Monday, 30 April 2012

Hanamiko Sakura

Header blog cik adik ni..comel!

TERIMA KASIH BUAT HANAMIKO...
sebab beri 'Followers Award' ni. ^_^
Semoga persaudaraan antara kita berpanjangan.



JOM berkenalan dengan adik ni.
KLIK je header kat atas ya!

Sunday, 29 April 2012

BERSIH 3.0: Hak Anda Untuk Sokong atau Bantah

BERSIH 3.0 sudah pun berlalu. Sudah tamat.
Ada yang menyokong, ada yang membantah.
Tak kurang juga yang tidak menyokong juga tidak membantah.

Itu hak anda. Hak kita semua untuk percaya apa yang kita yakin betul.
Cuma...jangan sampai apa yang kita percaya membuat kita hilang pertimbangan.
Berdebat di laman sosial...tak salah, tapi biarlah dengan kata-kata sopan.
Tunjukkan kematangan diri...tonjolkan kewarasan fikiran.
Baik yang menyokong atau membantah...kawal diri, jaga emosi.
Pertempuran di laman sosial...sebenarnya lebih sukar dikawal.

Sebaiknya...
Elakkan berkata-kata, berdebat atau berbincang,
Pada perkara yang tidak kita ketahui secara jelas.
Apa yang kita lihat dan dengar...tak semestinya betul.
Apa yang kita percaya selama ini...belum tentu benar.

Ingat...memang hak anda untuk sokong atau bantah.
Tapi anda tak berhak untuk mencaci maki orang yang tak sependapat dengan anda!


p/s: Pening baca ayat-ayat marah kawan-kawan di Facebook...berdiam diri lebih baik dari bergaduh kat Fb.

Friday, 27 April 2012

Bukan Jauh, Tapi Tiada


Saya abadikan di sini kerana merasakan kata-kata ini amat indah.
Ia sebenarnya gambaran perasaan Tukcai terhadap isterinya,
Nekcai yang telah pergi buat selamanya.

Bagaimanakah perasaan kita setelah kehilangan insan tersayang?
Sedih dan rindu yang tak terucap pastinya...

Thursday, 26 April 2012

Ronda Petang Di Bandaraya Melaka

Saya berada di Melaka beberapa hari ni. Petang semalam sempatlah meronda sikit disekitar Bandaraya Melaka. Untuk masa tak sampai 2 jam...sempat ambil gambar sikit. Saya masukkan dalam blog buat pengetahuan dan info bagi yang belum pernah sampai sini.

A' Famosa (Bukit St. Paul)
Merupakan kubu yang dibina oleh Portugis semasa menjajah Melaka  (tahun 1511-1641).
Naik sini percuma je ya...

Inilah tinggalan kubu yang ada, selepas ia hampir musnah diserang Belanda.
Rupanya tetap sama walau dah datang beberapa kali.

Saya tak jemu naik bukit ni sebab nak lihat pemandangan dari atas nilah.
Dari sudut ni, nun sana tu Selat Melaka. Sebab tu kubu ni dibina di sini..lokasi yang strategik  untuk pertahanan.

Deretan bangunan muzium-muzium.
Ni semua terletak di kaki Bukit St. Paul tadi.

Menara Taming Sari...antara tarikan terbaru di Melaka.
Kalau nak tengok panorama 360 darjah dengan ketinggian 80 meter, boleh naik ni.
Yang dalam gambar ni, menara tu tengah berputar turun.
Saya tak mencuba sebab belum sanggup bayar RM10/seorang! 

Book Your Tour, Hotel, Flight, Cruise, Car Hire HERE!

Wednesday, 25 April 2012

Mengapa Berniaga Bukan Budaya Melayu?

Mereka sering berkata...
Tengok tu...semua orang Cina punya kedai!
Kalau tak pun...kedai orang Aceh, kedai orang Pakistan.
Pendek kata...semua kedai bukan milik orang Melayu kita.
Kedai runcit, kedai busana Muslimah, kedai barangan pengantin Melayu.
Huh! Melayu mana pandai berniaga?
Kalau berniaga pun mesti lingkup!

Mudahnya melempar kata...
Menjuih bibir mengutuk bangsa sendiri.
Mereka terlupa...pernahkan mereka cuba berniaga?
Jangan pernah mengata, kalau belum pernah mencuba!

Mereka juga terlupa...
Yang mereka sering berpesan pada anak-anak...
Belajar tinggi-tinggi...nanti boleh dapat kerja gaji besar!
Habis belajar nanti mintak kerja kerajaan...gaji terjamin!
Tak payah berniaga susah-susah...makan gaji lagi mudah!

Bila ada graduan yang ingin dan cuba berniaga...
Mulalah suara-suara sumbang ini berbunyi...
Buat apa masuk U, kalau cuma nak berniaga sendiri?
Dahlah belum tentu untung, kerja pun susah!
Huh! Silap-silap tak lama lagi gulung tikarlah tu!

Mengapa berniaga bukan budaya Melayu?
Kerana kita tak pernah memulakan budaya itu!


