Pandangan dari luar kedai tempat kami makan - kedainya dengan papan tanda warna hijau kuning. Tadi masa kami tiba di sini, jalan raya tidaklah sesak begini. Mungkin sebab dah melepasi pukul 6 petang, jalan raya dipenuhi dengan kenderaan orang balik kerja.

Menurut pendapat saya dan Encik Suami, masakan di kedai ini - Xinding Beef Noodles merupakan yang paling sedap di antara tempat makan halal yang pernah kami cuba di Guangzhou ini. Kalau ditakdirkan ke Guangzhou sekali lagi, pasti kedai makan ini menjadi pilihan kami.







Thursday, 7 November 2024

Muzium Liwan, Guangzhou

[Catatan Trip ke Guangzhou, China | September 2024]

Selesai berjalan-jalan dan membeli sedikit oleh-oleh di XianXian Muslim Food - entrinya DI SINI, kami menuju ke Muzium Liwan yang terletak di daerah Liwan.

Pemandu kenderaan sewa menurunkan kami bertiga di tepi jalan utama. Dari situ kami berjalan kaki melalui lorong di celah bangunan sehinggalah tiba di penghujung jalan.

Guangzhou China
Papan tanda arah dengan tulisan bahasa Inggeris, sangat membantu pelancong luar yang tak boleh membaca aksara Cina. Bila saya baca papan tanda arah ni, barulah saya tahu di sini ada tarikan lain selain Muzium Liwan. 

Jadinya sebelum ke muzium, kami jalan-jalan dahulu di sekitar kawasan. Masa ni kira-kira pukul 3.30 petang tapi cuaca redup je, memang selesa nak berjalan. Orang pun tak ramai, mungkin sebab kami datang sini pada hari bekerja (hari Selasa).

Berikut merupakan foto-foto yang sempat saya rakam. Tak ada sebarang caption, saya sekadar memotret apa yang terlihat menarik di mata saya tanpa tahu entah tasik atau bangunan apa.

Guangzhou China

Guangzhou China

Guangzhou China

Guangzhou China

Rata-rata pengunjung di sini nampaknya mereka yang sudah berusia. Ada yang sedang duduk-duduk saja menikmati keindahan lanskap taman dan ada yang sedang melakukan senaman Tai Chi.

Ada juga yang sedang menonton persembahan Opera Cina di pentas kecil yang terletak dalam kawasan taman ini. Para penonton duduk di ruang terbuka - di bangku-bangku taman. Sebuah tong kecil tersedia di hadapan pentas, mungkin untuk mengisi wang sumbangan dari para penonton.


MUZIUM LIWAN
Founded in December 1996, Liwan Museum is the first district-level museum in Guangzhou, displaying the profound historical heritage and unique cultural charm of Liwan.
  • The first exhibition site - Former Residence of Chen Lianzhong, displays the selected and temporary exhibitions.
  • The second site - Xiguan Folk Customs Museum. Based on the rebuilt Xiguan House, it recreates the architectural style and household scenes of the past mansions.
  • The third site - Former Residence of Jiang Guangnai, displays the Exhibition On Jiang Guangnai and Flames and Glory : Revolutionary Historical Sites of Liwan.
  • The forth site - Former Residence of Chen Lianbo, displays the exhibition Keen in Business and Charming in Personality : Portrait of Canton Merchants.

Liwan Museum Guangzhou China
Bahagian hadapan Muzium Liwan yang menempatkan kaunter tiket. Biasanya kaunter tiket dalam bangunan, tapi yang ni terletak di luar bangunan di bawah pokok dengan payung besar berwarna hijau.

Liwan Museum Guangzhou China
Harga tiket masuk - 5 yuan.

Liwan Museum Guangzhou China
Terdapat empat tapak pameran di empat buah bangunan berbeza. Tapi kami cuma masuk bangunan A, B dan D sahaja.

Liwan Museum Guangzhou China
Lorong ke pintu masuk tapak pameran di bangunan B.

Liwan Museum Guangzhou China
Seni bina unik tangga di salah sebuah bangunan. Terdapat ruang pameran di tingkat atas, tapi kami tak naik.

Liwan Museum Guangzhou China
Antara bahan pameran yang terdapat di sini. Semuanya dalam aksara Cina, saya gunakan Google Lens untuk memahami info yang disertakan pada bahan pameran.

