Hari Jumaat lalu saya menemani encik suami buat urusan kerja beliau di Telok Panglima Garang, Kuala Langat. Kami melewati Bandar Parklands di Klang, berbelas tahun lalu kami pernah menetap di sini sekitar satu tahun. Hari ini, suasana jauh berbeza. Jalanan bertambah sesak itu sudah pasti. Tambahan pula dengan kerja pembinaan stesen LRT berhadapan Bandar Parklands menjadikan laluan bertambah sempit.
Teringat masa dulu kami selalu makan Mi Jawa di sebuah kedai makan di simpang jalan. Saya cuba memerhati sepanjang jalan, mencari-cari kedai makan tersebut. Mana tau ada rezeki boleh singgah makan situ, mengimbau memori lalu. Tapi rupanya, struktur kedai tersebut sudah pun dirobohkan. Hanya tinggal tapak kedai dan sedikit tinggalan sisa bangunan.
Lewat petang, urusan encik suami pun selesai. Kami menuju ke Tamu Hotel, Kg. Baru, Kuala Lumpur untuk menginap satu malam.
Kali ini dapat bilik bernombor 1914, terletak di aras 19. Dapat bilik dengan dua buah katil single yang dirapatkan dua. Pertama kali duduk hotel dapat susunan katil begini. Memang dah siap dirapatkan. Katil sebuah tu nampak lebar sebab ini foto zoom-out. Yang sebenarnya, sama je saiz dua buah katil tersebut.
Berbanding sewaktu kali pertama menginap di Hotel Tamu, bilik kali ini kurang memuaskan tahap kebersihan dan kekemasannya. Masih ada helaian rambut di cadar katil, cadar tidak kemas dan mangkuk tandas dengan tompokan kuning. Bab sarapan pagi, Alhamdulillah masih sama - banyak pilihan dan sedap semuanya.
Selesai menunaikan solat jamak Maghrib Isyak, kami keluar cari makan malam di sekitar hotel. Dah beberapa kali ke sini asyik makan Nasi Lemak Wanjo di Jalan Raja Muda Musa, kali ini kami bercadang nak ke Jalan Raja Alang. Lebih dekat, cuma terletak di sebelah bangunan Hotel Tamu dan tak perlu melintas jalanan yang sibuk. InsyaAllah catatan berkenaan suasana malam dan makan-makan kami di Jalan Raja Alang pada entri lain.
Pukul 11.20 malam, saya rasa sangat mengantuk. Tapi sebelum tidur, saya jenguk ke luar tingkap bilik penginapan. Memerhati suasana malam kota Kuala Lumpur. Cantik bangunan Menara Kuala Lumpur disinari cahaya lampu warna-warni. Ada ketika, lampunya bertukar-tukar warna.
Kemudian saya memerhati ke bawah di sekitar Jalan Raja Muda Musa. Fuh, sesak dengan kenderaan! Malam masih muda bagi warga kota. Hampir tengah malam pun orang ramai masih memenuhi jalan yang terkenal sebagai syurga makanan ini. Entah pukul berapa agaknya jalan ini akan mulai sunyi.
*********************
Esok 20 Jun, masuk 1 Zulhijjah. Kita ulang kaji sedikit amalan sunat bulan Zulhijjah.
Sunat berpuasa mulai 1-9 Zulhijjah. Keutamaan berpuasa sunat pula adalah pada 8 & 9 Zulhijjah.
Bagi yang berniat melakukan ibadah korban pula, hari ini merupakan hari terakhir untuk memotong kuku dan bulu. Mulai esok sunat untuk tidak potong kuku dan bulu sehinggalah selesai sembelihan korban kita. Tidaklah jatuh hukum haram kalau kita tetap jua nak memotong kuku dan bulu dalam tempoh masa tersebut. Cuma makruh saja.
Kita cuba buat yang terbaik untuk hidupkan amalan sunat bulan Zulhijjah. Tak dapat buat semua, kita jangan tinggalkan semua. Cuba buat semampunya.