*Saya menulis berdasarkan pengalaman sendiri. Saya minat berniaga dan bekerja sendiri. Mencabar tapi penuh kepuasan dan kaya pengalaman. Walaupun peniagaan lalu terpaksa ditutup, tapi banyak ilmu & pengalaman saya perolehi. Tiada kesal, malah keinginan tak pernah padam.*

Pemenang "Teka dan Menang NOVEL (2)!"

Mudah kan? Sebab novel tu memang nak dibagi kat kawan-kawan pun. ^_^

Ni gambar asal...
Bangunan Stesen Keretapi Ipoh..jawapannya.
Bangunan ni terkenal. Tapi kalau tak tau, boleh cari dalam entri blog ni di bawah LABEL 'Jalan-jalan'. Tak perlu selongkar semua pun.

TAHNIAH kepada yang pantas menjawab:
Pertama: SYUHADA 
Kedua: FIEDA
Ketiga: MIE 

Sayang sekali..ada yang menjawab betul dengan pantas, tapi komen dibuat bukan di entri 'teka dan menang'. Tak dapatlah saya terima penyertaannya. Maaf ya.. 

Selaku yang pertama, Syuhada dapat novel pilihannya iaitu Andai Kau Jodohku.
Kepada Syuhada, Fieda & Mie sila beri nama, alamat pos & no. telefon kepada saya di halifa02@gmail.com untuk urusan penghantaran ya. 


Tuesday, 24 April 2012

Teka dan Menang NOVEL (2)!

Kepada peminat novel, ini peluang terakhir untuk mendapatkan baki lagi tiga buah novel.
Yang pertama saya dah buat sebelah siang, kali ni buat sebelah malam pulak ya!
Novel yang ditawarkan adalah seperti berikut:



Caranya, TEKA DENGAN TEPAT.
BANGUNAN APAKAH INI?

Klu: jawapan ada dalam blog ini jugak!

Beri jawapan kat ruangan komen, 
dan nyatakan novel mana jadi pilihan...1, 2 atau 3.

3 orang terawal jawab betul & tepat akan dapat novel di atas setiap seorang.
Istimewa untuk pemenang pertama, dia akan dapat novel yang telah dipilih tadi.
Yang kedua dan ketiga akan dapat yang selebihnya tu.

Syarat-syarat:
- sesiapa saja asalkan beralamat kat Malaysia.
- PEMENANG dalam siri (1) tak layak turut serta, setakat nak teka boleh je. 
- jawapan pertama je dikira.
-mini peraduan ni ditutup pada bila-bila masa.


p/s: Sekali lagi diingatkan..novel-novel di atas saya dapat melalui satu peraduan di tv, jadinya bukan saya yang pilih tajuk novel tersebut tau. Baca boleh..jangan terbawa-bawa dengan kisah cinta novel pulak ya! ^__^

PBAKL 2012


PESTA BUKU ANTARABANGSA KUALA LUMPUR 2012 (PBAKL)
atau 
KUALA LUMPUR INTERNATIONAL BOOK FAIR 2012 (KLIBF)

TARIKH: 27 APRIL 2012 - 6 MEI 2012
TEMPAT: PWTC, KUALA LUMPUR.

* Tips: Sila pergi awal untuk memudahkan dapat tempat parking dan untuk mengelakkan kesesakan terlampau dalam dewan.

***********************************

Kepada peminat buku terbitan PTS, ada banyak aktiviti yang disediakan di booth PTS.
Juga ada diskaun dan hadiah percuma. Nak tau lebih lanjut, sila KLIK DI SINI.
Bagi yang ada kad pelajar, jangan lupa bawa kad untuk mendapatkan diskaun 25%! 


p/s: Tahun ni saya tak pegi kot, tak larat nak bersesak lagi dah.
Lagipun novel Sunan Musafir (penutup siri Laksamana Sunan), karya Ramlee Awang Murshid tak dapat dijual pada masa tersebut atas masalah teknikal.

Monday, 23 April 2012

Batuk Tidak Produktif

sumber: google

Beberapa hari ni saya kembali mengalami 'batuk tidak produktif', iaitu KERING TANPA KAHAK. Ini sebenarnya 'gelombang kedua' batuk tanpa kahak yang menyerang saya. 'Gelombang pertama' baru je berlaku beberapa minggu lalu dan masih bersisa batuknya. Belum pun sembuh sepenuhnya walau ubat semuanya dah habis saya makan. Nampaknya sekali lagi saya kena menghadap doktor untuk penyakit yang sama. 

Agak risau, sebab tak pernah batuk lama dan berlanjutan begini tanpa sebarang kahak. Ia tak kerap, tapi sangat menyeksakan tiap kali terbatuk-batuk. Jadi hari ini, meh kita belajar sedikit info asas mengenai batuk. 

**********************************************
Batuk merupakan tindakbalas kerongkong/tekak terhadap simulus pada salur pernafasan dan paru paru. Fungsi sebenar batuk ialah untuk mengeluarkan bahan merbahaya yang terperangkap dalam salur pernafasan.