Tak banyak foto di dalam muzium sebab bukan semua tempat kita dibenarkan merakam foto. Ruang pameran yang paling menarik menurut saya - pameran perkembangan Canton sebagai pusat perdagangan di China. Canton merupakan nama lama bagi Guangzhou.


FOTO-FOTO DI SEKITAR JALAN LONGJINXI
Selesai lawatan di Muzium Liwan, kami kembali ke jalan utama - Jalan Longjinxi. Sementara menunggu kenderaan tiba bagi mengambil kami, sempatlah saya memerhatikan suasana sekitar dan aktiviti harian masyarakat tempatan.

Guangzhou China
Kibaran bendera negara China menghiasi bangunan di sini.

Guangzhou China
Lampu trafik pun ada simbol basikal tau, sebabnya di sini memang ramai pengguna basikal. Rata-rata mereka menunggang basikal elektrik. Laju bergerak, boleh saksikan dalam video di hujung entri ini.

Guangzhou China
Lorong kawasan perumahan - Xiguan House Community.

Guangzhou China
Bersih dan teratur.

Guangzhou China
Meriah dengan kibaran bendera. Ini kerana ketika kami berada di sini, China bakal menyambut Hari Kebangsaan mereka pada 1 Oktober. Apa yang menarik, mereka akan bercuti panjang iaitu selama 7 hari. Cuti panjang ini disebut sebagai ‘Golden Week’.


Video pendek memaparkan suasana di sekitar Jalan Longjinxi, Guangzhou.







Wednesday, 6 November 2024

Bakul Cheh Cha, Alor Setar

Semasa berada di Alor Setar, Kedah tempoh hari, saya sempat mencuba hidangan di sebuah restoran masakan Cina iaitu Bakul Cheh Cha.

Carian saya mendapati, restoran ini milik syarikat orang Muslim dan bukan Muslim. Restoran ini juga mendapat status Halal JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia), jadinya bolehlah kita menikmati masakan Cina di sini tanpa rasa ragu.

Bakul Cheh Cha, Alor Setar
Bahagian hadapan restoran dihiasi pintu gerbang dengan sentuhan seni bina Cina.

Bakul Cheh Cha, Alor Setar
Pelanggan boleh memilih untuk makan di bahagian luar atau di dalam.

Bakul Cheh Cha, Alor Setar
Bahagian dalam restoran. Dekorasi ringkas tetapi menarik dan sangat selesa - seperti makan di rumah. Alunan muzik instrumental Cina pula menjadi halwa telinga dan menambah elemen restoran Cina.

Bakul Cheh Cha, Alor Setar
Nampak klasik corak pada sudu dan pinggan kecil ni.

Bakul Cheh Cha, Alor Setar
Lampu di atas meja makan kami, pun menarik!

Bakul Cheh Cha, Alor Setar
Cara membuat pesanan - imbas kod QR.

Bakul Cheh Cha, Alor Setar
Tak lama menunggu, minuman kami tiba - white coffee dan cham (teh + kopi). Besar saiz permukaan cawan ni, minuman panas jadi cepat sejuk.

Bakul Cheh Cha, Alor Setar
Lao Sa Bao (Salted Egg Bun) dan Xian Tan Mai - sejenis dim sum, besar saiznya berbanding dim sum yang biasa saya makan. Kedua-dua hidangan ni sangat sedap dan pasti saya repeat order kalau datang ke sini lagi.

Bakul Cheh Cha, Alor Setar
Menu utama kami - masing-masing memesan hidangan jenis mi.

Bakul Cheh Cha, Alor Setar
Char kuetiau yang menepati cita rasa saya. Tapi tak habis makan sebab saiz hidangan besar dan saya kenyang makan dim sum.

Menyebut berkenaan char kuetiau (CKT), terdapat perbezaan di antara CKT style Melayu dengan style Cina. Jika style Melayu - CKT merujuk kepada kuetiau basah/berkuah, tetapi style Cina - CKT merujuk kepada kuetiau goreng/kering (seperti dalam foto di atas). Perkataan ‘char’ itu sendiri membawa maksud goreng dalam bahasa Cina.

Kalian suka yang mana satu? Saya lebih suka CKT style Cina - goreng/kering. Tetapi kalau ke kedai Melayu saya biasanya memesan CKT (jenis basah), sebab selalunya hasil masakan kuetiau goreng kedai Melayu tak menepati cita rasa saya.

