Judul : ORANG-ORANG BIASA (edisi Malaysia)
Penulis : Andrea Hirata
Penerbit : Jejak Tarbiah
Tahun terbit : 2020
Jumlah muka surat : 298
Harga : RM28
Andrea Hirata merupakan penulis novel pertama dari Indonesia yang saya baca hasil karyanya. Bermula dengan novel Laskar Pelangi, saya terus tertarik dengan novel-novel tulisan beliau. Semuanya dalam bahasa asal - Indonesia.
Berbeza dengan naskhah Orang-orang Biasa (OOB) yang saya miliki ini, ia merupakan edisi terjemahan untuk pembaca di Malaysia.
Pada awalnya saya agak ragu-ragu tentang keseronokan membaca novel terjemahan begini. Tapi ternyata buku dengan kulit depan memaparkan manusia berwajah monyet ini masih seronok untuk dinikmati disebabkan ia masih mengekalkan gaya bahasa Indonesia.
SINOPSIS
Novel ini mengisahkan kehidupan di Belantik, sebuah daerah yang aman tanpa jenayah berat. Namun kemudiannya dikejutkan dengan satu jenayah rompakan bersenjata di sebuah bank. Anehnya, para perompak tidak mengambil wang!
Tambah menarik, pihak polis gagal mengesan bahawa rompakan bank tersebut dilakukan oleh kumpulan 10 orang yang semasa di sekolah mereka merupakan murid-murid bangku paling belakang - Handai, Tohirin, Honorun, Sobri, Rusip, Salud, Nihe, Dinah, Junilah dan Debut Awaludin.
Apakah tujuan mereka merompak bank? Dan bagaimana para penghuni bangku belakang mampu merancang sebegitu licik untuk merompak bank? Nak tahu semua ni kenalah baca novel Orang-orang Biasa ni.
Andrea Hirata bijak mengangkat isu pendidikan dan kritikan sosial lainnya menerusi gaya penceritaan yang menarik serta lucu. Ya, membaca Orang-orang Biasa membuat saya kerap tersenyum atau ketawa sendiri. Apa yang berlaku di Belantik sebenarnya mewakili apa yang berlaku disekitar kehidupan kita (walaupun tidak sama sepenuhnya kerana latar cerita ini di negara Indonesia).
7 ISI MENARIK DALAM NOVEL ORANG-ORANG BIASA :
1. Tentang belajar untuk menerima apa yang ditakdirkan untuk kita. Seperti kata-kata Inspektor Abdul Rojali, “Dalam hidup ini kita tidak selalu mengerjakan apa yang kita cintai, namun kita dapat belajar untuk mencintai apa yang kita kerjakan.”.
2. ‘Berjualan buku di negeri yang penduduknya tidak suka membaca adalah tindakan heroik’, saya tertarik dengan petikan ayat ini kerana sememangnya menyampaikan buku kepada masyarakat tidaklah begitu mudah. Ianya satu perjuangan.
3. Cita-cita akan membuatkan kita lebih bersemangat dan gigih berusaha untuk mencapai impian. Seperti watak Aini, seorang murid yang tidak pintar dan gagal naik kelas tetapi berusaha keras untuk berjaya setelah mempunyai cita-cita. Cita-cita Aini adalah mahu menjadi doktor pakar untuk mengubati penyakit ayahnya.
4. Menolak budaya ‘kabel’ atau orang dalam. Dalam novel ini, anak Inspektor Abdul Rojali telah gagal dalam ujian kemasukan ke sekolah jururawat. Lalu pengetua sekolah memberi keistimewaan untuk anaknya diterima masuk disebabkan pengetua mengenali Inspektor, tetapi tawaran tersebut ditolak oleh Inspektor.
5. Ketidakadilan hak mendapat pendidikan bagi orang miskin, walaupun layak tetapi tidak mampu untuk meneruskan pendidikan. Tiada bantuan dari kerajaan. Memetik kata-kata Debut Awaludin “Tengoklah jurusan tertentu hanya dapat dimasuki oleh orang-orang kaya! Tengoklah langkanya anak-anak orang miskin jadi doktor! Mendaftar ke fakulti itu saja mereka tak berani! Padahal, kecerdasan mereka telah diuji! Ilmu hendaklah hanya tunduk kepada kecerdasan, bukan kepada kekayaan! Para pemimpin, birokrat, ahli politik, sibuk dengan periuk belanga mereka sendiri!”.
6. Menolak budaya korupsi. Sungguh pun Inspektor memerlukan wang untuk memenuhi keperluan hidup, tetapi Inspektor bertegas menolak wang rasuah yang cuba disogokkan kepadanya.
7. ‘Menjadi pemimpin dan menjadi pintar adalah hal berbeza’, petikan ayat ini membuatkan saya terfikir situasi politik di negara kita. Ada pemimpin yang melakukan sesuatu atau berkata sesuatu yang sepertinya tak berfikir terlebih dahulu. Benarlah, menjadi pemimpin dan menjadi pintar adalah hal berbeza.
Orang-orang Biasa, naskhah yang cukup santai dalam menyampaikan banyak hal untuk kita fikirkan. Saya sangat menyarankan naskhah ini dibaca oleh para pelajar, pendidik dan pemimpin.
“Bermimpilah, kerana Tuhan akan memeluk mimpi-mimpi itu.
Tanpa mimpi, orang seperti kita akan mati...” - Andrea Hirata
.