Terdapat tiga jenis batuk yang sering dihadapi oleh kebanyakan kita: 
  1. Batuk berkahak disertai dengan gangguan pernafasan.
  2. Batuk tanpa kahak disertai dengan gangguan pernafasan.
  3. Batuk tanpa kahak dan tiada gangguan pernafasan. (*saya jenis ni)
Klasifikasi Jenis batuk:
  • Akut: <3 minggu
  • Sub-akut: 3 minggu - 2 bulan
  • Kronik: >2 bulan
Batuk jenis (1) dan (2) berkemungkinan juga tanda-tanda penyakit lelah yang tidak berterusan di mana tanda-tanda ini wujud semasa jangkitan virus pada saluran pernafasan. Batuk yang berlebihan terutama jenis batuk tanpa kahak dan tiada gangguan pernafasan, tidak hanya menyebabkan seseorang tidak selesa malah kekal kesakitan apabila batuk. 

Merujuk kepada ketiga-tiga jenis batuk di atas ahli farmasi atau doktor akan dapat menentukan jenis ubat yang harus dan selamat digunakan. Untuk makluman pengguna, tiada satu jenis ubat batuk yang dirumuskan boleh mengubat semua jenis batuk. 




p/s: Teka & menang novel siri (2) akan diadakan dalam minggu ini. Mungkin esok, lusa atau tulat. Bagi peminat novel, nantikannya!

Saturday, 21 April 2012

Kelapa Sawit dan Tanah Gambut

Dalam entri teka gambar yang lalu, gambar setandan buah sawit tu saya ambil di kebun kelapa sawit di kampung saya - Pontian, Johor. Ni gambar yang asal...


Kelapa sawit ni ditanam di tanah gambut. Tanah gambut sebenarnya dianggap sebagai salah satu daripada tanah yang bermasalah kerana ciri-cirinya, seperti saliran yang tidak baik dan mudah menyusut. Bila tanah menyusut, pokok pun mudah tumbang. Kalau jalanraya yang dibina atas tanah gambut pulak, memang tak rata dan retak-retak walau dah selalu dibaik pulih.

Kesan penyusutan tanah gambut, pokok sawit besar banyak nak tumbang.
Apapun, tanah gambut ni menyimpan nostalgia tersendiri buat saya. Sebab masa kecil dulu sewaktu zaman tiada bekalan air paip di rumah nenek, kami semua kena mandi di 'PARIT'. Bukan parit macam longkang kotor tu, tapi parit air tanah gambut. Ia luas dan dalam, kira macam mandi sungai. Memang seronok mandi ramai-ramai dengan mak dan adik-beradik lain. Ada yang tak tau rupa air tanah gambut? Tengok gambar di bawah..

Airnya warna macam teh o pekat kan..
Yang ni gambar parit kecil, bukan parit yang boleh buat mandi tu tau.

Buah warna pink yang menarik perhatian...buah apa entah.
Lagi satu pasal tanah gambut, jangan pakai kasut bertumit tinggi kalau ke tempat bertanah gambut ni. Kasut saya yang bertumit rata ni pun boleh tenggelam tau. 

Kalau ada yang nak tambah ilmu mengenai tanah gambut, sila baca SINI. 

Friday, 20 April 2012

Tiada Duka Yang Abadi

Tiada duka yang abadi di dunia
Tiada sepi merantaimu selamanya
Malam kan berakhir, hari kan berganti
Takdir hidup kan di jalani

Tangis dan tawa nyanyian yang mengiring
Hati yang rindukan cinta di jalan-Mu
Namun ku percaya hati meyakini
Semua akan indah pada akhirnya

Andai bisa ku mengulang
Waktu hilang dan terbuang
Andai bisa perbaiki s'gala yang terjadi
Tapi waktu tak berhenti
Tapi detik tak kembali
Harap ampunkan hamba-Mu ini

Waktu berputar rembulan dan matahari
Bunga yang mekar akan layu akan mati
Malam kan berakhir, hari kan berganti
Takdir hidup kan di jalani

Andai bisa ku mengulang
Waktu hilang dan terbuang
Andai bisa perbaiki s'gala yang terjadi
Tapi waktu tak berhenti
Tapi detik tak kembali
Harap ampunkan hamba-Mu ini

Tajuk lagu: Tiada Duka Yang Abadi
Nyanyian: Opick
(Sumber :liriklagumuzika)


************************************

Lirik yang indah dan nyanyian yang cukup meresap ke dalam hati. 
Baca lirik perlahan-lahan dan dengarkan nyanyian ini...terasa sebak.

Bagi peminat lagu-lagu Opick, malam ini dan malam esok (20 & 21 April 2012) ada konsert 'Rythm Of The Soul' di Dewan Muktamar, Pusat Islam Kuala Lumpur. Tiket berharga RM89. Kalau berminat, sila KLIK SINI.

p/s: Teringin nak pegi, tapi mengenangkan harga tiketnya...