Bakul Cheh Cha, Alor Setar
Claypot Yee Mee. Rupa menarik, tapi agak kurang kena dengan selera kami. Dah biasa makan yee mee kuah pekat, jadi rasa lain pulak bila makan dengan kuah cair.

InsyaAllah lain kali kami nak ke sini lagi untuk mencuba hidangan yang lain pula, terutamanya makanan jenis dim sum dan pau (bun). Tapi kena atur strategi - jangan ambil hidangan utama seorang satu sebab saiz hidangannya besar, nanti tak muat perut pulak nak menikmati hidangan sampingan yang lain 🤭

Kalau kalian ke Alor Setar dan suka makan masakan Cina, bolehlah cuba makan di restoran Bakul Cheh Cha ini ya. Nak beli dim sum frozen pun ada jugak tau, boleh beli bawa balik untuk makan di rumah. 

Untuk info - restoran ini mengenakan caj cukai SST 6% dan caj perkhidmatan (SC) 10%.


——————————————————————

BAKUL CHEH CHA
288D, Jalan Lumpur,
Kampung Lubuk Peringgi,
05100 Alor Setar,
Kedah.
Telefon : 010 294 2886

Waktu operasi :
Setiap hari | 8 pagi - 11 malam







Tuesday, 5 November 2024

11 Jam dan 1 Jam

Biasanya bila cuti panjang (cuti umum + cuti hujung minggu), kami suami isteri lebih memilih duduk di rumah je. Malas nak bersesak di mana-mana, apa lagi nak menempuh kesesakan di lebuh raya utama. Tapi kali ini Encik Suami ada urusan, terpaksalah kami ikut bersesak di jalanan ketika cuti sambutan Deepavali lalu.

Hari Sabtu, 2 November 2024 | Kami bertolak dari rumah Perlis ke rumah NS pada pukul 9 pagi. Perjalanan lancar saja pada awalnya, tapi kenderaan mulai banyak dan jadi sesak bila sampai di Pulau Pinang. Selepas itu, perjalanan kadang-kala lancar dan kadang-kala mengalami kesesakan di beberapa tempat.

Alhamdulillah, akhirnya kami selamat tiba di Nilai pada pukul 8 malam. Kami ke Restoran Planet Tomyam bagi menikmati hidangan malam sebelum menuju ke rumah. Perjalanan kali ini mengambil masa 11 jam! Biasanya kami ambil masa kira-kira 7-8 jam sahaja, itu pun saya dah rasa cukup lama berada di atas jalan 😅

2.56 petang | Situasi kesesakan di Lebuhraya Utara Selatan (Kuala Kangsar menuju ke Ipoh)

Hari Isnin, 4 November 2024 | Atas sebab tertentu, kami menaiki pesawat bagi perjalanan kembali ke utara - turun di lapangan terbang di Alor Setar, Kedah. Ini merupakan pengalaman pertama saya menaiki penerbangan KUL - AOR.

5.28 pagi | Jauh kami berjalan kaki menuju ke pintu pelepasan di Gate K16, KLIA Terminal 2.

Penerbangan kami menaiki pesawat Air Asia berlepas kira-kira pukul 7.30 pagi dan kami selamat menjejakkan kaki di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim di Alor Setar kira-kira pukul 8.30 pagi. Tempoh masa cuma sekitar 1 jam!

Hasrat di hati nak memotret foto keindahan hamparan sawah padi dari udara, tapi nasib tak menyebelahi saya dapat tempat duduk E. Nak membeli tempat duduk F (tepi tingkap) rasa tak berbaloi nak membayar tambahan caj sekitar RM30. Untuk rekod - harga tiket penerbangan kami berdua kira-kira RM260, pembelian menerusi Traveloka.

Seronok jugak bila rasa sekejap je perjalanan menaiki pesawat berbanding naik kenderaan sendiri. Tapi tempoh masa 1 jam tu belum termasuk perjalanan dari/ke rumah dan masa berurusan/menunggu penerbangan di lapangan terbang. Juga sedikit leceh nak berfikir dan berkira-kira membawa barang keperluan. Jadinya, kedua-duanya (sama ada naik kenderaan sendiri atau naik pesawat) ada lebih kurangnya. Pilihan terbaik bergantung kepada situasi semasa.