Thursday, 19 April 2012

Sebarkan Cinta-Mu


Tajuk: Sebarkan Cinta-Mu
Penulis: Fatimah Syarha Mohd Noordin
Penerbit: PTS Litera Utama S/B
Harga: RM31
Muka surat: 870


'Dunia ini penjara. Tebal jeriji yang mengurung minda. Terlalu banyak persoalan yang mengelirukan. Sebarkan Cinta-Mu cuba menyebarkan kejernihannya'.

Kata-kata di kulit hadapan ini menerbitkan rasa ingin tahu apakah persoalan yang mampu dijernihkan oleh novel ini. Melihat nama penulisnya, saya tahu ini novel islami. Di bahagian bawah buku pulak tercatat 'SEBUAH NOVEL TAUHID', ia sebuah novel yang 'berat' pastinya! Dan ia memang agak 'berat' bagi saya, kenyataannya saya cuma mampu menghabiskan bacaan novel ni setelah beberapa bulan membacanya. Membaca mengikut mood dan sempat menghabiskan novel lain pulak! 

Pada pendapat saya, novel ini lebih menjurus kepada persoalan POLIGAMI, selain isu kekeluargaan dan cinta sebelum kahwin. Sangat menarik bila sebuah novel turut memberikan info, pendapat ulama tersohor, ayat quran dan hadis yang diselitkan sepanjang penceritaan. Cara ini membuatkan pembaca boleh memahami asas bagi sesuatu hukum, dan bukannya mengambil suatu hukum tanpa memahami sebabnya. Hasilnya, saya kini lebih jelas mengenai isu poligami. Poligami...suatu yang dibenarkan Allah, tetapi hanya dengan syarat yang ketat! Dan isteri/wanita berhak menerima atau menolak poligami. Menolak untuk dimadukan, bukan bermaksud menolak hukum poligami. Tapi ia memang hak memilih yang dibenarkan kerana memahami sifat cemburu isteri/wanita dan demi menjaga agamanya (imannya).

Sinopsis
Kisahnya bermula dengan Ibu Dhiya', seorang isteri taat yang tinggi ilmu agamanya dan terpaksa menjadi tukang sapu disebuah kolej swasta. Di situ Ibu Dhiya' didatangi pelbagai persoalan hati daripada setiap golongan di kolej itu. Dia cuba membantu dengan ilmu agamanya dan dengan penuh hikmah.

Petikan Novel
"Zaman sekarang zaman fitnah. Zaman orang kurang berpegang pada agama. Zaman keadilan sering terabai. Zaman kos sara hidup tinggi. Zaman anak-anak terdedah dengan bermacam-macam cabaran. Zaman pendidikan anak-anak perlu diperkasakan. Al-Quran menegaskan bahawa berkahwin satu lebih dekat kepada tidak berbuat aniaya. Berkahwin satu digalakkan oleh Islam. Tetapi berpoligami, Islam tidak pernah menggalakkannya. Ianya hanya untuk keperluan mendesak." terang Sarra.


*Buku ni sangat perlu dibaca bagi mereka yang belum ada kefahaman mendalam tentang poligami, tetapi ingin berpoligami (lelaki) atau rela bermadu (perempuan). Kefahaman itu penting sebelum melakukan sesuatu!*

Wednesday, 18 April 2012

Perlis: Wang Kelian...Satu Pengalaman Menarik!

(sambungan siri catatan ke Perlis..)

Pagi Ahad tu sebelum jam 8.30 pagi kami dah bertolak ke Wang Kelian. Tujuannya untuk ke Pasar Sehari Wang Prachan, Satun, Thailand. Kena pergi awal untuk memastikan dapat tempat parking kereta yang berdekatan dengan Pos Imigresen. Ia penting supaya kita tak perlu berjalan terlalu jauh. Juga nak elak kena panahan matahari terik menjelang tengahari.

Untuk info, Wang Kelian merupakan kawasan sempadan antara Malaysia-Thailand. Menariknya, sebelah Malaysia dikenali sebagai Wang Kelian dan sebelah Thailand dikenali sebagai Wang Prachan. Kemudahan 'pergerakan bebas' (free flow) tanpa sebarang dokumen perjalanan diberikan kepada rakyat kedua-dua negara pada setiap hari Ahad sahaja. Ia terhad sekitar Pasar Sehari Wang Prachan, Thailand bagi rakyat Malaysia dan 1km radius dari Pos Kawalan Utama Imigresen bagi rakyat Thailand. Kad pengenalan Malaysia tetap kena bawa dan bersedia untuk pemeriksaan di imigresen Malaysia. 

Perjalanan nak ke Wang Kelian ni agak berliku sebab kita mendaki bukit. Ada bahagian yang kita tengah mendaki, lepas tu terus selekoh tajam. Memang mencabar! Yang kagumnya, ramai pulak yang berbasikal naik turun bukit kat situ. Okey, kat bawah ni catatan bergambar...

1) Suasana macam ada program pertukaran rakyat pulak..
Sebelah KANAN tu rakyat Thailand dan KIRI rakyat Malaysia menuju ke Thailand.
Kagum bila tengok agak ramai rakyat Thai pakai jubah dan tudung labuh. 

2) Kat sini parking paling dekat dengan Pos Imigresen Malaysia.
Tapi dah penuh, kena patah balik cari parking paling dekat.
Oh ya, nak ke tandas di sini ya..lepas tu takde tau.

3) Lepas parking kereta, bermulalah aktiviti jalan kaki pulak.
Ni sedang menuju untuk melalui Pos Imigresen Malaysia.

4) Lepas tu masuk ke kawasan Thailand dan melalui Pos Imigresen Thailand pulak.
Seronok...tak pernah masuk negara orang tak pakai dokumen! Dulu pernah masuk Singapura pun kena pakai Pas Sementara.

5) Welcome To Thailand...
Nak ambil gambar ni, banyak gangguan..pokok dan orang.

6) Suasana sekitar...

7) Beginilah rupa Pasar Sehari Wang Prachan.
Betul-betul di bahu jalan. Kena hati-hati sebab kenderaan laju je lalu kat jalanraya tu.

8) Pasar ni memang panjang..kami tak pegi sampai hujung pun. Penat kaki dan panas.
Tapi kalau nak naik 'teksi', boleh naik motor-motor ni (yang saya bulatkan tu).
Mudah dikenali sebab mereka pakai vest seragam. Ada lelaki dan perempuan.

9) Antara yang mencuri perhatian..banyak sebenarnya.
No. 1- keropok ikan..macam keropok lekor yang lembut, tapi warna merah dan ada campuran cili padi. Sedap tapi pedas!
No. 2- ciku madu..beli 1/2kg. Manis & sedap macam ciku biasa tu jugak.
No. 3- Tengok..punyalah banyak minyak Malaysia dijual kat sana. Saji, Vesawit, minyak Tesco pun ada! Lupa nak tanya harga.

10) Selepas 2 jam berjalan-jalan, kami bergerak meninggalkan Wang Kelian. Masa ni sekitar jam 11 lebih, masih banyak kenderaan yang baru tiba. 


Saya dan suami cuma beli makanan dan barang-barang yang kecil dan ringan je. Ikutkan hati memang geram tengok macam-macam barang dengan harga yang rendah. Mengenangkan kena jalan kaki jauh dengan keadaan yang sesak dan panas, memang mematikan hasrat. Tapi kalau tengok orang lain..siap beli periuk besar, tikar. Jenuh nak bawak balik ke kenderaan tu.

Tips: Kalau nak berbelanja di Perlis, memang elok ke sini sebab harganya lebih rendah dari di Padang Besar. Tapi bukan semua barang ya..kebanyakkannya je.


***UPDATE : Zon Aliran Bebas (free flow) Wang Kelian telah ditamatkan pada 1 April 2015, atas alasan keselamatan.***

Tuesday, 17 April 2012

Pemenang "Teka dan Menang NOVEL (1)!"

Senang sangat kan?
Buah Kelapa Sawit..jawapannya.

TAHNIAH kepada yang pantas menjawab:

Pertama: MASYA
Ketiga: TIHARA

Selaku yang pertama, Masya dapat novel pilihannya iaitu Bidadari Cinta.
Kepada Masya, Hanamiko & Tihara, sila beri nama, alamat pos & no. telefon kepada saya di halifa02@gmail.com untuk urusan penghantaran ya. 

Kepada yang lain, akan ada peluang lagi untuk siri kedua.
Insyaallah dalam minggu hadapan.

Teka dan Menang NOVEL (1)!

Seperti yang saya janjikan, ada enam buah novel untuk diberi kepada korang yang minat novel.
Buku-buku ni saya belum baca tau..bukan second hand.
Untuk kali ni tiga buah novel berikut bakal diberi:


Tapi kenalah buat kerja sikit...
Mudah je, cuba TEKA gambar di bawah. Gambar buah apa tu?
Buah ni dalam tandan...


Beri jawapan kat ruangan komen, 
dan nyatakan novel mana jadi pilihan...1, 2 atau 3.

3 orang terawal jawab betul akan dapat novel di atas setiap seorang.
Istimewa untuk pemenang pertama, dia akan dapat novel yang telah dipilih tadi.
Yang kedua dan ketiga akan dapat yang selebihnya tu.

Syarat-syarat:
- sesiapa saja asalkan beralamat kat Malaysia.
- jawapan pertama je dikira.
-mini peraduan ni ditutup pada bila-bila masa setelah saya dapat pemenang.


p/s: Novel-novel di atas saya dapat melalui satu peraduan di tv, jadinya bukan saya yang pilih tajuk novel tersebut tau. Baca boleh..jangan terbawa-bawa dengan kisah cinta novel pulak ya! ^__^

Monday, 16 April 2012

Perlis: Mewah Hasil Laut

(sambungan siri catatan ke Perlis...)

Lepas cari pelam Harum Manis, kami dibawa 'membeli-belah' hasil laut pulak. Mula-mula ke SUNGAI BEREMBANG, untuk membeli belacan. Menariknya kat sini, terdapat banyak perusahaan membuat belacan. Daripada pemerhatian saya, kebanyakkan perusahaan ni dijalankan di rumah. Biras saya yang memang orang tempatan, membawa kami ke perusahaan 'Belacan Ori' yang dikatakan paling sedap. Harganya cuma RM1 sekeping. Saya beli 10 keping, dapat percuma sekeping lagi!


Sepanjang tepi jalan tu jugak, ramai yang menjual siput Mentarang. Dan inilah kali pertama saya lihat Mentarang ni. Mentarang tu apa? Ia sejenis siput yang hanya boleh dijumpai di pantai berselut macam di Perlis ni. Ia dikutip sewaktu air laut surut. Rasanya seakan kupang/kerang, rupa dalamnya putih dan lembut. Mentarang ni kemudiannya kami bakar dan isinya dimakan bersama sos BBQ.

Mentarang yang sudah dicuci,
nak cucinya agak susah sebab tebal dengan selut.

Lepas dari Sungai Berembang, kami dibawa ke KUALA SUNGAI BARU pulak. Ia merupakan kawasan perkampungan nelayan. Tujuan ke sana tentulah untuk membeli pelbagai hasil laut. Kiranya kalau duduk kat Perlis ni memang puaslah makan makanan laut. Sebab mudah didapati dan harganya murah! Malamnya kami manikmati BBQ pelbagai makanan laut yang disediakan oleh ipar dan biras saya...banyak sampai tak larat makan.

Sekitar Kuala Sg. Baru..sebelah kanan tu sungai.
Pelbagai jenis udang kering dan ikan bilis...
sampai tak tau mana satu nak beli.
Bukan je ada pelbagai jenis udang kering dan bilis, ikan masinnya pun ada banyak jenis. Atas syor, kami turut membeli ikan masin 'masam'. Belum pernah lagi makan ikan masin yang ada rasa masam, teringin nak cuba sebab ia dikatakan lebih sedap dari ikan masin biasa.


p/s: Untuk cerita Perlis ni ada lagi beberapa entri, maaf jika bosan. Sekadar perkongsian pengalaman dan panduan bagi yang nak ke sana.

Sunday, 15 April 2012

Giveaway Herba Tihara


Blogger Tihara sekali lagi menganjurkan GA.
Dan sekali lagi saya mencuba nasib..

Hadiah yang ditawarkan untuk 9 orang pemenang adalah:
1. handphone casing strawberry
2. 1 sticky post review blog 48 jam
3. 1 sachet wangian teh hijau
4. 1 sachet wangian lavender
5. 1 keychain strawberry
6. 1 crochet card 
7. 3 blog pilihan entry


NAK JOIN JUGAK? 
KLIK JE PADA BANNER KAT ATAS YA!

Saturday, 14 April 2012

Perlis: Pelam Harum Manis

Perlis...memang terkenal dengan pelam. Syoknya di sini kita boleh makan pelbagai jenis pelam. Paling terkenal tentunya pelam Harum Manis. Siapa yang pernah merasa, mesti tak boleh lupa rasanya yang manis dan berbau harum. Maka, bermulalah pencarian pelam Harum Manis ni bila saya dan suami tiba di Perlis pada hari Sabtu lalu. Tapi menurut biras saya yang menjadi 'pemandu pelancong', musim pelam Harum Manis ni baru saja bermula. Dan musim ni hasilnya agak kurang disebabkan faktor perubahan cuaca. Jadinya  ia belum banyak di jual dan harganya mahal. Untuk info, musim pelam ni adalah sekitar April hingga Jun.

Banner iklan di sebuah gerai..ramai yang singgah di gerai
 ni termasuk beberapa buah bas.
Mulanya kami terus menuju ke ladang Harum Manis, malangnya ia masih belum dibuka untuk jualan. Jadinya kami pun mula mencari di gerai-gerai pelam yang terdapat di tepi jalan. Tapi cuma sedikit yang ada menjual Harum Manis ni. Dan harganya cukup mahal..RM15 sekilo! Tak terus beli, tapi terus mencari di gerai lain. Akhirnya dapat jugak yang berharga RM10 sekilo, tapi cuma akan masak lagi beberapa hari. Sayangnya bila dah tiba masa, banyak pulak yang busuk pada biji pelam dan tak sesedap yang saya makan sebelum ni. Agak kecewa..belum rezeki!

Nilah rupa pelam yang terkenal tu..warna menarik, bau harum & rasa sedap!
sumber gambar oleh 'sexychef'

Nak tahu sejarah pelam Harum Manis? Sila KLIK DI SINI. Nak buat belian pun boleh!

Friday, 13 April 2012

Pelbagai Rasa dan Cerita

Salam sejahtera semua...seminggu tak berblog, memang terasa bagai kurang sesuatu. Buat Eita, akak sendiri pun terasa lama menghilang! Dalam masa seminggu ni saya ke Perlis dan Johor. Memang perjalanan yang letih....ke utara dan ke selatan. Dalam entri akan datang, saya akan cerita apa yang menarik di Perlis untuk perkongsian pengalaman.

Papan iklan di Kedah yang menarik perhatian saya...tulisan jawi & bertudung.

Perkara kedua, mengenai entri 'Penghutang Muda'. Saya menerima pelbagai komen dan pandangan mengenai isu tersebut. Namun saya amat tertarik dengan pandangan oleh Cahaya Kemuliaan, satu pandangan yang saya kira seimbang untuk kedua-dua pihak iaitu kerajaan dan pelajar. 



Perkara ketiga, berkaitan entri Suka Novel? Kalau Nak Percuma...

Terima kasih buat Prettywrite dan Woofer Storm atas cadangan kalian. Dengan ini, saya nak memberi sebahagian novel (yang belum saya baca) tersebut kepada korang. Caranya? Tunggu saja ya..yang pasti mudah je.

p/s: Harini sibuk berkemas, lambat sikitlah dapat bertandang blog korang ya..

Friday, 6 April 2012

Penghutang Muda

sumber: google

Perbadanan Tabung Pendidikan Teknologi Nasional (PTPTN) yang dikuatkuasakan pada Julai 1997, sebenarnya telah melahirkan ramai 'PENGHUTANG MUDA'. Mujur pada tahun tersebut Majlis Amanah Rakyat (MARA) sudi memberikan pinjaman (kemudian berubah menjadi biasiswa) kepada saya, jika tidak saya tiada pilihan lain melainkan membuat pinjaman PTPTN. 

Berbalik kepada PTPTN, sebelum kewujudannya pelajar-pelajar di IPTA diberikan pinjaman oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Cara bayaran balik pula mengikut kelas yang diperolehi pelajar. Berbanding PTPTN, tiada pengurangan (kecuali pelajar yang dapat kelas pertama) diberi. Kelas pertama? susah untuk dicapai. Akibatnya graduan yang lahir dari IPT bukan saja menggenggam segulung ijazah, tetapi memikul sejumlah besar beban hutang. Kasihan, mereka menjadi penghutang diusia amat muda! Sebagai contoh, ada yang mempunyai hutang sebanyak RM46,000 untuk pinjaman diploma dan ijazahnya. Boleh bayangkan...baru nak mulakan hidup, tapi dah ada hutang sebanyak itu. Bagaimana jika tidak mendapat pekerjaan dengan gaji yang bersesuaian? Hidup tentunya bertambah sukar.

Mungkin ada yang berfikir, tak perlulah masuk IPT dan seterusnya buat pinjaman PTPTN. Tapi ini soal peluang dan keinginan.  Bila peluang belajar terbuka dan keinginan mengejar cita-cita pun ada, pinjaman  PTPTN yang mudah diperolehi terpaksa diambil. Jadinya, apa jalan terbaik yang ada? Seharusnya sesiapa sahaja yang menerajui kerajaan perlu memberi peluang belajar kepada rakyat dengan memberi kemudahan kewangan. Mungkin tidak sepenuhnya percuma, tetapi boleh kembali kepada sistem pinjaman JPA seperti dulu. Cara tersebut boleh memberi motivasi kepada para pelajar untuk mencapai kelas terbaik, disamping itu kerajaan juga telah menyumbang ke arah menghasilkan aset negara yang berilmu tinggi.

Ini hanyalah sekadar luahan dan pendapat saya, yang kasihan melihat ramainya 'penghutang muda'. Harap maaf kiranya sudut pandangan kita berbeza.



p/s: Esok sebelum subuh, saya akan bergerak ke utara tanahair. Akan kembali menulis blog dan bertandang ke blog korang selepas hari Rabu, Insyaallah!

76 Komen Dari CTK!

Malam tadi masa sedang menikmati hidangan malam, dengar bunyi email masuk dengan kerap. Tapi takdelah pergi tengok, urusan keluarga didahulukan. Bila selesai makan, masa basuh pinggan...ada lagi bunyi email masuk. Hati mula tertanya-tanya, harini (iaitu semalam) saya takde update entri..macamana boleh banyak komen masuk pulak? Kalau ada entri baru pun, memang tak banyak trafik dan komen yang datang.

Segalanya terjawab! Komen-komen yang banyak tu semuanya dari cik adik CTK atau biasa dipanggil CT je. CT ni dulu memang rajin bertandang ke blog saya, tapi lepas tu menyepi sebab kembali belajar kat IPT. Baru-baru ni CT dah tamat belajar, tu yang dia muncul kembali. Muncul dengan cara mengejutkan bila terus bagi 76 komen untuk 76 entri! Saya kira satu persatu email komen dari CT tau.. TERIMA KASIH BUAT CT..sebab sudi selongkar catatan lama akak! Yang belum kenal dengan cik adik ni, boleh kenal kat SINI.



Nota: Widget bagi 'top commentators' yang saya gunakan ni, hanya mengira 2000 komen TERBARU. Sebab tu ada jumlah komen dari korang yang nampak menyusut..tapi rasa persahabatan dari korang tak pernah susut di hati saya!

Wednesday, 4 April 2012

Suka Novel? Kalau Nak Percuma...

Petang yang indah...
Hadiah yang ditunggu-tunggu tiba sudah.
Tersenyum sangat lebar! ^____^


Tak sangka dapat hadiah novel sebanyak ni.
11 buah novel untuk saya 'nikmati'!
Nescaya blog akan terabai...sedikit atau banyak.
Yang mana satu nak mula baca?
Saya mulakan dengan penulis yang terkenal dulu!

Eh, korang nak dapat hadiah banyak ni jugak tak?
Ok, senang sangat tau...tonton rancangan berikut:

PERSADA AKSARA
SETIAP RABU JAM 3.30 PTG.
DI TV1.

Rancangan ni mengenai tokoh penulis dan dunia sastera. Ada beberapa segmen.
Korang tonton dan jawab soalan kuiz dihujung rancangan.
Cepat-cepat email jawapan untuk memastikan kemenangan milik korang.
5 pemenang akan dipilih setiap minggu..ramai tu!


p/s: Saya jarang tonton tv, haritu saja-saja bukak TV1. Ada pulak kisah penulis novel kegemaran saya, Ramlee Awang Mursyid dalam Persada Aksara. Terus boleh jawab soalan kuiz dan menang! TERIMA KASIH PERSADA AKSARA!!!

Tuesday, 3 April 2012

Pinggan Mangkuk Berasaskan Serbuk Tulang

Selama ni saya tak tahu pun ada pinggan mangkuk yang dibuat berasaskan serbuk tulang (bone ash). Sebab tak pernah pulak pinggan mangkuk kat rumah saya ada tertera perkataan 'BONE' kat belakang/bawahnya. Sehinggalah saya terbaca fatwa berkenaannya oleh Sahabat Halal Jakim. Kebetulan seorang kawan suami baru je bagi ole-ole dari London, iaitu mug yang memang cantik. Tapi sayangnya...(sila lihat gambar di bawah..)

Perhatikan..ada perkataan 'BONE' yang tertera.

Fatwa Berkaitan Pinggan Mangkuk Berasaskan Serbuk Tulang (Bone Ash)

Dimaklumkan bahawa telah dibincang dan dibahaskan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor pada 20 Rabiul Akhir 1431 bersamaan 5 April 2010. Setelah dilihat dengan penuh penelitian, maka keputusannya adalah seperti berikut.

-Penggunaan perkakas pinggan mangkuk berasaskan serbuk tulang haiwan (Bone Ash) yang diperbuat daripada serbuk tulang babi adalah tidak harus mengikut hukum syara' dan wajib ditinggalkan penggunaannya.

-Penggunaan perkakas pinggan mangkuk berasaskan serbuk tulang haiwan (Bone Ash) yang tidak halal dimakan selain daripada babi juga tidak harus digunakan.

-Penggunaan perkakas pinggan mangkuk berasaskan serbuk tulang haiwan (Bone Ash) yang halal dimakan tetapi tidak disembelih juga tidak harus digunakan.

-Manakala perkakas pinggan mangkuk berasaskan serbuk tulang haiwan (Bone Ash) yang diperbuat daripada serbuk tulang haiwan yang halal dimakan yang telah disembelih adalah harus digunakan mengikut hukum syara'.

-Fatwa ini hanya terlaksana dengan adanya pembuktian saintifik yang jelas terhadap bahan kandungan pinggan mangkuk tersebut.

-Walaupun belum terdapat pembuktian secara saintifik dengan bahan kandungan, umat islam dinasihatkan supaya TIDAK menggunakan pinggan mangkuk yang diperbuat daripada tulang untuk MENGELAKKAN KERAGUAN. Ini berdasarkan hadis Rasullullah SAW :

Tinggalkanlah apa yang meragukan kamu kepada apa yang tidak meragukan.
(Riwayat At-Tirmidzi dan An-Nasai)

-Larangan penggunaan pinggan mangkuk yang tertera di atas adalah berasaskan konsep Al-Ihtiyat (berhati-hati) demi menjamin kesucian melaksanakan ibadah dalam kehidupan ".

(sumber: Sahabat Halal Jakim)
*saya tambah bold, underline, huruf besar supaya saya & pembaca mudah faham.

****************************************

Jadinya, apa perlu saya/kita buat kalau dah memiliki pinggan mangkuk ini? Eh, jangan buang! Berikan je pada non-Muslim. Dan tak perlu nak samak kabinet/ruangan menyimpan tu, sebab kita belum jelas status tulang tu pun. Ia cuma meragukan je sebab diperbuat dari tulang. Ini bukan saya yang kata, pihak Sahabat Halal Jakim yang kata. Untuk melihat sumber asal, sila KLIK SINI.